PANDUAN PEMBACAAN KITAB HAKIM-HAKIM
PENGENALAN
Kitab Hakim-hakim ialah gambaran zaman dan juga gambaran kehidupan kita. Kitab ini juga boleh disebut sebagai miniatur sejarah manusia dan merupakan sebuah kisah yang menggambarkan kejayaan atau kegagalan dunia. Kitab ini mengungkapkan perbuatan Tuhan satu persatu, dan memberitahu kita cara tangan-Nya mencampuri urusan manusia. Kitab Hakim-hakim merupakan gulungan kitab yang berbaloi untuk dikaji dengan teliti. Mereka yang ingin memahami sejarah peradaban manusia harus membaca kitab ini, dan mereka yang ingin memahami kehendak Tuhan lebih lagi harus membaca kitab ini.
Kitab ini mengandungi puisi kuno (fasal 5), perumpamaan dengan pengajaran moral (9:8-15), dan kisah kepahlawanan para hakim (penyelamat bangsa Israel). Jika pembaca menikmati dan merenungkan kitab ini dengan teliti, mereka dapat mempelajari banyak pengajaran daripadanya dan membangun kerohanian sendiri.
Membaca kitab Hakim-hakim adalah menyeronokkan kerana kitab ini menggambarkan dengan jelas bahawa pahlawan dan orang-orang raksasa setia kepada Tuhan dan berusaha menyelesaikan “amanat di luar kemampuan manusia”. Kitab ini juga menggambarkan Tuhan memperlihatkan kekuasaan-Nya dalam situasi yang bergolak.
Kitab Hakim-hakim merupakan sumber maklumat utama untuk zaman para hakim. Sebelum mengkaji kitab Hakim-hakim, kita mesti terlebih dahulu memahami sifat asas kitab ini. Penulis mencatatkan sejarah dari perspektif agama (memasukkan teori kitab Ulangan ke dalam karya). Penulis mengumpulkan banyak maklumat sejarah kuno dan menyusunnya menjadi kitab. Sebilangan kisah dalam kitab ini tidak semestinya disusun mengikut urutan kronologi. Daripada struktur kitab, kita dapat melihat bahawa: Fasal 1-2 ialah pengenalan kepada zaman ini; fasal 3-16 menerangkan tempoh pemerintahan para hakim dan penindasan musuh. Para penganiaya ini termasuk orang Mesopotamia, orang Moab, orang Kanaan, orang Midian, orang Amon, dan orang Filistin. Fasal 17-21 ialah lampiran yang menggambarkan kekacauan dan kejahatan pada zaman awal para hakim iaitu perkara-perkara yang berlaku sebelum atau semasa Otniel menjadi hakim. Bahagian ini mencatatkan dua kisah: penghijrahan suku Dan (kekacauan agama), dan pertempuran dengan suku Benyamin (kekacauan antara suku-suku).
Nama Kitab
Penetapan jabatan “hakim” bermula dengan Musa (rujuk: Ul 16:18, 17:9, 19:17. Ketiga-tiga ayat ini semuanya diterjemahkan sebagai hakim – judges). Pada masa itu, tugas utama hakim adalah untuk menolong imam besar dalam kerja penghakiman atau kepimpinan. Setelah kematian Yosua, para pahlawan yang memimpin orang Israel untuk mengalahkan musuh mereka disebut “hakim” dalam kitab ini. Alkitab terjemahan bahasa Inggeris menterjemahkannya sebagai Judges yang bermaksud hakim. “Hakim” secara harfiah bermaksud orang yang menghakimi. Namun sebenarnya, tugas mereka bukan hanya untuk menentukan kebenaran dan kesalahan. Dalam situasi pergolakan pada masa itu dengan masa depan yang tidak menentu, mereka merupakan “kepala suku” dari segi status, dan “pahlawan” atau “penyelamat” dari segi amanat. Ketika orang Israel ditindas oleh musuh, mereka bangkit untuk menyelamatkan umat daripada tangan musuh (2:16). Mereka bukan hanya mengalahkan musuh, tetapi juga mengembalikan ketenteraman sosial. Jadi hakikatnya, hakim ialah “pahlawan nasional” atau “penyelamat”. Kitab ini disebut “Hakim-hakim” kerana kitab ini mencatatkan kisah dua belas orang hakim yang dibangkitkan oleh Tuhan tampil untuk menyelamatkan orang Israel daripada musuh mereka.
