PENDAHULUAN
Sebelum membincangkan cara menganjurkan kebaktian teh Injil, kita harus terlebih dahulu memikirkan dua perkara: Pertama, apakah tujuan Injil? Kedua, apa ertinya memberitakan Injil dalam bentuk kebaktian teh? Kitab Kisah Para Rasul merupakan catatan sebenar tentang Roh Kudus memimpin rasul Tuhan untuk menyebarkan anugerah keselamatan Kristus. Ketika berfikir tentang Injil, kita akan memikirkan amanat dan jejak langkah para rasul. Tanggungjawab ini juga dipikul oleh pemercaya gereja benar. Paulus berkata: “Kalau andaikata aku melakukannya menurut kehendakku sendiri, memang aku berhak menerima upah. Tetapi karena aku melakukannya bukan menurut kehendakku sendiri, pemberitaan itu adalah tugas penyelenggaraan yang ditanggungkan kepadaku.” (1 Kor 9:17). Oleh itu, kita harus melakukan kerja pemberitaan Injil kerana kerja ini telah dipercayakan kepada kita.
Tetapi, kita tahu bahawa orang dalam dunia sekarang tidak dapat lagi menerima ajaran sihat (2 Tim 4:3). Bagaimana kita dapat membuat undangan supaya dunia mempunyai tanggapan baik yang mendalam ketika mereka bersentuhan dengan Tuhan Yesus? Perbincangan berikut adalah mengenai cara menganjurkan kebaktian teh Injil yang sangat bermakna.
BERSINAR DAN GIAT UNTUK KEBAKTIAN TEH INJIL
Kita selalu menyanyi Kidung Rohani bilangan 297: Apakah Tekadku Untuk Tuhan? Dalam kehidupan nyata, nampaknya saya tidak pernah bertekad untuk Tuhan, melainkan meminta ini dan itu daripada Tuhan tanpa segan silu. Setiap orang boleh berusaha bertekad untuk “kebaktian teh Injil” seperti orang yang baru belajar. Kita boleh bertekad untuk bersinar dan giat untuk kebaktian teh Injil, melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan pekerjaan, berkenan kepada Tuhan dan diperingati oleh Tuhan, dan mendapatkan pengalaman “tekad” yang sempurna.
Satu, Usaha Lutut (Kis 4:31)
Dalam setiap tindakan, perkara pertama yang harus diingat ialah doa. Doa merangkumi keadaan sebelum bertindak, permulaan tindakan, proses pelaksanaan dan juga kesudahannya. Mengapa perlu berdoa? Kita berdoa kerana kita memerlukan penyertaan Tuhan. Kita juga perlu segar kembali dan menambah iman. Dengan berdoa, kita dapat mengatasi segala rintangan yang mungkin timbul semasa proses persediaan kebaktian teh Injil dan berharap dapat menangani perkara-perkara dengan pemikiran Tuhan, bukan dengan pemikiran manusia.
Dua, Mendorong diri sendiri dan orang lain – Mengambil hikmat Alkitab sebagai dorongan satu sama lain (Kis 10:42-44)
Alkitab ialah firman Tuhan. Jika kita mahu Tuhan berbicara kepada kita, kita tidak seharusnya menunggu suara Tuhan kedengaran di telinga kita. Kita harus mengambil inisiatif untuk membelek Alkitab dan meneguhkan iman kita melalui ayat-ayat Alkitab. Sebelum para pekerja gereja benar pada masa awal menyembuhkan penyakit, mengusir roh jahat dan menghapuskan berhala, mereka terlebih dahulu membiarkan pendeta memimpin suatu kajian Alkitab secara ringkas. Ayat-ayat Alkitab yang dikaji adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang bakal dilakukan seterusnya dan bertujuan untuk meneguhkan iman semua orang dengan catatan Alkitab. Begitu juga dengan kebaktian teh Injil. Selain mendorong orang lain, melatih diri sendiri dengan pengharapan juga adalah sangat penting.
