CARA MENJADI ORANG BAHARU DALAM MASYARAKAT
Graduan kolej dan universiti akan berada dalam dilema kegembiraan dan keraguan pada bulan Mei dan Jun saban tahun. Semasa menjadi graduan, mereka juga perlu menghadapi peranan baharu iaitu bakal menjadi orang baharu dalam masyarakat. Dalam peperiksaan kemasukankolej / universiti kira-kira empat tahun lalu, kebanyakan pesaing yang dihadapi ialah pelajar yang sebaya. Setelah meninggalkan kampus, mereka terpaksa berdepan dengan “orang dalam masyarakat” yang telah mempunyai pengalaman pertempuran sebenar dalam masyarakat selain kumpulan pelajar yang sama empat tahun yang lalu. Dengan wajah yang agak muda dan pemalu, mukadimah persaingan di tempat kerja segera didedahkan selepas tamatnya majlis graduasi.
Adalah diharapkan pengenalan umum dalam artikel ini dapat membantu graduan iaitu orang baharu yang bakal melangkah ke dalam masyarakat untuk menghadapi hidup baharu dalam dunia kerjaya serta mengelakkan panik, ketidakberdayaan, dan kebimbangan yang keterlaluan.
A. KENALI TREND PERKEMBANGAN SOSIAL
Adalah sangat penting bagi orang baharu dalam masyarakat untuk mengenali trend perkembangan sosial. Pengenalan ini membantu kita untuk tidak menyimpang daripada konteks perkembangan sosial. Semasa kita berada di sekolah, sama ada sekolah rendah, sekolah menengah, atau pun kolej / universiti, selalunya akan ada buku teks pelbagai subjek di hadapan kita selepas pembukaan sekolah, dan kita hanya membacanya begitu saja. Namun tiada sesiapa yang membantu kita melakukan hal ini apabila kita meninggalkan kampus. Kita harus mula belajar untuk menjelaskan persamaan dan perbezaan antara perancangan kerjaya sendiri dengan perkembangan sosial. Kita menyesuaikan jangkaan dan sumbangan kita kepada masyarakat daripada pemahaman tentang pelbagai perubahan dalam persekitaran umum.
Sebagai contoh, pada peringkat paling asas, kita perlu mula belajar untuk memahami perubahan semasa dalam pasaran pekerjaan serta menilai hala tuju pengajian dan pencarian pekerjaan berdasarkan perubahan ini. Maklumat-maklumat berikut boleh didapati dalam laporan bulanan tentang situasi pasaran pekerjaan yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Eksekutif Taiwan. Maklumat-maklumat ini patut diberikan perhatian oleh orang baharu. Kita ambil beberapa maklumat sebagai contoh.
1. Penunjuk pasaran pekerjaan
Pada tahun 1993, kadar pengangguran di Taiwan ialah 4.44%, dengan 4.83% lelaki dan 3.89% perempuan. Angka ini terus meningkat selepas jumlah penganggur melebihi 500,000 orang dan mencapai 515,000 orang (iaitu hampir satu perlima daripada penduduk kota Taipei) pada tahun 1991. Maklumat ini membolehkan kita memahami bahawa terdapat ramai orang yang ingin bekerja, bersedia untuk bekerja pada bila-bila masa dan masih mencari pekerjaan.
2. Analisis punca pengangguran
Di Taiwan, pencari pekerjaan kali pertama telah meningkat daripada purata lebih daripada 50,000 orang setahun pada tahun 1980-an kepada lebih daripada 80,000 orang pada tahun 1990-an. Di samping itu, pengangguran yang disebabkan oleh penutupan tempat kerja atau penguncupan perniagaan telah meningkat daripada 20,000 – 30,000 orang pada tahun 1980-an kepada 200,000 orang pada tahun 1990-an, iaitu dengan kadar pertumbuhan hampir sepuluh kali ganda. Maklumat ini juga membolehkan kita memahami sebab kewujudan sistem persaraan buruh dan bahawa mencari pekerjaan sememangnya semakin sukar bagi orang baharu dalam masyarakat.
3. Selepas syarikat domestik berpindah ke arah global, bilangan pekerja yang dihantar untuk bekerja di Tanah Besar China dan luar negara telah meningkat dengan pesat.
4. Industri teknologi akan berkembang ke arah tahap pendidikan yang tinggi; bakat teknologi akan tertumpu pada sarjana dan graduan daripada National Taiwan University, National Tsing Hua University, National Chiao Tung University, dan National Cheng Kung University.
