PANDUAN PEMBACAAN KITAB KOLOSE

PANDUAN PEMBACAAN KITAB KOLOSE

 

PENULIS

Rasul Paulus. Pada permulaan kitab, Paulus menyebut bahawa “Dari Paulus, rasul Krsitus Yesus, oleh kehendak Allah, dan Timotius saudara kita, kepada saudara-saudara yang kudus dan yang percaya dalam Kristus di Kolose.” (1:1,2). Ayat ini mengesahkan bahawa penulis kitab ini ialah rasul Paulus. Namun gereja di Kolose bukan didirikan oleh Paulus, dan dia belum pernah pergi ke sana ketika dia menulis kitab ini. Oleh sebab dia mendengar berita tentang jemaat di Kolose, maka dia menulis surat kepada mereka untuk menyatakan keprihatinannya dan memberi dorongan kepada jemaat (1:4,9, 2:1-3).

 

PENERIMA

Jemaat Kolose (1:2). Kolose terletak di selatan tengah Asia, kira-kira seratus batu di sebelah timur Efesus. Kolose membentuk persamaan kestabilan dengan Hierapolis dan Laodikia. Terdapat dataran yang ideal untuk bidang penternakan berhampiran dengan Kolose. Bidang penggembalaan domba, pencelupan kain dan perdagangan bulu domba berkembang dengan baik, dan keuntungan komersial kebanyakannya datang daripada produk bulu.

Orang-orang di Kolose merupakan bangsa campuran. Orang Yunani dan orang Fenisia bercampur di kota ini. Budayanya mewarisi adat istiadat Yunani yang fokus pada pelbagai falsafah dan teori pengetahuan misteri. Antara tahun 223 – 187 SM, raja Siria, Antiokhia I pernah memindahkan 2000 orang Yahudi ke sini. Oleh itu, terdapat banyak orang Yahudi di kota Kolose. Sejak kerajaan Rom memerintah kota Kolose, doktrin ajaran sesat yang dicampur dengan pelbagai falsafah agama Yahudi, Yunani, dan ajaran-ajaran lain telah terbentuk. Ajaran-ajaran sesat ini telah menyerang dan mempengaruhi gereja pada masa itu.

Gereja di Kolose didirikan oleh Epafras, rakan sekerja Paulus (1:6,7). Dia mungkin dipimpin untuk datang percaya oleh Paulus ketika Paulus bekerja di Efesus selama tiga tahun. Setelah pertaubatannya, dia membawa Injil pulang ke kampungnya dan mendirikan gereja. Dia merupakan seorang gembala yang berdoa untuk orang lain dengan penuh kasih dan dia banyak bersusah payah untuk kerja suci (4:12-13).

 

MASA DAN LOKASI PENULISAN

Kitab ini, kitab Efesus, kitab Filipi, dan kitab Filemon ditulis oleh Paulus ketika dia dipenjarakan (Kis 28:30). Kitab-kitab ini secara kolektif disebut “surat-surat penjara”. Tempoh penulisan dianggarkan pada awal 60-an M, sekitar tahun 60 – 63 M. Kitab-kitab ini dituliskan di Rom.

 

MOTIF PENULISAN

Epafras pergi ke penjara Rom untuk mengunjungi rasul Paulus dan memberitahunya tentang krisis iman kepercayaan yang dihadapi oleh jemaat di Kolose (1:7,8). Selain membantu doa untuk masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh jemaat (2:1), Paulus menulis surat khusus untuk mengungkapkan kesalahan ajaran sesat di samping membimbing iman kepercayaan jemaat yang murni dan mengajar pemercaya tentang kehidupan Kristiani.

 

AJARAN SESAT YANG DIHADAPI OLEH JEMAAT KOLOSE DAN CARA PENYELESAIANNYA

A. Ajaran sesat

  1. Menyebut ajarannya sebagai falsafah (2:8). Falsafah pada mulanya bermaksud kasih terhadap kebijaksanaan. Namun Paulus menyebut bahawa salah satu ajaran sesat yang menyerang jemaat di Kolose ialah filsafat yang kosong dan palsu, yang tidak dapat membawa Firman hidup kepada manusia. Oleh itu, ajaran itu tidak memberi kebaikan kepada manusia. Maka, Paulus tidak mengakuinya sebagai falsafah yang benar, dan hanya menyebutnya sebagai “percekcokan yang menipu manusia”.
  2. Mementingkan ritual sunat, peraturan pemakanan dan pematuhan hari-hari raya yang kudus (2:11,14,16,17). Mazhab dalam legalisme Yahudi ini menegaskan pematuhan penuh terhadap perayaan-perayaan dan peraturan-peraturan dalam hukum Taurat Musa (2:16-18).
  3. Ajaran sesat ini menegaskan bahawa terdapat penglibatan kuasa ghaib yang berlainan dalam penciptaan alam semesta, kerja penyelamatan dan penebusan, dan seluruh proses anugerah Oleh itu, mereka memberi saranan untuk menenangkan dan menyembah kuasa-kuasa misteri ini (2:15,18,19). Atas sebab ini, Kristus telah diletakkan dalam kedudukan yang tidak signifikan.
  4. Ajaran sesat ini dengan tegas menegaskan perbuatan menyeksa diri dan berpuasa terhadap nafsu (2:20-23). Mereka berkata bahawa tubuh daging itu jahat dan mesti dianggap sebagai musuh. Semua keinginan mesti dikekang dan keperluan fizikal juga harus diminimakan.
  5. Para penyokong ajaran sesat ini menyebut diri mereka sebagai guru Kristian, tetapi mereka menggunakan kata-kata manis dan teori-teori tertentu untuk menyesatkan pemercaya sehingga pemercaya menjauhi firman kebenaran (2:3-10).

