BAB 9 : KOTA YANG TIDAK DISUKAI TUHAN

Mesej Untuk Guru :

Kepada guru yang dikasihi, sekiranya kita membaca kitab Kejadian bermula dari fasal 1 hingga fasal 19 tanpa henti, kita akan mendapati suatu perkara iaitu manusia terus-menerus dalam kitaran berbuat dosa, dihukum dan dibinasa (Adam berdosa lalu dihukum Tuhan dan diusir keluar dari Taman Eden; Kain membunuh Habel lalu dihukum Tuhan menjadi pengembara untuk seumur hidupnya; Manusia tidak berhenti melakukan kejahatan, akibatnya Tuhan mengguna air bah untuk membinasakan dunia ini; Manusia menjadi angkuh lalu membina menara Babel, akibatnya Tuhan mengacaukan bahasa mereka dan mereka diserakkan ke seluruh tempat; Dosa manusia sungguh berat, akibatnya Tuhan menggunakan api untuk memusnahkan Sodom dan Gomora). Dalam masa yang singkat, iaitu lebih kurang 310 tahun, Tuhan memusnahkan manusia yang menghampakan-Nya sebanyak dua kali dengan menggunakan air dan api. 

Dalam zaman yang jahat sewaktu hati manusia membelakangi dan meninggalkan Tuhan, bab ini menghuraikan dua cerita yang pendek iaitu Abraham memanjatkan doa syafaat untuk Sodom, dan cerita tentang Lot melayani malaikat, dua kisah ini menyerlahkan kebaikan dan kasih mereka. Sebenarnya, perkara yang mereka lakukan itu sama sekali tidak mempengaruhi rencana penghapusan Tuhan, namun Tuhan tetap ingat akan mereka. Alkitab khasnya mencatatkan dua cerita ini, memberi pengajaran kepada kita untuk memiliki kasih yang hangat dan tulus ikhlas, ini juga merupakan fokus untuk bab ini.


Nas Alkitab :
Kejadian 18:20 – 19


Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
Supaya kanak-kanak mengetahui bahawa Tuhan pasti menjaga orang yang mempunyai kasih.


Ayat Hafalan :
Sebab Tuhan adalah adil dan Ia mengasihi keadilan. (Mazmur 11:7)


Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
 

Bahan pengajaran tambahan.


Doa : 

Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami mengasihi Engkau, juga mengasihi ibu bapa, kami ingin percaya kepada firman-Mu, kami juga akan mendengar kata-kata ibu bapa kami, sentiasa melayani orang lain dengan kasih. Kami bersyukur kepada-Mu. Haleluya, Amin.


Isi Pelajaran :

Pendahuluan 

Adik-adik, kalian masih ingatkah Lot yang memilih tempat tinggal yang baik dan diselamatkan oleh Abraham setelah dia ditawan? Dia melihat pak ciknya begitu baik terhadapnya, lalu dia bertekad untuk menjadi seorang yang baik, namun dia masih tinggal dalam kota yang paling dibenci Tuhan iaitu Sodom. Orang dalam kota itu jahat kerana mereka melakukan perkara yang tidak disukai Tuhan. Justeru itu, jadi Tuhan berkeputusan untuk memusnahkan kota Sodom dengan api.


Dengan Berani Abraham Memanjatkan Doa Syafaat Untuk Sodom

Setelah Abraham mengetahui Tuhan ingin memusnahkan Sodom, dengan sepenuh hati dia memohon kepada Tuhan: “Ya Tuhan! Adakah Engkau akan memusnahkan kota itu tanpa mengira berapa orang benar dan orang fasik di dalam? Aku memohon kepada Engkau: Sekiranya dalam kota itu ada 50 orang benar, janganlah hapuskan kota Sodom, boleh?” Tuhan berfirman: “Baiklah, sekiranya ada 50 orang benar, Aku tidak akan memusnahkan kota itu.” Abraham berkata lagi: “Aku kecil seperti debu, namun aku tetap memberanikan diri untuk memohon kepada-Mu, sekiranya kurang lima orang benar, apakah Engkau juga akan memusnahkan kota itu?” Tuhan berfirman: “Baiklah! Jika ada 45 orang benar, Aku pun tidak akan memusnahkan kota itu.” Abraham berkata lagi: “Bagaimanakah sekiranya ada 40 orang?”  “Baiklah! Jika ada 40 orang, Aku juga tidak akan memusnahkannya!” Abraham berkata lagi: “Janganlah kiranya Tuhan murka. Sekiranya ada 30 orang benar?” Tuhan dengan penuh kasih menjawab Abraham, sekiranya ada 30 orang benar, Tuhan juga tidak akan memusnahkan kota itu. Jadi, dengan berani, Abraham sekali lagi memohon kepada Tuhan: “Sekiranya ada 20 orang?” Tuhan pun berjanji kepada Abraham. Sekali lagi Abraham berkata: “Janganlah kiranya Engkau murka! Sekali lagi aku memohon kepada-Mu, bagaimana jika terdapat 10 orang?” 