B. CARI PEKERJAAN PERTAMA DENGAN TENANG
“Segala-galanya sukar untuk dimulakan”. Sifat industri, budaya korporat, kaedah kerja, dan juga sikap kerja pekerjaan pertama selalunya akan memberikan pengaruh besar ke atas kehidupan kerjaya masa depan orang baharu. Jadi kita tidak boleh mengambil mudah perkara-perkara ini.
Soalan-soalan berikut patut kita selidiki satu persatu. Walaupun selalunya tiada jawapan yang mutlak, tetapi pastinya ada pilihan yang lebih baik.
1. Adakah saya benar-benar akan memulakan pekerjaan? Atau adakah saya akan bekerja selama dua tahun dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat lanjutan yang lain? Apakah rancangan kerjaya saya? Bagaimanakah saya boleh memaklumkan perkara ini secara eufemisme apabila menghadiri temu duga? Adakah perkara ini akan menjejaskan kemasukan pekerjaan?
2. Apakah minat dan kepakaran saya? Industri manakah yang sesuai untuk saya? Apakah prospek (atau masa depan “wang”) industri ini? Apakah peranan saya dalam industri ini?
3. Berapa gaji yang perlu saya minta? Kebajikan syarikat? Bolehkah saya bekerjasama dengan syarikat untuk bekerja lebih masa? Bolehkah saya menerima tekanan prestasi yang berterusan dan yang bertambah dari tahun ke tahun?
4. Syarikat besar biasanya mempunyai kebajikan yang baik dan stabil, manakala syarikat kecil memberikan peluang belajar dari pelbagai aspek. Setiap syarikat ada kelebihan dan kekurangannya. Adakah saya perlu mencari syarikat besar atau syarikat kecil untuk pekerjaan pertama?
5. Bagaimanakah saya bertukar kepada pekerjaan lain apabila pekerjaan pertama saya benar-benar menyimpang daripada jangkaan saya? Adakah lebih baik untuk “bekerja sambil mencari” atau “terus membuat keputusan muktamad”?
Bagi saluran mencari pekerjaan pula, kini terdapat pelbagai pilihan sehingga kita rambang mata. Sebagai contoh, iklan surat khabar, persatuan belia, taklimat pengambilan korporat, rekemen oleh saudara-mara dan kawan-kawan, dan lain-lain lagi. Di samping itu, penggunaan pelbagai laman web pengambilan pekerja di Internet juga merupakan cara yang sangat mudah. Saluran-saluran lain seperti rujukan melalui syarikat agensi sumber manusia juga popular pada masa kini.
C. BERHATI-HATI DENGAN PERANGKAP PEKERJAAN
Pelbagai kaedah penipuan muncul dalam aliran yang tidak berkesudahan dalam masyarakat hari ini, dan kaedah-kaedah itu boleh disifatkan sebagai sangat “profesional”. Mereka yang tertipu melibatkan profesor universiti, guru-guru, golongan intelektual, selebriti masyarakat, pegawai eksekutif, dan lain-lain serta merentasi semua lapisan masyarakat. Bagi orang baharu dalam masyarakat, mereka merupakan sasaran yang paling diidamkan oleh penjenayah-penjenayah ini. Penjenayah mempergunakan keghairahan pencarian pekerjaan untuk memasang perangkap yang bijak lalu menipu untuk mendapatkan wang dan seks. Perkara ini menyebabkan orang baharu menghadapi situasi “kehilangan pekerjaan”, “kehilangan wang” dan “kehilangan maruah diri”. Perkara ini patut diberikan perhatian khusus oleh orang baharu yang “tulus seperti merpati” dalam masyarakat.
Risau menjadi alat penyedut emas bagi pihak penjenayah? Pernah terfikir kenapa anda perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli barangan itu dan ini tanpa menerima gaji? Adakah anda mengesyaki bahawa anda menghadapi teknik pemasaran rantaian seperti “skim piramid” (pyramid scheme)? Bimbang tentang penyalahgunaan kad pengenalan anda untuk membuka akaun kosong dan menulis cek kosong, dan sebagainya?
Sebenarnya, Jawatankuasa Buruh Eksekutif Taiwan telah memberikan beberapa peringatan yang berkaitan kepada pencari pekerjaan, iaitu “lima tidak” dan “lima soalan” sebagai peraturan keselamatan semasa mencari pekerjaan. Peringatan-peringatan ini patut dijadikan sebagai rujukan.
“Lima tidak” merujuk kepada tidak membayar wang untuk tujuan yang tidak diketahui, tidak membeli produk yang tidak jelas, tidak menyerahkan dokumen pengenalan diri dan kad kredit, tidak menandatangani dokumen dengan isi kandungan yang tidak diketahui, dan tidak menerima syarat buruh haram.
