PANDUAN PEMBACAAN KITAB I KORINTUS
“Hal ini kutuliskan bukan untuk memalukan kamu, tetapi untuk menegor kamu sebagai anak-anakku yang kukasihi. Sebab sekalipun kamu mempunyai beribu-ribu pendidik dalam Kristus, kamu tidak mempunyai banyak bapa. Karena akulah yang dalam Kristus Yesus telah menjadi bapamu oleh Injil yang kuberitakan kepadamu.” (1 Kor 4:14-15). Daripada ungkapan yang sungguh-sungguh ini, kita dapat melihat masalah yang dihadapi dan dihasilkan oleh jemaat Korintus serta kasih dan harapan Paulus yang mendalam terhadap mereka. Sekarang, mari kita mengenal dan melihat sekilas pandang kebenaran dalam kitab 1 Korintus.
KOTA KORINTUS
Kota Korintus terletak di jalur tanah (isthmus) yang menghubungkan hujung utara dan selatan semenanjung Yunani. Korintus telah menjadi kota yang penting untuk pengangkutan dan perdagangan. Korintus juga merupakan tempat yang pasti dilalui bagi perdagangan antara Eropah dengan Asia dan merupakan ibu kota Akhaya. Kota ini berkembang maju dari segi budaya, seni, dan perdagangan. Semua jenis orang berkumpul di sini, pelbagai maklumat dan trend tersebar di sini. Orang-orang Korintus nampaknya mempunyai kecenderungan yang lebih terbuka dan progresif kerana dipengaruhi oleh iman kepercayaan agama yang salah (ada bukit Acropolis di kota ini, dan ada kuil besar dewi Aphrodite di atas bukit itu. Dalam kuil besar tersebut, terdapat lebih daripada 1000 orang nabiah <pelacur kuil> yang akan masuk ke dalam kota pada waktu malam untuk terlibat dalam pekerjaan percabulan). Kota ini juga menjadi tempat percabulan dan menuruti keinginan daging. Mereka mempunyai mentaliti dan keperibadian yang hanya mementingkan penampilan, kekayaan, kepetahan dan kebanggaan.
PAULUS DAN JEMAAT KORINTUS
Kitab 1 Korintus jelas merupakan surat yang ditulis oleh Paulus kepada pemercaya di gereja Korintus. Ketika Paulus keluar memberitakan Injil untuk kali kedua (tahun 50-53 M), dia bertemu dengan pasangan suami isteri Akwila dan Priskila semasa dia pergi ke kota Korintus dari Atena. Dia pun tinggal dan bekerja bersama-sama dengan mereka. Dia juga mula memberitakan Injil kepada orang Yahudi di dalam kota. Kemudian, Silas dan Timotius datang dari Makedonia untuk menolong. Walaupun menghadapi tentangan sengit, fitnah, dan halangan daripada orang-orang Yahudi, mereka didorong dan dihibur oleh Tuhan sendiri: “Sebab Aku menyertai engkau dan tidak ada seorang pun yang akan menjamah dan menganiaya engkau, sebab banyak umat-Ku di kota ini.” (Kis 18:10). Mereka berpaling memberitakan Injil kepada orang-orang bangsa lain, dan mereka bekerja selama satu tahun enam bulan. Mereka memimpin banyak orang kepada Tuhan sehingga menubuhkan gereja Korintus. Pada zaman para rasul, jumlah pekerja yang mendapat latihan yang agak ketat adalah terhad manakala pemercaya pula berasal daripada pelbagai bangsa dan latar belakang agama yang berbeza. Mereka juga berada dalam persekitaran yang penuh dengan godaan dosa kejahatan dan penganiayaan iman kepercayaan. Pastinya mereka menghadapi banyak kesukaran dan masalah dari segi kebenaran dan kehidupan praktikal. Sebagai contoh, walaupun jemaat Korintus mempunyai banyak kekurangan, tetapi mereka terpuji kerana tidak menjawab menurut kehendak sendiri ketika menghadapi persoalan yang sukar, dan mereka bersedia mengamanahkan orang pergi meminta tunjuk ajar daripada rasul. Pada satu sisi, Paulus pun memberikan bimbingan kepada mereka dengan menggunakan kebenaran Tuhan berdasarkan surat terbuka mereka dalam isu meminta nasihat. Pada satu sisi yang lain, dia juga mengambil kesempatan ini untuk menasihati mereka mengenai masalah yang telah diketahui dan diamatinya secara peribadi. Dia berharap jemaat yang agak kaya dari segi kebendaan, karunia, dan lain-lain ini (rujuk: 1 Kor 1:5) dapat memegang kasih karunia Tuhan, terus mengejar pembaharuan dan pertumbuhan. Kitab 1 Korintus ditulis oleh Paulus dalam jangka waktu sekitar tahun 56-57 Masihi (waktu pemberitaan Injil ke luar negara kali ketiga) di Efesus (rujuk: 1 Kor 16:8).
