KITAB YEREMIA

KITAB YEREMIA

(Saudari Lin Shu Mei)

PENGENALAN

Tidak ada seorang nabi yang dapat mendekatkan kita dengan dunia batin nabi seperti Yeremia. Jika dibandingkan dengan nabi-nabi lain, kitab Yeremia memberikan satu gambaran yang lebih jelas mengenai kehidupan dan pengalaman nabi. Kitab Yeremia nampaknya berunsur autobiografi. Ketika kerajaan Yehuda menghadapi zaman kelangsungan hidup dan kematian, nabi Tuhan, Yeremia menjadi “mulut” Tuhan untuk menyatakan kehendak, teguran, dan dorongan Tuhan. Walaupun ada tekanan daripada pelbagai pihak, Tuhan menyertainya sehingga dia menjadi “kota yang berkubu, menjadi tiang besi dan menjadi tembok tembaga”.

STRUKTUR

A. Fasal 1 – 25

Perkataan-perkataan nabi, dituliskan dalam bentuk puisi dan prosa. Fasal 1 adalah mengenai pemilihan Yeremia. “Pengakuan nabi” secara kasarnya diletakkan dalam fasal 11 – 20 (11, 12, 15, 17, 18, 20).

B. Fasal 26 – 45

Penceritaan mengenai nabi dituliskan dalam teks naratif. Antaranya, fasal 30 – 31, “kitab penghiburan” membentuk satu unit, manakala fasal 36 – 44 menggambarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada nabi sebelum dan sesudah Yerusalem ditawan.

C. Fasal 46 – 51

Ayat-ayat mengenai bangsa-bangsa (kata-kata mutiara, analek). Ruang yang agak besar khasnya menyebut tentang Moab dan Babel. Perkataan-perkataan Yeremia berakhir pada fasal 51 (Yer 51:64).

D. Fasal 52

Lampiran, penutup. Menceritakan penghujung kerajaan Yehuda berdasarkan kitab 2 Raja-raja fasal 24 dan 25 dan juga kitab Yeremia fasal 39.

Fasal 1 ayat 1 dimulai dengan “perkataan-perkataan Yeremia” (teks asal), dan ayat terakhir fasal 51 diakhiri dengan “perkataan-perkataan Yeremia” (teks asal). Perkataan-perkataan Yeremia merangkumi seluruh kitab Yeremia. Perkataan-perkataan Yeremia ialah firman Tuhan, dan  hal ini ditekankan dalam fasal 1.

CIRI-CIRI

A. Kitab Yeremia menyatakan tarikh dalam beberapa petikan, tetapi kronologinya longgar dan tidak ketat. Sebagai contoh, 21:1 adalah pada zaman pemerintahan Zedekia, sementara 25:1 adalah pada zaman pemerintahan Yoyakim, raja sebelum Zedekia, fasal 32 – 34 adalah pada zaman pemerintahan Zedekia, sementara fasal 35 – 36 pulamencatatkan zaman pemerintahan Yoyakim … dan lain-lain lagi. Semua ini menunjukkan bahawa kitab ini merupakan himpunan banyak maklumat.

B. Terjemahan Septuaginta dalam bahasa Yunani bagi kitab Yeremia adalah kurang 2700 patah perkataan daripada teks Alkitab bahasa Ibrani, iaitu kira-kira satu pertujuh daripada isi Susunan ayat dalam fasal 45 – 51 yang berkaitan dengan bangsa-bangsa juga berbeza. Alkitab bahasa Ibrani meletakkannya di bahagian belakang, sementara terjemahan Septuaginta pula meletakkannya di bahagian tengah. Penemuan Gulungan Laut Mati (abad pertama hingga kedua SM) menunjukkan bahawa beberapa teks bahasa Ibrani kitab Yeremia hampir sama dengan terjemahan Septuaginta. Maksudnya, terdapat dua teks bahasa Ibrani yang berbeza, satu teks panjang, dan satu teks pendek, dan teks pendek ini merupakan dasar terjemahan Septuaginta. Selain perbezaan kedudukan ayat-ayat yang berkaitan dengan bangsa-bangsa dan kekurangan kitab Yeremia 33:14 – 26 dalam terjemahan Septuaginta, tidak ada perbezaan yang signifikan dalam isi kandungan antara teks bahasa Yunani dengan teks bahasa Ibrani.

LATAR BELAKANG ZAMAN

Nabi merupakan seorang anggota yang berjalan seiring dengan arus zaman. Nabi menyampaikan pesanan Tuhan dalam konteks persekitaran, politik, masyarakat, dan agama pada ketika itu. Nabi Yeremia khususnya berada dalam zaman pergolakan pada masa akhir kerajaan Yehuda. Mesejnya berkaitan dengan kelangsungan hidup kerajaan Yehuda dan perkembangan seluruh situasi politik. Kita perlu memahami latar belakang zamannya.

Berikut merupakan jadual zaman raja-raja pada masa akhir kerajaan Yehuda:

A. 640 SM Yosia (memerintah 31 tahun), à 609 SM Yoahas (3 bulan), à 609 SM Yoyakim (11 tahun), à 598/597 SM Yoyakhin (3 bulan), à 597 SM Zedekia (11 tahun), à586 SM Yehuda dimusnahkan.

B. Yeremia dipanggil pada tahun ke-13 pemerintahan Yosia (627/26 SM) (Yer 1:2). Mereka yang menulis buku sejarah memberikan komen penilaian yang sangat tinggi kepada raja Yosia. Dia boleh dikatakan sebagai raja yang terbaik sejak raja Daud (2 Raj 22:2; rujuk: Ul 17:20). Pada tahun ke-18 (623/22 SM), Yosia memperoleh kitab Taurat ketika memperbaiki Bait Suci dan memutuskan untuk melakukan firman Tuhan menurut kitab itu. Pada masa ini, orang-orang Yahudi telah meninggalkan iman kepercayaan yang suci dan Tuhan yang Esa. Mereka bergabung dengan agama Kanaan dan melaksanakan ibadah korban agama Kanaan. Raja Yosia lalu mengadakan perjanjian dengan umat supaya bertekad untuk mengikuti Tuhan serta mematuhi perintah-perintah, peraturan-peraturan, dan ketetapan-ketetapan seperti yang tertulis dalam kitab itu. Dia juga melaksanakan reformasi agama dengan merobohkan bukit pengorbanan, memberhentikan para imam dewa asing, menghapuskan berhala, memusnahkan barang-barang milik agama Kanaan, memperkukuh ibadah Bait Suci di Yerusalem, dan menjadikan Yerusalem sebagai satu-satunya tempat penyembahan Tuhan yang sah (2 Raj 23). Reformasi agamanya bahkan sampai ke wilayah-wilayah yang dibangun oleh kerajaan Asyur di negara Israel yang lama (23:15,19,29). Keadaan ini dapat dicapai kerana Asyur, sebuah bangsa besar pada masa itu (884 – 609 SM) telah merosot secara beransur-ansur.