“Lima soalan” bermaksud bertanya sama ada syarikat itu beroperasi secara sah dan mengikut undang-undang, sama ada syarikat itu beroperasi secara normal, sama ada terdapat perangkap keselamatan peribadi, sama ada temu duga dijalankan secara sembarangan, dan sama ada layanan yang diberikan munasabah.
Jawatankuasa Buruh Eksekutif Taiwan menegaskan bahawa jika salah satu daripada perkara berikut berlaku kepada pemohon pekerjaan semasa memohon pekerjaan, pemohon pekerjaan mesti berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk mengelak daripada menghadapi perangkap yang dahsyat:
1. Nama syarikat, alamat, nombor telefon dan orang yang boleh dihubungi tidak dinyatakan.
2. Tiada syarat dan kelayakan.
3. Tawaran gaji dan kebajikan yang keterlaluan, seperti pendapatan bulanan mencapai ratusan ribu, dan pendapatan tahunan mencapai jutaan.
4. Isi kandungan perniagaan atau skop kerja tidak konsisten dengan iklan.
5. Kad pengenalan, lesen memandu, yuran pendaftaran, deposit keselamatan, yuran pakaian seragam dan yuran latihan perlu diserahkan semasa temu duga, atau pemohon pekerjaan perlu membeli produk, dan jika tidak, dia perlu meletak jawatan.
6. Berasa tidak ada pekerja lain, atau syarikat kosong, pekerja tidak bekerja semasa memasuki syarikat.
7. Penemuduga tidak menjelaskan isi kandungan pekerjaan dan hanya meminta pemohon pekerjaan untuk menerima pekerjaan tersebut.
8. Ketika menghadiri temu duga atau baru memasuki syarikat, syarikat bergegas meminta pemohon pekerjaan menandatangani kontrak yang tidak jelas di tempat kejadian, malah enggan membenarkan pemohon pekerjaan pulang ke rumah untuk membuat pertimbangan atau membawa kontrak tersebut keluar daripada syarikat.
9. Syarikat tidak menyediakan insurans pekerja.
D. WUJUDKAN RANGKAIAN INTERPERSONAL YANG BAIK
Menurut kaji selidik ke atas syarikat yang merekrut pekerja yang dijalankan oleh sebuah bank di Taiwan, laporan menunjukkan bahawa kemahiran komunikasi interpersonal, kemahiran belajar dan kemahiran pengendalian rangkaian komputer merupakan ciri-ciri yang paling penting bagi syarikat.
Hubungan interpersonal ada di mana-mana. Dalam kursus dan latihan yang diadakan oleh semua syarikat, kursus yang berkaitan dengan hubungan interpersonal sentiasa diperlukan dan merupakan kursus yang paling popular. Bertambahnya seorang kawan adalah umpama tingkap tambahan untuk melihat lebih banyak cahaya matahari dan juga umpama jalan tambahan yang membolehkan seseorang mendapat untung dan bahagia kiri kanan bagaikan bulan naik, matahari pun naik. Sesetengah orang tidak dapat terus mendapatkan pekerjaan yang baik kerana mereka menyinggung perasaan orang di mana-mana tempat kerja; terdapat juga orang yang kerap diberhentikan kerja kerana menimbulkan masalah di merata tempat. Menariknya, dengan saluran pencarian pekerjaan kini yang pelbagai dan mudah, kadar kejayaan mendapatkan pekerjaan melalui rekemen kawan-kawan masih menduduki tempat tertinggi. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan interpersonal benar-benar amat penting bagi orang baharu dalam masyarakat.
Hubungan interpersonal di tempat kerja tertumpu pada hubungan dengan rakan sekerja dan hubungan dengan penyelia / pihak atasan. Seseorang harus memberikan lebih perhatian pada etika dan cuba mengelakkan permusuhan dengan orang lain atau meyimpan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Semasa bergaul dengan penyelia / pihak atasan, seseorang harus mencuba sedaya upaya untuk mematuhi arahan dan bekerjasama untuk menyelesaikan tugasan selagi tugasan yang diberikan adalah berkaitan dengan pekerjaan, melainkan tugasan itu melibatkan maruah peribadi dan hal undang-undang. Kadang-kadang, jika terdapat perbezaan pendapat atau ada pendapat yang lebih baik, seseorang juga harus melaporkannya dengan berhati-hati dan menerangkannya dengan jelas, jangan berebut untuk mendapatkan merit, dan jangan menolak kesilapan sendiri kepada orang lain atau menyalahkan orang lain atas kesiapan sendiri. Tindakan-tindakan ini adalah supaya penilaian prestasi, pelarasan gaji dan kenaikan pangkat diri sendiri tidak terkesan.
