Nas Alkitab : Kejadian 21: 1-7; 22: 1-18.
Ayat Bacaan : Matius 5: 1-12.
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Tuhan adalah yang setia, apa yang dikatakan-Nya pasti akan digenapi.
- Rela menjadi teman baik Tuhan: Mengharapkan janji Tuhan ditunaikan.
Ayat Hafalan :
Sebab Kristus adalah “Ya’’ bagi semua janji Allah. Itulah sebabnya oleh Dia kita mengatakan “Amin” untuk memuliakan Allah. (2 Korintus 1:20)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Alkitab.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa di syurga yang dikasihi, terima kasih kerana memberi kami hati yang percaya kepada-Mu dan mengasihi-Mu sama seperti Abraham. Kami mengharapkan janji-Mu segera datang, sebab kami tahu bahawa Engkau adalah Tuhan yang setia. Segala yang Engkau janjikan pasti digenapi. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Dalam pelajaran yang lalu, kita membincangkan bahawa Abraham melayani tetamu dengan kasih. Akhirnya siapakah yang dilayaninya? (Tuhan dan malaikat). Tuhan telah menjadi sahabat baik Abraham. Adik-adik, adakah kamu rela menjadi sahabat baik Tuhan? Semua orang berharap untuk menjadi sahabat baik Tuhan, maka kita haruslah sama seperti Abraham yang percaya kepada kata-kata Tuhan dan melayani tetamu dengan kasih!
Kelahiran Ishak
Tuhan telah menerima layanan Abraham yang penuh dengan kasih, Tuhan juga memberi satu hadiah kepadanya, iaitu Abraham dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.
Masa berlalu sehari demi sehari, sewaktu Abraham mencapai umur 100 tahun dan Sara berumur 90 tahun, akhirnya hadiah yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka telah tiba. Sara mendukung bayinya dengan sangat gembira sehingga dia tidak dapat menutup mulutnya. Abraham turut berasa gembira sehinggakan janggut di dagunya bergetar-getar kerana ketawa! Semua orang turut tertawa, baik saudara-mara ataupun hambanya, semua orang tertawa dengan gembira bahkan lembu di luar perkhemahan pun menyanyikan lagu kerana hadiah dari Tuhan ini adalah yang terbaik. Maka mereka menamai bayi ini —- Ishak.
Ishak yang kecil beransur-ansur membesar. Ketika dia sudah boleh makan biskut dan roti, dia tidak lagi memerlukan susu ibunya. Pada hari Ishak disapih, Abraham telah mengundang ramai tetamu untuk datang meraikan Ishak yang semakin membesar. Ishak kecil mempunyai lagu-lagu yang tidak habis dinyanyikan dan cerita yang tidak habis didengar, kerana ibu bapanya mengasihinya sama seperti mengasihi nyawa mereka sendiri. Oleh itu, Ishak kecil melalui setiap hari dengan gembira dan bahagia.
Tuhan Memerintahkan Abraham Untuk Mempersembahkan Anak Tunggalnya
Ketika Ishak hampir setinggi ayahnya, Tuhan berfirman kepada Abraham: “Ambillah anakmu yang tunggal itu, yang engkau kasihi, persembahkanlah Ishak kepada-Ku di salah satu gunung yang akan Kukatakan kepadamu.”
Abraham Menuruti Perintah
Keesokan paginya, Abraham bangun pada awal pagi. Dia menyediakan seekor keledai, membawa Ishak dan dua orang bujangnya, juga membawa kayu yang telah siap dibelah, lalu pergi ke tempat yang dikatakan Tuhan kepadanya untuk mempersembahkan Ishak. Abraham meninggalkan keledai dan bujangnya di kaki gunung dan meletakkan kayu pada bahu Ishak untuk dipikul. Demikianlah keduanya berjalan bersama-sama dan naik ke atas gunung.
