KITAB DANIEL
(Pendeta Li Wei Sheng)
Kitab ini merupakan kitab yang paling ringkas, dan cerita di dalamnya juga menarik minat bahkan kanak-kanak di kelas tadika. Namun kitab ini juga merupakan kitab yang paling sukar. Penglihatan di dalamnya mendalam dan sukar untuk difahami. Kitab ini selalunya “dibaca pantas” (spead reading) oleh kita sehingga plot di dalamnya dilupakan.
Daniel, nama yang terkenal, merupakan seorang tokoh yang kasihan tetapi hebat yang dilahirkan pada era ketika negara porak peranda.
Perkataan Daniel dalam bahasa Ibrani, l’eyyinaD (Daniyye’l) bermaksud “Tuhan ialah Hakim”. Maka nama kitab Daniel dengan jelas menyatakan tema kitab ini – penghakiman Tuhan. Umat pilihan menyimpang daripada kebenaran dan meninggalkan perjanjian yang diadakan oleh Tuhan dengan umat pilihan (Ulangan fasal 28). Setelah bertolak ansur selama lebih daripada enam abad, Tuhan akhirnya terpaksa menggunakan cara yang paling tegas untuk membawa mereka ke dalam pembuangan sehingga mereka menjalani hidup yang diperintah sepenuhnya oleh kerajaan bangsa asing. Hal ini menyebabkan umat pilihan merasai rasa hukuman Tuhan yang berat.
Kedaulatan Tuhan bukan sahaja terhad kepada umat pilihan, tetapi juga kepada semua umat manusia. Tambahan pula, tidak ada kerajaan di dunia yang dapat terlepas daripada penghakiman-Nya. Jadi Tuhan bukan sahaja “Daniel” bagi umat pilihan, tetapi juga “Daniel” bagi semua umat manusia. Oleh itu, kitab ini bukan sahaja tentang trend masa depan umat pilihan, tetapi juga menubuatkan keadaan antarabangsa pada masa kelak. Tuhan mendedahkan hakikat campur tangan-Nya dalam situasi dunia dengan perantaraan Daniel supaya umat pilihan dan orang bukan Yahudi tahu bahawa dunia ini dikuasai oleh Tuhan yang disembah oleh Abraham, Ishak dan Yakub ini. Raja-raja yang terkenal dalam sejarah seperti Nebukadnezar juga akhirnya bersedia untuk tunduk kepada-Nya.
Secara logiknya, Daniel bukanlah seorang nabi. Dia tidak mempunyai panggilan yang jelas daripada Tuhan seperti nabi-nabi Yesaya, Yeremia, atau Yehezkiel, dan tidak ada catatan tentang Tuhan memberikan jabatan nabi secara rasmi kepadanya. Dalam kitab ini, dia sebaliknya mempunyai identiti rasmi sebagai pegawai istana, dan isi kandungan kitab ini juga melibatkan sejarah dunia. Oleh itu, kitab Daniel tidak disenaraikan sebagai kitab nabi-nabi dalam Alkitab Ibrani, tetapi disenaraikan sebagai kitab sejarah. Walau bagaimanapun, Daniel mempunyai karunia seorang nabi untuk mendedahkan kehendak Tuhan yang tersembunyi. Maka Matius memasukkan Daniel ke dalam barisan nabi (Mat 24:15). Justeru, kitab Daniel disenaraikan sebagai kitab nabi-nabi dalam Alkitab pada masa kemudian. Kitab ini bahkan mempunyai gelaran “Wahyu Perjanjian Lama”.
Daniel ialah orang Yehuda kumpulan pertama yang dibawa sebagai tawanan ke istana Babel, dan dia ditawan ke sana semasa masa mudanya. Berdasarkan nubuat nabi Yesaya kepada raja Hizkia (2 Raj 20:18; Yes 39:7), dia mungkin berasal daripada keluarga diraja dan mungkin telah ditawan ke istana Babel untuk menjadi sida-sida. Dia sangat berkebolehan dan bijak, jadi dia sangat dipandang berat oleh raja Nebukadnezar. Tuhan memberikan hikmat rohani kepada Daniel sehingga mengagumkan raja. Jika mengimbas kembali sejarah awal Israel, Tuhan menjadikan Yusuf sebagai orang kedua di bawah firaun di istana Mesir. Demikian juga, Tuhan menempatkan Daniel pada kedudukan yang berpengaruh di istana Babel pada masa pembuangan Yehuda. Ada kehendak Tuhan yang indah dalam hal ini iaitu untuk memenuhi janji-janji yang telah diberikan oleh-Nya kepada umat pilihan di negeri asing.
A. LATAR BELAKANG SEJARAH
Paksi masa yang direntangi oleh kitab Daniel secara dasarnya agak panjang. Saya cuba membahagikannya kepada tiga bahagian: Paksi masa bahagian pertama ialah latar masa dan ruang yang dialami oleh Daniel semasa hayatnya. Antaranya termasuk tahun-tahun terakhir Yehuda, zaman kerajaan Babel Baharu serta zaman awal Empayar Persia dan Media. Paksi masa bahagian kedua ialah nubuat-nubuat yang telah digenapi sebagai sejarah dalam kitab Daniel. Antaranya termasuk Empayar Persia, Empayar Yunani dan Empayar Yunani yang berpecah, dinasti Ptolemais yang memerintah Mesir dan dinasti Seleukia yang memerintah Siria. Paksi masa bahagian ketiga ialah nubuat-nubuat yang belum digenapi dalam kitab Daniel. Saya akan terlebih dahulu membuat garisan ringkas paksi masa dua bahagian pertama manakala bahagian ketiga akan diperkenalkan kemudian.
B. LATAR MASA DAN RUANG YANG DIALAMI OLEH DANIEL SEMASA HAYATNYA.
Ayat pertama pada permulaan kitab Daniel: “Pada tahun yang ketiga pemerintahan Yoyakim, raja Yehuda, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, ke Yerusalem, lalu mengepung kota itu.” (Dan 1:1). Ayat ini membawa kitab ini ke dalam dua paksi sejarah yang penting. Satu ialah sejarah akhir kerajaan Yehuda yang hampir musnah yang diperintah oleh Yoyakim. Satu lagi ialah kuasa baharu yang muncul sebagai hegemoni Timur Tengah pada penghujung abad ketujuh SM yang bersungguh-sungguh menceroboh negara-negara di sepanjang Laut Mediterania.
Negara Yehuda musnah pada masa itu kerana negara Yehuda hidup segan mati tak mahu di bawah ancaman dua kuasa besar, Asyur dan Mesir selepas Israel, kerajaan utara Israel dimusnahkan oleh Asyur pada tahun 722 SM. Walaupun Yosia cuba melakukan pembaharuan, namun dia tidak dapat mengubah nasib buruk kemusnahan negara yang bakal menimpa (2 Raj 23:26-27). Yoahas naik takhta selepas kematian raja Yosia (tahun 607 SM). Tiga bulan kemudian, dia ditukar oleh Nekho dan digantikan oleh Yoyakim yang pro-Mesir sehingga Yehuda menjadi jajahan Mesir.
Nebukadnezar telah mewarisi takhta Babel Baharu pada tahun 605 SM. Sebelum itu, dia bergerak ke arah barat dan mengalahkan tentera Mesir di Karkemis. Akibatnya, Babel Baharu menjadi negara yang paling berkuasa pada zaman itu. Dia kemudiannya pergi ke Yerusalem di arah selatan serta memaksa Yoyakim dan raja-raja jiran lain untuk tunduk kepada Babel Baharu. Pada tahun yang sama, bapanya meninggal dunia lalu dia cepat-cepat pulang ke negara itu untuk mendapatkan kuasa kepimpinan serta membawa sekumpulan keturunan diraja, termasuk Daniel, pulang ke istana.
Pada tahun 597 SM, Yoyakim mengkhianati Babel dan pergi bergantung kepada Mesir. Maka Nebukadnezar sekali lagi menghantar tenteranya ke selatan. Yoyakim meninggal dunia pada masa ini dan anaknya, Yoyakhin mewarisi takhta kerajaan. Yoyakhin menghadapi serangan maut oleh tentera Babel tetapi Mesir tidak memberikan bantuan seperti yang diharapkan. Maka Yoyakhin ditawan ke Babel bersama-sama dengan keluarganya, keluarga diraja, pegawai-pegawai, barang-barang perbendaharaan, dan lain-lain. Lebih daripada sepuluh ribu orang elit dan pakar di negara itu seperti tukang dan pandai besi juga ditawan bersama. Negara itu menjadi kosong dalam sekelip mata dan kekuatan nasionalnya merosot dengan kadar yang sangat cepat. Nebukadnezar mencontohi Firaun Mesir, Nekho dengan mengangkat Matanya sebagai raja dan menukar namanya menjadi Zedekia. Matanya ialah paman Yoyakhin, raja boneka.