Selepas orang baharu dalam masyarakat mula bekerja, mereka harus merebut peluang untuk belajar daripada ketua pelbagai jabatan atau rakan sekerja yang mempunyai pengalaman yang banyak, dan dengan teliti memerhatikan faktor utama kejayaan (atau kegagalan) orang lain, terutamanya ciri-ciri berbeza bagi jabatan yang berbeza. Semua ini boleh dijadikan sebagai panduan untuk menyelaraskan diri sendiri ke peringkat yang terbaik. Di samping itu, pergaulan sosial dengan pengilang atau pelanggan dan kerja berpasukan dengan penyelia / pihak atasan atau rakan sekerja merupakan peluang-peluang yang harus diberikan perhatian sepanjang masa oleh orang baharu dalam masyarakat.
E. BUAT PENGURUSAN KEWANGAN YANG BAIK
Ada bank pernah berpendapat bahawa “selepas mendapat pekerjaan dan memperoleh pendapatan, orang baharu dalam masyarakat harus belajar untuk menguruskan kewangan seawal mungkin. Langkah pertama dalam pengurusan kewangan yang harus diambil oleh orang baharu dalam masyarakat dengan keadaan ekonomi yang lemah ialah kad tunai dan kad kredit sebagai alat kewangan yang terbaik.”
Apabila melihat iklan pemasaran oleh lelaki kacak dan perempuan cantik di kaca TV, nampaknya anda mempunyai seluruh dunia jika anda mempunyai kad tunai atau kad kredit. Suatu ketika dahulu, slogan iklan seorang selebriti di Taiwan iaitu “meminjam wang ialah tingkah laku yang mulia” menimbulkan banyak kekecewaan dalam masyarakat. Semasa anak-anak menjalani latihan ketenteraan, mereka menggunakan kad tunai secara tidak wajar sehingga menyebabkan mereka terjerat dengan hutang kad, seisi keluarga melarat panjang malah menjadi porak-peranda. Ada juga anak muda yang baru berjinak-jinak dalam masyarakat, yang baru bekerja setengah tahun, tetapi mempunyai hutang kad yang tidak mungkin dapat dilangsaikan walaupun selepas dua tahun tidak makan dan minum. Sebagaimana masyarakat, demikian juga gereja. Jadi penulis ingin mengingatkan orang baharu dalam masyarakat bahawa kita boleh serius semasa menguntungkan wang tetapi tidak boleh boros semasa membelanjakan wang. Walaupun wang ialah pelaburan, namun kita benar-benar perlu sangat berhati-hati.
Seorang penggubal undang-undang di Taiwan pernah berkata semasa beliau ditanyakan soalan, beliau menyamakan “senjata api” dan “dadah” dengan “kad tunai”. Komen ini menunjukkan bahawa kad tunai amat berbahaya kepada masyarakat. Kadar faedah kebanyakan kad tunai dan pusingan kad kredit adalah hampir 20%. Di samping itu, pelbagai yuran pengendalian dan yuran pengurusan juga dikenakan secara tersembunyi. Maka beban faedah pusingan sebenarnya adalah sangat berat. Jika tidak berhati-hati, anda mungkin terlalu mengembangkan kredit anda kerana keseronokan penggunaan lalu terjatuh ke dalam dilema insolvensi atau muflis. Oleh itu, penulis mencadangkan agar orang baharu dalam masyarakat seboleh-bolehnya menggunakan kad tunai dan kad kredit dengan sebaiknya. “Tidak ada makan tengah hari percuma di dunia,” dan tidak ada wang tunai yang boleh digunakan secara percuma.
Selepas mendapat pekerjaan, orang baharu dalam masyarakat harus mula mempelajari topik seperti menyarai ibu bapa, memberikan persembahan kepada gereja, mendirikan rumahtangga dan memulakan kerjaya, dan secara beransur-ansur memperbaiki keadaan kewangan sendiri untuk menikmati pelbagai ganjaran selepas bekerja keras.
KESIMPULAN
“tetapi orang-orang yang menanti-nantikan TUHAN mendapat kekuatan baru: mereka seumpama rajawali yang naik terbang dengan kekuatan sayapnya; mereka berlari dan tidak menjadi lesu, mereka berjalan dan tidak menjadi lelah.” (Yes 40:31). Kesusahan dan cabaran memang sukar untuk dielakkan dalam perjalanan kehidupan manusia. “Menanti-nantikan” yang dikatakan di sini merupakan sejenis “jangkaan” dan sejenis “harapan”. Adalah diharapkan penantian, jangkaan dan harapan terhadap Tuhan membolehkan orang baharu dalam masyarakat yang seperti burung helang muda mendapatkan kekuatan baharu, penuh dengan kasih karunia, dan terbang tinggi dengan adanya jagaan Tuhan.