C. Ketika sebuah bangsa yang kuat bakal jatuh, maka sebuah bangsa yang kuat yang lain akan segera bangkit. Demikianlah gambaran politik pada masa itu. Pada tahun 625 SM, Babel menjadi merdeka, dan orang Kasdim,Nabopolassar (625 – 605 SM) menubuhkan negara Babel baharu (Neo-Babylonian) (625 – 562 SM). Lebih daripada sepuluh tahun kemudian, Nineveh jatuh pada tahun 612 SM. Pada tahun 610 SM, raja terakhir Asyur, Aššur-Uballit diusir dari Haran, satu-satunya tempat yang masih ada. Pada tahun 609 SM, dia cuba untuk membuat usaha terakhir, tetapi akhirnya gagal dan kerajaannya binasa. Pada tahun ini, raja Yosia dari Yehuda meninggal dunia ketika Firaun Nekho dari Mesir pergi ke utara (2 Raj 23:29), dan anaknya, Yoahas menjadi raja menggantikannya.

D. Setelah kebinasaan Asyur, kuasa Mesir meluas ke Palestina. Firaun Nekho memenjarakan Yoahas dan akhirnya menggulingkannya. Firaun Nekho melantik saudaranya, Yoyakim sebagai raja dan membawanya ke Mesir. Kitab Yeremia 22:10-12 mengatakan janganlah menangisi orang mati (Yosia), tetapi menangisi Yoahas yang ditangkap ke Mesir kerana dia tidak akan kembali lagi.

E. Yoyakim (609 – 598/7 SM) dengan demikian menjadi naungan Mesir (2 Raj 23:35). Kerajaan Babel yang baru muncul menjadi lebih kuat secara beransur-ansur. Pada tahun 605 SM (tahun keempat pemerintahan Yoyakim), Nebukadnezar yang berstatus putera raja mengalahkan Firaun Nekho di tepi sungai Efrat dekat Karkemis dan merebut Palestina (Yer 46:2). Kemudian, mereka memburu tentera Mesir di Hamat di tengah Syria. Oleh sebab kematian ayahnya, dia terburu-buru kembali ke Babel untuk menggantikan ayahnya sebagai raja Babel (605 – 562 SM).

F. Peperangan pada tahun 605 SM sangat penting. Perang ini mengubah keadaan politik pada masa itu dan kuasa Mesir yang tidak bertahan lama (609 – 605 SM) akhirnya jatuh (2 Raj 24:7). Sejak itu, kekuatan politik Nebukadnezar terus berkembang. Walau bagaimanapun, Yehuda nampaknya tidak benar-benar merasakan perubahan ini dan terus mengharapkan pertolongan dari Mesir sehingga dia banyak dikritik dalam kitab nabi (Yeh 17:17, 23:21,27, 29:6,7). Pada tahun ini juga, Yeremia memerintahkan Barukh untuk menuliskan semua yang dikatakannya dan membacakannya kepada umat. Setelah mengetahui tentang gulungan Yeremia, Yoyakim tidak dapat mendengarkan perkataan-perkataan dalam gulungan itu dan membakarnya di dalam perapian. Sebabnya adalah kerana tertulis di dalamnya bahawa raja Babel pasti akan datang untuk memusnahkan negeri ini (Yer fasal 36).

G. Pada kira-kira tahun 604 SM, Yehuda tunduk kepada Babel tetapi berbalik dan memberontak terhadapnya tiga tahun kemudian (2 Raj 24:1). Sebabnya adalah kerana Babel menghantar tentera ke bahagian selatan iaitu Mesir dan memerangi Firaun Nekho. Kedua-dua belah pihak mengalami kerugian besar dalam peperangan ini. Yoyakim mentafsirkan peperangan ini sebagai kemenangan bagi Mesir. Jadi dia berpaling kepada Firaun dan berhenti memberikan upeti kepada Babel. Bagi Yehuda yang memberontak, Babel tidak dapat membalas dendam ke atas Yehuda dengan kadar yang segera setelah peperangan pada tahun 601 SM. Menurut Tawarikh Babel, tentera Babel menyerang Arab pada tahun berikutnya. Namun, mereka menggerakkan gerombolan-gerombolan Aram, Moab dan bani Amon untuk menyerang Yehuda (2 Raj 24:2).

H. Pada musim dingin tahun 598 SM, Babel memimpin sebuah pasukan untuk mengepung kota Yerusalem, dan pada hari yang kedua bulan Adar tahun 597 SM (Februari / Mac 597 SM), Babel menawan kota yang kudus. Ketika Yoyakim meninggal dunia dalam pengepungan Babel, kota itu belum lagi dimusnahkan. Anaknya Yoyakhin menggantikannya sebagai raja dan menyerah kalah setelah dia menjadi raja. Tindakan ini mencegah kemusnahan kota yang kudus, tetapi tidak dapat mengelakkan kota yang kudus dirampasi serta raja dan umat golongan atasan diangkut ke dalam pembuangan (2 Raj 24:13-16). Jumlah orang yang dibawa sebagai buangan lebih banyak daripada jumlah orang yang dibawa sebagai buangan sepuluh tahun kemudian. Raja Babel menjadikan Zedekia, anak Yosia yang lain sebagai raja (597 – 586 SM)

I. Kitab Yeremia fasal 24 menggunakan “buah ara” sebagai perumpamaan. Perumpamaan ini menggambarkan orang yang dibawa sebagai buangan umpama buah ara yang sangat baik. Tuhan ingin menjaga mereka, memperhatikan mereka untuk kebaikan mereka, membawa mereka kembali, dan memberikan suatu hati untuk mengenal Tuhankepada mereka. Orang-orang Yahudi yang ditinggalkan dan tinggal di Mesir adalah seperti buah ara yang jelek. Mereka akan berhadapan dengan malapetaka, aib dan olok-olok / tertawaan. Mereka menjadi kengerian bagi segala kerajaan di bumi dan Tuhan akan melenyapkannya.

J. Menurut Tawarikh Babel, Nebukadnezar menyerang Elam pada tahun 596/595 SM. Kitab Yeremia 49:34-38 juga mencatatkan bencana yang dialami Elam pada tahun-tahun awal Zedekia yang diceritakan oleh nabi Yeremia.

K. Setelah Zedekia memerintah selama tiga tahun, dia berkomplot untuk memberontak. Dia bergabung dengan Edom, Moab, bani Amon, dan kota-kota pesisir di Yerusalem untuk merancang pemberontakan (Yer 27:3). Mereka berani melakukan pemberontakan mungkin disebabkan oleh penggantian Psamtik II (Psammetich II) sebagai firaun setelah kematian Firaun N Hasilnya, Yehuda mempunyai harapan baharu terhadap raja Mesir yang baharu. Pada masa ini, terjadi kekecohan di Babel. Kekecohan ini menyebabkannya mempunyai perasaan bahawa masa ini ialah satu peluang. Walau bagaimanapun, kekecohan tersebut segera ditangani. Antara orang-orang Yahudi yang dibawa sebagai buangan dan yang di Yerusalem, timbul juga harapan bahawa mereka tidak lagi perlu melayani Babel dalam waktu terdekat, kuk Babel akan dihapuskan, dan orang yang dibawa sebagai buangan akan segera kembali (fasal 27 – 28). Nabi berulang kali memberikan peringatan supaya mereka tunduk kepada Babel kerana demikianlah kehendak Tuhan. Nabi Yeremia juga menulis surat kepada orang yang dibawa sebagai buangan untuk menasihati mereka agar tetap tenang dengan membiarkan anak-anak mereka mengambil isteri dan memperanakkan anak-anak di negeri asing serta menjalani kehidupan dengan baik. Hal ini kerana pembuangan itu bukan untuk tiga atau empat tahun, tetapi untuk satu jangka masa (Yer 29:1-7).

