Mesej Untuk Guru:
Guru yang dikasihi, kebangkitan Yesus menunjukkan bahawa Dialah Tuhan yang setia, Tuhan yang sudah ada dan kekal ada. Walaupun mereka tidak melihat Tuhan Yesus dengan mata mereka sendiri tetapi hanya kain kapannya, namun Petrus, Yohanes serta beberapa murid-murid yang lain percaya akan kata-kata yang Tuhan Yesus pernah sampaikan. Walaupun begitu, Tuhan Yesus masih berkata di Lukas 24:25, “Betapa lambannya hatimu, sehingga kamu tidak percaya segala sesuatu.” Namun, jika dibandingkan dengan Tomas yang tidak percaya selagi dia tidak melihat dan menyentuh, Tuhan tetap memuji “Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya.” Perbuatan dan kasih karunia Tuhan sering dinyatakan pada waktu yang tidak dijangka. Sama seperti murid-murid apabila mereka kehilangan Tuhan, mereka pun kehilangan tumpuan hidup lalu kembali kepada pekerjaan mereka yang asal, iaitu menangkap ikan. Sewaktu mereka kelesuan fizikal dan mental namun masih tidak memperoleh apa-apa, Tuhan pun muncul. Kasih karunia-Nya dari awal lagi telah melampaui jala ikan, bahkan ditambah dengan sarapan yang hangat. Jumlah tangkapan ikan yang banyak adalah pemberian Tuhan, tetapi Tuhan masih berkata ‘Ambillah (bawa sini) sedikit ikan yang dijala sebentar tadi’. Ini adalah supaya kita belajar mengembalikan secara percuma kasih karunia yang kita terima secara percuma juga dan melakukannya dengan sedaya upaya kita. Tuhan yang tidak kelihatan menguji iman manusia dengan cara yang tidak kelihatan, terutamanya selepas berdoa dengan bersungguh-sungguh tetapi masih tidak faham bila masanya kehendak Tuhan akan terlaksana. Kebimbangan, kegelisahan atau kepercayaan yang tenang adalah indeks iman kita! Marilah kita saling mendorong!
Nas Alkitab: Markus 16:1-4; Yohanes 20; 21:1-14; Kisah Para Rasul 1:1-11
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran:
Mengetahui bahawa Tuhan yang setia penuh dengan kasih setia dan belas kasihan.
Ayat Hafalan:
Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya. (Yohanes 20:29)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran:
Gambar /lukisan keadaan di dalam kubur, Alkitab.
Doa:
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Bapa syurga yang dikasihi, pada hari ini kami sekali lagi berkumpul di kelas tadika untuk menyembah kepada-Mu. Kami menyanyi kidung dengan bersungguh-sungguh dan mendengar cerita dengan penuh perhatian. Kami mahu menjadi domba kecil-Mu yang baik dan juga mahu berterima kasih kepada-Mu kerana Engkau sentiasa menyertai kami. Walaupun kami tidak dapat melihat Engkau, namun mata-Mu sentiasa melihat kami. Engkau tahu apa yang kami fikirkan dan yang kami lakukan. Engkau akan membantu kami dan mendengarkan doa kami. Kasih-Mu sentiasa berlimpah buat selama-selamanya. Kami bersyukur kepada-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran:
Pendahuluan
Adik-adik sekalian, cuba kita fikirkan, kisah siapakah yang diceritakan baru-baru ini? (Tuhan Yesus). Ketika Tuhan Yesus tahu bahawa diri-Nya akan ditangkap, apakah perkara yang telah dilakukan-Nya untuk kita pelajari? (Membasuh kaki murid-murid, makan roti tidak beragi dan minum hasil pokok anggur). Ketika Tuhan Yesus berasa sangat sedih, Dia telah membawa murid-murid-Nya ke taman Getsemani untuk berbuat apa? (Berdoa). Apakah kelainan dalam doa Tuhan Yesus? (Doa yang menurut kehendak Tuhan, penuh perhatian dan bersungguh-sungguh sehingga titisan peluh-Nya sangat besar). Inilah yang harus dipelajari oleh cikgu dan adik-adik. Ramai orang berasa sangat letih apabila mendengar tentang ‘berdoa’. Ada yang kadang-kadang dengan sengaja pergi ke tandas, minum air, tidak menutup mata dan ada pula yang bergurau dengan orang yang di sebelah. Ini akan membuat Tuhan sangat sedih! Pada minggu yang lalu, cikgu telah bercerita tentang Tuhan Yesus disalibkan dan mati di atas kayu salib demi menyelamatkan kita. Apakah yang perlu dilakukan sekarang? Siapakah lagi yang dapat membantu kita? (kanak-kanak mengemukakan jawapan). Walaupun tubuh Tuhan Yesus telah dibalut dengan kain dan telah diletakkan di dalam kuburan, namun jangan kita lupa, siapakah Tuhan Yesus itu. Ya, Dialah Tuhan benar dan agung yang berkuasa atas kehidupan. Mari kita lihat pada hari ini, apakah yang terjadi kepada Tuhan Yesus setelah diletakkan dalam kuburan selama tiga hari?
