BAB 9 : ANAK YANG HILANG TELAH KEMBALI

BAB 9 : ANAK YANG HILANG TELAH KEMBALI

 

Mesej Untuk Guru :

Kepada guru yang dikasihi, kamu pasti sangat fasih dengan cerita tentang anak hilang yang kembali. Mesej dalam cerita yang ingin disampaikan kepada kanak-kanak sangatlah banyak. Namun apa yang paling penting ialah sedar dan bertaubat selepas melakukan kesalahan.  Ini adalah sama seperti anak hilang dalam cerita ini. Pada masa yang sama, kita juga harus menegaskan bahawa Tuhan benar sama seperti ayah anak hilang dalam cerita ini. Dia pengasih dan bertolak ansur. Tidak dapat dinafikan bahawa manusia akan melakukan kesalahan. Namun apa yang penting adalah harapan Tuhan agar manusia dapat bertaubat dengan ikhlas dan beribadah kepada-Nya. Inilah perkara yang paling dikenankan-Nya dan paling mengembirakan Bapa di sorga.  Ini disebabkan Yesus berfirman bahawa Dia datang adalah untuk menyelamat orang berdosa.

 

Nas Alkitab : Lukas 15: 11-32

 

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :

Mengetahui bahawa selepas berbuat salah haruslah berani mengakui kesalahan dan bertaubat, maka akan diampuni oleh Tuhan dan manusia.

 

Ayat Hafalan : Jika kita saling mengasihi, Allah tetap di dalam kita. (1Yohanes 4: 12)

 

Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :

Gambar (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru.)

 

Doa :

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa, Tuhan Yesus yang dikasihi, kami meminta maaf daripada Engkau kerana kami selalu berbuat salah. Ada kalanya kami tidak mendengar cakap ibu bapa, ada kalanya kami berebut mainan dan bergaduh dengan orang lain. Namun Engkau adalah Tuhan pengasih. Engkau mengampuni saya dan tetap mengasihi saya. Saya mahu menjadi seperti anak bongsu dalam cerita ini, menjadi seorang anak yang berani mengakui kesalahan. Haleluya, Amin.

 

Isi Pelajaran :

Kita semua tahu bahawa Tuhan Yesus adalah Tuhan yang agung dan ajaib. Dia dapat melakukan banyak perkara. Dia dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh pesakit dan juga dapat menjadikan orang jahat menjadi orang baik. Adik-adik, adakah kamu tahu apa perkara-perkara lain yang dapat dilakukan oleh Tuhan Yesus? (membiarkan anak-anak menjawab) Ya, betul, Tuhan Yesus juga pandai menyampaikan cerita. Sekarang, marilah kita mendengar cerita apakah yang telah disampaikan oleh  Tuhan Yesus.

 

Dua Anak Yang Berbeza

Seorang ayah yang sangat kaya-raya memiliki dua orang anak lelaki. Anak sulung merupakan anak yang baik. Dia sangat mendengar cakap dan juga sangat rajin bekerja. Apa saja yang diminta oleh ayahnya untuk dilakukan, dia pasti akan melaksanakannya. Namun anak bongsu pula tidak suka mendengar cakap bapa dan juga tidak suka membantu ayahnya melakukan kerja. Pada suatu hari, anak bongsu berkata kepada ayahnya: “Bapa, saya tidak mahu tinggal di dalam rumah ini lagi; sila bahagikan wang dalam rumah ini kepada saya. Saya mahu tinggal di kota besar.” Walaupun ayah ini mengetahui anak bongsunya ini suka memboros, tetapi atas permintaannya yang tidak henti-henti itu, maka ayahnya terpaksa memberikan wang  kepadanya.

 

Anak Bongsu Meninggalkan Rumahnya

Setelah anak bongsu mengambil wang itu, dia meninggalkan rumahnya dan pergi ke kota dengan gembira sekali. Dia berfikir: “Kali ini, tiada lagi sesiapa yang dapat mengawal saya lagi. Saya boleh melakukan apa saja yang saya suka.” Semasa anak bongsu ini selangkah demi selangkah makin berjalan jauh, air mata ayahnya juga setitis demi setitis dialiri dari pipinya. Adik-adik, cuba kamu fikirkan, mengapa ayah itu begitu sedih? (membiarkan anak-anak menjawab) Ya, walaupun anak bongsu ini tidak dengar cakap, tetapi bapa masih sangat mengasihinya dan sangat berat hati untuk membiarkan anak ini  meninggalkannya.