L. Kita tidak tahu perkembangan selanjutnya bagi pembelotan tahun 594/3 SM. Namun ketika Nebukadnezar tinggal dekat Palestina semasa rondaan tahunannya, semua orang dengan patuh memberikan upeti kepadanya. Selama tempoh ini, Yeremia mengatakan banyak hal dan mengkritik keras nabi lain yang menyatakan nubuat palsu.

M. Kitab Yeremia mencatatkan Zedekia pernah pergi ke Babel pada tahun keempat pemerintahannya (593 SM). Yeremia mengambil kesempatan ini untuk menyerahkan kitab yang menubuatkan segenap malapetaka yang akan menimpaBabel kepada rombongan yang mengikuti Zedekia. Dia mahu mereka membawa kitab tersebut untuk dibacakan secara terbuka. Kemudian, kitab tersebut perlu dilemparkan ke dalam sungai Efrat bagi melambangkan bahawa Babel akan tenggelam dan tidak akan timbul-timbul lagi (51:59-63). Selepas kejadian ini, Yehuda memberontak terhadap Babel (waktu yang tepat tidak diketahui) dan berhenti memberikan upeti kepada Babel. Sebabnya mungkin berkaitan dengan Firaun Mesir (Hophra Apries) yang naik takhta pada tahun 589 SM. Maka, terciptalah harapan baharu terhadap bangsa asing pada masa ini.

N. Kini, Nebukadnezar memutuskan untuk mengakhiri kerajaan Yehuda. Terdapat catatan sejarah terperinci mengenai hal ini: kitab 2 Raja-raja fasal 25; kitab Yeremia fasal 52; kitab Yeremia fasal 37 dan ke bawah; Lachish-Ostraca dan se Pada tahun kesembilan pemerintahan Zedekia (588/7 SM), Babel mengepung Yerusalem selama satu setengah tahun. Pengepungan itu pernah terganggu oleh bantuan tentera Mesir (Yer 37:11). Ketika tentara orang Kasdim undur dari Yerusalem, Yeremia ingin pulang ke kampung halamannya kerana masalah pembahagian warisan. Ketika dia meninggalkan pintu kota, dia disalah anggap mahu memberontak dan menyerah kalah lalu ditangkap ke penjara. Kemudian, Zedekia memindahkannya ke pelataran penjagaan (37:11-21). Di sini, Yeremia dan sepupunya melaksanakan penebusan ladang (32:1-15).

O. Para pemuka Yehuda mendengar bahawa Yeremia telah meyakinkan umat untuk keluar dan menyerah kalah. Merekaberpendapat bahawa tentera berada dalam masa penentangan yang melampau dan tindakan ini akan melumpuhkan semangat tentera. Mereka pun menyarankan agar Yeremia dihukum mati. Maka Yeremia dimasukkan ke dalam perigi yang dalam (38:1-6). Pada masa ini, Yerusalem sudah berada dalam situasi genting dan sukar, dan tidak ada lagi roti di kota. Ebed-Melekh menyelamatkannya dari perigi yang dalam dan menahannya di pelataran penjagaan agar dia tidak mati kelaparan dalam penjara yang gelap (7-13). Pada saat genting ketika kota bakal diserang, Zedekia nampaknya bingung dan tidak dapat membuat keputusan. Raja pernah meminta nasihat daripada Yeremia. Nabi menasihati raja untuk menyerahkan diri demi menyelamatkan nyawanya, tetapi raja menolak untuk mendengar (14-32).

P. Dalam tahun yang kesebelas pemerintahan Zedekia, dalam bulan yang keempat, pada tanggal sembilan bulan itu (587/6 SM), terjatuhlah Yerusalem. Zedekia ingin melarikan diri ke Araba. Dia ditangkap di dataran Yerikho sebelum dia menyeberangi sungai Yordan dan dibawa ke ibu pejabat pasukan Nebukadnezar di Ribla untuk dihukum. Raja Babel menyembelih anak-anak Zedekia di depan matanya, membutakan mata Zedekia dan membawanya ke Babel. Pada tanggal sembilan bulan Abu (Av) (9/10hb Mei), orang-orang Kasdim membakar kota Yerusalem, membakar Bait Suci, istana raja dan segala rumah di kota itu, merobohkan tembok kota, menawan Bait Suci dan kota yang kudus, dan orang-orang Yahudi diangkut ke dalam pembuangan ke Babel (39:1-10, fasal 52; 2 Raj 25:1-21).

Q. Orang-orang Kasdim mengumpulkan sekumpulan orang Yahudi yang akan dibawa ke Babel di Rama, dan Yeremia ada dalam kalangan mereka. Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal Babel berlaku ramah terhadap Yeremia. Diamembiarkan Yeremia untuk memilih samada tinggal di Yehuda atau pergi ke Babel bersama-sama. Yeremia memilih untuk pergi kepada Gedalya yang diangkat oleh raja Babel atas Mizpa (39:11 –  40:1-6).

R. Gedalya yang diangkat oleh raja Babel atas negeri itu kemudiannya dibunuh oleh panglima tentera Ismael. Ismael juga mengangkut orang-orang Yahudi yang tinggal di Mizpa sebagai tawanan dan membawa mereka ke daerah bani A Setelah Yohanan bin Kareah mendapat tahu tentang hal ini, dia merebut kembali orang-orang itu dan Ismael melarikan diri ke daerah bani Amon (fasal 41). Yohanan dan yang lain takut bahawa orang-orang Kasdim akan balas dendam kerana pembunuhan Gedalya yang diangkat oleh raja Babel atas negeri itu. Mereka ingin melarikan diri ke Mesir. Yeremia menghalangi mereka tetapi mereka enggan mendengarkan (fasal 42). Mereka membawa Yeremia ke Tahpanhes, Mesir (fasal 43).

S. Di Mesir, Yeremia meneruskan kerja nabi. Dia bernubuat bahawa Mesir akan dikalahkan oleh Nebukadnezar dari Babel. Dia juga menegur orang Yahudi yang menyembah tuhan lain di Mesir, seperti yang dilakukan oleh mereka di Palestina sehingga menimbulkan sakit hati Tuhan serta mendatangkan malapetaka dan hukuman (43:8-13, 44:1-30). Kisah peribadi Yeremia dalam kitab Yeremia berakhir di sini. Dalam konteks sejarah ini, pesanan nabi Yeremia adalah berkaitan dengan situasi dunia, kelangsungan hidup orang-orang Yahudi, keselamatan peribadi nabi dan kesukarannya sebagai nabi, malah lebih berkaitan dengan kepercayaan agama orang Israel.