MASALAH YANG DIHADAPI OLEH JEMAAT KORINTUS
Tuhan berkata: “kamu bukan dari dunia” (Yoh 15:19). Dari segi iman kepercayaan, kita dimerdekakan daripada dosa oleh Tuhan, dan kitalah orang-orang yang menikmati kemerdekaan sejati. Namun, dalam menghadapi dunia yang berpusatkan kebendaan ini, kita pasti akan menghadapi beberapa masalah, tidak kira masalah yang boleh meminta tunjuk ajar daripada orang lain secara besar hati (kesulitan luaran), ataupun masalah yang tidak mahu, tidak sudi atau bahkan tidak tahu cara membuka mulut (disebabkan oleh kelemahan sifat dalaman manusia). Mari kita melihat masalah-masalah jemaat Korintus sebagai persoalan untuk renungan dalam iman kepercayaan dan refleksi diri.
A. Masalah perkahwinan
Pada waktu itu, iman kepercayaan adalah tidak bebas dan sering dianiaya. Jika perlu menumpukan perhatian pada kerja suci, adakah perkahwinan diperlukan (1 Kor 7:26,32)? Kedua, jika iman kepercayaan suami isteri adalah berbeza, bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan perkahwinan mereka (1 Kor 7:10-14)? Adakah wajar menjadi anak dara? Bolehkah duda dan janda berkahwin semula? Paulus memberikan bimbingan yang sesuai. Fokusnya adalah pada mengejar kekudusan Tuhan, mentaati karunia dan kehendak Tuhan, dan menghargai pemberian Tuhan.
B. Memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala
Menurut adat istiadat pada waktu itu, sebahagian besar ternak yang disembelih akan terlebih dahulu dihantar ke kuil berhala untuk disembah, dan kemudian dihantar ke pasar untuk dijual. Bolehkah daging itu dibeli dan dimakan? Paulus menjelaskan kepada mereka secara terperinci bahawa pemercaya harus hidup dengan iman, bertekad untuk tetap dikuduskan (rujuk: 1 Kor 10:20-26), dan bersedia untuk saling bertimbang rasa, menerima, dan membangun.
C. Wanita dengan selubung / tudung kepala
Dalam latar belakang adat istiadat sosial pada masa itu, perempuan mesti bertudung supaya dipandang sebagai perempuan yang baik. Jika tidak bertudung, dia akan dianggap sebagai perempuan yang tidak senonoh (rujuk 1 Kor 11:16). Sebilangan pemercaya di gereja Korintus beranggapan bahawa mereka adalah merdeka dalam Tuhan, dan mereka mempromosikan bahawa saudari tidak perlu bertudung. Paulus berpendapat bahawa tindakan tersebut tidak diperbolehkan untuk mengelakkan kritikan dan serangan yang tidak perlu daripada dunia luar terhadap gereja. Oleh itu, dia menasihati pemercaya dari pelbagai perspektif iaitu bahawa mereka harus menilai dan mematuhi kebiasaan masyarakat yang baik. Dalam zaman kita sekarang ini, selubung / tudung kepala tidak lagi diperlukan, tetapi prinsip ketaatan, penghormatan, dan kekudusan yang dinyatakan di sebaliknya adalah sangat diperlukan.
D. Isu perselisihan dan mencari kepentingan diri sendiri
Gereja Korintus tidak meminta tunjuk ajar tentang isu ini. Namun seorang pemercaya setia yang prihatin tentang perkembangan gereja memberitahu Paulus tentang isu ini secara peribadi dengan harapan untuk meleraikan kekacauan dalam gereja melalui nasihat rasul supaya mereka dapat sehati sefikir dan berusaha demi kerja suci gereja (1 Kor 1:11). Paulus mengingatkan pemercaya melalui pelbagai cara bahawa mereka tidak boleh memegahkan diri, juga tidak boleh mementingkan penampilan atau kebendaan, dan harus saling menghormati dan menerima.
