KEPECAYAAN, KURSUS WAJIB DALAM KELUARGA KAMI

KEPECAYAAN, KURSUS WAJIB DALAM KELUARGA KAMI

(Saudari Wang Yijun)

 

Walaupun saya percaya kepada Tuhan sejak kecil, saya tidak pernah mempunyai pengalaman membaca Alkitab bersama-sama di rumah, dan saya mungking mempunyai sedikit ingatan berlutut untuk berdoa bersama… Istilah seperti mezbah keluarga dan pembacaan Alkitab untuk penyempurnaan rohani hanya wujud dalam bentuk seruan pendeta di atas mimbar. Saya masih ingat bahawa saya pernah mendapat motivasi dan tergerak selepas KKR Murid-murid, sehingga setiap kali saya mempunyai peluang, saya akan mengambil Alkitab dan membacanya dengan gelojoh. Namun, selepas membaca “Kejadian”, saya tidak dapat keluar dari Mesir, dan rancangan membaca Alkitab pun sampai ke penghujung.

Selepas saya tamat pengajian di kolej, saya secara ajaib dipimpin oleh Tuhan, dan secara tidak sengaja memasuki sebuah syarikat Kristian. Terdapat hampir seratus pekerja syarikat yang beragama Kristian dari pelbagai denominasi. Mereka berdoa (dengan bahasa akal) dan membaca Alkitab bersama-sama setiap pagi. Tugas saya adalah menjadi penyunting buku-buku rohani, dan kemudiannya saya mengambil peranan sebagai petugas utama dalam penerbitan bahan bacaan rohani kanak-kanak. Oleh itu, tugas saya setiap hari adalah membaca Alkitab, membaca nas khutbah, dan menulis cerpen rohani. Selama lebih daripada empat tahun bekerja, buat kali pertamanya saya berasa bahawa: kepercayaan ini hidup! Firman Tuhan boleh membaharui hidup manusia! Tabiat peribadi saya membaca Alkitab dipupuk secara semula jadi sejak masa itu, dan kerana saya bertanggungjawab untuk menulis bahan pengajaran rohani kanak-kanak, walaupun saya belum berkahwin dan tidak mempunyai anak pada masa itu, saya selalu berpegang pada pemikiran sedemikian: “Saya mahu bawa kanak-kanak kepada Yesus setiap hari!”

Setahun selepas saya berkahwin, saya melahirkan anak perempuan sulung saya, dan saya meninggalkan tempat kerja untuk menjadi ibu sepenuh masa. Selain menemani anak saya makan, tidur, bermain, dan bercerita, saya tahu bahawa pendidikan terbaik dan paling berharga yang boleh saya berikan kepada anak-anak saya ialah kepercayaan — Injil Yesus. Saya cuba menggunakan segala cara supaya anak-anak mengenali kepercayaan ini di rumah secara semula jadi sejak peringkat bayi. Mungkin disebabkan oleh pengaruh jangka panjang, anak-anak sekarang bersekolah rendah (anak sulung darjah tiga, anak kedua darjah satu, anak ketiga berumur lebih tiga tahun), mereka  sanggup mengambil masa setengah jam bersama untuk membaca Alkitab setiap hari, berkongsi firman Tuhan, dan akhirnya berdoa bersama dan tidur.

Berikut saya akan kongsikan cara saya membina mezbah keluarga di rumah mengikut umur anak-anak saya.

 

0~3 tahun: Doa bahasa akal sebelum tidur + Kata-kata Doa

Ini boleh dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan. Selain menggendong anak dan berdoa dengan bahasa roh bersama suami setiap hari sebelum tidur, kami akan gendong dulu anak dan berdoa dengan bahasa akal. Walaupun anak belum boleh bercakap, namun kami percaya bahawa dia pasti sedang mendengar dengan diam. Anak-anak juga mendengar kami berdoa untuk pelbagai perkara, dan tabiat ini juga menjadikan anak-anak tahu secara semula jadi cara untuk berdoa dengan bahasa akal. Kadang-kadang kami berasa sangat bahagia mendengar anak-anak berdoa dengan murni dalam bahasa akal. Contohnya, jika mereka keluar bermain pada hari itu, mereka akan ucapkan syukur kepada Tuhan, cuaca sangat baik dan saya sangat gembira. Jika mereka nakal pada hari itu, mereka akan memohon kepada Tuhan untuk mengampuni dan membantu mereka. Sebelum anak-anak menerima Roh Kudus, kami hampir selalu berdoa dengan bahasa akal. Kemudian, anak perempuan sulung menerima Roh Kudus sewaktu darjah dua, dan anak kedua juga lebih memahami dan menghauskan Roh Kudus. Kami pun berdoa dengan bahasa akal dan bahasa roh secara selang-seli, tetapi tidak kira cara yang manapun, kami akan mengakhirinya dengan Kata-kata Doa. Hanya dari isi kandungan Kata-kata Doa, sudah terdapat banyak pengajaran yang boleh dikongsi dengan anak-anak!

 

3~5 tahun: Membaca ayat suci 

Selepas perkembangan bahasa dan perkembangan kognitif anak-anak semakin matang, saya mula memimpin mereka membaca ayat Alkitab. Saya mencetak ayat-ayat yang saya mahu mereka baca di atas kertas A4 dan menampalnya di dinding rumah kami yang paling kerap dilihat – di sebelah meja makan. Sesekali, apabila saya duduk di situ, saya akan pimpin anak-anak membacanya sekali. Pada kali pertama, saya akan menerangkan maksud ayat suci, dan kemudian membacanya dengan kerap. Selepas mereka sudah fasih dalam masa kira-kira seminggu, saya akan menukar ayat suci yang baru. Ayat suci yang saya pilih semuanya secara rawak, atau untuk memberi mereka ajaran istimewa. Contohnya: Pada awal tahun baru, kami membaca Ulangan 11:11-12; apabila kami sering bertengkar, kami membaca Injil Yohanes 13: 34-35; Untuk membetulkan perangai yang pemarah, kami membaca Yakobus 1:19-20.

