KEPERCAYAAN YIGUANDAO

KEPERCAYAAN YIGUANDAO

(Saudara Huang Duo Ning)

 

A. PENGENALAN

Seiring dengan kemajuan zaman, organisasi keagamaan di bumi Taiwan turut muncul dan berkembang maju bagai cendawan tumbuh selepas hujan seiring dengan perkembangan zaman. Pada zaman awal pemerintahan Nasionalis, tidak sedikit organisasi keagamaan ditindas kerana perintah berkurung. Namun, organisasi-organisasi keagamaan ini beransur-ansur menjadi sah di sisi undang-undang kerana masyarakat yang semakin terbuka. Yiguandao yang ditertawakan sebagai Agama Telur Bebek pada masa awal telah beransur-ansur membuka tudung misterinya dan telah didaftarkan secara rasmi di Republik China pada tahun 1987. Dalam proses perkembangan Yiguandao daripada penyebaran agama di bawah tanah kepada penyebaran agama secara umum, organisasi keagamaan Yiguandao telah bertambah kuat secara beransur-ansur dan bilangan pemercaya Yiguandao telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Artikel ini terutamanya memperkenalkan beberapa pemahaman asas tentang Yiguandao kepada seiman gereja. Selepas mengenali kepercayaan agama orang lain, adalah diharapkan agar ada peningkatan yang ketara dalam iman kepercayaan kita sendiri.

 

B. ASAL – USUL SEJARAH YIGUANDAO

Apabila bercakap tentang asal usul sejarah Yiguandao, kita harus terlebih dahulu menjelaskan pertikaian antara Konfusianisme, Buddhisme dan Taoisme di China. Seawal Maharaja Wu dari Dinasti Han Barat menerima pakai laporan Dong Zhongshu dan memutuskan untuk “meninggalkan seratus aliran pemikiran untuk menghormati Konfusianisme”, China dipengaruhi oleh Konfusianisme hampir di mana-mana saja. Taoisme yang diasaskan oleh Zhang Daoling hanya muncul di China pada zaman Maharaja Ming dari Dinasti Han Timur. Agama Buddha juga tersebar dari India ke China pada sekitar masa ini. Pembentukan Taoisme dan pengenalan agama Buddha memecahkan situasi “monopoli Konfusianisme”, dan China juga telah memasuki tempoh “tiga agama”. Selepas tiga agama Konfusianisme, Buddhisme, dan Taoisme masing-masing ditubuhkan di China, konflik agama berlaku dari semasa ke semasa sehingga keadaan menjadi semakin sengit. Semasa Dinasti Utara dan Selatan, seorang paderi Tao, Gu Huan, muncul dalam Dinasti Qi Selatan. Beliau mula mempromosikan teori “Tiga Agama, Satu Prinsip” dalam bukunya dengan matlamat untuk meredakan perbalahan antara pelbagai mazhab agama di China. Sejak idea Gu Huan tentang “Tiga Agama, Satu Prinsip” dipromosikan, orang zaman-berzaman telah berturut-turut mencadangkan “Tiga Agama Menjadi Satu”, “Tiga Agama Adalah Satu”, “Tiga Agama dari Sumber Yang Sama”, “Tiga Agama Satu Tubuh”, “Tiga Agama Dalam Satu” dan sebagainya. Walau bagaimanapun, perselisihan antara ketiga-tiga agama itu tidak terhenti. Konflik antara agama menjadi semakin sengit setelah penyebaran agama Kristian ke China.