B.  Kemudaratan

1. Menyebabkan orang bergeser daripada(meninggalkan) pengharapan Injil (1:23)

Pengharapan Injil ini ialah penyataan dan pengharapan yang dibawa oleh Injil – ketika Tuhan datang kembali, pemercaya akan menerima pengharapan penyelamatan dan penebusan yang terakhir dan yang lengkap ini (Rm 5:2).

2. Memperdayakan manusia dengan kata-kata yang indah (2:4)

Kata-kata yang indah atau “kata-kata manis” atau “hujah yang kelihatan munasabah” bermaksud “cuba meyakinkan orang lain dengan kata-kata yang tidak boleh dipercayai atau alasan yang menyenangkan”.

3. Menawan manusia dengan filsafat yang kosong dan palsu (2:8)

  • Atau diterjemahkan sebagai “melalui falsafah atau percekcokan yang menipu manusia”
  • Dalam masyarakat kuno, “falsafah” digunakan untuk menggambarkan semua teori tentang Tuhan, dunia, dan makna kehidupan. Terjemahan harfiahnya adalah mulia, iaitu “kasih terhadap kebijaksanaan”

4. Dihukum oleh orang lain (2:16)

5. Kemenangan digagalkan oleh orang lain (2:18)

 

C. Tindak balas

1. Mengetahui kehendak Tuhan dengan sempurna melalui segala hikmat dan pengertian yang benar (1:9, 3:16-17)

  • “Hikmat dan pengertian yang benar” bermaksud “pengetahuan tentang kehendak Tuhan”
  • “Hikmat” merangkumi segala kecerdasan mental
  • “Pengertian” bermaksud mempunyai pengenalan yang betul mengenai sesuatu
  • Makna luas “kehendak Tuhan” ialah”semua pemikiran Tuhan yang dinyatakan dalam Kristus” kepada kita dan telah dinyatakan dalam Alkitab. Nampaknya, frasa ini merujuk kepada “aspek etika dan moral kehendak Tuhan”, iaitu “permintaan Tuhan terhadap kehidupan dan tingkah laku kita”.

2. Benar-benar mengenali Kristus (1:15-20, 2:2-3)

    • Merupakan gambar Tuhan (Ibr 1:3; Yoh 1:18)
    • Merupakan Pencipta (Yoh 1:3,10)
    • Merupakan ketua jemaat
    • Merupakan segala kelimpahan
    • Adalah yang melaksanakan kedamaian

3. Bertekun dalam iman, tetap teguh dan tidak bergoncang (1:23, 2:6-7; Ibr 4:14)

4. Berjaga-jagadan awas terhadap pengetahuan yang tidak sesuai dengan kebenaran (2:8; 2 Yoh 9)

5. Berpegang teguh kepada Kepala – Kristus (2:19;Ef 4:15)

6. Fikirkan perkara yang di atas (3:2)

7. Buang yang keruh, ambil yang jernih (3:5-11)

    • Etika sesama seiman (3:12-14)
    • Etika suami isteri (3:18-19)
    • Etika bapa – anak (3:20-21)
    • Etika tuan – hamba (3:22 – 4:1)
    • Etika sosial(4:5-6)

 

 GARIS PANDUAN

A. Pengenalan (1:1-14)

  1. Salam (1:1-8)
  2. Doa (1:9-14)

B. Kristus yang melampaui segalanya (1:15-29)

  1. Keilahian yang melampaui segalanya (1:15-23)
  2. Kesaksian Paulus (1:24-29)

C. Kepenuhan Kristus (2:1-23)

  1. Kepenuhan hikmat (2:1-5)
  2. Kepenuhan keilahian (2:6-10)
  3. Kepenuhan kekuasaan (2:11-23)

D. Kehidupan dalam Kristus (3:1 – 4:6)

  1. Menanggalkan yang lama dan diperbaharui (3:1-17)
  2. Hubungan yang harmoni (3:18 – 4:1)
  3. Menyaksikan Kristus (4:2-6)

E. Penutup (4:7-17)

  1. Memperingati teman-teman sekerja (4:7-14)
  2. Salam akhir (4:15-18)

 

INTI KITAB KOLOSE – KRISTUS YANG MELAMPAU SEGALANYA

Paulus berdoa agar Tuhan memberikan hikmat dan pengertian rohani kepada pemercaya untuk mereka benar-benar mengenal Kristus. Demi berkonfrontasi dengan trend ajaran sesat yang menafikan keilahian Kristus pada waktu itu, Paulus mahu supaya para pemercaya Kristus benar-benar mengenal Kristus agar fikiran mereka tidak dicemari sehingga mereka berbalik daripada Kristus. Paulus mahu pemercaya mengenali perkara-perkara berikut:

A. Kristus adalah yang lebih utama dalam segala sesuatu

  1. Dilihat daripada hubungan dengan Tuhan

Kristus ialah Tuhan dan dapat diketahui daripada perkara berikut:

  • Gambaran Tuhan (1:15)

Kristus ialah gambaran Tuhan (2 Kor 4:4) yang menyatakan Tuhan yang tidak kelihatan dengan mata badani manusia. “Sebab apa yang tidak nampak dari pada-Nya, yaitu kekuatan-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, dapat nampak kepada pikiran dari karya-Nya sejak dunia diciptakan.” Paulus mengatakan bahawa mereka yang telah belajar mengenal Kristus harus berubah dan mengenakan manusia baru, yang telah diciptakan menurut kehendak Allah di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya (Ef 4:20-24). Oleh itu, orang Kristian merupakan manusia baru yang diciptakan oleh Tuhan melalui Yesus Kristus. Manusia baru ini dapat menyatakan gambaran Tuhan dan membuktikan bahawa Yesus Kristus mempunyai gambaran Tuhan sehingga Dia dapat menciptakan manusia baru dengan gambaran Tuhan.

