PANDUAN PEMBACAAN KITAB AMOS
PENULIS
Nama Amos ini pada asalnya bermaksud “penanggung beban berat”. Dia berasal dari Tekoa (terletak kira-kira 5 batu di tenggara Bethlehem) yang terkenal dengan kebijaksanaan (2 Sam 14:2). Dia seorang penternak dan pemungut buah ara hutan (7:14). Dia dilahirkan di Yehuda dan dipanggil ke kerajaan Israel utara untuk memberitakan amaran. Dia menjadi seorang nabi kerana dia jelas merasakan panggilan Tuhan yang mendesaknya seperti singa yang mengaum (3:8). Dia setia kepada Tuhan dan kebenaran, tidak berkompromi, tidak memihak, berseru demi keadilan Tuhan, dan mendesak orang supaya sedar dan bertaubat.
Tentang Israel pada zaman Uzia, raja Yehuda, dan dalam zaman Yerobeam, anak Yoas, raja Israel, dua tahun sebelum gempa bumi (1:1). “Dua tahun sebelum gempa bumi” – Walaupun tarikhnya sukar dikenalpasti, namun menurut data arkeologi serta penggalian di Hazor dan Samaria, adalah dianggarkan bahawa masanya adalah pada sekitar tahun 761 SM. Jadi kitab ini ditulis pada sekitar tahun-tahun tersebut. Pekerjaannya berakhir pada sekitar tahun 753 SM.
LATAR BELAKANG MASA
Oleh sebab kemerosotan musuh utara yang kuat iaitu kerajaan Aram, maka Yerobeam II (786 – 746 SM) dapat mengembalikan daerah Israel (2 Raj 14:23-29) dan meluaskan daerah. Di bawah pemerintahannya yang kuat, ekonomi menjadi makmur, pembinaan ada di merata tempat, pertanian dan penternakan juga sangat maju. Walau bagaimanapun, akhlak moral mereka sangat rosak. Kebanyakan orang mendapat keuntungan dengan kaedah yang tidak betul (8:5), banyak masalah sosial, orang yang tidak berdaya ditindas dan dihina, betul dan salah diterbalikkan, dan keadilan diputarbalikkan. Dari segi agama, penampilannya kelihatan sangat makmur, dan perayaannya sangat mengagumkan, tetapi Tuhan jijik dan tidak berkenan kepada mereka. Hal ini kerana mereka memuliakan Tuhan dengan bibirnya, padahal hatinya jauh daripada Tuhan. Ibadah mereka telah dicampur aduk dengan kepercayaan karut dan agama campuran. Mereka menyembah patung lembu jantan emas dan juga Baal (1 Raj 12:25-33). Maka, Tuhan memanggil nabi Amos untuk memberi amaran kepada orang Israel bahawa malapetaka sudah dekat di depan mata.
Tuhan pernah mengutus nabi Elia, Elisa, dan Yunus untuk memberi amaran kepada orang Israel, tetapi tidak ada gunanya. Tuhan lalu mengutus Amos dan Hosea sebagai usaha terakhir untuk mencegah bangsa Israel daripada menuju kematian.
FASAL 1 & 2: ISRAEL DAN NEGERI-NEGERI JIRAN AKAN DIHUKUM
Amos boleh disebut sebagai perintis dalam kalangan para nabi. Dia mula-mula menyatakan bahawa TUHAN ialah Tuhan bagi semua bangsa di bumi. Dia bukan hanya Tuhan Israel, tetapi juga pemerintah atas segenap kerajaan bangsa. Dia menghakimi orang Aram, orang Filistin, orang Amon, orang Moab, Yehuda, Israel, dan lain-lain kerana “tiga perbuatan jahat mereka, bahkan empat” (1:3,6,9,11,13, 2:1) serta kedegilan hati mereka. Mereka tidak pernah sedikitpun menyesali dosa-dosa mereka sehingga mendatangkan penghakiman kehangatan murka Tuhan.
Nabi berkata bahawa kejahatan adalah bersifat sosial bagi bangsa asing. Tidak berlaku adil bagi orang yang lemah, orang jahat mengirik orang bagaikan makanan (1:3), menjadikan orang sebagai komoditi untuk dijual (1:6), membunuh perempuan-perempuan hamil dan membunuh janin yang belum dilahirkan (1:13), dan menjadikan tulang-tulang orang mati sebagai bahan yang boleh digunakan (2:1) merupakan perbuatan yang sangat jahat dan berdosa.
