MAKSUD SEBENAR KASIH

MAKSUD SEBENAR KASIH

 

Jemaat Korintus merupakan jemaat Tuhan, iaitu mereka yang dikuduskan dalam Kristus Yesus, yang dipanggil menjadi orang-orang kudus, dan yang berseru kepada nama Tuhan Yesus Kristus (1 Kor 1:2). Mereka seharusnya menunjukkan prestasi soleh yang memuliakan Tuhan. Walau bagaimanapun, ada pula kelemahan-kelemahan seperti perselisihan, perpecahan, percabulan, pertengkaran, memakan daging persembahan berhala, dan sebagainya dalam kalandan jemaat. Hal ini menyebabkan Paulus berasa sangat sedih lalu dia menunjukkan firman yang paling indah – maksud sebenar kasih kepada mereka.

 

JIKA TIDAK MEMPUNYAI KASIH

“Sekalipun aku dapat berkata-kata dengan semua bahasa manusia dan bahasa malaikat, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku sama dengan gong yang berkumandang dan canang yang gemerincing.” (1 Kor 13:1).

Bahasa adalah untuk komunikasi. Dengan bahasa, manusia dapat bertukar-tukar pendapat dan menghubungkan perasaan. Seseorang yang dapat berkata-kata dengan semua bahasa manusia bermaksud bahawa dia mempunyai alat komunikasi yang sangat kuat dan seharusnya menjadi pakar komunikasi. Tetapi jika tidak mempunyai kasih, komunikasi akan menjadi tidak berkesan. Saya dapat memahami kata-kata anda, tetapi tidak mahu menerima anda. Dengan itu, alat bahasa hanya sekadar alat. Hal ini sama dengan gong yang berkumandang, yang hanya mengeluarkan suara tanpa melodi yang indah.

Ajaib sekali bahasa malaikat. Terdapat sebuah legenda dalam kitab “Pesanan Ayub” (Testament de Job), kitab Pseudopigrafa orang Yahudi: Anak-anak perempuan Ayub menyembah Tuhan yang di syurga dengan soleh. Mereka mempunyai karunia istimewa iaitu mereka dapat berkata-kata dengan bahasa malaikat untuk memuji Tuhan. Karunia ini membuatkan begitu banyak orang Yahudi berasa cemburu. Mulia sekali! Tetapi jika tidak mempunyai kasih, karunia ajaib seperti itu tidak akan berkenan kepada Bapa yang di syurga. Hal ini sama dengan canang yang gemerincing dalam perayaan agama asing yang menjengkelkan dan dibenci.

“Sekalipun aku mempunyai karunia untuk bernubuat dan aku mengetahui segala rahasia dan memiliki seluruh pengetahuan; dan sekalipun aku memiliki iman yang sempurna untuk memindahkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku sama sekali tidak berguna.” (1 Kor 13:2).

Karunia untuk bernubuat nabi adalah untuk membangun pemercaya, menjadi juru bicara Tuhan, dan mengucapkan kata-kata Tuhan. Mereka patut menerima upah sebagai nabi. “Mengetahui segala rahasia dan memiliki seluruh pengetahuan” bermaksud pekerja yang sangat penting bagi Tuhan menerangkan rahsia itu. Sebagai contoh, Musa berbicara dengan Tuhan selama empat puluh hari dan empat puluh malam di atas gunung Sinai. Ketika dia turun dari gunung, kulit mukanya bercahaya. Dia patut menerima kemuliaan dari syurga. “Memiliki iman yang sempurna untuk memindahkan gunung” bermaksud menjadi seperti Elia. Elia berdoa di gunung Karmel supaya Tuhan menurunkan api dan menyambar habis korban bakaran, kayu api, batu dan tanah itu, bahkan air yang dalam parit itu habis dijilatnya. Dia patut disukai oleh semua orang. Tetapi jika tidak mempunyai kasih, semua pekerjaan ini hanya diselesaikan oleh Tuhan melalui alat sahaja. Apabila habis digunakan, alat itu akan diketepikan. Alat itu tidak akan dapat menerima upah dan kemuliaan Kerajaan Syurga. Hasil daripada semua usaha itu ialah: “Aku tidak pernah mengenal kamu! Enyahlah dari pada-Ku, kamu sekalian pembuat kejahatan!” (Mat 7:21-23).

