TELADAN ABRAHAM
(Pendeta Jian Mingrui)
Kepercayaan adalah kehidupan, kehidupan adalah kepercayaan, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Kita bukanlah mempunyai kepercayaan hanya apabila kita menghadiri kebaktian gereja, tetapi ia harus wujud dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita mesti menghayati kepercayaan ke dalam kehidupan. Sebaik sahaja kepercayaan dihayati, ia secara semula jadi akan dinyatakan secara luaran.
“Menghidupi kepercayaan, mewarisi kepercayaan yang indah”
Mulakan Dengan Mezbah Peribadi
Membina mezbah keluarga adalah cara terbaik untuk mewariskan kepercayaan. Tetapi sebelum membina mezbah keluarga, ada satu perkara yang penting. Anda mesti bermula dengan mezbah peribadi. Jika anda sendiri tidak mempunyai mezbah, bagaimanakah anda boleh memimpin mezbah keluarga? Oleh itu, setiap kita mesti terlebih dahulu menjalinkan hubungan intim dengan Tuhan. Apabila seseorang individu menjalinkan hubungan dengan Tuhan terlebih dahulu, dia akan mendapat kekuatan untuk memimpin keluarga dalam membina mezbah.
Ketika itu Tuhan menampakkan diri kepada Abram dan berfirman: “Aku akan memberikan negeri ini kepada keturunanmu.” Maka didirikannya di situ mezbah bagi Tuhan yang telah menampakkan diri kepadanya. Kemudian ia pindah dari situ ke pegunungan di sebelah timur Betel. Ia memasang kemahnya dengan Betel di sebelah barat dan Ai di sebelah timur, lalu ia mendirikan di situ mezbah bagi Tuhan dan memanggil nama Tuhan. (Kejadian 12:7-8)
Ia berjalan dari tempat persinggahan ke tempat persinggahan, dari Tanah Negeb sampai dekat Betel, di mana kemahnya mula-mula berdiri, antara Betel dan Ai (Kejadian 13:3)
Sesudah itu Abram memindahkan kemahnya dan menetap di dekat pohon-pohon tarbantin di Mamre, dekat Hebron, lalu didirikannyalah mezbah di situ bagi Tuhan. (Kejadian 13:8)
Abraham menjalani kehidupan membina mezbah, dari mezbah peribadi hingga mezbah keluarga. Di sini kita dapat melihat bahawa kepercayaan Abraham adalah kehidupan, malah kepercayaan adalah hidupnya. Jadi tidak kira ke mana dia pergi, perkara pertama yang dia lakukan ialah membina mazbah di sana untuk mempersembahkan korban untuk menyembah Tuhan dan bersyukur kepada Tuhan. Ini adalah pengisytiharan kepercayaan: “Inilah kehidupan saya! Saya adalah penyembah Tuhan Allah yang benar di syurga!” Oleh itu, bukan sahaja kehidupan dan kepercayaan tidak dapat dipisahkan, kepercayaan juga mesti menjadi fokus kehidupan—utamakan Tuhan, maka kehidupan kita akan menurut rupa kepercayaan kita.
Kepercayaan Abraham adalah menjalani kehidupan “membina mezbah.” Perkara pertama yang dia lakukan ke mana sahaja dia pergi ialah membina mezbah dan mempersembahkan korban – untuk menyembah Tuhan, bersyukur kepada Tuhan atas bimbingan-Nya, dan berdoa memohon pertolongan Tuhan. Kerana imannya tidak terpisah daripada kehidupan, dia boleh beralih dari mezbah peribadi ke mezbah keluarga, serta mewariskan pengalaman dan pengenalannya tentang Tuhan kepada generasi seterusnya.
