AMANAT JEMAAT BENAR AKHIR ZAMAN

AMANAT JEMAAT BENAR AKHIR ZAMAN

(Pendeta Che Fu Ming)

 

PENGENALAN

Teori penyelamatan dan penebusan Tuhan yang benar dan juga pernyataan kebenaran Alkitab menunjukkan bahawa Tuhan akan menubuhkan jemaat benar seperti janji-Nya pada akhir zaman ini. Paulus berkata: “Sebab, saudara-saudara, supaya kamu jangan menganggap dirimu pandai, aku mau agar kamu mengetahui rahasia ini: Sebagian dari Israel telah menjadi tegar sampai jumlah yang penuh dari bangsa-bangsa lain telah masuk. Dengan jalan demikian seluruh Israel akan diselamatkan, …” (Rm 11:25-26). Seperti janji dalam Alkitab: “Pada hari itu Aku akan mendirikan kembali pondok Daud yang telah roboh; Aku akan menutup pecahan dindingnya, dan akan mendirikan kembali reruntuhannya; Aku akan membangunnya kembali seperti di zaman dahulu kala,” (Am 9:11). Petrus pernah memetik petikan ini dan menjelaskan dalam kitab Kisah Para Rasul 15:16-18 bahawa perkataan-perkataan ini diucapkan oleh Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dunia dijadikan. Dapat dilihat bahawa jemaat benar akhir zaman ialah tempat bagi Tuhan menyatakan anugerah keselamatan Tuhan melalui tangan bangsa asing. Penubuhan dan pengembangan jemaat zaman rasul sehingga pemilihan jemaat benar oleh Tuhan dalam akhir zaman adalah untuk menyebarkan Injil keselamatan ke seluruh dunia, sesudah itu barulah tiba kesudahannya (Mat 24:14).

 

A. JEMAAT BENAR YANG DIJANJIKAN 

Terdapat banyak mazhab agama dalam akhir zaman. Kebangkitan jemaat benar ialah janji Tuhan dan kemunculan jemaat benar adalah berdasarkan kehendak kerelaan Tuhan.

1. Memulihkan jemaat zaman rasul

Selepas raja Salomo mendirikan Bait Suci (1 Raj 6:38), kota kudus dimusnahkan kerana kejahatan raja dan rakyat sehingga umat diangkut ke dalam pembuangan (2 Raj 25:8-21; 2 Taw 36:19-20). Kisah ini berterusan dan hanya dipulihkan apabila Zerubabel menjadi gabenor wilayah itu (Ezr 1:1-5, 6:15).

Peristiwa sejarah ini melambangkan proses kejatuhan dan pemulihan jemaat dalam zaman Perjanjian Baru. Dari perspektif sejarah jemaat, pada akhir masa jemaat zaman rasul, jemaat telah menjadi sekular, kehilangan sifat asalnya, Injil telah diubah, dan iman kepercayaan juga telah merosot (Gal 1:6-8). Pada masa Paus di Rom, kitab suci telah diubah (Why 22:18,19) dan dasar jemaat telah dibinasakan (Am 8:11-12). Oleh itu, kemunculan jemaat benar adalah dengan memikul amanat memberitakan “firman yang sepenuhnya” (Kol 1:25). Pembangunan kembali Bait Suci di tempatnya semula melambangkan bahawa jemaat benar akhir zaman mesti dibangunkan kembali di atas kebenaran yang diberitakan oleh para rasul (Ezr 3:3, 5:15; Ef 2:20-22). Kedatangan Roh Kudus hujan akhir merupakan bukti pemulihan jemaat benar (Za 10:1, 4:6). Bukti ini memenuhi nubuat bahawa kemegahan Bait Suci pada hari-hari yang terakhir akan melebihi kemegahannya yang semula (Hag 2:10), dan jemaat benar ini memikul amanat menyambut kedatangan kembali Tuhan dan menjalankan kerja penuaian (Yer 5:24; Why 14:14,15).

 

2. Memperbetul jemaat-jemaat (gereja-gereja)

Pada masa awal, gereja ini dinamakan “Gereja Yesus Benar, Gereja Pembetulan Bangsa-bangsa” yang dengan jelas menyatakan bahawa gereja ini memikul amanat memperbetul jemaat (gereja) bangsa-bangsa.