Setakat yang kita tahu, pendahulu Yiguandao ialah “Xiantiandao” (Way of Former Heaven, atau Way of the Primordial) dalam Dinasti Qing. Semasa zaman Shunzhi dari Dinasti Qing (1644 – 1662), seorang ahli Quanzhen, Huang Dehui mengasaskan “Xiantiandao”. Huang Dehui digelar patriark generasi ke-9 dalam silsilah patriark Yiguandao [1]. Huang Dehui menggabungkan pemikiran agama lama dan baharu, mengintegrasikan ajaran agama rakyat “Wusheng Laomu” (Eternal Venerable Mother) dan “Longhua Three Associations” dengan berpusatkan doktrin-doktrin “Tiga Agama Menjadi Satu” daripada Konfusianisme, Buddhisme, Taoisme (three teachings harmonious as one) dan “melatih untuk mendapatkan Golden Pill” daripada Quanzhen Tao. Tiga kitab klasik telah dirumuskan sebagai peraturan penjelasan pada tahun ke-6 pemerintahan Maharaja Kangxi (1667). Dalam masa selama hampir seratus tahun, “Xiantiandao” telah tersebar di tebing Tasik Poyang, tetapi tidak ada perkembangan yang besar. Semasa zaman Maharaja Qianlong, Wu Zixiang telah dilantik sebagai patriark generasi ke-10. Dia menyebarkan agama ke kawasan Guang Xin Fu, menghidupkan semula “Xiantiandao”, dan secara peribadi mengajar patriark generasi ke-11, He Ruo (nama agamanya Ku). Pada tahun ke-7 Maharaja Jiaqing (1802), He Ruo ditahan oleh kerajaan dan dibuang negeri ke Guizhou. Dia bertemu Yuan Zhiqian di sini. Yuan Zhiqian menjadi patriark generasi ke-12 selepas dia bertukar agama kepada Xiantiandao, dan momentum pengajaran Xiantiandao telah mencapai kemajuan besar dalam tangannya. Pada tahun ke-15 Maharaja Jiaqing (1810), Yuan Zhiqian menyebarkan agama dari Guizhou ke Kunming, Yunnan. Pada tahun ke-3 Maharaja Daoguang (1823), dia menyebarkan agama dari Kunming, Yunnan ke Chengdu, Sichuan, dan menubuhkan sebuah pusat perhubungan yang diberi nama “Xi Gan Tang” di Chengdu. Pada tahun ke-6 Maharaja Daoguang (1826), Yuan Zhiqian menyerahkan jawatan patriark kepada Xu Jinan dan Yang Shouyi. Xu Jinan dan Yang Shouyi dibunuh oleh kerajaan pada tahun ke-8 Maharaja Daoguang (1828). Yuan Zhiqian kembali sebagai patriark dan menjadikan Chen Bin sebagai wakilnya atas sebab usia tuanya. Harta benda Chen Bin dirampas tiga tahun kemudian dan menyebabkan Yuan Zhiqian terpaksa tampil sekali lagi untuk mentadbir organisasi dalaman. Yuan Zhiqian meninggal dunia pada tahun ke-14 Maharaja Daoguang (1834) dan diganti sementara oleh Chen Yuxian. Pada tahun ke-23 Maharaja Daoguang (1843), Yuan Zhiqian muncul di Mezbah Ziwei di Hanyang, Hubei, dan menyusun semula lima elemen berdasarkan asas semula jadinya. Peng Yifa (Peng Shuide), Chen Yijing (Chen Yuxian), An Yicheng (An Tudao), Lin Yimi (Lin Jinmi) dan Song Yidao (Song Mucheng) ialah lima unsur dalaman; Li Yiwei, Yu Yiyuan, Zhu Yizhuan, Fan Yiguo, dan Deng Yizhen ialah lima unsur luaran; manakala Xia Zhiwen, Xie Zhiliang, Huang Zhigong, Zhang Zhijian, dan Zhang Zhirang ialah lima akhlak. Lima unsur dalaman menguruskan hal-hal mezbah, lima unsur luaran dan lima akhlak pula ditugaskan untuk menyebarkan agama ke merata tempat sehingga mencapai perkembangan yang besar. Pada tahun ke-25 Maharaja Daoguang (1845), unsur api Chen Yijing, unsur kayu An Yicheng, unsur tanah Song Tudao mati syahid di Hanyang, Hubei, dan agama itu berada dalam bahaya. Semasa zaman bergelora, mujurnya Peng Deyuan (Peng Yifa) menerima arahan untuk mengambil alih organisasi dalaman. Peng Deyuan bertanggungjawab ke atas organisasi dalaman, membina semula tempat ibadah dan merumuskan peraturan. Beberapa tahun kemudian, tempat ibadah mempunyai kecenderungan untuk dipulihkan semula. Pada tahun ke-8 Maharaja Xianfeng (1858), Peng Deyuan meninggal dunia dan Jin Mizu (Lin Fanghua) telah mewarisi jawatannya. Xiantiandao memperoleh kemajuan semula selepas pengurusan bersungguh-sungguh Peng Deyuan dan Lin Fanghua. Lin Jinmi meninggal dunia pada tahun ke-12 Maharaja Tongzhi (1873). Sebelum meninggal dunia, dia menyerahkan organisasi dalaman kepada anak-anak perempuan angkatnya, Lin Suyu dan Lin Suyang. Dia juga memberitahu murid-muridnya supaya “memanggil sebagai guru, tidak memanggil sebagai patriark” lalu berlakulah pemindahan nadi dalam Xi Gan Tang. Semasa pemerintahan Maharaja Tongzhi, patriark generasi ke-14 telah diberikan secara rahsia kepada Yao Hetian dari Shanxi untuk diambil alih, dan Yao Hetian meninggal dunia pada tahun ke-13 Maharaja Tongzhi (1874).

Pada tahun ke-3 Maharaja Guangxu (1877), Eternal Venerable Mother turun ke Dongzhen Hall, Qingzhou, Shandong, dan memerintahkan Wang Jueyi untuk menjadi patriark generasi ke-15. Selepas Wang Jueyi menguasai agama, dia diarahkan untuk menggunakan Konfusianisme sejati untuk mentafsirkan doktrin Xiantiandao. Dia menghapuskan ketetapan “puasa keinginan” apabila memasuki agama, menggantikan “qitian” dengan “litian” pada peringkat yang lebih tinggi dan menukar “menunjukkan pintu masuk” dalam Xiantiandao kepada “membuka pintu masuk”. Dia juga memansuhkan “jiu jie nei gong” yang dicipta oleh patriark ke-9, Huang sejak dia mula percaya. Mereka tidak lagi melatih untuk mendapatkan Golden Pill, tetapi hanya mengajar manusia untuk mendapatkan pengetahuan dan naluri diri serta menjaga akhlak supaya amalan dao Tiandao dapat diubah daripada cenderung ke arah agama Quanzhen kepada ke arah Konfusianisme. Apabila Wang Jueyi meninggal dunia pada tahun ke-10 Maharaja Guangxu (1884), ajarannya telah tersebar ke seluruh negara. Kemudian, Liu Qingxu, patriark generasi ke-16 mengambil alih pemerintahan. Liu Zu meninggal dunia pada tahun ke-8 Republik China (1919) dan organisasi terus dipimpin oleh Lu Zhongyi, dan dia digelar sebagai patriark generasi ke-17. Lu meninggal dunia pada tahun ke-14 Republik China (1925) dan adik perempuannya, Lu Zhongjie terus memimpin organisasi. Zhang Tianran memimpin sebagai patriark generasi ke-18 pada tahun ke-19 Republik China (1930). Zhang meninggal dunia pada tahun ke-36 Republik China (1947) dan isteri gurunya, Sun Huiming terus menguruskan organisasi. Selepas Sun Huiming meninggal dunia, barisan depan setiap cawangan menguruskan organisasi dan pembangunan masing-masing.