Di samping itu, buku bergambar Alkitab kanak-kanak adalah benar-benar pembantu yang baik untuk mezbah keluarga. Jenis yang saya suka beli ialah buku yang merangkumi lebih daripada dua puluh atau tiga puluh cerita Alkitab yang biasa. Setiap kali saya menemani anak-anak saya tidur petang, saya akan menyuruh mereka memilih mana-mana satu cerita Alkitab yang disukai. Mendengar cerita Alkitab telah menjadi rutin waktu tidur yang istimewa. Saya masih ingat bahawa anak perempuan saya, yang baru berusia tiga tahun, memegang buku itu sebelum tidur dan tidak mahu tidur. Saya pun mematikan lampu. Dalam kegelapan, terdengar suara kebudak-budakan anak perempuan saya menjerit: “Saya nak baca buku! Saya nak baca buku! Saya nak baca Tuhan Yesus!” Suara yang comel itu membuatkan kami ketawa.

 

5~8 tahun: Perkongsian makanan rohani

Semasa cuti musim panas apabila anak perempuan sulung saya akan memasuki sekolah rendah dan anak lelaki saya akan pergi ke tadika, saya mengambil peluang untuk menubuhkan model mezbah keluarga secara rasmi. Semasa cuti musim panas itu, kami menjalankannya selepas sarapan setiap hari dan sebelum memulakan aktiviti hari itu. Saya memilih bahan pengajaran rohani yang diterbitkan oleh gereja-gereja tempatan, yang sudah mempunyai pelan pembelajaran yang lengkap, termasuk cerita Alkitab, pembacaan ayat suci, pemikiran masalah, dan juga aktiviti lanjutan yang mungkin merupakan aktiviti praktikal. Saya membawa anak-anak untuk mulakan dengan doa, dan kemudian mengikut proses pelan pembelajaran. Selepas dua bulan percutian musim panas, kedua-dua anak itu telah membentuk tabiat membina mezbah keluarga, dan telah membaca satu kali kesemua cerita Alkitab yang sering kita dengar dalam Perjanjian Lama.

Proses ini telah memasuki tahun ketiga. Semasa tempoh persekolahan di rumah pada tahun lepas akibat wabak, proses mezbah keluarga kami berubah daripada saya menceritakan kisah Alkitab secara sehala kepada membaca Alkitab secara bergilir-gilir, kerana anak-anak saya secara beransur-ansur menjadi celik sejak mereka memasuki sekolah rendah, mereka juga boleh menggunakan Alkitab fonetik. Saya sangat gembira kerana akhirnya anak-anak saya dapat membaca Firman Tuhan secara langsung, dan bukannya menerima maklumat tidak langsung yang disampaikan menurut pemahaman dan penghadaman saya. Selepas membaca Alkitab, anak-anak juga akan mengambil inisiatif untuk menunjukkan bahagian yang tidak mereka fahami, dan ibu bapa akan menjawab anak-anak berdasarkan pengalaman kepercayaan yang boleh difahami sekarang. Seterusnya adalah masa perkongsian keluarga. Anak-anak rela untuk berkongsi apa yang berlaku di sekolah dan bagaimana mereka bergaul dengan rakan sekelas mereka. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengambil makanan ringan dan menikmatinya pada masa ini. Saya tidak tahu bagaimana mereka berfikir, tetapi saya boleh berkongsi firman Tuhan dengan anak saya di meja makan setiap hari sebelum tidur dan bertumbuh bersama. Saya berasa penuh kesyukuran dalam hati dan berdoa kepada Tuhan pada masa yang sama: “Tuhan! Biarlah kami terus begini! Membaca firman-Mu dengan sukacita setiap hari!”

 

Kepercayaan, Kursus Wajib Dalam Keluarga Kami

Saya adalah pengasuh utama kepada tiga orang anak saya sejak mereka dilahirkan. Kerana kebosanan dan untuk menghabiskan masa, saya membawa anak-anak ke pelbagai kursus pengalaman, seperti kelas irama, lukisan, catur, papan ular… yang merangkumi aktiviti dinamik dan statik, tetapi saya tahu perkara yang paling penting ialah kepercayaan. Alkitab ini adalah kursus wajib untuk tiga anak kami. Mereka harus mula mempelajarinya sejak kecil dan perlu terus belajar dan menghayatinya sepanjang hidup mereka.

Didiklah orang muda menurut jalan yang patut baginya, maka pada masa tuanyapun ia tidak akan menyimpang dari pada jalan itu.” (Amsal 22:6)

Ayat ini adalah objektif penerbitan majalah bulanan rohani kanak-kanak yang pernah saya ceburi ketika bekerja. Walaupun saya telah meninggalkan syarikat, namun saya tetap berkeras di jalan ini. Zaman ini sangat jahat. Setiap hari selepas anak-anak pulang dari sekolah. Mereka membawa mesej-mesej yang sering membuat saya berpeluh dingin, malah menggelengkan kepala dan mengeluh, tetapi syukur kepada Tuhan, saya mempunyai firman Tuhan sebagai sandaran dan asas untuk pendidikan saya, dan anak-anak saya sanggup belajar membezakan yang betul dan salah mengikut kehendak Tuhan. Walaupun jalan pendidikan sangat susah, dan jalan dunia berliku-liku, tetapi saya harap saya dapat menggunakan firman Tuhan untuk menerangi arah di hadapan saya dan terus maju ke hadapan.