Tuhan menuntut dosa bangsa-bangsa dan khasnya lebih memerhatikan umat pilihan-Nya. Dosa Yehuda (2:4-5) adalah bahawa mereka memandang hina terhadap hukum dan ketetapan-ketetapan Tuhan serta cenderung ke arah berhala. Dosa orang Israel (2:6-8) menghampiri “tidak masuk akal dan keterlaluan”. Mereka menginjak-injak kepala orang lemah ke dalam debu (2:7), hidup mereka berfoya-foya dan hancur. Tidak kira agama atau akhlak moral mereka telah sampai ke tahap yang tidak dapat diselamatkan lagi. Mereka umpama kain dalam acar dikutip cuci, dia hendak masuk ke longkang juga. Kata-kata teguran Tuhan kepada bangsa bukan Yahudi adalah tentang kekejaman mereka dalam peperangan. Namun bagi Israel, Tuhan menegur mereka atas ketidakadilan mereka terhadap orang yang tidak bersalah, terutamanya pada masa damai (2:6-8). Israel tidak boleh dimaafkan kerana mereka tidak takut akan Tuhan dan tidak mengikuti Tuhan walaupun mereka mempunyai kesaksian sejarah yang menunjukkan kasih karunia Tuhan. Hal ini menyebabkan dosa-dosa mereka lebih serius dan mereka harus menanggung akibat dosa mereka.
FASAL 3: KETEGARAN
Bermula fasal 3, Tuhan fokus pada menegur niat jahat Israel. Tuhan memulakan penghakiman dengan “Dengarkan firman ini” (3:1, 4:1, 5:1) untuk menegur Samaria dan Betel. Samaria merupakan ibu kota negeri Israel di utara dan dibina di atas bukit setinggi 300 meter. Samaria dikelilingi oleh gunung di ketiga-tiga sisinya. Topografi dan persekitarannya sangat indah. Istana di kota ini didirikan dengan titik peluh orang miskin (2:6,7, 3:10, 5:11). Para pemimpin menindas orang miskin dan bahkan mengejutkan orang Mesir dan orang Filistin!
Betel merupakan pusat keagamaan kerajaan Israel. Anak lembu jantan emas (1 Raj 12:25-33) yang dibuat oleh Yerobeam di sini masih ada sehingga hari ini. Nubuat Amos dinyatakan di sini.
Israel dipilih oleh Tuhan. Tuhan memberikan kehormatan dan kemuliaan kepada Israel. Dia menyebut mereka “umat-Ku” dan memberikan tanah milik kepada mereka. Walau bagaimanapun, tindakan dan perbuatan mereka tidak berpadanan dengan kasih karunia yang diterima oleh mereka. Oleh itu, Tuhan mengumumkan: “Kesudahan telah datang bagi umat-Ku Israel” (8:2). Tuhan akan menghukum semua dosanya.
Nabi menggunakan serangkaian pertanyaan, mengambil tujuh perumpamaan sebagai contoh, dan menggunakan ungkapan “jika” untuk mendorong orang Israel supaya memerhatikan keadaan mereka. Dia dengan tulus mengulangi bahawa TUHAN sudah mula berbicara, dan nabi tidak boleh terus berdiam diri. TUHAN akan bertindak menjalankan penghakiman dan tidak akan menyayangkan mereka.
Dosa dan kejahatan Israel jelas bagi semua orang, dan bahkan diketahui oleh orang bukan Yahudi. Orang Israel akan bermain pisau luka. Tuhanlah pembalas. Kehidupan mereka yang selesa akan dihapuskan (3:15), dan bahkan kehidupan beragama mereka juga akan ditarik kembali (3:14).
Setelah kekalahan Israel kerajaan utara, mezbah Betel dihapuskan dalam pembaharuan agama semasa pemerintahan raja Yosia dari Yehuda (2 Raj 23:15,17). Hal ini menggenapi kata-kata di (3:14). Hari ini, kita dapat menjadi anak-anak Tuhan. Apabila berhadapan dengan Tuhan yang penuh kasih, adil dan benar ini, kita harus hidup dengan lebih berjaga-jaga agar tidak terjatuh ke dalam murka Tuhan.