Zedekia berada pada kedudukan antara pro-Babel dengan pro-Mesir dan berasa teragak-agak. Nabi Yeremia berbuih mulut menasihatinya supaya tidak mengkhianati Babel. Walau bagaimanapun, Zedekia akhirnya masih terpujuk untuk membentuk pakatan dengan Mesir. Akibatnya, dia telah dikepung oleh Nebukadnezar pada tahun 586 SM. Tembok kota itu dibelah, malahan Bait Suci juga dimusnahkan. Dia menyaksikan anak-anaknya disembelih, dan matanya dibutakan. Dia ditawan ke Babel bersama-sama dengan rakyatnya yang ramai. Kerajaan yang ditubuhkan selepas Musa memimpin umat keluar dari Mesir telah lenyap bermula saat ini.
Empayar Babel yang besar maju dengan pesat di bawah pengurusan raja Nebukadnezar. Dia memerintah selama 43 tahun dan sentiasa mengamalkan dasar akal sejengkalnya di persada dunia. Maka tidak hairanlah bahawa Daniel menyifatkan raja Nebukadnezar sebagai “kepala yang dari emas” semasa Daniel memberitahukan makna penglihatan dalam mimpinya. Raja Nebukadnezar merupakan salah seorang raja yang terkenal dalam sejarah. Dia sakit selama tujuh tahun dan meninggal dunia tidak lama selepas kesembuhannya (tahun 562 SM). Anak lelakinya, Ewil-Merodakh (Evil-Merodach) (2 Raj 25:27) menggantikan dia sebagai raja. Dua tahun kemudian (tahun 560 SM), berlakulah pemberontakan di dalam istana dan raja Ewil-Merodakh telah dibunuh. Istana menjadi huru-hara seketika dan akhirnya dirampas oleh Nabonidus, menantu raja Nebukadnezar. Nabodius menjadi raja orang Kasdim yang terakhir di Babel.
Pada masa ini, empayar Babel berada dalam ancaman perpecahan. Hal ini kerana kuasa Empayar Media di utara telah meningkat. Negara-negara jajahan di barat daya dengan Mesir sebagai ketua juga sudah bersedia dan menunggu peluang yang sesuai untuk melepaskan diri. Oleh itu, raja Nabonidus membentuk pakatan dengan Anshan, Empayar Indo-Eropah dalam usaha untuk membendung orang Media. Raja Nabodius sendiri duduk di oasis di Arab Utara untuk mengawal bahagian selatan empayar itu. Raja Nabodius melantik anak sulungnya iaitu raja Belsyazar (Belshazzar) sebagai timbalan raja Babel (tahun 550 SM) untuk menenangkan rakyat Babel dan membendung konspirasi pemberontakan.
Pada tahun yang sama (tahun 550 SM), situasi antarabangsa telah mengalami perubahan yang besar. Raja orang Persia yang baharu, Koresh (Cyrus II the great) menunjukkan kehebatannya buat julung kalinya. Dia menamatkan riwayat kerajaan Media yang menyebabkan Babel gelisah bagai terpijak bara hangat dengan kuasanya sendiri. Hal ini sangat di luar jangkaan. Raja Persia yang baharu ini mengalahkan empayar Media yang diperintahkan oleh datuknya, Astyages. Kemudian, Astyages memberikan laluan kepada cucunya, dan Koresh pun menjadi raja atas Media dan Persia. Bagi Babel, bekas pakatan yang bersama-sama berkuasa ke atas Media kini ternyata menjadi bencana besar di timur yang beransur-ansur menakluki tempat-tempat jajahan di sekitar Babel dari utara, barat, dan selatan.
Bapa saudara merangkap bapa mertua Koresh, Darius (Dan 6:1), yang dikenali dalam sejarah sebagai Ahasyweros (Ahasuerus), telah dilantik sebagai ketua komander pasukan Persia dan Media. Dia terus-menerus mengalahkan tentera Babel. Pada tahun 539 SM, pemberontakan dalaman berlaku di kota Babel. Pemberontak terhadap Belsyazar membuka pintu kota dan memusnahkan Babel dalam sekelip mata dengan mudah sekali bagai naik basuh kaki saja. Beberapa minggu kemudian, Koresh memasuki kota Babel sebagai raja penyelamat semua bangsa dan orang ramai menyambutnya. Kepala yang dari emas pun digantikan dengan dada dan lengan dari perak. Kemudian, Koresh melantik Darius sebagai wakil raja atau timbalan raja atas Babel dan kawasan sekitar sungai Efrat. Darius menikmati kuasa pentadbiran yang sangat tinggi dalam Empayar Persia.
Sejurus selepas Koresh menjadi hegemoni antarabangsa yang baharu, sekumpulan orang Yehuda yang tersebar dalam kalangan bangsa-bangsa asing kembali ke Palestina menurut ketetapan Tuhan. Mereka kembali ke kampung halaman mereka iaitu tempat mereka dibesarkan dan memulakan kerja membina semula Bait Suci. Daniel sudah sangat tua pada masa ini. Maka kerjanya juga nampaknya telah sampai ke penghujungnya pada masa awal pemerintahan Koresh.
C. NUBUAT-NUBUAT YANG TELAH DIGENAPI SEBAGAI SEJARAH DALAM KITAB DANIEL
Walaupun kerja Daniel telah tamat, namun nubuatnya terus berlanjutan dalam perkembangan sejarah pada hari kemudian. Pada masa ini, nubuatnya tertumpu pada perubahan keadaan di Timur Tengah dan Timur Dekat. Nubuatnya khasnya fokus pada peristiwa yang berlaku antara dinasti Ptolemais dengan dinasti Seleukia yang berkaitan dengan Palestina.
Apabila empayar yang dibina oleh Koresh berkembang ke Mesir, kuasa negara mencapai kemuncaknya di bawah pengurusan bijak Darius II (Ezr 4:24) dan bahkan meluas sampai ke Mesir. Kira-kira dua abad kemudian, raja Makedonia, Philip menyatukan kota-kota Yunani dan menubuhkan hegemoni di Yunani. Anak lelakinya, Alexander ialah seorang legenda. Dia mewarisi asas yang ditinggalkan oleh bapanya pada usia 20 tahun. Pada tahun 334 SM, Alexander mengetuai tenteranya dan mengalahkan satu pasukan tentera Persia di Troas (Kis 16:8, sudut barat laut Turki hari ini) lalu memulakan perjalanan penaklukannya. Dia mula-mula bergerak ke arah selatan untuk menakluki tanah jajahan Persia di pesisir pantai Laut Mediterania dan akhirnya menundukkan Persia. Dia telah menubuhkan sebuah empayar besar yang merangkumi Eropah, Asia dan Afrika dalam tempoh sepuluh tahun sahaja.
Alexander masih tidak berpuas hati setelah menguasai Persia. Dia terus meneroka sempadan empayarnya ke arah timur. Di samping itu, dia juga ingin menghapuskan sisa-sisa kuasa Persia, dan sempadan itu sampai lebih jauh ke sebelah barat Sungai Indus (kini Pakistan barat). Tetapi ketika dia kembali ke kota Babel, dia mengalami demam kerana terlalu banyak minum. Dia meninggal dunia ketika berumur 33 tahun (tahun 325 SM) dan telah memerintah selama 12 tahun 8 bulan.
Kerajaan Yunani yang ditubuhkan oleh Alexander the Great terbahagi empat sebelum dapat dipertahankan. Kerajaan ini dibahagikan oleh empat orang jeneral Alexander. Nubuat Daniel tertumpu pada Seleukia (Seleucus) yang memerintah Siria dan Babel serta Ptolemais (Ptolemy) yang memerintah Mesir dan Palestina. Seleukia dan Ptolemais ialah raja negeri Utara dan raja negeri Selatan dalam nubuat. Ptolemais, kerajaan Selatan dan Seleukia, kerajaan Utara bertempur di Palestina selama beberapa abad. Palestina, tempat tinggal asal umat pilihan, merupakan wilayah dinasti Ptolemais, Mesir. Selepas pertempuran sengit, raja negeri Utara, Antiochus III mengalahkan Scopas, jeneral Ptolemais, kerajaan Selatan, dan mengubah wilayah yang dipertahankan selama lebih daripada seratus tahun oleh kerajaan Utara dan kerajaan Selatan.
