BAB 9 : MENYEBERANGI LAUT
Nas Alkitab : Keluaran 13:17–14:31
Ayat Bacaan : Keluaran 14:13-14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Tuhan yang Maha kuasa membuatkan orang Israel menyeberangi laut Teberau dengan selamat.
- Rela hidup bergaul dengan Tuhan: berserah dan bersandar kepada Tuhan dalam segala hal.
Ayat Hafalan :
Air menutupi para lawan mereka, seorangpun daripada mereka tiada tinggal. (Mazmur 106:11)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Kertas manuskrip, pensel, gambar-gambar pengajaran dan pembelajaran. (Gambar yang berkaitan disediakan oleh guru).
Doa :
Di dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan yang Maha kuasa, kami tahu Engkau memimpin umat Israel berjalan di dasar laut dengan kuasa besar-Mu. Ya Tuhan, kami memohon agar Engkau memimpin kami dalam jalan yang akan kami tempuhi, kami rela percaya dan bersandar kepada-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Tuhan menjaga Musa yang masih kecil, sehingga dia menjadi anak puteri. Semasa Musa masih kecil, dia sangat pintar dan mendengar cakap, semua orang suka akannya. Bila Musa sudah dewasa, Tuhan menyertainya dan mahu dia menjadi seorang pembantu yang baik supaya dia menuntun bangsa Israel keluar dari Mesir. Raja tidak mahu membenarkan orang Israel pergi beribadah kepada Tuhan, maka Tuhan telah melakukan sepuluh perkara yang ajaib. Raja menjadi sangat takut dan akhirnya dia menyuruh Musa segera menuntun bangsa Israel keluar meninggalkan Mesir.
Tiang Awan dan Tiang Api
Musa menuntun ramai orang Israel meninggalkan Mesir. Ke manakah mereka pergi? Jalan manakah yang harus mereka tempuhi? Dengan adanya bantuan dan jagaan daripada Tuhan, maka mereka langsung tidak berasa takut. Dengan cara apakah Tuhan memberitahu Musa dan umat Israel jalan yang harus mereka tempuhi? Pada waktu siang, Tuhan menggunakan sebatang tiang yang seperti awan (Lukiskan gambar tiang awan di papan tulis), gantung tinggi di langit, asalkan umat Israel mengangkat kepala, mereka pasti dapat melihat tiang awan. Kita sama-sama sebut “tiang awan”. Maka Musa dan bangsa Israel berjalan mengikut tiang awan. Tiang awan ini tidak pernah meninggalkan mereka, bahkan sentiasa menuntun jalan di depan mereka. Jika tiang awan berhenti, bangsa Israel pun berhenti berehat.
Pada waktu malam, tiang awan tidak lagi kelihatan, Tuhan mengubahkan tiang awan menjadi sebatang tiang api yang memancarkan cahaya. Bangsa Israel berjalan mengikut tiang api pada waktu malam. (Gunakan pen merah dan lukis gambar di papan tulis).
Musa memimpin bangsa Israel berjalan mengikut tiang awan dan tiang api. Adik-adik kecil juga berjalan maju ke depan bersama dengan ibu bapa. mereka mahu pergi ke Tanah Kanaan, tanah air mereka yang sangat jauh. Tanah Kanaan adalah tempat yang pernah didiami nenek moyang mereka.
Tentera Mesir Mengejar
Setelah bangsa Israel meninggalkan Tanah Mesir, tidak ada lagi bangsa Israel yang membantu melakukan kerja yang berat di Mesir. Orang Mesir terpaksa melakukan kerja berat sendiri. Oleh itu, orang Mesir ingin menangkap bangsa Israel kembali ke Mesir untuk melakukan kerja untuk mereka. Maka raja pun mengutus banyak tentera yang membawa tombak dan pedang dengan kereta kuda untuk mengejar bangsa Israel.
Bangsa Israel sudah sampai di tepi laut Teberau, dari jauh lagi mereka mendengar bunyi kereta kuda dan berasa takut. Apabila mereka mendapat tahu bahawa tentera Mesirlah yang datang mengejar mereka, mereka berasa lagi takut dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Jika mereka lari ke depan, di hadapan mereka adalah laut, jika mereka lari ke belakang, maka mereka akan ditangkap oleh tentera Mesir dan dibawa kembali ke Mesir untuk melakukan kerja yang berat.
Musa berseru kepada Tuhan, Tuhan berfirman kepada Musa : “Katakanlah kepada umat Israel supaya jangan takut. Nantikanlah dengan diam. Allah akan berperang untuk kamu. Katakan kepada orang Israel supaya mereka terus maju ke depan. Apabila berjalan sampai ke tepi laut, angkatlah tongkatmu dan ulurkanlah ke atas laut maka air laut akan terbelah, kamu akan berjalan dan menyeberang melalui dasar laut.”
