BAB 6 : RUNTUH TANPA DISERANG

Nas Alkitab : Yosua fasal 6

Ayat Bacaan : Yosua 6:2-3

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mengetahui bahawa tembok itu runtuh adalah perbuatan Tuhan yang maha kuasa.
  2. Jadi anak yang taat, berdoa dan senantiasa bersandar kepada Tuhan yang maha kuasa.

 

Ayat Hafalan :

Yesus memandang mereka dan berkata: “Bagi manusia hal ini tidak mungkin, tetapi bagi Allah segala sesuatu mungkin.” (Matius 19:26)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

  1. Ambil kotak kadbod tidak kira saiz besar atau kecil; tampal atau lukis gambar tembok kota untuk mewakili Bandar Yerikho.
  2. Alkitab.

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Benar di langit, Engkau ialah Tuhan yang berkuasa. Engkau boleh memisahkan sungai dan membantu orang memenangi pertempuran. Kami bersandar kepada-Mu, tidak perlu takut akan musuh ataupun syaitan. Semoga Tuhan menambah iman kami supaya kami boleh bersandar kepada-Mu dengan sepenuh hati. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Umat Israel menyeberangi Sungai Yordan dan sampai ke tanah Kanaan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Oleh Kerana ada banyak yang boleh dimakan di tanah Kanaan, maka Tuhan Benar tidak lagi memberi mereka manna untuk dimakan. Jika umat Israel ingin menetap di tanah Kanaan dan mendirikan negara Israel, mereka harus menyerang kota Yerikho terlebih dahulu. Maka mereka menggunakan kaedah yang sangat aneh untuk menyerang kota Yerikho.

 

Menyerang Kota Yerikho

Kota Yerikho adalah sebuah kota yang besar dan kuat, dan ia tidak mudah untuk diserang. Umat Israel tidak mempunyai meriam atau kapal terbang pada masa itu. Apa harus dilakukan?  Pada suatu hari, ketika Yosua mendekati Kota Yerikho dan berfikir apakah harus digunakan  untuk menakluki kota Yerikho. Dilihatnya seorang laki-laki berdiri di depannya dengan pedang terhunus di tangannya. Yosua mendekatinya dan bertanya kepadanya : “Adakah kamu datang untuk membantu kami atau membantu musuh kami?” Jawabnya : “Bukan, tetapi aku datang untuk memimpin tentara Tuhan untuk berperang”. Adik-adik, cuba teka siapakah ini? Dia ialah Tuhan Benar yang maha kuasa. Yosua dengan gembiranya sujud dengan mukanya ke tanah dan menyembah Tuhan.

Orang-orang Yerikho takut akan serangan umat Israel. Maka pintu gerbang kota ditutup rapat. Tidak ada orang dibenarkan masuk atau keluar dari kota itu. Berfirmanlah Tuhan Benar kepada Yosua : “Jangan takut, Aku akan membantu kamu untuk menyerang Kota Yerikho ini, sekarang Aku akan mengajar kamu bagaimana menyerang Kota Yerikho. Kamu perlu mengelilingi kota ini setiap hari, mengelilingi sekali sehari, selama enam hari berturut-turut. Pada hari ketujuh, kamu akan mengelilingi kota tujuh kali. Apabila kamu mengelilingi kota, semua orang perlu berbaris. Barisan pertama mesti memegang pedang dan tombak dan kemudian ketujuh-tujuh imam memegang sangkakala tanduk domba dan meniup sambil berjalan. Di belakang imam adalah orang-orang yang membawa tabut perjanjian dan umat Israel berada di belakang.”

 

Umat Israel Mengelilingi Kota

Yosua memerintahkan semua orang berjalan menurut kaedah yang diberitahukan Tuhan yang benar kepadanya. Semua orang sangat patuh, senyap tidak bersuara, langkah demi langkah, berjalan mengelilingi kota dan kemudian kembali ke khemah untuk berehat. Hari pertama, hari kedua, hari ketiga, hari keempat, hari kelima, hari keenam, mereka semua berjalan mengelilingi kota sedemikian. Tiada seorang pun yang menganggapnya aneh dan mereka tidak bersungut lelah kerana umat Israel mengenal Tuhan Benar yang agung dan tidak kira betapa sukarnya perkara itu, mereka tetap akan melakukannya.

