PANDUAN PEMBACAAN KITAB YOEL

PANDUAN PEMBACAAN KITAB YOEL – HARI TUHAN

 

LATAR BELAKANG MAKLUMAT

Penulis kitab Yoel ialah “Yoel bin Petuel”. “Yoel” bermaksud “TUHANlah Allah”. Catatan tentang Yoel atau Petuel tidak banyak dalam Alkitab. Nama Yoel adalah sangat umum. Dalam Perjanjian Lama, terdapat lebih daripada sepuluh orang yang bernama Yoel. Menurut keterangan dalam kitab, nampaknya Yoel bukan seorang imam. Namun berdasarkan pengetahuannya yang luas tentang Bait Suci dan ritual ibadah, agaknya dia mempunyai hubungan yang erat dengan imam di dalam Bait Suci dan mungkin merupakan penduduk kota Yerusalem.

Tentang masa kerja Yoel, pendapat para sarjana Alkitab terbahagi kepada dua kumpulan. “Teori penulisan awal” beranggapan bahawa masanya adalah pada abad kesembilan SM manakala “teori penulisan lewat” pula menegaskan bahawa masanya adalah pada zaman selepas pulang dari pembuangan. Namun, berdasarkan kajian isi kandungan kitab ini, teori yang pertama adalah lebih sesuai, dan berkemungkinan besar pada masa awal raja Yoas ketika dia dibantu oleh imam Yoyada, dan pada masa yang lebih kurang sama dengan Elisa. Hal ini kerana musuh-musuh yang disebutkan dalam kitab ini: Tirus, Sidon, Filistin (3:4), Mesir, Edom (3:19), dan lain-lain merupakan musuh kerajaan Yehuda pada masa awal. Kitab ini tidak menyebut tentang orang Aram yang menyerang kerajaan Yehuda dan menawan umat ketika Yoas lanjut usia (2 Taw 24:23-24). Di samping itu, nabi Amos memetik daripada kitab ini beberapa kali dalam nubuatnya (Am 1:2; Yl 3:16; Am 5:18,20; Yl 2:1-2; Am 9:13; Yl 3:18). Kelihatannya, masa kerja Yoel adalah sebelum kitab Amos, iaitu pada sekitar tahun 857 – 850 SM. Tempat kerjanya mungkin di Yehuda. Hal ini kerana kitab ini sering menyebut tentang Yerusalem, Sion, rumah TUHAN, dan lain-lain lagi. Israel disebutkan sebanyak tiga kali dalam kitab ini (2:27, 3:2,16). Oleh itu, boleh dikatakan bahawa kitab ini menyebarkan amaran dan bernubuat kepada seluruh kaum Israel.

 

RINGKASAN ISI KANDUNGAN

Nabi Yoel menyaksikan tulah belalang yang mengerikan di seluruh negeri. Semua hasil pertanian di negeri itu habis dimakan sehingga segenap negeri itu sunyi sepi dan suram. Persembahan korban di Bait Suci juga sudah lenyap! Nabi mendapat wahyu pada masa itu: hari TUHAN sudah dekat. Mula-mula, belalang yang menutupi seluruh permukaan bumi akan menyapu seluruh bumi seperti ribuan kuda balapan. Nabi juga bernubuat bahawa tentera musuh akan menyerang Yerusalem, membinasakan seluruh negeri, dan membuat semua tempat menjadi tandus. Kemudian, nabi juga bernubuat bahawa hari TUHAN sudah dekat, iaitu akan ada kesesakan yang dahsyat yang tidak pernah ada sebelumnya di bumi sehingga mengubah dunia yang seperti Taman Eden menjadi padang gurun tandus. Oleh itu, nabi menasihati umat supaya berpuasa, bertaubat sepenuhnya daripada hati dan memohon kepada Tuhan yang benar. Tuhan pasti akan menunjukkan belas kasihan kepada umat-Nya dan mengembalikan kemakmuran kepada padang gurun yang tandus. Nabi akhirnya bernubuat tentang janji Tuhan: akan ada kasih karunia besar pencurahan Roh Kudus pada hari-hari terakhir. Orang Israel yang telah ditawan akan pulang untuk memulihkan bangsa Israel, dan pada masa yang sama melihat musuh menerima hukuman.