Tiga, Memperlengkapi diri sendiri – Perancangan senario (scenario planning) (1 Ptr 3:15)
Memperlengkapi diri sendiri sebenarnya merupakan sikap jangka panjang, bermula dari hari biasa dan secara berterusan. Memperlengkapi diri sendiri bermaksud banyak membaca Alkitab, kemudian mencerna dan mengambil khasiatnya supaya kita dapat berbicara untuk Tuhan Yesus ketika perlu. Sebaik-baiknya kita terlebih dahulu membuat perancangan senario (scenario planning) untuk mendapatkan jawapan-jawapan terutamanya untuk soalan-soalan yang sering diajukan oleh pencari Injil atau soalan yang tidak kita fahami dengan mendalam. Persediaan ini dapat mengelakkan situasi tidak dapat mencari ayat Alkitab yang berkenaan ketika diperlukan sehingga membawa kepada penyesalan kerana kurang membaca.
DALAMAN – MENDIRIKAN BAIT SUCI
Menganggap penganjuran kebaktian teh Injil sebagai “mendirikan Bait Suci” memang merupakan perumpamaan yang sangat sesuai. Bagi saudara-saudari yang menjadi tuan rumah kebaktian teh Injil, mereka mendapatkan berkat dan penyertaan Tuhan jika mereka menganjurkan kebaktian teh Injil dengan hati yang penuh hormat dan takzim seperti “mendirikan Bait Suci” serta menumpukan usaha dan rancangan yang mencukupi. Dengan itu, mereka dapat mempersembahkan kemuliaan kepada Tuhan apabila pekerjaan ini selesai. Faedah pembangunan dalaman pasti tidak hanya terbatas pada lebih banyak kemahiran atau pengumpulan pengalaman. Kadang-kadang, perkara indah yang tidak dijangka atau “tanda mukjizat” mungkin terjadi dan hasilnya selalunya menghiburkan. Hal ini kerana damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Kristus Yesus (Flp 4:7).
Roh kebaktian teh injil – Pemimpin
Pemimpin adalah seperti tiang penopang Bait Suci yang menghubungkaitkan bahagian demi bahagian. Bahagian-bahagian ini perlu dihubungkan secara baik dan berkualiti. Sememangnya tidak mudah untuk menjadi pemimpin yang kompeten! Oleh itu, kita tidak boleh terlalu cuai dalam topik memilih pemimpin. Sebaiknya, carilah seseorang yang berpengalaman, cerdas dan berhikmat di lapangan untuk memimpin. (Terlalu sukar, bukan? Bagaimana jika tidak ada orang seperti itu?) Secara amnya, dalam persekutuan – abang dan kakak senior akan memenuhi syarat di atas berbanding adik-adik junior. Demi pencari Injil yang datang ke kebaktian teh Injil untuk julung kalinya, dan demi gaya pelaksanaan kebaktian teh Injil secara keseluruhan, pemimpin juga harus mempunyai permintaan terhadap dirinya sendiri: kestabilan prestasi atau kesesuaian kata-katanya mesti mencapai tahap yang tertentu. Jika tidak, usahanya bagai arang habis, besi binasa. Kegagalan ini menjadikan kebaktian teh Injil kurang berjaya.
Aktivator – kidung
Kidung adalah hidup. Kebaktian teh injil yang mengharukan orang sangat memerlukan kidung. Peranan kidung adalah untuk mengubah persepsi asli yang biasa menjadi irama mood dengan menggunakan nota muzik. Banyak pencari Injil yang mungkin menguap berulang kali pada awalnya, tetapi hati mereka segera disegarkan oleh kidung; atau mereka mungkin tidak memebri respons terhadap isi kandungan khutbah ringkas tetapi mengalirkan air mata dalam konteks kidung dengan isi kandungan yang sama. Daya tarikan muzik sememangnya menjadi pemangkin emosi peribadi. Kidung juga boleh digunakan untuk sesi panas badan, melakukan aktiviti, atau mengajar nyanyian. Kadang-kadang kaya dengan daya dramatik dan kadang-kadang kaya dengan ciri-ciri yang meriah dan cerdas merupakan daya tarikan kidung.