 

  • Kepenuhan Tuhan

Paulus berkata: “Sebab dalam Dialah berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan.” (2:9). Karena dari kepenuhan-Nya kita semua telah menerima kasih karunia demi kasih karunia (Yoh 1:16). Kristus ialah kepenuhan Tuhan, iaitu semua hakikat Tuhan ada dalam Yesus seadanya, dan sama sekali bukan tuhan kelas kedua yang disebut oleh ajaran sesat. Yesus bukan sebahagian kecil daripada Tuhan, tetapi Tuhan itu sendiri, satu-satunya Tuhan benar yang turun dari syurga dan masih berada di syurga.

 

  • Kedamaian Tuhan (1:20-22)

Kristus ialah kedamaian Tuhan. Dia mengadakan pendamaian dengan mengorbankan diri-Nya sendiri. Dia merobohkan tembok pemisah, iaitu perseteruan sesama manusia dan antara manusia dengan Tuhan melalui anugerah keselamatan kayu salib lalu mengadakan pendamaian. Oleh itu, Dia menggenapi firman yang disampaikan oleh nabi Yesaya, Kristuslah Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai (Yes 9:5). Tuhan Yesus juga berkata: “Berbahagialah orang yang membawa damai, karena mereka akan disebut anak-anak Allah.” Paulus juga menasihati pemercaya supaya meyakinkan orang untuk didamaikan dengan Tuhan. Di samping itu, setelah percaya kepada Tuhan, pemercaya membawa amanat Injil, iaitu mengajar orang untuk mendamaikan diri dengan Tuhan melalui iman kepada Yesus Kristus (2 Kor 5:17-20). Jadi, Kristus ialah kedamaian Tuhan. Dia menyatakan bahawa Dialah Tuhan Damai dengan mengadakan pendamaian Tuhan (Ef 2:13-18).

 

2. Dilihat daripada hubungan dengan segala sesuatu

Hubungan Kristus dengan segala sesuatu menunjukkan bahawa Dialah Pencipta. Hal ini kerana:

  • Kristus lebih utama dari segala yang diciptakan (1:15)

Sebelum segalanya diciptakan, Kristus ialah anak sulung yang melampaui segala sesuatu. Sikap yang melampaui segala sesuatu ini terletak pada hakikat bahawa Dia bukanlah segala sesuatu yang diciptakan, tetapi ada terlebih dahulu daripada segala sesuatu dan Dialah Pencipta. Yesus mengatakan bahawa Dia telah memiliki kemuliaan Tuhan sebelum dunia ada (Yoh 17:5). Kata-kata ini membuktikan bahawa Dia sudah menikmati kemuliaan Tuhan sebelum segala sesuatu diciptakan. Amsal ada membincangkan asal usul Kristus: “TUHAN telah menciptakan aku sebagai permulaan pekerjaan-Nya, sebagai perbuatan-Nya yang pertama-tama dahulu kala. Sudah pada zaman purbakala aku dibentuk, pada mula pertama, sebelum bumi ada. Sebelum air samudera raya ada, aku telah lahir, sebelum ada sumber-sumber yang sarat dengan air.” (Ams 8:22-25).

 

  • Kristus menciptakan segala sesuatu (1:16-17; Ibr 1:3)

Paulus mengatakan bahawa semuanya diciptakan di dalam Dia, oleh Dia dan untuk Dia. “Diciptakan di dalam Dia, oleh Dia” (Yoh 1:3) menggambarkan kuasa-Nya. Kristuslah Pencipta yang mahakuasa, dan Dia menciptakan segala sesuatu dalam alam semesta dengan kuasa kebesaran. “Ketika Ia mempersiapkan langit, aku di sana, ketika Ia menggaris kaki langit pada permukaan air samudera raya, … aku ada serta-Nya sebagai anak kesayangan, …” (Ams 8:27-30). Dia berkuasa kerana Dialah jurutera yang menciptakan segala yang ada dalam alam semesta. Diciptakan “untuk Dia” menyatakan tujuan-Nya iaitu untuk memimpin orang memasuki anugerah keselamatan. Oleh itu, (Ibr 2:10) mencatatkan: “Sebab memang sesuai dengan keadaan Allah – yang bagi-Nya dan oleh-Nya segala sesuatu dijadikan -, yaitu Allah yang membawa banyak orang kepada kemuliaan …” Kristus bukan hanya menciptakan segala sesuatu, tetapi juga menopang segala yang ada, iaitu Dia tidak hanya menciptakan segala sesuatu, tetapi juga menopang segala sesuatu; Dia menciptakan dan mentadbir serta menunjukkan kasih-Nya yang berterusan dan mendalam. Paulus berkata: “Segala sesuatu ada di dalam Dia” (Kol 1:17) dan “Sebab segala sesuatu adalah dari Dia, dan oleh Dia, dan kepada Dia.” (Rm 11:36).

 

3. Dilihat daripada hubungan dengan jemaat

  • Kristus ialah kepala jemaat

Kristus ialah kepala tubuh, iaitu jemaat (1:18; Ef 1:22, 5:23) Ayat ini menggambarkan hubungan erat-Nya dengan jemaat. Jemaat ialah kumpulan yang dibeli dan ditebus oleh Kristus dengan darah-Nya yang mahal. Oleh itu, kehidupan jemaat adalah dikurniakan oleh Kristus. Sekiranya demikian, tentu saja Dia merupakan kepala jemaat. Jemaat merupakan tubuh-Nya, dan setiap anggota jemaat merupakan anggota tubuh-Nya. Anggota tidak boleh dipisahkan daripada kepala dan tubuh, sama seperti dahan-dahan / ranting-ranting tidak boleh meninggalkan batang tubuh. Jika tidak, dahan-dahan / ranting-ranting itu akan kehilangan nyawa. Oleh itu, Kristus dan kehidupan jemaat adalah saling berkaitan. Maka, jemaat harus mentaati dan memuliakan Kristus, tidak boleh disekularkan sama sekali, dan harus bersiap-siap menjadi pengantin Kristus yang kudus.

