CARA MELAKUKAN KERJA SUSULAN PERSEKUTUAN
Menabur benih hanyalah permulaan dalam seluruh kerja penginjilan. Faktor yang benar-benar membuatkan seseorang pencari Injil bertekad untuk menjadi murid Tuhan adalah sama ada kerja susulan dan kepimpinan dilakukan dengan baik. Kerja susulan merupakan kerja yang paling memerlukan kesabaran, kasih dan iman. Sekiranya kerja susulan dapat dilakukan dengan baik, bukan sahaja jumlah pencari Injil akan bertambah, tetapi jumlah orang yang baru dibaptis dalam persekutuan juga akan meningkat. Dengan demikian, persekutuan akan menjadi kuat dan penuh dengan kehidupan.
APA ITU KERJA SUSULAN?
- Secara ringkasnya, kerja susulan bermaksud terus membangun kawan pencari Injil sehingga dia bertekad untuk memberi diri dibaptis dan menjadi murid Tuhan.
- Memupuk dan melatih orang yang baru dibaptis untuk meneguhkan imannya dan membangun kerohaniannya supaya dia dapat segera memasuki kehidupan gereja dan melayani Tuhan sebagai murid-Nya (Kol 1:28-29; Mat 28:19).
APAKAH SYARAT ROHANI YANG HARUS DIMILIKI OLEH PEKERJA YANG MELAKUKAN KERJA SUSULAN?
- Menjalinkan hubungan erat dengan Tuhan – Kita tidak dapat melakukannya jika hanya mempelajari kaedah-kaedahnya tanpa kekuatan dari atas.
- Sudi mengorbankan hati perjuangan – Sedar bahawa kerja ini memakan masa dan perlu mengorbankan banyak masa.
- Mempunyai tingkah laku dan prestasi yang baik – Garam dan terang dunia.
- Tumpukan fokus pada beberapa orang pencari Injil atau orang-orang yang baru percaya – Murid-murid Kristus harus kembali kepada kesaksian. Kesaksian yang baik secara semula jadinya akan menarik perhatian lebih banyak orang untuk memasuki kasih karunia Tuhan. Kerja susulan bermaksud membuat penggembalaan secara mendalam dan menyeluruh terhadap beberapa orang pencari Injil atau pemercaya baharu yang menanti untuk dipupuk.
- Mengajar dan melatih secara tekun dan berterusan — Sama seperti Tuhan mengajar dua belas orang rasul dan mengutus mereka berdua-dua untuk bekerja. Tuhan mengambil masa selama tiga tahun untuk melatih dua belas orang murid. Kita harus mengikuti teladan Tuhan.
- Pemercaya harus giat, mempunyai kasih, dan memiliki semangat pelayanan (Mrk 10:42-45; 1 Kor 9:19). Pengalaman yang diperoleh oleh pencari Injil atau pemercaya baharu dalam persekitaran rohani akan memberikan kesan yang besar pada pertumbuhan rohaninya pada masa hadapan. Persekitaran gereja yang suam-suam kuku atau dingin akan menghalangi pertumbuhan pemercaya baharu. Oleh yang demikian, sebuah gereja yang giat adalah kondusif untuk kerja susulan pemercaya.
BUTIRAN PENTING KERJA SUSULAN
A. Kerja susulan peribadi
- Mula-mula, kumpulkan maklumat pencari Injil. Kemudian, klasifikasikannya secara terperinci dan mulakan dengan keprihatinan dari segi hidup.
- Hadiahkan majalah, kesaksian dan kaset Injil berdasarkan keperluan mereka.
- Pemimpin harus berdoa untuk pencari Injil setiap hari, mengajarnya untuk berdoa, belajar bersandar pada Tuhan, dan merasai rahmat Tuhan.
- Kongsi pengalaman iman kepercayaan hidup dan tanyakan sebarang pertanyaan kepadanya:
- Adakah ahli keluarganya akan menghalang?
- Adakah rakan sebilik dan rakan sekelasnya akan mentertawakannya? Bagaimana dia menghadapinya?
- Adakah dia mempunyai sebarang pertanyaan?
- Jika dia tidak yakin, apakah masalah yang menghalanginya untuk menerima Tuhan?