FASAL 4: BERSIAPLAH UNTUK BERTEMU DENGAN TUHANMU
Perempuan-perempuan Samaria mabuk dalam kemewahan yang melampau, dan kenikmatan itu diperoleh dengan memeras orang lemah dan miskin. Nabi menggunakan “lembu-lembu Basan” untuk menggambarkan perempuan-perempuan itu. Beberapa tahun kemudian, mereka akan diangkat dengan kait (4:2). Sejarah memberitahu kita bahawa tentera Asyur memperlakukan para tawanan dengan cara ini – mengenakan kelikir pada bibir mereka dan membawa mereka pergi.
Ketika Amos memberitakan nubuat, Israel masih berada dalam keadaan yang sangat makmur. Secara lahiriahnya, umat manusia masih giat dengan kehidupan beragama. Mereka melakukan ziarah ke Betel dan Gilgal, dan mempersembahkan korban di Bait Suci. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai formaliti ibadah, tetapi memungkiri kekuatannya. Mereka mempunyai penampilan bergama, tetapi memutarbelitkan iman kepercayaan asalnya. Mereka mengutamakan dan mengamati ritual agama dengan ketat, tetapi mereka buas dan kejam. Betapa menyindirnya hal ini. (1 Sam. 15:22) “Sesungguhnya, mendengarkan lebih baik dari pada korban sembelihan, memperhatikan lebih baik dari pada lemak domba-domba jantan.” Dosa agama menggambarkan mentaliti salah umat yang mencari berkat melalui perbuatan baik.
Hukuman Tuhan pasti akan tiba, sama seperti Dia menunggangbalikkan Sodom dan Gomora sebelumnya. Dengan begitu banyak ajaran dan pengalaman yang menyakitkan, nabi menegur kebebalan, kebodohan dan kekerasan hati Israel dengan lima kali ungkapan “namun kamu tidak berbalik kepada-Ku”. Mereka akhirnya akan berhadapan dengan penghakiman yang adil daripada Tuhan.
FASAL 5: HARI TUHAN
Menurut kebiasaan Timur Dekat kuno, apabila ada pengebumian, pasti ada orang yang meratap untuk menyatakan kekesalan terhadap orang yang mati. Oleh itu, ratapan ialah puisi yang menyedihkan. Nabi memulakan kata-katanya dengan ratapan. Israel seperti orang yang hampir putus nyawa, sakit tenat, dan akhirnya bakal menemui ajal. Baik Betel mahupun Gilgal tidak dapat dipulihkan, hanya sepersepuluh yang tersisa (5:3). Hal ini menggambarkan bahawa tahap kematian dan kehancurannya sangat serius. Kita berasa patah hati. Mengapa umat pilihan begitu menderita? Mengapa hukuman itu begitu mendalam? Kita dapat melihat bahawa Tuhan tidak dapat sabar terhadap kejahatan dan juga sifat manusia yang tegar dan memberontak.
Walau bagaimanapun, bukan sepenuhnya tidak ada sedikitpun harapan dalam kesuraman ini. Nabi tidak hanya membuat dakwaan dan teguran secara negatif. Dia bertindak lebih jauh dengan menunjukkan cara untuk berpatah balik. “Carilah Aku, maka kamu akan hidup!” (5:4). “Carilah yang baik dan jangan yang jahat, supaya kamu hidup;” (5:14). Harapan bagi mereka yang dihukum ini menunjukkan kasih dan kesabaran Tuhan. Namun umat Israel tidak mempertahankan peluang “mungkin” ini (5:15). Akhirnya, kerajaan itu hancur, rumahtangga menjadi porak peranda, dan tanah tandus menjadi kesudahan sejarah mereka.
Hari TUHAN – Dalam hati orang Israel, hari itu penuh dengan sukacita. Hal ini kerana Tuhan memimpin mereka di antara mereka. Namun bagi orang yang melakukan kejahatan dan dosa, hari itu sangat dahsyat. Kini, hari TUHAN akan menjelang. Kebenaran dan keadilan Tuhan akan dinyatakan dalam penghakiman. Perbuatan jahat orang Israel akan didapati terlalu ringan apabila ditimbang dengan neraca Tuhan.