“Hakim” dalam bahasa Ibrani ialah Shophetim dan diterjemahkan sebagai Judges dalam bahasa Inggeris. Pada zaman kuno, Carthage dan Ugarit digunakan untuk menggambarkan pengawas kota (pegawai pemerintah kota). Pegawai-pegawai ini berasal daripada kelas atasan, dilahirkan sebagai bangsawan, dan dilantik oleh maharaja sebagai ketua tempatan. Walau bagaimanapun, hakim-hakim dalam Alkitab tidak semestinya berasal daripada kelas atasan. Contohnya, Samgar merupakan seorang gembala yang menghalau lembu dan Yefta ialah anak haram. Mereka menerima tugas kerana dipilih oleh Tuhan, memperoleh kuasa daripada Tuhan, dan memiliki bakat kepimpinan untuk memimpin orang Israel menghadapi situasi atau krisis yang tertentu. Secara amnya, amanat mereka adalah singkat dan hanya terbatas di kawasan setempat. Setelah mereka menyelesaikan amanat yang dipercayakan, mereka pulang ke tempat asal mereka dan meneruskan pekerjaan asalnya. Kerja hakim adalah bersifat separa. Jika terdapat musuh di banyak tempat pada masa yang sama, Tuhan akan membangkitkan banyak hakim pada masa yang sama untuk memimpin orang Israel melawan musuh.
Latar Belakang Sejarah
Kitab Hakim-hakim mencatatkan sebahagian sejarah selepas kematian Yosua dan penaklukan tanah Kanaan oleh orang Israel. Pada waktu itu, setelah suku-suku Israel memperoleh tanah, semua orang sibuk meneroka tanah, membangun rumah dan kota, mengukuhkan kedudukan mereka, dan memastikan keselamatan mereka sendiri. Berdasarkan situasi pada masa itu, orang Israel tidak mematuhi perintah Tuhan untuk melaksanakan dasar menghapuskan penduduk asli Kanaan. Sebaliknya, mereka berkahwin dengan orang Kanaan dan diasimilasikan secara beransur-ansur.
Setelah bertahun-tahun hidup mengembara dan berkhemah di padang gurun, mereka kini telah memasuki Kanaan. Mereka mula mengusahakan ladang untuk mencari nafkah. Orang Israel menjalani kehidupan nomad di padang gurun, dan tentunya mereka berasa asing tentang pertanian. Oleh itu, mereka belajar daripada orang Kanaan setempat dalam bidang pertanian. Orang Kanaan mempunyai adat-adat menyembah hantu dan dewa dalam banyak kebiasaan dan cara pertanian mereka. Selepas satu tempoh masa, orang Israel telah terbiasa dan terpengaruh dengan adat istiadat mereka. Orang Israel pun mula menyembah berhala, mengalami keruntuhan akhlak moral dan menjauhkan diri daripada Tuhan yang benar (3:7, 10:6).
Daripada tugu tanah kuno yang digali dari tempat lama Ugarit (pelabuhan Ugarit yang terkenal pada masa itu), iaitu Ras Shamra pada masa sekarang, kita mendapat pemahaman yang lebih baik tentang penyembahan berhala orang Kanaan. Mereka menyembah Baal dan Asytoret. Upacara penyembahan mereka adalah sangat kejam dan tidak senonoh. Mereka mempersembahkan manusia sebagai korban, memperdagangkan hamba dan melakukan segala macam pemberontakan. Kerakusan dan hawa nafsu yang disukai oleh orang Kanaan mempunyai kaitan dengan ritual mereka menyembah para dewa. Mereka percaya bahawa ritual yang bersuka-ria ini dapat menghasilkan induksi ajaib sehingga mempengaruhi para dewa untuk memberikan tanah yang subur dan gandum yang berlimpah-limpah kepada mereka. Agama jenis ini disebut “pemujaan kesuburan” (fertility cult). Mereka mengadakan upacara di puncak gunung dan di tempat kudus. Mereka mempersembahkan korban binatang di atas mezbah dan ada juga yang mengorbankan kanak-kanak. Kebiasaan jahat ini sepatutnya dibenci oleh umat Tuhan. Musa dan Yosua pernah memberi peringatan dan amaran kepada mereka (Ul 7:1-6; Yos 23:6-13). Namun, orang Israel juga mempelajari kebiasaan penyembahan berhala orang Kanaan apabila belajar tentang pertanian daripada mereka. Akibatnya, orang Israel terjatuh dalam iman kepercayaan mereka. Mereka melakukan kejahatan di mata Tuhan, melupakan Tuhan Allah mereka, dan menyembah dewa-dewa / allah-allah asing. Oleh itu, Tuhan membangkitkan musuh untuk menghukum orang Israel. Semua ini dicatatkan dalam kitab Hakim-hakim.