Urutan Kehidupan
Bagaimana kepercayaan diwariskan? Dengan menunjukkannya kepada anak-anak secara halus dalam kehidupan. Anak-anak akan dipengaruhi oleh telinga dan mata mereka. Mereka akan melihat ibu bapa mereka menjalani kehidupan beriman seperti ini sejak kecil, dan menghayati kepercayaan ke dalam kehidupan, sehingga mereka akan menghidupi kepercayaan secara semula jadi.
Ishak telah terdedah kepada hal ini sejak kecil, dia melihat bagaimana bapanya Abraham menyembah Tuhan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Secara semula jadi, dia juga menjalani kehidupan membina mezbah apabila dia dewasa. Kepercayaannya telah dibina tanpa disedari, dan Ishak juga telah belajar membina mezbah untuk mempersembahkan korban dan menyembah Tuhan, bahkan dia juga memimpin anak-anaknya.
Sesudah itu Ishak mendirikan mezbah di situ dan memanggil nama Tuhan. Ia memasang kemahnya di situ, lalu hamba-hambanya menggali sumur di situ.(Kejadian 26:25)
Ishak sama seperti bapanya. Ke mana sahaja dia pergi, dia mula-mula membina sebuah mezbah untuk mempersembahkan korban dan menyembah Tuhan. Walaupun bapanya tidak ada sekarang, dan tidak berada di sana untuk mengingatkan atau memberitahunya: “Anda perlu membina mezbah! Jangan lupa untuk menyembah Tuhan! ” Dia secara semula jadi akan berbuat demikian, kerana kepercayaan ini telah dihayati dalam hidupnya, kerana penghayatan dalaman secara semula jadi akan muncul secara luaran.
Dari sini, kita juga melihat konsep hidup Ishak. Urutan keutamaan hidupnya ialah: Pertama, bina mezbah. Kedua, pasang khemah. Ketiga, menggali sumur. Dari perspektif moden, ini adalah: Pertama, kepercayaan (Tuhan). Kedua, keluarga. Ketiga, pekerjaan.
Tetapi apabila kita dengan jujur memeriksa kehidupan kita, adakah kita mengikut urutan ini, atau sebaliknya? Kebanyakan orang pasti menggali sumur terlebih dahulu, kerana bagaimana mereka boleh hidup tanpa air? Tiga unsur utama kehidupan ialah cahaya matahari, udara, dan air, dan Ishak juga mempunyai sekumpulan lembu, domba, dan hamba, jadi mesti ada air terlebih dahulu! Selesaikan masalah kehidupan dahulu, dengan itu masalah tempat tinggal juga dapat diatasi, kemudian barulah fikirkan Tuhan, dan Tuhan diletakkan di tempat yang terakhir.
Kita sering mendengar contoh seperti ini di gereja: apabila penguasa, diaken atau penatua menjemput saudara atau saudari tertentu untuk mengambil bahagian dalam kerja suci, saudara atau saudari itu akan menjawab: “Saya sangat sibuk dan tidak mempunyai masa. Jika saya mempunyai masa yang tinggal, saya akan datang membantu!” Ini bermaksud “masa yang tinggal” akan diberi kepada Tuhan. Jika tidak ada masa yang tinggal, bermaksud tidak memberikan apa-apa, dan Tuhan diletakkan di tempat terakhir. Tetapi apabila kita berlutut untuk berdoa, kita akan memohon kepada Tuhan: “Ya Tuhan! Berikanlah saya anugerah yang terbaik, dan berkat yang terbaik!” Tidak ada orang yang akan berkata: “Ya Tuhan! Berikanlah berkat yang terbaik kepada orang lain dahulu, jika masih ada yang tinggal, berikanlah kepada saya!” Adakah sesiapa yang berdoa seperti ini? Tidak! Tetapi kita akan berkata: “Jika saya masih ada masa yang tinggal, saya akan menghadiri kebaktian, dan melakukan kerja suci.” Apakah yang akan difikirkan oleh Tuhan Yesus? Juga berikan kita sisa rahmat?
