BAB 8 : PERTEMUAN AJAIB DI BAWAH POHON TARBANTIN

Nas Alkitab: Kejadian Fasal 18

Ayat Bacaan : Kejadian Fasal 18

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

  1. Mengetahui bahawa Abraham diberkati kerana menyambut tetamu dengan kasih.
  2. Rela menjadi teman baik Tuhan. Menyambut tetamu dengan kasih.

 

Ayat Hafalan :

Jangan kamu lupa memberi tumpangan kepada orang, sebab dengan berbuat demikian beberapa orang dengan tidak diketahuinya telah menjamu malaikat-malaikat. (Ibrani 13: 2)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Cawan, set teh, secerek air mendidih, kad menulis soalan.

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa di syurga yang dikasihi, kami mengetahui bahawa Engkau adalah Tuhan yang setia dan segala yang telah Engkau janjikan pasti akan terjadi. Oleh itu, kami sanggup menjadi teman baik Engkau sama seperti Abraham. Terima kasih atas pertolongan dan penjagaan-Mu, semoga kami sentiasa menjadi kawan baik Engkau buat selama-lamanya. Haleluya. Amin.

 

Isi Pelajaran :

Semua kanak-kanak bergilir-gilir membacakan keseluruhan ayat alkitab dalam pelajaran ini (Kejadian fasal 18), kemudian mengemukakan soalan yang siap ditulis untuk dibincang satu per satu.

  1. Di manakah Tuhan menampakkan diri kepada Abraham? (Di bawah pohon tarbantin di Mamre: ayat 1)
  2. Berapakah tetamu yang telah disambut oleh Abraham? (Tiga: ayat 2)
  3. Bagaimanakah Abraham melayani tetamu? (Kanak-kanak boleh membaca dari ayat Alkitab atau memberi pandangan masing-masing; ayat 4-8)
  4. Apakah yang telah dijanjikan Tuhan kepada Abraham dan Sara? (Pada masa yang sama tahun depan, Sara akan melahirkan seorang anak lelaki: ayat 10)
  5. Siapakah yang mengetahui bahawa Sara tertawa dalam hatinya? (Tuhan: ayat 13)
  6. Semua kanak-kanak membaca ayat 14-15 bersama-sama.
  7. Ketika Abraham pergi bersama tiga orang tetamu untuk menghantar mereka, apakah yang telah Tuhan katakan kepadanya? (Semua kanak-kanak melafazkan jawapan : ayat 17-19)
  8. Dua kota manakah yang ingin dimusnahkan oleh Tuhan? (Sodom dan Gomora)
  9. Mengapakah Tuhan ingin memusnahkan kota Sodom dan Gomora? (Kerana dosa kedua-dua kota ini telah sampai kepada Tuhan: ayat 20-21)
  10. Pada kali yang pertama, bagaimanakah Abraham memohon untuk kedua-dua kota ini? (Selagi ada lima puluh orang yang benar, iaitu selagi ada lima puluh orang yang baik, mohon Tuhan jangan musnahkan mereka: ayat 28)
  11. Kemudian, Abraham terus memohon kepada Tuhan, daripada lima puluh orang, akhirnya dikurangkan menjadi berapa orang? (Sepuluh: ayat 32)
  12. Pada akhirnya, kedua-dua kota ini dibakar habis dengan api yang diturunkan dari langit oleh Tuhan; Mengapakah kota-kota ini dibakar walaupun Abraham telah memohon kepada Tuhan? (Kerana tidak dapat menjumpai sepuluh orang benar pun.)
  13. Mengapakah Abraham mahu memohon untuk kedua-dua kota yang penuh dosa ini? (Kerana Abraham mempunyai kasih.)

Dalam perbincangan hari ini, adik-adik bukan sahaja dapat membaca ayat alkitab dengan baik, tetapi juga dapat menjawab dengan baik. Cikgu sangat gembira dan berterima kasih kepada Tuhan yang pengasih, kerana memberikan setiap adik otak yang pintar dan hati yang takut akan Tuhan.

 

Menyambut Tetamu Dengan Kasih

Adik-adik, Abraham menyambut tetamu dengan kasih, jadi dia diberkati oleh Tuhan. Dalam Alkitab ada banyak kisah tentang menyambut tetamu dengan kasih dan diberkati oleh Tuhan, jadi cikgu berharap adik-adik dapat selalu menyambut tetamu dengan kasih. (Keluarkan set teh). Sini cikgu ada cawan dan air, cikgu ingin menjemput beberapa adik tuangkan teh lalu menghidangkan minuman kepada tetamu. Cikgu menjemput adik XXX untuk menjadi tuan rumah, dan adik XXX menjadi tetamu. (Dalam proses kanak-kanak menuang dan menghidangkan teh, guru mesti perhatikan beberapa perkara berikut:)

  1. Ketinggian minuman di dalam cawan. (Lapan puluh peratus penuh)
  2. Cara kanak-kanak menatang teh. (Dengan kedua-dua tangan)
  3. Katakan “Silakan” dan “Terima Kasih”.