Masa
Tempoh ini adalah antara akhir Zaman Gangsa dengan permulaan Zaman Besi di Palestina (1400-1100 SM). Dalam Alkitab, kita mendapati bahawa besi mula digunakan untuk keperluan harian pada waktu itu. Sebagai contoh, ranjang besi besar Og, raja Basan (Ul 3:11). Dalam urusan ketenteraan, orang Kanaan menggunakan kereta besi (Yos 17:16) dan raja Yabin mempunyai 900 kereta besi (4:3).
Tujuan penulisan kitab Hakim-hakim adalah atas alasan agama iaitu mengajar umat supaya takut akan Tuhan, mematuhi perintah-perintah-Nya dan berkenan kepada Tuhan. Sekiranya mereka melakukan kejahatan di mata Tuhan, Dia akan mengajar dan menghukum dengan menggunakan tangan musuh. Oleh itu, banyak nombor dalam kitab ini tidak mempunyai nilai matematik mutlak. Penulis menyukai beberapa angka bulat, seperti dua puluh, empat puluh, lapan puluh tahun, dan lain-lain. Nombor-nombor ini ditulis oleh penulis untuk tujuan tetapnya sendiri. Penjelasan sejarahnya tidak mengambil kira kronologi masa, tetapi hanya mengumpulkan beberapa serpihan sejarah dan menghubungkannya bersama.
Kita dapat melihat daripada kitab ini bahawa nampaknya tidak ada hubungan antara suku dengan suku pada masa itu, apatah lagi perpaduan. Sebaliknya, mereka mentadbir dan mengurus kehidupan mereka masing-masing. Oleh itu, kadang-kadang ada peperangan dalam satu suku, tetapi ada kedamaian pada suku yang lain; ada kalanya musuh menyerang satu atau beberapa suku, dan ada kalanya terdapat beberapa orang hakim pada waktu yang sama untuk memerintah suku yang berbeza. Maka, terdapat pendapat yang berbeza mengenai zaman sebenar para hakim. Sekiranya kita menambah tahun-tahun yang tercatat dalam fasal 2-16, zaman para hakim adalah selama 410 tahun. Namun menurut kitab 1 Raj 6:1: “Dan terjadilah pada tahun keempat ratus delapan puluh sesudah orang Israel keluar dari tanah Mesir, pada tahun keempat sesudah Salomo menjadi raja atas Israel”. Sekiranya kita membuat perbandingan, orang Israel mengembara di padang gurun selama 40 tahun, Yosua menjadi pemimpin untuk kira-kira 16 tahun, ada jarak masa kira-kira 5 tahun antara kematian Simson dengan masa Saul menjadi raja, Saul memerintah selama 40 tahun, Daud memerintah selama 40 tahun, dan Salomo memerintah selama 4 tahun, jumlahnya ialah 145 tahun. Dengan pengiraan ini, zaman para hakim adalah tidak melebihi 335 tahun. Ketika Yefta berdebat dengan raja bani Amon, dia ada menyebut bahawa bani Gad, bani Ruben dan setengah suku Manasye telah diam di seberang timur Yordan selama tiga ratus tahun (11:26). Pernyataan ini membuktikan pendapat ini.
