KITAB RATAPAN
(Saudari Lin Shu Mei)
PENGENALAN
Apa peristiwa yang dapat menggegarkan hati orang Israel dan tidak akan sembuh walaupun selepas jangka masa yang lama? Apa peristiwa yang dapat menyebabkan nabi Tuhan berkabung dan menangis tanpa henti? Apakah kerinduan mereka? “Tidak percaya raja-raja di bumi, pun seluruh penduduk dunia, bahwa lawan dan seteru dapat masuk ke dalam gapura-gapura Yerusalem.” (Rat 4:12). Walau bagaimanapun, kenyataannya telah terjadi. Tembok kota telah runtuh, Bait Suci telah musnah, dan kemuliaan Sion telah hilang. Penyair mengeluh dengan lemah dan membuat refleksi dengan pemerhatian. Dia melihat harapan dalam doa yang tidak terkira banyaknya.
KEDUDUKAN DALAM ALKITAB IBRANI
Kitab Ratapan bukan sebahagian daripada “kitab nabi-nabi” dalam Alkitab bahasa asal iaitu bahasa Ibrani, tetapi disenaraikan di bahagian ketiga “gulungan suci” (bahagian pertama ialah Lima Kitab Musa, Pentateuch). Kitab Ratapan disebut “Megillot” (Five Megillot) bersama dengan kitab Kidung Agung, kitab Rut, kitab Pengkhotbah, dan kitab Ester. Kitab-kitab ini masing-masing dibacakan secara terbuka dalam lima perayaan yang dikhususkan oleh orang Yahudi iaitu pada hari raya Paskah (kitab Kidung Agung), hari raya Pentakosta (kitab Rut), ulang tahun kemusnahan Bait Suci pada tanggal 9 bulan Abu (Av) (kitab Ratapan), hari raya Pondok Daun (kitab Pengkhotbah), dan hari raya Purim (kitab Ester).
NAMA DAN PENGARANG KITAB
Alkitab bahasa Ibrani menamai gulungan ini ēkāh yang bermaksud “bagaimana” dan “betapa”. Perkataan ini merupakan perkataan pertama dalam gulungan kitab ini. Perkataan ‘ēkāh sering muncul dalam ayat yang meratap (Yes 1:21; Yer 4:17; Rat 1:1, 2:1, 4:1). Terjemahan Septuaginta dan Vulgata menterjemahkannya sebagai Threnoi dan Threni yang bermaksud “puisi sedih” dan “ratapan”. Ada satu petikan dalam Septuaginta sebelum fasal 1 ayat 1: “Setelah Israel ditawan dan Yerusalem dimusnahkan, Yeremia duduk menangis dan menuliskan ratapan ini untuk meratapi Yerusalem.” Sesuai dengan tradisi Yahudi, nabi Yeremia dianggap sebagai penulis kitab ini.
STRUKTUR
Kitab Ratapan yang dituliskan dalam bentuk puisi terbahagi kepada lima fasal. Dua fasal pertama dan dua fasal terakhir semuanya mengandungi 22 ayat, sementara fasal ketiga di tengah-tengah pula mengandungi gandaan tiga, iaitu 66 ayat. Permulaan setiap ayat bagi empat fasal pertama adalah bersimetri dengan 22 huruf Ibrani. Ayat pertama dimulai dengan huruf pertama א (Aleph) dalam bahasa Ibrani, ayat kedua dimulai dengan huruf kedua ב (Beth)… dan seterusnya. Bagi 66 ayat dalam fasal 3 pula, setiap tiga ayat membentuk satu kumpulan, iaitu ayat pertama, kedua, dan ketiga dimulai dengan א (Aleph), manakala ayat keempat, kelima, dan keenam dimulai dengan ב (Beth) … dan seterusnya sehingga menunjukkan kombinasi yang sempurna. Ayat-ayat suci yang disusun mengikut abjad banyak didapati dalam kitab Amsal (31:10-31) dan kitab Mazmur (fasal 22, 34, 37, 111, 112, 119, 145). Susunan ini ialah satu tradisi sastera. Fasal 5 tidak mengikuti peraturan ini, tetapi jumlah baris (ayat) adalah sama dengan jumlah huruf Ibrani. Malangnya, bentuk puisi huruf yang indah ini tidak dapat dinyatakan dalam terjemahan bahasa lain.