Oleh itu, jemaat benar pergi kepada domba-domba yang hilang daripada umat Israel seperti yang diperintahkan oleh Tuhan (Mat 10:6). Paulus berkata kepada orang Yahudi: “Memang kepada kamulah firman Allah harus diberitakan lebih dahulu, tetapi kamu menolaknya dan menganggap dirimu tidak layak untuk beroleh hidup yang kekal. Karena itu kami berpaling kepada bangsa-bangsa lain.” (Kis 13:44-46). Tuhan Yesus berfirman: “Ada lagi pada-Ku domba-domba lain, yang bukan dari kandang ini; domba-domba itu harus Kutuntun juga dan mereka akan mendengarkan suara-Ku dan mereka akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.” (Yoh 10:4,16). Ramai orang Kristian sekarang adalah seperti orang Israel yang hilang pada masa dahulu. Mereka giat melayani Tuhan dan memberitakan Injil, tetapi malangnya mereka tidak mengusahakannya mengikut arahan Alkitab. Oleh itu, jemaat benar harus memberitakan Injil keselamatan dan anugerah keselamatan yang sepenuhnya di samping memahami firman kebenaran, memimpin orang kepada kebenaran, dan mengumpulkan mereka menjadi satu kawanan dengan bimbingan Roh Kudus (Yer 23:3,4).

 

3. Memberitakan amaran akhir zaman

Jemaat benar ialah “bahtera akhir zaman” (2 Ptr 2:5). Seperti Nuh yang memberikan amaran kepada dunia yang berdosa dan jahat pada masa itu (Kej 6:5; Mat 24:37), jemaat benar kini memberikan amaran kepada akhir zaman bahawa hari Tuhan menghakimi dan hari kemusnahan dunia sudah dekat (Why 18:1-5). Semua umat Tuhan harus segera keluar daripada dunia Babel yang berdosa dan sundal supaya tidak tertumpas kerana kesalahan mereka (Yer 51:6-9). Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Karena jika aku memberitakan Injil, aku tidak mempunyai alasan untuk memegahkan diri. Sebab itu adalah keharusan bagiku. Celakalah aku, jika aku tidak memberitakan Injil. Kalau andaikata aku melakukannya menurut kehendakku sendiri, memang aku berhak menerima upah. Tetapi karena aku melakukannya bukan menurut kehendakku sendiri, pemberitaan itu adalah tugas penyelenggaraan yang ditanggungkan kepadaku.” (1 Kor 9:16,17). Oleh itu, amanat jemaat benar adalah untuk memberitakan bahawa tahun rahmat Tuhan telah datang, berseru bahawa Tuhan akan segera datang kembali, memberikan amaran bahawa penderitaan akhir zaman akan menimpa, dunia yang berdosa dan jahat akan dihakimi, dan memberitakan Injil sampai ke hujung bumi (Kis 1:8).

 

4. Menyelesaikan pembangunan jemaat benar

Pada zaman Nuh, sebelum Tuhan membinasakan dunia dengan air bah, Dia memerintahkan Nuh untuk memberitakan kebenaran dan membina bahtera menurut perintah Tuhan (Kej 6:13-22; 2 Ptr 2:5). Demikian juga, jemaat benar akhir zaman mempunyai dua amanat utama (Mat 24:37; 1 Ptr 3:20). Satu adalah untuk memberitakan Injil dan menyelamatkan bangsa-bangsa, satu lagi adalah untuk menggembalakan domba Tuhan dan membangun jemaat.

Jemaat haruslah “memperlengkapi orang-orang kudus bagi pekerjaan pelayanan, bagi pembangunan tubuh Kristus, sampai kita semua telah mencapai kesatuan iman dan pengetahuan yang benar tentang anak Allah, kedewasaan penuh, dan tingkat pertumbuhan yang sesuai dengan kepenuhan Kristus,” serta menantikan kedatangan Tuhan (1 Kor 12:4-11; Ef 4:11-16,20-24).

Jemaat benar ialah pengantin perempuan Kristus (2 Kor 11:2; Ef 5:24-27,32). Oleh itu, kita harus bersukacita kerana hari perkahwinan Anak Domba telah tiba (Why 19:7,8). Pengantin perempuan juga telah berhias dan berdandan untuk suaminya – Tuhan Yesus yang menyambutnya (Why 21:2). Maka kita harus memakmurkan Injil dan mengembangkan kerja suci dengan bersandarkan Roh Kudus (Za 4:6) untuk menyelesaikan amanat besar yang dipercayakan oleh Tuhan pada akhir zaman.

