Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, dalam kisah yang sering kita dengarkan, adakah kita sedar bahawa kita berada di dunia ini di mana betul dan salah, nilai dan etika tidak jelas? Ini seperti danau Galilea yang kelihatan selalu tenang, sejuk dan menyenangkan, tetapi apabila tiupan angin tenggara melanda dengan kuat, bagaimanakah kita dapat menghalangnya? Kita sering berpuas hati dengan pencapaian yang kecil, malah saling berkata: “Manusia akan menakluki langit”. Akan tetapi apabila mendapati diri kita lemah, kita hanya dapat berseru dan memohon kepada bumi dan langit untuk “mengikut kehendak kita demi mencapai hasrat kita.” Tuhan boleh mengendahkan permohonan manusia, kerana manusia tidak berdaya malah sombong. Dalam Alkitab tercatat: “Apakah manusia, sehingga Engkau mengingatnya? Apakah anak manusia, sehingga Engkau mengindahkannya?” Tangan Tuhan yang penuh anugerah, sentiasa dihulurkan kepada kita ketika kita memandang-Nya. Adakah kita beriman kepada-Nya? Guru-guru yang dikasihi, sudah berapa lama anda tidak melihat biji sesawi dalam hati anda? Adakah ia masih ada? Marilah kita saling mendorong.
Nas Alkitab: Matius 8:23-27; Markus 4:1,35-41
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Boleh berdoa kepada Tuhan ketika menghadapi kesukaran.
Ayat Hafalan:
Waktu aku takut, aku ini percaya kepada-Mu. (Mazmur 56:3)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Satu terarium besar yang lutsinar, isikan air ke dalamnya (pastikan paras air tidak terlalu penuh untuk mengelakkan air tertumpah); membuat perahu kertas.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa: Tuhan yang dikasihi, kami bersyukur kepada Engkau. Tidak kira sama ada kami berada di rumah, di sekolah atau di mana sahaja, Engkau tetap menyertai, melindungi dan menjaga kami. Dapat menjadi anak domba-Mu merupakan suatu perkara yang amat membahagiakan. Oleh itu, kami akan sentiasa bersyukur dan memuji-Mu dengan mulut kami. Semoga Tuhan mendengar doa kami. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu lepas, guru ingin semua murid meneladani Zakheus, iaitu sewaktu kita telah melakukan perkara yang salah atau menyebabkan orang lain sedih, apakah yang harus diucapkan terlebih dahulu? (Haruslah berkata: Minta maaf, maafkan saya, saya akan segera…) bukan sekadar dilafazkan sahaja, malah ia harus dizahirkan melalui perbuatan sebagai bukti bahawa anda telah bertambah baik. Setelah adik-adik balik ke rumah, adakah adik-adik melakukannya sama seperti yang telah guru pesan? Sila angkat tangan. Mari kita jemput adik XXX beritahu kepada semua orang, apakah yang telah berlaku? (Semasa kanak-kanak membuat perkongsian, berikan tepukan dan beri kata-kata semangat). Ya! Semua orang telah lakukan dengan baik! Bagi adik-adik yang lupa membuatnya, marilah berusaha menjadi seorang yang berani dan bersopan santun, maka semua orang akan menyukai kamu. Jika dilihat oleh Tuhan Yesus, pasti juga akan dicatatkan dalam buku rekod pemarkahan di mana markah tambahan akan diberi kepada kamu. Hari ini, kisah yang akan disampaikan juga berkaitan dengan keberanian. Mari adik-adik lihat, apakah yang ada dalam terarium di tangan cikgu? (Guru masukkan perahu kertas ke dalam terarium besar). Di sini ada sebuah perahu kertas. Siapakah yang pernah naik perahu, sila angkat tangan? Mari kita jemput adik XXX beritahu apakah perasaannya? (Kanak-kanak mengemukakan pendapat dan guru menyusun semula pendapat mereka dan menerangkannya sekali lagi). Terdapat adik-adik yang mengatakan: “tidak selesa duduk di atas perahu sebab terombang-ambing, rasa seperti ingin muntah.” Ada juga mengatakan: “Busuknya duduk di atas kapal.” Juga ada lagi mengatakan: “Selesa sekali.” Bagi orang yang menaiki kapal pelayaran yang sangat besar, maka ia tidak akan rasa terombang-ambing. Jika perahu kecil sama seperti yang guru tunjukkan ini, pastinya akan terombang-ambing. Jikalau angin bertiup dengan kencang dan adanya ombak laut yang tinggi, maka keadaan ini sangat berbahaya. Hari ini, Tuhan Yesus akan menaiki perahu bersama dengan murid-murid-Nya. Marilah kita dengar apakah yang telah berlaku.