 

Kota Tembok Runtuh

Pada pagi hari ketujuh, umat Israel tetap berbaris dan mengelilingi kota. Ya betul! Hari ini adalah hari ketujuh, berapa kali umat Israel perlu kelilingi kota? Sila angkat tangan ya adik-adik, jika awak tahu. Turunkan tangan. Mari kita bantu umat Israel menghitung. (Keluarkan kotak kadbod dan gunakan jari telunjuk atau penunjuk anda untuk mewakili watak. Jika tiada kotak kadbod, sila gunakan penumbuk anda). Satu kali, dua kali, tiga kali, empat kali, lima kali, enam kali, tujuh kali. Yosua berkata : “Bersoraklah!” Semua orang mendengar perintah Yosua dan bersorak dengan sekuat hati. Umat Israel bersorak bersama-sama. Begitu kuat sekali! Boom! Boom! Bunyi apakah itu? Beberapa orang berteriak : “Sudah runtuh! Sudah runtuh!” Apa yang runtuh? Adik-adik, cuba teka? Ya betul, tembok Kota Yerikho yang tinggi dan kukuh telah runtuh. Umat Israel sangat gembira. Jadi mereka yang berjalan di hadapan dengan pedang dan senjata dengan bersukacita menyerang kota Yerikho.

 

Rahab Diselamatkan

Yosua memberitahu umat Israel bahawa segala isi di kota Yerikho iaitu penduduk (Laki-laki, perempuan tua atau muda) lembu, domba dan keldai mesti dimusnahkan; tidak boleh mengambil barang-barang itu. Rumah-rumah di dalam kota itu juga mesti dibakar; hanya emas, perak, tembaga dan besi dikhususkan untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Adik-adik, masih ingatkah tidak? Ada seorang perempuan yang baik di Kota Yerikho. Dia pernah menyelamatkan dua orang pengintai. Siapakah namanya? Ya, namanya Rahab. Oleh Kerana Rahab menyelamatkan nyawa pengintai-pengintai itu, Yosua membawa keluarga Rahab dengan selamatnya ke tempat tinggal orang Israel.

 

Jadilah Anak Yang Taat

Adik-adik, siapakah yang menolong orang Israel memenangi pertempuran itu? Siapakah yang menyebabkan tembok yang kuat itu runtuh? Pandai sekali, adik-adik semua. Betul, Tuhan yang maha kuasa membuat tembok itu runtuh dan memberi kemenangan buat umat Israel. Mengapa Tuhan menolong umat Israel? Oh! Oleh kerana umat Israel mentaati firman dan perintah Tuhan. Dalam alkitab (Keluarkan Alkitab) ada memberitahu kita banyak perkara, banyak kisah tentang Tuhan menolong orang. Selagi kita anak yang taat, Tuhan Benar akan menolong kita pada bila-bila masa. Mari kita baca Alkitab bersama-sama dan lihat bagaimana alkitab memberitahu kita cara menjadi anak yang taat. Sila lihat 1 Petrus 5:5-6. (Guru membaca dahulu, kemudian kanak-kanak membaca bersama dan akhirnya membaca secara individu mengikut giliran). Dua ayat ini menyuruh kita mentaati Tuhan, mentaati ibu bapa dan guru, adakah anak-anak sanggup melakukannya? Hmm! Cikgu tahu adik-adik pasti boleh melakukannya.

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama aktiviti: Mengepung tembok
  2. Objektif aktiviti:
    1. Mengetahui bahawa tembok kota runtuh adalah perbuatan besar Tuhan.
    2. Mengetahui bahawa berdoa dan bersandar kepada Tuhan yang maha kuasa pada bila-bila masa.
  3. Persediaan sebelum aktiviti: Satu kotak (kira-kira satu setengah kaki persegi.) Sebelum aktiviti guru akan membuat beberapa bola kertas (kira-kira 6 bola untuk setiap adik) dan menulis nama adik itu.
  4. Kandungan aktiviti:
    1. Guru memilih enam orang adik untuk saling berpegangan tangan (tangan harus lurus.) Bentuk bulatan untuk membuat dinding manusia, letakkan kotak/karton di tengah dan biarkan adik-adik yang lain berada di luar bulatan.
    2. Adik-adik di luar bulatan mengambil salah satu bola kertasnya sendiri dan berjalan ikut bunyi piano guru (Boleh main kidung kanak-kanak) Beratur dan berjalan mengelilingi bulatan (dinding kota). Sebaik sahaja muzik berhenti baling bola kertas ke dalam kotak. Ambil enam bola kertas berturut-turut untuk enam kali (jalan keliling dinding enam kali). Lihat adik mana yang paling banyak menjaringkan gol.
    3. Dalam aktiviti ini, adik-adik boleh berlakon menjadi dinding secara bergilir-gilir.
  5. Perhatian: Semasa permainan ini dilangsungkan, guru hendaklah memperkenalkan adik-adik yang membuat tembok ini iaitu tembok manusia iaitu tembok kota.

Imam meniup sangkakala dan orang ramai bersorak dan tembok Kota Yerikho runtuh.