 

  • Kristus berkorban untuk jemaat (1:20; Ef 5:23)

Kristus mengasihi jemaat dan telah menyerahkan diri-Nya baginya (Ef 5:25). Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang memberikan nyawanya untuk sahabat-sahabatnya. Kristus menumpahkan darah bagi jemaat, mengadakan pendamaian, dan mengubah nasib manusia. Transformasi sedemikian adalah:

A. Jauh daripada Tuhan → memimpin kepada Tuhan

B. Permusuhan dengan Tuhan → diperdamaikan dengan Tuhan

C. Semua jenis perbuatan yang jahat → menjadi kudus dan tak bercela dan tak bercacat. Oleh itu, Kristus berkorban untuk jemaat supaya jemaat memperoleh hidup yang baru, menjadi ciptaan baru, memulihkan gambaran dan rupa Tuhan, serta memenuhi janji khemah Allah ada di tengah-tengah manusia (Why 21:3) dan Imanuel (Yes 7:14).

 

B. Kristus menyatakan rahsia Tuhan (1:24-29)

1. Isi kandungan rahsia (1:27; Ef 3:16)

Rahsia ini tersembunyi dari abad ke abad dan dari turunan ke turunan, yang pada zaman angkatan-angkatan dahulu tidak diberitakan kepada anak-anak manusia, tetapi sekarang dinyatakan. Rahsia ini ialah kemuliaan yang dinyatakan di antara bangsa-bangsa lain (Kol 1:27), dan juga kebenaran Tuhan yang dinyatakan tanpa hukum Taurat. Paulus berkata: “yaitu bahwa orang-orang bukan Yahudi, karena Berita Injil, turut menjadi ahli-ahli waris dan anggota-anggota tubuh dan peserta dalam janji yang diberikan dalam Kristus Yesus.” (Ef 3:6). Maksudnya, kesejagatan Injil telah dinyatakan kepada dunia. Tradisi orang Yahudi yang memonopoli sebagai bangsa umat pilihan Tuhan selama beberapa generasi telah dipecahkan melalui Yesus Kristus. Oleh itu, Paulus berkata bahawa orang-orang bukan Yahudi dahulunya “tanpa Kristus, tidak termasuk kewargaan Israel dan tidak mendapat bagian dalam ketentuan-ketentuan yang dijanjikan, tanpa pengharapan dan tanpa Allah di dalam dunia.” “Tetapi sekarang di dalam Kristus Yesus kamu, yang dahulu ‘jauh’, sudah menjadi ‘dekat’ oleh darah Kristus.” (Ef 2:11-22).

 

2. Diberitakan dengan perantaraan rasul Paulus

Paulus dipercayakan dengan tugas penyelenggaraan kasih karunia oleh Tuhan. Dia juga tahu bahawa Tuhan menyatakan rahsia Injil kepadanya dengan wahyu (Ef 3:2-3). Dia mengaku bahawa rahsia Tuhan dipercayakan kepadanya (1 Kor 4:1) dan dia telah menjadi pelayan Injil (Ef 3:7). Oleh itu, dia sanggup menderita untuk jemaat. Walaupun hidupnya dalam bahaya, dia rela melakukannya demi Tuhan (Kol 1:24). Semangat bersedia untuk menderita ini ditunjukkan dalam kerjanya (1 Ptr 4:13, Flp 4:10). Kuasanya datang daripada Tuhan. Jadi dia berkata: “Itulah yang kuusahakan dan kupergumulkan dengan segala tenaga sesuai dengan kuasa-Nya, yang bekerja dengan kuat di dalam aku.” (Kol 1:29). Dia juga berkata: “Dari Injil itu aku telah menjadi pelayannya menurut pemberian kasih karunia Allah, yang dianugerahkan kepadaku sesuai dengan pengerjaan kuasa-Nya.” (Ef 3:7). Paulus juga menegakkan amanatya kerana dia bekerja dengan kuat (29) (Flp 3:12). Dia memberitakan Injil yang sepenuhnya (25). Dia juga menasihati dan mengajar pemercaya dalam segala hikmat (28) (Kis 20:20,27; 2 Tim 2:25). Tujuannya adalah untuk memimpin tiap-tiap orang kepada kesempurnaan dalam Kristus (28).

 

C. Kristus menggenapi Kerajaan Tuhan (1:9-14)

Ketika Tuhan Yesus mula-mula memberitakan Injil, Dia berkata kepada orang-orang pada waktu itu: “Kerajaan Sorga sudah dekat!” Yesus datang untuk memberitakan Injil Kerajaan Tuhan dan menyelesaikan projek besar kerajaan Tuhan. Manusia dapat pergi kepada Bapa melalui Dia (Yoh 14:2-6).

1. Dengan penyelamatan dan penebusan

Yesus menyelesaikan projek besar Kerajaan Tuhan melalui penyelamatan dan penebusan. Jadi, Paulus berkata: “Ia telah melepaskan kita dari kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam Kerajaan Anak-Nya yang kekasih.” (Kol 1:13). “Melepaskan” dan “memindahkan” ini merupakan satu proses, bahkan satu proses pengorbanan yang membuktikan tahap usaha dan pengorbanan Kristus untuk menyelesaikan anugerah keselamatan. Oleh penebusan pengorbanan-Nya, kita dilepaskan daripada kuasa kegelapan dan dosa kita diampuni sehingga kita layak mendapat bagian yang ditentukan untuk orang-orang kudus di dalam kerajaan terang. Proses ini juga memperingatkan kita bahawa kita harus bekerja keras untuk memperoleh anugerah keselamatan yang lengkap itu (Mat 11:12).

