Mesej Untuk Guru:
Guru-guru yang dikasihi, boleh dikatakan Daniel ialah teladan yang terbaik bagi umat Kristian. Dengan identitinya sebagai seorang Yahudi yang ditawan, dia disertai tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat kerana berpegang pada perintah Tuhan. Dia amat berhikmat kerana dia telah benar-benar melaksanakan ungkapan “permulaan hikmat adalah takut akan Tuhan”. Dia tidak melepaskan iman kepercayaannya walaupun terdapat keselesaan di depan mata, sambutan istimewa kerana terpilih masuk ke istana dan tekanan daripada keadaan sekeliling. Boleh dikatakan bahawa dia adalah pemercaya yang amat memahami “sukacita dan murka Tuhan”. Dia telah menjadi saksi kita, bahawa dengan pilihannya untuk “takut akan Tuhan”, maka keadilan dan kebenaran Tuhan telah menjadi “permulaan hikmat” bagi Daniel. Oleh yang demikian, mestilah kita ingatkan anak-anak, bahawa demi mendapat hikmat, kita harus bermula dengan bersandar kepada Tuhan seperti Daniel.
Nas Alkitab: Daniel fasal 1
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Belajar mendengar kata-kata ibu bapa dalam setiap perkara dalam kehidupan harian.
Ayat Hafalan:
Kerana takut akan Tuhan orang menjauhi kejahatan (Amsal 16:6)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Buah-buahan, gambar atau model makanan.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Terima kasih kepada Tuhan kerana memberi kami makanan yang berkhasiat. Kami harus menyukai semua makanan tetapi makanan yang dipersembahkan kepada berhala tidak boleh kami makan. Kami juga tidak boleh makan darah. Kami mahu mengingati kata-kata-Mu. Syukur kepada Tuhan. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
(Keluarkan makanan, seperti epal). Adik-adik, apakah ini? (Biar kanak-kanak menjawab. Kemudian guru letak di depan hidung dan membuat aksi menghidu). Wah, wanginya! Syukur kepada Tuhan kerana telah menciptakan epal yang begitu enak dan berkhasiat. Ada lagi… (Sebutkan makanan di tangan, berikan 3-4 contoh). Adik-adik, apakah yang akan terjadi selepas kita makan ini? (Biar anak-anak bersuara). Betul! Kita akan menjadi lebih tinggi, kuat dan sihat. Dari mana datangnya makanan ini? (Biar anak-anak bersuara: dibeli oleh ibu, ditanam oleh petani, dicipta oleh Tuhan). Betul! Tuhan amat mengasihi kita. Mari kita berfikir, apa lagi yang telah Tuhan ciptakan sebagai makanan kita? (Biar anak-anak sebut jenis buah-buahan, sayur-sayuran, ikan (semuanya lebih daripada tiga jenis), dan lukiskan semua di papan tulis). Wah, Tuhan memberi kita begitu banyak makanan yang boleh dimakan! Maka apa yang harus kita lakukan? Betul, mari kita sama-sama (sambil membuat aksi) jabatkan tangan, pejamkan mata, sama-sama kita sebut mengikut cikgu, “Ya Tuhan! Engkau sungguh baik! Aku mencintai Engkau!”
Hari ini cikgu akan menceritakan suatu kisah yang ajaib. Ada empat orang yang mendengar kata-kata Tuhan. Mereka tidak menjadi kurus walaupun mereka tidak makan makanan yang enak sebaliknya lebih cantik pula. Mari kita mulakan cerita sekarang.