Selepas itu, fokus kitab Daniel tertumpu pada raja negeri Utara, Antiochus IV. Dia pada asalnya seorang putera raja yang dihantar ke Rom sebagai tebusan. Namun selepas pulang ke negaranya, dia menggunakan alasan bahawa pegawai dalaman kerajaan membunuh abangnya lalu merampas takhta yang pada asalnya menjadi milik anak saudaranya. Dia merampas kuasa kepimpinan dengan tipu helah. Selepas itu, dia mula bersungguh-sungguh mempromosikan dasar Helenisasi. Dia berusaha menggunakan budaya yang kuat untuk mempengaruhi wilayah jajahannya dengan budaya yang berbeza, dan sudah tentu orang Yahudi juga tidak terkecuali.
Antiochus IV menerima rasuah daripada imam yang bersungguh-sungguh mempromosikan budaya Yunani (Helenisasi) dan menukar calon imam besar dengan sewenang-wenangnya. Selepas itu, dia melancarkan perang terhadap pasukan Ptolemais dan menang dengan tipu helah lalu menjadikan Mesir Hulu (Upper Egypt) sebagai wilayah jajahan. Dia terus menggunakan tipu helah untuk menimbulkan pergaduhan dalaman di Mesir dan cuba menahan jerat di pergentingan tetapi gagal. Setelah Antiochus IV gagal menduduki Mesir, dia membawa pasukannya pulang ke negaranya. Terdapat khabar angin di Yerusalem bahawa dia mati di Mesir dan berlakulah pemberontakan. Oleh itu, apabila dia melalui Yerusalem, dia membunuh ramai orang Yahudi dan memasuki Bait Suci serta merampas perkakas-perkakas dan segala barang berharga. Kemudian, apabila dia mengetahui bahawa sebilangan besar orang Yahudi tidak berpuas hati dengan dasar Helenisasinya, dia membiarkan tenteranya bermaharajalela melakukan rogol, pembunuhan, dan rampasan di Yerusalem. Demikianlah bermulanya malapetaka ke atas umat pilihan.
Pada tahun 167 SM, dia memerintahkan pemansuhan semua upacara dan persembahan korban di Bait Suci, pemusnahan semua kitab Taurat, larangan hari Sabat dan perayaan lain, pemansuhan peraturan makanan bersih dan larangan sunat terhadap bayi. Pada bulan Disember tahun yang sama, dia menggantikan mezbah di Bait Suci dengan mezbah Zeus. Dia bahkan mempersembahkan babi kepada Zeus di atas mezbah ini, melumuri darah babi pada perkakas dan tabir Bait Suci, mendirikan patung Zeus, dan menamakan semula Bait Suci sebagai Kuil Zeus. Mezbah agama asing juga didirikan di merata tempat dan orang Yahudi diperintahkan untuk mempersembahkan korban kepada berhala. Keluarga Maccabeus dengan tegas menolak untuk mempersembahkan korban kepada Zeus. Oleh itu, mereka menggerakkan para imam dan rakyat jelata untuk menentang tentera dari utara, dan kemudian membentuk revolusi nasional menentang Antiochus IV. Gerakan ini memberikan keseimbangan ke atas penganiayaan berskala besar dan dipanggil Revolusi Maccabean (Maccabean Revolt) dalam sejarah.
Pada masa pemerintahannya, rakyat Yehuda sangat menderita dan dia cuba sedaya upaya untuk menghancurkan skala iman kepercayaan yang telah diamalkan sejak sekian lama. Dalam penglihatan yang dilihatnya, tiga penglihatan menjadikan “tanduk kecil” ini sebagai fokus penglihatan yang sangat penting manakala penglihatan tentang tujuh puluh kali tujuh tidak menyebutkan “tanduk kecil” ini secara khusus. Antagonis yang dinubuatkan ini melompat jauh ke bahagian ketiga nubuat Daniel, iaitu paksi masa yang masih belum digenapi sehingga kini. Plot yang sama dengan pelakon yang berbeza akan muncul satu demi satu pada masa hadapan.
Kitab Daniel mengandungi nubuat abad ketiga SM dan abad kedua SM, malah mencatatkan banyak perincian satu demi satu. Hal ini menyebabkan ramai orang berfikir bahawa kitab ini ditulis oleh penulis yang tidak dikenali pada abad kedua SM atas nama Daniel, dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak kewibawaan. Tetapi kita yakin bahawa masa tidak mempunyai makna pada sudut pandangan Tuhan. Tuhan mendedahkan sebahagian daripada hasil masa depan supaya manusia mempercayai penguasaan-Nya dan juga membantu kita mempercayai kedaulatan Tuhan ke atas dunia dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.
D. RINGKASAN STRUKTUR DAN ISI KANDUNGAN KITAB DANIEL
Kitab Daniel pada dasarnya mempunyai struktur yang sangat jelas dan urutan masa yang jelas. Struktur kitab Daniel dari segi isi kandungan boleh dibahagikan kepada dua bahagian:
- Enam catatan tentang peristiwa bersejarah (fasal 1-6)
Fasal 1-6 merekodkan enam peristiwa. Protagonis Daniel muncul dalam kata ganti nama diri ketiga. Separuh pertama kitab (fasal 1-6) menyerlahkan bahawa empayar yang paling berkuasa pun tidak terlepas daripada skop kedaulatan Tuhan. Hal ini memberikan suntikan semangat kepada umat pilihan pada masa itu yang telah kehilangan perlindungan aparat negeri. Tuhan ialah jaminan terbaik bagi umat pilihan yang dikelilingi oleh serigala. Dalam pengalaman hidup Daniel yang kaya, ternyata kuasa dan kasih Tuhan melangkaui ruang dan masa. Hal ini kerana dia disebut “engkau yang dikasihi” (Dan 10:19) di dalam istana – satu persekitaran yang penuh dengan kekejaman. Oleh itu, Daniel menuliskan kisahnya untuk membangun umat pilihan yang berada di negara asing: berusaha untuk memperbaiki kehidupan apabila persekitaran mengizinka; melakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan mereka yang berkuasa apabila hati nurani mengizinkan; tetap berpegang teguh pada hukum Taurat, memupuk tabiat ibadat yang tetap, dan berbangga dengan tradisi keagamaan bangsa sendiri walaupun ketika menghadapi situasi yang bahaya; perhatikan penglihatan dan wahyu yang diterima oleh bangsa sendiri; melaksanakan kewajipan sendiri dan tidak berebut nama.
2. Empat catatan tentang nubuat dan wahyu (fasal 7-12)
Bahagian kedua kitab ini (fasal 7-12) adalah berkaitan dengan penglihatan Daniel, yang diterangkan dalam kata ganti nama diri pertama. Isi kandungannya merekodkan kisah tentang empat penglihatan: empat binatang (fasal 7), dua binatang (fasal 8), tujuh puluh kali tujuh masa (fasal 9), dan pertempuran raja-raja (fasal 10-12). Penglihatan-penglihatan yang tercatat dalam kitab ini bukan sahaja sukar untuk difahami, tetapi terdapat banyak perbezaan pendapat dalam kalangan para sarjana Alkitab sehingga menyebabkan ramai pembaca Alkitab berhenti membaca. Walau bagaimanapun, secara umumnya: kitab ini bukan sahaja menubuatkan penggenapan janji-janji tentang Mesias dan keturunan Daud, tetapi juga melihat “hari-hari terakhir” dunia. Pandangan jauh ini adalah sangat indah. Walaupun umat pilihan pasti perlu melalui kegelapan sebelum fajar dan melalui penghakiman yang terakhir dan terbesar, tetapi hal ini juga memberikan pengakhiran yang kekal bagi masa depan manusia – hidup yang kekal atau hukuman yang kekal.
- Daniel dalam zaman raja Nebukadnezar
Fasal 1 mencatatkan Nebukadnezar menyerang kerajaan Yehuda pada tahun ketiga pemerintahan Yoyakim, raja Yehuda. Dia membawa sekumpulan orang muda yang cemerlang ke Babel untuk latihan dan kemudian bekerja di dalam istana. Dalam kalangan orang-orang muda ini, Daniel dan tiga orang temannya berkeras untuk menolak santapan raja semasa latihan mereka di Babel supaya mereka tidak menajiskan diri. Mereka juga menolak barang-barang yang telah dipersembahkan kepada berhala atau yang najis. Walaupun hanya makan sayur dan minum air, namun tubuh mereka lebih kuat daripada orang-orang muda yang lain. Mereka juga mempunyai hikmat dan kepandaian yang melebihi orang lain yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Orang-orang muda ini tetap tidak ternoda walaupun berada di negara asing.
