BAB 7 : PERSEMBAHKAN YANG TERBAIK

Nas Alkitab : Mar 12 : 41 – 44; Im 22 : 17 – 25; Mal 1 : 6 – 8; Kel 3 : 19; Kej 4 : 4, 22 : 2

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mengetahui bahawa Tuhan Yesus berkenan dengan persembahan janda kerana dia mengasihi Tuhan.
  2. Jadilah anak yang dikasihi Tuhan: (3) Dapat menyatakan semangat memberi persembahan

 

Ayat Hafalan :

… Kamu telah memperolehnya dengan cuma-cuma, karena itu berikanlah pula dengan cuma-cuma (Mat 10 : 8).

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar pengajaran dan pembelajaran. (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru.)

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada  Tuhan di syurga, Engkau memberi kami udara segar untuk pernafasan kami dan makanan yang mencukupi untuk dimakan pada setiap hari. Mohon Tuhan bantu kami mengingati kasih-Mu yang agung agar kami bersedia mempersembahkan apa yang kami hargai kepada-Mu. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Pada zaman dahulu, cara orang menyembah Tuhan di Bait Suci tidak banyak bezanya dengan cara kita menyembah Tuhan sekarang. Adik-adik, ingatkah tidak situasi  Tuhan Yesus pergi ke Bait Suci untuk menyembah Tuhan ketika dia berusia dua belas tahun? (Kanak-kanak menjawab, guru boleh beri jawapan yang lengkap). Ya, Tuhan Yesus mendengar kebenaran dengan penuh perhatian. Kaedah apakah yang kita gunakan untuk menyembah Tuhan pada hari ini? (Kanak-kanak menjawab: menyanyi, berdoa, mendengar khotbah, dan memberi persembahan).

 

Ramai Orang Memberi Persembahan

Adik-adik, semasa kamu datang ke kelas pendidikan agama, ibu bapa  memberi wang persembahan kepada kamu. Mengapa? (Kanak-kanak menjawab dan guru tidak memberi komen). Ya, jawapan kamu tepat sekali. Wang yang kamu persembahkan kepada gereja adalah untuk membeli buku teks, membina rumah ibadat, dan membantu keluarga yang miskin … dan sebagainya. (Guru memberikan contoh berdasarkan situasi sebenar gereja).

Sebenarnya, persembahan bukanlah bergantung kepada jumlah wang yang dipersembahkan tetapi bergantung kepada hati kita; apakah kita rela memberikan wang persembahan ini kepada Tuhan atau tidak.

 

Dua Peser Janda

Pada hari ini, guru akan menyampaikan  sebuah kisah benar yang tercatat di dalam Alkitab.  Pada suatu hari, Tuhan Yesus mengajar orang-orang di Bait Suci. Setelah selesai menyampaikan firman, Dia duduk di sebelah kotak persembahan untuk berehat. Ramai orang kaya datang dan beberapa orang daripada mereka membawa dompet  wang yang besar di tangan sambil mengayun tangan dengan harapan dapat menarik perhatian orang lain tentang sumbangan wangnya yang banyak. Mereka memasukkan wang ke dalam peti persembahan dengan sangat perlahan supaya duit syiling dapat mengeluarkan bunyi ketika syiling jatuh ke dalam peti. Selepas itu mereka pun beredar dengan bangga.

Ada juga orang mengeluarkan  wang yang banyak dari poket mereka, tetapi hanya mengambil sebahagian daripadanya untuk dimasukkan ke dalam peti persembahan. Pada saat ini, Tuhan Yesus melihat seorang janda memakai pakaian yang compang-camping ( buruk dan lusuh) berjalan ke arah-Nya dengan kepalanya tunduk ke bawah. Dia dengan segan memasukkan  dua pesernya yang tinggal ke dalam peti persembahan dan beredar dengan senyap.

Tuhan Yesus tahu bahawa suami janda itu sudah mati. Oleh itu, dia harus bekerja keras mendapatkan sedikit wang untuk membeli makanan. Apa yang dia persembahkan pada hari ini merupakan kesemua wangnya. Tuhan Yesus berkata kepada murid-Nya: “Sesungguhnya janda miskin ini memberi lebih banyak daripada semua orang. Ini disebabkan orang kaya mempersembahkan wang yang lebih tetapi janda ini mempersembahkan ke semua hartanya.”

Cuba kita fikirkan, mengapa janda ini persembahkan dua peser yang masih tinggal? (Jemput kanak-kanak menjawab).

Kisah ini mengingatkan kita pada anak kecil yang menawarkan lima roti dan dua ekor ikan itu. Anak lelaki itu mengasihi Tuhan Yesus dan memberikan semua makan tengah harinya kepada Tuhan Yesus. Setelah Tuhan Yesus memberkati makanan ini, lima ribu orang dikenyangkan.

Dari sini kita tahu bahawa Tuhan Yesus tidak akan mengira berapa banyak yang kita persembahkan. Dia hanya melihat sama ada kita memberi dengan ikhlas dan bukan dengan paksaan. Setiap kali semasa sebilangan adik-adik datang ke gereja, mereka dengan senang hati persembahkan wang kepada Tuhan. Ada juga adik-adik yang berbohong kepada ibunya bahawa dia  ingin memberi  persembahan tetapi sebenarnya telah memasukkan wang tersebut ke dalam poket sendiri. Ada yang memberikan separuh kepada Tuhan dan separuh lagi untuk membeli barang. Pada pandangan kamu, yang mana satukah  persembahan yang ikhlas?