 

B. CIRI-CIRI JEMAAT BENAR

“Jemaat” dipilih dan dipisahkan oleh Tuhan daripada bangsa-bangsa di dunia serta merupakan umat kepunyaan Tuhan yang ditebus oleh Tuhan Yesus dengan darah-Nya yang bernilai (Kis 20:28). Dalam zaman Perjanjian Lama, bangsa Israel dipilih daripada bangsa-bangsa dan disunat untuk menjadi umat Tuhan (Kej 17:9-14). Dalam zaman Perjanjian Baru, seseorang mesti melalui pembaptisan darah Tuhan yang bernilai untuk menjadi milik Kristus dan menjadi anggota jemaat (Gal 3:27; Kol 1:12-14).

“Jemaat” ialah tubuh Kristus (Ef 1:23); Kristus ialah kepala jemaat, dan Dialah yang menyelamatkan tubuh (Ef 5:23). Jemaat juga merupakan tempat bagi Tuhan menyatakan kebajikan, menunjukkan kuasa, dan mendapat kemuliaan (Ef 1:23, 3:10,21).

“Jemaat” ialah keluarga Tuhan yang hidup, tiang penopang dan dasar kebenaran (1 Tim 3:15), dan menjadi jemaat bermaksud menjadi anggota keluarga Tuhan (Ef 2:17-22).

“Jemaat” ialah kandang domba Tuhan. Hanya domba yang masuk ke dalam kandang merupakan domba Tuhan (Yoh 10:1,7,16; 1 Ptr 2:25).

“Jemaat” ialah bahtera akhir zaman. Setiap orang yang memasuki bahtera ini akan terpelihara hidupnya dan pasti akan selamat (1 Ptr 3:20,21; Ibr 11:7).

“Jemaat” ialah pokok anggur yang benar, dan pemercaya ialah ranting-rantingnya. Ranting mesti dihubungkan pada pokok anggur; pemercaya boleh berbuah banyak jika tidak meninggalkan jemaat (Yoh 15:1-6).

Oleh itu, hubungan antara pemercaya dengan jemaat adalah rapat dan berkaitan dengan kasih karunia keselamatan. Terdapat banyak mazhab agama yang muncul dalam akhir zaman. Mesias-mesias palsu dan nabi-nabi palsu telah muncul untuk menyesatkan dunia. Hal ini menyukarkan manusia untuk membezakan antara yang benar dengan yang palsu (Mat 24:4,5,11,23,24). Orang yang bertekad untuk mengejar jalan hidup yang kekal harus menyedari bahawa hanya ada satu “jemaat benar”: hal ini kerana hanya ada satu tubuh dan hanya ada satu pengantin perempuan Kristus. Maka, jemaat benar yang diselamatkan harus memiliki syarat-syarat dan ciri-ciri rohani.

 

1. Harus ada penyertaan Roh Kudus

Memandangkan jemaat ialah tubuh Tuhan Yesus, maka harus ada Roh Kudus-Nya di dalam jemaat. Orang yang tidak memiliki Roh Kudus bukan milik Kristus (Rm 8:9; 1 Kor 12:13; 1 Yoh 3:24). Penyertaan Roh Kudus dapat membuktikan bahawa jemaat ini adalah daripada Tuhan (Yoh 1:33,34, 3:34) dan membuktikan bahawa jemaat ini diutus oleh Tuhan. Dengan itu, jemaat mempunyai kuasa mengampuni dosa dan menyatakan dosa tetap ada (Yoh 20:21-23). Roh Kudus memimpin kita ke dalam seluruh kebenaran dan bersaksi tentang Tuhan (Yoh 16:13, 15:26). Menerima firman kebenaran, Injil keselamatan dan menerima Roh Kudus yang dijanjikan merupakan jaminan bahagian pemercaya (Ef 1:13,14). Jemaat yang tidak memiliki Roh Kudus adalah seperti tubuh tanpa roh (Yak 2:26). Roh Kudus membuktikan bahawa kita ialah anak-anak Tuhan (Rm 8:15-16). Alkitab juga dengan jelas menyatakan bahawa berkata-kata dalam bahasa roh setelah menerima Roh Kudus adalah sama seperti Roh Kudus yang diterima pada zaman rasul-rasul (Kis 2:4, 10:44-46, 19:1-6).

