Nas Alkitab : Hakim-hakim 4:1-24; 5:1-6
Ayat Bacaan : Hakim-hakim 4:3; 8; 14
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa Debora membantu Barak yang lemah iman, memperoleh kemenangan.
- Bersedia melakukan perkara yang dikenan Tuhan.
- Membantu mereka yang takut di dalam hati mereka.
Ayat Hafalan :
Waktu aku takut, aku ini percaya kepada-Mu (Mazmur 56:4)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar bantu mengajar (gambar yang berkaitan disediakan oleh guru), buku atau gambar senjata perang.
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Syukur kepada Tuhan, kata-kata-Mu benar dan boleh dipercayai. Saya sanggup mempercayai kata-kata-Mu dan perbuat menurut kata-kata-Mu. Terima kasih kerana memberi saya iman untuk bersandar kepada-Mu sewaktu saya dalam ketakutan. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik, sains kini sangat maju dan senjata yang digunakan dalam peperangan juga merupakan jenis senjata baharu. Bolehkah kamu nyatakan beberapa jenis senjata yang kuat dan hebat? (Kanak-kanak sila jawab). Hari ini cikgu akan menceritakan kisah yang menarik.
Umat Israel Dalam Kesusahan
Selepas umat Israel memasuki tanah Kanaan, mereka menetap di situ dan tidak perlu berpindah-randah untuk mencari tempat tinggal. Ini kerana tanah Kanaan adalah tempat yang Tuhan janjikan untuk diberikan kepada mereka. Ketika usia Yosua sudah tua, umat Israel tetap berjanji di hadapan Yosua bahawa mereka akan menyembah Tuhan Benar seumur hidup mereka. Tetapi selepas Yosua mati, umat Israel secara beransur-ansur lupa semua perkara yang Tuhan Benar pernah lakukan untuk mereka. Orang muda berkahwin dengan orang Kanaan, dan perkara yang paling teruk ialah ikut orang Kanaan menyembah berhala yakni Baal. Tuhan Benar sering memberi amaran kepada mereka bahawa jika mereka tidak menyembah Tuhan Benar, sebaliknya menyembah berhala maka mereka akan dihukum. Orang Israel masih tidak mendengar maka datanglah hukuman Tuhan Benar.
Pada masa ini, terdapat sebuah negara berhampiran, secara beransur-ansur menjadi kuat. Panglima mereka, Sisera, mempunyai 900 buah kereta besi yang merupakan senjata baharu. Mari kita lihat petikan kitab suci, sila buka alkitab Hakim-Hakim 4:3 “dua puluh tahun lamanya ia menindas orang Israel dengan keras.” Selepas umat Israel mengalami penindasan yang secukupnya, mereka menyedari bahawa punca penderitaan mereka adalah kerana mereka telah melupakan Tuhan, lalu mereka berseru kepada Tuhan dalam kesusahan mereka.
Debora Hakim Perempuan
Kadang-kadang kita lupakan Tuhan namun Tuhan takkan lupakan kita. Apabila Tuhan mendengar pertobatan orang Israel, Dia mengatur seseorang untuk menolong mereka. Orang ini bernama Debora, seorang nabiah. Seorang nabi adalah jurucakap Tuhan dan juga hakim. Apabila umat Israel dalam kesusahan, mereka akan meminta bantuan daripada Debora. Debora akan menyelesaikan masalah mereka dan memberitahu mereka bagaimana untuk melakukannya.
Debora Membantu Barak
Pada suatu hari Tuhan memberitahu Debora bagaimana untuk mengalahkan musuh lalu dia menghantar seseorang untuk menjemput Panglima Barak. Apabila Panglima Barak tiba, Debora berkata kepadanya : “Bukankah Tuhan, Tuhan Israel, memerintahkan demikian: Majulah, bergeraklah menuju gunung Tabor dengan membawa sepuluh ribu orang, Aku akan menyerahkan Sisera dan kereta-keretanya dan pasukan-pasukannya ke dalam tanganmu.” Barak berfikir dalam hati : “Adakah Tuhan Benar betul-betul akan menyerahkan tentera yang begitu kuat ke dalam tangan saya?” Jawab Barak kepada Debora : “Jika engkau turut maju aku pun maju, tetapi jika engkau tidak turut maju aku pun tidak maju.” (Hak 4:8) Debora seorang wanita yang berani. Dia percaya bahawa jika Tuhan mengatakan Dia akan mengalahkan Sisera, Dia pasti akan mengalahkan Sisera. Debora percaya bahawa apa yang Tuhan katakan tidak pernah salah. Kata Debora: “Baik, aku ikut!”
Melihat bahawa iman Debora teguh, Barak juga penuh iman terhadap Tuhan. Maka Barak mematuhi perintah Tuhan dan memanggil 10,000 umat Israel ke Gunung Tabor seperti yang diperintahkan Tuhan dan bersedia untuk memerangi Sisera.