 

Percaya Kepada Firman Tuhan, Berusaha Untuk Memohon Roh Kudus

Adik-adik, Tuhan berjanji kepada Abraham bahawa Sara akan melahirkan seorang anak lelaki, dan keturunannya akan banyak sama seperti bintang di langit dan pasir di pantai. Adakah kamu fikir Abraham akan mempercayai kata-kata Tuhan? Dalam pelajaran 9 kita telah mengetahui sama ada Tuhan telah menunaikan janjinya.

Semua firman Tuhan dicatat dalam Alkitab. Mari kita lihat satu ayat Alkitab, sila buka Kisah Para Rasul fasal 1 ayat 4 dan 5, adik-adik sila baca bersama-sama cikgu. Adik-adik membaca dengan baik sekali. Sekarang buka fasal 2 ayat 3, baca juga bersama-sama dengan cikgu. Adik-adik membaca dengan baik. Sila tutup Alkitab. Alkitab mengatakan bahawa Tuhan Yesus akan memberi Roh Kudus kepada kita. Adakah dia sudah menunaikan janji-Nya? Adik-adik yang telah menerima Roh Kudus sila angkat tangan, baik, turunkan tangan. Dalam kelas kita, ada ramai pakcik dan makcik telah menerima Roh Kudus! (Tanya beberapa adik) Adakah ayah dan ibu kamu telah menerima Roh Kudus? (Jika ya, katakan : Ya! Syukur kepada Tuhan. Sekiranya tidak, katakan : Ah! Kita harus bersama-sama mendoakan mereka!) Adik-adik, mengapa kita harus menerima Roh Kudus? (Biar kanak-kanak memberi pendapat). Roh Kudus terlalu penting bagi kita. Pertama, Alkitab mengatakan: Tanpa Roh Kudus, seseorang tidak boleh naik ke syurga. Kedua, Roh Kudus membantu kita untuk memenuhi permintaan Tuhan dalam kehidupan dan kelakuan kita. Bagi adik-adik yang tidak ada Roh Kudus, haruslah berdoa dengan lebih bersungguh-sungguh.

 

Sesi Aktiviti :

  1. Nama Aktiviti : Kad Doa Syafaat
  2. Objektif Aktiviti : Mengetahui kepentingan doa syafaat melalui pembuatan kad doa syafaat.
  3. Persiapan sebelum aktiviti : Kertas lukisan, gunting kecil, pensel, pensel warna, kad nama.
  4. Isi kandungan aktiviti :
    1. Buat kad doa syafaat, edarkan kad nama kepada murid-murid (jumlah kad bergantung kepada masa dan jumlah orang), setiap orang mendapat kira-kira tiga kad, tuliskan nama orang yang perlu didoakan di satu muka surat, dan tuliskan perkara yang perlu didoakan di muka surat yang lain (boleh menulis secara melintang atau menegak). Atau nyatakan dalam bentuk lukisan, biar murid-murid membuat rekaan sendiri.
    2. Membuat bahagian alas: Potong kertas lukisan menjadi segi empat tepat dengan panjang 18cm dan lebar 9cm, setiap orang satu keping (dibuat oleh guru).
    3. Susunkan kertas segi empat tepat dalam bentuk segi empat tepat, dengan panjang 18cm dan lebar 4.5cm, kekalkan garis lipatan.
    4. Ukur lebar kad doa syafaat dengan pembaris, tandakan tengah garis lipatan, ambil kelebaran ini, gunting 0.2 cm (warnakan hitam bahagian ini), dan tulis “Saling Mendoakan”.
    5. Kedua-dua belah garis lipatan dilipat ke dalam sebanyak 0.5cm supaya dapat berdiri dengan kuat; selitkan kad doa syafaat dan siap.
  5. Perhatian :
    1. Kad nama tersebut harus dibeli di kedai alat tulis terlebih dahulu (kad berwarna). Kertas segi empat tepat untuk alas hendaklah dipotong terlebih dahulu oleh guru, atau buatkan untuk kanak-kanak yang kecil.
    2. Ingatkan murid-murid tentang perkara yang harus didoakan termasuk: Ahli keluarga, guru, jiran, diri sendiri, atau pembinaan gereja, KKR dll.
    3. Jika diri sendiri ingin dibantu doa, edarkan kad doa syafaat yang telah disediakan kepada murid-murid lain terlebih dahulu, dan minta mereka untuk membantu doa. Semasa berdoa, selitkan kad itu di bahagian alas.
    4. Galakkan kanak-kanak untuk selalu mendoakan orang lain.
    5. Kad doa syafaat hanya digunakan sebagai contoh, setiap gereja boleh menetapkan spesifikasi sendiri mengikut keperluan.