 

Anak Yang Hidup Berfoya-foya

Apabila anak bongsu tiba di kota, dia bersama-sama dengan kawan yang jahat setiap hari. Mereka tahu dia ini kaya. Maka mereka membawanya pergi makan besar, minum minuman keras, berjudi, bermain, membeli-belah dan  memboroskan wang di merata tempat setiap hari. Tidak lama kemudian, wang yang dibawanya habis diboroskannya. Sekarang dia tidak ada wang lagi. Adik-adik, cuba kamu fikirkan, jika kita tidak bekerja untuk mendapatkan wang sebaliknya hanya memboroskan wang sahaja;  maka akhirnya wang tetap akan habis digunakan. Jadi apa yang terjadi dengan kawan-kawannya setelah dia kehabisan wang? Adakah mereka masih bersama-sama dengan dia? Adakah mereka membantunya apabila mengetahui dia kehabisan wang? Cuba teka? (membiarkan anak-anak menjawab). Betul jawapan kamu. Mereka langsung tidak menghulurkan bantuan. Kawan-kawannya satu demi satu meninggalkannya. Mereka tidak bermain lagi dengannya. Dia sangat lapar. Maka dia terpaksa menjual bajunya yang cantik  untuk membeli makanan. Selepas itu, dia pergi ke banyak tempat untuk mencari kerja.

Namun tiada seorang pun suka seseorang yang serupa dengannya yang hanya tahu makan tetapi tidak tahu bekerja. Akhirnya, ada seorang berkata kepadanya: “ Saya mempunyai sekumpulan babi, marilah tolong saya menjaga babi.” Anak bongsu ini pun menolong orang itu menjaga babinya. Adik-adik, menjaga babi merupakan sejenis kerja yang sangat memenatkan. Walaupun anak bongsu ini susah payah bekerja setiap hari, tetapi dia masih tidak kenyang; sehingga ingin makan makanan babi kerana terlalu lapar. Namun tuannya tidak memberi makanan kepadanya biarpun itu adalah makanan babi.

 

Anak Bongsu Merindui rumahnya

Pada waktu ini, dia teringat akan ayah yang mengasihinya. Sebaik saja teringat akan rumahnya, dia ingin sekali pulang ke rumah. Dia berfikir: “Bukankah bapaku telah mengupah ramai pekerja? Mereka ada makanan, ada pakaian dan ada tempat tinggal. Sebaliknya, saya pula lapar di sini. Oh ya, saya mahu pulang ke rumah dan memberitahu bapa bahawa saya telah bersalah. Saya bersalah terhadap Tuhan di syurga dan juga bersalah terhadap bapa. Mohon bapa mengampuni saya dan izinkan saya pulang rumah. Saya tidak layak menjadi anak engkau. Saya sanggup menolong bapa bekerja.” Maka, anak bongsu pun bertolak pulang ke rumah.

 

Anak Yang Hilang Pulang Ke Rumahnya

Sejak anak bongsu meninggalkan rumahnya, ayahnya berdiri di depan pintu setiap hari. Dia memandang ke arah jalan dan menantikan kepulangan anaknya. Pada hari ini, bapa ini berdiri menanti di depan pintu lagi. Dari jauh kelihatan seseorang berpakaian compang-camping ( buruk dan usang ), berjalan dengan menundukkan kepala. Dia berfikir: “Jangan-jangan, pengemis ini anak bongsu aku.” Ayah ini menggosok matanya dan melihat dengan betul. Betul, inilah anak bongsuku yang dirindui setiap hari. Ayah segera pergi menyambutnya. Dia merangkul anak bongsu yang kasian ini ke pangkuannya dan mencium pipinya yang kotor dan kurus.