E. Masalah percabulan
Kesalahan ini sangat serius. Sebilangan kecil orang di gereja Korintus tidak begitu jelas tentang firman perkahwinan. Mereka berpendapat bahawa perkahwinan manusia hanya sekadar hubungan tubuh jasmani sesama manusia semasa mereka hidup. Apabila meninggal dunia, mereka pun bebas daripada hubungan ini. Mereka bahkan boleh mengabaikan hubungan sesama manusia yang asal. Contohnya salah seorang daripada mereka memperisterikan ibu tiri yang ditinggalkan oleh ayahnya selepas ayahnya meninggal dunia. Dia beranggapan bahawa dia ada kebebasan ini atau menjadikan kasih dan menjaga hidup ibu tirinya sebagai alasan. Kesalahan ini benar-benar serius. Walaupun hubungan perkahwinan hanya berlaku ketika seseorang masih hidup, namun hubungan sesama manusia tidak terputus sepenuhnya. Orang Kristian harus berhati-hati dalam membezakannya, dan mereka perlu mempunyai piawaian yang lebih baik daripada dunia. Oleh itu, Paulus sangat tegas meminta untuk menghukum pemercaya yang mendurhaka ini (1 Kor 5:13).
F. Masalah penerimaan Sakramen Perjamuan Kudus
Tuhan Yesus mengasaskan Perjamuan Kudus semasa perayaan Paskah. Oleh itu, pada masa awal zaman Rasul, mereka makan bersama pada waktu yang sama ketika mengadakan Perjamuan Kudus menurut proses ini. Pendekatan gereja Korintus ialah, individu membawa makanan yang mereka mahu makan. Tindakan ini menyebabkan ada yang mewah dan ada yang agak sederhana. Oleh itu, Paulus memperingatkan mereka dengan hati-hati (1 Kor 11:30). Mereka harus menguji diri sendiri serta dapat benar-benar menerima daging dan darah Tuhan supaya iman kepercayaan dapat dibangunkan. Pada hari ini, kita menggunakan pendekatan yang terpisah. Kita mengadakan kebaktian dan menerima Sakramen Perjamuan Kudus sebelum menikmati jamuan kasih bersama. Tujuannya adalah untuk membentuk semangat yang soleh. Kita harus mematuhi prinsip kebenaran dan menerima kasih Tuhan yang besar sampai pada kedatangan Tuhan.
MENJADI UMAT KRISTIAN YANG MATANG
Orang Kristian dalam semua zaman pasti akan menghadapi pelbagai jenis masalah kebenaran dan kehidupan iman kepercayaan dalam persekitaran yang nyata. Sudah tentu, masalah-masalah ini dapat dibincangkan dan dikaji melalui pelbagai kaedah dan saluran untuk mendapatkan jawapan yang sesuai. Namun, jika kita mahu benar-benar taat sehingga dapat dibangunkan atau memperoleh hikmat rohani dan belajar dengan analogi secara mendalam supaya iman kepercayaan dapat dibangunkan dengan lebih kuat, hidup dengan lebih aktif, dan memberikan pelbagai kesaksian yang baik sesuai dengan prinsip-prinsip kebenaran, maka kita harus menjadi orang Kristian yang matang. Sebagai contoh, ketika Paulus menjawab pelbagai masalah nyata atau berpotensi untuk gereja Korintus, dia menyatakan bahawa inti masalah itu terletak pada kenaifan rohani mereka. “Susulah yang kuberikan kepadamu, bukanlah makanan keras, sebab kamu belum dapat menerimanya. Dan sekarang pun kamu belum dapat menerimanya.” (1 Kor 3:2). Oleh itu, kita mencadangkan arah usaha kita untuk menjadi umat Kristian yang matang daripada kitab ini sebagai dorongan bersama.