Tuhan Menyediakan
Mereka telah sampai di atas gunung. Sewaktu Abraham bersiap sedia untuk mempersembahkan Ishak, tiba-tiba malaikat Tuhan berseru kepada Abraham dan berkata dengan gembira : “Abraham, engkau benar-benar seorang yang menyembah Tuhan dan mendengar perintah Tuhan, dan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan Ishak anakmu yang tunggal kepada Tuhan.” Pada waktu itu, Abraham melihat seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut dalam belukar. Maka segeralah Abraham mengambil domba itu untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Oleh sebab Tuhan telah awal-awal menyediakan seekor domba di atas gunung, Abraham menamai tempat itu Tuhan Menyediakan. (Mengulanginya dua kali dengan suara perlahan dan minta kanak-kanak membacanya dua kali).
Berkat Tuhan
Untuk kedua kalinya malaikat Tuhan berseru dari langit kepada Abraham : “Kerana engkau mendengar kata-kata Tuhan dan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan Ishak anakmu yang tunggal kepada Tuhan, maka Tuhan akan memberkati engkau berlimpah-limpah dan membuat keturunanmu sangat banyak seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut.”
Mengharapkan Janji Tuhan Digenapi
Janji Tuhan terhadap Abraham telah digenapi. Abraham juga berasa sangat gembira dan bersyukur. Adik-adik, Tuhan juga memberi banyak sekali janji kepada kita dalam kitab suci. Selain daripada pencurahan Roh Kudus yang diketahui oleh adik-adik. Tuhan juga memberikan 8 berkat yang besar kepada kita. Marilah kita buka Injil Matius Fasal 5 dari ayat 1 hingga ayat 12. Adik-adik ikut cikgu baca. Ya! Miskin (tuliskan pada papan tulis, lakukan yang sama untuk semua yang berikut) bermaksud sekiranya kamu ada sesuatu yang tidak difahami, haruslah bertanya kepada orang lain, dan sewaktu orang lain bertanya kepada kita, kita juga harus memberitahu mereka tentang apa sahaja yang kita tahu dengan sopan. Jika orang lain menegur kita sewaktu kita membuat kesalahan, kita juga harus menerimanya dengan senyuman dan berterima kasih kepadanya.
Maksud berdukacita ialah sewaktu kita melihat orang lain melakukan kejahatan, hati kita turut berasa sedih dan memberitahu diri sendiri supaya jangan sama sepertinya! Orang yang bergembira setiap hari, tidak memarahi orang dengan suara yang kuat, dan tidak sembarangan naik marah adalah orang yang lemah lembut. Orang yang lapar dan haus akan kebenaran adalah orang yang suka datang ke gereja, suka membaca kitab suci dan sentiasa berdoa. Tuhan Yesus berkata, Dia akan mencurahkan berkat yang besar kepada mereka yang bersimpati terhadap orang lain, tidak berkira dengan orang lain, menasihati orang lain, mendorong semua orang supaya berdamai, tidak berkecil hati dengan orang yang memarahi dan menertawakan kita yang percaya kepada Yesus!
Ah! Syukur kepada Tuhan kerana menjanjikan berkat ini kepada kita. Adik-adik, adakah kamu rela menerima berkat ini? Maka kita harus mempelajari iman dan kasih Abraham, menjadi sahabat baik Tuhan buat selama-lamanya. Tuhan juga akan sentiasa memberikan hadiah-hadiah kasih ini kepada kita supaya kita bersukacita dan hidup dengan damai sejahtera setiap hari.
Sesi Aktiviti :
- Nama aktiviti : Gunting dan Tampal
- Objektif aktiviti :
- Menambahkan pengenalan kanak-kanak terhadap tokoh-tokoh melalui cerita yang disampaikan.
- Supaya kanak-kanak memahami bahawa orang benar akan diberkati oleh Tuhan.
- Persediaan sebelum aktiviti : Buku teks murid, pen.
- Isi kandungan aktiviti :
- Biarkan kanak-kanak mengenali tokoh-tokoh dan nama mereka dalam cerita, kemudian guntingkan. (Gambar lampiran)
- Guru membacakan cerita perlahan-lahan, kemudian tampalkan mengikut urutan nombor untuk melengkapkan seluruh cerita.