TAJUK (1:1-3)

Mencatatkan maklumat peribadi Yeremia, nama nabi, tempat kelahirannya, dan masa dia menjadi nabi. Anatot terletak di utara Yerusalem dan tergolong dalam kawasan suku Benyamin. Yeremia dilahirkan dalam keluarga imam, tetapi kita tidak memiliki sebarang informasi yang menunjukkan bahawa Yeremia memegang jabatan imam. Kehidupan dan pelayanan Yeremia juga tidak ada catatan tentang hal ini. “Dalam zaman Yosia bin Amon, raja Yehuda, dalam tahun yang ketiga belas dari pemerintahannya datanglah firman TUHAN kepada Yeremia (teks asal)”. Pada tahun inilah agaknya Yeremia dipilih dan dipanggil (627/626 SM), seperti yang disebutkan dalam ayat 4-10 yang berikutnya. Ayat 3 menunjukkan bahawa Yeremia menjadi nabi sehingga masa kejatuhan kerajaan Yehuda.

ISI KANDUNGAN

A. Pemilihan dan amanat nabi (1:4-19)

Memberikan penjelasan bahawa Yeremia dipilih sebagai nabi oleh Tuhan dan pada masa yang sama menetapkan nada untuk kerja Yeremia sebagai nabi pada masa depan serta menunjukkan intipati pesanan nabi dan kesulitan jabatan nabi. Banyak tema dan istilah yang muncul dalam petikan kitab suci ini telah melewati keseluruhan kitab dan telah ditunjukkan berulang kali. Boleh dikatakan bahawa petikan ini merupakan pengantar kepada kitab Yeremia.

  1. Pemilihan dan panggilan nabi (4-10)
  • Dipanggil untuk menjadi nabi (5): Jabatan nabi Yeremia telah ditetapkan sebelum dia dilahirkan (rujuk: Yes 49:1,5; Hak 13:5). “Mengenal” merangkumi makna “memilih”, dan adalah bersimetri dengan “menguduskan” dalam ayat yang sama. “Aku telah menetapkan engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa” ialah bentuk yang sempurna (Pf.) yang bermaksud telah memiliki jabatan ini yang tidak dapat dibatalkan dan tidak dapat dikembalikan. Ungkapan “nabi bagi bangsa-bangsa” cukup istimewa. Yeremia bukan hanya nabi bagi Israel, tetapi juga nabi bagi banyak bangsa dan kaum. Maksudnya, peringkat dan kawasan yang diamanahkan kepada Yeremia adalah sangat luas. Ketika situasi antarabangsa bergolak dan negara bakal mengalami perubahan yang luar biasa, Tuhan memilih alat untuk menyampaikan kehendak-Nya (penghakiman, pemulihan), dan mengawal sejarah dengan menggunakan buah catur-Nya.
  • Penolakan (6): Menyatakan penolakan dengan alasan “masih muda”, tidak matang, tidak mempunyai status sosial, dan tanpa kuasa berbicara dalam kumpulan.
  • Jawapan (7): Tuhan menolak alasan Yeremia. Naratif Yeremia tidak boleh dijadikan sebagai alasan walaupun naratif tersebut benar. Walaupun kelayakannya tidak mencukupi, dia tetap harus menjalankan amanat yang telah diterimanya. “tetapi kepada siapa pun engkau Kuutus, haruslah engkau pergi, dan apa pun yang Kuperintahkan kepadamu, haruslah kausampaikan.” (teks asal) – demikianlah kehendak Tuhan. Kitab Yeremia berulang kali menyebut bahawa Tuhan mengutus Yeremia (25:15,17, 26:12,15, 42:6,21, 43:1,2). Ayat-ayat ini menekankan bahawa identiti Yeremia dan perkataan-perkataannya itu bukanlah tidak berasas atau atas kehendak dirinya sendiri, tetapi ada kewibawaan Tuhan. Sebaliknya, Tuhan tidak pernah mengutus atau memerintahkan nabi palsu (Yer 14:14, 23:32).
  • Berjanji tentang penyertaan (8): Jelas sekali bahawa tanggungjawab nabi Yeremia adalah sangat besar. Pada zaman dan waktu yang luar biasa, penyertaan dan pertolongan Tuhan lebih lagi diperlukan pada masa ini (rujuk: Yos 1:9; Kel 3:12; Hak 6:16). Siapakah “mereka”? ~ Mereka merujuk kepada musuh-musuh nabi, orang-orang yang menentang nabi, iaitu “mereka” yang disebutkan dalam ayat 17 dan 19. “demikianlah firman TUHAN” (teks asal). Perbualan antara Tuhan dengan Yeremia berakhir di sini. Perbualan ini dimulai dengan firman Tuhan (ayat 4) dan diakhiri dengan firman Tuhan (ayat 9).
  • Simbol (9): “Sesungguhnya, Aku menaruh perkataan-perkataan-Ku ke dalam mulutmu.” (teks asal). Nabi Tuhan harus mengucapkan “perkataan-perkataan Tuhan” yang diterima daripada Tuhan, dan setia memberitakan perintah Tuhan dengan jelas. Kitab Yeremia 15:19 menyebut bahawa Yeremia perlu menjadi “penyambung lidah bagi Tuhan”. Tuhan mengulurkan tangan-Nya dan menyentuh mulut Yeremia. Melalui tindakan “simbolik” ini, Tuhan mempercayakan perkataan-perkataan-Nya kepada Yeremia lalu Yeremia menjadi jurucakap Tuhan. Yeremia juga memperoleh kewibawaan nabi melalui tindakan “simbolik” ini (rujuk: Yes 6:7; Yeh 2:8 – 3:3; Hak 6:17; Kel 4:1-9).
  • Isi kandungan kerja (10): Ayat 5 ada menyebut bahawa Yeremia dipanggil untuk menjadi nabi bangsa-bangsa.Berikut disebutkan kerja-kerja nabi dengan lebih lanjut dari perspektif kehidupan manusia:

“Untuk mencabut dan merobohkan, untuk membinasakan dan meruntuhkan” – mendatangkan malapetaka; “untuk membangun dan menanam” – mendatangkan berkat. Hal ini menunjukkan bahawa pengumuman Tuhan mengenai masa kejatuhan Yehuda tidak hanya mengumumkan bencana yang akan terjadi, tetapi juga menjamin pembangunan semula pada masa depan. Tuhan ialah Tuhan yang menghakimi. Dia juga Tuhan yang memperbaiki, memulihkan, membangunkan semula, penuh kemurahan, dan menantikan masa depan, dan yang terakhir merupakan tujuan-Nya yang sebenar. “… mengangkat engkau atas bangsa-bangsa dan atas kerajaan-kerajaan” adalah sejenis tanggungjawab yang diamanahkan. Yeremia harus menyelesaikan tugas yang diberikan oleh Tuhan kepadanya. Jabatan ini tinggi dan juga menunjukkan bahawa bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan dipegang dalam tangan nabi (yang bermaksud Tuhan). Nabi “mencabut dan merobohkan, membinasakan dan meruntuhkan, membangun dan menanam” (untuk makna sila rujuk: Yer 12:14-17, 18:1-10, 24:6, 31:4,5,27,40, 42:12, 45:4).

