PERJANJIAN ANTARA TUHAN DENGAN MANUSIA

PERJANJIAN ANTARA TUHAN DENGAN MANUSIA

 

Satu perkara yang paling penting dalam Alkitab ialah perjanjian antara Tuhan dengan manusia. Perjanjian ini terbahagi kepada “perjanjian lama” dan “perjanjian baharu”. Kita harus terlebih dahulu memahami makna dan ciri-ciri perjanjian. Kemudian, dengan perjanjian antara Tuhan dengan Adam sebagai permulaan, kita mengkaji syarat-syarat perjanjian. Ketika mengadakan perjanjian dengan Nuh, Tuhan menjadikan pelangi sebagai tanda perjanjian. Ketika mengadakan perjanjian dengan Abraham, Tuhan menjadikan sunat sebagai bukti. Ketika mengadakan perjanjian dengan orang Israel, Tuhan menjadikan hukum Taurat sebagai piawaian. Namun manusia melanggar syarat perjanjian dan hukum Taurat. Mereka akhirnya kehilangan negeri mereka dan mengembara ke negara-negara lain. Nabi Yeremia bernubuat bahawa perjanjian baharu akan datang, dan Yesus akan menumpahkan darah di atas kayu salib untuk menyelesaikan penyelamatan dan penebusan dalam perjanjian baharu. Asalkan manusia bersedia untuk dibaptiskan dalam kematian Kristus, mereka mengadakan perjanjian dengan Tuhan. Setiap kali mereka menerima Sakramen Perjamuan Kudus, mereka sekali lagi menegaskan tekad dan perbuatan mereka mengadakan perjanjian dengan Tuhan. Mereka menantikan rumah syurgawi iaitu realisasi terakhir bagi perjanjian antara Tuhan dengan manusia dengan kehidupan yang soleh.

 

MAKNA DAN CIRI-CIRI PERJANJIAN

Perjanjian dalam bahasa Ibrani ialah בְרִית (berith) yang mempunyai tiga makna:

  1. Pembahagian

Darah diperlukan untuk mengadakan perjanjian. Maka mereka harus menyembelih binatang dan menumpahkan darahnya. Sebagai contoh, ketika Tuhan mengadakan perjanjian dengan Abraham, seekor lembu betina berumur tiga tahun, seeekor kambing betina berumur tiga tahun, seekor domba jantan berumur tiga tahun, seekor burung tekukur dan seekor anak burung merpati telah digunakan. Semuanya itu dipotong dua, lalu diletakkan bahagian-bahagian itu yang satu di samping yang lain. Kemudian, kelihatanlah perapian yang berasap beserta suluh yang berapi lewat di antara potongan-potongan daging itu yang melambangkan kedatangan Tuhan dan melewati tempat itu. “Pada hari itulah TUHAN mengadakan perjanjian dengan Abram serta berfirman: “Kepada keturunanmulah Kuberikan negeri ini, mulai dari sungai Mesir sampai ke sungai yang besar itu, sungai Efrat.”” (Kej 15:15-18).

Maknanya, jika kedua-dua belah pihak dalam perjanjian gagal untuk memegang perjanjian, mereka akan dibahagikan dan ditumpahkan darah seperti ternakan sebagai pampasan.

Pada zaman nabi Yeremia, Yehuda juga mengadakan perjanjian dengan Tuhan dengan cara yang sama. Tuhan berfirman: “Dan Aku akan menyerahkan orang-orang, yang melanggar perjanjian-Ku dan yang tidak menepati isi perjanjian yang mereka ikat di hadapan-Ku, dengan memotong anak lembu jantan menjadi dua untuk berjalan di antara belahan-belahannya; pemuka-pemuka Yehuda, pemuka-pemuka Yerusalem, pegawai-pegawai istana, imam-imam dan segenap rakyat negeri yang telah berjalan di antara belahan-belahan anak lembu jantan itu, mereka akan Kuserahkan ke dalam tangan musuh mereka dan ke dalam tangan orang-orang yang berusaha mencabut nyawa mereka, sehingga mayat mereka menjadi makanan burung-burung di udara dan binatang-binatang di bumi.” (Yer 34:18-20).