 

PENJELASAN RINGKAS MENGENAI SEGMENTASI KANDUNGAN

TRAGEDI TULAH BELALANG

1:1-12

Pada zaman purbakala, tulah belalang pernah menimpa tanah Mesir ketika Tuhan mahu memimpin orang Israel keluar dari Mesir (Kel 10:12-15). Peristiwa ini telah diceritakan dari generasi ke generasi dalam kalangan umat Tuhan. Kini, ada tulah belalang yang belum pernah terjadi sebelumnya di kawasan setempat (ayat 2-4). Tuhan menurunkan tulah belalakng kepada mereka kerana dosa-dosa mereka. Nabi berseru kepada umat di seluruh negari itu dan mahu mereka menceritakan peristiwa itu kepada keturunan mereka supaya generasi demi generasi dapat takut akan Tuhan dan menjauhi kejahatan. Pemabuk tidak tahu kejadian yang berlaku di sekitar mereka. Jadi ketika bencana menimpa, nabi mula-mula sekali mengingatkan mereka untuk “bangun dan menangis”. Hal ini kerana pohon-pohon buah dan gandum di bumi telah dimusnahkan, maka tidak ada lagi anggur untuk mereka bersukaria dan menuruti hawa nafsu (ayat 5-7). Persembahan korban sudah lenyap kerana kekurangan korban persembahan, mereka seolah-olah ditinggalkan kerana memutuskan persekutuan dengan Tuhan. Oleh itu, para imam harus meratap seperti anak dara kerana mempelai, kekasih masa mudanya (ayat 8-10). Petani yang bangga dengan teknik pengeluarannya akan berasa malu dan meratap kerana kemusnahan tuaian mereka di ladang. Bencana seperti ini langsung tidak dapat diselamatkan oleh manusia. Pada ketika ini, kegirangan melayu dari antara anak-anak manusia (ayat 11-12).

 

1:13-20

Untuk julung kalinya, nabi mengumumkan bahawa “hari TUHAN” sudah dekat, datangnya sebagai pemusnahan daripada Yang Mahakuasa. Kerosakan dan kegersangan di hadapan matanya sangat menggemparkan (ayat 15-20). Nabi menyeru seluruh bangsa untuk berdoa dan berpuasa. Para imam harus mengenakan kain kabung dan datang ke hadapan Tuhan. Hal ini kerana tulah belalang yang dihadapi oleh umat Tuhan merupakan hukuman daripada Tuhan (Ul 28:38-39; 1 Raj 8:37-40). Pada saat yang mendesak ini, “perkumpulan raya” harus dimaklumkan, dan harus mengumpulkan para tua-tua dan seluruh penduduk negeri ke Bait Suci untuk berpuasa dan bertaubat, dan berteriak kepada Tuhan dengan sesungguhnya (ayat 13-14).

 

CATATAN:

Tulah belalang masih biasa berlaku di Timur Tengah, Afrika Utara dan Afrika Tengah. Apabila tulah belalang berlaku, mungkin terdapat berjuta-juta belalang yang meliputi kawasan beratus-ratus batu persegi. Belalang-belalang yang terbang di udara ini adalah seperti awan hitam yang menutupi bumi. Suara yang dikeluarkan adalah “seperti gemertaknya kereta-kereta, seperti geletiknya nyala api yang memakan habis jerami” (2:5). Belalang memusnahkan ladang satu demi satu, menghabiskan semua daun hijau, dan bahkan memakan habis dahannya, sama sekali tidak dapat dihalang. Situasi yang dijelaskan dalam fasal pertama kitab Yoel ialah kemusnahan yang disebabkan oleh belalang.

 

