BAB 7: ELIA NAIK KE SYURGA
Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, Elia terangkat ke syurga. Dia merupakan salah seorang tokoh Alkitab yang tidak mati dan terus naik ke syurga (Seorang lagi ialah “Henokh” yang dicatatkan dalam Kej 5:22-24). Sesudah itu, Elisa menggantikan kerja Elia. Nama Elisa bermaksud “Keselamatan Tuhan”. Walaupun kedua-dua guru dan murid ini mempunyai tugas yang sama, iaitu membangunkan bangsa Israel untuk kembali ke pangkuan Tuhan, tetapi kita boleh lihat bahawa kedua-dua mereka mempunyai sifat dan sikap kerja yang berlainan. Elia merupakan seorang nabi yang lebih rendah hati dan bersifat pasif. Elisa pula, bersifat lebih insiatif dan membenci dosa. Menurut (2 Raja 2: 23-24), Elisa diejek oleh sekumpulan kanak-kanak dengan berkata: “Naiklah botak!” Ini seakan-akan membawa maksud: “Gurumu telah naik ke syurga. Mengapakah engkau, si botak tidak mengikutinya?” Sifat kanak-kanak yang menghina Tuhan ini menyebabkan Elisa berasa sangat marah dan mengutuki mereka. Akibatnya, empat puluh dua orang kanak-kanak itu dicederakan oleh beruang (Menurut bahasa asal, “mencabik”, tidak bermaksud membunuh). Namun, selepas itu, menurut (2 Raja 8 : 11-15), kita tahu bahawa Elisa menangis di hadapan Hazael apabila dia mengetahui kekejaman yang akan dilakukan oleh Hazael pada masa kelak. Walau bagaimanapun, hikmat yang terbesar baginya ialah dia memahami kehendak Tuhan. Ketika Elia melemparkan jubahnya ke atasnya, dia segera faham bahawa itu ialah panggilan Tuhan. Apabila Elia bertanya kepadanya, apakah yang diingininya daripada Elia, dia hanya meminta kekuatan rohani. Ini disebabkan dia tahu bahawa sebagai seorang nabi, kekuatan rohanilah satu-satunya perkara yang diperlukan. Kita juga adalah pekerja Tuhan seperti nabi. Semoga kita juga mempunyai hikmat rohani untuk memahami kehendak Tuhan supaya kita boleh melakukan banyak kerja pelayanan dan meneladani Elisa.
Nas Alkitab: 2 Raja-raja fasal 1 – 2
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Mengetahui bahawa Elia diangkat ke syurga tanpa melalui kematian.
Ayat Hafalan:
Mata Tuhan tertuju kepada orang-orang benar (1 Petrus 3:12)
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, Engkau ialah Tuhan yang Mahakuasa. Engkau boleh menjadikan aku bijak dan berani. Biarpun di mana-mana sahaja, aku mahu sentiasa berdoa untuk memberitahu segala isi hatiku agar Engkau menjadi kawan baikku. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik, pada minggu lalu, cikgu telah menceritakan seorang ratu yang jahat. Dia bukan sahaja tidak menuruti perintah Tuhan tetapi membunuh. Siapakah namanya? Betul, Izebel. Kebun anggur siapakah dirampasnya disebabkan sifat tamak? Betul, kebun anggur Nabot. Dia telah menganiaya Nabot sehingga mati. Kejam sekali. Akhirnya, apakah kesudahannya? Dia mati dan dagingnya dimakan anjing. Sangat kasihan. Oleh itu, kita harus sentiasa berdoa agar Tuhan Yesus akan mengingatkan kita supaya berbuat perkara yang baik dan diberkati Tuhan. Baiklah, pada hari ini, cikgu akan meneruskan cerita nabi Elia.
Elisa Mengikuti Elia
Adik-adik, masih ingatkah Elia mempunyai seorang murid? Siapakah namanya? Betul, Elisa. (Boleh bertanya kepada kanak-kanak secara berulang, siapakah guru? Eli “a”. Siapakah murid? Eli “sa” supaya mereka dapat membezakannya dengan jelas). Pada setiap hari, Elisa mengikuti nabi Elia untuk belajar menjadi seorang nabi yang baik. Elisa ialah seorang murid yang baik. Dia belajar dengan bersungguh-sungguh seperti adik-adik semua. Jadi, dia telah belajar banyak pengetahuan. Nabi Elia sangat menyukainya.