 

C. CIRI – CIRI KEPERCAYAAN YIGUANDAO

1. Ajaran utama Yiguandao:

  • Kosmologi tiga alam (tripartite)

Yiguandao membahagikan alam semesta kepada tiga peringkat: “litian” (the heavenly world), “qitian” (the spiritual world), dan “xiangtian” (the material world).

“Litian” juga dipanggil “wuji litian” yang merupakan tempat tinggal bagi Wuji Laomu. Alam ini juga merupakan tempat tujuan semua pengamal Yiguandao selepas kematian mereka. Hanya ada kebaikan dan kecantikan dalam “wuji litian”.

“Qitian” merujuk kepada tempat tinggal dewa-dewi. Jika seseorang dapat beramal sehingga menjadi dewa, dia boleh tinggal di sini. Walau bagaimanapun, dewa-dewi di sini masih berkemungkinan terjatuh ke dalam penjelmaan semula.

“Xiangtian” merujuk kepada dunia yang menjadi tempat tinggal manusia. Boleh dikatakan bahawa semua objek berbentuk ialah xiangtian.

Yiguandao membezakan tiga peringkat litian, qitian dan xiangtian dengan maksud bahawa kedua-dua qitian dan xiangtian boleh dimusnahkan, hanya litian yang kekal abadi. Jika manusia ingin melepaskan diri daripada penjelmaan semula, mereka harus mencapai litian dengan menyertai Yiguandao.

  • Malapetaka tiga era (Sanqi mojie, the last disaster at the end of the third period)

Konsep malapetaka tiga era Yiguandao terbahagi kepada: Qingyang Qi (Green Yang Era), Hongyang Qi (Red Yang Era), dan Baiyang Qi (White Yang Era). Sejak permulaan dunia hingga penghujung dunia ialah satu yuan. Satu yuan mengandungi 12 fasa iaitu zǐ, chǒu, yín, mǎo, chén, sì, wǔ, wèi, shēn, yǒu, xū, dan hài. Satu fasa ada 10800 tahun. Terdapat beberapa tempoh malapetaka disebabkan oleh perubahan cuaca. Fasa wǔ kini sudah berakhir manakala fasa wèi akan bermula. Terdapat lebih daripada 60,000 tahun yang terbahagi kepada tiga era sejak permulaan dunia. Era pertama: Qingyang Qi pada zaman Fuxi, dikuasai oleh Dīpankara Buddha dengan 9 malapetaka. Era kedua: Hongyang Qi pada zaman Raja Wen, dikuasai oleh Gautama Buddha dengan 18 malapetaka. Era ketiga: Baiyang Qi pada zaman pertukaran antara fasa wǔ dengan fasa wèi iaitu semasa tempoh Republik China, dikuasai oleh Maitreya Buddha dengan 81 malapetaka yang akan menyelamatkan 960 juta orang.

  • Sancao pudu (universally saving three beings)

“Sancao pudu” juga boleh dipanggil “Sancao qidu”. Istilah ini muncul semasa Zhang Guangbi berkuasa. “Sancao” merujuk kepada tiancao (dewa-dewi), rencao (manusia), dan dicao (hantu-hantu). Sancao pudu pernah diterangkan dengan lebih terperinci dalam buku panduan Yiguandao: “Skop pudu Yiguandao sangat luas. Pudu ini boleh menyelamatkan dewa-dewi di peringkat tinggi, manusia di peringkat pertengahan dan hantu-hantu di peringkat paling bawah. Demikianlah maksud sancao pudu.”

Penyelamatan dewa-dewi berasal daripada pengamal dan pelatih qi masa lalu yang belum berkesempatan untuk kembali ke litian serta para hamba setia yang boleh dinaikkan pangkat sebagai dewa di qitian atau tuhan ke atas hantu selepas kematian. Jika mereka tidak memperoleh dao atau menyertai Yiguandao, mereka masih tidak terlepas daripada penjelmaan semula dan tidak dapat memasuki litian. Masa sekarang merupakan masa akhir bagi malapetaka tiga era iaitu masa penyelamatan. Maka dewa-dewi sering mengikuti Buddha ke mezbah, atau muncul di mana-mana untuk mencari orang yang ditakdirkan dalam kehidupan sebelumnya. Dewa-dewi ini bertindak sebagai penjamin agar orang itu memperoleh dao, kembali ke litian, dan meninggalkan penjelmaan semula untuk selama-lamanya.

Tentang penyelamatan hantu-hantu pula, seseorang harus mentaati ibu bapanya sebelum dia meninggal dunia. Upacara melepaskan roh mati daripada penderitaan diadakan khasnya selepas dia meninggal dunia untuk dia terlepas daripada penderitaan penjelmaan semula untuk selama-lamanya dan menikmati rahmat di litian. Mereka yang menjadi anak cucu harus memupuk ketabahan dalam dao dan mengumpul amal kebajikan untuk membebaskan nenek moyang mereka daripada penderitaan penjelmaan semula.