Kita melihat bahawa urutan keutamaan hidup Ishak adalah mula-mula membina mezbah, kemudian mendirikan khemah, dan akhirnya menggali sumur. Kita mendapati bahawa, ajaib sekali, setiap sumur yang digali oleh Ishak adalah sumur air hidup. Sumur mewakili pekerjaan kita, ini bermaksud kerjaya kita berjalan dengan lancar. Maka orang Filistin pada masa itu juga berasa hairan, mengapa mereka sendiri tidak dapat menggali sumur air hidup, tetapi orang ini menggali saja di mana-mana, dia akan mendapat air hidup. Pada mulanya, mereka terus merampasnya daripada Ishak, kerana merampas lebih cepat daripada mengambil masa untuk menggali. Tetapi selepas merampas dua atau tiga kali, mereka tidak berani merampas lagi, kerana mereka mendapati bahawa: Tuhan menyertai Ishak. Kerana mereka tahu bahawa Ishak diberkati oleh Tuhan, mereka berasa takut kerana telah merompaknya dan membulinya, ini adalah sama dengan menentang Tuhan, yang sama sekali tidak dibenarkan. Jadi sebaliknya, mereka mahu berdamai dengan Ishak dan mengadakan perjanjian dengannya. Oleh itu, jenis kehidupan yang kita pilih akan menentukan bagaimana kita diberkati oleh Tuhan. Bagaimanakah kehidupan Ishak? ──Kehidupan Rehobot.
Ia pindah dari situ dan menggali sumur yang lain lagi, tetapi tentang sumur ini mereka tidak bertengkar. Sumur ini dinamainya Rehobot, dan ia berkata: “Sekarang Tuhan telah memberikan kelonggaran kepada kita, sehingga kita dapat beranak cucu di negeri ini.”(Kejadian 26:22)
Rehobot bermaksud luas makmur. Siapa di antara kita yang tidak mahu hidup kita ini luas dan makmur? Mengapa Ishak boleh menjalani kehidupan sedemikian? Melihat kembali apa yang disebutkan tadi, apakah jenis kehidupan yang dia jalani? Apakah urutan keutamaan hidupnya? Jawapannya sudah nyata. Inilah pengaruhi mezbah keluarga yang dipimpin oleh bapanya, jadi kita perlu beralih daripada mezbah peribadi kepada mezbah keluarga, dan secara semula jadi anak-anak kita akan mewarisi gaya hidup ini. Ishak mewarisi cara bapanya menyembah Tuhan. Ke mana-mana dia pergi, dia akan mula-mula membina mezbah dan mempersembahkan korban, serta mengutamakan Tuhan. Dengan semula jadi, dia menikmati kehidupan Rehobot yang diberikan oleh Tuhan.
Seluruh Keluarga Membina Hubungan Rapat Bersama
Mezbah keluarga adalah jaminan yang membolehkan kita dan ahli keluarga kita bertumbuh bersama dalam kehidupan, dan menjalinkan hubungan yang intim. Hubungan intim seperti itu bukan sahaja terjalin antara ahli keluarga, tetapi juga menjalinkan hubungan intim dengan Tuhan, kerana kepercayaan akan mempengaruhi kepercayaan, dan kehidupan akan mempengaruhi kehidupan.