Tuhan Yesus Mengajar Di Tepi Pantai
Pada suatu hari, ada banyak sekali orang yang mengikuti Tuhan Yesus ke tepi pantai untuk mendengar ajaran-Nya. Mereka berdesak-desakkan sehingga Tuhan Yesus tidak mempunyai tempat duduk, Maka, Tuhan Yesus terpaksa naik ke perahu dan duduk di situ untuk menyampaikan ajaran-Nya kepada orang-orang yang berdiri di tepi laut. Apabila hari sudah hampir gelap, Tuhan Yesus menyuruh orang banyak pulang ke rumah untuk beristirehat. Dia juga menyuruh murid-murid-Nya mengemudi perahu ke seberang untuk beristirehat. Semasa perahu mulai bertolak, Tuhan Yesus pergi ke hujung perahu untuk berbaring di sana kerana Dia sangat letih. Tidak lama kemudian Dia terlena.
Tiba-tiba Angin Kencang Bertiup
Selain perahu yang dinaiki oleh Tuhan Yesus, terdapat juga perahu lain yang bergerak bersama-sama dengan perahu Tuhan Yesus di atas laut. Semua orang mendayung, sambil merasa kesunyian malam yang begitu senyap! Sangat selesa duduk di atas perahu. Adik-adik, pernahkah kamu melihat angin taufan? Ketika taufan melanda, bunyi angin kencang sangat mengerikan. Rumah atau pokok yang dilanda oleh angin taufan juga akan tumbang, betulkah tidak? (Guru angkatkan terarium, mulai goyangkannya, biar kanak-kanak memerhati keadaan perahu kertas). Tiba-tiba bertiuplah angin yang sangat kencang di laut, sehingga ombak tertiup dengan sangat tinggi. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap dari depan, sekejap dari belakang menyebabkan air laut menyembur masuk ke dalam perahu. (Pada masa ini, perahu kertas yang digoyangkan di dalam terarium mungkin telah terbalik. Sekiranya tidak terbalik ia mungkin telah dipenuhi dengan air. Letakkan terrarium selepas selesai perbincangan dan teruskan penyampaian pelajaran). Perahu yang dinaiki oleh Tuhan Yesus juga sedemikian. Semua perahu terombang-ambing di lautan dan air laut semakin menyembur masuk ke dalam perahu. “Habislah! Air laut telah masuk ke dalam perahu, kita akan tenggelam, cepat keluarkan air!” “Cepatlah mendayung dengan kuat kerana ombak yang besar melanda lagi.” Adik-adik, apa yang harus dilakukan? Banyak perahu akan tenggelam ke laut! Sangat menakutkan!
Murid-murid Yang Kurang Percaya
Murid-murid Tuhan Yesus sangat ketakutan melihat angin dan ombak yang begitu besar. Mereka takut perahu akan terbalik dipukul angin dan ombak. Mereka kemungkinan akan terjatuh ke laut lalu dimakan ikan besar. Ketika mereka semua berasa takut dan cemas, apakah yang Tuhan Yesus sedang lakukan? Tuhan Yesus berada di hujung perahu, Dia masih tidur dengan nyenyak sekali! Wah! Angin ombak yang begitu kuat, mengombang-ambingkan perahu yang dinaiki Tuhan Yesus akan tetapi mengapakah Tuhan Yesus masih dapat tidur dengan nyenyak? (Kanak-kanak mengemukakan pendapat). Mari kita lihat, jawapan siapakah yang betul. Murid-murid Tuhan Yesus sangat cemas lalu membangunkan Tuhan Yesus dan berkata: “Tuhan Yesus! Cepat selamatkan kami! Lihatlah angin dan ombak begitu besar. Perahu kita hampir terbalik dihempas ombak, bagaimana Engkau tidak peduli kalau kita binasa?”
