MEMBAWA BAYI UNTUK MEMBINA MEZBAH
(Saudari Wu Jiaru)
Bertekad Untuk Membina Mezbah Keluarga
Setelah dewasa, saya teringat bahawa walaupun saya dibesarkan di gereja, saya selalu merindui kehidupan duniawi, dan saya sering mencemburui kehidupan rakan-rakan sekelas saya, yang sentiasa dalam pelbagai corak kehidupan, manakala saya sentiasa bergelut antara kepercayaan dan kehidupan, ingin mendapatkan “keseimbangan” untuk mencapai kedua-duanya. Walaupun saya dilimpahi anugerah Tuhan, namun saya juga berpendapat bahawa kesejahteraan yang kebetulan ini adalah norma, saya pernah menghadapi banyak masalah dalam kepercayaan dan tersesat jalan.
Apabila saya berfikir kembali zaman kanak-kanak dan remaja saya, saya tidak dapat menahan diri daripada tertanya-tanya: Jika ibu bapa saya telah membawa keluarga untuk menjalankan mezbah keluarga pada masa itu, adakah saya akan membuat pilihan yang berbeza ketika saya menghadapi pencobaan dan godaan pada zaman persekolahan? Oleh itu, saya membuat keputusan bahawa apabila saya mempunyai anak di masa depan, saya pasti akan membawa mereka bersama saya untuk menjalani kehidupan mezbah keluarga. Syukur kepada Tuhan, pada setahun setengah yang lalu, Tuhan memberi kami seorang bayi yang sihat dan comel. Maka kami pun memulakan kehidupan mezbah keluarga.
Bermula Apabila Anak Berusia Sebulan
Dalam tempoh anak berusia sebulan hingga lima bulan di rumah, kami akan bermula dengan doa bahasa akal pada waktu pagi dan malam. Dari sudut pandangan kanak-kanak, kami bersyukur kepada Tuhan atas perlindungan dan penjagaan Tuhan pada siang hari, dan kemudian meneruskan doa dalam bahasa roh. Sewaktu berinteraksi dengan anak pada waktu siang, kami menyanyikan kidung kanak-kanak gereja dan menerangkan lirik kepada anak. Ketika saya memandikan anak itu, saya akan menyaksikan kepadanya perbuatan indah Tuhan pada dirinya dan keluarganya pada hari ini. Kebanyakan rutin anak saya pada tiga bulan pertama adalah tidur, apabila saya mengikuti kebaktian dalam talian dengan anak saya di rumah, kebanyakan masa saya akan memakai fon telinga untuk mendengar khutbah, ketika tiba masanya untuk menyanyi kidung dan berdoa, saya akan memainkan suara itu, tujuan utama saya ialah berharap bahawa dia akan menyukainya dan membiasakan diri dengan suara nyanyian kidung dan berdoa.
Kebanyakan aktiviti anak dalam tempoh ini dijalankan sewaktu didukung atau berbaring, dan juga diterima secara pasif. Sering kali kelihatan seperti ibu bercakap dengan dirinya sendiri (atau mengarah dan berlakon sendiri), kerana saya percaya bahawa ini adalah perkara yang membangun satu sama lain, jadi kami meneruskannya.
Saya masih ingat bahawa ketika anak berusia dua bulan, dia tidak membuang air besar selama sepuluh hari, dan perut anak didapati lembut, kami merujuk manual pendidikan kesihatan dan ia menyatakan bahawa itu adalah perkara biasa, tetapi saya selalu bimbang dan berasa pelik. Minggu itu adalah KKR musim bunga Gereja Taipei yang tertunda. Malam itu, saya sangat terharu sewaktu kebaktian dalam talian, dan selepas kebaktian itu, saya berdoa dengan bersungguh-sungguh dan mencucurkan air mata, saya meluahkan kebimbangan hati saya kepada Tuhan, dan selepas doa, saya merasakan ada arus hangat di paha saya. Syukur kepada Tuhan, Tuhan segera membalas doa saya, dan anak itu telah membuang air besar, saya benar-benar menangis dengan gembira pada masa ini. Sewaktu saya menyebut hal ini lagi, saya tersenyum ketika, tetapi ia juga mengingatkan saya tentang kehidupan sebagai ibu baharu yang tegang dan bimbang setiap hari, dan Tuhan Yesus sendiri telah memimpin sepanjang proses tersebut.
Biasakan Diri Dengan Tatacara Kebaktian Sejak Peringkat Bayi
Apabila anak itu beransur-ansur membesar, ketika dia berusia hampir setahun, kami mendapati dia mula memberikan sedikit tindak balas melalui reaksinya. Pada masa ini, iaitu bulan Mei 2021, ketika wabak di Taiwan semakin menular dan memasuki tahap kecemasan ketiga, dan selama hampir tiga bulan, semua orang tidak dapat berkebaktian di gereja, wakti inilah yang lebih menunjukkan kepentingan mezbah keluarga.