LATAR BELAKANG SEJARAH
Pada tahun 586 SM (tahun kesebelas Zedekia), tentera Babel menawan Yerusalem. Pada tanggal 9 bulan Abu (Av) (9/10hb bulan yang kelima), orang-orang Kasdim membakar kota Yerusalem, membakar Bait Suci, istana dan rumah-rumah di kota itu serta membongkar tembok kota, menjarah Bait Suci dan kota yang kudus, dan membawa orang Yahudi ke Babel (39:1-10, fasal 52; 2 Raj 25:1-21). Sila rujuk bahagian latar belakang masa dalam pelajaran kitab “Yeremia” untuk latar belakang sejarah yang terperinci.
TUMPUAN TEMA
Semua puisi sedih dan ratapan dalam kitab ini berpusat pada satu tema, iaitu pemusnahan Bait Suci dan kota yang kudus (586 SM).
A. Tragedi Yerusalem
Nabi terus meratapi situasi pasca perang di Yerusalem yang sunyi senyap secara panjang lebar. Sion bagaikan janda sengsara yang terpencil, yang mengalirkan air mata secara tersembunyi (1:1-2, 2:18-19), tiada orang yang menghiburnya (1:2,9,17,21, 2:13), jalan dan pintu gerbangnya sunyi senyap (1:4), bangsa-bangsa masuk ke dalam bait Tuhan (1:10), berteriak di dalam Bait Suci Tuhan (2:7), umat ditawan (1:18), musuh tertawa, bertepuk tangan dan gembira kerana kecelakaan di Yerusalem (1:7,21, 2:15-17), tidak ada makanan di dalam kota, dan kelaparan berleluasa (1:11,19, 2:11,12,19, 4:4, 5:9,10), “lebih bahagia mereka yang gugur karena pedang dari pada mereka yang tewas karena lapar” (4:9), kelaparan sangat teruk sehingga orang terpaksa memasak kanak-kanak mereka sendiri untuk makannan mereka (2:20, 4:10). Pembunuhan dengan pedang dan kematian ada di mana-mana (2:21,22), milik pusaka dan rumah-rumah beralih kepada orang lain (5:2), orang ramai menjadi anak yatim dan janda kerana perang (5:3), wanita-wanita diperkosa di merata tempat (5:11), kegirangan lenyap (5:14,15)…
Sion benar-benar tidak seperti dahulu! Segala harta benda yang dimiliki dahulu kala kini merosot (1:7); dahulu anak-anak Sion setimbang dengan emas tua, tetapi kini emas itu pudar dan berubah sehingga dianggap belanga-belanga tanah buatan tangan tukang periuk (4:1) Dahulunya mereka biasa makan yang sedap-sedap dan duduk di atas bantal kirmizi tetapi kini kebuluran dan terbaring di timbunan sampah (4:5), pemimpin-pemimpin lebih bersih daripada salju dan gemilang, tetapi sekarang rupa mereka hitam, tidak dapat dikenali, dan kurus kering seperti kayu (4:7,8).
B. Kesedaran mengenai punca bencana
Sejak awal lagi, ratapan ini disertai dengan kesedaran mengenai punca bencana. Yerusalem menghadapi musibah yang begitu besar sebagai akibat daripada dosa-dosa sendiri. “Sungguh, TUHAN membuatnya merana, karena banyak pelanggarannya;” (1:5); “Yerusalem sangat berdosa, sehingga najis adanya;” (1:8). Pelanggarannya umpama kuk yang berat yang ditaruh di atas tengkuknya (1:14). “Engkau telah perbuat kepadaku oleh karena segala pelanggaranku;” (1:22). “Kedurjanaan puteri bangsaku melebihi dosa Sodom,” (4:6). Ya, Tuhan tidak mengampuni umat yang mendurhaka dan memberontak (3:42), dan bencana pun menimpa (5:16). “Hal itu terjadi oleh sebab dosa nabi-nabinya dan kedurjanaan imam-imamnya” yang menyebabkan lawan dan seteru dapat masuk ke dalam gapura-gapura Yerusalem (4:12,13). Oleh itu, orang tidak patut mengeluh tentang dosanya (3:39), tetapi “Marilah kita menyelidiki dan memeriksa hidup kita, dan berpaling kepada TUHAN.” (3:40). Sia-sia merindukan pertolongan daripada bangsa-bangsa lain kerana mereka tidak dapat menolong (4:17).
Semua bencana ini terjadi “tatkala Tuhan murka” (1:12, 2:1,21,22). Pada masa ini, Tuhan digambarkan sebagai seteru Israel (2:4,5) yang memimpin pembunuhan, pemusnahan, dan pembakaran (3:43, 4:11), bahkan “tumpuan kaki-Nya”, yakni tempat kudus dan mezbah-Nya (2:7; Mzm 132:7) pun tak diingat dan tak dikasihani-Nya (2:1), dan khemah penyembahan Tuhan menjadi kebun (2:6). Dia juga bertekad untuk menghancurkan puri-puri dan tembok dalam kota (2:7,8). Dalam murka-Nya, umat melihat sengsara (3:1). Tuhan sendiri mencerai-beraikan mereka (4:16) dan membuang mereka sama sekali (5:22).
