BAB 8: DAUD MENJADI RAJA

Mesej Untuk Guru:

Guru-guru yang dikasihi, seterusnya kita akan menceritakan tentang Daud bertemu dengan Nabal semasa melarikan diri, Daud menjadi raja Israel, Daud menunjukkan kasih kepada Mefiboset iaitu anak Yonatan, dan Absalom, anak derhaka Daud, serta Raja Salomo yang paling berhikmat meminta hikmat dan cerita membina Bait Suci.

Kitab suci mencatatkan sepasang suami isteri yang mempunyai “perbezaan” yang sangat ketara iaitu pasangan suami isteri Abigail yang bijak dan berpengertian dengan Nabal yang bodoh. Sewaktu Daud melarikan diri daripada Saul, dia pernah meminta pertolongan daripada Nabal. Akan tetapi permintaannya telah ditolak oleh Nabal yang membalas kebaikan dengan kejahatan. Nasib baik Abigail segera menyediakan makanan yang banyak dan memohon maaf kepada Daud dengan menggunakan kata-kata hikmat, barulah mereka terlepas daripada kecelakaan pembunuhan beramai-ramai! Ketika Nabal sedar daripada kemabukan perjamuan, ketika mendengarkan Abigail menceritakan segala perkara itu kepadanya, lalu terhentilah jantungnya dalam dada. Sepuluh hari sesudah itu, TUHAN memukul Nabal sehingga dia mati. Akhirnya, Daud mengambil Abigail yang bijak dan cantik itu menjadi isterinya.

Apakah yang dapat kamu pelajari daripada cerita ini? “Isteri yang cakap siapakah akan mendapatkannya? Ia lebih berharga daripada permata” (Amsal 31:10). Selain daripada itu, “Akal budi adalah sumber kehidupan bagi yang mempunyainya, tetapi siksaan bagi orang bodoh ialah kebodohannya” (Amsal 16:22). “Lidah lembut mematahkan tulang” (Amsal 25:15).

Dalam cerita ini, kita dapat melihat catatan Kitab Suci mengenai Nabal bahawa dia seorang yang kasar dan jahat kelakuannya. Tiada orang yang berani berbicara dengan dia. Nabal merupakan satu karakter Kitab Suci yang mempunyai ulasan yang negatif. Jika kita dapat menyampaikan cerita ini dengan cara lakonan drama, pastinya dapat memberikan suatu gambaran yang mendalam kepada adik-adik dalam kelas tadika!

Dalam bab ini, kita juga akan menceritakan tentang Saul dan Yonatan yang mati di medan peperangan serta Daud menjadi raja. Boleh dikatakan bab ini mempunyai isi kandungan yang panjang. Sila buat persediaan yang secukupnya. Semoga Tuhan membantu kamu!

 

Nas Alkitab: 1 Samuel fasal 25

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:

  1. Memahami bahawa Nabal dihukum oleh Tuhan kerana dia membalas kebaikan dengan kejahatan.
  2. Mencontohi Abigail yang bijak berbicara.

Ayat Hafalan:

Akal budi adalah sumber kehidupan bagi yang mempunyainya. (Amsal 16:22)

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

Doa:

Dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa: Bapa syurga yang Pengasih, ajarlah kami berkata-kata, mengucapkan kata-kata yang lemah lembut, supaya kami dapat menghiburkan orang lain. Ajarlah kami perkataan yang damai supaya kami dapat membawa kedamaian. Ajarlah juga kami perkataan hikmat supaya kami dapat membantu diri sendiri. Kami berterima kasih kepada-Mu kerana membantu guru kami agar dia dapat menyampaikan cerita dengan jelas. Haleluya, Amin!

Isi Pelajaran:

Pendahuluan

Adik-adik, adakah kamu suka mendengar ibu bercerita dengan suara yang lemah lembut? Adakah ibu akan bercerita sebelum kamu tidur? Bagaimanakah dengan suara ibu? Kita semua suka mendengar suara yang merdu dan lemah lembut. Namun, ada sesetengah orang yang berkata-kata dengan suara yang garang dan asyik marah. Adik-adik pasti akan menjauhi orang sedemikian, bukan? Hari ini, kita akan mempelajari kisah Daud sewaktu dia melarikan diri. Daud berasa sangat lapar. Maka dia teringat akan seorang kenalannya yang sangat kaya, iaitu Nabal yang mempunyai banyak domba. Sewaktu Daud menggembala domba-domba di tempat yang sama dengan Nabal, hamba Daud tidak pernah membuli hamba Nabal. Sebaliknya mereka melindungi hamba Nabal. Mereka dapat hidup secara aman. Oleh itu, Daud menyuruh hamba untuk pergi menanya khabar dan meminta sedikit makanan daripada Nabal.

Nabal Yang Ganas (boleh menggunakan cara lakonan berikut)