PENGISYTIHARAN TAUBAT

2:1-11

Nabi itu seperti penjaga (Yeh 3:17-21). Dia sekali lagi menyatakan bahawa “hari TUHAN” sudah dekat, “suatu hari gelap gulita dan kelam kabut”. Dengan serangan belalang, nabi memperlihatkan tentera bangsa asing yang akan menyerang Yehuda. Pasukan besar yang kuat yang menyerang ini tidak pernah ada sejak purbakala, dan tidak akan ada lagi sesudah itu (ayat 1-2). Di depannya api memakan habis, di belakangnya nyala api berkobar. Negeri yang baik seperti Taman Eden akan menjadi padang gurun (ayat 3). Pasukan ini berasal dari utara (ayat 20), terlatih (Ams 30:27), cukup berani untuk berperang, sangat keras, kejam dan ganas. Pencerobohan mereka “seperti kuda yang disiapkan untuk peperangan” (Why 9:7), suara mereka “bagaikan bunyi kereta-kereta yang ditarik banyak kuda” (Why 9:9). Mereka mara “seperti suatu bangsa yang kuat, teratur barisannya untuk berperang”. Mereka mara seperti pahlawan, menerobos pertahanan dengan tombak, berlari ke atas tembok, dan memanjat ke dalam rumah-rumah seperti pencuri (ayat 4-9). Dengan tulah belalang ini, nabi bernubuat bahawa Tuhan akan menghakimi umat-Nya dengan menggunakan musuh-musuh ini dan seksaan yang dahsyat akan menimpa dunia pada kesudahannya (Mat 24:21,22,29). Belalang yang seperti awan hitam di langit menunjukkan bahawa bumi dan langit akan bergetar, matahari dan bulan menjadi gelap, dan bintang-bintang menghilangkan cahayanya (ayat 10-11).

 

2:12-17

Dalam keadaan yang putus harapan seperti itu, umat di seluruh negeri hanya boleh datang kepada Tuhan untuk merendahkan hati dan bertaubat. Hal ini kerana Tuhan yang benar itu pengasih dan panjang sabar. Dukacita sebenar daripada hati seperti “mengoyak hati” mungkin membolehkan kita menerima belas kasihan dan kasih karunia-Nya, dan meninggalkan “kekayaan” bagi umat. Dengan demikian, mereka dapat memiliki “gandum dan anggur” untuk dipersembahkan kepada Tuhan seperti sebelumnya (ayat 12-14). Nabi berseru kepada lelaki, perempuan, orang-orang kecil dan orang-orang besar, dan bahkan orang yang baru mengambil isteri di seluruh negeri (rujuk: Ul 24:5) supaya mengadakan puasa yang kudus dan mengumpulkan bangsa tersebut untuk memaklumkan perkumpulan raya. Para imam harus memimpin umat Israel berdoa kepada Tuhan dan memohon supaya Tuhan menyayangi umat-Nya. Semua orang yang berkumpul menangis dan berdoa, memohon supaya Tuhan menyelamatkan negeri itu daripada bahaya dan menghindari olok-olokan orang-orang bangsa asing (rujuk: Mzm 79:4) (ayat 15-17).

 

BERKAT AKHIR ZAMAN ISRAEL

2:18-27

Bangsa Israel seolah-olah pernah berpaling kepada Tuhan sebagai respons terhadap panggilan nabi. Maka, Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada umat-Nya dan menjawab teriakan mereka. Jawapam di sini boleh dibahagikan kepada masa sekarang dan masa hadapan: pada masa sekarang, belalang akan diusir dan dilenyapkan, dan kegemilangan ladang akan pulih. Tuhan juga berjanji akan mengirim gandum, anggur dan minyak kepada mereka, dan mereka akan kenyang memakannya. Tuhan juga akan menghapuskan cela mereka. Pada masa hadapan pula, Tuhan akan menjauhkan “yang datang dari utara” (semua musuh) daripada mereka, menyelamatkan semua orang yang tertindas, dan menghilangkan semua penghinaan (ayat 18-20). Tuhan ingin sekali lagi memberkati bumi sehingga ladang yang baik akan sekali lagi menghasilkan tanaman yang banyak, dan rumput dan pohon yang subur di padang akan dipulihkan. Dengan adanya hujan pada awal musim dan hujan pada akhir musim, seluruh bumi akan penuh dengan daya hidup yang berkembang pesat, dan kerugian yang disebabkan oleh tulah belalang akan diganti (ayat 21-25). Seluruh rakyat akan makan dengan kenyang dan memuji-muji Tuhan. Mereka akan mengetahui bahawa Tuhan yang telah memperlakukan mereka dengan ajaib ada di antara mereka, dan bahawa tidak ada tuhan yang lain dan orang yang bersandar kepada-Nya tidak akan menjadi malu lagi untuk selama-lamanya (ayat 26-27).