 

2. Ritual utama Yiguandao

  • Tiga khazanah (Sanbao)

Perkara yang paling penting setelah menganuti Yiguandao ialah mendapatkan “tiga khazanah” Yiguandao dan ajaran rahsia (Xinfa, secret teaching). Maksud “tiga khazanah” Yiguandao sama sekali berbeza daripada tiga khazanah Buddha, Dharma, dan Sangha dalam Buddhisme. “Tiga khazanah” Yiguandao merujuk kepada pintu rahsia (Xuanguan Qiao, Mysterious Gate), mantera syurga (Koujue, Heavenly Password) – Wuzi Zhenyan (the incantation of five words), dan perjanjian kudus (Hetong, Holy Covenant). Mereka percaya bahawa mereka boleh “mendaftar masuk di syurga dan mengeluarkan namanya daripada senarai dunia orang mati” (Tiantang Guahao, Difu Chouding) selepas “mencari dao”. Mereka boleh dilahirkan semula selepas kematian dan memasuki litian yang tiada sempadan (Wuji Litian) dan tidak terjatuh ke dalam enam penjelmaan semula. “Tiga khazanah” Yiguandao juga boleh dikatakan sebagai “bukti” untuk mereka kembali ke litian yang tiada sempadan (Wuji Litian) selepas kematian mereka.

Yiguandao percaya bahawa tiga khazanah ini bukan sahaja menjadi bukti untuk kembali ke litian yang tiada sempadan (Wuji Litian), tetapi juga merupakan alat untuk menyelamatkan nyawa semasa menghadapi kecemasan dan bahaya. (Kebanyakan penganut Yiguandao berpendapat bahawa Buddha atau dewa akan datang untuk membantu jika mereka memeluk perjanjian dan membacakan mantera apabila mereka menghadapi bahaya).

  •  Memeluk perjanjian: Satu gaya tangan tetap dengan tangan kiri dan kanan berpeluk antara satu sama lain dan diletakkan di depan dada. Aksi ini melambangkan bahawa Wuji Laomu (The Limitless Venerable Mother) berseru kepada anak-anak dan memeluk anak-anak dengan tangan yang membawa maksud kembali kepada asal-usul dan mengaku ibu.
  • Pintu rahsia (Xuanguan Qiao, Mysterious Gate): “Xuanguan” ialah pintu masuk kepada hidup dan mati, dan rahsianya tersembunyi di dalam “Qiao”. Pemula (Dianchuanshi, initiators) menggunakan penyepit atau batang kemenyan untuk mengetuk di antara dua mata pencari Dao. Aksi ini dipanggil “Diandao”, juga dikenali sebagai “Dianxuanguan”. Ada pendapat dalam kalangan penganut Yiguandao bahawa selepas pintu rahsia dibuka, roh akan terus ke litian selepas kematian. Jika pintu rahsia seseorang itu tidak dibuka, rohnya akan keluar dari mata selepas kematian dan terus memasuki kitaran penjelmaan semula.
  • Wuzi Zhenyan (the incantation of five words): Wuzi zhenjing (the real sutra without words) tidak boleh sewenang-wenangnya diucapkan kepada orang luar. Jika didedahkan sesuka hati, seseorang itu akan dipanah petir. “Wuzi zhenjing” bukan sahaja membolehkan penganut Yiguandao memperoleh dao dan naik ke syurga, tetapi juga mantera yang boleh mengubah bahaya menjadi keamanan pada masa nasib malang.

 

  •  Upacara penyembahan (dharma assembly)

Upacara ini hanya terbuka kepada penganut yang mencari dao. Penyembahan dijalankan dalam bentuk penulisan roh (spirit writing) dan kerasukan dewa-dewi. Walaupun penulisan roh dan kerasukan dewa-dewi mempunyai tradisi sejarah yang panjang di China, namun penyembahan Yiguandao adalah lebih bersungguh-sungguh berbanding penulisan roh di kuil-kuil rakyat biasa dan dekat dengan penganut umum serta tidak membuatkan orang berasa gentar.

Dalam upacara penulisan roh, tiga gadis kecil bertindak sebagai tiga bakat (sancai, penulis roh dengan tiga orang dalam satu kumpulan). Orang yang mengendalikan meja pasir ialah tiancai, orang yang membacakan tulisan ialah rencai, manakala orang yang merekodkan tulisan ialah dicai. Kerasukan dewa-dewi secara langsung dilakukan oleh dewa-dewi pada tubuh seseorang sehingga orang itu memberikan arahan seperti manusia yang hidup.

• Sasaran kepercayaan Yiguandao

o Mingming-shangdi: Dia mentadbir alam semesta dan semua makhluk. Dengan kedudukannya yang tanpa had, dialah ibu dao yang membuka dunia dan mencipta manusia, dan dia juga dihormati sebagai Wuji Lao. Wuji Lao ialah Shangdi dalam Konfusianisme; Yaochi jinmu dalam Taoisme; Mahāvairocana dalam Buddhisme; Wusheng Laomu atau Wuji Shengzu dalam agama-agama baharu yang muncul dalam Dinasti Ming; Shangdi dalam Kristian; Allah dalam Islam.

o Tian Di Jun Qin Shi: Penyembahan kepada lima kategori yang pernah berjasa.

o Zhutian Shensheng: Merujuk kepada dewa-dewi dalam tiga alam.

o Patriark Maitreya: Buddha Maitreya.

