Mesej Untuk Guru :
Kepada guru yang dikasihi, pada zaman Nuh dan Abram, dari awal lagi Tuhan telah memberikan nubuat kepada mereka tentang apa yang akan terjadi. Namun kita dapati bahawa sejak Nuh mengetahui rencana Tuhan untuk memusnahkan dunia dengan air bah sehinggalah pelaksanaan rencana itu, ada 120 tahun lamanya. Jarak masa pertama kali Abram menerima janji Tuhan bahawa dia akan menjadi bapa segala bangsa sehingga masa Sarai mengandung dan melahirkan anak ialah 25 tahun. Alkitab menceritakan peristiwa bersejarah ini dengan perkataan yang ringkas. Namun sekiranya kita menyelidiki dengan teliti, kita dapat memahami bahawa, mereka dapat digelar sebagai orang benar di depan mata Tuhan memang sepadan dengan mereka, sebab masa ialah ujian yang terbesar bagi iman seseorang. Bab ini menghuraikan kehidupan harian Abram dan menjelaskan kasih Abram kepada tetamu. Tanpa diketahui, dia telah melayani malaikat-malaikat dan mendapat berkat. Oleh itu, beritahulah kepada kanak-kanak, jika ingin mendapat berkat daripada Tuhan, haruslah berusaha dalam kehidupan seharian, sebab dalam Alkitab ada tercatat: “Barangsiapa setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar. Dan barangsiapa tidak benar dalam perkara-perkara kecil, ia tidak benar juga dalam perkara-perkara besar.” Tuhan tetap menyelidiki hati dan pemikiran kita sebelum kita mendapat berkat.
Nas Alkitab : Kej 16 – 18:19
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
Supaya kanak-kanak tahu bahawa Tuhan sahaja yang dapat mengubah perkara yang mustahil menjadi perkara yang dapat berlaku.
Ayat Hafalan : Adakah sesuatu apa pun yang mustahil untuk Tuhan? (Kejadian 18:14)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Bahan pengajaran tambahan.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami ingin seperti Abraham, kerana Engkau akan mencurahkan berkat, sekiranya kami mendengar firman-Mu, melakukan segalanya menurut firman-Mu. Engkau adalah Tuhan yang baik! Kami bersyukur kepadaMu. Haleluya, Amin.
Isi Pelajaran :
Pendahuluan
Adik-adik, kamu masih ingatkah ada seorang yang menurut perintah Tuhan, akhirnya Tuhan mengurniakannya banyak hadiah. Siapakah orang itu? Betul, Abram. Dia mempunyai seorang isteri yang cantik. Siapakah nama isterinya? Ya, Sarai. Abram mendapat banyak hadiah daripada Tuhan, tetapi ada satu hadiah yang paling diinginkan juga paling penting bagi Abram. Apakah hadiah itu? (Membiarkan kanak-kanak menyuarakan pendapat) Baiklah, mari kita lihat sama ada tekaan kamu betul atau tidak.
Perjanjian Tuhan dengan Abram
Ketika Abram berumur 99 tahun, pada suatu hari, Tuhan berfirman kepada Abram: “Aku akan mengadakan perjanjian dengan engkau, engkau akan Kutetapkan menjadi bapa sejumlah besar bangsa, raja-raja akan lahir daripada keturunanmu. Aku akan menjadi Tuhan keturunanmu, Aku akan membuat engkau beranak cucu sangat banyak, Aku juga akan memberikan seluruh Tanah Kanaan kepada mereka sebagai tempat tinggal. Mulai sekarang, namamu bukan lagi Abram, namamu akan diubah menjadi Abraham (Maksudnya Bapa sejumlah bangsa besar). Nama Sarai juga diubah menjadi Sara (Maksudnya Puteri). Tahun depan pada waktu ini juga Sara akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu, Engkau akan menamakannya Ishak (Maksudnya tertawa, maksudnya perkara yang tidak mustahil bagi Tuhan menyebabkan orang tertawa dalam hati, kerana merasakan itu perkara yang mustahil). Abram sujud ke tanah dan bersyukur kepada Tuhan, sambil dia tertawa dalam hatinya: Adakah Sarai yang sudah lanjut usia mampu melahirkan anak? Tuhan berangkat setelah Dia selesai berfirman. Nama Abram diubah menjadi Abraham ketika dia berumur 99 tahun, sudah seorang datuk tua. Sarai yang berusia 90 tahun juga berubah nama menjadi Sara, juga sudah seorang nenek tua.
