Nas Alkitab : Daniel Fasal 6
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Ketahui bahawa Daniel berpegang pada firman dan dilindungi oleh Tuhan.
- Mampu melakukan apa yang diperintahkan Tuhan: (3) Mampu mengatakan satu perkara tentang Tuhan menjaga diri anda atau keluarga anda.
Ayat Hafalan :
Allah sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti. (Mzm 46: 2)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
- Gambar pengajaran dan kad tulisan yang berkenaan disediakan oleh guru.
- Mengumpulkan gambar binatang buas atau model haiwan (seperti mainan plastik).
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi. Engkau ialah Tuhan yang agung dan penyayang. Tidak kira siang atau malam, Engkau melindungi kami dan menjaga keselamatan kami. Kami harus selalu berdoa untuk mengucapkan terima kasih kepada Engkau. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik, apakah ini? (Tunjukkan gambar haiwan). Pernahkah anda melihat haiwan yang hidup ini? Anda melihatnya di mana? Adakah terdapat haiwan-haiwan yang lain di zoo? Bolehkah mereka berjalan di luar dengan sewenang-wenangnya? Sekiranya ada harimau atau singa berada di jalan, apakah yang akan berlaku? Hmm! Harimau dan singa adalah haiwan yang sangat buas. Sekiranya mereka marah, mereka mungkin memakan orang! Hari ini cikgu akan bercerita tentang gua singa.
Gua Singa
Pada zaman dahulu, seorang raja memelihara banyak singa besar (Tunjukkan gambar) dan menempatkannya di gua singa. Tempat itu dalam dan besar. Jika ada orang tidak mematuhi perintah raja, raja akan menjadi marah dan menyuruh tentera untuk membuangnya ke dalam gua singa dan membiarkan singa memakannya. Cuba kamu fikir, adakah raja ini sangat bengis?
Perintah Raja
Pada minggu yang lalu kita sudah mendengar kisah Raja Babel yang membuat patung emas besar (Tunjukkan gambar). Setelah bertahun-tahun kemudian, raja yang lain telah menggantikannya. Pada suatu hari, beberapa orang jahat melaporkan kepada raja: “Raja! Negara kita semakin kuat. Ini semua jasamu, Raja! Kamu sangat agung. Jadi kami ingin meminta raja menyampaikan satu perintah. Mulai keesokan hari, dalam masa satu bulan, tidak kira siapa pun, mereka hanya boleh memohon sesuatu kepada raja, dan tidak boleh memohon sesuatu daripada orang lain atau Tuhan. Sekiranya ada orang melanggar perintah, dia akan dibuang ke dalam gua singa untuk digigit dan dibunuh oleh singa.”
Raja sangat gembira dan berasa bahawa dirinya hebat. Jadi dia mendengarkan kata-kata orang jahat ini dengan tidak berfikir masak-masak. Kemudian dia memberi perintah ini dan dalam masa sebulan, rakyat di seluruh negara hanya boleh menyembah kepada raja. Mereka tidak boleh menyembah Tuhan atau meminta orang lain untuk apa-apa sahaja. Semua orang sangat takut setelah mendengar hal ini!
Daniel Mempertahankan Iman Kepercayaan
Namun, ada seorang pembesar tua di istana. Dia berasal dari kerajaan Yehuda (Tunjukkan kad nama). Ketika dia masih remaja, dia ditangkap oleh raja Babel dan dibawa ke kerajaan Babel. Walaupun dia tinggal di negara penyembah berhala, dia tidak pernah melupakan Tuhan. Oleh itu, Tuhan benar telah memberikan hikmat kepadanya sehingga dia menjadi sangat bijak. Dia sering menolong raja untuk menyelesaikan banyak masalah yang sukar. Oleh itu raja Babel sangat menyukainya lalu melantiknya sebagai pegawai yang sangat penting dan memberikannya banyak wang. Tahukah anda siapakah dia ini? Dialah Daniel yang hanya memakan sayur-sayuran dan air kosong (Tunjukkan kad nama). Semua baca sebanyak tiga kali.
Sekarang rambut dan janggutnya sudah berwarna putih dan dia adalah orang tua. Dia sangat mengasihi Tuhan dan dia pasti berdoa sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Dia tidak mempedulikan perintah raja yang baharu. Dia membuka tingkap pada waktu pagi, tengahari, dan malam dan tetap berlutut di depan tingkap untuk berdoa. Orang-orang jahat bersembunyi di luar dan mengintipnya (Tunjukkan gambar). Mereka pergi melapor kepada raja dan raja memberi perintah untuk menangkap Daniel.
(Raja tahu bahawa Daniel adalah orang yang baik. Akan tetapi Daniel telah melanggar perintah raja dan terpaksa membuangkannya ke dalam gua singa). Wah! Sungguh dahsyat! Apakah yang boleh dilakukan oleh Daniel di gua singa? Banyak singa menyerbu ke arahnya! Adik-adik cubalah fikirkan cara untuk membantunya! (Kanak-kanak menyuarakan pendapat).