Makanan kehidupan – khutbah ringkas, kesaksian
Kata Yesus: “Akulah roti hidup.” (Yoh 6:35). Firman hidup harus diberitakan kepada orang banyak (Kis 5:20). Kita tahu bahawa tugas terpenting dalam kebaktian teh Injil ialah menyebarkan Injil. Walaupun ringkas, tidak kira betapa sukarnya khutbah atau kesaksian itu, persediaan harus dilakukan dengan rapi dan tidak tergesa-gesa. Khutbah atau kesaksian haruslah kuat dan menyakinkan, dapat berakar di dalam hati orang, dan memberikan perasaan makanan kehidupan kepada pencari Injil. Tambahan pula, masa ini merupakan kali pertama pencari Injil berhubungan dengan iman kepercayaan ini, maka markah perasaan dan tanggapan terhadap gereja akan menyumbang kepada sebahagian besar persepsinya terhadap gereja yang benar. Oleh itu, dalam isi kandungan khutbah ringkas, beberapa pertentangan antara kepercayaan harus ditangani dengan semudah mungkin, sebilangan tajuk dan istilah harus digunakan dengan bijaksana. Sama seperti ucapan pembukaan Paulus kepada orang-orang Atena ketika dia tiba di Atena: aku lihat, bahwa dalam segala hal kamu sangat beribadah kepada dewa-dewa (Kis 17:22-34). Orang yang menyampaikan khutbah ringkas harus mempunyai pengalaman iman kepercayaan yang kaya, sangat berkeyakinan, bersikap inklusif, dan menunjukkan sikap yang terbuka.
Pembahagian kumpulan kerja, pembahagian tugas
Dalam kebaktian teh Injil, selain beberapa orang petugas dan kumpulan koir di atas pentas, terdapat lebih banyak petugas di belakang tabir yang sibuk dan bekerja keras untuk kelancaran aktiviti. Semua ini memerlukan kerjasama dan pembahagian tugas antara semua orang. Kerja ini hanya dapat diselesaikan jika semua orang dapat bertungkus lumus dalam mendirikan Bait Suci. Setiap orang perlu menjalankan tugas mereka sendiri. Contohnya mereka dan melekat poster, menyiapkan jamuan ringan, mengedarkan kad jemputan dan brosur, menyediakan peralatan dan menyusun atur tempat, dan lain-lain lagi. Semua orang boleh menjadi sebahagian daripada Bait Suci ini dalam pelbagai bentuk. Tindakan bersatu hati menyelesaikan kerja ini bukan hanya bermakna, tetapi juga boleh dikatakan bahawa kita mempersembahan diri sendiri untuk pekerjaan Tuhan. Oleh itu, setiap orang harus memandang berat tentang sepotong roti yang telah diterimanya, bersinar dan giat dalam tugasnya, serta penuh dengan penyertaan dan kasih karunia Tuhan.
