Nas Alkitab : I Sam fasal 22 – II Sam fasal 9
Ayat Bacaan : Mat 18:21-22
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Daud dikenan Tuhan kerana tidak kisah tentang keganasan raja Saul tetapi berlaku ramah terhadap keturunannya.
- Menjadi seorang anak yang bersukacita.
- Boleh memaafkan kesalahan orang lain.
Ayat Hafalan :
Tetapi hendaklah kamu ramah seorang terhadap yang lain. (Ef 4:32)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan yang di syurga, kami bersukacita kerana Engkau memberi kami adik-beradik dan juga ramai kawan-kawan. Ya Tuhan! Kami mahu mendengar firman-Mu, mengasihi mereka dan tidak bergaduh dengan mereka, kami mahu saling mengasihi dan menjadi kawan yang baik. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik, dalam beberapa kelas yang lalu, kita pernah mendengar cerita tentang Daud dengan siapa? (Kanak-kanak mengemukakan pendapat). Yonatan dan Daud, walaupun mereka berdua adalah sahabat yang sangat baik, tetapi kerana raja Saul ingin membunuh Daud, maka Yonatan tidak berdaya untuk menolong Daud. Yonatan memohon Daud supaya menjaga keluarganya dengan baik apabila dia menjadi raja pada masa depan. Sudah tentu Daud berkata baiklah, sebab mereka berdua adalah kawan yang baik! Kemudian apabila raja Saul tidak membenarkan mereka bermain bersama, maka Yonatan mengucapkan: “Salam sejahtera, jumpa lagi” kepada Daud.
Daud Melarikan Diri
Dengan sedihnya Yonatan telah kembali ke kota. Dengan sedih juga Daud berjalan seorang diri melalui gunung yang tinggi dan hutan. Tidak lama kemudian dia mendapati sebuah gua lalu menyembunyikan diri di dalam gua itu supaya raja Saul tidak dapat mencarinya. Apabila semua saudara dan sahabat Daud mengetahui bahawa dia bersembunyi di dalam gua, mereka ingin membantunya dan mereka juga berpindah ke sini untuk tinggal bersama dengannya.
Daud Tidak Mencelakakan Saul
Sudah tentu raja Saul sangat marah apabila mengetahui Daud telah melarikan diri. Dia membawa ramai askar untuk mengejar dan membunuh Daud. Apabila Daud mendengar bahawa raja Saul membawa askar-askar untuk mencarinya, Daud segera melarikan diri ke gua yang lain. Ayuh! Adik-adik, mari kita menyembunyikan diri di dalam gua seperti Daud!
(Menyuruh semua kanak-kanak meletakkan kerusi di bawah meja dan duduk di lantai.) Shh!! (Letakkan jari telunjuk ke mulut). Lihat cikgu di sini dan jangan bercakap! Raja Saul sudah datang dengan membawa askar.Raja Saul berjalan sambil mencari-cari. Eh! Apa yang dicari oleh raja Saul? Rupa-rupanya raja Saul tiba-tiba ingin buang air besar. Tetapi mana ada tandas di luar kota ini? Raja Saul terus mencari-cari, akhirnya dia mendapati sebuah gua dan masuk ke dalam gua itu untuk buang air besar. Aduh! Malang betul, sebab Daud dengan saudara-mara dan kawan-kawannya pun bersembunyi di dalam gua ini! Nasib baik raja Saul hanya buang air besar dan tidak terlihat Daud dan orang-orang yang bersembunyi di dalam gua. Adik-adik, siapakah yang melindungi Daud? (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Ya! Baik sekali adik-adik. Ayuh! Mari kita bangun perlahan-lahan dan duduk, janganlah diketahui oleh raja Saul!
Pada masa itu, sahabat Daud berkata kepadanya dengan suara perlahan: “Cepat, bunuh dia dengan cepat.” Tetapi Daud adalah seorang yang penuh kasih dan juga menurut perintah Tuhan. Adik-adik, adakah kamu masih ingat? Dalam sepuluh hukum, Tuhan berfirman bahawa “jangan membunuh”. Jadi, Daud mengambil pisau dan cuma memotong secebis kain dari jubah raja Saul secara diam-diam. Hal ini langsung tidak disedari oleh raja Saul!
Raja Saul Rasa Bersalah Dan Pulang Ke Istana
Selepas raja Saul buang air besar, dia pun berdiri dan keluar dari gua. Tiba-tiba, dia terdengar ada orang memanggil: “Raja Saul! Raja Saul!” Dia menoleh ke belakang dan melihat. Eh, bukankah itu Daud? Kata Daud: “Raja, sewaktu beta buang air besar di dalam gua, kami telah melihat beta. Ada orang menyuruh aku membunuh beta, tetapi beta adalah raja yang diurapi oleh Tuhan. Aku menghormati dan mengasihi beta dan tidak sanggup membunuh beta. Aku hanya memotong secebis kain dari jubah beta. Nah! Lihatlah, inilah jubah beta.”