 

2:28-32

Setelah nabi melihat tulah belalang, pengalaman pembaharuan umat setelah tulah ini meramalkan berkat yang lebih besar pada masa depan. Nabi bernubuat bahawa pada hari-hari terakhir, Tuhan akan memberikan Roh Kudus dengan segala kekayaan kepada seluruh umat manusia, iaitu setiap orang yang mengusahakannya dengan miskin di hadapan Tuhan (ayat 28-29). Sebelum kedatangan Tuhan untuk kali yang kedua, langit dan bumi akan bergoncang dengan tanda-tanda (Luk 21:25-26). Nabi bernubuat tentang tanda-tanda sebelum datangnya hari TUHAN yang hebat dan dahsyat itu: termasuk pencurahan Roh Kudus, peperangan besar yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan terjadi lagi selepasnya di bumi, dan penglihatan yang luar biasa akan muncul di langit dan di bumi (ayat 30-31). Pada masa itu, semua orang yang berseru kepada nama Tuhan pasti akan diselamatkan. Walaupun seksaan yang dahsyat akan menimpa bumi, tetapi akan ada sisa yang tinggal oleh sebab umat pilihan Tuhan (Rm 11:5). Mereka yang menerima Yesus sebagai Juruselamat pasti akan diselamatkan (ayat 32).

 

CATATAN:

  1. Belalang menandakan pencerobohan Yehuda oleh tentera musuh dan juga melambangkan seksaan yang dahsyat pada akhir zaman. Dari sudut kerohanian, hal ini melambangkan bahawa jemaat akan dirosakkan oleh syaitan sehingga kehilangan kebenaran dan menjadi tandus. Oleh itu, jemaat juga harus melalui penyesalan dan pertaubatan sebelum dapat menerima Roh Kudus daripada Tuhan untuk memulihkan jemaat seperti yang ada pada zaman para rasul, penuh dengan karunia dan sukacita rohani.
  2. Ketika Roh Kudus dicurahkan pada hari Pentakosta, Petrus memetik nubuat daripada perenggan ini (Kis 2:16-18). Semua nubuat dalam perenggan ini akan digenapi sebelum kedatangan Tuhan Yesus untuk kali yang kedua. Hal ini kerana kitab ini ada menunjukkan dua fasa iaitu hujan pada awal musim dan hujan pada akhir musim (2:23). Mereka yang menerima Roh Kudus akan memiliki pengalaman yang luar biasa seperti berkata-kata dalam bahasa roh dan bernubuat (Kis 19:6), mendapat mimpi, mendapat penglihatan-penglihatan (Kis 2:2-4) dan sebagainya. Roh Kudus pada zaman para rasul menggenapi hujan pada awal musim (hujan awal) dan dicurahkan untuk tujuan mendirikan gereja dan memberitakan Injil (menabur). Pada akhir zaman, Roh Kudus akan diturunkan sekali lagi untuk menggenapi hujan pada akhir musim (hujan akhir) serta memajukan gereja benar agar bersiap untuk menuai dan menyambut kedatangan semula Tuhan Yesus (Mat 24:14).

 

PENGISYTIHARAN PENGHAKIMAN KEPADA BANGSA-BANGSA

3:1-11

Kita harus memahami makna “hari TUHAN” kepada bangsa Israel dan bangsa-bangsa. Nubuat nabi tentang “pada hari-hari itu dan pada waktu itu” merujuk kepada kepulangan Yehuda dari Babel dan juga merujuk kepada kepulangan Israel dari segala bangsa sebelum penghakiman hari kiamat. “Lembah Yosafat” mempunyai maksud Tuhan menghakimi. Israel tetap merupakan milik Tuhan. Jadi orang-orang yang mencerai-beraikan mereka, merampas tanah mereka, dan menjual mereka sebagai hamba akan dihakimi Tuhan (ayat 1-3). Tirus, Sidon, Filistin, Edom, dan Mesir semuanya pernah menindas orang Israel dalam sejarah. Maka mereka mewakili semua musuh umat pilihan. Sebagai contoh: Tirus dan Sidon tidak menghiraukan hubungan sesama manusia dan menjual orang Yehuda kepada orang Yunani sebagai hamba. Filistin dan Mesir ialah musuh turun-temurun orang Israel. Mereka menindas umat pilihan dengan kekerasan dan peperangan, merampas emas, perak dan brang-barang yang berharga di Bait Suci dan membawanya ke tempat-tempat ibadah mereka. Walaupun Edom dan Israel merupakan keturunan Ishak; namun Edom membenci orang Israel dan mahu orang Israel dihapuskan dari dunia (Ob 10-14). Kini, Tuhan akan membalikkan perbuatan itu ke atas kepala mereka sendiri (ayat 4-8). Oleh itu, bangsa-bangsa harus bersiap untuk peperangan, menempa mata bajak menjadi pedang dan pisau-pisau pemangkas menjadi tombak. Peperangan ini adalah antara kekuatan jahat dengan Tuhan yang hidup selama-lamanya. Kalimat ini juga bernubuat bahawa dunia akan melancarkan peperangan berskala besar sebelum penghakiman hari besar (ayat 9-11) (rujuk: Why 16:13-16, 19:19, 20:7-8).