A. Mengesahkan pemilihan Tuhan
Seperti firman Tuhan: “Bukan kamu yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu.” (Yoh 15:16). Paulus menunjukkan secara terperinci: “Orang-orang Yahudi menghendaki tanda dan orang-orang Yunani mencari hikmat, tetapi kami memberitakan Kristus yang disalibkan: untuk orang-orang Yahudi suatu batu sandungan dan untuk orang-orang bukan Yahudi suatu kebodohan.” (1 Kor 1:22-23). Nampaknya, orang sama sekali tidak akan percaya pada Injil Tuhan jika berdasarkan keperibadian, minat, hikmat, dan cara penilaian mereka sendiri. Tetapi mengapa orang-orang Korintus dapat menerima dan mempercayai Tuhan Yesus yang tidak dikenali? Semuanya kerana mereka digerakkan dan dipilih oleh Tuhan. Aspek ini menunjukkan bahawa pemilihan-Nya adalah berdasarkan inisiatif, dan lebih-lebih lagi berdasarkan perbuatan Tuhan yang ajaib dan berhikmat. “Tetapi apa yang bodoh bagi dunia, dipilih Allah untuk memalukan orang-orang yang berhikmat, dan apa yang lemah bagi dunia, dipilih Allah untuk memalukan apa yang kuat.” (1 Kor 1:27). “… dalam hikmat Allah” (1 Kor 1:21). Nampaknya, pemilihan Tuhan bukanlah berdasarkan penampilan seseorang, tetapi berdasarkan orang yang bersedia menerima panggilan Injil dengan rendah hati. Sekiranya kita dapat selalu mengingati pemilihan Tuhan serta mengesahkan kasih dan hikmat Tuhan, kita akan dapat mengaku seperti nasihat Paulus: “Ingat saja, saudara-saudara, bagaimana keadaan kamu, ketika kamu dipanggil: menurut ukuran manusia tidak banyak orang yang bijak, tidak banyak orang yang berpengaruh, tidak banyak orang yang terpandang.” (1 Kor 1:26), semuanya dapat “bermegah di dalam Tuhan” (1 Kor 1:31) , melayani dengan rendah hati di hadapan Tuhan sepanjang hidup, saling menghormati dengan ikhlas, dan mengasihi setiap murid yang dipanggil.
B. Merenungkan kekuatan Tuhan
“Sebab pemberitaan tentang salib memang adalah kebodohan bagi mereka yang akan binasa, tetapi bagi kita yang diselamatkan pemberitaan itu adalah kekuatan Allah.” (1 Kor 1:18). “Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.” (Luk 1:37). Ketika bekerja di kota Korintus, Paulus sendiri telah mengalami dorongan tangan Tuhan yang kuat (Kis 18:9-10). Walaupun tidak ada catatan khusus tentang tanda mukjizat yang diadakan oleh Paulus di kota ini dalam kitab Kisah Para Rasul, namun menurut kesaksian Paulus: “Baik perkataanku maupun pemberitaanku tidak kusampaikan dengan kata-kata hikmat yang meyakinkan, tetapi dengan keyakinan akan kekuatan Roh, supaya iman kamu jangan bergantung pada hikmat manusia, tetapi pada kekuatan Allah.” (1 Kor 2:4-5). Manusia sepanjang zaman adalah sama. Kita harus meninggalkan dan mengubah iman kepercayaan palsu yang asal dan tradisional, tidak takut dengan tekanan persekitaran pada masa itu, dan menerima Injil Tuhan dengan berani. Semua ini amat sukar untuk dilakukan jika tanpa mengalami pengesahan Roh Kudus dan tanda mukjizat Tuhan. Tambahan pula, kekuatan Tuhan jelas dinyatakan dalam pengharapan hidup kekal yang diberikan oleh Tuhan melalui peristiwa Tuhan Yesus yang dibangkitkan daripada antara orang mati (rujuk: Ef 1:20) supaya kita dapat diyakinkan (rujuk: 1 Kor 15:16-20). Oleh itu, kita harus selalu merenungkan kekuatan Tuhan, samada melalui pengalaman orang-orang yang takut akan Tuhan pada zaman kuno yang tercatat dalam Alkitab, atau pengalaman kita sendiri, atau pengalaman yang dilihat pada orang lain, dan terus memperkuat iman kita. Dalam mana-mana keadaan pun, percayalah bahawa “Pencobaan-pencobaan yang kamu alami ialah pencobaan-pencobaan biasa, yang tidak melebihi kekuatan manusia. Sebab Allah setia dan karena itu Ia tidak akan membiarkan kamu dicobai melampaui kekuatanmu. Pada waktu kamu dicobai Ia akan memberikan kepadamu jalan ke luar, sehingga kamu dapat menanggungnya.” (1 Kor 10:13). Sekiranya dapat berdiri teguh, menyerahkan segalanya ke dalam tangan Tuhan yang kuat, dan mentaati pimpinan-Nya, kita tidak akan mempunyai rasa takut dalam hati, dan kita akan dapat menghindari godaan dan ancaman ajaran agama sesat dengan perlindungan-Nya.