 

2. Dengan hikmat (9-11) (kehendak Tuhan)

Bagi mereka yang mengejar Kerajaan Tuhan, hikmat ini bukanlah hikmat duniawi, tetapi hikmat rohani, hikmat yang dari atas (Yak 3:13-18). Hikmat ini merupakan pelbagai ragam hikmat Allah, sesuai dengan maksud abadi, yang telah dilaksanakan-Nya dalam Kristus Yesus, Tuhan kita (Ef 3:10-11). Hikmat ini menuntun orang kepada keselamatan oleh iman kepada Kristus Yesus. Bagi mereka yang memberitakan Injil, Paulus berkata bahawa dia tidak datang dengan kata-kata yang indah atau dengan hikmat, atau dengan kata-kata hikmat yang menyakinkan yang merupakan hikmat manusia, tetapi menyakinkan orang dengan keyakinan akan kekuatan Roh Kudus. Bagi mereka yang mengejar Kerajaan Syurga, seseorang diselamatkan bukan hasil usahanya, tetapi kerana kasih karunia oleh iman (Ef 2:8). Seperti yang dikatakan oleh Petrus: “Karena kuasa ilahi-Nya telah menganugerahkan kepada kita segala sesuatu yang berguna untuk hidup yang saleh oleh pengenalan kita akan Dia, yang telah memanggil kita oleh kuasa-Nya yang mulia dan ajaib.” (2 Ptr 1:3). Kita harus menerima segala hikmat dan pengertian yang benar untuk mengetahui kehendak Tuhan dengan sempurna.

 

3. Dengan melakukan firman (10-11)

Setelah mengetahui Injil kebenaran, perbuatan kita harus berpadanan dengan panggilan itu (Ef 4:1). Kita harus menunjukkan iman kita kepada Tuhan dengan perbuatan kita. Oleh itu, Paulus mengatakan bahawa hidup kita harus layak di hadapan-Nya serta berkenan kepada-Nya dalam segala hal. Standard ini diberikan oleh Tuhan kepada kita. Kita bukan hanya menjadi pendengar firman saja, tetapi juga pelaku firman di samping memberi buah dalam segala pekerjaan yang baik untuk membangun diri sendiri (Gal 5:22) supaya kita dapat bertumbuh dalam pengetahuan yang benar tentang Allah dengan melakukan firman. Dengan melakukan firman, kita dikuatkan dengan segala kekuatan, memiliki kekuatan rohani untuk menempuh jalan syurgawi, ada ketekunan, kesabaran dan kelapangan hati. Dengan itu, kita dapat menjalani kehidupan orang Kristian dengan sukacita.

 

D. Kristus ialah Pernyataan Tuhan Dalam Tubuh Daging

Paulus berkata: “Sebab dalam Dialah berdiam secara jasmaniah seluruh kepenuhan ke-Allahan.” (Kol 2:9). Pernyataan ini mempunyai ciri kepenuhan ke-Allahan dan kehormatan Kristus yang mendalam. Hal ini kerana pernyataan ini menjelaskan Kristus ialah Tuhan yang datang ke dunia sebagai manusia. Seperti (Yoh 1:14) mencatatkan: “Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, … penuh kasih karunia dan kebenaran.” Kelahiran Kristus sebagai manusia boleh dikatakan sebagai Tuhan menyatakan diri-Nya dalam rupa manusia. Tuhan itu roh yang datang ke dunia dalam rupa manusia (Yeh 1:26). Hal ini merupakan rahsia besar dalam iman kepercayaan. Oleh itu, (1 Tim 3:16) mencatatkan: “Dan sesungguhnya agunglah rahasia ibadah kita: “Dia, yang telah menyatakan diri-Nya dalam rupa manusia, dibenarkan dalam Roh; yang menampakkan diri-Nya kepada malaikat-malaikat, diberitakan di antara bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah; yang dipercayai di dalam dunia, diangkat dalam kemuliaan.”” Kristus yang menjadi manusia membolehkan kita tahu bahawa Dia memiliki sifat kemanusiaan dan sifat keilahian. Hal ini bermaksud bahawa Anak Manusia, Yesus yang dilahirkan di dunia ini ialah Tuhan yang memiliki sifat kemanusiaan, dan Dia juga seorang manusia yang memiliki sifat keilahian. Mengapa dikatakan demikian?

1. Manusia yang memiliki sifat keilahian

Yesus ialah Tuhan. Dia adalah seorang manusia yang memiliki sifat keilahian ketika Dia datang ke dunia sebagai manusia. Yesus ialah manusia. Dia sering menyebut diri-Nya “Anak Manusia”, tetapi Dia memiliki sifat keilahian. Dari aspek sifat keilahian, Dia ada kasih, emosi, kekuatan, kehendak, hikmat, dan anugerah keselamatan yang disebut “keperibadian” dalam bidang teologi. Yesus menjadi seorang manusia dan memperlihatkan sifat keilahian-Nya. Oleh itu, Paulus berkata: “… kemuliaan Allah yang nampak pada wajah Kristus.” (2 Kor 4:6). Ayat ini bermaksud bahawa terang kemuliaan Tuhan dapat dilihat pada Kristus.

  • Menyatakan Bapa yang di syurga

(Yoh 1:18) mencatatkan: “Tidak seorang pun yang pernah melihat Allah; tetapi Anak Tunggal Allah, yang ada di pangkuan Bapa, Dialah yang menyatakan-Nya.”