 

  1. Makan bersama-sama

Setelah mengadakan perjanjian, orang-orang yang mengadakan perjanjian akan makan bersama-sama. Contohnya ketika Tuhan mengadakan perjanjian dengan umat Israel, Musa dan tujuh puluh tua-tua naik ke gunung untuk menerima kitab perjanjian. Musa membacakan kitab perjanjian itu kepada bangsa itu dan mereka berkata: “Segala firman TUHAN akan kami lakukan dan akan kami dengarkan.” Dan naiklah Musa dan para tua-tua ke gunung Tuhan. “Mereka memandang Allah, lalu makan dan minum.” (Kel 24:7-11).

 

  1. Ikatan

Orang-orang yang mengadakan perjanjian harus menanggung ikatan perjanjian dan harus memegang perjanjian. Hanya maut saja yang dapat membebaskan ikatan ini. Perjanjian antara Tuhan dengan manusia adalah kekal abadi. Hal ini kerana Tuhan tidak pernah berubah. Orang yang percaya kepada Yesus dapat mewarisi Kerajaan Syurga yang kekal. Namun, orang-orang yang hidup di bumi akan berasa terikat dengan perjanjian. Perjanjian ini sebenarnya adalah sebagai persediaan bagi rumah di syurga. Ikatannya adalah untuk menyiapkan akal budi kita supaya kita tidak menuruti hawa nafsu yang menguasai kita pada waktu kebodohan kita iaitu sebelum kita menjadi percaya (1 Ptr 1:13).

 

TUHAN MENGADAKAN PERJANJIAN DENGAN ADAM

Setelah menciptakan Adam, Tuhan menempatkannya di taman Eden. Tuhan memberikan perintah bahawa semua pohon dalam taman itu boleh dimakan buahnya dengan bebas, tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu jangan dimakan buahnya, sebab pada hari dia memakannya, pastilah dia mati (Kej 2:16,17). Walaupun tidak ada perkataan “perjanjian” dalam ayat itu, namun ayat itu mengandungi inti sebenar perjanjian. Oleh itu, nabi Hosea menyebut tentang “melangkahi perjanjian di Adam” (Hos 6:7). Tuhan juga memberkati Adam dan Hawa: “Beranak-cuculah dan bertambah banyak; penuhilah bumi dan taklukkanlah itu, berkuasalah atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas segala binatang yang merayap di bumi.” (Kej 1:28).

Pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu menjadi alat bagi Tuhan mengadakan perjanjian dengan manusia. Kewujudan pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu menunjukkan bahawa manusia mempunyai kehendak yang bebas, iaitu sama ada mahu memegang perjanjian ataupun melanggar perjanjian.

Daripada nenek moyang generasi pertama, kita dapat mengetahui bahawa manusia tidak dapat memegang syarat-syarat perjanjian dengan kekuatan mereka sendiri, dan kelemahan Adam juga merupakan kelemahan umat manusia. Hanya penyelamatan dan penebusan Yesus sahaja yang memiliki kekuasaan untuk memegang perjanjian.

 

TUHAN MENGADAKAN PERJANJIAN DENGAN NUH

Sebelum air bah, Tuhan mengadakan “perjanjian bahtera” dengan Nuh (Kej 6:18). Nuh perlu membuat sebuah bahtera, dan seluruh keluarganya perlu memasuki bahtera untuk menyelamatkan nyawa. Tuhan akan memusnahkan seluruh bumi dengan air bah. Hal ini kerana kejahatan manusia besar di bumi dan segala kecenderungan hatinya selalu membuahkan kejahatan semata-mata. “Adapun bumi itu telah rusak di hadapan Allah dan penuh dengan kekerasan.” Selepas air bah, Tuhan mengadakan “perjanjian pelangi” dengan Nuh: “… bahwa sejak ini tidak ada yang hidup yang akan dilenyapkan oleh air bah lagi, dan tidak akan ada lagi air bah untuk memusnahkan bumi” (Kej 9:11). Tuhan menjadikan pelangi sebagai tanda perjanjian.