Sekiranya kita menghitung berdasarkan masa yang ditetapkan oleh sejarawan Albright, zaman para hakim hanya selama 200 tahun sahaja, iaitu pada tahun 1250-1050 SM. Hal ini kerana banyak kisah hakim mungkin berlaku dalam tempoh masa yang sama. Sebenarnya, jika kita menambahkan tahun-tahun yang disebut dalam kitab Hakim-hakim satu persatu, jumlahnya ialah 410 tahun. Oleh itu, tidak kira kita mengambil pandangan bahawa zaman para hakim merangkumi 300 tahun atau hanya 200 tahun, kita tetap perlu menyedari bahawa terdapat beberapa kisah yang berlaku dalam tempoh masa yang sama. Oleh itu, masa dan peristiwa itu telah berulang.
Penulis
Penulis kitab Hakim-hakim tidak dinyatakan dengan jelas dalam kitab ini. Menurut pandangan tradisi Yahudi, mereka percaya bahawa kitab ini ditulis oleh nabi Samuel kerana Samuel merupakan nabi pada zaman itu.
Penulis banyak mengetahui tentang zaman para hakim. Ketelitian dalam penulisan yang ditonjolkan bukanlah suatu catatan yang dapat ditulis oleh generasi selepasnya. Berdasarkan isi kandungan kitab, kita dapat melihat bahawa ketika penulis menulis,:
- Orang Yebus masih menguasai Yerusalem (1:21). Jadi masa penulisan adalah sebelum Daud menawan Yerusalem.
- Pada masa itu, Gezer masih menjadi tempat tumpuan orang Kanaan (1:29). Setelah raja Mesir merebut kota ini, Firaun memberikannya kepada isteri Salomo (puteri Firaun) sebagai hadiah kahwin (1 Raj 9:16). Jadi kitab ini ditulis sebelum Salomo menjadi raja.
- Khemah Suci telah dipindahkan dari Silo (18:31). Masa penulisan kitab ini mestilah pada awal pemerintahan Daud.
Selain itu, ungkapan “pada zaman itu tidak ada raja di antara orang Israel” muncul berkali-kali dalam kitab ini (17:6, 18:1, 19:1, 21:25). Ayat ini memberikan makna tersirat kepada kita bahawa kitab ini mula ditulis setelah raja pertama – Saul diurapi.
Berdasarkan pandangan ini, kitab ini mungkin diselesaikan dalam suatu titik masa antara akhir pemerintahan Saul dengan awal pemerintahan Daud (Daud menawan Yerusalem pada kira-kira tahun 990 SM). Kitab ini berkemungkinan besar ditulis oleh nabi Samuel yang menghubungkan kedua-dua zaman para hakim dan zaman raja-raja.
Sebilangan cendekiawan juga mengatakan bahawa terdapat banyak catatan yang jelas dan terperinci dalam kitab ini. Contohnya nyanyian Debora, perumpamaan Yotam, perbahasan antara Yefta dengan bani Amon, dan juga para pemimpin bangsa di Gilead berbincang di Mizpa untuk melawan bani Amon. Semua bahan ini diambil daripada dokumen-dokumen pelbagai suku pada masa itu.