 

2. Disertai tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat

Tuhan Yesus berjanji: “Tanda-tanda ini akan menyertai orang-orang yang percaya: mereka akan mengusir setan-setan demi nama-Ku, …” (Mrk fasal 16; Kis 14:3; Rm 15:18). Tanda dan mukjizat ialah bukti sebagai utusan Tuhan (2 Kor 12:12; Ibr 2:3-4). Pekerja-pekerja generasi terdahulu seperti Musa, Elia dan Elisa juga mengadakan banyak tanda dan mukjizat. Tuhan Yesus berfirman: “Sesungguhnya barangsiapa percaya kepada-Ku, ia akan melakukan juga pekerjaan-pekerjaan yang Aku lakukan, bahkan pekerjaan-pekerjaan yang lebih besar dari pada itu. Sebab Aku pergi kepada Bapa;” (Yoh 14:12). Setelah Tuhan bangkit dan terangkat ke syurga, Roh Kudus dicurahkan pada hari Pentakosta. Murid-murid menerima kuasa dari atas dan dengan berani bersaksi tentang Tuhan. Tuhan meneguhkan firman itu dengan tanda-tanda yang menyertainya. Jemaat benar hari ini adalah sama dengan jemaat rasul-rasul. Tanda mukjizat akan dinyatakan dengan adanya penyertaan Tuhan (Rm 15:18; Kis 10:38).

 

3. Firman yang diberitakan harus bertepatan dengan Alkitab

Jemaat dari Tuhan yang hidup ialah tiang penopang dan dasar kebenaran (1 Tim 3:15). Jemaat dibangun di atas dasar ajaran Tuhan Yesus, para rasul dan para nabi (Ef 2:19,20). Firman yang diberitakan tidak boleh melangkah keluar daripada ajaran Kristus dan tidak boleh melampaui tulisan Alkitab (2 Yoh 9-11; 1 Kor 4:6). Tuhan Yesus berfirman: “Kamu menyelidiki Kitab-kitab Suci, sebab kamu menyangka bahwa oleh-Nya kamu mempunyai hidup yang kekal, tetapi walaupun Kitab-kitab suci itu memberi kesaksian tentang Aku,” (Yoh 5:39). Alkitab dapat memberikan hikmat kepada kita dan menuntun kita kepada keselamatan oleh iman kepada Kristus Yesus (2 Tim 3:15). Firman kebenaran yang diberitakan oleh jemaat benar ialah Injil keselamatan yang membolehkan orang percaya kepada Kristus sehingga mereka dimeteraikan dengan Roh Kudus yang dijanjikan, iaitu jaminan bahagian dalam Kerajaan Syurga (Ef 1:13,14). Jika firman tidak bertepatan dengan Alkitab, jemaat ini bukan sahaja tidak dapat menyelamatkan orang, tetapi orang yang memberitakan firman yang salah juga akan dikutuk (Gal 1:6-9; 2 Kor 11:4).

Oleh itu, jemaat benar mesti mempunyai tiga ciri: Roh Kudus, tanda mukjizat, dan firman kebenaran.

 

C. PERKEMBANGAN JEMAAT BENAR

Jemaat benar telah didirikan oleh Roh Kudus sendiri, dan jemaat ini merupakan jemaat benar akhir zaman yang didirikan oleh Roh Kudus hujan pada akhir musim. Jemaat ini adalah untuk membangun kembali jemaat yang dibangunkan pada zaman para rasul, hujan awal musim pada hari-hari terakhir menurut kehendak Tuhan demi menyelesaikan amanat pemberitaan Injil akhir zaman.

Roh Kudus mendirikan gereja benar di Beijing, China pada tahun 1917. Gereja telah diperkenalkan ke Taiwan dari Fujian pada tahun 1926, kemudian ke Malaysia dan juga negara-negara Asia pada tahun berikutnya. Gereja tersebar ke Honolulu dan Amerika, Amerika Tengah, Amerika Selatan serta kawasan-kawasan lain pada tahun 1931. Pada tahun 1976, gereja didirikan di United Kingdom dan kebenaran tersebar ke Eropah. Kebenaran telah diberitakan ke Nigeria dan negara-negara lain di Afrika pada tahun 1978. Benih Injil tersebar dengan cepat ke lima benua di dunia, dan gereja-gereja di pelbagai tempat telah didirikan secara beransur-ansur.