Fasal 2 mencatatkan raja Nebukadnezar mendapat mimpi yang aneh. Dia berpendapat bahawa mimpi itu pasti ada maknanya tetapi tidak dapat mengingati mimpi itu. Tidak ada orang berilmu dalam kerajaan Babel yang dapat memberitahu mimpinya, apatah lagi mentafsirkan mimpi itu. Maka dia menitahkan untuk melenyapkan semua orang bijaksana dalam kerajaan itu. Pada masa ini, Daniel dan tiga orang temannya bersatu hati dalam doa. Doa itu didengar oleh Tuhan sehingga Daniel bukan sahaja dapat mengetahui isi kandungan mimpi itu, tetapi juga dapat mentafsirkan mimpi itu dengan tepat dan menghindari pembunuhan beramai-ramai.
Daniel menunjukkan kepada raja bahawa dia telah bermimpi tentang sebuah patung yang amat besar. Empat bahagian patung yang amat besar itu diperbuat daripada bahan yang berbeza dan menunjukkan bahawa dunia akan dikuasai secara berturut-turut oleh empat empayar. Kemudian, patung yang amat besar itu ditimpa oleh sebuah batu tanpa perbuatan tangan manusia dan kerajaan Tuhan yang kekal pun bermula. Penglihatan ini bertujuan untuk menyatakan pelan tindakan arah aliran kuasa dunia pada masa hadapan dan menunjukkan bahawa Tuhanlah pemimpin sejarah umat manusia. Penglihatan ini juga mengisytiharkan bahawa kerajaan manusia hanyalah untuk jangka pendek dan bahawa kerajaan Tuhan ialah kesudahan sejarah yang terakhir. Penjelasan Daniel amat mengagumkan raja. Daniel bukan sahaja menyatakan dan memuliakan Tuhan benar yang menyingkapkan rahsia dalam kerajaan Babel, malah raja juga menaikkan pangkat Daniel dan tiga orang temannya di negara itu.
Fasal 3 menerangkan Nebukadnezar membuat sebuah patung emas dan menitahkan orang dari seluruh negara untuk sujud menyembah patung emas itu. Orang yang melanggar titah ini akan dibunuh. Tiga orang teman Daniel – Sadrakh, Mesakh dan Abednego, menghadapi ancaman maut jika mereka tidak mahu sujud menyembah patung emas itu. Namun mereka tetap tidak berganjak dan tetap mempertahankan prinsip iman kepercayaan asal mereka. Bagi mereka, jalan mati lagi dicuba, inikan pula jalan binasa. Para pegawai Babel yang pada awalnya sudah mencemburui mereka mengambil kesempatan untuk memberitahu raja tentang hal ini. Raja yang menghargai bakat ini memberi mereka peluang sekali lagi untuk sujud menyembah patung emas. Namun mereka tetap menolak dengan iman “Jika Allah kami yang kami puja sanggup melepaskan kami”, malahan “tetapi seandainya tidak”. Oleh itu, raja menjadi berang bagai beruras katang-katang. Raja menitahkan supaya mereka bertiga dicampakkan ke dalam perapian yang menyala-nyala.
Walau bagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak melecur, malah ada seorang yang rupanya seperti anak dewa berjalan bersama-sama dengan mereka di dalam api. Raja berasa terkejut lalu segera membebaskan mereka. Raja memuji Tuhan yang disembah oleh mereka dan memberikan kedudukan tinggi kepada mereka dalam kerajaan Babel. Mereka bertiga memperlakukan Tuhan dengan setia, dan Tuhan melindungi mereka sesuai dengan kesetiaan-Nya.
Fasal keempat ialah memoir raja Nebukadnezar. Raja mengeluarkan titah kepada seluruh negeri untuk memuliakan Tuhan. Dia teringat kembali bahawa dia melihat sebatang pohon yang tinggi dan indah dalam mimpinya. Seorang penjaga, seorang kudus mengisytiharkan untuk menebang pohon itu. Akibatnya, daun-daun dan buah-buah pohon itu berhamburan, dan binatang-binatang di bawah pohon itu melarikan diri. Namun tunggul pohon itu, iaitu sisa yang tinggal terikat. Maka raja meminta Daniel untuk menerangkan maksud mimpi itu. Daniel menegaskan bahawa pohon besar ini melambangkan raja Nebukadnezar. Raja akan direndahkan seperti binatang kerana dia tinggi hati dan keras kepala. Dia akan mendapat semula kuasa kerajaannya apabila dia merendahkan diri dan bersedia untuk tunduk pada kedaulatan Tuhan.
Kemudian, nubuat Daniel telah digenapi sepenuhnya. Raja Nebukadnezar telah dihukum oleh Tuhan dan menjadi gila selama tujuh tahun kerana dia mengagung-agungkan kota Babel yang dibinanya. Tuhan memulihkan kerajaannya setelah dia bertaubat daripada kejahilannya. Dia berseru kepada dunia supaya memberikan segala kemuliaan kepada Tuhan. Hal ini sekali lagi membuktikan bahawa Tuhan berkuasa atas dunia, bahkan Babel yang paling kuat juga tidak terkecuali.
- Daniel dalam zaman kekacauan istana Babel
Raja Nebukadnezar meninggal dunia tidak lama selepas dia sembuh daripada penyakitnya (clinical lycanthropy) (tahun 562 SM). Dalam kekacauan istana yang disebutkan sebelum ini, Nabonidus mendapat takhta dan menjadi raja orang Kasdim, Babel yang terakhir. Anak sulungnya, watak utama dalam fasal 5 – raja Belsyazar (Belshazzar) menjadi timbalan raja Babel (tahun 550 SM).
Pada masa ini, kita melangkau masa dan ruang buat sementara waktu ke fasal 7, iaitu pada suatu hari pada tahun Raja Belsyazar naik takhta. Daniel mendapat satu mimpi luar biasa yang berkaitan dengan masa depan umat pilihan. Mimpi ini juga mendedahkan bahawa dia memikirkan masa depan umat pilihan sepanjang hari walaupun dia menyembunyikan dirinya daripada pergolakan kuasa. Istana Babel yang huru-hara seolah-olah memberikan petanda kepada umat pilihan untuk melepaskan diri daripada singa ini. Tanpa disangka-sangka, Nabonidus telah mengawal keadaan keseluruhan dan menstabilkan keadaan huru-hara ini. Dia juga menempatkan anaknya, Belsyazar di ibu kota dengan lancarnya. Maka tidak hairanlah bahawa Daniel sangat prihatin tentang masa depan umat pilihan.
Daniel melihat empat binatang besar naik dari dalam laut. Terdapat sepuluh tanduk pada kepala binatang keempat yang tidak bernama itu. Kemudian, satu tanduk lain yang kecil tumbuh dan mencabut tiga tanduk itu. Empat binatang melambangkan empat empayar yang menguasai dunia manakala tanduk kecil melambangkan seorang raja yang akan menyeksa umat pilihan, dan umat pilihan akan berada dalam tangannya selama satu masa dan dua masa dan setengah masa. Daniel kemudian melihat Tuhan duduk di atas takhta di langit untuk menjalankan pengadilan, membinasakan binatang keempat dan tanduk kecil itu, dan memberikan kerajaan yang kekal kepada “seorang seperti anak manusia”. Fasal ini memperluas huraian fasal 2 dengan menunjukkan bahawa binatang keempat mempunyai “sepuluh tanduk” dan “tanduk kecil”, dan bahawa “tanduk kecil” akan menganiaya umat pilihan, tetapi umat pilihan yang teraniaya akhirnya akan mendapat kerajaan bersama-sama dengan “seorang seperti anak manusia” itu.