FASAL 6: DITAWAN
Dalam perenggan terakhir amaran nabi kepada keluarga Israel, kita hanya melihat pengumuman hukuman, tidak lagi ada kata-kata nasihat atau janji. Gambaran ini adalah tentang hal-hal yang akan dihadapi oleh Israel pada masa kelak.
Nabi menegur kemerosotan hidup pemimpin Israel. Mereka menghias keamanan dan berusaha untuk tidak memikirkan hari malapetaka. Mereka hanya mencari keselesaan di hadapan mata, menyanyi dan bermain kecapi, bersenang-senang, dan berfikir bahawa malapetaka tidak akan pernah datang.
Nabi mula-mula membandingkan pengalaman mereka dengan tiga kota. “Kalne, Hamat dan Gat” merupakan kota-kota penting pada masa itu. Kota-kota ini lebih unggul daripada Israel tidak kira dari segi wilayah ataupun rakyatnya. Walau bagaimanapun, kota-kota ini juga berada di ambang tunggangbalik. (Kota-kota ini diserang oleh kerajaan Asyur pada tahun 738 SM). Israel pula masih tidak menyedari krisis itu, dan mereka menikmati kesenangan dalam dosa. Ketika hari Tuhan tiba, seluruh kota akan diserahkan ke dalam tangan musuh. Selain menghadapi peperangan, mereka juga berhadapan dengan wabak yang menular selepas peperangan. Mereka yang tidak mati di bawah api peperangan pasti kehilangan nyawa mereka dalam wabak itu. Hal ini kerana kemusnahannya adalah secara menyeluruh. Tidak ada orang yang dapat melarikan diri atau terhindar.
Kebanggaan mereka pada asalnya diberikan oleh Tuhan. Namun kebanggaan itu menjadi penyebab kecongkakan mereka. Mereka benar-benar bobrok dalam kasih karunia Tuhan, dan bahkan sisa-sisa itu tidak akan selamat.
Sebab utama kekalahan dan kehancuran Israel ialah penyelewengan kebenaran dan keadilan, hukum Taurat tidak dihormati, dan keadilan tidak dapat ditegakkan. Mereka angkuh bahawa mereka orang-orang terkemuka dari bangsa yang utama (6:1). Namun, kebanggaan dan kemenangan masa lalu tidak menjamin damai sejahtera yang kekal kerana kemenangan ada di tangan TUHAN (Ams 21:31). Sekarang, Tuhan semesta alam membangkitkan suatu bangsa (Asyur) untuk menyerang Israel. Kekalahan dan kehancuran mereka adalah pasti!
FASAL 7: PERNYATAAN HATI DAN PEMIKIRAN TUHAN
Tuhan mengizinkan Amos melihat tiga penglihatan. Selain melihat kesabaran Tuhan, kita juga dapat merasakan kasih nabi terhadap umat. Waktu dan tempat penglihatan tidak disebutkan di sini. Dua malapetaka pertama ialah tulah belalang dan api. Ketika nabi berdoa kepada Tuhan untuk memohon belas kasihan, Tuhan tidak mengampuni dosa-dosa mereka walaupun Tuhan meniadakan malapetaka itu. Oleh itu, nabi tidak berani memohon lagi dalam malapetaka yang ketiga. Hal ini kerana Tuhan telah menghulurkan tangan penghakiman yang adil. “Aku tidak akan memaafkannya lagi.” Nampaknya, penghakiman telah ditetapkan dan tidak dapat diubah lagi.
Setelah penglihatan itu, Amazia, seorang imam penyembah berhala mengancam dan menekan nabi untuk melarangnya memberitakan pesanan Tuhan. Namun, Amos mentaati panggilan dan perintah Tuhan. Dia tidak takut dengan pengaruh kuasa dan bahaya nyawa. Sebaliknya, dia menunjukkan semangat dan tekad yang tidak menyerah kalah demi firman Tuhan.
