Nas Alkitab : Kejadian 11: 27 – 12: 9; Fasal 13
Ayat Bacaan : Kejadian 12: 1-4
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa Abraham mendengar firman Tuhan dan diberkati oleh Tuhan.
- Bersedia untuk menjadi kawan baik Tuhan dan percaya kepada firman Tuhan.
Ayat Hafalan :
Jika kita tidak setia, Dia tetap setia, kerana Dia tidak dapat menyangkal diri-Nya. (2 Timotius 2:13)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Susun atur kelas: Gambar gembala sedang menggembalakan kawanan domba.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Ya Bapa di syurga yang pengasih! Kami mengucap syukur kepada Engkau kerana Engkau melindungi kami dan mengasihi kami. Saya harus juga mengasihi abang, kakak, adik-adik dan rakan-rakan saya. Mohon Tuhan menolong saya agar menjadi anak yang baik, tidak berebut sesuatu dengan orang lain dan sanggup memberikan barang yang baik kepada orang lain. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Abraham Berpindah Sesuai Dengan Firman Tuhan
Ada seorang yang sangat beriman dan penuh dengan kasih, namanya “Abraham”. Mari kita sebut sama-sama : “Abraham”. Disebabkan dia menyembah Tuhan dengan iman dan kasih, maka Tuhan sangat menyukai Abraham dan menjadi kawan baik Abraham. Pada suatu hari, Tuhan berfirman kepada Abraham : “Jangan tinggal di sini, berpindahlah ke tempat yang baik yang akan Ku tunjukkan. Aku akan memberikan tempat itu kepadamu.”
Abraham mendengar perkataan itu lalu pergi dengan membawa isteri dan anak saudaranya, Lot. Ayah Lot telah meninggal dunia, namun Abraham menganggapnya seperti anak kandungnya sendiri dan sangat menyayanginya. Oleh itu, Abraham membawanya berpindah bersama-sama. Pada zaman itu, tidak ada kereta atau kereta api. Ketika mereka berpindah, mereka membawa kawanan lembu dan domba mereka dan berjalan perlahan-lahan. Mereka telah berjalan sangat jauh untuk sampai ke tanah Kanaan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Adik-adik, kita sama-sama sebut satu kali — Tanah Kanaan.
Abraham Mempersembahkan Korban
Ketika mereka tiba di tanah Kanaan, Tuhan berkata kepada Abraham : “Aku akan berikan tanah ini kepadamu dan anak-anakmu.” Abraham mendirikan mezbah di tempat itu untuk mempersembahkan korban, dia berdoa dan bersyukur kepada Tuhan. Lot yang tinggal bersama Abraham telah meningkat dewasa di situ. Dia juga mempunyai kawanan lembu dan domba sendiri serta orang-orang yang membantunya menggembalakan domba. Lot juga memiliki khemah sendiri sebagai tempat tinggal. Adik-adik, apakah itu khemah? Khemah adalah kain yang sangat besar dan tebal, yang boleh dipasang untuk dijadikan sebagai tempat tinggal. Ketika berpindah, kain ini boleh dibuka, dipindahkan dan dipasang semula.
Tuhan memberkati Abraham sehingga lembu dan dombanya yang dilahirkan semakin banyak. Adik-adik, apakah yang dimakan oleh anak lembu dan anak domba untuk membesar? (Biar kanak-kanak memberi pandangan). Ya, Betul! Anak lembu dan anak domba harus makan rumput untuk membesar. Abraham mempunyai banyak anak lembu dan anak domba, jadi mereka memerlukan banyak rumput untuk diberi makan kepada anak lembu dan domba. Lot juga memiliki banyak lembu dan domba, jadi mereka juga memerlukan banyak rumput. Kadang-kadang, apabila semua rumput di sini sudah habis dimakan, mereka akan berpindah ke padang rumput lain untuk menggembalakan domba.
Hamba Berkelahi Kerana Merebut Padang Rumput
Pada suatu hari, hamba Abraham membawa kawanan lembu dan domba ke suatu padang rumput yang besar. Sementara lembu dan domba makan dengan gembira, gembala-gembala Lot juga datang dengan membawa kawanan lembu dan domba mereka. Hamba Abraham berkata kepada gembala Lot dengan sangat marah : “Kami menjumpai padang rumput ini terlebih dahulu, kamu harus bawa lembu dan domba kamu ke padang rumput yang lain!” Gembala Lot juga berkata dengan sangat marah : “Kami yang menjumpai padang rumput ini terlebih dahulu, kamu harus bawa lembu dan domba kamu ke tempat lain!” Gembala Abraham dan gembala Lot pun berkelahi kerana merebut padang rumput.