Ibu Gereja Persekutuan Antarabangsa telah ditubuhkan di Taiwan pada tahun 1967 untuk mempromosikan bantuan bersama dan kesatuan gereja-gereja di pelbagai negara serta secara aktif menyebarkan Injil ke seluruh dunia. Selepas usaha bertahun-tahun, ibu gereja dan pusat perhubungan di pelbagai negara serta gereja-gereja di bawah ibu gereja antarabangsa boleh seia sekata dan mengembleng tenaga untuk mengembangkan kerja suci dan memakmurkan Injil. Mereka bukan sahaja mendirikan gereja di kawasan-kawasan perintis tetapi juga memantapkan kerja suci gereja.

Dalam mesyuarat berkaitan yang diadakan di Singapura pada tahun 1997, Ibu Gereja Antarabangsa memutuskan bahawa ibu gereja dan pejabat perhubungan di pelbagai negara harus bertanggungjawab membantu dan menjaga kawasan-kawasan perintis pemberitaan Injil. Sebagai contoh, Ibu Gereja Taiwan bertanggungjawab membantu Thailand dan Vietnam, Ibu Gereja Sabah bertanggungjawab membantu Filipina, Ibu Gereja Malaysia bertanggungjawab membantu India, Pejabat Perhubungan Australia bertanggungjawab membantu Fiji, Pejabat Perhubungan Singapura bertanggungjawab membantu Myanmar, Ibu Gereja United Kingdom dan Perancis masing-masing bertanggungjawab membantu negara-negara yang berbahasa Inggeris dan berbahasa Perancis di Afrika, manakala Ibu Gereja Amerika Syarikat pula membantu kerja suci di Amerika Tengah dan Amerika Selatan serta tempat-tempat lain.

Pada masa ini, pusat latihan dibina di kawasan-kawasan perintis baharu, seperti Mansilingan di Filipina dan Ambattur di India, untuk melatih pendeta dan pekerja seluruh dunia. Terdapat kerja perintis di Darwin, Australia; Suva, ibu kota Fiji; Sumatera atau pulau-pulau lain di Indonesia, atau India, Myanmar, Thailand, Vietnam, Kemboja, serta Kenya, Uganda, dan Congo di Afrika. Pekerja-pekerja perlu dilatih secara aktif untuk memberitakan Injil dan mendirikan gereja.

Seperti yang dinubuatkan oleh nabi: “Akan terjadi pada hari-hari yang terakhir: gunung tempat rumah TUHAN akan berdiri tegak di hulu gunung-gunung dan menjulang tinggi di atas bukit-bukit; segala bangsa akan berduyun-duyun ke sana, dan banyak suku bangsa akan pergi serta berkata: “Mari, kita naik ke gunung TUHAN, ke rumah Allah Yakub, supaya Ia mengajar kita tentang jalan-jalan-Nya, dan supaya kita berjalan menempuhnya; sebab dari Sion akan keluar pengajaran dan firman TUHAN dari Yerusalem.”” (Yes 2:2-3). Gereja benar ada penyertaan Tuhan semasa memberitakan firman yang sepenuhnya (Kol 1:25,28,29). Gereja yang didirikan di bawah bimbingan Roh Kudus dan kerja rintis pemberitaan Injil (Why 20:12,13; Yos 20:1-9) pastinya boleh menarik segala bangsa, suku bangsa, dan bahasa yang mengingini kebenaran untuk datang menikmati kasih karunia kerajaan Tuhan. Tanpa memandang bulu, kaya atau miskin, bijak atau bodoh, kelas sosial atau suku bangsa, semuanya menjadi anggota keluarga Tuhan di dalam Kristus (Gal 3:28).

 

D. AMANAT JEMAAT BENAR

1. Memberitakan Injil sampai ke hujung bumi

Tuhan Yesus berfirman: “Tetapi kamu akan menerima kuasa, kalau Roh Kudus turun ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem dan di seluruh Yudea dan Samaria dan sampai ke ujung bumi.” (Kis 1:8).

Untuk memulihkan iman kepercayaan zaman rasul, jemaat benar harus memberitakan firman Tuhan yang sepenuhnya menurut perintah Tuhan (Kol 1:25) serta menasihati dan mengajar tiap-tiap orang dalam segala hikmat untuk memimpin tiap-tiap orang kepada kesempurnaan dalam Kristus (Kol 1:28).