Tema Kitab
Dalam kitab Yosua, kita melihat bahawa orang Israel merupakan sebuah pasukan tentera yang kuat di bawah kepemimpinan Yosua. Mereka mentaati pimpinan Tuhan dan memasuki tanah Kanaan untuk memerangi orang Kanaan. Mereka memperoleh banyak kemenangan dan menduduki tanah Kanaan. Tema utama kitab Yosua ialah “kemenangan iman” manakala tema utama kitab Hakim-hakim ialah “kompromi dan kegagalan”. Daripada pembacaan kitab Hakim-hakim, kita akan mendapati bahawa kitab ini sangat berbeza daripada kitab Yosua. Dalam kitab ini, kita dapat melihat bahawa Israel terus mengulangi “kitaran kejahatan”. Tema utama kitab ini didasarkan pada hujah “tidak ada raja di antara orang Israel” kerana ungkapan ini muncul berulang kali. Orang Israel tidak menjadikan Tuhan sebagai raja dan tidak melakukan kehendak Tuhan, tetapi berkompromi dengan musuh-musuh mereka. Alih-alih menghapuskan semua orang Kanaan, orang Israel membentuk persekutuan dengan mereka (2:2) dan kemudian berkahwin dengan orang Kanaan (3:5-6). Oleh sebab hubungan persaudaraan dengan orang Kanaan dan meniru kebiasaan buruk orang Kanaan, kehidupan mereka mulai jatuh. Mereka melupakan Tuhan, melakukan kejahatan di mata Tuhan dan beribadah kepada allah lain. Maka bangkitlah murka Tuhan dan mereka akhirnya dihina dan ditindas oleh musuh (2:11-15). Ketika mereka ditindas dan diganggu oleh musuh, mereka berseru kepada Tuhan dalam kesesakan mereka. Maka Tuhan membangkitkan hakim-hakim untuk menyelamatkan mereka daripada tangan musuh. Tetapi apabila hakim itu mati, kembalilah mereka berlaku jahat (2:16-19). Kitab Hakim-hakim mencatatkan kitaran perkara-perkara ini. Gambarannya adalah seperti dalam carta berikut:
Penyelamatan (4) → (1) Buat kejahatan
↑ KITARAN SEJARAH ↓
Seruan (3) ← (2) Hukuman
Kitab Hakim-hakim mencatatkan kitaran kejatuhan sebanyak tujuh kali:
Kitaran pertama: Otniel (fasal 3)
Kitaran kedua: Ehud, Samgar (fasal 3)
Kitaran ketiga: Debora (fasal 4-5)
Kitaran keempat: Gideon (fasal 6-8)
Catatan: Fasal 9 mencatatkan kisah Abimelekh
Kitaran kelima: Tola, Yair (fasal 10)
Kitaran keenam: Yefta, Ebzan, Elon, Abdon (fasal 10-12)
Kitaran ketujuh: Simson (13-16)
A. Ayat-ayat kitab berikut menunjukkan kejatuhan jemaah sebanyak tujuh kali:
- “Orang Israel melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, mereka melupakan TUHAN, Allah mereka, dan beribadah kepada para Baal dan para Asyera.” (3:7).2
- “Tetapi orang Israel melakukan pula apa yang jahat di mata TUHAN…” (3:12).
- “Setelah Ehud mati, orang Israel melakukan pula apa yang jahat di mata TUHAN.” (4:1).
- “Tetapi orang Israel melakukan apa yang jahat di mata TUHAN…” (6:1).
- “Setelah Gideon mati, kembalilah orang Israel berjalan serong dengan mengikuti para Baal…” (8:33).
- “Orang Israel itu melakukan pula apa yang jahat di mata TUHAN; mereka beribadah kepada para Baal dan para Asytoret … tetapi TUHAN ditinggalkan mereka dan kepada Dia mereka tidak beribadah.” (10:6).
- “Orang Israel melakukan pula apa yang jahat di mata TUHAN…” (13:1).
B. Hasil dosa ialah hukuman. Setiap kali orang Israel terjatuh ke dalam dosa, penderitaan akan menyusul. Hukuman ini adalah daripada Kitab ini mencatatkan hukuman Tuhan sebanyak tujuh kali:
-
- “Ia menjual mereka kepada Kusyan-Risyataim, raja Aram-Mesopotamia … delapan tahun lamanya.” (3:8).
- “Delapan belas tahun lamanya orang Israel menjadi takluk kepada Eglon, raja Moab.” (3:12-14).
- “TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan Yabin, raja Kanaan, yang memerintah di Hazor … dua puluh tahun lamanya.” (4:2-3).
- “TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Midian, tujuh tahun lamanya.” (6:1).
- Saling berbunuhan selama bertahun-tahun(8:33 – fasal 9).
- “Ia menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin dan bani Amon … delapan belas tahun lamanya…” (10:7-9).
- “TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin empat puluh tahun lamanya.” (13:1).
C. Sudah menjadi fitrah dan kebiasaan manusia untuk “berseru ke langit dalam kemiskinan.” Orang Israel berseru kepada Tuhan dalam penderitaan mereka.