Kristus Yesus menyatakan Tuhan Bapa. Misi ini diberikan kepada-Nya ketika Dia datang ke dunia. Dunia berdosa dan berbuat dosa terhadap Tuhan kerana tidak mengenal Tuhan. Dunia tidak mengenal Yesus sebagai utusan Tuhan. Sebahagiannya adalah kerana mereka benar-benar tidak mengenali-Nya, manakala sebahagiannya adalah kerana mereka tegar dan tidak percaya. (Rm 1:19-20) mencatatkan: “Karena apa yang dapat mereka ketahui tentang Allah nyata bagi mereka, sebab Allah telah menyatakannya kepada mereka. Sebab apa yang tidak nampak dari pada-Nya, yaitu kekuatan-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, dapat nampak kepada pikiran dari karya-Nya sejak dunia diciptakan, sehingga mereka tidak dapat berdalih.” Yesus telah menyelesaikan amanat Tuhan Bapa yang benar, dan Dia benar-benar telah menyatakan Tuhan yang benar (Yoh 17:4).

 

  • Percaya kepada Anak bermaksud percaya kepada Bapa

Tuhan itu Roh. Manusia tidak dapat melihat-Nya dengan mata kasar. Namun Yesus menyatakan keilahian-Nya supaya manusia dapat melihat Tuhan.

Yesus sendiri bersaksi: “Barangsiapa percaya kepada-Ku, ia bukan percaya kepada-Ku, tetapi kepada Dia, yang telah mengutus Aku; dan barangsiapa melihat Aku, ia melihat Dia, yang telah mengutus Aku.” (Yoh 12:44-45). Apabila seseorang melihat Yesus, dia melihat Tuhan, dan percaya kepada “Yesus sebagai manusia yang memiliki sifat keilahian” bermaksud percaya kepada Tuhan. Yesus mempunyai ke-Allahan (keilahian). Sifat ini dapat dilihat oleh manusia agar mereka dapat percaya apabila melihatnya. Anak Manusia, Yesus bersaksi untuk Tuhan supaya dunia mengenali-Nya dan mengenal Tuhan. Yesus berkata: “Inilah hidup yang kekal itu, yaitu bahwa mereka mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang telah Engkau utus.” (Yoh 17:3).

 

  • Dialah Tuhan yang benar

Yesus ialah Tuhan yang benar. Dari Perjanjian Lama hingga Perjanjian Baru, semuanya menyaksikan bahawa Kristus ini ialah Tuhan. Yesuslah Tuhan yang benar. Dia mempunyai nama Tuhan. Dia juga mempunyai sifat-sifat Tuhan yang Mahakuasa, penuh hikmat, dan ada di merata tempat. Dia mempunyai jabatan Tuhan, dan Dialah Allah dalam Perjanjian Lama. Paulus berkata: “Mereka adalah keturunan bapa-bapa leluhur, yang menurunkan Mesias dalam keadaan-Nya sebagai manusia, yang ada di atas segala sesuatu. Ia adalah Allah yang harus dipuji sampai selama-lamanya.. Amin!” (Rm 9:5). Dalam kalangan murid-murid Yesus, Tomas pada mulanya tidak percaya bahawa Yesus telah bangkit dari antara orang mati. Setelah dia melihat Yesus dengan matanya sendiri, dia berkata dengan kagum: “Ya Tuhanku dan Allahku!” (Yoh 20:28).

 

2.Tuhan yang memiliki sifat kemanusiaan

Yesus ialah Tuhan yang memiliki sifat kemanusiaan. Yesus dilahirkan ke dunia untuk menyelesaikan rancangan anugerah keselamatan. Dia merasakan penderitaan dunia, dengan darah dan air mata. Dia ialah Tuhan, tetapi Dia tidak menongkat langit sehingga manusia tidak dapat mendekati-Nya. Sebaliknya, Dia merendahkan diri-Nya, melaksanakan kasih dengan kaedah kasih dan mengadakan damai sejahtera dengan kaedah damai sejahtera (Ef 2:15).

  • Diutus oleh Tuhan

Begitu besar kasih Allah akan dunia ini (Yoh 3:16). Tuhan ialah kasih. Kasih-Nya yang paling besar kepada manusia dinyatakan dengan mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal kepada manusia.

Yesus Kristus datang daripada Tuhan (Yoh 3:17, 17:3). Oleh itu, pesanan Yesus merupakan Injil daripada Tuhan. Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus ialah roh dan kehidupan. Oleh iman kepada Yesus Kristus, dunia dapat berpaling daripada dosa dan maut, dibenarkan dan dikuduskan oleh Tuhan, dan mendapat hidup yang kekal.

 

  • Menjadi daging yang dikuasai dosa

Paulus berkata: “Sebab apa yang tidak mungkin dilakukan hukum Taurat karena tak berdaya oleh daging, telah dilakukan oleh Allah. Dengan jalan mengutus Anak-Nya sendiri dalam daging, yang serupa dengan daging yang dikuasai dosa karena dosa, Ia telah menjatuhkan hukuman atas dosa di dalam daging.” (Rm 8:3). Yesus mempunyai sifat kemanusiaan sehingga Dia dapat merasakan dan mengalami penderitaan dunia. Ibrani 4:15 mencatatkan: “Sebab Imam Besar yang kita punya, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Ia telah dicobai…” Datang ke dunia dalam daging yang dikuasai dosa (salah satu sifat manusia) tidak bermaksud bahawa Yesus ada berbuat dosa, tetapi Dia mempunyai kelemahan manusia dan berkemungkinan berbuat dosa, tetapi yang berbeza daripada yang lain adalah bahawa “Dia tidak berbuat dosa”.

 

  • Daripada kaya kepada miskin

Paulus berkata: “Karena kamu telah mengenal kasih karunia Tuhan kita Yesus Kristus, bahwa Ia, yang oleh karena kamu menjadi miskin, sekalipun Ia kaya, supaya kamu menjadi kaya oleh karena kemiskinan-Nya.” (2 Kor 8:9). Yesus ialah Tuhan yang mulia. Dia meninggalkan takhta besar yang mulia di syurga dan mengorbankan diri-Nya bagi kita, umat manusia. Walaupun mempunyai kekayaan Tuhan, tetapi Dia bersedia menjadi Anak Manusia yang miskin demi manusia. Dia menggambarkan hidup-Nya sedemikian: “Serigala mempunyai liang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kepala-Nya”. Begitulah Dia merendahkan diri-Nya. Umat manusia mempunyai peluang dan pengharapan kekayaan kerana kesediaan-Nya untuk menjadi miskin.