Raja Berasa Bimbang
Sebenarnya raja sangat menyukai Daniel. Akan tetapi disebabkan dia sudah memberikan perintah itu, adalah mustahil untuk raja tidak melaksanakannya. Jika tidak, raja akan ditertawakan oleh rakyat bahawa dia bercakap kosong. Sepanjang malam, raja bimbang dan tidak dapat tidur. Keesokan harinya, sebaik saja subuh, dia berlari ke pintu gua singa sambil memanggil dengan sedih: “Daniel! Sanggupkah Tuhan yang selalu kamu layani itu menyelamatkan kamu?”
Tiba-tiba dia terdengar suara dari dalam gua yang berkata, “Hiduplah raja! Saya ada di sini.” “Hairan! Ini suara Daniel!” Raja hampir tidak mempercayai telinganya. Dia menanya dengan kuat: “Benarkah kamu tidak dimakan oleh singa?” Daniel berkata: “Demikian laporan kepada raja, Tuhan yang tunggal dan benar yang saya sembah (Tunjukkan kad nama), telah mengutus malaikat untuk mengatupkan mulut singa sehingga singa-singa tidak dapat membuka mulutnya untuk menggigit saya!” Daniel benar-benar tidak mati! Raja sangat gembira!
“Ayuh! Cepat! Ambilkan tali untuk menarik Daniel keluar!” Semasa Daniel ditarik ke atas, singa-singa di bawah semua membuka mulut mereka : “Aum! Aum!” Singa-singa mengaum dan melompat mahu memakan orang! Raja menyentuh tubuh Daniel. Sungguh menghairankan, dia tinggal bersama singa sepanjang malam tanpa mengalami sebarang kecederaan. Bahkan pakaiannya pun tidak dikoyakkan oleh singa! Raja berkata: “Tuhan yang kamu sembah sungguh agung! Dia telah menyelamatkan kamu.”
Kesudahan Orang-orang Jahat
Kemudian, raja memahami bahawa orang-orang yang telah menyampaikan laporan kepada raja sengaja mahu memfitnah Daniel. Mereka cemburu pada Daniel ketika melihat raja itu sangat baik kepada Daniel. Raja berasa sangat marah! Dia memerintah supaya mereka semua ditangkap dan dilemparkan ke dalam gua singa. Dalam beberapa minit sahaja, mereka semua dimakan oleh singa sehingga pakaian pun tidak tinggal. Ini kerana mereka benar-benar orang jahat dan Tuhan tidak akan melindungi orang jahat.
Tuhan Pertolongan Kita Setiap Waktu Dalam Kesusahan
Di gereja terdapat sepasang adik-beradik perempuan kembar yang berumur sekitar tiga tahun. Mereka sangat comel. Xiao Ni putih dan gemuk dan Xiao Qi pula putih dan kurus. Kedua-dua saudari itu sangat mesra, dan sering bermain bersama di rumah.
Pada suatu hari, ketika ayah sedang membaca surat khabar di rumah, tiba-tiba terdengar Xiao Qi berteriak: “Ayah! Ayah!” Ayah segera keluar, Alamak! Ada seekor anjing gila yang besar mengejar kedua-dua adik-beradik itu. Xiao Ni gemuk dan tidak dapat berlari dengan pantas lalu dia terjatuh. Ayah melihat anjing gila itu meluru ke arah Xiao Ni dengan menunjukkan gigi dan cakarnya. Ayah berteriak dengan cemas: “Haleluya!”
Perkara yang pelik berlaku, anjing gila itu terpegun begitu saja. Pada masa yang sama, seolah-olah ada orang menarik ekor anjing dan menyeretnya ke belakang. Ayah bergegas ke depan dan mendukung Xiao Ni. Pak cik jiran juga datang dan semua orang bekerjasama untuk menangkap anjing itu. Tanah di mana anjing itu berdiri, ada garis-garis putih yang merupakan bekas geseran cakar anjing ke arah belakang!
Ramai jiran melihatnya dan mengagumi anugerah Tuhan yang ajaib. Dalam Mazmur 46 ayat 2 tertulis: “Tuhan sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti.” (Tunjukkan kad). Baca sehingga lancar. Kesesakan bermaksud menghadapi bahaya dan kesusahan. Maksudnya, bagi kita yang bersandar pada Tuhan dan mendengar perintah Tuhan, Tuhan sentiasa bersama kita, melindungi kita dan menjaga keselamatan kita pada setiap masa.
Adik-adik, adakah kamu semua dalam keadaan selamat? Cuba kamu ceritakan, bagaimana Tuhan menjaga kamu? (Kanak-kanak menyuarakan pendapat).
(*Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak di kelas mempunyai pengalaman menerima anugerah Tuhan, boleh bimbingnya untuk menyampaikan kesaksian. Guru juga boleh menyampaikan kesaksiannya sendiri).
Kita masing-masing telah mendapat perlindungan Tuhan Yesus dan harus memberitahu semua orang tentang anugerah Tuhan supaya semua orang dapat memuji kasih Tuhan bersama-sama. Dengan demikian Tuhan Yesus akan lebih mengasihi kita dan memberi kita lebih banyak berkat.