Terdapat beberapa catatan dalam kitab ini bahawa “orang Israel berseru kepada TUHAN …” (3:15, 4:3, 6:7), dan juga “berserulah orang Israel kepada Tuhan …” (3:9, 10:10).
D. Tuhan kita ialah Tuhan yang pengasih dan mendengar doa.Ketika orang Israel berseru kepada Tuhan, Tuhan membangkitkan hakim untuk menyelamatkan mereka.
Kita dapat melihat daripada kitab ini bahawa orang Israel terjatuh sebanyak tujuh kali dan dihukum tujuh kali; mereka berseru sebanyak tujuh kali dan diselamatkan tujuh kali. Alkitab mencatatkan: “Siapa bersitegang leher, walaupun telah mendapat teguran, akan sekonyong-konyong diremukkan tanpa dapat dipulihkan lagi.” (Ams 29:1). Kita harus menjadikan pengalaman umat pilihan sebagai peringatan.
Hakim-hakim
Kitab ini mencatat bahawa orang Israel berseru kepada Tuhan dan keselamatan Tuhan pun datang. Dia membangkitkan hakim untuk menyelamatkan mereka daripada penderitaan. Hakim merupakan pahlawan nasional atau penyelamat. Apabila dia menyelesaikan tugas penyelamatan, dia menjadi kepala suku dan mengambil alih tugas sebagai pemimpin. Kajian tentang cara Tuhan membangkitkan hakim dan menggunakan manusia memberikan pengajaran besar kepada kita pada hari ini:
1. Asal-usul hakim-hakim
Terdapat dua belas orang hakim dalam kitab ini. Mereka semua merupakan wakil daripada pelbagai suku. Otniel – suku Yehuda, Ehud – suku Benyamin, Barak – suku Naftali, Gideon – suku Manasye barat, Yair – suku Manasye timur, Tola – suku Isakhar, Yefta – suku Gad, Elon – suku Zebulon, Abdon – suku Efraim, Simson – suku Dan, Debora – perempuan. Tuhan membangkitkan orang-orang yang ingin digunakan oleh-Nya daripada semua suku untuk menyelamatkan orang Israel. Dia menggunakan lelaki dan perempuan.
Alkitab mencatatkan: “Ingat saja, saudara-saudara, bagaimana keadaan kamu, ketika kamu dipanggil: menurut ukuran manusia tidak banyak orang yang bijak, tidak banyak orang yang berpengaruh, tidak banyak orang yang terpandang. Tetapi apa yang bodoh bagi dunia, dipilih Allah untuk memalukan orang-orang yang berhikmat, dan apa yang lemah bagi dunia, dipilih Allah untuk memalukan apa yang kuat, dan apa yang tidak terpandang dan yang hina bagi dunia, dipilih Allah, bahkan apa yang tidak berarti, dipilih Allah untuk meniadakan apa yang berarti.” (1 Kor 1:26-28). Asal-usul hakim-hakim dapat mengesahkan kebenaran kata-kata ini. Prinsip Tuhan dalam menggunakan manusia tidak pernah berubah dari zaman kuno hingga sekarang. Jika seorang menyucikan dirinya dari hal-hal yang jahat, ia akan menjadi perabot rumah untuk maksud yang mulia, ia dikuduskan, dipandang layak untuk dipakai tuannya dan disediakan untuk setiap pekerjaan yang mulia (2 Tim 2:21).
2. Mengambil tugas sebagai hakim
Ungkapan “TUHAN membangkitkan seorang penyelamat bagi mereka” muncul berkali-kali dalam kitab ini (3:9,15). Ungkapan “Roh TUHAN menghinggapi dia” dan “berkuasalah Roh TUHAN atas dia” juga dicatat berkali-kali (3:10, 6:34, 11:29, 13:25, 14:6,19, 15:14). Nampaknya, dapat menjadi hakim adalah atas pemilihan Tuhan. Jika Tuhan ingin menggunakannya, maka Roh Tuhan akan menghinggapi dia. Dengan itu, dia akan memiliki kekuatan untuk bangkit dan bekerja untuk Tuhan.