o Nanhai gufo: Guanyin Bodhisattva.

o Tokoh kudus lima agama: iaitu, pemimpin lima agama – Laozi pemimpin Taoisme, Konfusius pemimpin Konfusianisme, Shakyamuni pemimpin Buddhisme, Yesus pemimpin Kristian, dan Muhammad pemimpin Islam. Tokoh kudus lima agama ini semuanya diilhamkan oleh Tuhan untuk mentafsirkan kebenaran dan masing-masing mengajar tentang kesatuan. Buddhisme mengajar tentang kesatuan semua hukum (wanfa guiyi); Taoisme mengajar tentang kesatuan tubuh dan segala bentuknya (baoyuan guiyi); Konfusianisme mengajar tentang kesatuan dalam ajaran agama (zhizhong guanyi); Kristian mengajar tentang kesatuan persaudaraan (moshi qinyi); Islam mengajar tentang kesatuan dalam perihal halal (qingzhen fanyi). Walaupun kaedahnya berbeza, mereka semua bercakap tentang “kesatuan” iaitu “dao”. Oleh itu, konsep “lima agama datang daripada asal-usul yang sama” adalah untuk melayani tokoh kudus lima agama dengan dao.

o Buddha yang hidup dan guru yang dihormati (Huofo Shizun, the living Buddha and venerable teacher): Buddha Ji Gong dan Yuehui Bodhisattva: Yuehui Bodhisattva bertanggungjawab ke atas Dao Pan bersama-sama Buddha Jigong dengan mandat syurga.

o Dewa-dewi hukum: Guandi, Luzu, Huanhou Dadi, Dongyue Dadi, dan lain-lain lagi.

o Changsheng Dadi: Nanji Xianweng.

o Patriark Jin Gong: Patriark generasi ke-17, Lu Zhongyi, kini dipanggil Patriark Tua (Lao zushi).

o Tianran gufo : Guru Zhang Tianran.

o Zhonghua Shengmu (Our Lady of China): Sun Huiming, isteri kepada guru.

o Zhendian Yuanshuai (The Guardian Marshal): Marshal Zhang Maomeng, anak Shizun yang meninggal dunia ketika dia masih muda, dan berjasa dalam membantu dao sehingga dianugerahkan gelaran Zhendian Yuanshuai.

o Zhendian Jiangjun (The Guardian General): Zhang Maotian, ketua pemeriksa, juga dikenali sebagai Santian Zhukao. Dia juga merupakan anak Shizun, meninggal dunia ketika dia masih muda, dan berjasa dalam membantu dao sehingga dianugerahkan gelaran Zhendian Jiangjun.

o Jiaohua Bodhisattva: Yunyou Guniang, dewi Kundao dalam kelas Yunzi yang pertama terlepas daripada penderitaan.

o Malaikat-malaikat: Mereka yang telah menunjukkan kesetiaan dan jasa pada zaman dahulu dan mereka yang telah menyelesaikan amalan di dunia dalam beberapa dekad kebelakangan ini sehingga diberikan jawatan malaikat oleh Tuhan.

o Nenek moyang sendiri: nenek moyang dalam keluarga dao.

 

D. STRUKTUR ORGANISASI YIGUANDAO

Barisan Yiguandao moden berkembang daripada patriark (zushi), ketua (lingzhang), wakil (daibiaoshi), ketua mezbah (tanzhu), pelaksana (banshiyuan) dan pengikut (daozi) pada zaman Lu Zhongyi. Barisan ini boleh dibahagikan kepada tahap-tahap berikut: 

1. Patriark (zushi): Merujuk kepada Zhang Tianran dan isterinya, Sun Huiming.

2. Ketua dao (daozhang): Mereka semua merupakan senior dao. Mereka membuka beberapa wilayah dan sangat berjasa dalam dao. Jawatan mereka diberikan oleh patriark. Apabila Zhang Tianran berkuasa, 8 orang ketua dao telah diangkat – Zhang Zhenzhong dari Jining, Hu Guijin dan Liu Mengrong dari Tianjin, Zhang Wufu dari Beiping, Xu Hengfu dan Qi Mingzhou dari Jinan, Dong Yuquan dari Qingdao, dan Sun Xiyao dari Nanjing. Di samping itu, pengurus mezbah umum pelbagai wilayah dan bandar juga dihormati sebagai ketua dao. Dua orang senior Taiwan – Zhang Wenyun dan Han Yulin juga diberikan penghormatan sebagai ketua dao sebagai pemimpin rohani.

3. Pendahulu lama (lao qianren): Mereka merupakan pendahulu senior. Mereka semua golongan berusia yang berakhlak, telah menyumbang kepada dao selama bertahun-tahun, dan mempunyai pelajar sebagai pendahulu.

4. Pendahulu (qianren): Mereka ialah pemula (dianchuanshi, initiators) yang berpengalaman. Mereka semua merupakan pemula dao, mempunyai ramai pengikut, dan merupakan pemimpin yang mempunyai lebih daripada seorang pemula. Selepas pendahulu diberikan kuasa oleh patriark, mereka boleh memilih pemula mereka sendiri. Tetapi jika terdapat pendahulu lama di atas mereka, pendahulu lama sering melantik pemula secara peribadi. Secara tradisinya, pemula dari Tanah Besar yang datang ke Taiwan untuk meneroka dikenali sebagai pendahulu. Ada juga orang yang mempunyai ramai pengikut di barisan cawangan memilih pemula yang agak berpengalaman di kawasan yang baru diterokai dan mengangkatnya sebagai pendahulu tempatan (dipanggil pemula pemimpin).

