KITAB I PETRUS
(Pendeta Huang Zhi Jie)
A. PENULIS SURAT INI
Kita secara semula jadi mengatakan bahawa kitab ini ditulis oleh Petrus berdasarkan kata ganti diri yang digunakan (1 Ptr 1:1). Tambahan pula, jika kita mengkaji isi kandungan gulungan kitab ini dengan teliti, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak ayat suci yang dapat membuktikan rasul Petrus sebagai penulis gulungan kitab ini. Contoh-contohnya adalah berikut:
1. Penulis ayat-ayat 1 Petrus 2:20-24 seolah-olah telah melihat penderitaan Kristus dengan matanya sendiri dan dia menyaksikannya untuk mendorong generasi-generasi yang seterusnya.
2. Dua petikan ayat 1 Petrus 2:25 dan 5:1-3 secara langsung mengingatkan kita tentang dorongan Yesus kepada Petrus (Yoh 21:15-17).
3. Terdapat banyak pengajaran dalam kitab ini yang serupa dengan ajaran Yesus. Cuba bandingkan 1 Petrus 2:13-17 dengan Matius 17:24-27 dan 1 Petrus 3:14 dengan Matius 5:10.
4. Terdapat beberapa ayat suci yang serupa dengan khutbah Petrus. Sebagai conoth, 1 Petrus 1:17 dan Kisah Para Rasul 10:34; 1 Petrus 2:6-8 dan Kisah Para Rasul 4:10-11.
Walaupun kita secara semula jadi boleh mengenal pasti bahawa rasul Petrus ialah penulis gulungan kitab ini, namun sesetengah orang mempersoalkan hal berikut: Bagaimana Petrus, seorang nelayan dari Galilea, dapat menghasilkan gaya bahasa Yunani yang begitu indah? Gaya bahasa ini lebih cemerlang daripada gaya bahasa yang ditulis oleh Paulus yang pernah menerima latihan pendidikan tinggi.
Sebenarnya, soalan ini tidak sukar untuk diselesaikan. 1 Petrus 5:12 ada menyebut tentang seorang yang bernama Silwanus (Silas). Silwanus ini merupakan orang yang sama yang disebut dalam surat-surat Paulus dan Kisah Para Rasul. Dia ialah warganegara Rom, seorang nabi, dan seorang pemimpin dalam kalangan saudara-saudara. Dia pernah diutus oleh Paulus kepada jemaat-jemaat di Filipi dan Korintus, dan dia pernah menulis surat kepada saudara-saudara di Tesalonika bersama-sama dengan Paulus. Silwanus ini tentunya mampu membantu Petrus untuk menebus kekurangan Petrus. Kita dapat memahami orang ini dengan lebih baik jika kita meneliti ayat-ayat suci berikut (Kis 1:5:22,27,32,37-40, 16:19,25,29,37, 18:5; 2 Kor 1:19; 1 Tes 1:1; 2 Tes 1:1).
Sebagai tindak balas kepada masalah ini, kita boleh berkata demikian: Hubungan antara Silwanus (Silas) dengan kitab ini bukan saja sebagai pembawa surat, tetapi juga sebagai setiausaha Petrus. Dia mengubahsuai pemikiran Petrus dengan bahasa Yunani yang indah untuk membentangkan kitab 1 Petrus yang kita baca.
B. MASA PENULISAN
Sebenarnya tiada bukti luaran yang boleh mengira masa penulisan surat ini dengan tepat. Masa penulisannya hanya boleh dikira berdasarkan bukti dalaman dalam gulungan kitab ini. Ayat-ayat suci tentang penganiayaan dalam gulungan kitab ini juga tidak memaparkan masanya dengan tepat. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa surat ini ditulis pada tahun 50 – 68 M.
Tradisi Kristian percaya bahawa gulungan kitab ini ditulis pada tahun 64 – 68 M, iaitu sebelum dan selepas Maharaja Rom, Nero mula menganiaya orang Kristian. Terdapat satu bukti tentang hal ini. Hal ini kerana gulungan kitab ini asyik menyebut satu tema, iaitu mesej tentang “kedatangan kembali Kristus” (1 Ptr 1:1,5,7,13, 2:12, 4:13,17, 5:1,4). Petrus berulang kali menyebut tentang kedatangan kembali Kristus dalam suratnya mungkin kerana saudara saudari sedang menghadapi ancaman penganiayaan dan penderitaan. Maka dia menggunakan gulungan kitab ini untuk mendorong mereka agar menjalani kehidupan yang kudus dan menghadapi ancaman dengan tabah dan berani.