Fasal 8 menerangkan bahawa Daniel mendapat satu lagi penglihatan selepas tiga tahun. Dia melihat seekor domba jantan yang gagah yang menanduk ke barat, ke utara dan ke selatan. Namun domba jantan ini dihempas oleh seekor kambing jantan yang bertanduk besar. Tanduk besar itu tiba-tiba patah ketika kambing jantan itu sampai pada puncak kuasanya. Kemudian, tumbuhlah empat tanduk dan satu tanduk kecil tumbuh dari salah satu daripada empat tanduk itu. Tanduk kecil ini menghujat Tuhan dan menganiaya orang-orang kudus. Malaikat memberitahu Daniel maksud penglihatan ini: domba jantan merujuk kepada Media-Persia, kambing jantan merujuk kepada Empayar Yunani, tanduk besar merujuk kepada Alexander, empat tanduk merujuk kepada empat orang jeneralnya, dan tanduk kecil merujuk kepada Antioch IV, raja Utara, dinasti Seleukia yang akan menganiaya orang Yahudi selama 2,300 hari.
Fasal 5 mencatatkan bahawa Belsyazar, timbalan raja Babel mengadakan satu perjamuan yang besar untuk para pembesar pada tahun kesebelas pemerintahannya. Dalam kemabukan anggur, dia menitahkan orang membawa perkakas yang diambil oleh Nebukadnezar dari dalam Bait Suci di Yerusalem untuk digunakan dalam perjamuan itu. Tindakannya menimbulkan amarah Tuhan. Tiba-tiba, jari-jari misteri muncul dan menulis di kapur dinding istana raja. Raja Belsyazar dan seribu orang pembesarnya sangat gelisah dan memanggil semua orang bijaksana di negara itu untuk memberitahukan makna tulisan itu, tetapi semua orang bijaksana itu tidak dapat melakukannya. Akhirnya, permaisuri mengesyorkan Daniel kepada raja. Daniel mengecam kesalahan raja secara terus-terang serta menunjukkan bahawa tulisan di dinding mengumumkan kemusnahan empayar Babel, penghakiman Tuhan akan segera datang, dan Babel akan digantikan oleh Media-Persia.
- Daniel dalam zaman Persia-Media
Fasal 9 menerangkan penglihatan yang dilihat oleh Daniel semasa tahun pertama pemerintahan Darius, iaitu tahun berlakunya perubahan kerajaan. Pada masa itu, Daniel telah membaca kitab Yeremia dan mengetahui bahawa jumlah tahun timbunan Yerusalem menurut firman Tuhan ialah tujuh puluh tahun. Dia mengaku dosa dan berdoa kepada Tuhan. Dia meminta agar Tuhan memenuhi nubuat-Nya yang disampaikan melalui Yeremia dengan kasih dan belas kasihan-Nya, iaitu memimpin orang Yahudi pulang ke tanah air mereka dan memulihkan kerajaan Israel setelah tempoh tujuh puluh tahun itu penuh. Kemudian, malaikat Gabriel memberitahu Daniel maksud sebenar tujuh puluh tahun itu. Ternyata tujuh puluh tahun ialah tujuh puluh kali tujuh masa, dan tujuh puluh kali tujuh terbahagi kepada tiga peringkat:
- Pertama, tempoh persediaan tujuh kali tujuh masa: dari masa perintah dikeluarkan untuk membangun kembali Yerusalem.
- Kedua,tempoh penyediaan enam puluh dua kali tujuh masa: dari masa pembangunan kembali kota Yerusalem hingga masa kedatangan seorang yang diurapi.
- Ketiga, tempoh kritikal tujuh masaterakhir: Pasti ada kejadian kota kudus dan tembok kudus dimusnahkan, peperangan dan pemusnahan. Dalam tempoh ini, “Raja itu akan membuat perjanjian itu menjadi berat bagi banyak orang selama satu kali tujuh masa. Pada pertengahan tujuh masa itu ia akan menghentikan korban sembelihan dan korban santapan; dan di atas sayap kekejian akan datang yang membinasakan, sampai pemusnahan yang telah ditetapkan menimpa yang membinasakan itu.”
Fasal 6 mencatatkan bahawa Daniel yang telah lanjut usia sangat dihargai oleh Darius kerana prestasinya yang cemerlang. Hal ini menimbulkan rasa cemburu rakan-rakannya dan mereka cuba untuk mencelakakannya. Mereka menggalakkan raja Darius untuk mengeluarkan perintah sementara yang melarang orang menyampaikan permohonan kepada salah satu dewa atau manusia selama 30 hari, kecuali kepada raja. Daniel tetap berdoa tiga kali sehari mengikut amalan orang Yahudi sesuai dengan prinsip iman kepercayaannya. Dia melanggar hukum iman kepercayaan dan dilemparkan ke dalam gua singa. Namun, dia diselamatkan oleh Tuhan. Tuhan mengutus malaikat-Nya untuk mengatupkan mulut singa supaya Daniel terselamat walaupun dia berada dalam kalangan kumpulan singa yang kelaparan. Akhirnya, orang-orang yang menuduhnya mati diterkam singa. Darius juga memerintahkan orang ramai untuk menghormati Tuhan Daniel. Daniel setia kepada Tuhan semasa dia muda dan masih mengekalkan kesetiaannya yang tidak berubah kepada Tuhan setelah dia tua. Dia menjadi teladan yang harus dicontohi oleh pembaca pada masa kemudian.
Pasal 10-12 menerangkan penglihatan terakhir dalam kitab Daniel. Daniel berpuasa dan berdoa selama 21 hari pada tahun ketiga pemerintahan Koresh, meminta Tuhan membenarkan dia memahami perkara masa depan. Apabila dia mula berdoa, Tuhan mengutus malaikat untuk menyampaikan mesej kepadanya, tetapi malaikat itu telah dihalang oleh pemimpin kerajaan orang Persia selama 21 hari. Malaikat yang menyampaikan mesej itu memberitahu Daniel secara terperinci tentang percanggahan dan konflik antara Kerajaan Utara dengan Kerajaan Selatan selepas kematian Alexander. Tumpuan difokuskan pada kebangkitan Antiochus IV, penganiayaan kejamnya terhadap orang-orang kudus, dan pengakhirannya yang tragis. Walaupun ada sebilangan orang Yahudi melepaskan iman kepercayaan mereka kerana penganiayaan Antiochus IV, namun masih terdapat sekumpulan orang Yahudi yang tetap setia kepada Tuhan sehingga mati, bahkan mati syahid demi iman kepercayaan mereka. Mereka juga menggalakkan dan mengajar rakan senegara mereka untuk setia kepada Tuhan sehingga mati.
Kemudian, malaikat mengalihkan tumpuan pada tanduk kecil yang terakhir, anti-Kristus yang paling hebat. Dia berusaha sedaya upaya untuk meninggikan dirinya dan memusuhi Tuhan. Kemudian, raja Selatan dan raja Utara bergabung untuk menyerangnya. Namun dia akan menjangkau negeri-negeri serta memusnahkan dan membinasakan banyak orang. Tetapi kemudian dia akan menemui ajalnya dan tidak ada seorang pun yang menolongnya. Kitab Daniel memperkenalkan konsep hidup yang kekal pada penghujung kitab. Orang yang benar-benar mengenal Tuhan akan dibangkitkan dan mewarisi hidup yang kekal walaupun mati syahid; manakala orang jahat yang tidak setia kepada Tuhan akan mengalami kehinaan dan kengerian yang kekal. Malaikat juga berjanji bahawa Daniel akan bangkit pada kesudahan zaman dan mendapat bahagian yang telah disediakan oleh Tuhan untuknya.
- Nubuat-nubuat yang belum digenapi dalam kitab Daniel
Akhir sekali, kita menyusun paksi masa bahagian ketiga yang dinubuatkan dalam kitab Daniel sebelum ini, iaitu nubuat-nubuat yang belum digenapi dalam kitab Daniel. Pertama, penjelasan tentang patung emas yang dibuat oleh Nebukadnezar: kepala emas (Babel) → lengan dan dada perak (Persia, Media) → perut tembaga (Yunani) → paha besi (Rom) → kaki separuh besi dan separuh tanah liat (bangsa-bangsa dunia yang berpecah-belah dan tidak boleh bercampur sebelum kedatangan Kristus) → batu menimpa kaki (kerajaan rohani yang dibangkitkan oleh Tuhan sebelum hari kiamat) → gunung (kerajaan Tuhan yang kekal). Antaranya, bahagian yang belum digenapi dalam kitab Daniel ialah zaman separuh besi dan separuh tanah liat, dan zaman batu terungkit lepas dari gunung. Zaman separuh besi dan separuh tanah liat dilihat dari perspektif situasi antarabangsa, manakala zaman batu terungkit lepas dari gunung dilihat dari perspektif perkembangan gereja benar sehingga kedatangan kembali Kristus.