Bapa ini sangat gembira sehingga mencucurkan air mata. Anak bongsu menangis dan berkata: “ Bapa, saya tidak mendengar cakapmu. Saya bersalah terhadap Tuhan benar di syurga dan juga bersalah terhadap engkau. Sesungguhnya saya tidak layak menjadi anakmu.” Bapa membelai kepala anaknya, memegang tangannya dan membawa anaknya ke dalam rumah dengan gembira. Dia berkata kepada hamba-hambanya: “Anak bongsuku telah pulang. Lekaslah bawakan baju yang terbaik untuk dipakainya, kenakanlah cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Lekaslah menyediakan makanan yang enak. Saya mahu menjemput saudara-mara dan kawan-kawan datang meraikannya. Ini kerana anakku ini telah hilang dan dijumpai kembali.” Maka mulailah mereka bersukaria bersama-sama dengan ayah ini. Ayah ini tetap mengasihi anak bongsunya itu dan memaafkan segala kesalahannya walaupun dia tidak dengar cakap dan telah melakukan banyak perkara yang jahat.

Ada kalanya, kita tidak mendengar cakap dan berbuat salah, menyebabkan Tuhan Yesus sangat sedih. Namun asalkan kita bertaubat, berubah dan meminta maaf daripada-Nya, Tuhan Yesus pasti akan mengampuni kita dan mengasihi kita seperti dulu.

 

Kesimpulan: Sedar dan Bertaubat Selepas Melakukan Kesalahan

Adik-adik, ada kalanya kita juga akan berbuat salah. Apabila kita berbuat salah, ibu bapa pasti berasa sangat sedih. Bukankah kita harus menjadi seperti anak bongsu dalam cerita hari ini, mengakui kesalahan kita kepada ibu bapa dengan berani? Ibu bapa pasti akan berasa sangat gembira jika mereka melihat kita bertaubat.

 

Pendahuluan :

Anak-anak, pernahkah kamu mendengar “Demikian juga akan ada sukacita di syurga kerana satu orang berdosa yang bertaubat, lebih daripada sukacita karena sembilan puluh sembilan orang benar yang tidak memerlukan pertobatan?” Jadi kita haruslah segera bertaubat dan jangan keras hati apabila kita sudah berbuat salah. Dengan demikian Tuhan Yesus akan lebih menyayangi kita. Sekarang, marilah kita bermain permainan mencari domba yang hilang. Dengar ya dengan teliti bagaimana cara bermain.

 

Sesi Aktiviti 1 : Mencari Domba yang Hilang

  1. Objektif : Mengalami kesukacitaan gembala apabila dapat mencari domba yang hilang
  2. Persediaan : Guru menjadi watak “A” dan berdiri di luar kandang domba. Seorang murid menjadi watak “B”. Murid-murid lain membentukkan satu bulatan
  3. Cara bermain :

A : (Berjalan mengelilingi kandang itu) Adakah kamu nampak domba saya?

B : Bagaimanakah rupa domba kamu?

A : Domba saya memakai kasut putih, seluar hitam dan baju putih. (ataupun ciri-ciri lain)

B : (Mencari dengan teliti dalam kandang dan mengatakan siapakah orang itu.)

A : (Jika tepat, harus berkata: “Betul. Sila carikannya.”)

B : (Pergi menangkap orang itu.)

C : (Orang yang dikejar berlari mengelilingi kandang, boleh berlari kembali ke tempat asal sendiri.)

B : (Jika tidak berjaya menangkapnya, teruskan menjadi orang yang mengejar domba ; Jika berjaya menangkapnya, C pula yang menjadi orang yang mengejar domba.

Nota:

  1. Orang yang mencari domba itu haruslah mengumumkan pakaian domba yang dicarikannya kepada semua orang dengan suara nyaring.
  2. Orang yang menjadi domba itu tidak boleh berlari keluar dari kandang jika tidak diizinkan oleh orang yang mencari domba itu.
  3. Orang yang menjadi domba harus digantikan dengan orang lain supaya semua kanak-kanak dapat menyertai permainan ini.

 

Sesi Aktiviti 2 : Salasilah Keluarga (Family Tree)

  1. Objektif : Agar kanak-kanak memahami keluarga sendiri dan hubungan dengan ahli keluarga.
  2. Bahan : Gambar ahli keluarga, kertas berwarna-warni, pensel warna, gunting dan gam.
  3. Isi Kandungan :
  • Menyusun gambar mengikut hubungan atau urutan masa percaya Tuhan, menjadi salasilah keluarga (family tree).
  • Berbincang dengan kanak-kanak tentang hubungan antara ahli keluarga dan situasi interaksi yang dialami dalam kehidupan keluarga.