Lalu Abraham mengambil kayu untuk korban bakaran itu dan memikulkannya ke atas bahu Ishak, anaknya, sedang di tangannya dibawanya api dan pisau. Demikianlah keduanya berjalan bersama-sama. Lalu berkatalah Ishak kepada Abraham, ayahnya: “Bapa.” Sahut Abraham: “Ya, anakku.” Bertanyalah ia: “Di sini sudah ada api dan kayu, tetapi di manakah anak domba untuk korban bakaran itu?” Sahut Abraham: “Allah yang akan menyediakan anak domba untuk korban bakaran bagi-Nya, anakku.” Demikianlah keduanya berjalan bersama-sama. (Kejadian 22:6-8)
Perenggan ini membolehkan kita melihat hubungan ayah dan anak. Ada ayat yang diulang dua kali – keduanya berjalan bersama-sama. Dalam hal apakah bapa dan anak ini berjalan bersama? Dalam soal mempersembahkan korban dan menyembah Tuhan. Ishak sangat jelas dengan perkara menyembah Tuhan dan mempersembahkan korban pada usia muda, kerana bapanya telah menunjukkan kepadanya dan memimpinnya untuk melakukannya sejak dia masih kecil, jadi dia sangat jelas dengan perkara menyembah Tuhan. Sebaik sahaja dia mendapati masalah, dia bertanya: “Ayah, kita kekurangan satu bahan untuk korban. Kita sudah mempunyai api, kayu, dan pisau. Jadi di manakah anak domba untuk korban bakaran itu?”
Hubungan Intim Yang Bercakap Tentang Segala-galanya
Di sini kita juga melihat bahawa bapa dan anak ini bersoal jawab dan bercakap tentang segala-galanya. Sesetengah kanak-kanak menemui masalah tetapi tidak berani bertanya kerana mereka takut dimarahi, atau apabila mereka bertanya soalan, mereka mendapat jawapan seperti: “Awak nampak tak saya sibuk sangat? Pergi tanya ibu awak!” Tetapi Ishak berani bertanya sebaik sahaja dia melihat masalah, kerana Abraham tidak pernah menolaknya. Apa sahaja yang ditanya akan dijawab. Sesetengah ibu bapa mungkin berkata dengan sedih: “Oh! Saya tidak faham anak saya pun…anak saya tidak bercakap dengan saya pun…” Kemungkinan besar apabila mereka perlu bercakap dengan kita, kita sentiasa tidak memberi jawapan kerana sibuk, atau langsung tiada di sisi mereka.
Apabila Ishak berkata kepada bapanya Abraham: “Bapa!” Abraham segera menjawab: “Anakku! Ini aku.” Oleh itu, kita jangan membiarkan anak-anak tidak dapat mencari kita ketika mereka masih kecil, dan jangan mengabaikan mereka atau tidak membalas apabila mereka memanggil kita. Apabila mereka dah besar, dan kita yang memanggil dia, dia tidak akan balas! Hubungan ibu bapa dan anak kadang-kadang akan terbalik macam ini, memang menghairankan! Semasa anak-anak masih kecil, apabila ibu bapa mereka hendak keluar, anak-anak akan bertanya: “Ayah dan mak pergi mana? Bila nak balik?” Akibatnya, apabila anak-anak besar dan kita menjadi tua, apabila anak-anak hendak keluar, tiba masanya ibu bapa bertanya: “Anak, kamu hendak ke mana? Bila nak balik?” Ia sudah terbalik! Jika kita tidak menemani anak sejak kecil atau tidak mengendahkan mereka, lama-kelamaan anak-anak tidak akan memberitahu kita apa-apa. Jadi ramai ibu bapa akan berkata dengan sedih: “Oh! Anak saya tidak mengatakan apa-apa kepada saya, dia bercakap dengan rakan-rakannya!” Mari kita ubah peranan kita, berhentilah menjadi ibu bapa tetapi jadilah kawannya, dan dia akan berkata-kata kepada kita.
Peranan seorang bapa seharusnya menjadi guru dan juga kawan. Apabila Ishak memanggil Abraham dan menerima jawapan, dia kemudian bertanya: “Kami mempunyai api dan kayu untuk korban, tetapi di manakah anak domba untuk korban itu?” Abraham menjawab dengan sangat beriman: “Anakku, Tuhan akan menyediakan bagi-Nya anak domba untuk korban bakaran.” Maka berjalanlah keduanya bersama-sama. Abraham tahu betul bahawa anak domba itu adalah Ishak anaknya, tetapi dia berkata bahawa Tuhan akan menyediakannya sendiri. Setelah mendengarnya, Ishak berhenti bercakap lagi. Adakah kita tahu bahawa Ishak boleh memahami pada usia yang begitu muda? Bolehkah dia faham? Sini juga memberitahu bahawa sama ada anak itu faham atau tidak, selagi dia bertanya, kita harus menjawab. Jangan berkata: “Kamu tak faham sebab masih kecil, kamu akan faham bila besar nanti.” “Gunakan telinga dan bukan mulut, dengar saja, jangan banyak tanya.” Jangan bercakap begini, bagaimana kita tahu bahawa dia tidak faham, kita nyatakan sahaja pengalaman kita sendiri dan iman kita terhadap Tuhan.