Setiap kali sebelum kebaktian dalam talian, mesti menyediakan persekitaran terlebih dahulu, dan mainan yang akan mengeluarkan bunyi dan boleh bergerak disimpan di dalam bilik terlebih dahulu, dan hanya barang-barang yang boleh dimainkan oleh anak semasa kebaktian ditinggalkan di ruang kebaktian. Apabila tubuh anak semakin berkembang, dia mungkin merangkak pada badan kami dari semasa ke semasa untuk meminta pelukan atau ingin berkongsi penemuan barunya. Tetapi dalam proses pembelajaran berulang kali, kami juga melihat bahawa dia secara beransur-ansur belajar untuk diam semasa kebaktian. Dia akan cuba mengeluarkan suara nyanyian sewaktu menyanyi kidung, dan menjabatkan tangannya ketika berdoa.
Semasa sarapan pagi, saya berkongsi ayat dari bacaan Alkitab semalam dengan anak saya, menerangkan maksud ayat dalam bahasa kanak-kanak, dan kemudian melafaznya. Ini lebih seperti melatih ibu sendiri untuk mengingati ayat-ayat suci, dan belajar menjelaskannya dengan kata-kata yang dapat difahami oleh anak, jadi ia juga mencerminkan sama ada saya telah mempelajarinya.
Sentiasa Bersyukur Kepada Tuhan Dan Mengalami Tuhan
Semasa saya kecil, saya selalu berasa janggal apabila orang dewasa menggunakan “syukur kepada Tuhan” sebagai slogan dan saya tidak memahami apakah yang mereka syukuri. Walaupun hati saya terharu pada masa tertentu, saya berasa malu untuk mengatakannya. Setelah saya membesar, saya semakin mamahami makna “syukur kepada Tuhan”. Ia merupakan singkatan satu demi satu pengalaman dan kesaksian kesyukuran tentang penyertaan Tuhan. Kadang-kadang, kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk menceritakan butiran terperinci, maka kita mengucapkan syukur kepada Tuhan, yang merupakan sasaran pertama ucapan syukur.
Suatu hari, saya perasan anak saya yang berusia satu tahun, selepas minum susu dan sendawa dengan sendiri, dia menoleh ke belakang dan menunggu saya berkata “syukur kepada Tuhan”, barulah dia tersenyum dan kembali ke urusannya. Saya terkejut, geli hati, dan sangat terharu. Ternyata kerana selepas saya tamat pengajian dan memasuki hospital untuk bekerja, saya menyesuaikan diri dengan kerja perubatan yang sibuk dan corak syif semasa tempoh baru, dan sering begitu sibuk sehingga saya hanya makan satu kali sehari. Dan ketika saya bercuti, saya akan membalas dendam terhadap diet untuk mengimbangi kerja keras saya. Saya sering kembung perut, berpeluh sejuk dan terjaga pada jam tiga setengah malam, saya berguling di tanah dalam kesakitan, dan saya masih tidak dapat sendawa dan melepaskan angin, dan semakin saya berasa cemas, semakin serius kekejangan usus itu. Saya mendapatkan rawatan kecemasan dan hasil diagnosis ialah diverticulitis. Pada masa itu, saya merasakan bahawa adalah rahmat yang luar biasa untuk dapat sendawa dan melepaskan angin. Oleh itu, setiap kali anak saya sendawa selepas minum susu, saya dengan senang hati berkata kepadanya: “syukur kepada Tuhan.”
Tentang berkongsi dan memimpin bayi dan anak kecil yang naif untuk melaksanakan mezbah keluarga, tidaklah sukar untuk melihat bahawa tiada proses mezbah keluarga yang standard. Oleh kerana bayi dan kanak-kanak masih belum dapat meluahkan perasaan mereka dan berkongsi fikiran mereka dengan jelas. Selalunya persefahaman tersirat antara ibu sepenuh masa dan anak-anak mereka dalam pergaulan jangka panjang menjadi maklum balas dan motivasi berterusan. Dalam proses itu, kami berharap untuk menggunakan apa-apa kaedah untuk bercakap tentang Tuhan, mendekatkan diri kepada Tuhan dan menyaksikan Tuhan, dan belajar untuk memuji Tuhan dan bersyukur kepada Tuhan melalui nyanyian kidung dan berdoa.
Utamakan Tuhan
Dalam generasi yang sibuk ini, saya percaya setiap orang mempunyai kesukaran yang sama dalam mengamalkan mezbah keluarga: tidak dapat konsisten, dan saya juga tidak terkecuali. Dengan perkembangan pesat kanak-kanak dalam tempoh ini, banyak kerja rumah, keinginan untuk masa “bebas” selepas anak tertidur, dan perkara-perkara remeh lain yang memenatkan, “maraton” mezbah keluarga ini terganggu dari semasa ke semasa, dan dalam kes yang teruk, ia juga terhenti untuk masa yang lama, walaupun saya ingin memulakannya semula, saya berasa malu dan tidak mahu meneruskan.