Bangsa Israel berjalan dari Tengah-tengah Laut
Umat Israel terus maju ke hadapan menurut firman Tuhan, apabila sampai di tepi laut, Musa mengangkat tongkatnya dan dihulurkannya ke atas laut (Hulurkan tongkat). Tuhan menguakkan air laut dengan angin yang bertiup dengan keras, terbelahlah air laut dan dasar laut itu menjadi tanah kering. Wah, betapa gembiranya orang Israel apabila melihat keadaan ini. Mereka berjalan dan berjalan dengan cepat. Jalan ini merupakan jalan dasar laut yang tidak pernah ditempuh oleh sesiapapun. Orang Israel berjalan di atas jalan dasar laut ini dengan gembira dan kagum. Adik-adik, lembu, anak kambing pun berjalan atas jalan dasar laut ini. Ibu dan bapa tidak berasa takut lagi, adik-adik pun tidak takut lagi, sebab umat Israel tahu bahawa Tuhan akan menjaga mereka.
Tentera Mesir Mati Lemas di Laut
Setelah kesemua orang Israel melewati tempat kering di tengah-tengah laut, tentera Mesir juga telah sampai di tepi laut. Mereka melihat orang Israel semua berjalan di tempat kering di tengah-tengah laut, lalu mereka juga mengejar dan menyusuli orang Israel dengan kuda dan kereta. Bila sampai di tengah jalan, alamak! Roda kereta terlepas, kereta kuda tidak dapat bergerak. Apakah yang boleh mereka buat? Tentera Mesir sangat takut, mereka berfikir dalam hati: Marilah kita meninggalkan orang Israel, sebab Tuhanlah yang berperang dan melawan kita untuk mereka. Mereka berlari dengan sekuat tenaga. Tuhan berfirman kepada Musa supaya menghulurkan tongkatnya ke atas laut, “Dentum”! berbaliklah segala air itu. Tentera Mesir dan kuda-kuda mereka semua terminum banyak air laut sampai penuh perut dan tidak dapat bercakap dan bergerak lagi. Mereka tidak dapat menangkap bangsa Israel. Mereka juga tidak dapat kembali ke Mesir. Eh, ke mana mereka pergi? (Berhenti seketika, biarkan adik-adik melegakan nafas, mengembalikan semangat, kemudian minta mereka beri pendapat) Oh, betul! Mereka semua ditenggelami air laut. (Nada perlahan-lahan, sebut satu perkataan demi satu perkataan).
Berserah dan Bersandar kepada Tuhan dalam Segala Hal
Umat Israel yang berada di darat melihat semua tentera Mesir, kuda dan kereta kuda tenggelam ke dalam laut. Wah, hebatnya! Betapa agungnya Tuhan! Mereka tidak dapat datang mengejar orang Israel lagi, semua orang sama-sama menyanyi memuji Tuhan dan bersyukur kepada Tuhan.
Adik-adik, betapa besarnya perbuatan yang dilakukan Tuhan dengan tangan-Nya yang kuat untuk bangsa Israel dan menuntun mereka menyeberangi laut Teberau. Kini, Tuhan juga akan menjaga kita dengan tangan-Nya yang kuat, tidak kira di mana kita berada, Tuhan pasti akan bersama kita, sentiasa menjaga kita. Dengan itu, biarpun kita berjalan sampai ke mana, janganlah kita berasa takut. Asalkan kita sentiasa berdoa memohon pimpinan Tuhan, maka kita pasti akan keluar dari rumah dengan gembira dan balik ke rumah dengan selamat. Sekarang, cikgu memberi kamu seorang sehelai kertas, senaraikan semua perkara yang kamu rela serahkan kepada Tuhan.
Sesi Aktiviti :
- Nama aktiviti : Sepucuk surat untuk Tuhan Yesus
- Objektif aktiviti: Belajar bersandar dan berserah kepada Tuhan dalam segala hal, biarpun hal yang susah mahupun hal yang menggembirakan, semuanya boleh kita beritahu kepada Tuhan.
- Persediaan sebelum aktiviti: pensel, pemadam
- Isi kandungan aktiviti:
- Guru bertanya kepada adik-adik adakah mereka masih ingat hal yang paling menggembirakan. (adik-adik memberikan pendapat secara bebas)
- Seterusnya, tanya adik-adik adakah mereka mempunyai perkara yang paling menyedihkan atau masalah yang tidak dapat diselesaikan? (juga minta kanak-kanak memberi pendapat secara bebas)
- Tanya lagi kepada adik-adik: Ada sesiapa yang ingin memberitahu Yesus perkara yang paling menggembirakan dan paling menyusahkan? Akhirnya beritahu adik-adik: kita bukan hanya memberitahu Yesus perkara yang paling menyedihkan, tetapi boleh juga memberitahu Yesus perkara yang paling menggembirakan dan bersyukur kepada Tuhan.
- Seterusnya, beritahu adik-adik: Selain berdoa dan berbicara kepada Tuhan, kita juga boleh menulis surat kepada Tuhan Yesus untuk memberitahu Tuhan Yesus suara hati kita. (seterusnya bolehlah mula aktiviti)
- Hal-hal yang perlu diperhatikan :
Penulisan surat dimulakan dengan: Haleluya, di dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan surat ini kepada Tuhan Yesus dan diakhiri dengan menulis nama penulis dan “Imanuel”.