Tuhan Yesus Telah Meredakan Angin Dan Ombak
Tuhan Yesus terbangun dan melihat angin dan ombak yang besar serta murid-murid-Nya yang ketakutan. Kemudian Tuhan Yesus berdiri dan menghardik angin dan ombak: “Diam! Tenanglah!” Adik-adik, adakah kamu tahu? Angin dan ombak menjadi diam dan tenang setelah mendengar perkataan Tuhan Yesus; sama seperti apabila adik-adik melihat guru memberikan arahan untuk adik-adik mendiamkan diri melalui aksinya, adik-adik akan mengikut arahan tersebut dengan mendiamkan diri dan duduk dengan baik sambil melihat ke arah guru dengan tenang. Ia sungguh luar biasa, bukan? Angin dan ombak besar menjadi tenang! Tuhan Yesus kemudian melihat kepada murid-murid-Nya sambil berkata: “Aku ada bersama dengan kalian, mengapa berasa takut?” Murid-murid Tuhan Yesus belum pernah melihat hal yang begitu menghairankan, dengan mata yang terbeliak dan mulut yang ternganga berkata: “Siapakah gerangan orang ini, sehingga angin dan ombak pun taat kepada-Nya?” Rupa-rupanya, walaupun telah lama mengikuti Tuhan Yesus, murid-murid masih belum mengenali Tuhan Yesus adalah Allah yang Maha Kuasa. Ini disebabkan mereka tidak beriman.
Kesimpulan
Adik-adik, siapakah Tuhan Yesus sebenarnya? Dia adalah Allah yang Maha Mulia, yang telah menciptakan langit, bumi beserta segala isinya. Dia dapat menyembuhkan orang sakit, mencelikkan orang buta, membolehkan orang lumpuh berjalan, orang tuli mendengar, bahkan membangkitkan orang mati! Anak anjing atau anak kucing yang dipelihara dalam rumah, ketika kita panggil datang untuk makan, maka datanglah ia untuk makan, panggilnya duduk, maka duduklah ia juga. Langit dan bumi serta segala sesuatu diciptakan oleh Tuhan. Angin dan ombak yang kencang juga pasti taat kepada perkataan-Nya! Di manakah Tuhan Allah yang Maha Kuasa ini? Adakah Dia di langit, ataupun di bumi? Tuhan Allah berada di mana-mana. Walaupun begitu Tuhan Allah sama seperti angin dan udara yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dipegang oleh tangan juga. Sekarang marilah kita cuba lambaikan tangan, adakah kita dapat merasa angin yang sejuk dan selesa? Ya! Walaupun kita tidak dapat melihat udara, namun udara tetap ada. Oleh itu, ketika berasa takut dan sedih, marilah kita hulurkan tangan yang berdoa kepada Tuhan. Meskipun Tuhan tidak dapat dilihat, Dia sama seperti induk ayam yang akan menaungi kita dengan sayap-Nya yang kuat. Tuhan akan berkata kepada kita, bahawa kita sudah selamat, janganlah takut dan tetaplah bersandar kepada-Nya. Ingat, janganlah takut, percayalah kepada Tuhan! Adik-adik, tahukah kamu? Ketika Tuhan Yesus sedang makan, Ia telah melakukan suatu perkara yang mengagumkan murid-murid-Nya! Adakah kamu ingin mendengarnya? Ya! Cikgu akan menceritakannya pada minggu hadapan.