Daniel Dan Tiga Orang Kawan Dipilih Masuk Ke Istana
Dalam kitab Perjanjian Lama, ada seorang yang sangat bijak bernama Daniel. Daniel dan tiga orang kawannya (adik-adik, jumlah ada berapa orang? Betul, empat orang) telah dibawa ke istana oleh orang negeri Babel. Mengapa? Kerana orang Israel tidak mendengar kata-kata Tuhan, maka Tuhan membiarkan suatu negeri yang bernama Babel semakin berkuasa. Raja Babel sangat baik terhadap mereka kerana dia mahu orang Israel bekerja untuknya. Apabila bangsa Israel melihat ada orang Israel di dalam istana, mereka akan berfikir bahawa raja amat baik terhadap orang Israel, maka mereka akan mendengar kata-kata raja. Semua orang yang terpilih adalah yang cantik dan berhikmat. Demikianlah Daniel telah dipilih ke istana. Setelah Daniel dan tiga orang kawannya tiba di istana, raja Babel mengatur mereka tinggal di dalam istana yang mewah, memberi mereka pakaian yang cantik dan memberi mereka makanan enak yang dimakan oleh raja. Adik-adik, cuba kamu fikir, apakah makanan enak seperti yang dimakan oleh raja? (Biar anak-anak bersuara, sebutkan makanan enak yang menimbulkan keinginan untuk makan, menghasilkan perasaan bahawa makanan istana mempunyai godaan yang amat kuat). Raja juga minum arak yang paling harum (beri penerangan bahawa orang pada zaman Perjanjian Lama mempunyai adat minum arak anggur). Bukan itu sahaja, raja Babel juga menggunakan banyak wang untuk menjemput guru-guru mengajar mereka pengetahuan dan belajar bahasa negeri-negeri lain (seperti ibu bapa membayar yuran untuk kita belajar bahasa asing. Contohnya: Bahasa Inggeris), supaya mereka boleh bekerja untuk raja pada masa kelak.
Menolak Makanan Raja
Semua orang yang terpilih ke istana sangat gembira. Mereka dapat tinggal di dalam istana yang indah, ada pakaian yang cantik, dapat belajar bahasa asing. Perkara yang paling baik adalah, apabila tiba waktu makan pada setiap hari, mereka ada banyak makanan enak yang memenuhi permukaan meja. Ada… (ulang jenis makanan yang disebut tadi) Ya, (jilat lidah, telan air liur) sungguh enak sekali! Semua orang makan dengan gembira sekali! Tetapi ada empat orang yang aneh. Mereka tidak mahu makan sedikitpun. Siapakah empat orang ini? (Biar anak-anak bersuara). Betul, kerana Babel ialah suatu negeri yang menyembah berhala di mana mereka tidak menyembah kepada Tuhan. Maka Daniel dan kawan-kawannya ingat akan kata-kata Tuhan: tidak boleh makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala dan juga makanan yang Tuhan kata tidak boleh dimakan. Lalu mereka berkata kepada orang yang menghantar makanan, “Mohon maaf, kami tidak makan makanan yang diberi oleh raja, juga tidak minum arak yang diberi oleh raja. Sila berikan kami sayur-sayuran dan air kosong untuk diminum.” Jawab orang itu, “Ah, tidak boleh begitu! Kamu hanya makan sayur-sayuran dan minum air, pasti kamu lebih kurus daripada yang lain. Jikalau raja mendapat tahu, pasti aku akan dimarah.” Daniel berkata, “Tolonglah kami! Apa kata, engkau biarkan kami makan sayur-sayuran selama sepuluh hari. Jikalau sepuluh hari kemudian kami lebih kurus daripada yang lain, kami akan mendengar kata engkau dan makan makanan yang diberi oleh raja. Bagaimana?” Orang itu fikir sejenak: Ya, bagus juga cara ini. Maka dia mengangguk kepala dan berkata, “Baiklah! Mari kita buat perjanjian dengan mencangkukkan jari kelingking kita. (Hulurkan jari kelingking dan membuat perjanjian dengan empat orang kanak-kanak sambil berkata: “Janji ya!” kemudian kembali ke tempat asal dan teruskan cerita). Kita akan lihat keputusan sepuluh hari kemudian!”