Semasa khutbah dalam talian, pendeta menggunakan peristiwa Ishak membina mezbah untuk mempersembahkan korban, mendirikan khemah, dan menggali sumur untuk bercakap tentang “urutan keutamaan seorang Kristian” iaitu Tuhan, keluarga (perkahwinan), dan pekerjaan, dan mendorong bahawa kita harus mengutamakan Tuhan. Mengutamakan Tuhan tidak bermakna hal-hal lain tidak penting; tetapi apabila kita mengutamakan Tuhan dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita belajar untuk menggunakan firman Tuhan sebagai panduana, berpegang pada janji Tuhan, dan bersukacita di dalam Tuhan, dengan cara ini kita membuat pilihan dalam kehidupan. Fikirkanlah, bukankah ini niat asal keputusan untuk melaksanakan mezbah keluarga? Sekarang teruskanlah dan “bermula lagi”.
Saya juga merasakan dalam proses ini bahawa jika saya mengabaikan penyempurnaan rohani saya sendiri, saya akan malas dalam memimpin amalan mezbah keluarga untuk anak saya. Ini tidak sukar untuk difahami, jika saya melayari Internet tanpa sekatan dan mahukan lebih banyak masa bebas, saya akan mengorbankan masa berdoa dan membaca Alkitab dengan tenang. Ketika anak menangis untuk mencari ibunya di tengah malam, saya akan masuk ke dalam bilik dalam penyesalan; Tiada sedikit pun pengetahuan dan kegembiraan dari Internet yang dapat menggantikan kepuasan dan sukacita daripada mendekatkan diri kepada Tuhan di taman doa!
Mengenali Tuhan Semula Bersama Anak
Syukur kepada Tuhan kerana memimpin anak saya untuk menjalankan mezbah keluarga sejak mereka masih bayi, yang membolehkan saya melihat pertumbuhan dan kemajuan mereka dari perspektif yang lebih positif, lagipun, tiada siapa yang akan menggunakan piawaian dewasa untuk menuntut bayi yang tidak sampai umur dua tahun! Proses amalan seperti ini juga seolah-olah menebus dan membaiki kekesalan saya tentang masa lalu.
Proses mezbah keluarga melibatkan pembelajaran dan latihan yang berterusan. Mungkin pada mulanya saya mahu anak saya belajar mengenal Tuhan dan bersyukur kepada Tuhan, tetapi saya sering kali mendapati bahawa sayalah yang belajar semula untuk mengenali Tuhan, dan mempraktikkan firman yang saya dengar. Saya memikirkan Ibrani 5:14: “Tetapi makanan keras adalah untuk orang-orang dewasa, yang karena mempunyai pancaindera yang terlatih untuk membedakan yang baik dari pada yang jahat.” (Namun, makanan keras adalah untuk orang dewasa — selepas mereka mempraktikkannya, pancaindera mereka telah dilatih, sehingga dapat membezakan antara yang baik dan yang jahat. Terjemahan Chinese Standard Bible)
Apabila api di mezbah keluarga dapat terus menyala, suasana di rumah akan menjadi harmoni dan ceria. Kehidupan masih sibuk, tetapi kerana Tuhan Yesus bersama kita di rumah, kehidupan yang sibuk dapat dilalui dengan tenang bersandarkan Tuhan. Walaupun ada kesusahan yang datang secara tiba-tiba, kami boleh belajar untuk berdoa dan bersandar kepada Tuhan, serta dilindungi oleh Tuhan untuk mengelakkan bahaya.
Terdapat pepatah yang mengatakan: Apabila suami dan isteri sama-sama menghormati Tuhan sebagai yang terutama, mereka menyerah diri kepada kuasa yang lebih tinggi, dan mereka tidak perlu bertegas untuk memainkan peranan Tuhan di hadapan anak-anak mereka. Jika suami dan isteri menganggap diri mereka sebagai kuasa tertinggi, mereka kehilangan keupayaan mereka untuk belajar daripada anak-anak. Saya bersetuju dan mengambil ini sebagai peringatan.
Syukur kepada Tuhan, perkongsian ini memberi saya peluang untuk menyelidiki dan merenung kembali kehidupan penyempurnaan rohani saya. Walaupun terdapat banyak kekurangan, namun saya dapat melihat bimbingan dan pelengkapan Tuhan dalam proses itu. Kami akan meneruskan amalan kehidupan mezbah keluarga dan memohon agar Tuhan akan terus memimpin kehidupan mezbah keluarga kami.
Semoga perkongsian kecil ini dapat memberi semangat dan bantuan kepada anda yang masih teragak-agak untuk terus maju.