    2.  Dua penglihatan dan penjelasannya (11-16)

  • Dahan pohon badam (11-12): Ayat 12 menjelaskan makna penglihatan Yeremia dalam ayat 11. Makna terletak pada benda yang dilihatnya. Ternyata perkataan “pohon badam” adalah sama dengan “pusatkan perhatian / perhatikan dan berjaga-jaga” dalam bahasa Ibrani. Perkataan ini ialah satu polisim, satu permainan kata: Tuhan mengesahkan benda yang dilihat oleh Yeremia. Yeremia melihat dahan pohon badam dan penglihatan ini bermaksud bahawa Tuhan akan melaksanakan “firman-Nya”. Firman-Nya boleh dipercayai. Dia tidak akan membiarkan nabi-Nya memberitakan secara sia-sia.
  • Periuk yang mendidih (13-16): Periuk ini membawa ancaman dan tersebar ke luar. Ayat 14 menjelaskan ayat 13, “periuk yang mendidih, datangnya dari sebelah utara” – yang bermaksud malapetaka mengamuk dari utara, dan ancamannya menimpa segala penduduk negeri. Ayat 15 menjelaskan maksud malapetaka dari utara dalam ayat 14, iaitu segala kaum kerajaan sebelah utara akan datang menyerang (rujuk: 4:6-8,15-18, 5:15-19, 6:1-8,22,23, 10:22). Segala kaum kerajaan sebelah utara akan menjadi alat bagi Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. Tuhan menjatuhkan hukuman atas orang Israel melalui mereka. Ayat 16 menjelaskan perbuatan Tuhan dan sebab Dia menyerang umat-Nya. Dia mendatangkan malapetaka dan tidak memberikan berkat kepada mereka kerana mereka telah meninggalkan Tuhan. Mereka membakar korban kepada tuhan lain dan sujud menyembah kepada buatan tangannya sendiri.

    3.  Dorongan dan peneguhan (17-19)

Penentang Yeremia termasuk semua golongan Yehuda, iaitu “raja-raja dan pemuka-pemukanya, para imamnya dan rakyat”. Orang-orang ini dan “nabi” sering muncul dalam kitab Yeremia. Mereka mengingkari Tuhan dan nabi, dan menjadi sasaran malapetaka Tuhan (rujuk: 4:9, 8:1, 13:13, 26:8,11,16, 32:32).

Petikan ini menubuatkan bahawa nabi akan menghadapi situasi yang sukar dan tekanan yang datang daripada pelbagai aspek dan tahap dalam arus sejarah dunia, dan dalam situasi yang huru-hara di bawah perbuatan-perbuatan agung Tuhan. Nabi nampaknya amat kesepian, tidak berdaya, dan berbahaya. Dalam keadaan yang panik ini, nabi perlu bekerja bersendirian. Dalam zaman yang maju seiring dengan arus, nabi perlu bersiap dan memperlengkap dirinya, berdiri dan menyampaikan semua perkataan yang diperintahkan oleh Tuhan kepada umum. Jangan gentar di depan lawan, tetapi tetap mempertahankan diri sendiri, berdiri teguh, dan menjadi “kota yang berkubu, tiang besi dan tembok tembaga”. Namun, Tuhan tidak akan meninggalkan alat pilihan-Nya di tengah-tengah tamparan semua pihak. Dia akan menyertai pekerja-Nya untuk menolong dan melepaskannya. Pada akhir ayat 19, ditekankan bahawa “demikianlah firman TUHAN”. Maksudnya, Tuhan memberikan jaminan tentang kesetiaan-Nya.

B. Pemberontakan Yehuda – Seruan untuk berbalik / kembali – Musuh dari utara

Masa di padang gurun merupakan masa bulan madu ketika Israel paling dekat dengan Tuhan (2:2,3). Walau bagaimanapun, setelah memasuki tanah yang subur yang dikurniakan oleh Tuhan, mereka tidak mencari Tuhan yang memimpin mereka keluar dari Mesir (6) tetapi beralih kepada dewa kesia-siaan (berhala) (5). Hal yang lebih mengerikan adalah bahawa ketuanya ialah golongan pemimpin: pengamal hukum Taurat – para imam, orang-orang yang melaksanakan hukum (gembala dalam teks asal) dan para nabi (8).

Tidak kira barat atau timur, tidak pernah ada suatu bangsa yang menukar tuhannya. Namun ironinya, umat Tuhan telah menggantikan Tuhan mereka yang benar dengan berhala yang tidak berguna dan menggantikan sumber air yang hidup dengan kolam yang bocor (10-13). Israel dahulunya merupakan pokok anggur pilihan tetapi kini telah menjadi pohon anggur liar (21). Mereka seperti unta bernafsu yang berlari-lari untuk mengejar para Baal (dewa bangsa asing) (23-25). Mereka juga bersundal di atas setiap bukit yang menjulang dan di bawah setiap pohon yang rimbun (2:20, 3:6,13, 17:2; Ul 12:2; 1 Raj 14:23, 16:4; 2 Raj 17:10). Perbuatan bersundal di sini melambangkan perbuatan Israel yang murtad dalam agama. Sebenarnya, “bersundal” bukan hanya satu bahasa kiasan, tetapi juga merujuk kepada tingkah laku yang sebenar, iaitu turut melakukan persetubuhan antara lelaki dengan perempuan di tempat ibadah agama (Hos 4:13; Yes 57:5,7).

Israel Kerajaan Utara dihukum oleh Tuhan kerana kemurtadan dan perbuatan sundalnya, namun saudaraperempuannya, Yehuda tidak menjadikannya sebagai amaran (3: 6-10). Mereka menjadikan kayu dan batu sebagai tuhan yang menciptakan mereka (2:27), jumlah para tuhan mereka adalah seperti banyaknya kota mereka (2:28, 11:13). Mereka mendirikan bukit pengorbanan di Lembah Ben-Hinom dan membakar anak-anaknya sendiri untuk mempersembahkan korban kepada Baal (7:31, 19:5, 32:35; 2 Raj 23:10. Tofet merujuk kepada persembahan korban yang dilakukan oleh mereka di Lembah Ben-Hinom, atau tempat mereka mempersembahkan korban itu). Mereka juga menyembah semua tentera langit (19:13), tidak memegang hari Sabat (17:19-27), dan meninggalkan Tuhan (2:13,17, 22:9)! Tingkah laku moral mereka tidak jauh lebih baik. Mereka mencuri, membunuh, berzina, bersumpah palsu, menumpahkan darah orang yang tidak bersalah, menindas, dan menggunakan kekerasan (2:34, 7:9, 5:7,28, 6:6,7).

Tuhan telah berulang kali meminta umat untuk berbalik / kembali. “Berbalik / kembali” telah menjadi tema utama kitab Yeremia (36:3,7). Ya, isteri yang diceraikan boleh kembali (3:1,2). Dia tidak akan murka untuk selama-lamanya (3:12). Tuhan tetap menjadi tuan atas umat (3:14). Jika mereka kembali, mereka tidak usah melarikan diri dari hadapan Tuhan (4:1). Walau bagaimanapun, mereka tidak mahu menyahut seruan Tuhan dan tidak mahu mendengar perkataan-perkataan Tuhan. Tuhan telah mengutus para nabi untuk berbicara kepada mereka secara terus-menerus, tetapi mereka tidak mahu mendengar (7:13,25, 11:7,8, 19:15, 22:2,21, 25:3,4, 26:3-5, 35:14-17…). Tuhan memberi mereka peluang untuk berbalik / kembali supaya malapetaka itu dapat dihindari, namun mereka menolak untuk menangkap peluang itu (18:12). Oleh itu, murka Tuhan pun menimpa mereka (fasal 5 – 6, 44:4-6,23).