 

Nyatakan Semangat Persembahan

Apa maksud persembahan? (Kanak-kanak menjawab). (Persembahan adalah apa yang telah kita peroleh dari Tuhan untuk dipersembahkan kepada Tuhan). Bagaimana kita harus memberi persembahan? (Kita harus memberi dengan rela dan senang hati kerana Tuhan mengasihi kita dan kita juga mengasihi Tuhan).

Apa yang disukai Tuhan adalah milik atau kepunyaan kita yang terbaik. Bagaimana Tuhan menghendaki orang persembahkan korban dalam Perjanjian Lama? Yang dipersembahkan mestilah dengan penuh kerelaan. Pilih yang terbaik untuk dipersembahkan. Ini seperti lembu jantan, domba, atau kambing yang dipersembahkan tidak boleh cacat. Semua yang buta, cedera, ada ketumbuhan atau berpenyakit kulit tidak boleh dipersembahkan kepada Tuhan. Jelas di sini, kita mesti berikan yang terbaik kepada Tuhan Yesus. Ini adalah sama seperti kita membeli barang yang disukai ibu bapa untuk dihadiahkan kepada ibu bapa kita.

Namun, kita sering persembahkan bukan yang terbaik, yang sekunder atau yang buruk kepada-Nya. Contohnya ,Tuhan Yesus mempunyai hati yang sama dengan ibubapa kita. Dia berharap  kita mempunyai prestasi yang baik dan menjadi anak yang baik.  Ini adalah hadiah yang terbaik. Namun kita sering tidak jujur, sangat mementingkan diri sendiri, berlawan  dengan orang lain dan memarahi orang. Sifat-sifat buruk inilah yang kita persembahkan kepada Tuhan Yesus. Ia sama seperti mempersembahkan domba jantan yang berpenyakit kepada Tuhan. Adakah hadiah seperti ini akan diterima (disukai) oleh Tuhan?

 

Bagaimana Memberi Persembahan

Persembahan bukan hanya dalam bentuk wang sahaja. Kita juga dapat persembahkan barang lain kepada Tuhan. Pada suatu kali,  Yesus dilayan sebagai tetamu dalam sebuah keluarga di Betania. Adik-adik pasti ingat akan Marta, Maria dan Lazarus dalam keluarga ini. Ketika mereka melihat Tuhan Yesus di rumah mereka, mereka telah mempersembahkan sesuatu. Marilah kita fikirkan apakah dia itu.

Marta dan Maria tidak akan lupa bahawa Tuhan Yesus membangkitkan Lazarus, saudara mereka yang dikasihi. Mereka senantiasa bersyukur kepada Tuhan di dalam hati mereka. Semasa Tuhan Yesus datang ke rumah Marta, Marta menyediakan makan malam yang berlimpah. Pada suatu kali pula, Maria memegang sebotol minyak narwastu yang sangat mahal, yang dia akan guna semasa dia bernikah. Minyak itu disapu pada kaki Tuhan Yesus dan Maria mengelap kaki-Nya dengan rambutnya sendiri. Ruang itu penuh dengan keharuman (aroma) minyak itu. Ada tetamu membantah  dan berkata seorang kepada yang lain : “Mengapa membazir sedemikian? Minyak ini dapat dijual dengan  wang yang banyak dan boleh membantu orang miskin.” Tetapi Yesus berkata: “Biarkanlah dia … Ia telah melakukan mengikut kemampuannya.”

Apakah hadiah yang mereka berikan kepada Tuhan Yesus? (Marta mempersembahkan bakat dan waktunya kerana dia menyediakan makan malam untuk Tuhan. Maria mempersembahkan minyak narwastu yang paling berharga kepada Tuhan). Daripada kisah di atas, kita dapat ketahui bahawa kita boleh melayani Tuhan dengan masa, wang dan keupayaan (Bakat yang istimewa) kita. Alkitab memberitahu kita bagaimana Tuhan menghendaki kita memberi persembahan. Mari rujuk Alkitab: Mat 10 : 8. Jemput adik XXX membaca. “Kamu telah memperolehnya dengan cuma-cuma.” Ini bermaksud bahawa Tuhan mengasihi kita dan Dia memberi kita banyak secara cuma-cuma.

Benda apakah yang diberi Tuhan kepada kita secara percuma? (Jemput kanak-kanak menjawab). “Karena itu berikanlah pula dengan cuma-cuma.” Kalimat ini mengajar kita supaya mengasihi orang lain, mengasihi Tuhan  dan bersyukur kepada Tuhan tanpa sebarang syarat. Sekiranya kita mengasihi Tuhan,  kita akan memberi persembahan dengan rela dan mempersembahkan yang terbaik kepada Tuhan. Persembahan kita juga akan dikenankan oleh Tuhan.

 

▲ Persembahkan yang terbaik

Pada suatu hari, Tuhan Yesus duduk di Bait Suci dan memperhatikan ramai orang memberi persembahan. Sebilangan daripada mereka adalah orang kaya yang mempersembahkan wang yang banyak, dengan harapan mendapat perhatian orang lain. Yang lain pula mengeluarkan wang yang banyak tetapi hanya mempersembahkan sebahagian sahaja. Adik-adik, apa yang dapat kamu berikan kepada Yesus? Tulis/isi dalam ruang ini dan warnakan.