- Adakah dia pasti bahawa ada orang yang akan terus memupuknya? Adakah dia mengambil bahagian dalam kebaktian persekutuan atau kebaktian gereja?
- Ceritakan kepadanya tentang empat perkara menjadi seorang Kristian: Membaca Alkitab, berdoa, berkebaktian, dan memberitakan kesaksian.
- Hadiahkan buku-buku rohani, Alkitab, dan lain-lain kepadanya.
- Berdoa dengannya dan meminta dia membuka mulutnya.
B. Kerja susulan kumpulan
- Galakkan dia untuk menghadiri kebaktian yang sesuai, perkenalkan pemimpin gereja dan rakan-rakan seiman yang seusia dengannya kepadanya.
- Undanglah dia jika persekutuan ada menganjurkan kajian Alkitab secara berkumpulan. Galakkan dia untuk mengambil bahagian jika gereja ada menganjurkan kelas pencari Injil.
- Setelah memahami kebenaran, dorong dia untuk beriman dan terima baptisan.
CARA BERGAUL DENGAN RAKAN PENCARI INJIL
“Hubungan interpersonal yang baik” amat diperlukan untuk melakukan kerja susulan dengan baik. Kita harus bersikap ramah dan ikhlas terhadap orang lain serta bersedia untuk menampung kekurangan orang lain. Janganlah bersikap terlalu serius dan menakutkan sehingga menghasilkan imej yang tidak baik kepada orang lain. Selain sedar tentang amanat pemberitaan Injil, kita juga harus menyedari kepentingan kerja susulan, bersedia untuk digunakan oleh Tuhan, dan yang lebih penting lagi, tersedia bagi Tuhan.
A. Prinsip perbualan kerja susulan
- Dari segi sikap:
- Mesra (senyuman yang tulus dan prihatin, ikhlas dan sabar, tidak berdebat, dan tidak menimbulkan pertengkaran). (Ams 17:17; Ef 2:10; 2 Tim 4:2).
- Sopan (peramah dan bijaksana, tidak menegur; mendengar dengan penuh perhatian dan tidak melirik ke kanan dan ke kiri; jangan menyiasat kerana rasa ingin tahu).
- Lemah lembut (doa secara berterusan dalam hati, penuh dengan iman tetapi tidak memaksa pihak yang lain, dan tidak menyimpang daripada topik) (Rm 12:15).
- Semulajadi (lebih baik sama jantina, hampir seusia, dan satu kepada satu.)
- Ingatlah kata-kata yang diucapkannya (Yak 1:19).
- Gunakan masa dengan baik untuk perkara-perkara yang berfaedah (Ams 18:24; Ef 5:15-17).
- Menggunakan ayat Alkitab:
- Fokus: Penggunakan ayat Alkitab yang terlalu banyak tidak digalakkan. Pengukuhan penjelasan adalah lebih baik daripada menggunakan banyak ayat suci.
- Secara semula jadi: Buka Alkitab, letakkan di hadapan pihak yang lain dan memintanya untuk membaca.
- Gunakan kaedah soalan untuk memahami keadaan mental pihak yang lain. Ajukan soalan berdasarkan ayat suci dan soalannya.
KESIMPULAN
Kepercayaan kepada Yesus Kristus bukan disebabkan oleh kebijaksanaan dan kaedah manusia, tetapi oleh kuasa dan gerakan Roh Kudus. Tuhan mempunyai kedaulatan dan pemilihan yang mutlak. Kemahiran dan kaedah bukanlah pil mujarab atau senjata rahsia yang memimpin manusia kepada Tuhan. Namun, doa yang baik dan latihan yang baik dapat memudahkan pekerjaan Roh Kudus. Kerja susulan dalam persekutuan bukan hanya melibatkan pengajaran kebenaran, tetapi juga komunikasi dan perkongsian hidup. Selagi kita melaksanakan kewajipan, mengambil berat tentang mereka yang perlu dijaga, dan memastikan bahawa kerja yang dirancang itu dilaksanakan, Tuhan pasti akan secara peribadi memimpin dan memilih anak-anak domba-Nya melalui pekerjaan baik yang kita lakukan.
“Ia menggembalakan mereka dengan ketulusan hatinya, dan menuntun mereka dengan kecakapan tangannya.” (Mzm 78:72).