Melayani Tetamu
Pada suatu hari, Abraham sedang duduk di pintu khemahnya, dia berfikir: Tuhan pernah berjanji akan mengurniakan seorang anak kepadaku, tetapi aku tidak tahu bila akan adanya anak ini. Aku dan Sara telah lanjut usia. Alangkah baiknya jika mempunyai seorang anak. Ketika itu, kelihatan dari jauh datang 3 orang tetamu. Dengan penuh kasih, Abraham segera mendekati mereka dan berkata: “Tuan, silakan duduk berehat di bawah pohon ini, aku pergi ambil minuman, dan sedikit air untuk membasuh kaki kamu, juga menyediakan sedikit makanan untuk kamu, kamu makanlah sampai kenyang barulah teruskan perjalanan.” Abraham dan Sara memberikan makanan yang terbaik untuk dijamu tetamu. Mereka berasa gembira dalam kesibukan itu.
Mengapa Kamu Tertawa?
Ada seorang tetamu berkata kepada Abraham: “Pada tahun depan, waktu ini, kamu akan melahirkan seorang bayi.” Sara yang berada dalam khemah itu terdengar, dan dia rasa itu lucu, dia berfikir: “Aku dan Abraham sudah menjadi datuk tua dan nenek tua, bagaimanakah mungkin akan melahirkan anak lagi? Memanglah tetamu ini suka bergurau.” Tetamu itu berkata: “Sara, mengapakah kamu tertawa? Kamu tidak percayakah Aku berkata kamu akan melahirkan seorang anak?” Sara berasa takut dan segera dia berkata: “Oh, Oh, Aku….Aku tidak tertawa!” Tetamu itu menggelengkan kepalanya lalu berkata: “Tidak, memang engkau tertawa!”
Abraham Mendapat Anak Lelaki
Adik-adik, aneh sekali tetamu ini! Bagaimanakah Dia tahu apa yang difikirkan dan dilakukan Sara, sedangkan Dia tidak melihat Sara? Kamu cuba fikirkan, siapakah tetamu ini? (Membiarkan kanak-kanak menyuarakan pendapat) Ya, betul! Dia adalah Tuhan yang benar di syurga. Pada tahun seterusnya, Abraham berumur 100 tahun, dia dan Sara benar-benar mendapat seorang anak laki-laki. Mereka sangat gembira! Mereka menamai anak yang dikaruniakan Tuhan seperti janji-Nya “Ishak” menurut apa yang diperintahkan Tuhan, kerana Tuhan mengasihi mereka, menggembirakan hati mereka. Oleh itu, Tuhan tetap menunaikan segala yang telah dijanjikan-Nya.
Kesimpulan
Adik-adik, Abraham telah mendapat seorang anak yang dia kasihi kerana melayani tetamu dengan kasih. Selalu ada juga tetamu yang datang ke rumah kita. Adakah kamu pandai melayani tetamu? Bagaimanakah kamu melayani tetamu? (Membiarkan kanak-kanak menyuarakan pendapat, lalu lakonkan dan berlatih bagaimana cara bersalam dengan tetamu, guru menunjukkan cara untuk menghidangkan minuman) Baiklah, kita telah selesai berlatih melayani tetamu. Masa akan datang, ada perkara yang lebih menarik akan berlaku, nyawa Lot, anak buah Abraham, dalam keadaan yang bahaya. Apakah yang telah berlaku? Kita akan berjumpa pada minggu depan!