Apabila raja Saul melihat bahawa jubahnya benar-benar telah dipotong secebis, dia rasa bersalah terhadap Daud. Dia menangis sambil berkata: “Daud, engkau sangat baik! Aku telah bersalah terhadap engkau. Aku teringin membunuh engkau padahal engkau mengasihi aku. Aku tahu bahawa Tuhan menyertai engkau, Dia pasti akan menolong engkau menjadi seorang raja yang baik, jumpa lagi!” Kemudian raja Saul membawa askar-askarnya pulang ke istana.
Melepaskan Raja Saul Sekali Lagi
Daud dan pengikut-pengikutnya masih tinggal di dalam gua di luar kota dan menjalani kehidupan sebagai pelarian. Pada suatu hari, raja Saul datang lagi dengan membawa askar-askarnya untuk membunuh Daud. Pada waktu malam, Daud dan pengikutnya datang ke tempat tidur raja Saul dengan perlahan-lahan dan senyap. Pengikut Daud melihat raja Saul dan panglimanya Abner sedang tidur nyenyak, lalu berkata kepada Daud: “Ini peluang yang baik, mari kita bunuh mereka semua!” Kata Daud: “Jangan, dia adalah raja yang diurapi Tuhan, kita tidak boleh membunuhnya. Ambil saja tombak dan kendi air raja Saul, kemudian pergi dari sini.” Daud telah mengambil tombak dan kendi air Raja Saul, tetapi raja Saul langsung tidak sedar dan masih tidur nyenyak!
Daud dan pengikutnya pergi ke puncak gunung di seberang dan berseru dengan suara kuat “AB-NER!” (guru meletakkan tangan di tepi mulut untuk membuat aksi berseru kuat). Raja Saul dan askar-askarnya terkejut. “Abner! Mengapa engkau tidak melindungi raja dengan baik? Lihatlah! Tombak dan kendi raja Saul ada di sini! Raja Saul dan panglima Abner tercengang, mereka langsung tidak sedar bahawa Daud pernah curi-curi masuk dan mengambil barang-barang raja, tetapi tidak membunuh mereka. Dengan sedihnya raja Saul menangis dan berkata kepada Daud: “Walaupun beberapa kali aku ingin membunuh engkau, tetapi engkau memegang perintah Tuhan dan melayani aku dengan kasih”.
Kesudahan Raja Saul
Pada suatu hari, raja Saul membawa lagi askar-askarnya pergi berperang dengan musuh. Sahabat Daud bernama…..(sengaja sebut dengan perlahan, bimbing kanak-kanak menjawab). Betul, namanya Yonatan, dia juga ikut untuk berperang. Akhirnya, musuh telah menang, Yonatan telah dibunuh oleh musuh, raja Saul juga cedera parah dan mati. Ada seorang askar berlari keluar dari medan peperangan dan melaporkan berita buruk ini kepada Daud. Apabila mengetahui raja Saul telah mati, dan sahabatnya yang baik, Yonatan juga mati, Daud menangis dengan sedih.
Adik-adik, mengapakah Daud menangis? Sebab dia sangat suka kepada Yonatan. Walaupun banyak kali raja Saul ingin membunuhnya, tetapi Daud tidak berdendam dengannya kerana dia juga menyukai raja Saul. Sekarang kedua-dua mereka telah mati dan tidak dapat lagi bercakap dengan Daud buat selama-lamanya. Tentulah Daud sangat sedih! Kemudian Daud telah mengarang sebuah kidung untuk mengingati sahabat baiknya — Yonatan dan raja Saul.
Daud Membawa Kawannya Kembali
Daud tahu bahawa Raja Saul sudah mati dan dia boleh kembali ke negaranya. Tetapi dia sangat sedih kerana tidak dapat lagi melihat sahabatnya yang terbaik. Daud ingin kembali, maka dia bertanya dulu kepada Tuhan: “Ya Tuhan! Kota yang manakah ku harus pergi?” Jawab Tuhan: “Engkau boleh kembali ke kota Hebron.” Maka Daud membawa isterinya yang dikahwini sewaktu melarikan diri dan juga sahabat-sahabat baik yang mengikutinya pulang bersama. Pengikut-pengikutnya sangat gembira kerana mereka tidak lagi takut dibunuh oleh raja Saul, juga tidak perlu melarikan diri ke sana ke sini tanpa tempat tinggal yang tetap, dan tidak perlu bimbang ke mana untuk makan sewaktu lapar. Oleh kerana semua orang sangat menghormati Daud, mereka meminta supaya Daud menjadi raja mereka.