5. Pemula (dianchuanshi, initiators): Pengkhotbah, menyampaikan dao dan hukum-hukum bagi pihak Patriark. Dianchuanshi ialah singkatan daripada “wakil dianchuanshi”. Dia dahulunya dikenali sebagai wakil (daibiaoshi). Panggilan itu hanya ditukar kepada nama sekarang selepas tahun ke-25 Republik China, dan kini biasanya dirujuk sebagai pengurus.

6. Ketua mezbah (tanzhu): Juga dikenali sebagai ketua dewan (tangzhu), bertanggungjawab ke atas dewan Buddha.

7. Pensyarah (jiangshi): Bertugas sebagai penyebar dao di dewan Buddha. Menurut peraturan, mereka yang memegang jawatan di atas pensyarah harus menjadi vegetarian.

8. Pelaksana (banshiyuan): Orang yang bersama-sama mengatur hal ehwal dao di dalam dewan Buddha.

9. Tiga bakat (sancai): Tiga bakat iaitu rencai, dicai dan rencai digunakan semasa upacara penulisan roh. Orang yang mengendalikan meja pasir ialah tiancai, orang yang merekodkan tulisan ialah dicai, dan orang yang membacakan tulisan ialah rencai. Tiancai biasanya disandang oleh kanak-kanak kecil.

10. Saudara dao (daoqin): Gelaran untuk sesama.

 

E. STRATEGI KEJAYAAN PERKEMBANGAN YIGUANDAO DI TAIWAN

1. Penggunaan bahasa Mandarin

Selepas pemulihan Taiwan, kerajaan Nasionalis mengadakan kelas pengajian kebangsaan di pejabat-pejabat KMT tempatan untuk mengajar bahasa Mandarin serta Empat Buku – Lunyu (The Analects), Mengzi (The Mencius), Daxue (Great Learning) dan Zhongyong (Doctrine of the Mean) secara percuma. Walaupun hasilnya tidak ketara, tetapi hal ini menyebabkan orang Taiwan percaya bahawa mereka perlu mempelajari bahasa Mandarin. Oleh itu, orang yang datang ke Taiwan dari Tanah Besar untuk menyebarkan agama telah menjadi sasaran pembelajaran mereka. Dengan itu terbentuklah kaedah penyebaran agama “anda datang mencari dao, saya mengajar kamu bahasa Mandarin”.

Kedua, pendidikan pada era pendudukan Jepun tidak bersifat universal, dan dasar pendidikan selepas pemulihan hanya ditujukan kepada pelajar yang cukup umur. Oleh itu, orang yang lebih tua yang ingin belajar tidak mempunyai peluang sama sekali. Kebanyakan khutbah Yiguandao menekankan topik khas dan kitab klasik. Maka saudara dao boleh mula mempelajari Empat Buku, Tao Te Ching dan klasik-klasik lain selepas tempoh masa tertentu di dewan Buddha. Hal ini juga membolehkan orang yang berminat untuk belajar memenuhi keinginan belajar mereka di dalam dewan Buddha Yiguandao.

 

2. Melepaskan nenek moyang daripada penderitaan

Sejak dahulu hingga sekarang, orang China amat menghormati nenek moyang mereka. Mereka percaya bahawa penempatan nenek moyang yang baik akan membawa masa depan yang cerah kepada diri mereka dan anak cucu mereka. Namun pada hari-hari awal pemulihan Taiwan, hanya sedikit saja keluarga yang mampu mengadakan perhimpunan dharma (fahui) di kuil Buddha. Yiguandao pula memberitahu orang ramai dengan cara yang mudah dan jelas: “Hanya dengan mencari dao dan membantu orang, maka nenek moyang seseorang boleh diselamatkan”. Seruan yang mudah dan jelas ini dengan cepat telah menarik minat ramai orang.

Dalam sejarah, Yiguandao telah menyebarkan bahawa nenek moyang seseorang boleh naik ke syurga selepas dia membantu 100 orang mencari dao. Pada masa patriark ke-18, Zhang Tianran, bilangannya telah dikurangkan menjadi “64 kebaikan sebagai satu buah”. Dengan kata lain, seseorang yang membantu 64 orang menganuti agama ini boleh melepaskan nenek moyang mereka daripada penderitaan untuk memasuki syurga.

Walaupun tidak dapat membantu 64 orang, ada perhimpunan dharma (fahui) yang diadakan dari semasa ke semasa. Perhimpunan ini mengenakan sedikit bayaran, tetapi jumlahnya lebih rendah daripada kos perhimpunan dharma agama Buddha dan Taoisme. Cara ini menjimatkan dan berpatutan bagi keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang kurang baik.

 

3. Berdoa untuk damai sejahtera

Bayangan peperangan masih berlarutan selepas Kerajaan Nasionalis berpindah ke Taiwan. Orang ramai sering berdoa memohon restu tuhan dan dewa-dewi untuk mengelakkan bencana peperangan. Yiguandao, Luantang dan Zhaijiao semuanya mempunyai istilah “malapetaka tiga era” (sanqi mojie, the last disaster at the end of the third period). Pergolakan keadaan semasa seolah-olah memenuhi ketibaan malapetaka terakhir. Menyembah tuhan dan dewa-dewi untuk mendapatkan berkat nampaknya merupakan satu-satunya ubat untuk ketenangan fikiran pada masa ini.