Memberitakan Injil ialah amanat yang dipercayakan oleh Tuhan. Kita mesti tekun berdoa dan memohon penyertaan Tuhan dengan bersandarkan janji dan kuasa Roh Kudus. Oleh itu, kita harus secara aktif pergi ke seluruh dunia dan memberitakan Injil kepada segala makhluk (Mrk 16:15). Kita menjadikan semua bangsa murid Tuhan dan mengajar mereka melakukan segala sesuatu yang telah diperintahkan oleh Tuhan sampai kepada akhir zaman (Mat 28:19,20).

 

2. Melapangkan khemah, membangun jemaat

Tuhan menyatakan dengan jelas dengan perantaraan nabi Yesaya: “Lapangkanlah tempat kemahmu, dan bentangkanlah tenda tempat kediamanmu, janganlah menghematnya; panjangkanlah tali-tali kemahmu dan pancangkanlah kokoh-kokoh patok-patokmu! Sebab engkau akan mengembang ke kanan dan ke kiri, …” (Yes 54:2-3).

Melapangkan tempat khemah bermakna jemaat benar harus berkembang dan dibangunkan ke arah luar. Membentangkan tenda bermakna menyerlahkan anugerah keselamatan Tuhan. Memanjangkan tali-tali bermakna meluaskan kasih Tuhan ke semua tempat. Memancangkan kokoh-kokoh patok-patok bermakna mempertahankan kebenaran dan berpegang teguh pada firman kebenaran (2 Tim 1:13).

Jemaat memberitakan Injil ke luar dan menggembalakan domba di dalam, berakar ke bawah, dan menghasilkan buah ke atas. Tindakan ini bukan sahaja membolehkan hidup rohani pemercaya bertumbuh dan menjadi matang, tetapi juga membolehkan pemercaya berakar di dalam Dia dan dibangun di atas Dia (Kol 2:6,7). Kita juga berdoa agar Tuhan membuat bangsa ini bertambah-tambah, membuat bertambah-tambah umat kemuliaan-Nya dan sangat memperluas negerinya (Yes 26:15).

 

3. Melihat ke arah dunia dan menjelajah ke seluruh dunia

Ketika Tuhan memilih Abraham, Dia berfirman kepadanya: “… dan olehmu semua kaum di muka bumi akan mendapat berkat.” Janji Tuhan tentang penyelamatan dan penebusan semua bangsa dinyatakan melalui Abraham. Ketika Lot meninggalkan Abraham, Tuhan berfirman kepada Abraham: “Pandanglah sekelilingmu dan lihatlah dari tempat engkau berdiri itu ke timur dan barat, utara dan selatan, sebab seluruh negeri yang kaulihat itu akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu untuk selama-lamanya. … Bersiaplah, jalanilah negeri itu menurut panjang dan lebarnya, sebab kepadamulah akan Kuberikan negeri itu.” (Kej 12:3; 13:14-17).

Demikianlah caranya Tuhan mengarahkan Abraham untuk menyelesaikan amanat agung yang dipercayakan oleh Tuhan dan menerima janji Tuhan yang berharga. Hari ini, jemaat benar merupakan keturunan rohani Abraham. Jemaat ini harus mematuhi arahan Tuhan kepada Abraham, melihat ke arah dunia di samping bersiap dan berjalan di seluruh bumi untuk menyelesaikan amanat agung pemberitaan Injil di dunia.

 

4. Mengirimkan pekerja-pekerja untuk menuai

Tuhan Yesus melihat bahawa orang banyak seperti domba yang tidak bergembala kerana mereka lelah dan terlantar. Oleh itu, tergeraklah hati Tuhan Yesus oleh belas kasihan kepada mereka. Maka kata-Nya kepada murid-murid-Nya: “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit. Karena itu mintalah kepada tuan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu.” (Mat 9:36-38). Nampaknya latihan pekerja, persembahan tubuh untuk melayani Tuhan dan pemadanan antara rakan sekerja tidak boleh diabaikan.