LUARAN – DILEMA ANTARA DATANG DENGAN TIDAK DATANG
Kebaktian teh Injil bukan sahaja dapat membangun orang sendiri dan secara dalaman, tetapi mesej yang diberitakan juga adalah supaya lebih banyak orang mengenal Tuhan. Sebenarnya, pemberitaan luaran merupakan fokus keseluruhan kebaktian teh Injil. Oleh itu, satu lagi tugas penting dalam kebaktian teh Injil ialah mengundang rakan sekelas dan kawan-kawan datang menghadiri kebaktian teh Injil. Tugas ini sangat penting kerana kuasa “pemilihan” tidak ada pada kita. Maka, kita hanya mengundang rakan-rakan kita secara mencuba nasib. Sekiranya undangan kita ditolak, kita tidak boleh meradang demi menjaga perasaan mereka. Sekiranya rakan itu mungkir janji, kita hanya boleh menganggap diri kita tidak beruntung. Rakan yang telah menghadiri kebaktian teh Injil langsung tidak memberikan respons atau kembali ke dalam kelas untuk “membuat bantahan”. Semua situasi ini meningkatkan kesukaran undangan. Kita tidak tahu orang yang dipilih oleh Tuhan. Kita hanya mampu membawa rakan-rakan kita kepada-Nya satu persatu, dan kemudian menyaksikan rakan-rakan kita berjalan pergi tanpa peduli. Hal ini kerana kita tidak tahu kehendak Tuhan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh melepaskan sebarang peluang untuk membawa orang kepada Tuhan. Kita harus selalu memegang peluang yang ada dan menunggu Tuhan bekerja. Kita percaya bahawa Injil adalah untuk menyelamatkan orang yang percaya. Dengan cara ini, kita akan memiliki lebih banyak keberanian untuk menjelaskan alasan kedatangan kepada rakan-rakan yang dalam dilema sama ada datang ataupun tidak.
Berani memberitakan – supaya seluruh dunia mengetahuinya (Kis 11:18) (Kis 10:34-35)
Dunia moden mempunyai akses maklumat yang cepat. Waktu maklumat berada dalam fikiran manusia adalah kurang daripada waktu menunggu lampu isyarat. Ada juga maklumat yang lenyap sebelum dapat diingati. Bagaimana membuka jalan agar Injil sampai ke depan mata orang? Laman web mungkin merupakan cara yang baik, dan siaran TV juga agak baik. Namun bagi sistem tertutup populasi pelajar, cara yang lebih baik adalah dengan mengedarkan risalah, kad jemputan, poster, dan lain-lain cara yang dekat dengan lingkungan kehidupan mereka. Anugerah keselamatan Tuhan adalah universal tanpa mengira etnik atau wilayah. Oleh itu, kita mempunyai kewajiban dan tanggungjawab untuk memberitakan anugerah keselamatan Tuhan kepada mereka yang belum memeluk ke dalam nama Tuhan.
Berani berkata-kata – bercakap dengan pasti dan membangkitkan minat
Bak kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Apabila seseorang tertarik dengan risalah, poster, dan lain-lain lalu datang untuk bertanya, kita harus mengambil kesempatan untuk berbual. Perbualan itu kadang-kadang mungkin melibatkan kata-kata yang provokatif atau mengejek, dan kadang-kadang bersifat agresif atau hati bagai baling-baling. Walau bagaimanapun, kita harus berbicara kepadanya dengan berani berdasarkan kata-kata Alkitab dan mengatakan Injil yang sebenar. Seperti yang disebutkan di atas, ketika Paulus berada di Atena (Kis 17:22-34), dia mula-mula menghormati orang-orang di sana. Kemudian, barulah dia berkata: “Apa yang kamu sembah tanpa mengenalnya, … Allah yang telah menjadikan bumi dan segala isinya, Ia, yang adalah Tuhan atas langit dan bumi, tidak diam dalam kuil-kuil buatan tangan manusia…” Kata-kata ini boleh membangkitkan rasa ingin tahu orang lain, tetapi tidak terlalu mendalam, dan orang tidak akan terlalu menolaknya. Kemudian, mereka akan bersedia untuk terus mendengar.