 

  • Merendahkan hati

Paulus berkata: “Kristus Yesus, yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan menganbil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-Nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib.” (Flp 2:6-8). “Kristus Yesus, yang walaupun dalam rupa Allah” dan “kesetaraan dengan Allah” menunjukkan bahawa Dia ialah Tuhan itu sendiri. Dialah Tuhan benar yang terutama. Namun Dia mengosongkan diri-Nya sendiri dan mengambil rupa seorang hamba dengan tujuan melayani orang lain. Tujuan Dia menjadi sama dengan manusia adalah untuk menyelamatkan manusia dalam bentuk manusia. Tambahan pula, Dia menyelamatkan manusia dengan cara yang paling ditakuti oleh manusia iaitu maut. Dia menyelamatkan manusia dengan cara yang paling lemah dalam sifat manusia supaya mereka dapat memperoleh berkat yang paling teguh (hidup yang kekal) (Ibr 2:14,15).

 

  • Sumber keselamatan

(Ibr 5:9) mencatatkan: “dan sesudah Ia mencapai kesempurnaan-Nya, Ia menjadi pokok keselamatan yang abadi bagi semua orang yang taat kepada-Nya.” Oleh sebab Yesus tidak berbuat dosa dan Dia belajar ketaatan di tengah-tengah penderitaan sesuai dengan kehendak Tuhan Bapa yang benar, maka Dia menjadi sempurna dengan cara ini dan memenuhi syarat untuk menjadi sumber keselamatan yang abadi bagi semua orang yang taat. Kristus menderita dalam hidup-Nya sebagai manusia. Dia mempersembahkan doa dan permohonan dengan ratap tangis dan keluhan. Perbuatan ini menunjukkan bahawa Dia memiliki penderitaan dan kesabaran yang sebenarnya dalam sifat manusia. Dia juga tidak menghindarkan diri daripada penderitaan yang ditanggung oleh manusia kerana dosa. Oleh sebab itu, Dia bersedia berkorban untuk mereka demi menghibur orang-orang yang berada dalam penderitaan.

 

E. Kepenuhan Tuhan ada Dalam Kristus

1. Secara jasmaniah

Seluruh kepenuhan ke-Allahan bukan hanya berdiam dalam Kristus, tetapi berdiam secara jasmaniah dalam Kristus. “Secara jasmaiah” yang dikatakan oleh Paulus merupakan sangkalan kepada salah faham terhadap Kristus oleh ajaran sesat pada masa itu (konsep mazhab “Doketisme” dan “Cerinthus” Gnostisisme yang memisahkan manusia Yesus daripada Kristus).

“Secara jasmaniah” bermaksud “hidup dalam Kristus dalam bentuk tubuh”; iaitu “sifat keilahian dan kemanusiaan Yesus Kristus dengan jelasnya wujud secara serentak dalam bentuk tubuh”. Para sarjana Alkitab zaman-berzaman mempunyai pelbagai pandangan dan tafsiran tentang “secara jasmaniah”. Pandangan-pandangan dan tafsiran-tafsiran ini tidak lain tidak bukan melibatkan secara praktikal, secara sebenar, secara nyata, bukan secara perlambangan, bukan secara perumpamaan, secara peribadi, secara asas, secara universal, secara gereja, secara bentuk asal, dan lain-lain lagi. Artikel ini menggambarkan maknanya dengan menggunakan tiga konsep relatif:

  • Konkrit,bukan khayalan

Roh tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun Roh bukanlah khayalan kerana Roh ada pekerjaan yang nyata. Roh Kristus ialah Roh Tuhan. Walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar, Roh dapat dilihat dengan mata hati dan dirasakan oleh tubuh. Hari ini, anugerah keselamatan diberikan kepada orang-orang yang percaya melalui Kristus Yesus yang menjadi manusia. Pekerjaan ini bukan khayalan, tetapi benar dan boleh dikenali (1 Yoh 5:20). Pekerjaan Roh Kudus ini merupakan pernyataan sifat Tuhan. Secara konkritnya, pernyataan ini merupakan pernyataan keadilan dan kasih Tuhan. Kini, Roh Kudus menjalankan kerja penyelamatan dan penebusan sejagat melalui Yesus Kristus. Pekerjaan ini adalah konkrit dan bukan khayalan. Dari perspektif sejarah, Yesus merupakan tokoh sejarah, bukan watak fiksyen (Rm 9:5). Kisah-kisah-Nya juga merupakan kisah sejarah, bukan novel fiksyen. Kata-kata-Nya ialah kata-kata Tuhan, bukan mitos. Dari perspektif iman kepercayaan, bukan sahaja Tuhan menjadi saksi-Nya, tetapi juga manusia sepanjang zaman (1 Yoh 5:9). Saksi-saksi sepanjang zaman telah menyaksikan keilahian Yesus. Antaranya, kesaksian yang paling kuat ialah kenyataan dan khasiat kebangkitan Yesus dari antara orang mati (1 Kor 15:3-8; Gal 3:1).