Pencerita : “Di dalam catatan Suci, Nabal seorang kasar, jahat kelakuannya dan kedekut!”
Hamba Daud : Selamat, Nabal. Tuanku Daud sampaikan salam kepadamu.
Nabal : “Tuan engkau? Daud? Siapakah Daud? Tidak pernah aku mendengar nama Daud.”
Hamba Daud : “Daud yang engkau kenali. Kita pernah menggembala domba bersama-sama! Kami menjaga hamba-hambamu dan melindungi mereka.”
Nabal : “Apa? tolonglah… cakap sembarangan sahaja”
Hamba Daud : “Berikanlah sedikit makanan kepada tuan kami, Daud, selamatlah engkau!”
Nabal : (ganas) “Siapakah Daud? Mengapakah aku perlu memberikan makananku yang berharga ini kepada orang yang aku tidak kenali? Sungguh membazir!”
Hamba Daud : “Ini... tuan kami...”
Nabal : “Lekas kamu beredar dari sini. Kalau tidak, aku tidak akan segan-segan mengambil  tindakan terhadap kamu.”
Pencerita : Hamba Daud segera balik dan melaporkan perkara itu kepada Daud.
Hamba Daud : “Tuan, Nabal bukan sahaja tidak memberikan makanan kepada kami, malah   dia berkata bahawa dia tidak mengenalimu dan mengusir kami.”
Daud : “Nabal sememangnya kacang lupakan kulit. Pada waktu dahulu, kita menjaganya dengan baik. Sekarang aku sedang melarikan diri dan memerlukan pertolongannya, dia pula melayan aku dengan cara sedemikian. Kamu masing-masing, sandanglah pedang. Aku ingin membalas Nabal dengan membunuh semua laki-laki yang ada padanya.”
Pencerita : Hamba Nabal pergi mencari isteri tuannya secara senyap. Isteri Nabal, Abigail ialah seorang isteri yang baik. Dia mendengar bahawa hamba Daud telah datang meminta makanan tetapi diusir oleh Nabal.
Abigail : “Celakalah! Suamiku seorang yang ganas dan garang telah bersalah terhadap Daud. Aku perlu cepat-cepat memohon maaf daripada Daud. Jikalau tidak, Daud pasti datang membalas dendam dan habislah kami sekeluarga!”
Abigail : “Cepat sediakan makanan yang paling sedap dan enak, kita akan pergi memohon maaf kepada Daud.”
Pencerita : Abigail dan hamba-hambanya bertemu dengan Daud. Abigail segera turun dari  keledainya lalu sujud menyembah di depan kaki Daud.
Abigail : “Tuanku Daud, janganlah engkau marah. Janganlah engkau mengindahkan Nabal, orang dursila itu.”
Daud : “Engkau ialah...”
Abigail : “Aku isteri Nabal. Biar aku sajalah yang menanggung kesalahan itu. Aku telah membawakan makanan yang paling sedap, makanlah dahulu. Kamu pasti sangat lapar, cepat makanlah. Cepat keluarkan roti yang wangi, minuman yang sedap dan daging kambing yang siap disembelih.”
Daud : “Baiklah, engkau seorang perempuan yang baik dan berhikmat. Aku maafkan Nabal. Pulanglah ke rumahmu dengan selamat.”
Abigail : “Terima kasih Daud, semoga Tuhan memberkatimu.”
Pencerita : Demikianlah Abigail yang bijak itu telah menyelamatkan semua laki-laki yang ada di rumah Nabal. Apabila Abigail sampai di rumah, dia melihat bahawa Nabal sedang meminum minuman keras bersama tetamunya sehingga mabuk. Maka dia tidak menceritakan apa-apa kepada Nabal. Pada keesokan pagi, ketika Nabal sudah hilang mabuknya, Abigail menceritakan segala perkara itu kepada Nabal. Selepas Nabal mendengar berita tersebut, dia hampir pengsan. Sesudah 10 hari, Tuhan memukul dia sehingga mati. Sesungguhnya kejahatan dibalas kejahatan!

Saul Dan Yonatan Mati Di Medan Peperangan

Setelah beberapa waktu, orang Filistin berperang dengan orang Israel. Raja Saul dan Yonatan turut berperang di medan peperangan. Semua orang membawa pedang dan tombak untuk membunuh musuh. Orang Filistin mengejar ketiga-tiga orang anak Raja Saul dan membunuh mereka. Salah seorang daripadanya ialah sahabat karib Daud iaitu Yonatan. Raja Saul juga terkena panah dan mengalirkan banyak darah. Dia berasa sangat sengsara, maka dia memilih untuk mencabut nyawanya di atas pedangnya sendiri. Apabila Daud mendapat khabar bahawa Raja Saul dan Yonatan mati di medan peperangan, dia berasa sangat sedih lalu mengoyakkan pakaiannya. Dia tidak berselera dan meratap untuk mereka. Malah dia menyanyikan nyanyian ratapan untuk memperingati Raja Saul dan sahabat karibnya, Yonatan.

Daud Menjadi Raja

Disebabkan Raja Saul telah meninggal dunia, maka tiada lagi orang yang memburu Daud. Maka berdoalah Daud kepada Tuhan, bolehkah saya tidak lagi merantau? Apakah saya boleh kembali ke Hebron di Yehuda? Tuhan mengabulkan doanya. Semua orang menghormati Daud, maka mereka pun mengurapinya menjadi raja! Status Daud berubah daripada seorang penggembala kecil kepada pahlawan yang membunuh Goliat, kemudian menjadi ketua pahlawan, selepas itu menjadi seorang pelarian dan kini menjadi raja orang Israel. Sememangnya perkara ini sesuatu yang ajaib! Tuhan berkenan kepada sikap Daud yang menghormati Tuhan, sering berdoa kepada Tuhan dan bersandarkan Tuhan untuk menewaskan musuhnya. Itulah sebabnya Kitab Suci menyebut Daud sebagai raja yang berkenan di hati Tuhan!

 

Kesimpulan

Adik-adik, adakah cerita Nabal, orang dursila ini sangat menarik? Daud juga baik kerana dia telah mendengarkan permintaan Abigail dan memaafkan Nabal dengan tidak membunuhnya. Sepanjang tempoh Daud melarikan diri, dia benar-benar hidup dalam kesukaran! Akhirnya, Daud telah menjadi raja. Minggu hadapan kamu akan mendengar cerita Daud sebagai seorang raja yang baik kerana dia seorang yang berkasih sayang dan murah hati. Oleh itu, adik-adik mesti datang ya!