Barak Memerangi Sisera
Musuh – Sisera ketika mendengar berita ini, segera memanggil tenteranya yang kuat dan 900 kereta besi ke arah Sungai Kison. Pada masa ini Debora, Barak dan 10,000 umat Israel di atas gunung itu melihat Sisera sedang menyusun kereta-kereta besi dalam satu barisan. Mereka seolah-olah mendengar Sisera sedang menyampaikan arahan di atas gunung. Orang Kanaan yang garang telah berkumpul di tebing sungai Kison. (tunjukkan gambar). Barak tidak dapat menahan rasa takut apabila melihat musuh di hadapan. Debora tahu bahawa Barak takut, jadi dia memberi dorongan kepada dia lagi. Mari buka alkitab (Hakim-hakim 4:14), Lihat apa yang dikatakan Deborah. Sila ikut cikgu dan baca : Lalu berkatalah Debora kepada Barak : “Bersiaplah, sebab inilah harinya TUHAN menyerahkan Sisera ke dalam tanganmu. Bukankah TUHAN telah maju di depan engkau?” (Guru baca dengan nada yang kuat).
Barak menerima galakan Debora dan menjadi kuat semula. Dia membawa 10,000 orang Israel dan menuruni gunung untuk melawan kereta besi dan tentera berkuda Sisera.Tiba-tiba ada angin kencang di langit, guruh berdentum dan hujan lebat turun. Kereta besi Sisera semuanya meluru menyeberang Sungai Kison. Tanpa diduga air sungai itu naik sampai kedua dua tebing. Tuhan membuat Sisera dan semua keretanya terjerumus ke dalam lumpur sehingga roda pun tidak dapat bergerak.
Barak dan tenteranya segera meluru ke hadapan dan mengejar tentera Sisera. Tentera Sisera telah dilenyapkan dan tiada seorang pun dapat melarikan diri.Sisera mengambil kesempatan daripada kekacauan itu dan melarikan diri secara diam-diam. Beginilah Tuhan telah membantu umat Israel mengalahkan Panglima Sisera, musuh mereka.Alkitab menyatakan : “Selepas Barak mengalahkan Sisera, lalu amanlah negeri itu empat puluh tahun lamanya.” (Hakim-hakim 5:31)
Bagaimana Saya Membantu Mereka Yang Takut
Barak ingin melawan musuh, tetapi dia takut dan memerlukan dorongan kawan-kawannya. Tahukah kamu siapa yang mendorong dan membantunya? (Debora).
Apabila abang, kakak atau kawan kita takut, apakah cara yang kamu gunakan untuk membantu mereka? Sila angkat tangan. (Biarkan kanak-kanak jawab). Jika adik lelaki atau perempuan kamu takut gelap, kamu akan segera memasang lampu untuknya; kamu tidak akan sengaja membiarkannya dalam kegelapan untuk membuatnya lebih takut. Jika seseorang telah melakukan sesuatu yang salah dan dia takut, bagaimana kamu boleh membantunya? (Biar kanak-kanak jawab dahulu). Ya! Kita masih perlu berkawan dengannya, galakkan dia berdoa di hadapan Tuhan, memohon ampun kepada Tuhan, dan hari kelak mesti berusaha untuk menjadi anak yang baik.
Sesi Aktiviti :
- Nama aktiviti: Saksian
- Matlamat aktiviti:
- Menggalakkan adik-adik untuk memberi kesaksian dan memahami kepentingannya.
- Ketahui cara memberi kesaksian dan ceritakan pengalaman sendiri
- Persediaan sebelum aktiviti: Pilih adik-adik tertentu untuk memberi kesaksian dan sediakan kandungan saksian.
- Kandungan aktiviti:
- Guru terlebih dahulu bersaksi dan menerangkan kaedah serta butiran saksian. Contoh: Penampilan kemas, bersih dan kelantangan suara, Apabila memberi kesaksian, mula dengan berdoa dalam hati, sebelum memberi kesaksian, ucap “Dalam nama Tuhan Yesus memberi kesaksian. Selepas kesaksian, berkata bahawa “kesaksian saya sampai di sini, semoga segala kemuliaan diberikan kepada Tuhan…” dan seterusnya.
- Apabila adik-adik naik ke mimbar untuk bersaksi, guru harus mencatat kandungan penting; kelebihan dan kelemahan pelajar, dan kemudian membimbing serta memberi galakan yang sewajarnya.
- Perhatian: Skop dan kandungan kesaksian tidak terbatas, sama ada anugerah diterima secara peribadi ataupun pengalaman ahli keluarga. Guru perlu memaklumkan adik- adik satu atau dua minggu lebih awal supaya mereka bersedia sepenuhnya dan boleh bertanya kepada bapa dan ibu mereka tentang proses menerima kasih karunia Tuhan Yesus yang menakjubkan bagi keluarga mereka.