“Dan sekalipun aku membagi-bagikan segala sesuatu yang ada padaku, bahkan menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, sedikitpun tidak ada faedahnya bagiku.” (1 Kor 13:3).

Perbuatan pemurah / memberi sedekah ini bermaksud bahawa semua yang dimiliki diberikan kepada orang lain tanpa syarat. Pemberian seperti ini patut dibalas oleh Tuhan. “Menyerahkan tubuhku untuk dibakar” bermaksud mati syahid kerana penganiayaan terhadap iman kepercayaan. Tidak ada pengorbanan yang lebih besar daripada pengorbanan ini. Tetapi jika tidak mempunyai kasih, pemberian dan persembahan semacam ini hanyalah untuk kepentingan reputasi peribadi dan membuatkan orang mempunyai hati yang congkak. Tentu saja, perbuatan mereka tidak akan dibalas oleh Bapa (Mat 6:1-4).

 

HAKIKAT KASIH

“Kasih itu sabar; kasih itu murah hati; ia tidak cemburu. Ia tidak memegahkan diri dan tidak sombong. Ia tidak melakukan yang tidak sopan dan tidak mencari keuntungan diri sendiri. Ia tidak pemarah dan tidak menyimpan kesalahan orang lain. Ia tidak bersukacita karena ketidakadilan, tetapi karena kebenaran. Ia menutupi segala sesuatu, percaya segala sesuatu, mengharapkan segala sesuatu, sabar menanggung segala sesuatu.” (1 Kor 13:4-7).

Kesabaran ialah permulaan dan kesudahan kasih. “Kekekalan” ialah kesinambungan masa yang menegak manakala “segala sesuatu” ialah perkembangan peristiwa yang mendatar. Kedua-duanya menunjukkan kesabaran yang tidak terbatas sehingga akhir hayat. Ada nyawa bermaksud ada harapan. Dengan demikian, kita boleh menunggu dengan sabar (Pkh 9:4).

Kemurahan hati merupakan motif dan sikap belas kasihan yang memberi, mengeluarkan, dan membantu. Memberikan empati secara emosional, mengeluarkan kekayaan ketika miskin, dan membantu menyelesaikan kesukaran (Rm 12:13).

Tidak cemburu dengan kebaikan orang lain, tidak berasa rendah diri kerana pencapaian orang lain, tetapi boleh bersukacita dan bergembira bersama. Hal ini kerana semuanya merupakan komuniti hidup di atas sebuah perahu yang sama dan juga merupakan anggota bagi tubuh yang sama (1 Kor 12:26).

Tidak memegahkan diri dan tidak sombong bermaksud benar-benar mengenali diri sendiri. Manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika kita membandingkan kelebihan kita dengan kekurangan orang lain, kita pasti akan berasa bangga bagai anjing melintang denai. Namun jika kita membandingkan kekurangan kita dengan kelebihan orang lain, kita akan menghadapi kompleks rendah diri (inferiority complex). Tambahan pula, tentunya sentiasa ada orang yang lebih baik / cemerlang daripada kita. Perbandingan dalam kalangan manusia adalah tidak berpenghujung. Pendek kata, kerendahan hati mendahului kehormatan (Ams 15:33).

Tidak melakukan yang tidak sopan bermaksud tidak melakukan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan, atau langkah sumbang atau perkara-perkara yang tidak wajar secara terbuka. Setelah percaya kepada Tuhan, kita ialah terang di dalam Tuhan. Sebab itu hiduplah sebagai anak-anak terang, dan tidak ada yang tidak berani dibicarakan (Ef 5:8).