Kitab Yeremia 1:15 menyebut bahawa Tuhan akan memanggil segala kaum dan kerajaan sebelah utara untuk menyerang Yerusalem dan Yehuda. Perenggan seterusnya (fasal 2 – 6) juga memberikan gambaran bahawa malapetaka, kehancuran, dan taktik kekejaman yang dibawa oleh musuh dari utara (4:6, 6:1,22) menyebabkan panik, negeri menjadi sunyi sepi dan juga akibat-akibat lain. Identiti musuh dari utara tidak dinyatakan dengan jelas di sini. Sebaliknya, kitab Yeremia 25:8-13 dengan jelas menunjukkan bahawa serangan dari utara ini ialahtentera orang-orang Kasdim yang dibawa oleh Nebukadnezar. Nebukadnezar digambarkan sebagai hamba Tuhan (25:9, 27:6). Gambaran ini menunjukkan bahawa bangsa-bangsa atau Nebukadnezar telah menjadi alat bagi Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya.

C. Penyampaian khutbah di Bait Suci (fasal 7, 26)

Kedua-dua fasal tersebut menceritakan peristiwa yang sama. Fasal 7 memfokuskan isi kandungan khutbah, manakala fasal 26 pula memfokuskan kesan khutbah. Terdapat dua kemungkinan di sini. Umat mahu hidup sama ada sesuai dengan kehendak dan ajaran Tuhan, atau mahu percayakan perkataan dusta yang berbunyi: “Ini bait TUHAN, bait TUHAN, bait TUHAN” dan berpendapat bahawa Bait Suci merupakan jaminan segala keselamatan. Kedua-duanya tidak ada kaitan dengan tingkah laku moral umat dan sama ada mereka menyembah Tuhan dengan betul. Dalam hati orang Israel, Sion merupakan tempat kediaman Tuhan yang tidak akan goncang dan akan tegak untuk selama-lamanya (Mzm 46:6, 48:9). Yeremia mengingatkan mereka untuk memperbaiki tingkah langkah mereka. Tuhan tidak terikat dengan kematian di tempat kedatangan-Nya, Tuhan tidak membina sebuah Bait Suci untuk tujuan Bait Suci. Apabila Bait Suci tidak menunjukkan maksud penyembahan Tuhan yang sebenarnya, Tuhan akan memperlakukannya seperti Silo (1 Sam 4:11,22; Mzm 78:60) dan menolaknya. Manusiaharus belajar daripada sejarah untuk menjadikan diri mereka lebih pintar. Papan tanda bukanlah fokus utama. Bahagian utamanya ialah teras dan intipati yang menitikberatkan “penyembahan Tuhan”.

D. Pengakuan nabi (11:18-23, 12:1-6, 15:10,11,15-21, 17:12-18, 18:18-23, 20:7-18)

Selepas kitab Yeremia fasal 11, terdapat serangkaian ayat yang merupakan khutbah Yeremia kepada umat tetapi bukan di depan umum. Dalam ayat-ayat ini, kata-kata Yeremia tentang keadaannya sendiri disajikan dalam bentuk monolog, doa, dan dialog dengan Tuhan. Ayat-ayat ini sangat mirip dengan “puisi sedih peribadi” kitab Mazmur dan boleh disebut sebagai “puisi sedih Yeremia”.

  1. Yeremia dianiaya dan dihina kerana memberitakan khutbah Tuhan. Manusia merancangkan yang jahat terhadapnya dan dia seperti domba sembelihan (15:15, 11:19, 18:18,20,23; Mzm 44:23, 41:8). Orang-orang yang melayannnya dengan jahat juga termasuk orang-orang kampungnya, saudara-saudaranya, kaum keluarganya, dan sahabat karibnya yang dipercayai (11:21, 12:6, 20:10; Mzm 21:12-14, 41:10, 88:9). Yeremia meminta Tuhan yang menguji hati untuk menyatakan keadilan (11:20, 17:10, 20:12; Mzm 7:10, 26:2).
  2. Tuhan berjanji untuk memperjuangkan perkara Yeremia, tetapi Yeremia melihat pertanyaan lain yang lebih mendalam dalam hal ini. Mengapa orang-orang fasik menjadi mujur (12:1; Mzm 73:3,12)? Tuhan tidak menjawab pertanyaannya secara langsung, tetapi memberikan soalan retorik Tuhan mahu dia memikirkan cara untuk menghadapi dan menyelesaikan tugas yang diberikan oleh Tuhan pada masa-masa kesusahan (12:5).
  3. Yeremia meningkatkan ratapannya. Dia menangisi ibunya melahirkannya dan menangisi kewujudannya sendiri (15:10, 20:14-18; Ayb fasal 3). Pengumuman malapetaka nabi menyebabkan dia menghadapi masalah besar,berkonflik dengan masyarakat pada waktu itu (15:10) serta menjadikannya sasaran tertawaan, cela dan cemuhan orang lain. Jika dia tidak mahu mengucapkan firman Tuhan untuk melindungi dirinya, maka terdapat api yang menyala-nyala dalam hatinya yang mendesaknya agar dia tidak dapat bertahan daripada tidak mengucapkannya (20:7-9).
  4. Dukacita Yeremia meningkat menjadi aduan. Bagi nabi, Tuhan telah menjadi sumber kesia-siaan dan tipu daya (15:18) serta sungai yang kering dan berhenti mengalir. Walaupun Tuhan ialah sumber air yang hidup (2:13), walaupun firman Tuhan menjadi kegirangan bagi manusia (15:16), tetapi pada perspektif lain, kedua-duanya itu menjadi beban bagi nabi. Hal ini kerana dia perlu menanggung penganiayaan, penghinaan, dan penderitaan demi firman Tuhan. Pada saat ini, Tuhan bagaikan sumber air yang statik bagi Yeremia. Adakah kualiti air hidup telah berubah? Tidak, Tuhan tidak berubah. Masalahnya ada pada nabi. Yeremia terlalu jauh daripada Tuhan pada masa ini sehingga dia tidak dapat merasakan Tuhan, tidak dapat merasakan hidup dan kuasa Tuhan. Masa ini merupakan masa yang paling mencabar bagi nabi. Oleh itu, Tuhan menyeru Yeremia untuk kembali, kembali kepada hubungan asalnya dengan Tuhan, kembali kepada gerakan ketika dia dipanggil, dan kembali kepada tanggungjawab yang dipercayakan oleh Tuhan kepadanya. Jika dia berbicara dengan jujur dan mulia (seperti yang diamanahkan), bukan menjadi dangkal dan hina (seperti dalam aduannya), maka dia dapat menjadi penyambung lidah bagi Tuhan, menjadi jurucakap dan pemberita firman Tuhan (15:19, 1:9). Tuhan mengulangi janji yang diberikan kepada Yeremia ketika dia dipilih (1:18,19). Tuhan akan meneguhkannya sehingga dia dapat menang ketika dia diserang. Hal ini kerana Tuhan menyertainya untuk melepaskannya daripada kezaliman dan kesesakan (15:20,21).
    Kita melihat bahawa nabi juga ada masa-masa kelemahan ketika dia menghadapi penderitaan, penganiayaan, fitnah, dan serangan apabila dia bekerja untuk Tuhan. Jika dia dapat mendengar seruan Tuhan dan kembali kepada amanat panggilan pada masa awal, Tuhan tidak akan menjadikannya malu. Janji tentang penyertaan dan pertolongan-Nya tidak gugur. Janji ini membolehkan pekerja-Nya dipulihkan daripada kelemahan dan berangkat menjadi pekerja yang tidak usah malu untuk Tuhan.