Tuhan Yesus Bangkit
(Guru melukis gambar sambil bercerita). Pada hari ketiga Tuhan Yesus diletakkan di dalam kuburan, para sahabat-Nya dan Maria awal-awal pagi lagi bergegas ke kuburan untuk melihat Tuhan Yesus. Mereka juga telah membawa rempah-rempah untuk meminyaki tubuh Tuhan Yesus. Mereka berjalan sambil berbincang bagaimana untuk memindahkan batu besar di depan kuburan Tuhan Yesus. Akan tetapi setibanya mereka di kuburan, mereka melihat dan berkata, “Ah! Mengapakah kuburan Tuhan Yesus terbuka?” Maria segera masuk ke dalam dan cuma melihat kain yang membalut tubuh Tuhan Yesus telah diletak dengan rapi di tepi. Bagaimanakah pula dengan Tuhan Yesus? Habislah! Tubuh Tuhan Yesus telah hilang? Maria segera berlari untuk memberitahu Petrus dan seorang lagi murid Yesus. Mereka juga bergegas untuk melihatnya lalu mereka teringat apa yang Yesus katakan sebelum ini: Dia akan bangkit dari antara orang mati. Mereka berdua pun pulang dengan gembira.
Maria Menyaksikan Kebangkitan Tuhan
Bagaimanakah pula dengan Maria? Dia kembali ke kuburan Tuhan Yesus dan menangis dengan sangat sedih. Pada waktu itu, tiba-tiba dua malaikat berpakaian putih sedang duduk di tempat di mana mayat Yesus diletakkan. Seorang di depan, seorang lagi di belakang. Malaikat bertanya kepada Maria, “Mengapakah engkau menangis di sini?” Maria berkata, “Ada seseorang telah memindahkan Tuhan kami yang terkubur di sini dan saya tidak tahu di mana Dia sekarang.” Ketika Maria selesai berbicara dan menoleh ke belakang, dia melihat ada seorang yang berdiri di sana. Adik-adik, cuba teka siapakah orang itu? Betul! Dia adalah Tuhan Yesus. Tetapi Maria dalam keadaannya yang sangat sedih, tidak melihat dengan jelas dan menyangka orang tersebut adalah petugas di sana, lalu berkata, “Tuan, jika tuan yang memindahkan tubuh Tuhan Yesus ke tempat lain, tolong beritahu saya di mana tuan meletakkan-Nya. Saya mahu memindahkan-Nya kembali.” Pada masa itu, Tuhan Yesus pun memanggilnya, “Maria!” Maria memandang , “Ah, itu Tuhan Yesus!” Dia melihat Tuhan Yesus yang telah mati hidup kembali! Maria sangat gembira lalu segera pergi memberitahu murid-murid Tuhan Yesus berita baik ini.
Tuhan Yesus Bertemu Dengan Murid-murid
Pada malam itu, murid-murid Tuhan Yesus berkumpul bersama-sama. Tuhan Yesus menampakkan diri di antara mereka lalu berkata kepada mereka, “Damai sejahtera bagi kamu!” Selesai sahaja Dia berbicara, Dia pun menunjukkan lubang-lubang besar di tangan-Nya dan parut di badan-Nya, bekas daripada penyaliban-Nya kepada para murid supaya semua orang percaya bahawa kebangkitan yang Dia katakan sebelum ini adalah benar dan bahawa Dialah Tuhan yang Maha Kuasa.
Murid-murid Keluar Menjala Ikan
Adik-adik, masihkah kamu ingat bahawa terdapat sebilangan daripada murid-murid Tuhan Yesus adalah penjala ikan? Mereka telah mengikuti Tuhan Yesus untuk memberitakan injil. Tetapi sejak Tuhan Yesus disalibkan, mereka pun tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Pada suatu hari, Petrus berkata kepada mereka, “Mari kita pergi menangkap ikan lagi.” Apabila mereka mendengar tentang menangkap ikan, mereka berkata dengan gembira, “Baiklah, mari kita pergi sekarang juga!” Lalu mereka membawa jala, naik perahu dan bertolak ke air yang lebih dalam. Tapi hairan sekali! Mereka menebarkan jala ke sini dan ke sana, namun selepas sibuk semalaman, tidak ada seekor ikan pun yang di tangkap.