Yiguandao percaya bahawa mencari dao bukan sahaja mengenai keselamatan peribadi, tetapi juga untuk perlindungan seluruh keluarga. Kaedahnya adalah dengan seluruh keluarga mencari dao terlebih dahulu, kemudian seluruh keluarga menjadi vegetarian, dan selepas itu menubuhkan dewan Buddha di rumah.

“Menjadi vegetarian dan terlindung” ialah rayuan yang kuat semasa memujuk orang lain untuk mencari dao. Ekonomi kurang baik pada hari-hari awal pemulihan Taiwan. Sumber hidup rakyat adalah kekurangan sehingga sepinggan sayur-sayuran hijau sebagai satu hidangan sudah dianggap sebagai makanan istimewa. Maka tidak ada perbezaan yang ketara antara vegetarian dengan makan daging. Oleh itu, mereka dengan mudah dapat memujuk orang lain untuk menjadi vegetarian.

 

4. Kuasa wanita

Di bawah sistem keluarga besar, sebarang berita tersebar dengan cepat dalam kalangan wanita. Pada zaman awal, penyebaran dao dalam kalangan wanita adalah lebih mudah daripada penyebaran dao kepada lelaki. Perkara yang paling dibimbangi oleh wanita ialah suami mereka minum arak dan melakukan apa-apa kesalahan di luar. Selepas mempercayai Yiguandao, ada orang akan menasihati suami untuk berkelakuan mengikut peraturan pada bila-bila masa dan tidak boleh minum arak selepas menjadi vegetarian. Jika ada masa, mereka digalakkan untuk pergi ke dewan Buddha dan mendengar ajaran orang bijak. Suami isteri mendapatkan kawan baharu di kuil bersama-sama merupakan satu hal yang mengurangkan rasa bimbang isteri.

Pengaruh bersama dalam kalangan wanita juga sangat kuat. Apabila wanita mendengar bahawa mencari dao boleh melindungi seluruh keluarga, melepaskan nenek moyang daripada penderitaan dan membolehkan lelaki mematuhi peraturan, mereka cuba sedaya upaya untuk membantu suami mereka mencari dao dan secara aktif mempromosikan faedah mempercayai Yiguandao kepada kawan-kawan.

 

5. Saling membantu dan bantuan kebajikan / amal

Terdapat istilah “tiga amalan” (sanshi) dalam Yiguandao yang merujuk kepada amalan dharma, amalan kekayaan, dan amalan keberanian. Amalan dharma bermula dengan membantu orang mencari dao sehingga boleh mengajar dao pada bila-bila masa supaya setiap saudara dao dapat memahami dao dan doktrin. Amalan kekayaan bermaksud memberikan bantuan kewangan kepada tempat ibadah dao dan saudara dao. Amalan keberanian bermaksud seseorang tidak boleh menahan diri daripada mara ke hadapan tanpa mengira keadaannya, bahkan sanggup mengorbankan nyawa untuk dao.

Dewan Buddha ialah unit dao yang paling asas dalam Yiguandao. Saudara dao dalam dewan Buddha yang sama haruslah rapat seperti ahli keluarga dengan pemula (dianchuanshi, initiators) memainkan peranan sebagai ibu bapa. Apabila ada saudara dao yang menghadapi kesukaran, semua menyumbangkan wang dan tenaga untuk membantu menyelesaikannya. Apabila keupayaan satu dewan Buddha tidak mencukupi untuk mengatasinya, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada dewan-dewan Buddha lain dan juga seluruh organisasi melalui organisasi. Perkara yang membuatkan saudara dao berasa lebih hangat adalah bahawa mereka sering menyembunyikan identiti mereka ketika membantu seorang saudara dao atau orang luar supaya tidak diketahui oleh orang yang dibantu. Hal ini dapat menjaga air muka orang yang dibantu dan tidak membiarkan orang yang dibantu merasakan bahawa bantuan itu adalah sebagai pertukaran untuk mencari dao.

 

6. Menjaga pengembara

Selepas 1961, kerajaan menubuhkan beberapa zon pemprosesan eksport di Kaohsiung dan Taipei serta menubuhkan banyak kilang usaha sama China-asing. Usaha ini menarik minat buruh luar bandar untuk mencari pekerjaan di sini. Selepas anak-anak di kampung tamat sekolah rendah, mereka keluar ke bandar untuk bekerja di kilang-kilang. Pada masa ini, sasaran penyebaran agama Yiguandao segera beralih ke kilang. Selagi ada seorang saudara dao di sebuah kilang, dia akan menyeru ramai rakan sekerja untuk mencari dao. Apabila bilangan orang yang mencari dao meningkat, bilangan vegetarian juga meningkat. Dalam persekitaran kilang dengan “semua orang makan daging tetapi saya vegetarian”, menjadi vegetarian telah menjadi isu utama. Pengikut Yiguandao yang merupakan vegetarian mula-mula menubuhkan kumpulan makanan di kilang, dan kemudian mencari sebuah rumah berhampiran dengan kilang untuk tinggal bersama, bergilir-gilir memasak makanan vegetarian, dan bertemu bersama pada hari cuti untuk mendengar khutbah. Ketika tamat masa bekerja di kilang, ada kereta pengangkutan di depan pintu yang dihantar oleh dewan Buddha untuk menunggu ahli kumpulan makanan. Menjelang tahun 1965, kilang mungkin tidak dapat merekrut pekerja yang mencukupi jika tidak menyediakan makanan vegetarian. Kumpulan makanan vegetarian kilang itu merupakan perintis penubuhan kumpulan makanan vegetarian di kolej dan universiti di seluruh negara.