C. Tuhan menyatakan kebenaran
Tidak ada suara keraguan dalam Alkitab mengenai bencana ini yang belum pernah terjadi sebelumnya. Sebaliknya, semua ini menyatakan kebenaran Tuhan kerana umat telah memberontak terhadap firman-Nya (1:18).
D. Harapan dalam penderitaan
Dalam suara ratapan belaka, hilang lenyaplah harapan (3:1-18). Dalam bahagian tengah kitab ini, perenggan tengah (3:21-33) mengungkapkan kata-kata yang penuh harapan dan inspirasi. Kata-kata ini merupakan intipati kitab ini, seperti puncak gunung yang dikelilingi oleh gunung-gunung merupakan tujuan dan harapan para pendaki yang keletihan: “Tak berkesudahan kasih setia TUHAN, tak habis-habisnya rahmat-Nya, selalu baru tiap pagi; besar kesetiaan-Mu!” (3:22,23). Dialah harapan kita ketika kita tidak berpengharapan. Hal ini kerana kesetiaan, belas kasihan dan kasih-Nya yang tidak berkesudahan membolehkan kita mendapatkan kembali daya hidup di tengah-tengah kesusahan. Oleh itu, manusia harus menantikan pertolongan Tuhan dengan diam (3:26) kerana Tuhan adalah baik bagi jiwa yang mencari Dia (3:25).
Walaupun melihat sengsara disebabkan cambuk murka-Nya (3:1), menjadi tertawaan bagi segenap bangsa(3:14), dan kenyang dengan cercaan (3:30), namun “Karena tidak untuk selama-lamanya Tuhan mengucilkan. Karena walau Ia mendatangkan susah, Ia juga menyayangi menurut kebesaran kasih setia-Nya. Karena tidak dengan rela hati Ia menindas dan merisaukan anak-anak manusia.” (3:31-33). Harapan ini dapat dipegang oleh umat ketika menghadapi kemusnahan dan kehancuran musuh (3:47) serta ketika dijadikan kotor dan keji di antara bangsa-bangsa(3:45). Oh Tuhan! Engkaulah bahagian kami, kami harus berharap kepada-Mu (3:24).
Atas sebab ini juga, terdapat banyak istilah dalam ratapan peribadi dalam fasal 3 yang berkaitan dengan “pengakuan nabi” dalam kitab Ayub, terutamanya dalam kitab Yeremia. Walaupun nama Yeremia tidak muncul dalam kitab Ratapan, namun secara tradisinya, adalah dipercayai bahawa nabi Yeremia yang telah mengalami malapetaka di kota yang kudus merupakan penulis kitab ini. Selain itu, kitab Ratapan juga memiliki banyak persamaan dengan kitab Mazmur, dan perbezaannya adalah bahawa kitab Ratapan kekurangan ekspresi iman dan keyakinan bahawa doa didengar di akhir setiap petikan. Satu-satunya kata-kata penghiburan dan dorongan dalam kitab Ratapan diletakkan di bahagian intipati tengah. Fasal 1 dan 2 bertindan-tindih dari satu sisi, dan fasal 5 dan 4 pula disusun dari sisi lain, manakala fasal 3 diletakkan di tempat tertinggi di bahagian tengah. Susunan ini menunjukkan nilai intipati perenggan ini.
KESIMPULAN
Kesengsaraan dan kesepian Yerusalem adalah disebabkan oleh dosa-dosa orang Israel dan pemberontakan mereka terhadap firman Tuhan sehingga menimbulkan murka Tuhan. Kota yang kudus telah jatuh ke dalam keadaan ini sehingga penyair menyedari bahawa Tuhan yang setia itu benar. Namun, murka Tuhan hanya sesaat lamanya, kasih setia-Nya abadi (Yes 54:7,8). Dengan kasih setia Tuhan yang tak berkesudahan, umat pilihan Tuhan dapat bertahan daripada bencana dan nyawa mereka terpelihara (3:22). Niat asal Tuhan bukanlah untuk meninggalkan manusia serta membuatkan mereka menderita dan berduka, tetapi untuk menunjukkan kasih sayang yang besar kepada mereka yang menantikan dan mencari-Nya. Dialah sumber hidup kita, harapan kita, bahagian kita. Rahmat abadi Tuhan membolehkan kita hidup dalam kasih karunia Tuhan dan menyambut setiap pagi yang baharu secara positif.