Berani berlengah-lengah – jangan mudah menyerah kalah pada saat-saat akhir
Ketika tarikh kebaktian teh injil semakin hampir, rakan-rakan dan kawan-kawan pencari Injil yang pada mulanya bersetuju untuk hadir mungkin juga akan “berpaling tadah”. Mereka selalunya hanya memaklumkan kita pada hari kejadian bahawa dia tidak hadir. Situasi ketika ini benar-benar dapat menimbulkan pelbagai emosi. Sekiranya begitu mudah untuk membiarkan rakan itu berjaya menolak undangan, tidakkah semua usaha sebelumnya menjadi sia-sia seperti inai tertepung, kuku tanggal? (Tambahan pula, kita tidak tahu masa kebaktian teh Injil yang berikutnya akan diadakan.) Dengan semangat menyauk kering-kering, membeli habis-habis, kita meminta untuk memahami sebab-sebab dia tidak dapat menghadiri kebaktian teh Injil. Kemudian, kita mencadangkan cara penyelesaiannya. Sekiranya dia berasa tidak ada teman, kita boleh mencari teman untuknya. Sekiranya dia ada masalah pengangkutan, kita boleh mengaturkan pengangkutan untuknya. Dengan tindakan satu-persatu, kita melengah-lengahkan rakan kita dan jangan membiarkan dia melarikan diri dengan mudah. Dalam pertempuran rohani ini, kita sedang menyelamatkan jiwa-jiwa yang bernilai. Sekiranya kita sendiri melakukan perjalanan secara langsung dan membawa rakan kita datang untuk mendengar Injil lalu membolehkan khabar kerajaan syurga memasuki hatinya, apa yang lebih berharga daripada hasil ini?
ELAKKAN KEGAGALAN PADA SAAT AKHIR – SEBELUM BEMRULA
Seiring berlalunya waktu, kebaktian teh injil akan segera bermula. Waktu ini merupakan waktu yang paling penting kerana kita sudah “menggulung lengan baju”. Jika kita tidak terus menjaga dan mempertahankan keadaan sedia untuk berperang sebaliknya menjadi cuai, kita akan mudah terjatuh ke dalam keadaan “ke gunung tak dapat angin”. Apakah perkara utama yang tidak boleh dipandang enteng sebelum kebaktian teh Injil bermula?
Bersama-sama mewujudkan suasana dan kawalan
Mewujudkan suasana merupakan bahagian yang sangat penting. Biasanya, jenis suasana yang diinginkan harus disediakan sebelum kebaktian teh Injil bermula. Sekiranya hanya bertindak mewujudkan suasana setelah kebaktian bermula, kesannya biasanya kurang baik. Emosi yang tidak menentu merupakan kecederaan yang membawa maut bagi kebaktian teh Injil kerana tidak berkenan kepada Tuhan dan rakan pencari Injil juga susah untuk memberikan fokus. Suasana kebaktian haruslah penuh tertib dan ada penyertaan roh Tuhan. Sudah tentu, suasana yang santai dan menyenangkan juga boleh diwujudkan untuk membuatkan pencari Injil berasa santai, tetapi perlu dengan kawalan yang lebih baik untuk mengelakkan keseronokan yang keterlaluan. Kesedaran diri ini harus dimiliki oleh semua orang, dan bukan masalah bagi segelintir orang sahaja. Tujuan hanya dapat dicapai apabila semua orang bekerjasama dan bersatu hati.
Hanya meminta kepemimpinan Tuhan, bukan meminta kepemimpinan manusia
Sebelum kebaktian teh Injil bermula, kumpulkan semua orang untuk berdoa supaya semua saling berhubungan di bawah pimpinan Tuhan Yesus. Perbezaan terbesar antara kepemimpinan manusia dengan kepemimpinan Tuhan adalah bahawa kepemimpinan manusia akan menyebabkan seseorang kehilangan tenaga dan melihat kekurangannya sendiri. Kepemimpinan Tuhan pula akan menjadikan seseorang itu kuat, berani dan bijak mengatasi kesukaran. Kejayaan tidak dapat dicapai dengan kemampuan manusia. Semua bakat, karunia, dan kuasa berasal daripada Tuhan. Oleh itu, kita hanya meminta kepemimpinan Tuhan, bukan kepemimpinan manusia. Kita meletakkan kehendak Tuhan di hadapan kehendak manusia dan menghormati Tuhan.