 

7. Larangan kerajaan

Dalam zaman maklumat yang kurang berkembang, laporan yang dibuat oleh media yang dikawal oleh kerajaan ialah kebenaran. Kerajaan telah berulang kali mempromosikan betapa Yiguandao bertentangan dengan moral. Namun apabila seseorang yang tidak memahami Yiguandao datang ke dewan Buddha dan menerima sambutan yang meriah, melihat saudara-saudara dao yang bersopan santun dengan etika lelaki dan wanita dalam kelas yang berasingan, semua ini sama sekali berbeza dengan Yiguandao yang biasa didengarinya iaitu bahawa Yiguandao penuh dengan maksiat dan perompak. Mereka segera merasakan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mendiskriminasi dan memfitnah Yiguandao secara tidak adil. Rasa ingin tahu yang terpendam menyebabkan mereka berasa terdorong untuk mengetahui kebenarannya dan hati yang gagah perkasa menyebabkan mereka berasa tidak adil untuk Yiguandao. Pemikiran sedemikian akhirnya diasimilasikan ke dalam tempat ibadah dao dan menjadi pendorong utama tempat ibadah dao dengan iman yang kukuh.

 

KESIMPULAN

Perkembangan dan pencapaian Yiguandao di Taiwan ialah fakta yang tidak dapat dinafikan. Jika melihat sejarah Yiguandao, banyak ciri-ciri agama lain telah diintegrasikan ke dalam doktrin untuk mengembangkan doktrinnya. Hal ini membolehkan penganut mempercayai agama mereka dengan lebih mendalam dan percaya bahawa mereka mengatakan kebenaran. Dari segi doktrin, Konfusianisme menjadi doktrin utama mereka. Kemudian, doktrin Taoisme dan Buddhisme digunakan supaya doktrin ini menjadi lebih lengkap. Walaupun disebut doktrin, namun doktrin ini hampir sama dengan etika dan akhlak umum. Penekanan mereka adalah untuk mempraktikkan etika tradisional. Mereka amat tegas dalam perihal pelaksanaan doktrin sehingga penganut agama ini mengalami perubahan yang besar. Organisasinya sangat mirip dengan gereja, iaitu kedua-duanya merupakan organisasi keagamaan yang agak tegas. Walau bagaimanapun, sesetengah orang percaya bahawa Yiguandao masih mengekalkan watak rahsia agama rakyatnya, terutamanya orang luar tidak dibenarkan mengintip semasa pemberian tiga khazanah (chuan sanbao, offering three treasures). Menurut Profesor Li Yiyuan, pemberian tiga khazanah (chuan sanbao, offering three treasures) merupakan perbezaan terbesar antara yang kudus dengan sekular dalam Yiguandao. Hal ini adalah sama seperti Gereja Yesus Benar yang mempunyai pembaptisan dan penerimaan Roh Kudus sebagai bukti keselamatan yang merupakan kunci untuk beralih daripada yang sekular kepada yang kudus. Dalam aspek kekudusan ini, kita tidak boleh menuntut secara berlebihan bahawa Yiguandao mesti mendedahkan upacara pemberian tiga khazanah (chuan sanbao, offering three treasures) kepada umum. Boleh dikatakan bahawa gabungan kepelbagaian dalam doktrin Yiguandao adalah disebabkan oleh kesamaan kebenaran dan matlamat yang dikejar oleh pelbagai agama sehingga menghasilkan idea perpaduan lima agama. Kalimat terakhir dalam dao Yiguandao [2] ialah “keharmonian dunia”. Dalam konsep ini, kita dapat melihat prestasi mengejar realiti muktamad “kebenaran, kebaikan, keindahan, dan kekudusan”. Mungkin kita juga boleh menemukan cara kita sendiri untuk merealisasikan kebenaran muktamad dan menguatkan iman kepercayaan kita sendiri dalam Gereja Yesus Benar.

1. Silsilah patriark Yiguandao adalah berdasarkan Buddhisme Zen. Ada catatan dalam “Huangji jindan jiulian zhengxin guizhen huanxiang baojuan” dalam Xiantian Dadao yang bermaksud bahawa Zen telah mengalami warisan sebanyak 28 generasi di Barat dan telah disebarkan ke China oleh patriark Bodhidharma sehingga mewujudkan Xiantian Dadao selepas generasi ke-9.

2. Dao Yiguandao: “Hormat kepada langit dan bumi, patuh kepada tuhan, patriotisme dan kesetiaan, menghormati yang baik, berbakti kepada ibu bapa, hormat kepada guru, percaya dengan kawan, berdamai dengan jiran, memperbetul kejahatan dengan kebaikan, menjelaskan lima akhlak dan lapan kebajikan, menghuraikan ajaran utama orang kudus lima agama, menghormati adab kuno empat dimensi (kewajaran, kebenaran, integriti dan rasa malu), membersihkan hati dan fikiran, memupuk kebenaran dengan kebatilan, memulihkan sifat semula jadi alam, mengilhami kesempurnaan hati nurani dan keupayaan, menegakkan diri sendiri dan orang lain, mencapai kejayaan diri sendiri dan membantu orang lain, memulihkan keamanan dunia, mengubah hati orang menjadi kebaikan, dan berharap dunia akan menjadi harmoni”.