Daud Menjadi Raja
Semasa Daud menjadi raja, nabi Samuel sudah pun meninggal dunia. Kemudian Daud telah menawan sebuah kota yang lebih besar dan menukarkan nama kota Yerusalem menjadi “Kota Daud”. Tuhan menyertai Daud, dan negara yang diperintahnya semakin hari semakin maju dan kuat.
Raja Tirus yang tinggal di negara berhampiran Israel mengetahui bahawa raja Daud adalah raja yang berkebolehan dan berani, lalu dia menghantar banyak bahan-bahan pembinaan istana. Kayu-kayu yang baik ini mengeluarkan bau wangi dan diberi nama “kayu aras” (tuliskan), dan dia mengupah ramai tukang bangunan yang mahir untuk mendirikan istana bagi Daud.
Daud Menyambut Tabut Kembali
Walaupun Daud berasa selesa dan gembira tinggal di istana yang baharu, dia teringat bahawa Tuhan sangat mengasihinya. OLeh itu dia juga ingin melakukan sesuatu untuk Tuhan. Pada masa ini, tabut perjanjian Tuhan masih disimpan pada tempat sebuah keluarga yang biasa dan sangat jauh, bukannya terletak di suatu tempat yang disembah oleh orang ramai. Maka raja Daud mengumpul imam-imam yang bertanggungjawab mengangkut tabut dan menyediakan banyak lembu dan domba untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Ramai pengikutnya serta seluruh umat dalam kota menari-nari dengan iringan nyanyian dan alat-alat muzik. Dalam suasana menyanyi dan memuji Tuhan, mereka telah menyambut kembali tabut Tuhan dengan bersukacita.
Daud Mencari Anak Cucu Raja Saul
Selepas Daud menjadi raja, pada suatu hari, tiba-tiba dia teringat sahabat baiknya –Yonatan. Dia juga teringat bahawa Yonatan pernah berkata, setelah Daud menjadi raja, janganlah lupa menjaga ahli keluarganya. Lalu raja Daud menyuruh orang untuk bertanya, siapakah yang masih ada dalam keluarga raja Saul. Apabila dia mengetahui bahawa Yonatan masih mempunyai seorang anak laki-laki yang tidak dapat berjalan kerana kakinya cedera, dengan segera dia menyuruh orang menyambut anak Yonatan ke istana.
Daud Melayani Mefiboset Dengan Rahmat
Orang yang tidak dapat berjalan ini bernama Mefiboset. Raja Daud berkata kepada Mefiboset dengan suara yang lembut: “Mefiboset! Janganlah engkau takut, ayahmu –Yonatan adalah sahabat baikku, jadi kamu juga adalah kawan baikku. Aku mahu menghadiahkan ladang dan rumah pusaka datukmu — Raja Saul kepadamu. Datanglah selalu ke istana untuk bermain dan makan bersamaku.” Wah! Mefiboset sangat gembira! Dia mendapat rumah yang sangat baik dan juga banyak ladang, juga boleh menaiki kereta ke istana untuk bermain dan makan bersama dengan raja Daud. Mefiboset sangat gembira kerana ada orang yang menjaga kehidupannya. Dia bersyukur kepada Tuhan di syurga dan juga berterima kasih kepada raja Daud atas kasihnya.
Memaafkan Kesalahan Orang Lain
Adik-adik, cuba kamu fikirkan, mengapakah semua orang menghormati Daud dan ingin dia menjadi raja? (Biarkan kanak-kanak mengemukakan pendapat). Ya! Daud adalah seorang yang penuh kasih. Walaupun raja Saul selalu ingin membunuhnya, tetapi Daud tidak marah. Sebaliknya Daud masih mengasihi dan menghormati raja Saul. Betapa mulianya hati yang sanggup memaafkan orang lain! Adik-adik, apabila orang bersalah terhadap kita ataupun tidak baik terhadap kita, kita harus mencontohi Daud iaitu mengasihi mereka dan mendoakan mereka. Mari kita rujuk Alkitab, bagaimana Tuhan Yesus memberitahu kita cara mengampuni orang lain. Sila rujuk Injil Matius Fasal 18, mula dari ayat 21 – 22. Adik *** sila bacakan untuk semua orang. (Minta 2-3 kanak-kanak baca).
Tujuh puluh kali tujuh kali adalah empat ratus sembilan puluh kali. Adakah ia jumlah yang banyak? Ya! Maksud Tuhan Yesus adalah kita harus selalu memaafkan kesalahan orang lain dan jangan selalu menyimpan kesalahan orang lain dalam hati. Dengan ini barulah kita boleh menjalani hari-hari yang bersukacita tanpa kekhuatiran.