E. Nabi palsu (23:9-40, 14:13-16, 5:30, 6:13-15, 27:16, 28:8-9)

Terdapat satu topik khusus dalam kitab Yeremia iaitu “nabi palsu”. Yeremia berada dalam zaman akhir kerajaan Yehuda. Ada nabi di sisi raja yang menerima persoalan daripada raja atau memberikan cadangan kepada raja. Ada banyak orang yang menyebut diri mereka sebagai nabi dalam masyarakat. Namun, terdapat banyak nabi palsu dalam kalangan nabi ini. Kitab Yeremia banyak membincangkan dan mengkritik nabi palsu yang menyampaikan pesanan palsu.

Ketika berbincang tentang nabi-nabi palsu, ciri yang paling jelas ialah mereka berulang kali menyatakan “damai sejahtera”, menentang keras pengumuman malapetaka oleh Yeremia, mengabaikan masalah negara sertaterus-menerus berbohong kepada raja, para pemuka, dan umat tentang damai sejahtera (6:14, 14:13). Mereka menegakkan benang yang basah dengan mengatakan bahawa Tuhan akan mematahkan kuk raja Babel dan mengembalikan perkakas-perkakas yang dirampas dari Bait Suci (27:16, 28:2-4). Tujuan mereka hanya untuk menyenangkan hati raja dan para pemuka.

Mereka bernubuat palsu demi nama Tuhan serta menipu raja dan umat dengan perkataan dusta. Hakikatnya, mereka tidak diutus sama sekali, dan Tuhan sama sekali tidak memerintahkan mereka (27:15, 14:14-15, 23:25, 29:9). Namun mereka bernubuat dengan penuh keberanian dan bercakap seolah-olah mereka menyatakan kebenaran (28:1-4,10-11).

Kitab Yeremia mendakwa mereka: Dari segi tingkah laku moral, mereka tamak, berdusta dan tidak jujur ​​(28:9), bahkan berzina untuk merosakkan diri sendiri dan orang lain (23:10,15, 29:23). Dari segi tingkah laku agama, mereka melakukan kejahatan dan berlaku fasik dalam bait Tuhan (23:11,15; 2 Raj 21:3-7, 23:4-7). Dari segi nubuat, mereka menggunakan mimpi (23:25,32) atau mencuri firman Tuhan (30), dan mengaku bernubuat demi nama Tuhan (23:25, 29:23). Dari segi identiti, mereka mengaku diutus dan mengucapkan firman Tuhan (14:14-15). Kesan kelakuan mereka menyebabkan umat menjauhi Tuhan dan melupakan nama Tuhan (23:27). Tuhan menghukum mereka oleh sebab kebobrokan mereka. Tuhan akan murka terhadap mereka (19), membuat mereka menderita (15), terserandung (12), dihancurkan, dibunuh, rebah lalu mati (23:12, 6:15, 14:15).

Tentang pembezaan nabi benar dan nabi palsu, kitab Ulangan 18:20-22 memberikan kriteria dasar untuk membezakan nabi benar dan nabi palsu. Kriteria pembezaan yang diberikan dalam kitab Yeremia hampir sama dengan kitab Ulangan, iaitu dengan melihat sama ada kata-katanya dipenuhi (28:9). Bagi nabi Tuhan pula, Tuhan menaruh firman-Nya ke dalam mulutnya, dan dia menyampaikan semua firman yang diperintahkan oleh Tuhan (Ul 18:18; Yer 1:7,9). Istilah-istilah yang digunakan dalam kitab Yeremia dan kitab Ulangan adalah sama. Persamaan ini menunjukkan identiti Yeremia sebagai nabi Tuhan yang benar. Selain itu, kitab Yeremia berkali-kali menyebut bahawa Tuhan mengutus Yeremia (25:15,17, 26:12,15, 42:6,21, 43:1,2) serta menekankan bahawa identiti dan ucapan Yeremia adalah berasal daripada kewibawaan Tuhan. Sebaliknya, bagi nabi palsu pula, Tuhan tidak mengutus mereka atau memerintahkan mereka (14:14,15, 23:21,32, 27:15, 29:9). Oleh itu, seorang nabi Tuhan yang benar harus pertama-tamanya diutus oleh Tuhan (7:25, 25:4, 26:5, 29:19, 35:15, 44:4), dan keduanya perkataannya mestilah seperti yang diperintahkan oleh Tuhan dan merupakan firman Tuhan (Ul 18:18).

Bagi contoh-contoh nabi palsu dalam kitab Yeremia, fasal 29 membicarakan Ahab, Zedekia dan Semaya. Bagi contoh pertempuran antara nabi benar dengan nabi palsu, perdebatan antara Yeremia dengan Hananya dalam fasal 28 dan kesudahannya memberikan contoh yang tipikal. Semua ini membuktikan bahawa Yeremia memang seorang nabi yang diutus oleh Tuhan (Yer 1:5,7-10).

F. Pemberitaan simbolik nabi

Yeremia tidak hanya menggunakan kata-kata sebagai cara pengumuman, tetapi juga sering perlu menyatakan kehendak Tuhan melalui tindakan simbolik:

Yeremia sendiri (16:1-13), tukang periuk membuat bejana (18:1-12), memecahkan tembikar (19), bangsa-bangsa meminum daripada piala berisi anggur kehangatan amarah (25:15-29), memikul kuk (fasal 27), mematahkan kuk (fasal 28), menebus ladang (fasal 32), ikat pinggang lenan di sungai Efrat (13:1-11), menyembunyikan batu-batu besar di tanah liat istana Firaun (43:8-13), melemparkan kitab ke sungai Efrat (51:59-64).

Tindakan-tindakan simbolik ini bukan hanya menjadikan pemberitaannya lebih jelas, tetapi tindakan-tindakan ini merupakan satu cara pemberitaan. Isi kandungannya berkisar tentang sejarah bangsa-bangsa dan kehidupan peribadi nabi serta tentang pengumuman malapetaka yang tidak dapat dielakkan oleh Israel dan pengumuman berkat yang penuh harapan pada kemudian hari.