Yesus Menyediakan Sarapan Untuk Murid-murid
Ketika hari hampir siang, Tuhan Yesus datang ke tepi pantai dan berkata kepada mereka, “Hai, teman-teman! Adakah kalian telah menangkap apa-apa untuk sarapan pagi?” Mereka tidak tahu bahawa itu adalah Tuhan Yesus. Mereka menundukkan kepala, mencebikkan bibir dan berkata, “Tidak ada.” Tuhan Yesus berkata, “Cuba tebarkan jalamu di sebelah kanan perahu!” Setelah mereka mendengarnya, merekapun menebarkan jala. “Wah, berat sekali! Sukar sekali untuk menariknya!” Adik-adik, apakah yang terjadi? Hanya dengan sepatah kata daripada Tuhan Yesus, merekapun dapat menangkap begitu banyak ikan. Mereka perlu menarik dengan sekuat tenaga, barulah jala itu dapat ditarik ke atas. Tetapi apa yang ajaib adalah jala itu tidak koyak. Ketika itulah murid-murid Tuhan Yesus faham siapa yang melakukan perkara yang ajaib ini. Ya, Dialah Tuhan Yesus yang mereka kasihi. Apabila mereka naik ke darat, mereka melihat Tuhan Yesus telah menyediakan sarapan bagi mereka. Ada roti dan ikan di atas bara api yang panas! Yesus meminta murid-murid untuk membawa beberapa ekor ikan yang baru mereka tangkap dan kemudiannya Dia sendiri memberi mereka roti dan ikan untuk dimakan. Murid-murid yang sibuk sepanjang malam makan dengan sangat gembira!
Tuhan Yesus Terangkat Ke Syurga
Setelah Tuhan Yesus bangkit, Dia telah beberapa kali bersama-sama dengan murid-murid-Nya dan memberitahu mereka banyak perkara tentang Kerajaan Syurga, supaya mereka boleh percaya dengan jelas bahawa mengikuti Yesus adalah berkat yang terbaik. Pada hari ke-40 selepas Tuhan Yesus bangkit, Dia memberitahu kepada murid-murid bahawa Dia akan terangkat ke syurga dan pergi kepada Bapa syurga. Pada masa hadapan, Dia akan mencurahkan Roh Kudus yang berharga kepada mereka yang percaya kepada-Nya. Setiap orang harus bersandar pada kuasa Roh Kudus untuk pergi ke seluruh dunia, memberitakan Injil untuk Tuhan. Selesai sahaja berbicara, Tuhan Yesus pun terangkat. Ada awan yang menyongsong-Nya lalu membawa Tuhan Yesus naik ke langit. Semua murid-murid Tuhan Yesus mendengar kata-kata-Nya. Selepas tekun berdoa memohon Roh Kudus dan memperoleh Roh Kudus, mereka mula pergi ke pelbagai tempat untuk memberitakan Injil. Kuasa besar Tuhan menyertai mereka. Ramai orang mendengar perkataan mereka dan percaya kepada Yesus.
Kesimpulan
Adik-adik, perkataan Tuhan Yesus adalah benar. Dia memberitahu semua orang bahawa Dia akan dibangkitkan pada hari ketiga selepas Dia disalibkan di kayu salib dan Dia benar-benar telah bangkit. Dia juga telah tinggal bersama-sama dengan mereka selama empat puluh hari. Tetapi kerana murid-murid tidak mempunyai Yesus di sisi, mereka pergi semula menjala ikan. Walaupun semalaman mereka menjala ikan, mereka tidak mendapat apa-apa, bahkan kelaparan. Sungguh kasihan! Apabila Tuhan Yesus datang, Dia menyuruh mereka menebarkan jala ke sebelah kanan. Jala itu pun dipenuhi dengan ikan-ikan besar dan jala itu juga tidak koyak. Bukan sahaja mereka dapat menjual ikan-ikan itu untuk memperoleh wang yang banyak, malah Tuhan Yesus juga telah menyediakan sarapan untuk mereka. Betapa bahagianya ada penjagaan daripada Tuhan Yesus. Walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan Yesus dengan mata kita dan tidak dapat mendengar suara Tuhan Yesus secara langsung, tetapi Tuhan Yesus telah menulis semua perkara yang Dia mahu beritahu kita dan perkara yang Dia ingin kita lakukan dalam Alkitab ini (keluarkan Alkitab). Membaca Alkitab adalah sama seperti Tuhan Yesus sedang berbicara dengan kita dan mengajar kita melakukan sesuatu. Oleh itu, selepas kamu pulang ke rumah, kamu harus menceritakan kisah hari ini kepada keluarga kamu dan meminta orang dewasa membacakan Alkitab kepada kamu! Pada minggu depan, cikgu akan sampaikan sebuah cerita tentang seorang yang membantu orang lain dan kemudiannya mendapat pertolongan daripada Tuhan. Ceritanya berkaitan dengan “pakaian”. Cubalah teka siapakah orang ini apabila kamu pulang nanti.