Isi kandungan kitab 1 Petrus telah disebut dalam surat-surat yang ditulis oleh bapa-bapa Kristian awal. Sebagai contoh, pada sekitar tahun 95 M, Klemens yang menulis kitab 1 Klemens (lihat fasal 49) dan Irenaeus yang lahir pada tahun 130 M juga memetik daripada kitab 1 Petrus 1:8 dan 2:16. Tambahan pula, pada tahun 155 M, Surat kepada Orang Filipi (Epistle to the Philippians) 2:1, yang ditulis oleh Polycarp yang mati syahid, juga memetik daripada isi kandungan 1 Petrus 1:13,21. Jadi gulungan kitab ini merupakan surat yang dituliskan sejak awal-awal lagi.
C. LOKASI PENULISAN
Menurut catatan dalam 1 Petrus 5:13, Petrus dan saudara-saudara di gereja Babilon memberikan salam bersama-sama. Jadi agaknya Petrus berada di Babilon pada masa itu. Di manakah Babilon ini? Babilon ini bukanlah kota purba Babel di Mesopotamia. Hal ini kerana kota purba ini hanyalah sebuah kota kecil tanpa nama dalam abad pertama. Tambahan pula, tidak ada rekod bahawa Petrus pernah pergi ke kota kecil ini bersendirian atau bersama-sama dengan Markus dan Silwanus (Silas).
Sesetengah orang berpendapat bahawa Babilon ialah “nama misteri” Rom kerana maharaja Rom bersikap sangat autoritarian pada masa itu sehingga pemercaya tidak berani menyebut Rom secara langsung dan menggantikannya dengan “Babilon”. Markus disebut dalam kitab ini boleh mengesahkan pendapat ini. Hal ini kerana Paulus juga berada di Rom pada masa itu, dan surat Paulus juga menyebut bahawa Markus berada di Rom (2 Tim 4:11).
D. TUJUAN PENULISAN
Kerajaan Rom beransur-ansur mengesyaki bahawa jemaat / gereja ialah organisasi yang berusaha untuk memberontak terhadap kerajaan kerana pihak lawan menyebarkan khabar angin yang berniat jahat pada zaman itu. Maka kerajaan pun campur tangan dan menyerang jemaat / gereja. Oleh itu, pemercaya pada masa itu berada dalam persekitaran yang dikelilingi musuh. Mereka sering diancam, didakwa, dihakimi dan dianiayai. Maka, “ujian api” yang disebut dalam 1 Petrus 1:7 dan 4:12-13 ialah kata singkatan bagi situasi pemercaya pada masa itu.
Setelah mengetahui penderitaan pemercaya, Petrus menulis surat dengan perantaraan Silwanus (5:12) untuk menghibur mereka. Dia juga menasihati mereka supaya bersabar, percaya kepada Tuhan, jangan putus asa, menunjukkan kehidupan yang kudus di hadapan orang yang tidak percaya, dan menjadi penurut Tuhan (2:12-25, 4:1).
E. SASARAN PENERIMA SURAT
Kristian Yahudi atau Kristian bukan Yahudi yang bertaburan di wilayah Turki pada hari ini.
F. TEMA UTAMA SURAT
Falsafah hidup dalam penderitaan.
G. GARIS BESAR SURAT INI
1. Salam (1:1-2)
2. Anugerah keselamatan dan pengharapan orang Kristian (1:3-12)
3. Kehidupan baharu yang sepatutnya dimiliki oleh orang Kristian (1:13 – 2:10)
- Kehidupan yang kudus (1:13-21)
- Kehidupan kasih persaudaraan (1:22-25)
- Kehidupan pertumbuhan dan pelayanan (2:1-10)
4. Prestasi yang harus ada pada orang Kristian semasa bergaul dengan orang lain (2:11 – 3:12)
- Kepentingan tingkah laku yang baik (2:11-12)
- Jadilah warganegara yang baik (2:13-17)
- Jadilah hamba yang baik, berbakti kepada tuan dan menderita bagi tuan (2:18-25)
- Jadilah isteri yang baik dan suami yang baik (3:1-7)
- Cara pergaulan dengan orang lain (3:8-12)
5. Penderitaan orang Kristian (3:13 – 4:19)
- Prestasi dan teladan penderitaan demi kebenaran (3:13 – 4:6)
- Pemercaya harus saling mengasihi dan melayani antara satu sama lain (4:7-11)
- Tidak malu menderita sebagai orang Kristian (4:12-19)
6. Tanggungjawab para penatua dan orang-orang muda dalam jemaat / gereja serta kaedah menentang penderitaan (5:1-11)
7. Kesimpulan (5:12-14)