FASAL 8: PENGLIHATAN BAKUL DENGAN BUAH-BUAHAN MUSIM KEMARAU
Perumpamaan keempat yang diucapkan oleh nabi mempunyai pesanan yang sama dengan perumpamaan “tali sipat” ketiga. Tuhan telah mengukur dosa orang Israel dan tidak akan memaafkan mereka lagi. “Buah-buahan musim kemarau” rosak dengan kadar yang lebih cepat kerana panas dan tidak dapat disimpan lama. Hal ini menunjukkan bahawa hukuman / ajaran Tuhan sudah ada di depan mata. Penghakiman tidak bersifat serantau, tetapi universal. Seluruh alam semesta akan kehilangan normalnya. Kelaparan yang teruk akan menjelang, bukan hanya kelaparan dari segi material, tetapi juga kelaparan dan kehausan dari segi roh. Dalam keadaan yang putus harapan, mereka tidak bertaubat kepada Tuhan, sebaliknya berpaling kepada para tuhan / dewa-dewa ajaran lain. Mereka bukan hanya menyembahnya, tetapi juga bersumpah demi namanya. Tindakan ini lebih lagi membangkitkan murka Tuhan. Mereka itu akan rebah dan tiak akan bangkit-bangkit lagi. Mereka akan mengembara dari laut ke laut, dan menjelajah dari utara ke timur, tetapi usaha itu adalah sia-sia kerana masa untuk mencari Tuhan telahpun berlalu (8:12). “Carilah TUHAN selama Ia berkenan ditemui; berserulah kepada-Nya selama Ia dekat!” (Yes 55:6).
FASAL 9: JANJI TENTANG PEMULIHAN ZAMAN AKHIR
“Untuk kecelakaan dan bukan untuk keberuntungan” (9:4) merangkum makna penglihatan yang kelima. Penglihatan pertama dan kedua menunjukkan bahawa Tuhan masih mengharapkan orang Israel bertaubat supaya mereka dapat menghindari bencana. Namun Tuhan semakin kecewa. Penglihatan ketiga menyatakan bahawa Tuhan tidak akan memaafkan mereka lagi. Penglihatan keempat menentukan kesudahan Israel. Dalam penglihatan terakhir, tempat kudus akan dirobohkan, rakyat di seluruh negeri akan binasa dan mereka tidak ada sebarang harapan lagi. Tuhan menggunakan lima ungkapan “sekalipun” untuk menunjukkan bahawa Tuhan bermaksud untuk melaksanakan hukuman dan tidak seorang pun daripada mereka akan dapat meluputkan diri. Empat puluh tahun kemudian, nubuat ini digenapi. Kerajaan Israel yang murtad ditunggangbalikkan dan musnah di tangan kerajaan Asyur pada tahun 721 SM.
Kesimpulan kitab ini menunjukkan bahawa kejatuhan Israel belum berakhir (9:8-15). Penglihatan tentang hari yang terang akan tiba setelah kegelapan terus muncul dalam nubuat para nabi. Walaupun mereka ditawan, harapan itu tidak pernah hilang. Tuhan masih ada pesanan-pesanan baharu dan memberikan janji-janji baharu. Nubuat akhir zaman tentang anugerah keselamatan pasti akan digenapi.
Kesimpulan kitab Amos bukan hanya merujuk kepada sejarah Israel pada zaman itu, tetapi juga menubuatkan realiti penyelamatan dan penebusan pada masa kelak. Menurut keadilan Tuhan, Dia pasti akan melenyapkan kerajaan yang berbuat dosa. Namun menurut janji Tuhan, akan ada sisa umat yang kembali ke tempat yang kudus dan mendirikan kembali pondok Daud yang telah roboh (9:11-15). Walaupun nubuat ini merujuk kepada kerajaan selatan dan kerajaan utara pada waktu itu, namun nubuat ini juga menubuatkan pembangunan kembali kerajaan Israel yang rohani pada akhir zaman — Gereja Yesus Benar. Tuhan mahu membangun umat-Nya, bukan hanya Israel, tetapi juga bangsa-bangsa lain yang percaya kepada Kristus.
Pengumuman nubuat nabi berakhir di sini. Kita telah melihat keserakahan dan kedegilan manusia. Kita juga telah merasakan ketekunan Tuhan, kesabaran Tuhan, dan akhir sekali penghakiman-Nya yang adil. Semua ini benar-benar menjadi pelajaran bagi kehidupan rohani pemercaya pada hari ini.