C. Memahami karunia Tuhan
Bagi jemaat di gereja Korintus, mereka sememangnya telah menerima banyak karunia daripada Tuhan: “… menjadi kaya dalam segala hal: dalam segala macam perkataan dan segala macam pengetahuan, … Demikianlah kamu tidak kekurangan dalam suatu karunia pun…” (1 Kor 1:5-7). Tetapi masalahnya adalah bahawa mereka tidak dapat memahami makna karunia Tuhan dengan sepenuhnya. Jadi walaupun mereka kaya, namun prestasi mereka miskin, dan mereka hanya tahu bertentangan. Walaupun mereka mempunyai karunia, namun mereka tidak dapat saling menolong dan memberikan manfaat, mereka hanya bertengkar dan mementingkan diri sendiri. Walaupun beribadah kepada Tuhan, namun mereka tidak sepenuhnya memahami bahawa semuanya datang daripada Tuhan, mereka berjuang dengan bergantung pada kekuatan manusia, dan bahkan saling mendakwa. Oleh itu, Paulus menerangkan kepada mereka makna dan semangat karunia dengan sangat terperinci, sehingga kita juga dapat dibangunkan pada hari ini. Tuhan memberikan pelbagai karunia yang berbeza kepada manusia melalui gerakan Roh Kudus dalam Kristus (1 Kor 12:11). Tujuannya adalah supaya karunia-karunia yang berbeza ini dapat menghasilkan fungsi yang berbeza sehingga semua orang dapat dibangunkan. Sumbernya ialah Tuhan yang sama. Maka karunia tidak boleh dibezakan antara tinggi dengan rendah dan antara ringan dengan berat. Sebagai contoh, sesebuah tubuh pasti mempunyai pelbagai anggota tubuh yang berbeza, dan setiap anggota tubuh ada fungsinya sendiri. Walaupun anggota yang kuat dan terhormat itu penting, namun tubuh tidak akan pernah mengabaikan anggota tubuh yang kelihatan tidak penting atau lemah. Hal ini kerana, hanya sedikit penyakit dan kesakitan akan menjejaskan seluruh tubuh, dan bahkan mengancam nyawa (rujuk: 1 Kor 12:22,26). Tuhan berfirman: “Setiap orang yang kepadanya banyak diberi, dari padanya akan banyak dituntut, dan kepada siapa yang banyak dipercayakan, dari padanya akan lebih banyak lagi dituntut.” (Luk 12:48). Memahami makna karunia pemberian Tuhan membolehkan kita belajar untuk lebih bersyukur dan lebih sedar akan tanggungjawab yang harus dipikul dan saling membuat penyesuaian. Kita juga belajar untuk tidak mementingkan diri sendiri, tidak merebut jasa, tidak saling membandingkan dan tidak saling cemburu. Sokongan, pengiktirafan dan dorongan antara satu sama lain tidak hanya membangunkan diri sendiri, tetapi juga menyelesaikan amanat membangun jemaat Tuhan supaya jemaat menjadi pengantin perempuan yang sempurna dan menantikan kedatangan semula Tuhan.