Tidak mencari keuntungan diri sendiri. Love does not insist on its own way (R.S.V.), ζητει τα εαυτηs (inquire to oneself). Terjemahan bahasa Inggeris dan makna literal daripada teks asalnya mungkin bermaksud bahawa orang yang mengasihi diri sendiri tidak akan berkepala batu dan berkeras hati sehingga merugikan diri sendiri sebagai hasilnya. Jalan orang bodoh lurus dalam anggapannya sendiri, tetapi siapa mendengarkan nasihat, ia bijak (Ams 12:15). Dari segi semantik, boleh juga dikatakan bahawa seseorang itu berusaha untuk mengejar kepentingan sendiri secara tidak bertanggungjawab, bongkok kail hendak mendapat, serta tanpa mempedulikan hidup atau mati orang lain.

Tidak pemarah merupakan prestasi yang lemah lembut dan berpengetahuan. Sikap komunikasi adalah lebih penting daripada isi komunikasi. Berani kerana benar dan maafkan sewajarnya sering membawa kepada kesan komunikasi yang terbaik. “Lidah lembut mematahkan tulang” (Ams 25:15).

Tidak menyimpan kesalahan orang lain, berikan pengampunan yang sebenar tanpa perlu mengira bilangannya. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, pengampunan tujuh puluh kali tujuh kali yang bermaksud pengampunan daripada hati (Mat 18:21-35). Ayat ini juga bermaksud bahawa jangan mengingati kekurangan orang lain tetapi lihatlah kelebihan orang lain. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Tidak bersukacita karena ketidakadilan, tetapi karena kebenaran. Tindakan ini bermaksud usaha seumur hidup untuk mencari kebenaran. Walaupun selalu terdapat jurang antara cita-cita dengan kenyataan, namun jika kebenaran ialah mimpi, kita harus mempunyai keberanian untuk bermimpi, mengejar impian, dan membina impian. “Menyukai” kebenaran adalah lebih baik daripada bersikap “acuh tak acuh.”

Menutupi, percaya, mengharapkan, sabar boleh menjadi empat tahap dalam melayan orang yang berdosa. Dosa harus dibenci, tetapi kelemahan orang yang berdosa harus diberi toleransi. Percayalah bahawa taubat orang yang berdosa itu tulus. Kepercayaan ini meningkatkan keyakinan orang yang berdosa terhadap dirinya sendiri. Kita mengharapkan dan menunggu pembaharuan kehidupan orang yang berdosa. Hal ini kerana ada nyawa bermaksud ada harapan. Kesabaran merupakan usaha yang berterusan dan menunjukkan kasih yang tidak tergoyahkan (2 Kor 2:5-8).

 

KASIH TIDAK BERKESUDAHAN

Tuhan itu kasih. Tuhan sedia ada dan selamanya ada. Kasih juga tetap ada untuk selama-lamanya. Tuhan itu maha kuasa, dan kasih dapat mengubah dunia. Tuhan itu maha ada, dan kasih memasuki hati semua orang. Tuhan itu maha mengetahui, dan kasih melampaui semua pengetahuan.

Sama seperti kasih sayang ibu bapa yang tidak pernah hilang. Walaupun tubuh mereka semakin tua dan lemah, dan akan meninggalkan anak-anak mereka suatu hari nanti, namun peringatan mereka akan sentiasa terngiang-ngiang di telinga anak-anak, dan kasih mereka akan selalu dikenang dalam hati anak-anak.

Dorkas banyak berbuat baik dan memberi sedekah. Dia terutamanya menunjukkan kasih sayang kepada janda-janda sehingga mereka mempunyai baju dan pakaian untuk dipakai. Kematian Dorkas membuatkan mereka menangis semahu-mahunya. Murid-murid meminta Petrus datang berdoa untuknya. Semua janda menunjukkan baju dan pakaian yang dibuat oleh Dorkas kepada Petrus. Petrus lalu berlutut dan berdoa, dan Dorkas bangkit daripada antara orang mati. Makna dari segi teologi adalah bahawa kasih menjadikan semangat dan hidup manusia tetap ada untuk selama-lamanya.

Kasih bukan hanya pada kata-kata, tetapi harus ditunjukkan melalui tindakan. Amalan kasih membuatkan orang di bumi berasa bagaikan di syurga yang mempunyai keindahan, kebahagiaan dan terang yang abadi.