Pada suatu hari, Tuhan memberitahu nabi Elia bahawa dia akan diangkat ke rumah di syurga dalam angin badai. Nabi Elia berkata kepada Elisa: “Baiklah tinggal di sini, sebab Tuhan menyuruh aku ke Betel.” Jawab Elisa: “Tidak! Tidak! Aku akan mengikutimu!” Lalu mereka berdua pergi ke Betel.
Menyeberangi Sungai Yordan, Elisa Memohon Kuasa
Nabi Elia berkata kepada Elisa: “Baiklah tinggal di sini, sebab Tuhan menyuruh aku ke sungai Yordan.” Elisa menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata: “Aku tidak akan meninggalkan engkau.” Lalu mereka berdua meneruskan perjalanan lagi. Ketika sampai ke sungai Yordan, nabi Elia menanggalkan jubahnya untuk memukul air sungai. Terbahagilah air itu. Mereka berdua menyeberang sungai di atas tanah yang kering seperti orang Israel menyeberangi Laut Teberau.
Setelah itu, nabi Elia berkata: “Mintalah apa yang hendak kulakukan untukmu sebelum Tuhan mengangkatku pulang ke rumah di syurga.” Setelah berfikir, Elisa menjawab: “Biarlah kiranya aku mendapat dua bahagian dari rohmu.” (Maksudnya, mohon Tuhan memberikannya kuasa seperti gurunya dan dapat melakukan lebih banyak perkara untuk Tuhan). Elia berkata: “Baik sekali permintaanmu. Namun, ini terpulang kepada kehendak Tuhan. Sebentar nanti, jika engkau dapat melihat aku terangkat ke syurga, permintaanmu akan terjadi.”
Elia Naik ke Syurga, Elisa Memperolehi Kuasa
Pada waktu itu, muncul kereta berapi dan kuda berapi. Naiklah Elia ke syurga dalam angin badai. Elisa melihat sambil berteriak: “Bapaku, bapaku!” Tidak lama kemudian, Elia tidak kelihatan lagi. Selepas itu, Elisa melihat jubah Elia terjatuh ke tanah, lalu Elisa pun mengambilnya dan kembali ke sungai Yordan. Dia mengikuti cara nabi Elia memukul jubah itu ke permukaan air sungai. Wah, sungguh ajaib sekali, air sungai itu terbelah lagi! Kuasa nabi Elia benar-benar telah diturunkan kepada Elisa. Ada orang datang mencari Elisa dan berkata: “Ya nabi, air di Yerikho tidak baik sehingga sayur-sayuran dan buah-buahan tidak dapat tumbuh dengan baik. Apakah yang harus kami lakukan?” Elisa menyuruh orang mengambil sebuah pinggan baharu dan letakkan garam di dalamnya. Kemudian, pergilah Elisa ke mata air dan melemparkan garam itu ke dalam sambil berdoa kepada Tuhan: “Beginilah firman Tuhan, telah Kusihatkan air ini, maka tidak akan terjadi lagi olehnya kematian atau sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak baik.” Akhirnya, mulai hari itu, air itu telah menjadi sihat.
Kesimpulan
Adik-adik, setelah mendengar cerita tentang nabi Elia, adakah kalian juga ingin menjadi seperti nabi Elia, terbang ke syurga untuk melihat? Ya, Alkitab (keluarkan Alkitab) memberitahu kita bahawa di sana adalah suatu tempat yang sangat indah dan gembira! Malah, Allah Bapa kita juga tinggal di sana. Walaupun sekarang kita tidak melihat Tuhan, tetapi kita boleh selalu berbicara dengan Tuhan, serta menggunakan cara ini untuk mendapatkan pertolongan Tuhan. Adakah adik-adik tahu apakah caranya? (Doa) Ya, adik-adik memang pintar sekali! Tidak kira pada waktu siang atau malam, kita boleh berbicara dengan Tuhan; di sekolah atau dalam kenderaan, kita juga boleh berbicara dengan Tuhan. Kita boleh memberitahu hal yang menggembirakan dan menyedihkan kepada Tuhan. Asalkan kita ingin memberitahu segala perkara kepada Tuhan, maka Tuhan yang Maha Pengasih pasti akan mendengar doa kita dan menolong kita seperti Dia menolong Elia. Cuba fikirkan sekarang, adakah adik-adik mempunyai perkara yang memerlukan pertolongan Tuhan? (Biarkan kanak-kanak memberi jawapan dengan bebas). Harap adik-adik sentiasa ingat untuk berdoa. Pada minggu hadapan, nabi Elisa akan melakukan mukjizat lagi. Dia akan membuat minyak yang tidak habis-habis dituang. Kita jumpa minggu hadapan ya!