Empat binatang yang dilihat oleh Daniel dalam fasal 7: singa yang mempunyai sayap burung rajawali (Babel) → beruang yang berdiri pada sisinya yang sebelah yang memakan daging dengan tulang rusuk masih ada di dalam mulutnya di antara giginya (Media dan Persia) → tutul dengan empat sayap burung (Yunani) → dan binatang tanpa nama yang menakutkan dan tidak berperikemanusiaan (diwakili oleh Rom) → sepuluh tanduk (negara-negara yang terpecah daripada dasar Rom) → tanduk kecil (anti-Kristus yang terakhir) → takhta-takhta diletakkan dan kedatangan Anak Manusia (kedatangan kembali Kristus). Penglihatan dalam fasal ini pada dasarnya saling berkaitan dengan fasal 2, tetapi ditambahkan dengan situasi kemunculan anti-Kristus dan penganiayaan sementara ke atas orang-orang kudus pada akhir zaman. Bahagian ini juga merupakan bahagian yang belum direalisasikan.
Dalam fasal 11, Daniel menjelaskan secara terperinci pasang surut raja-raja Utara dan Selatan serta kisah Antiochus IV. Selepas 11:36, Daniel telah menjelaskan perincian anti-Kristus akhir zaman dengan lebih jelas, termasuk: keangkuhannya, nubuat perang pada akhir zaman, umat pilihan akan menghadapi waktu kesesakan yang besar yang belum pernah terjadi sebelumnya, dan sebagainya. Bahagian-bahagian ini memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang keadaan sebelum kedatangan kembali Kristus dan juga menerangkan interaksi antara anti-Kristus ini dengan bangsa-bangsa lain pada masa kelak.
E. CIRI-CIRI KITAB DANIEL
Pada dasarnya, kitab Daniel ialah kitab dwibahasa. 1:1 – 2:4 ditulis dalam bahasa Ibrani manakala 2:4 hingga fasal 7 ditulis dalam bahasa Aram yang digunakan pada masa itu. Fasal 8 dan seterusnya ditulis kembali dalam bahasa Ibrani. Mengapakah penulis berbuat demikian? Penjelasan yang paling munasabah adalah bahawa sasaran pembaca yang ditetapkan oleh penulis adalah berbeza. Selain memberitahukan mesej kitab ini kepada umat pilihan yang tersebar dalam kalangan bangsa-bangsa, Daniel juga menggunakan bahasa Aram untuk memberitahu dunia tentang mesej yang berkaitan dengan seluruh umat manusia. Hal ini kerana isi kandungan ini amat berkait rapat dengan umat manusia.
- Kaedah penceritaan bersilang dan penyeimbangan khas
Daniel sengaja menyusun enam fasal yang ditulis dalam bahasa Aram dalam susunan yang bersilang dan seimbang. Sebagai contoh: fasal 2 dan 7 membincangkan empat buah negara; fasal 3 dan 6 menggambarkan orang yang setia kepada Tuhan berada dalam penderitaan (perapian dan gua singa) dan memperoleh penyelamatan yang menakjubkan; fasal 4 dan 5 mencatatkan raja dihukum oleh Tuhan kerana tinggi hati (Nebukadnezar mempunyai peluang untuk mendapatkan semula takhta kerajaan tetapi Belsyazar tidak ).
Fasal 4 ← Tuhan dan raja bukan Yahudi → Fasal 5 |
Fasal 3 ←Tuhan campur tangan dalam penganiayaan kuasa besar dan menyelamatkan umat pilihan yang setia → Fasal 6 |
Fasal 2 ← Tuhan menguasai empat kuasa hegemoni dunia pada zaman itu → Fasal 7 |
Fasal 4 dan 5 merupakan pusat bagi fasal-fasal ini. Dua fasal ini terutamanya ingin membiarkan dunia tahu penguasa berdaulat dunia yang sebenar lalu kemudian meminta semua orang, termasuk raja-raja bangsa asing, menghormati kedaulatan-Nya dan jangan menghujat atau menyerang Tuhan dengan menganggap dirinya hebat. Jadi dalam fasal 4, Nebukadnezar belajar untuk merendahkan hati di bawah kedaulatan Tuhan dan dia mendapat kembali takhtanya. Raja Belsyazar pula tinggi hati lalu negaranya musnah.
Fasal 3 dan 6 menunjukkan bahawa umat pilihan Tuhan tersepit dalam kuasa besar dan raja asing. Gambaran ini adalah seperti masuk sarang harimau. Bahagian depan ialah sekumpulan kecil tiga orang; sementara bahagian belakang ialah seorang lelaki yang keseorangan. Tuhan campur tangan dalam kedaulatan raja dalam melaksanakan hukuman mati. Tuhan mahu supaya umat pilihan tidak takut dengan keadaan mereka yang tidak berkuasa. Di samping itu, Dia juga mahu memaklumkan dunia bahawa hak untuk hidup bukan dalam tangan raja, tetapi dalam tangan Tuhan, biarpun orang atau bangsa itu tidak ada kuasa.
Fasal 2 dan 7 membentangkan situasi Tuhan menguasai seluruh dunia. Perkara ini tidak dapat dihalang oleh sesiapa pun. Akhirnya, kerajaan Tuhanlah yang akan memusnahkan kerajaan-kerajaan di dunia, dan kerajaan yang diperintah secara langsung oleh Tuhan akan kekal selama-lamanya. Ada tambahan sebahagian mesej dalam fasal 7, iaitu bahawa kuasa jahat yang menentang Tuhan akan berleluasa untuk sementara waktu sebelum kemunculan kerajaan yang kekal, dan umat pilihan Tuhan juga akan terjejas untuk sementara waktu. Tetapi sebagai kesinambungan daripada mesej dalam lima fasal sebelumnya, segala kedaulatan terletak pada Tuhan, dan umat pilihan Tuhan tidak perlu berasa takut. Susunan seperti ini bukan saja teratur, tetapi juga cenderung untuk meningkatkan kuasa dan kedalaman teks. Begitu juga dengan pembangunan iman. Tuhan tidak mungkin memberikan beban yang berlebihan sekaligus kepada orang yang dikasihi-Nya. Tuhan membenarkan peningkatan tekanan penganiayaan, namun Dia juga melindungi mereka yang bersandar kepada-Nya dengan kasih karunia yang lebih banyak.
2. Kaedah penceritaan berperingkat-peringkat
Sifat progresif Alkitab merupakan ciri utama pernyataan / wahyu Tuhan. Prasyarat penyampaian secara progresif ialah tema itu mestilah koheren dan konsisten. Berdasarkan prinsip pernyataan / wahyu Tuhan, Tuhan juga mendedahkan rancangan-Nya kepada Daniel secara berperingkat.
Sebagai contoh, penglihatan patung besar dalam fasal 2 adalah untuk menyatakan garis besar struktur penguasaan Tuhan di dunia melalui raja Nebukadnezar. Emas, perak, tembaga, besi, separuh tanah liat dan separuh besi digunakan untuk menunjukkan bahawa daya pengaruh bagi kuasa-kuasa yang memimpin dunia dalam pelbagai era akan merosot secara beransur-ansur, dan akhirnya Kerajaan Tuhan akan menamatkannya.
Penglihatan tentang patung besar oleh Nebukadnezar dalam fasal 2 |
|
A. Kerajaan manusia |
B. Kerajaan Tuhan |
Emas → perak → tembaga → besi → separuh tanah liat, separuh besi |
Batu besar dan gunung |
Penglihatan dalam fasal 7 diteruskan oleh Daniel untuk memberikan lebih banyak tambahan pada fasal 2. Hal ini kerana dua bahagian A dan B di atas diberikan penambahan yang lebih terperinci dengan ciri-ciri kerajaan manusia di Bahagian A diperincikan. Walaupun pengaruhnya beransur-ansur merosot, namun kerajaan ini menjadi semakin ganas. Di samping itu, kuasa manusia akhirnya akan campur tangan secara paksa dalam lingkungan iman kepercayaan orang-orang kudus dalam usaha untuk mengubah niat asal mereka. Bahagian B, Kerajaan Tuhan juga diterangkan dengan lebih jelas lagi. Tuhan akhirnya akan menamatkan kerajaan manusia dan menubuhkan sebuah kerajaan rohani yang sempurna.