Muka Masih Cantik dan Gemuk
Sepuluh hari kemudian, orang yang menyediakan makanan itu pergi menjenguk Daniel dan tiga orang kawannya. Fikirnya di dalam hati, sudah sepuluh hari empat orang ini tidak makan daging. Sudah tentu mereka kurus, muka mereka kusam seperti sayur dan kelihatan hodoh. Ah, tengoklah kalau mereka berani lagi tidak makan makanan raja! Namun adik-adik, orang itu sangat terkejut ketika dia melihat Daniel dan kawan-kawannya. Apakah yang terjadi? Hai, tidak disangka muka empat orang ini kemerah-merahan, mereka lebih tinggi, kuat dan bersemangat dan lebih cantik daripada yang lain. Dia berasa hairan sekali! Adik-adik, bagaimanakah hal ini berlaku? (Biar kanak-kanak bersuara). Betul. Tuhan menolong mereka kerana mereka mendengar kata-kata Tuhan. Mereka tidak makan benda yang dipersembah kepada berhala, maka Tuhan memberi mereka khasiat supaya mereka lebih sihat daripada yang lain.
Kesimpulan
Adik-adik, semasa kamu pergi ke rumah saudara-mara atau di sekolah, kamu akan jumpa orang yang tidak percaya kepada Tuhan. Pernahkah kamu melihat apa-apa makanan mereka yang kita tidak boleh makan? (Biar kanak-kanak bersuara. Ambil peluang ini untuk beritahu kanak-kanak makanan yang kita dilarang makan). Betul, tidak boleh makan nasi dan sayur yang dipersembahkan kepada berhala (jamuan tokong/kuil/surau), tidak boleh makan benda yang dibahagikan kepada kamu (yang diambil daripada meja persembahan berhala), seperti biskut yang telah dipersembahkan kepada berhala (sebut beberapa contoh makanan yang selalu digunakan untuk dipersembahkan kepada berhala), daging ayam, daging lembu, daging babi, ikan, jus, maggi, gula-gula… semuanya tidak boleh dimakan. Kita juga tidak boleh makan darah, seperti darah babi atau itik di kedai makan (ketulan berbentuk tauhu berwarna perang adalah darah). Kuih darah babi (berbentuk leper, berwarna hitam, dicelup dengan serbuk kacang tanah) yang dijual di tepi jalan juga kita tidak boleh makan. Semua makanan yang dilarang ini adalah makanan yang ditentukan oleh Tuhan dan kita mesti ingat. Apabila orang lain memberi kita makanan tersebut, kita harus berkata, “Terima kasih, saya percaya kepada Yesus, jadi saya tidak makan darah dan makanan yang telah dipersembahkan.” Sekarang cikgu mahu lihat, adakah kamu tahu mengatakan tidak. (Bangun, ambil satu biskut atau gula-gula dan berpura-pura ia telah dipersembah kepada berhala. Pergi ke hadapan setiap kanak-kanak dan tawarkannya kepada mereka. Biar kanak-kanak belajar menyebut perkataan tadi sebagai tanda menolak tawaran itu). Wah! Semua kamu sudah pandai. Sangat bagus! Adik-adik, kalau dengan tidak sengaja kamu termakan benda yang dipersembahkan kepada berhala, apa yang harus kamu lakukan? Ya, jangan risau. Kalau kamu mengetahuinya selepas makan separuh daripada makanan itu maka yang lebih itu jangan lagi dimakan. Kemudian cepat-cepatlah berdoa dan beritahu Tuhan, “Minta maaf, Tuhan Yesus. Saya telah termakan benda yang dipersembahkan kepada berhala dengan tidak sengaja. Mohon Engkau memaafkan saya. Saya akan lebih berjaga-jaga kelak. Amin!” Oleh itu, pada hari kelak kalau kita nampak ada orang sedang menyembah berhala, dan kebetulan orang itu hendak memberi makanan kepada kita, kita harus bertanya kepadanya, “Boleh saya tanya? Adakah makanan ini telah dipersembahkan? Saya percaya kepada Yesus, tidak boleh makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala.” Kita menjadi anak baik yang mendengar kata-kata Tuhan Yesus, maka Tuhan akan melindungi kita seperti melindungi Daniel.
Minggu depan cikgu akan menceritakan tentang raja telah mendapat sebuah mimpi yang aneh dan Daniel akan ditangkap kerana raja hendak membunuhnya. Mengapakah raja mendapat mimpi aneh tetapi Daniel harus dibunuh? Minggu depan mari kita sama-sama mendengar cerita menarik ini.