Nuh mempercayai firman Tuhan. Nuh menerima perjanjian Tuhan ketika dia berusia 500 tahun, sementara air bah datang ketika dia berusia 600 tahun. Walaupun pembinaan bahtera telah mengambil masa selama seratus tahun, namun iman Nuh tidak terpengaruh oleh masa. Kita juga harus mempunyai iman sedemikian terhadap perjanjian Tuhan. Orang yang bertahan sampai pada kesudahannya akan selamat.

 

TUHAN MENGADAKAN PERJANJIAN DENGAN ABRAHAM

Tuhan berkata kepada Abraham bahawa Abraham akan mempunyai keturunan sendiri dan negeri mulai dari sungai Mesir sampai ke sungai Efrat. Abraham mempercaya janji Tuhan ini, maka Tuhan memperhitungkan hal itu kepadanya sebagai kebenaran (Kej 15:1-19). Perjanjian Tuhan dengan Abraham ini sepenuhnya ditetapkan oleh Tuhan atas inisiatif-Nya. Tindakan ini menunjukkan bahawa pemilihan dan kasih Tuhan bukanlah pertukaran bersyarat dan tidak ada harga yang harus dibayar. Abraham hanya perlu mempercayainya.

Hal yang sama berlaku ketika kita dipilih oleh Tuhan. Tuhan memberikannya secara cuma-cuma. “apakah manusia, sehingga Engkau mengingatnya? Apakah anak manusia, sehingga Engkau mengindahkannya?” (Mzm 8:5).

 

TUHAN MENGADAKAN PERJANJIAN DENGAN ORANG ISRAEL

Orang Israel meninggalkan Mesir dan pergi ke gunung Sinai untuk mengadakan perjanjian dengan Tuhan. Musa menerima kitab perjanjian di atas gunung (Kel fasal 20-23). ​​Setelah kitab perjanjian itu dibacakannya dengan didengar oleh bangsa itu, mereka berjanji untuk memegangnya. Mereka menyembelih ternakan dan mempersembahkan korban. Separuh daripada darah itu disiramkan pada mezbah, separuh lagi disiramkan pada bangsa itu untuk menyelesaikan proses perjanjian.

Sepuluh Hukum merupakan perlembagaan yang terutamanya terdiri daripada dua bahagian: mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia. Selain itu, terdapat juga ketetapan-ketetapan, peraturan-peraturan dan sebagainya yang meliputi hukum moral, hukum etika, dan hukum sivil.

Perjanjian Sinai berpusatkan hukum Taurat Musa. Terdapat 248 perkara yang harus dilakukan dan 365 perkara yang tidak boleh dilakukan. Secara keseluruhannya, terdapat 613 hukum. Orang yang melakukan ketetapan dan peraturan ini akan hidup kerananya (Im 18:5).

Walau bagaimanapun, kelemahan manusia tetap tidak dapat diatasi. Umat terus-menerus melanggar hukum Taurat, bahkan negara mereka binasa dan mereka ditawan. Setelah belajar daripada kesakitan, orang-orang Yahudi menyedari betapa pentingnya hukum Taurat itu. Mereka bertaubat dengan sungguh-sungguh dan mendapatkan kembali martabat hukum Taurat.