        Tuhan melihat Abraham penuh dengan kasih, lalu Dia berjanji kepada Abraham, bahawa Dia tidak akan memusnahkan kota Sodom jika ada 10 orang benar dalam Kota Sodom. Maka tenanglah hati Abraham kerana dia berfikir begitu banyak orang dalam kota Sodom, tidak mungkin 10 orang benar pun tidak ada, dia pun berterima kasih kepada Tuhan dan pulang ke rumahnya. Namun, sejak awal lagi Tuhan sudah mengetahui, tidak akan ada 10 orang benar di Kota Sodom. Maka, pada malam itu, Tuhan mengutus dua malaikat pergi ke kota Sodom untuk mencari orang benar, kemudian bersdia memusnahkan semua orang yang ada di dalam Kota Sodom dengan api.


Lot Melayani Malaikat

Lot sama sekali tidak mengetahui hal tentang Abraham memohon bagi Kota Sodom. Pada suatu hari, Lot melihat dua orang tetamu di pintu kota, lalu dia menjemput tetamu itu untuk tinggal dan makan di rumahnya. Baru sahaja mereka siap makan, rumah Lot dikelilingi oleh ramai orang jahat, mereka datang bukan mahu menjemput kedua-dua tetamu ini ke rumah mereka untuk bermain bersama, juga bukan untuk memberi makanan yang enak kepada tetamu, sebaliknya mereka ingin mempermainkan dan menghina kedua-dua tetamu itu. Lot ingin menyelamatkan kedua-dua tetamu ini. Dia membuka pintu dan menasihatkan orang-orang jahat itu agar jangan membuli dua tetamu itu tetapi orang-orang jahat itu enggan mendengar nasihat Lot. Mereka berasak-asakan, menghimpit Lot, mahu memecahkan pintu, supaya dapat masuk untuk menangkap dua tetamu itu. Sebenarnya, dua tetamu ini ialah malaikat Tuhan, mereka ada  kuasa yang diberikan Tuhan. Malaikat menghulurkan tangan dan menarik Lot masuk, serta membutakan mata orang-orang jahat itu, mereka mencari pintu tetapi tidak dapat, lalu pulanglah mereka.


Malaikat Menyelamatkan Lot Dan Seisi Keluarganya

Malaikat berkata kepada Lot: “Orang di Kota Sodom ini terlalu jahat, Tuhan akan memusnahkan orang-orang jahat ini dan tempat tinggal mereka dengan api, jadi kamu dan seisi keluargamu haruslah melarikan diri.” Pada keesokan hari, ketika fajar menyingsing, malaikat mendesak mereka untuk cepat pergi, dan berkata kepada mereka: “Janganlah kalian menoleh ke belakang, larilah sampai ke tempat yang selamat, barulah berhenti.” 


Isteri Lot Menjadi Tiang Garam

Lot dan seisi keluarganya berlari maju ke depan. Mereka berlari maju ke depan seperti sedang berlumba, semua takut dibakar oleh api. Lot ingat akan perkataan malaikat, tidak boleh menoleh ke belakang, harus terus berlari maju ke depan, jadi dia pun maju ke depan dan terus berlari. Namun, sambil berlari, isteri Lot sambil berfikir, benar-benarkah ada api dari langit akan membakar dan menghanguskan Kota Sodom? Banyak bajuku yang cantik, banyak makanan yang enak tertinggal di rumah, sayang sekali jika dijilat api! Dia melupakan perkataan malaikat kerana hatinya merasa sayang melepaskan semuanya itu, lalu dia menoleh ke belakang. Aiya! Betapa besarnya api yang sedang membakar Kota Sodom! Pada waktu itu juga, isteri Lot yang tidak menurut kata itu menjadi tiang garam yang tidak dapat bergerak, tidak dapat sudah berbicara, berjalan, maka dia mati dengan begitu sahaja.


Kesimpulan 

Adik-adik, oleh kerana Abraham dan Lot melayani orang lain dengan penuh kasih, jadi Tuhan rela menyelamatkan Lot, mendengar permohonan Abraham. Tuhan Yesus juga pernah berfirman bahawa, asalkan kita melayani saudara dan saudari, kita juga sedang melayani Tuhan Yesus. Oleh itu, Tuhan berkenan kepada anak baik yang melayani tetamu dengan kasih. Pada minggu yang lalu, cikgu sudah mengajar adik-adik dalam hal bagaimana menjemput dan melayani tetamu ketika ada tetamu datang. Sekarang jika tetamu ingin pulang, bagaimana kita menghantar tetamu ke luar rumah? (Membiarrkan kanak-kanak menyuarakan pendapat, guru tidak memberi apa-apa komen) Baiklah, minggu depan, kita akan dengar kisah Tuhan mengurniakan Abraham seorang bayi. Sampai kita jumpa lagi!