Berganding bahu, jangan ketinggalan
Kita sering melihat bahawa penganjur atau ahli jawatankuasa berasa cemas melanting-lanting bagai cacing kepanasan ketika kebaktian bakal bermula. Sementara itu, orang-orang yang lain pula berborak dan beranggar fikiran. Jurang kesedaran yang begitu besar secara semula jadi akan mempengaruhi permulaan kebaktian teh Injil. Tentu sekali, perkara pertama yang harus dilakukan ialah merapatkan jurang kesedaran. Penganjur atau ahli jawatankuasa harus mengajar dan memberi kuasa sepenuhnya kepada petugas supaya semua orang dapat melakukan sesuatu. Petugas juga harus mengambil inisiatif untuk menolong orang lain. Kerja-kerja menyusun meja dan kerusi, mengatur dan mengemas selepas kebaktian dan lain-lain lagi akan dilakukan dengan berkesan hanya jika semua orang berganding bahu.
TEMAN BICARA – SEMASA PELAKSANAAN
Kebaktian teh injil boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk program dan satu bahagian yang lain untuk pimpinan teman bicara. Model yang ideal ialah pemindahan tenaga kerja semasa program tidak akan mempengaruhi kualiti sesi perbualan. Oleh itu, persekutuan yang menganjurkan kebaktian teh Injil ~ Kelas Pengajian Tinggi pada umumnya digalakkan untuk memberikan tumpuan pada kerja teman bicara manakala bahagian program dan nyanyian kidung akan diuruskan oleh kumpulan koir mini. Kelebihannya, perbualan dengan teman bicara tidak akan terganggu, dan rakan atau kawan yang dipimpin tidak akan diabaikan kerana kesibukan.
Teori gembala yang baik
Pertimbangkan perasaan rakan-rakan dan kawan-kawan pencari Injil – Mereka datang ke tempat yang asing bagi mereka. Mereka pasti akan berasa was-was terhadap segalanya. Pada masa ini, satu-satunya pelampung keselamatan yang dapat dipegang oleh mereka ialah saudara-saudari yang membawa mereka ke sini. Mereka juga mengharapkan teman yang lebih banyak supaya mereka tidak bersendirian. Oleh itu, tidak kira betapa baiknya hubungan dalam persekutuan atau Kelas Pengajian Tinggi, cubalah untuk tidak mempamerkannya pada masa ini. Kuasailah kemahiran gembala yang baik: domba hanya mendengar suara gembala. Jadi, banyakkan berbual dengan rakan dan kawan yang dipimpin oleh diri sendiri, jelaskan perkara-perkara yang dilihat dan didengari untuk menghilangkan keraguan mereka supaya domba perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan suasana kebaktian teh Injil.
Berusaha supaya awak yang payah membela ruyung, orang lain yang beroleh sagunya
Kenyataan ini bermaksud membiarkan rakan dan kawan mempunyai lebih banyak sasaran untuk berbual. Belajarlah untuk melepaskan tangan. Perkenalkan rakan dan kawan kita lebih awal kepada orang lain. Tindakan ini dapat memperkaya hubungan interpersonal mereka. Selain itu, beberapa soalan yang sukar dijawab boleh dijawab melalui pendeta, penyampai khutbah, atau senior-senior lain. Tambahan pula, jika kita terlalu akrab dengan rakan dan kawan, penjelasan secara terpaksa akan menyebabkan kepercayaan yang tidak menyakinkan. Sekiranya orang ketiga yang menjawab, jurang yang ada sebaliknya akan meningkatkan kewibawaan penjelasan dan lebih dapat diterima oleh mereka. Oleh itu, terdapat banyak faedah tentang awak yang payah membela ruyung, orang lain yang beroleh sagunya.