 

  • Kekal, bukan sementara

Ke-Allahan Tuhan berdiam dalam Kristus. “Berdiam” dalam teks asalnya bermaksud tempat tinggal tetap, bukan tempat persinggahan sementara. Paulus berkata: “Kristus Yesus, yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan.” (Flp 2:6). Kristus “walaupun dalam” rupa Allah telah menyatakan faktor masa. Dalam Kristuslah berdiam kepenuhan ke-Allahan. Kepenuhan ini telah ada “pada mulanya”; kerana “Pada mulanya” adalah Firman: Firman itu bersama-sama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah (Yoh 1:1), dan Yesus merupakan Firman yang telah menjadi manusia. (Ibr 7:24-25) mencatatkan: “Tetapi, karena Ia tetap selama-lamanya, imamat-Nya tidak dapat beralih kepada orang lain. Karena itu Ia sanggup juga menyelamatkan dengan sempurna semua orang yang oleh Dia datang kepada Allah. Sebab Ia hidup senantiasa untuk menjadi Pengantara nereka.” Jabatan Kristus sebagai Imam Besar tidak akan pernah berubah. Sebagai imam, Kristus menaikkan doa syafaat bagi dosa-dosa umat manusia dan menjadi Pengantara antara manusia dengan Tuhan. Kerja-kerja ini merupakan pernyataan sifat keilahian dan kemanusiaan-Nya. Oleh sebab Kristus hidup senantiasa, dan imamat-Nya tidak dapat beralih kepada orang lain, maka gambaran dan kepenuhan Tuhan akan tetap dan bertahan lama. (2 Tim 1:9) mencatatkan: “Dialah yang menyelamatkan kita dan memanggil kita dengan panggilan kudus, bukan berdasarkan perbuatan kita, melainkan berdasarkan maksud dan kasih karunia-Nya sendiri, yang telah dikaruniakan kepada kita dalam Kristus Yesus sebelum permulaan zaman.” Tuhan telah memberikan kasih karunia penyelamatan dan penebusan kepada kita sebelum “permulaan zaman” (1 Ptr 1:20).

 

  • Sepenuhnya, bukan sebahagian

(Yoh 1:14) mencatatkan: “Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, yaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran.” “Penuh” di sini menunjukkan kepenuhan Kristus. Kepenuhan kasih karunia dan kebenaran Tuhan berdiam secara penuh dalam Kristus, iaitu sepenuhnya dan bukan sebahagian. (Kol 1:19) juga mencatatkan: “Karena seluruh kepenuhan Allah berkenan diam di dalam Dia.” “Seluruh” bermaksud diam dalam Kristus sepenuhnya dan tanpa syarat. (Kol 2:3) mencatatkan: “sebab di dalam Dialah tersembuyi segala harta hikmat dan pengetahuan.” Kepenuhan Kristus juga merangkumi segala hikmat dan pengetahuan. Dialah Tuhan Yang Mahakuasa, maha mengetahui, dan penuh hikmat. Adakah sesuatu apa pun yang mustahil untuk Tuhan?

 

2. Boleh diperoleh

  • Sudi mengurniakan kepada manusia

Kepenuhan Kristus adalah secara jasmaniah, kelihatan dan nyata. Oleh itu Paulus berkata: “kamu telah dipenuhi di dalam Dia.” (Kol 2:10). Kristus tidak hanya menyatakan kepenuhan Tuhan, tetapi juga bersedia untuk diperoleh oleh manusia. Janji dan kasih karunia ini diberikan oleh Tuhan kepada orang-orang dalam Kristus. “Karena dari kepenuhan-Nya kita semua telah menerima kasih karunia demi kasih karunia.” (Yoh 1:16). Yesus mahu kita mendapat bahagian dalam dia. Dia mengambil berat tentang kehidupan kita. Paulus berkata: “Allahku akan memenuhi segala keperluanmu menurut kekayaan dan kemuliaan-Nya dalam Kristus Yesus.” (Flp 4:19). Dia juga mengambil berat tentang hidup kita. Dia berkata: “Aku datang, supaya mereka mempunyai hidup, dan mempunyainya dalam segala kelimpahan.” (Yoh 10:10). Dia turut berjanji kepada perempuan Samaria: “Jikalau engkau tahu tentang karunia Allah dan siapakah Dia yang berkata kepadamu: Berilah Aku minum! niscaya engkau telah meminta kepada-Nya dan Ia telah memberikan kepadamu air hidup.” (Yoh 4:10). Memandangkan janji ini telah ada sejak awal lagi, maka kita harus memohon menurut kehendak-Nya. Seperti yang dikatakan oleh Yohanes: “Dan inilah keberanian percaya kita kepada-Nya, yaitu bahwa Ia mengabulkan doa kita, jikalau kita meminta sesuatu kepada-Nya menurut kehendak-Nya. Dan jikalau kita tahu, bahwa Ia mengabulkan apa saja yang kita minta, maka kita juga tahu, bahwa kita telah memperoleh segala sesuatu yang telah kita minta kepada-Nya.” (1 Yoh 5:14-15).

 

  • Melalui sunat sejati

Paulus berkata: “Dalam Dia kamu telah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat Kristus, yang terdiri dari penanggalan akan tubuh yang berdosa.” (Kol 2:11). Kepenuhan Kristus melepaskan manusia daripada sifat dosa dalam daging supaya mereka memperoleh hidup baru yang berkelimpahan melaui sunat rohani. Sunat sejati ialah pembaptisan, iaitu dibaptiskan untuk mati, dikuburkan, dan dibangkitkan bersama-sama dengan Yesus. Sunat sejati dalam Kristus ini merupakan kerja kuasa Tuhan, kerana Tuhan telah membangkitkan Kristus dari antara orang mati supaya kita dapat hidup bersama-sama dengan Kristus (Kol 2:12). Umat ​​pilihan dalam Perjanjian Lama perlu menjalani sunat fizikal untuk dihubungkan dengan hidup Tuhan. Dalam Perjanjian Baru, mereka dapat dihubungkan dengan Kristus melalui sunat sejati Kristus sehingga mereka memiliki hidup baru Kristus yang berkelimpahan (Kol 2:19).