Penglihatan tentang empat binatang oleh Daniel dalam fasal 7 |
||
A1. Kerajaan manusia |
A2. Kerajaan manusia dan umat pilihan |
B. Kerajaan Tuhan |
Singa yang mempunyai sayap burung rajawali → beruang yang berdiri pada sisinya yang sebelah yang memakan daging dengan tulang rusuk masih ada di dalam mulutnya di antara giginya → tutul dengan empat sayap burung → dan binatang tanpa nama yang menakutkan dan tidak berperikemanusiaan → sepuluh tanduk |
Tanduk kecil menindas orang-orang kudus |
Takhta-takhta diletakkan, kedatangan Anak Manusia |
Fasal 8 mengenalpasti kerajaan perak dan kerajaan tembaga, iaitu zaman beruang dan zaman tutul yang akan datang. Mukadimah yang serupa dengan bahagian A2 akan berlaku pada masa kelak sehingga peranan tanduk kecil berulang kali digenapi dalam sejarah manusia.
Penglihatan tentang empat binatang oleh Daniel dalam fasal 7 |
||
A1. Kerajaan manusia |
A2. Kerajaan manusia dan umat pilihan |
B. Kerajaan Tuhan |
Singa yang mempunyai sayap burung rajawali → beruang yang berdiri pada sisinya yang sebelah yang memakan daging dengan tulang rusuk masih ada di dalam mulutnya di antara giginya → tutul dengan empat sayap burung → dan binatang tanpa nama yang menakutkan dan tidak berperikemanusiaan → sepuluh tanduk |
Tanduk kecil menindas orang-orang kudus |
Takhta-takhta diletakkan, kedatangan Anak Manusia |
Penglihatan tentang domba jantan dan kambing jantan oleh Daniel dalam fasal 8 |
||
A1. Kerajaan manusia |
A2. Kerajaan manusia dan umat pilihan |
B. Kerajaan Tuhan |
b. Domba jantan → c. kambing jantan (tanduk besar → empat tanduk → tanduk kecil menganiaya orang Yahudi pada masa itu) |
Tanduk kecil akhir zaman |
|
Penglihatan dalam fasal 11 dan 12 menyatakan bahawa domba jantan A.1.b yang diterangkan dalam jadual di atas ialah Persia, dan tanduk besar pada kambing jantan A.1.c diterangkan dengan lebih terperinci. Kemudian, kebangkitan dan kemerosotan dua tanduk daripada empat tanduk yang mempunyai kaitan dengan orang Yahudi, iaitu raja Selatan dan raja Selatan diterangkan secara terperinci di samping memfokuskan tanduk kecil A.1.c. Kemudian, isi kandungan fasal ini melompat ke tanduk kecil akhir zaman dan fokus pada tanduk itu.
Hubungan antara kerajaan manusia A2 dengan umat pilihan, iaitu peristiwa tanduk kecil akhir zaman (anti-Kristus) yang berkaitan dengan umat pilihan sekali lagi difokuskan. Proses dia mendapat kuasa dan mengangkat dirinya sebagai Tuhan serta peristiwa raja Selatan dan raja Utara berperang melawan kuasa-kuasa besar diceritakan dengan jelas. Demikian juga halnya dengan bahagian B yang berkaitan dengan Kerajaan Tuhan. Bahagian B memberikan maklumat tambahan bagi catatan tentang “kerajaan yang kekal” “Anak Manusia” dalam fasal 7. Dari sudut pandangan peribadi, orang-orang benar yang namanya tertulis dalam Kitab pada akhir zaman akan beroleh hidup yang kekal dan kembali kepada kebenaran, tetap untuk selama-lamanya seperti cahaya bintang-bintang. Sementara itu, orang jahat akan dihukum dan dihakimi untuk selama-lamanya.
Penglihatan tentang domba jantan dan kambing jantan oleh Daniel dalam fasal 8 |
||
A1. Kerajaan manusia |
A2. Kerajaan manusia dan umat pilihan |
B. Kerajaan Tuhan |
b. Domba jantan → c. kambing jantan (tanduk besar → empat tanduk → tanduk kecil menganiaya orang Yahudi pada masa itu) |
Tanduk kecil akhir zaman |
|
Nubuat tentang raja Utara dan raja Selatan dalam kitab Daniel fasal 11 dan 12 |
||
b. Persia → c. Yunani (Alexander → kerajaan Utara dan kerajaan Selatan dalam kalangan empat negara → Antiochus IV yang hina di Utara) |
Anti-Kristus akhir zaman meninggikan dirinya sebagai Tuhan, berperang melawan bangsa-bangsa, dan orang-orang kudus menghadapi kesesakan yang besar. |
Ada janji hidup yang kekal, orang-orang bijaksana ada cahaya yang kekal dan boleh mendapat bagian. |
3. Kaedah penceritaan yang sepadan bagi permulaan dan penghujung kitab
Kitab Daniel membentangkan kesepadanan bagi permulaan dan penghujung kitab, iaitu permulaan dan penghujung kitab mempunyai tahap hubungan yang cukup rapat. Sebagai contoh: bahagian pertama kitab Daniel menerangkan cara dia mentafsir penglihatan dan mimpi untuk raja; tetapi dia memerlukan malaikat untuk menjelaskan penglihatan atau menyampaikan pernyataan kepadanya dalam bahagian kedua kitab. Daniel yang luar biasa dan penuh kebijaksanaan pada pandangan manusia dalam bahagian pertama kitab kelihatan jahil, ada keterbatasan tertentu, dan cukup lemah sehingga dia memerlukan bantuan dan pernyataan malaikat dalam bahagian kedua kitab. Hal ini menonjolkan sumber pemahaman, kebijaksanaan dan hikmat serta rahsia kehendak Tuhan dan juga hikmat perbuatan-Nya.
Fasal 1-6 menekankan cara Daniel dan tiga rakannya menghadapi cabaran dan perjuangan iman kepercayaan. Mereka mempunyai keberanian untuk menghadapi krisis dan tetap setia kepada Tuhan sehingga mengalahkan kuasa jahat. Bahagian sejarah yang telah berlaku ini adalah untuk memberikan pengaruh kepada seluruh umat pilihan agar memilih untuk mentaati Tuhan tanpa menghiraukan nyawa sendiri apabila menghadapi krisis semasa berada di bawah kuasa kerajaan asing dan juga kuasa jahat yang berleluasa, seperti yang tercatat dalam fasal 7-12. Sejarah kasih karunia bahagian pertama akan menjadi galakan besar kepada umat pilihan yang belum tahu atau yang berada dalam kesusahan pada bahagian kedua.
Contoh lain: kalimat pertama yang menggunakan bahasa Aram dalam 2:4 ialah “Ya raja, kekallah hidupmu!” manakala penghujung bagi catatan yang menggunakan bahasa Aram dalam 7:27 ialah “… pemerintahan mereka adalah pemerintahan yang kekal, dan segala kekuasaan akan mengabdi dan patuh kepada mereka.” Kalimat-kalimat ini mempunyai peralihan yang kuat dari hadapan ke belakang bagi orang yang hanya tahu bahasa Aram pada zaman itu. Penghujung bagi pendahuluan fasal 1 ada menyatakan bahawa Daniel dan tiga rakannya telah diberikan pengertian dan kebijaksanaan oleh Tuhan dan ditinggikan di negeri asing. Penghujung fasal 12 mencatatkan bahawa Tuhan mahu Daniel pergi sampai tiba akhir zaman, dan dia akan mendapat bagian kekal yang disediakan oleh Tuhan untuknya. Pembaca yang membaca dalam bahasa Ibrani juga mengalami peralihan kesepadanan bagi permulaan dan penghujung kitab: adalah baik untuk ditinggikan, tetapi bagian yang kekal adalah lebih penting.
F. KITAB DANIEL IALAH SASTERA APOKALIPTIK (APOCALYPTIC LITERATURE)?
Nabi yang mempengaruhi iman kepercayaan dan akhlak orang Israel lenyap di antara dua Perjanjian. Pada masa ini, satu lagi bentuk teks yang popular telah muncul. Mesej-mesej ini tetap percaya bahawa kiamat dunia sudah dekat dan mengingatkan orang ramai untuk berjaga-jaga dan bersedia. Oleh itu, mereka mendakwa menerima beberapa pernyataan daripada selebriti tertentu pada zaman dahulu, seperti Henokh, Abraham, Musa, dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kewibawaan mereka. Memandangkan pernyataan mereka adalah terutamanya tentang rancangan rahsia Tuhan untuk akhir zaman, perlambangan dan perbendaharaan kata yang digunakan sangat mirip dengan yang terdapat dalam kitab Daniel, maka ramai sarjana percaya bahawa kitab Daniel merupakan sebuah kitab yang ditulis pada abad kedua dengan meminjam nama Daniel dan merupakan wakil sastera apokaliptik.