Isi Jurang Generasi Dengan Kebenaran
Apabila Abraham mengatakan “Tuhan akan menyediakan”, dia menunjukkan iman dan ketaatannya kepada Tuhan. Jadi apabila kita melihat keseluruhan prosesnya, Ishak juga sangat taat. Kerana bapanya taat kepada Tuhan, Ishak secara semula jadi mentaati Abraham. Ini adalah perkara yang ajaib. Kepercayaan mempengaruhi kepercayaan, dan kehidupan mempengaruhi kehidupan. Ishak memandang ayahnya yang menuruti arahan Tuhan di syurga, maka dia dengan semula jadi mendengar kata ayahnya; Ishak melihat ayahnya menghormati Tuhan, dan dia juga menghormati ayahnya. Oleh itu, ada orang yang sering bertanya: “Pendeta, bagaimana untuk mengajar anak-anak?” Atau: “Lebih cepat mengajar anak orang, tetapi lebih sukar untuk mengajar anak sendiri!” Sesungguhnya, bagaimana untuk mengajar anak-anak? Sebenarnya, tidak ada guru dalam hal mengajar anak, doa adalah kemahiran sebenar! Tidak ada rahasia untuk mengajar anak-anak. Satu-satunya cara adalah bergantung kepada kepercayaan.
Sesetengah ibu bapa berkata: “Terdapat jurang generasi antara saya dan anak-anak saya, dan kami tidak boleh berkomunikasi!” Apakah perbezaan umur antara kita dan anak-anak kita? Dua puluh hingga tiga puluh tahun. Abraham dan Ishak mempunyai hubungan yang sangat rapat. Berapa jarak umur mereka? Seratus tahun! Tidak ada jurang generasi walaupun selang seratus tahun, jadi kenapa sekarang kita yang berjarak dua puluh atau tiga puluh tahun ada jurang generasi dan kita tidak boleh berkomunikasi? Mengapa mereka boleh berkomunikasi? Mereka berkomunikasi dalam kepercayaan dan kebenaran, jadi Ishak memahami kata-kata bapanya dan menerima kepercayaan keluarga ini. Mezbah keluarga membolehkan bapa dan anak mengalami anugerah Tuhan bersama-sama dan memberi kesaksian tentang apa yang ayahnya katakan: “Tuhan pasti menyediakannya sendiri.”
Sampailah mereka ke tempat yang dikatakan Allah kepadanya. Lalu Abraham mendirikan mezbah di situ, disusunnyalah kayu, diikatnya Ishak, anaknya itu, dan diletakkannya di mezbah itu, di atas kayu api. (Kejadian 22:9)
Abraham mula mempersembahkan korban! Kita telah membaca teks itu dan nampaknya mudah – dia mengikat anaknya Ishak, dan Ishak membiarkan dia mengikatnya dan meletakkannya di atas kayu. Jika kita adalah Ishak, adakah kita akan bertindak balas? “Ayah! Bukankah tadi kamu memberitahu saya bahawa Tuhan akan menyediakan anak domba itu sendiri? Jadi mengapa kamu mengikat saya? Adakah kamu berbohong kepada saya?” Dengan diam Ishak diikat oleh ayahnya. Jika Ishak melarikan diri, adakah seorang tua berusia seratus tiga belas tahun mampu mengejar seorang muda berusia tiga belas tahun? Saya fikir ini tidak mungkin. Semasa saya kecil, saya sangat nakal. Ibu saya pernah mengejar saya dengan marah dan menjerit: “Jangan lari!” Saya terus berlari kerana jika saya berhenti, saya akan dihukum! Tetapi di sini Ishak dengan diam membiarkan ayahnya mengikatnya. Ayahnya baru saja berkata: “Tuhan sendiri pasti akan menyediakan anak domba untuk korban bakaran.” Tetapi dia mengikat anaknya, jadi ini adalah perkara ajaib yang pertama.