3. Senjata yang digunakan oleh hakim-hakim
Samgar menggunakan tongkat penghalau lembu, Ehud menggunakan pedang pendek, Gideon menggunakan buyung kosong dengan suluh, dan Simson menggunakan rahang keldai. Walaupun senjata yang digunakan adalah berbeza, mereka dapat membunuh musuh kerana ada penyertaan Tuhan. Kunci kemenangan bukan terletak pada kelebihan senjata, tetapi pertolongan Tuhan. Alkitab mencatatkan: “Kuda diperlengkapi untuk hari peperangan, tetapi kemenangan ada di tangan TUHAN” (Ams 21:31; Mzm 44:4-8). “Bukan dengan keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku.” (Za 4:6).
Ciri-ciri Kitab Ini
A. Terdapat perbezaan yang besar antara kitab Hakim-hakim dengan kitab Yosua
Tema utama kitab Yosua ialah “kemenangan iman”. Dalam kitab ini, kita melihat bahawa orang Israel mentaati Tuhan dan mendengar arahan-Nya. Tuhan menjadi Panglima Balatentera mereka. Mereka menjalani kehidupan yang menang kerana diberkati oleh Tuhan.
Tema utama kitab Hakim-hakim ialah “kompromi dan kegagalan”. Dalam kitab ini, kita melihat bahawa orang Israel menjauhkan diri daripada Tuhan, melanggar perintah Tuhan, dan tidak mematuhi peringatan Musa dan Yosua yang berulang kali. Iman kepercayaan mereka merosot dan gagal lalu mereka diajar dan dihukum oleh Tuhan.
B. Kitab Hakim-hakim menjelaskan dua kebenaran penting
1. Hati manusia sudah membatu, tidak tahu berterima kasih, tamak, berkeras hatidan bebal.
Kelemahan orang Israel ialah “tidak tahu berterima kasih, tamak, berkeras hati dan bebal”. Ketika mereka ditindas oleh musuh, Tuhan menyelamatkan mereka melalui hakim-hakim. Tidak lama kemudian, mereka lupa tentang kasih karunia penyelamatan Tuhan. Kitaran “orang Israel melakukan pula apa yang jahat di mata TUHAN” terus terjadi.
2. Kesabaran, kemurahandan belas kasihan
Kejatuhan manusia dan kebaikan Tuhan dijelaskan dengan jelas dalam kitab ini. Tuhan yang berlimpah kasih setia menghukum orang Israel melalui penindasan musuh ketika mereka terjatuh dan berdosa. Mereka berseru kepada Tuhan ketika mereka menderita. Lalu Tuhan pun membangkitkan seorang penyelamat (hakim) bagi mereka untuk menyelamatkan mereka. Seperti yang tertulis: “TUHAN adalah pengasih dan adil, Allah kita penyayang.”( Mzm 116:5).
Pembahagian
A. Permulaan zaman para hakim (1:1 – 3:5)
- Latar belakang politik (1:1-36)
- Latar belakang agama (2:1 – 3:5)
B. Kisah-kisah para hakim (3:6 – 16:31)
-
- Otniel (3:7-11)
- Ehud (3:12-30)
- Samgar (3:31)
- Debora (4:1 – 5:31)
- Gideon (6:1 – 8:35)
- Abimelekh (9:1-57)
- Tola (10:1-2)
- Yair (10:3-5)
- Yefta (10:6 – 12:7)
- Ebzan (12:8-10)
- Elon (12:11-12)
- Abdon (12:13-15)
- Simson (13:1 – 16:31)
C. Rekod kehidupan berdosa dalam zaman para hakim (17:1 – 21:25)
1. Penghijrahan bani Dan – Kekacauan agama (fasal 17 – 18)
- Mikha membuat patung sembahan (fasal 17)
- Bani Dan menghantar orang untuk mencari tanah (fasal 18)
2. Perbuatan noda di Gibea – Kekacauan moral (fasal 19 – 21)
- Kisah orang Lewi – Dosa dan kejahatan yang bertimbun-timbun sampai ke langit (fasal 19)
- Peperangan melawan bani Benyamin- Kekacauan suku (fasal 20 -21)