Sikap ikhlas dan kemajuan sederhana
Perbualan orang moden sering berkisar tentang bertanya khabar sahaja dan tidak dapat mencapai hati yang mendalam kerana kepantasan hidup (tidak ada masa yang mencukupi). Walau bagaimanapun, perbualan dalam kebaktian teh Injil harus seboleh-bolehnya menghindari percakapan yang terlalu cepat, dangkal dan tidak tulus. Hal ini kerana rakan-rakan dan kawan-kawan pencari Injil juga memerhatikan orang ramai. Mereka mempunyai daya pemerhatian dan persepsi yang sangat tajam ketika menghadiri kebaktian semacam ini untuk julung kalinya. Walaupun mereka tidak mengatakannya, namun mereka sedang memberi markah imej dalam hati mereka. Berbuallah dengan mereka. Jika tidak dapat mendalami topik yang diketengahkan, cubalah membuatkan mereka mempunyai perasaan bahawa kita berbual dengan mereka secara ikhlas. Keikhlasan kita dapat mengharukan mereka dan membuatkan mereka berasa dihormati.
Jaga keperluan mereka
Sekiranya kita mendapat tahu tentang keperluan mereka semasa perbualan, peluang itu benar-benar datang sekali seumur hidup. Hal ini kerana orang ini memerlukan pertolongan untuk meletakkan Tuhan Yesus di tempat yang diperlukan supaya dia dapat merasakan Tuhan dan berseru kepada Tuhan untuk keperluannya. Oleh itu, pemimpin yang baik jangan lupa membimbing domba-dombanya untuk menyatakan keperluan mereka dan membiarkan Tuhan menghasilkan makna di dalam mereka. Setelah kita mengetahuinya, jangan lupa untuk menjaga keperluan mereka. Maklumat ini sangat berguna untuk tindakan susulan pada hari kemudian.
KERJA SUSULAN – SELALUNYA BERMULA SETELAH KEBAKTIAN TEH INJIL TAMAT
Rakan dan kawan yang menghadiri kebaktian teh Injil masing-masing bersurai dan hilang dalam lautan manusia setelah kebaktian selesai, seolah-olah segalanya tidak pernah berlaku. Kita tidak mahu melihat hasil ini. Kita perlu menjalankan kerja susulan dan mengambil berat tentang keadaan mereka. Cara yang praktikal adalah dengan mengundang mereka ke persekutuan untuk menghadiri kelas dan mengambil bahagian dalam “persahabatan pencari Injil”. Contohnya adalah seperti aktiviti yang dianjurkan oleh persahabatan kampus setiap semester, atau Kebaktian Kebangunan Rohani gereja. Tetapi jika mereka tidak menganggapnya perlu, kita tetap terus berkawan dengan mereka. Namun jangan lupakan perbuatan baik kita dan teruskan menabur benih Injil. Jangan biarkan rakan atau kawan pencari Injil berfikir bahawa kita ialah orang yang bermuka dua yang hanya berpura-pura rajin pada hari kejadian tetapi menunjukkan prestasi yang mengecewakan pada hari kemudian.
KESIMPULAN
Umat Kristian harus berusaha sedaya upaya untuk mencapai tujuan yang sama demi menyebarkan Injil. Kebaktian teh Injil wujud pada hari ini, dan mungkin hanya akan wujud pada masa ini kerana lebih dapat diterima oleh orang Kristian dan masyarakat pada masa ini. Kita benar-benar tidak tahu cara kewujudan generasi akan datang. Namun seperti yang dinyatakan pada awal artikel: hasil yang kita mahukan hanyalah “Kristus diberitakan”. Kesudahan ini merupakan ringkasan daripada semua aktiviti Injil yang serupa. Kita juga dapat menganjurkan kebaktian teh Injil yang baik setelah menguasai tujuan ini dan dengan idea mendirikan Bait Suci. Perkara yang paling penting adalah sama ada kita memberikan kemuliaan kepada Tuhan apabila pembinaannya selesai iaitu setelah kebaktian teh Injil berakhir. Percayalah bahawa kebaktian teh Injil tidak dapat dianjurkan dengan lancar jika hanya bersandarkan kemampuan satu orang dan sekumpulan orang, melainkan dengan penyertaan Tuhan. Kerja ini hanya dapat diselesaikan jika Tuhan sendiri ada di antara kita. Semua kemuliaan harus diberikan kepada Tuhan Yesus.