G. Nabi yang menaikkan doa syafaat (14:7-13, 19-22, 15:1, 18:20)

Yeremia mengakui dosa di hadapan Tuhan dan memohon agar Tuhan tidak meninggalkan umat kerana dosa-dosa mereka (14:7-9). Dia juga memohon agar Tuhan mengingati perjanjian-Nya dengan umat itu (14:21). Jika kita perhatikanlah doa syafaat Yeremia untuk umat, dia menggunakan kata ganti nama “kami”: “kesalahan-kesalahan kami”, “kami mengetahui kefasikan kami”, “kami telah berdosa kepada-Mu”. Dia tidak menggunakan kata ganti nama diri ketiga. Penggunaan kata ganti nama diri pertama ini menyatakan keprihatinan Yeremia. Dia dan umat adalah satu. Mereka terapung-apung sama hanyut, terendam sama basah. Tambahan pula, nasib Israel juga merupakan nasibnya. Walau bagaimanapun, kehendak Tuhan telah ditentukan. Sekalipun Musa dan Samuelberdiri di hadapan Tuhan dan menaikkan doa syafaat, tindakan itu juga tidak akan membantu (15:1, 11:14, 7:16, 14:11).

H. Pengharapan kemudian hari, permulaan baharu (fasal 24, 29 – 33)

Tuhan menjanjikan satu permulaan baharu selepas pembuangan. Hal ini kerana rancangan-rancangan Tuhan mengenai umat ialah “rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan”. Ketika waktunya genap (70 tahun) (29:10,11), Dia akan mengubah nasib umat Israel dan membawa mereka kembali ke negeri yang dijanjikan (24:6, 29:10,14, 30:3,10, 18, 31:6,8,10,12,16,17,21,23). Mereka akan membangun kembali kediaman mereka, mendapatkan kembali sukaria (31:4,5,12,13, 33:11), menjalankan jual beli seperti biasa (32:6-15,43,44), puri akan berdiri di tempatnya yang asli (30:18), dan sosio-ekonomi akan pulih seperti biasa. Hal ini kerana angin badai telah berlalu (30:23): “Maka seperti tadinya Aku berjaga-jaga atas mereka untuk mencabut dan merobohkan, untuk meruntuhkan dan membinasakan dan mencelakakan, demikianlah juga Aku akan berjaga-jaga atas mereka untuk membangun dan menanam, demikianlah firman TUHAN.” (31:28,40, 24:6; istilah-istilah ini digunakan dalam pemilihan dan panggilan nabi).

Tuhan ingin membina hubungan antara manusia dengan Dia atas satu dasar baharu dan memberikan hati untuk mengenal Tuhan kepada mereka. Hubungan ini ialah satu hubungan “perjanjian” yang terbentuk semula: “Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku ini akan menjadi Allah mereka, sebab mereka akan bertobat kepada-Ku dengan segenap hatinya.” (24:7). Taubat ini ialah taubat sepenuh hati umat. Sekiranya umat menumpukan perhatian untuk mencari Tuhan, mereka akan menemukan-Nya. Tuhan akan mendengar seruan umat (29:13,14).

Kemuncak pengharapan kemudian hari ini adalah bahawa Tuhan akan mengadakan satu “perjanjian baharu” dengan umat, dan Tuhan akan “menuliskan Taurat dalam hati mereka” (31:31-34). Ayat ini saling bertindak balas dengan ayat “memberi mereka suatu hati untuk mengenal Aku,… mereka akan bertobat kepada-Ku dengan segenap hatinya” dalam 24:7. Pengetahuan tentang Tuhan tidak perlu diajarkan, dan perjanjian yang diadakan dengan Taurat yang tertulis dalam hati tidak akan dipecahkan, tidak seperti yang dilakukan oleh mereka kerana perbuatan jahat mereka (31:32, 22:9). Bagi umat, perjanjian ini ialah pengetahuan sepenuhnya tentang Tuhan. Bagi Tuhan, perjanjian ini bermaksud pengampunan ke atas semua pelanggaran (31:34). Dalam fasal 32, Tuhan mahu mengikat “perjanjian kekal” dengan mereka. Dalam perjanjian kekal, Tuhan tidak akan berhenti berbuat baik kepada mereka dan akan memberikan hati yang takut kepada Tuhan kepada mereka (32:37-41). Semua perubahan ini merupakan hasil daripada kemurahan Tuhan.

Pada kemudian hari, “Tunas keadilan Daud” akan bangkit, dan Ia akan melaksanakan keadilan dan kebenaran di negeri (33:15-17; rujuk: 23:5,6). “Perjanjian” Tuhan itu tidak tergoyahkan seperti siang dan malam yang berputar pada waktunya (33:20, 25). Tuhan juga memperlakukan perjanjian-Nya dengan Daud, dengan orang Lewi (18), dan dengan Yehuda dan Israel yang dipilih-Nya (23-26) dengan cara yang sama.

KESIMPULAN

Tugas nabi Yeremia ialah menyampaikan “Firman Tuhan”. Tugas ini berulang kali ditekankan dalam kitab ini. Sejak penglihatan dia dipilih dari awal hingga catatan tentang dirinya pada masa tuanya terus-menerus memperlihatkan “firman Tuhan” yang diucapkan oleh Yeremia. Perselisihan yang dihadapinya adalah disebabkan oleh “firman Tuhan” ataupun tindakan simbolik yang dipercayakan kepadanya. Kesepian dan penderitaannya juga disebabkan oleh “firman Tuhan” dan kesan bagi reaksi dunia luar terhadap “firman Tuhan”. Walau bagaimanapun, Yeremia tidak mengurangi atau mengubah firman Tuhan kerana pengaruh kuasa, trend, persekitaran, atau bahaya, atau untuk mendapatkan pengiktirafan orang ramai dan untuk melindungi keselamatannya sendiri. Prestasinya ialah setia dan amanah pada tugasnya, mengucapkan semua perkataan-perkataan yang diperintahkan oleh Tuhan, mengabaikan tekanan daripada semua pihak, dan mengabaikan penolakan orang ramai. Dia boleh digambarkan sebagai setia sampai mati. Dia seperti loceng penggera dalam zaman yang huru-hara yang berbunyi di langit gelap. Oleh sebab kesetiaannya terhadap “Firman Tuhan”, maka janji Tuhan tentang “penyertaan dan pertolongan” benar-benar tidak gugur. Tuhan bahkan menjadikannya “kota yang berkubu, tiang besi dan tembok tembaga” yang tidak dapat ditembusi.

“Firman Tuhan” adalah seperti api yang memakan habis umat yang memberontak (5:14). “Firman Tuhan” adalah seperti palu yang menghancurkan bukit batu (23:29). “Pengumuman malapetaka” nabi direalisasikan secara konkrit ketika Yerusalem ditawan dan diduduki dan umat ditawan. Sebelum itu, nabi dengan sungguh-sungguh menyeru umat yang menyimpang untuk berbalik / kembali, tetapi mereka enggan berbalik / kembali kepada Tuhan. Namun akhirnya, pengharapan kemudian hari terletak pada kembalinya mereka pada masa depan. Tuhan sendiri akan memimpin mereka kembali ke negeri ini dan membolehkan mereka berbalik / kembali kepada Tuhan. Tuhan akan memperbaiki hubungan “perjanjian” dengan mereka dan menuliskan Taurat dalam hati mereka agar Taurat ini tidak dapat dipecahkan. Hal ini menunjukkan bahawa “pengumuman malapetaka” Yeremia tidak kehilangan pengharapan tentang “berkat masa depan”. Rancangan-rancangan Tuhan ialah “rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan” dan rancangan damai sejahtera merupakan tujuan-Nya yang sebenar.