Semasa Tuhan Yesus berada di dunia, Dia memilih dua belas orang murid untuk menjadi pewaris pemberitaan Injil. Dia juga memilih tujuh puluh orang sebagai barisan hadapan Injil untuk mengembangkan kerja penginjilan. Selepas Tuhan Yesus terangkat ke syurga, Dia mempercayakan amanat pemberitaan Injil kepada dua belas orang rasul. Selepas Roh Kudus dicurahkan pada hari Pentakosta, jemaat Yerusalem pun didirikan, dan para rasul memupuk murid-murid seperti pesanan Tuhan Yesus. Jemaat di Yerusalem mengalami penganiayaan yang hebat, dan murid-murid tersebar ke seluruh daerah Yudea dan Samaria untuk memberitakan Injil. Injil pun tersebar dengan cepat ke pelbagai tempat dan bahkan sampai kepada orang bukan Yahudi. Dapat dilihat bahawa penyebaran Injil adalah bergantung pada penyertaan penuh murid-murid.

Kita harus meneladani perkataan nabi Yesaya kepada Tuhan: “Ini aku, utuslah aku!” (Yes 6:8). Kita juga harus dapat melakukan firman Tuhan seperti yang dikatakan kepada Yeremia: “… tetapi kepada siapa pun engkau Kuutus, haruslah engkau pergi, …” (Yer 1:7).

Amanat agung pemberitaan Injil di dunia dipercayakan oleh Tuhan Yesus dan merupakan tanggungjawab jemaat. Tuhan Yesus berfirman: “Lihatlah sekelilingmu dan pandanglah ladang-ladang yang sudah menguning dan matang untuk dituai.” (Yoh 4:35).

 

5. Melakukan lebih banyak kerja Tuhan selama masih siang

Ketika Tuhan Yesus terangkat ke syurga, malaikat berkata kepada murid-murid: “Hai orang-orang Galilea, mengapakah kamu berdiri melihat ke langit? Yesus ini, yang terangkat ke sorga meninggalkan kamu, akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat Dia naik ke sorga.” (Kis 1:11). Kini, kita tidak boleh berdiri diam dan melihat ke langit dengan sia-sia! Kita seharusnya segera bekerja dan menyambut kedatangan Tuhan untuk kali yang kedua.

Tuhan Yesus berfirman: “Kita harus mengerjakan pekerjaan Dia yang mengutus Aku, selama masih siang; akan datang malam, di mana tidak ada seorang pun yang dapat bekerja.” (Yoh 9:4). Jadi ada satu perkara yang tidak boleh kita lupakan, iaitu bahawa “di hadapan Tuhan satu hari sama seperti seribu tahun dan seribu tahun sama seperti satu hari” (2 Ptr 3:8). “Tuhan tidak lalai menepati janji-Nya, sekalipun ada orang yang menganggapnya sebagai kelalaian, tetapi Ia sabar terhadap kamu, karena Ia menghendaki supaya jangan ada yang binasa, melainkan supaya semua orang berbalik dan bertobat.” Tuhan Yesus berfirman: “Hanya sedikit waktu lagi terang ada di antara kamu. Selama terang itu ada padamu, percayalah kepadanya, supaya kegelapan jangan menguasai kamu; barangsiapa berjalan dalam kegelapan, ia tidak tahu ke mana ia pergi. Percayalah kepada terang itu, selama terang itu ada padamu, supaya kamu menjadi anak-anak terang.” (Yoh 12:35,36).

Siang bermaksud peluang, iaitu peluang untuk menerima anugerah kasih karunia, peluang pelayanan, peluang untuk memberitakan Injil, dan peluang untuk memberikan persembahan. Semoga kita semua dapat bergiat selalu dalam pekerjaan Tuhan selama masih siang (1 Kor 15:58).

 

 

KESIMPULAN

Dalam akhir zaman ini, kita tidak boleh lagi hanya berdiri dan melihat ke langit. Dengan kesedaran amanat dan rasa tanggungjawab, kita harus bersekutu dalam Berita Injil dan sehati sejiwa berjuang untuk iman yang timbul dari Berita Injil (Flp 1:5,6,27). Kita harus meninjau masa lalu, merancang masa depan dan berlari-lari kepada tujuan. Jangan biarkan hidup menjadi kosong, tetapi hidupkan warna-warni kehidupan. Janganlah kita menghadap ke hadirat Tuhan dengan tangan hampa, tetapi kita harus memasuki Kerajaan Tuhan dengan hak penuh. Kini, kita harus sentiasa berjaga-jaga, bertekun dalam doa, menyebarkan Injil, mendirikan jemaat, dan menyambut kedatangan Tuhan untuk kali yang kedua.