Abraham Menyerahkan Tanah Sebelah Timur Kepada Lot
Ada orang memberitahu Abraham dengan segera : “Gembala kamu dan gembala Lot sedang bertengkar kerana merebut padang rumput untuk lembu dan domba.” Abraham adalah seorang yang pengasih dan baik hati. Dia sangat sedih ketika mendengar bahawa gembala-gembala mereka bertengkar. Dia mencari Lot dan berkata kepada Lot : “Lot! Janganlah kiranya ada perkelahian antara aku dan engkau, dan antara para gembalaku dan para gembalamu, sebab kita ini kerabat.” Lalu Abraham membawa Lot naik ke atas gunung dan melihat ke bawah. Mereka dapat melihat kawasan yang luas dan jauh. Abraham berkata : “Lot! Lihatlah, tanah yang Tuhan berikan kepada kita sangat besar dan begitu baik. Sekiranya kamu suka bahagian timur, aku akan pergi ke bahagian barat. Kita akan mempunyai padang rumput yang lebih luas untuk dimakan oleh lembu dan domba, jadi gembala kita tidak akan berkelahi lagi!”
Lot melihat bahawa ada sungai di tanah sebelah timur dan terdapat banyak rumput untuk dimakan oleh anak lembu dan anak domba. Lot berkata kepada Abraham : “Pak cik! Saya suka bahagian timur.” Abraham juga tahu bahawa bahagian timur lebih baik, tetapi dia amat menyayangi Lot, jadi dia berkata : “Lot! Sekiranya engkau suka bahagian timur, berpindahlah ke timur! Saya akan berpindah ke bahagian barat. Semoga Tuhan memberkati kamu dengan damai sejahtera!”
Lot berkata kepada pak ciknya dengan gembira : “Damai sejahtera dan jumpa lagi!” Kemudian dia membawa gembala-gembala, lembu dan dombanya berpindah ke bahagian timur yang mempunyai banyak padang rumput.
Adik-adik, Abraham memberi tempat yang baik kepada Lot dan dia sendiri berpindah ke tempat yang tidak baik. Adakah kamu rasa bahawa Abraham adalah seorang yang bodoh? (Biar kanak-kanak menyuarakan pendapat mereka).
Para gembala Abraham tidak puas hati ketika melihat Lot berpindah ke tempat yang baik. Mereka berfikir : “Abraham adalah pak cik Lot, sepatutnya memilih bahagian timur yang mempunyai banyak rumput dan menyuruh Lot berpindah ke bahagian barat yang mempunyai sedikit padang rumput sahaja, mengapakah dia memberikan tempat yang baik kepada Lot? Sayang sekali! Kita terpaksa pergi ke bahagian barat yang berbatu-batu, geramnya!” Abraham tahu bahawa para gembalanya tidak berpuas hati, jadi dia menghibur mereka : “Janganlah marah, walaupun hanya sedikit padang rumput di sebelah barat, dan kamu harus lebih bekerja keras, tetapi Tuhan pasti akan menjaga dan menolong kita. Ayuh! Mari kita berpindah dengan gembira!”
Tuhan Memberkati Abraham
Tuhan yang di syurga melihat bahawa Abraham begitu pengasih, dan telah memberikan tempat yang baik kepada Lot. Tuhan sangat gembira dan lebih menyukai Abraham. Tuhan memberkatinya sehingga banyak rumput tumbuh di tanah berbatu-batu di sebelah barat supaya lembu dan domba dapat makan dengan kenyang. Lembu betina dan domba betina juga melahirkan banyak anak. Setelah anak lembu dan anak domba makan rumput, ia membesar dengan cepat menjadi lembu dan domba dewasa. Maka lembu dan domba Abraham semakin bertambah banyak dan semuanya gemuk-gemuk. Dia telah menjadi seorang yang sangat kaya. Tuhan tahu bahawa Abraham tidak mempunyai anak lelaki. Tuhan berjanji kepada Abraham bahawa dia akan mendapat seorang anak lelaki, anak cucunya akan menjadi banyak seperti bintang di langit dan pasir di pantai. Adik-adik, dapatkah kamu mengira bintang di langit? Dapatkah kamu mengira pasir di pantai? Ah! Abraham begitu gembira sekali setelah mendengar pemberkatan Tuhan!
Sesi Aktiviti :
- Nama Aktiviti : Saya Suka Makan Buah-buahan
- Objektif Aktiviti : Kanak-kanak merasai kasih Abraham melalui aktiviti ini, dan tahu bahawa harus saling mengasihi dan bertoleransi ketika bergaul dengan orang lain.
- Persediaan sebelum aktiviti : Buku teks pelajar, pensel warna.
- Isi kandungan aktiviti :
- Warnakan buah-buahan terlebih dahulu.
- Gunakan pensel warna untuk bulatkan buah-buahan yang ingin diberikan kepada orang lain.
- Guru kemudian menerangkan prinsip bertoleransi berdasarkan jawapan pelajar.
- Perhatian : Secara prinsipnya, bulatkan satu daripada setiap jenis buah-buahan. Sekiranya pilihan kanak-kanak berdasarkan jenis kesukaan sendiri dan bukan berdasarkan saiz, guru boleh memberi penjelasan dengan ajaran “jangan berikan apa yang saya tidak ingini kepada orang lain”.