 

PERJANJIAN BAHARU YANG DINUBUATKAN OLEH NABI YEREMIA

Nabi Yeremia dipanggil oleh Tuhan ketika berada di tempat pembungan lalu menubuatkan kedatangan perjanjian baharu. Tuhan berfirman: “Tetapi beginilah perjanjian yang Kuadakan dengan kaum Israel sesudah waktu itu, demikianlah firman TUHAN: Aku akan menaruh Taurat-Ku dalam batin mereka dan menuliskannya dalam hati mereka; maka Aku akan menjadi Allah mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku. Dan tidak usah lagi orang mengajar sesamanya atau mengajar saudaranya dengan mengatakan: Kenallah TUHAN! Sebab mereka semua, besar kecil, akan mengenal Aku, demikianlah firman TUHAN, sebab Aku akan mengampuni kesalahan mereka dan tidak lagi mengingat dosa mereka.” (Yer 31:33-34).

Terdapat beberapa ciri dalam petikan ini:

  1. Iman kepercayaan dalaman

Hukum Taurat harus diletakkan dalam batin manusia dan dituliskan dalam hati mereka. Seperti yang dinyatakan oleh Yesus dalam Khotbah di Bukit, orang yang marah harus dihukum, orang yang memandang perempuan serta menginginkannya sudah berzina, sedekah harus diberikan dengan tersembunyi dan berdoa di dalam kamar. Semua ini menitikberatkan iman kepercayaan dalaman.

 

  1. Tanggungjawab iman kepercayaan peribadi

Setiap individu, jiran, dan saudara ialah bilangan tunggal yang menekankan iman kepercayaan yang bermula daripada individu. Ayah-ayah makan buah mentah, dan gigi anak-anaknya tidak menjadi ngilu. “Setiap orang akan mati karena kesalahannya sendiri; setiap manusia yang makan buah mentah, giginya sendiri menjadi ngilu.” (Yer 31:29-30).

 

  1. Pengharapan akhir zaman

Terdapat sebanyak 16 catatan tentang “waktunya akan datang” dalam kitab Yeremia. Catatan ini mempunyai makna eskatologi. Trend menunggu perjanjian baharu telah dibuka, dan para nabi selepasnya mempunyai pengajaran yang serupa. Contohnya adalah seperti perjanjian yang kekal Yehezkiel (Yeh 16:56-62), perjanjian damai Yehezkiel (Yeh 37:26), pencurahan Roh Kudus Yoel (Yl 2:28), dan Malaikat Perjanjian Maleakhi (Mal 3:1-4).

 

PERJANJIAN BAHARU YESUS

Yesus memenuhi perjanjian baharu antara Tuhan dengan manusia melalui darah-Nya. Manusia hanya perlu percaya bahawa Sakramen Pembaptisan Yesus mempunyai fungsi pengampunan dosa. Air dalam Sakramen Pembaptisan menjadi darah Yesus yang bernilai di bawah kerja Roh Kudus (1 Yoh 5:6-8). Oleh itu, kita semua yang telah dibaptis dalam Kristus, telah dibaptis dalam kematian-Nya, dikuburkan bersama-sama dengan Dia, dan keluar daripada air selepas dibaptis seperti Kristus telah dibangkitkan daripada antara orang mati. Kita dilahirkan kembali dalam roh, hidup dalam hidup yang baharu dan merupakan ciptaan baharu (Rm 6:3-8).

Penerimaan daging dan darah Yesus dalam Sakramen Perjamuan Kudus bermaksud menerima hidup Yesus (Yoh 6:53). Sakramen Perjamuan Kudus juga adalah untuk mengingatkan kita supaya menguji perbuatan diri sendiri melalui darah Yesus dan perjanjian baharu yang diadakan dengan Tuhan (1 Kor 11:28).

Dengan pertolongan Roh Kudus, kita memperoleh kekuasaan dari tempat tinggi untuk mengatasi kelemahan daging. Kita diperbaharui oleh Roh Kudus dan mengenakan “manusia baru, yang telah diciptakan menurut kehendak Allah di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya” (Ef 4:23-24). Menjadikan iman kepercayaan benar-benar ada di dalam batin / hati merupakan ciri perjanjian baharu.

Perjanjian antara Tuhan dengan manusia berlangsung sampai selama-lamanya melalui anugerah keselamatan Yesus.