 

3:12-21

Setelah peperangan tragis yang memusnahkan dunia dan bumi berakhir, nabi akhirnya mengumumkan bahawa sudah dekat “hari TUHAN” di “lembah penentuan”. Tuhan akan menghakimi bangsa-bangsa di sekitar Israel. Penghakiman ini adalah secara terbuka, dan segala bangsa akan berdiri di hadapan Tuhan. Pada kesudahannya, kebaikan dan kejahatan telah mencapai tahap kematangan, seperti gambaran sudah masak tuaian, sudah penuh tempat anggur, tempat-tempat pemerasan kelimpahan. Kerja penuaian hanya dilakukan apabila kebaikan dan kejahatan mudah dibezakan. Oleh itu, hari kiamat merupakan masa untuk membezakan antara kebaikan dengan kejahatan dan juga masa untuk menerima upah atau hukuman. Bagi musuh Yang Mahakuasa, hari itu ialah hari yang mengerikan, “matahari dan bulan menjadi gelap, dan bintang-bintang menghilangkan cahayanya” (ayat 12-15). Setelah dosa dan kejahatan manusia penuh, murka Tuhan akan meletus. Dia akan membawa kejutan besar yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan terjadi lagi selepasnya dengan kekuatan yang tidak terhalang. Tetapi pada masa yang sama, Dia mahu menunjukkan bahawa Dialah “tempat perlindungan dan benteng” bagi umat-Nya. Mereka akan diam di Yerusalem, kota yang kudus itu di atas Sion, gunung yang kudus dan tidak lagi akan diganggu oleh musuh asing (ayat 16-17). Setelah musuh dihakimi, umat pilihan akan kembali, Tuhan akan memberkati Yehuda, dan hasil tanah mereka akan berkelimpahan (ayat 18). Mesir dan Edom akan menjadi sunyi sepi kerana pernah melakukan kekerasan terhadap Yehuda (ayat 19). Sebaliknya, umat pilihan pasti akan tetap untuk selama-lamanya. Tuhan akan membalas darah mereka yang belum dibalas sebelumnya. Hal ini kerana Tuhan akan diam bersama dengan umat-Nya di Yerusalem (ayat 20-21).

 

KESIMPULAN

Nabi Yoel menggunakan tulah belalang untuk bernubuat tentang hari TUHAN dan memberitakan peringatan. Oleh itu, “hari TUHAN” merupakan perkataan utama kitab ini. Kalimat ini juga menjadi pesanan yang paling menonjol dan paling mengejutkan dalam kitab ini. “Hari” dalam kitab ini merujuk kepada dua aspek: yang pertama merujuk kepada hari orang-orang Yahudi ditawan, dan yang kedua merujuk kepada hari kedatangan semula Tuhan Yesus pada akhir zaman, iaitu pada hari TUHAN yang hebat dan dahsyat (2:11,31). Hari ini akan tiba seperti datangnya sebagai pemusnahan daripada Yang Mahakuasa (1:15). Sebelum ketibaan hari ini, Tuhan akan memulihkan keadaan Yehuda dan Yerusalem (3:1), akan ada peperangan berskala besar di dunia (3:9-10, 2:2-3), dosa memenuhi dunia (3:13), Roh Kudus dicurahkan sekali lagi (2:28-31), langit dan bumi bergoncang, matahari, bulan dan bintang-bintang menghilangkan cahayanya (2:10-11). Pada hari itu, Tuhan akan melakukan pembalasan yang besar (3:4-7), membalas dengan banyak (3:21), dan menghakimi segala bangsa di bawah langit (3:12). Hanya gereja benar saja yang akan diangkat dan tetap untuk selama-lamanya (3:20).