Tentu sekali, huraian pernyataan-pernyataan ini ada nilainya yang tertentu. Hal ini kerana kebanyakan sumbernya adalah daripada kitab nabi-nabi dalam Perjanjian Lama. Para nabi mempunyai dua garis pemikiran yang konsisten. Garis pemikiran yang pertama adalah bahawa kerajaan Tuhan akan datang, dunia akan ditunggang-balikkan, dan taman Eden, Firdaus akhirnya akan dipulihkan. Garis pemikiran yang kedua adalah bahawa penghakiman akan ada sebelum kedatangan hidup yang akan datang, orang jahat di dunia dan bahkan seluruh dunia akan dihapuskan selepas penghakiman (Yes 24:1-13), Tuhan duduk di atas takhta yang tertinggi (Yes 6:1-3), para malaikat melaksanakan perintah yang disampaikan oleh Tuhan (Yeh fasal 1, 8), dua kuasa, yang baik dan yang jahat, akan berada dalam konflik besar sebelum penghakiman (Yeh fasal 38, 39; Za fasal 12-14), tetapi Tuhanlah pemenang dan penamat yang terakhir. Jadi dari sudut pandangan garis pemikiran ini, sastera apokaliptik mengekalkan pemikiran konsisten kitab nabi-nabi dalam Perjanjian Lama. Sudah tentu, kitab Daniel juga mematuhi prinsip-prinsip ini. Maka mengatakan bahawa kitab Daniel ialah sastera apokaliptik nampaknya munasabah.
Tetapi sastera apokaliptik mempunyai konsep yang berasal daripada latar belakang dua Perjanjian: langit ialah langit, bumi ialah bumi, dan terdapat jurang yang tidak dapat dirapatkan antara satu sama lain. Mereka berpendapat bahawa kehidupan ini telah dikawal oleh kuasa jahat, jadi Tuhan lepas tangan dan membiarkan kejahatan berkembang ke tahap yang maksima. Kerajaan Tuhan tidak berubah daripada mana-mana kerajaan di bumi, tetapi turun secara tiba-tiba dari langit dan memasuki dunia. Oleh itu, mereka mempunyai pandangan yang pesimis terhadap nilai, budaya dan perkembangan dunia, dan menuntut agar rakan-rakan senegara mengamalkan sikap negatif terhadap kerajaan.
Tetapi Yesus telah menyingkapkan rahsia akhir zaman. Walaupun dunia akan berakhir dan kuasa jahat akan menjadi lebih kuat, tetapi Tuhan memilih umat-Nya di dunia, “kemah Allah ada di tengah-tengah manusia”, Tuhan akan memerangi Iblis melalui jemaat. Hal ini bukan bermaksud “langit ialah langit dan bumi ialah bumi, melainkan “langit dan bumi bersatu”. Manusia duniawi boleh mengisytiharkan perang terhadap dosa dan melepaskan diri daripada kuasa dosa. Nilai ini lebih baik daripada kuasa pemerintahan politik dan kuasa politik dunia. Sama seperti peranan Daniel sebagai manusia, dia tidak perlu memimpin revolusi sukunya, tetapi memainkan peranannya dalam masyarakat dengan penuh perhatian dan membantu raja-raja bukan Yahudi dalam pentadbiran negara. Namun dari segi iman kepercayaan dan akhlak moral, dia tidak akan pernah berkompromi. Dia tetap tidak teragak-agak walaupun perlu mengorbankan nyawanya. Maka, kerangka sastera apokaliptik adalah untuk memulihkan negara yang dikuasai kuasa politik. Apabila persekitaran umum tidak berubah, mereka beralih kepada hidup akan datang yang lebih indah. Idea ini bukan idea di bawah kerangka utama Alkitab.
Nilai kekal kitab Daniel telah lama meninggalkan karya manusia ini jauh di belakang. Nubuat tentang tujuh puluh kali tujuh masa telah menjelaskan dengan jelas bahawa nilai kekal Kerajaan Tuhan, Bait Tuhan, dan kota Tuhan adalah “untuk melenyapkan kefasikan, untuk mengakhiri dosa, untuk menghapuskan kesalahan, untuk mendatangkan keadilan yang kekal, untuk menggenapkan penglihatan dan nabi, dan untuk mengurapi yang maha kudus.” (9:24). Bahagian yang kekal hanya ada selepas Kerajaan Tuhan mengalahkan kuasa dunia. Kerajaan Tuhan tidak mengharapkan kemuliaan akhir zaman kitab nabi-nabi atas sebab tidak dapat mengatasi persekitaran yang buruk (tidak dapat mempraktikkan idea-idea politik). Kitab Daniel mempunyai pandangan yang tepat tentang konsep-konsep asas penciptaan Tuhan, penguasaan Tuhan, sejarah, dan lain-lain. Kitab Daniel juga tidak ada pra-konsep tentang dikotomim antara yang baik dengan yang jahat. tetapi menegaskan bahawa Tuhan menguasai kedua-dua di syurga dan di bumi, dan Kerajaan Tuhan sentiasa berkembang mengikut rancangan penyelamatan dan penebusan yang diperintahkan oleh Tuhan.
Tambahan pula, sastera apokaliptik ialah buku yang menyatakan sejarah yang telah berlaku dengan menggunakan pernyataan. Sastera apokaliptik ialah buku yang menyasarkan situasi pada zaman itu, terutamanya bagi mereka yang ditekan oleh politik dan menghadapi situasi penderitaan yang sama. Sastera apokaliptik juga mempunyai motif penulisan berpotensi – mendorong pemercaya untuk bertahan di samping mengelakkan mata dan telinga kerajaan dengan menggunakan lambang-lambang yang kabur dan susah untuk difahami. Dorongan ini hanya sesuai untuk pembaca pada masa itu. Tetapi kitab Daniel ialah kitab nubuat. Kitab ini merupakan memoir Daniel dalam persekitaran yang damai sejurus sebelum kematiannya. Nubuatnya mempunyai ciri penggenapan berganda. Sebagai contoh, “tanduk kecil” yang disebut dalam fasal 7 dan 8. Pada abad kedua, tanduk kecil ini merujuk kepada Antiochus IV, tetapi bukan sebagai penamat melainkan prolog. Tujuannya adalah untuk memberikan bayangan tentang “tanduk kecil” akhir zaman yang paling besar, paling berkuasa, dan terakhir dalam fasal 11. Oleh itu, hal ini telah melampaui penggenapan dua tempoh Perjanjian dan menjadi peringatan peribadi kepada pembaca zaman-berzaman.
Akhir sekali, dari segi motivasi, penghiburan dan dorongan, penulis sastera apokaliptik memberikan galakan kepada rakan senegara dari perspektif sebagai mangsa; sementara kitab Daniel pula memberikan galakan kepada pembaca masa kelak dari perspektif sebagai orang yang telah melalui peristiwa itu. Sastera apokaliptik memberikan galakan kepada rakan senegara dalam dua tempoh Perjanjian dengan menggunakan legenda atau cerita yang pelik dan tidak masuk akal yang sesuai dengan situasi. Kitab Daniel pula memberikan dorongan kepada umat pilihan pada bila-bila masa, dalam mana-mana ruang, dan daripada mana-mana bangsa dengan menggunakan kesaksian pengalaman sebenar. Sastera apokaliptik mencatatkan sejarah dengan menggunakan “nubuat” orang-orang hebat zaman purba dan mencipta “nubuat” dengan menggunakan sejarah. Kitab Daniel mula-mula ada nubuat terlebih dahulu, dan kemudian mengesahkan nubuat melalui pengalamannya sendiri. Kitab Daniel juga menggalakkan umat pilihan untuk menghadapi masa depan dengan sikap yang positif demi mencipta sejarah yang boleh membangun mereka yang mencontohi dan mengikuti sejarah.
RUJUKAN:
- Hartman & A. A. DiLella. (1978). The Book of Daniel. New York: Bantam Doubleday Dell Publishing Group,
Inc.
Joyce G. Baldwin Daniel. (1978). An Introduction and Commentary. Canada: Inter Varsity Press.
David and Pat Alexander. (1983). The Lion Handbook to the Bible, the 2nd edition. UK: Lion Publishing.