D. Mengenali permintaan Tuhan
Tuhan memilih kita dengan kasih, hikmat, dan kekuasaan-Nya. Pemilihan ini bukannnya tanpa tujuan, tetapi adalah supaya kita menjadi “bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib.” (1 Ptr 2:9). Roh Tuhan yang diam di dalam kita menuntut kita untuk menyatakan kesaksian Tuhan. Oleh itu, kita harus dapat mengenali permintaan Tuhan dan menyatakannya dalam kehidupan iman kepercayaan kita. Tuhan itu kudus dan Dia memberikan identiti yang merdeka kepada kita. Oleh itu, kita harus berhati-hati agar tidak digoda dan dikawal oleh sebarang kebendaan atau dosa kejahatan (1 Kor 6:9-11). Paulus menasihati: “Segala sesuatu halal bagiku, tetapi bukan semuanya berguna. Segala sesuatu halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan diriku diperhamba oleh suatu apa pun.” (1 Kor 6:12). Dia juga berkata: “Jauhkanlah dirimu dari percabulan! Setiap dosa lain yang dilakukan manusia, terjadi di luar dirinya. Tetapi orang yang melakukan percabulan berdosa terhadap dirinya sendiri.” (1 Kor 6:18). Jadilah murid yang mengejar kekudusan. Tuhan itu kasih. Dia berfirman: “Aku memberikan perintah baru kepada kamu, yaitu supaya kamu saling mengasihi; sama seperti Aku telah mengasihi kamu demikian pula kamu harus saling mengasihi.” (Yoh 13:34). Jika kita dapat terus digerakkan oleh kasih Tuhan, kita dapat berbuat baik kepada orang lain dengan kasih yang diterima. Kita tidak akan terfikir untuk menyakiti sesiapa pun, dan pandai menggunakan karunia yang diterima dengan kasih sejati (rujuk: 1 Kor 13:1) supaya lebih banyak orang dapat dibangunkan. Tambahan pula, Tuhan memilih orang Israel pada zaman kuno dan memberikan ketetapan-ketetapan dan peraturan-peraturan kepada mereka. Tuhan meminta mereka untuk mematuhinya. Tujuannya adalah supaya mereka menjalani kehidupan yang bahagia, harmoni, dan gembira. Hari ini, Tuhan telah memilih kita dan memberikan pelbagai jenis kebenaran. Dia mahu kita taat dalam segala hal, setia pada kebenaran, membuat penilaian dengan baik, dan sering membuat refleksi diri. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Sebab memang aku tidak sadar akan sesuatu, tetapi bukan karena itulah aku dibenarkan. Dia, yang menghakimi aku, ialah Tuhan” (1 Kor 4:4). Oleh yang demikian, semuanya haruslah “jangan melampaui yang ada tertulis, supaya jangan ada yang menyombongkan diri dengan jalan mengutamakan yang satu dari pada yang lain” (rujuk: 1 Kor 4:6), saling menghormati dan saling mengingatkan. “Tetapi segala sesuatu harus berlangsung dengan sopan dan teratur.” (1 Kor 14:40).
E. Pasti dengan pengharapan yang diberikan oleh Tuhan
Tuhan Yesus bangkit daripada antara orang mati untuk membuktikan bahawa kuasa Tuhan mengalahkan belenggu maut. Kita juga menerima pengharapan yang hidup ini. Walaupun kita mempunyai pengetahuan yang terbatas tentang tubuh yang mulia yang akan kita terima pada masa akan datang (1 Kor 15:35), namun pengharapan kita dapat diteguhkan di dalam hati kita dengan meterai Roh Kudus (Ef 1:13-14). Maka, percayalah bahawa Tuhan pasti akan memimpin, membuka jalan, dan menyelamatkan dalam semua persekitaran (rujuk: 1 Kor 10:13, 16:8-9) . Kita juga akan dapat mengalahkan ancaman dosa kejahatan dengan bantuan Roh Kudus (rujuk: 1 Kor 15:57). Dalam semua keadaan, kita dapat menjadi seperti yang didorong oleh Paulus: “Karena itu, saudara-saudara yang kekasih, berdirilah teguh, jangan goyah, dan giatlah selalu dalam pekerjaan Tuhan! Sebab kamu tahu, bahwa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia.” (1 Kor 15:58). Tunjukkanlah daya hidup orang Kristian yang aktif dan berkelimpahan.
KESIMPULAN
Bersedialah untuk mencari jawapan bagi persoalan, mempunyai tekad yang rendah hati dalam menerima ajaran, dan terus-menerus mengejar pembaharuan dan perubahan. Dengan demikian, pastinya kita akan menjadi umat Kristian matang yang memahami lebih banyak ajaran tentang kebenaran, yang sering merenungkannya dan mempunyai pancaindera yang terlatih, serta menjalani kehidupan indah yang memuliakan Tuhan dan memberikan manfaat kepada orang lain.