Sesudah itu Abraham mengulurkan tangannya, lalu mengambil pisau untuk menyembelih anaknya. (Kejadian 22:10)
Perkara ajaib yang kedua. Ketika baru saja diikat, Ishak tidak bercakap. Dia diikat secara diam oleh ayahnya dan diletakkan di atas kayu api. Abraham mengambil pisau dan bersedia untuk memulakan korban. Ishak masih sangat taat dan tidak bersuara. Setiap kali saya melihat perenggan ini, saya berfikir, jika semasa proses ini, Ishak hanya perlu mengatakan satu ayat: “Ayah! Saya anak kamu, adakah kamu akan membunuh saya seperti ini?” Walaupun dia tidak berkata apa-apa, dia hanya perlu menitiskan air mata, saya percaya tiada ayah yang sanggup melakukannya. Tetapi Ishak tidak berkata apa-apa dan sangat patuh. Ini adalah pengaruh halus kepercayaan dan pengaruh mezbah keluarga. Kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana untuk mengajar anak-anak kita, jadi biarlah Tuhan yang mengajar! Kita tunjukkan teladan dan taat kepada Tuhan, maka anak kita secara semula jadi akan taat kepada Tuhan. Jika anak ada firman Tuhan, kita tidak perlu risau, kerana jika dia taat kepada Tuhan, dia akan melakukan firman Tuhan, dan jika dia melakukan firman Tuhan, secara semula jadi dia akan taat kepada bapanya, kerana firman Tuhan berkata: Taatilah ibu bapamu di dalam Tuhan, hormatilah ibu bapamu….
Tetapi berserulah Malaikat Tuhan dari langit kepadanya: “Abraham, Abraham.” Sahutnya: “Ya, Tuhan.” Lalu Ia berfirman: “Jangan bunuh anak itu dan jangan kauapa-apakan dia, sebab telah Kuketahui sekarang, bahwa engkau takut akan Allah, dan engkau tidak segan-segan untuk menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.” Lalu Abraham menoleh dan melihat seekor domba jantan di belakangnya, yang tanduknya tersangkut dalam belukar. Abraham mengambil domba itu, lalu mengorbankannya sebagai korban bakaran pengganti anaknya. Dan Abraham menamai tempat itu: “Tuhan menyediakan”; sebab itu sampai sekarang dikatakan orang: “Di atas gunung Tuhan, akan disediakan.” (Kejadian 22:11-14)
Ishak mempunyai pengalaman rohani yang istimewa ini ketika dia masih muda, dan pengalaman kepercayaannya sangat mendalam. Dia mengalami – Tuhan Menyediakan. Oleh itu, urutan kehidupannya yang seterusnya ialah: mula-mula membina mezbah, kemudian mendirikan khemah, dan akhirnya menggali sumur. Kerana dia secara peribadi mengalami “Tuhan Menyediakan”, selagi saya meletakkan Tuhan di tempat pertama, Tuhan pasti akan sediakan. Bapanya telah membawanya untuk merasai pengalaman ini bersama-sama. Pada masa yang sama, Abraham menjalinkan hubungan yang rapat dengan Tuhan, dan Abraham juga menjalinkan hubungan rapat dengan anaknya Ishak. Inilah kuasa mezbah keluarga: Bertumbuh bersama dan menjalinkan hubungan intim.