PERBINCANGAN TENTANG PENGURUSAN KEWANGAN DARI PERSPEKTIF ABADI
PENDAHULUAN
Selepas pemulihan Taiwan, kenaikan harga barangan telah mengakibatkan hiperinflasi. Untuk menstabilkan harga barangan, kerajaan Taiwan melaksanakan rancangan penambahbaikan sistem mata wang pada 15 Jun 1949. $40,000 dolar lama Taiwan ditukar dengan $1 mata wang baru Taiwan (TDW). Tarikh pertukaran terakhir adalah pada 31 Disember tahun yang sama. Dolar lama Taiwan tidak akan digunakan lagi setelah habis tempohnya. Setiap orang yang hidup dalam dunia akan mati suatu hari nanti. Semua kekayaannya di atas bumi akan menjadi sia-sia dan tidak lagi dapat digunakan di atas langit. Sekiranya kita mahu hidup kita mempunyai nilai yang abadi dalam Kerajaan Syurga, maka kita harus menggunakan wang dengan betul dalam hidup ini.
Kalau tiada hak sendiri, anak mata terdiri-diri. Oleh itu, buku-buku yang mengajar tentang pelaburan dan pengurusan kewangan sering kelihatan dalam kedudukan laris umum. Terdapat juga program-program tentang pelaburan dan pengurusan kewangan di saluran televisyen. Bahkan dalam gereja, pelaburan dan pengurusan kewangan juga menjadi topik hangat dalam perhimpunan persekutuan. Wang memang tidak jahat dan berdosa, tetapi mengejar kekayaan secara berlebihan sering menyebabkan orang terjerumus ke dalam keruntuhan dan kebinasaan (1 Tim 6:9). Berikut menggunakan perumpamaan tentang “bendahara yang tidak jujur” yang disebut oleh Yesus dalam Injil Lukas dalam Perjanjian Baru (Luk 16:1-13) untuk membincangkan pengurusan kewangan.
INTI UTAMA ISI KANDUNGAN AYAT ALKITAB
Inti utama perumpamaan tersebut dijelaskan seperti berikut:
- 16:1-8: “Dan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Ada seorang kaya yang mempunyai seorang bendahara. Kepadanya disampaikan tuduhan, bahwa bendahara itu menghamburkan miliknya. Lalu ia memanggil bendahara itu dan berkata kepadanya: Apakah yang kudengar tentang engkau? Berilah pertanggungan jawab atas urusanmu, sebab engkau tidak boleh lagi bekerja sebagai bendahara. Kata bendahara itu di dalam hatinya: Apakah yang harus aku perbuat? Tuanku memecat aku dari jabatanku sebagai bendahara. Mencangkul aku tidak dapat, mengemis aku malu. Aku tahu apa yang akan aku perbuat, supaya apabila aku dipecat dari jabatanku sebagai bendahara, ada orang yang akan menampung aku di rumah mereka. Lalu ia memanggil seorang demi seorang yang berhutang kepada tuannya. Katanya kepada yang pertama: Berapakah hutangmu kepada tuanku? Jawab orang itu: Seratus tempayan minyak. Lalu katanya kepada orang itu: Inilah surat hutangmu, duduklah dan buat surat hutang lain sekarang juga: Lima puluh tempayan. Kemudian ia berkata kepada yang kedua: Dan berapakah hutangmu? Jawab orang itu: Seratus pikul gandum. Katanya kepada orang itu: Inilah surat hutangmu, buatlah surat hutang lain: Delapan puluh pikul. Lalu tuan itu memuji bendahara yang tidak jujur itu, karena ia telah bertindak dengan cerdik. Sebab anak-anak dunia ini lebih cerdik terhadap sesamanya dari pada anak-anak terang.””
Petikan ayat di atas membicarakan seorang bendahara yang dipecat oleh tuannya kerana dia membazirkan harta tuannya. Sebelum meninggalkan pekerjaan itu, dia menukar akaun dan memberikan manfaat kepada orang lain dengan harapan bahawa penghutang akan menolongnya pada masa kelak. Tingkah laku bendahara ini tidak boleh dibanggakan, namun Yesus mengatakan bahawa tuan memuji bendahara itu kerana ia telah bertindak dengan cerdik. Adakah Yesus mahu kita mencontohi bendahara dengan menyalahgunakan pangkat atau kuasa kita untuk makan suap dan mendapat keuntungan? Tidak, Yesus tidak memuji tingkah laku bendahara yang “tidak jujur”. Yesus hanya memuji bendahara itu kerana “ia telah bertindak dengan cerdik”. Dia tahu sediakan payung sebelum hujan. Bagi seorang penganggur, perkara yang paling penting baginya adalah bahawa asal berisi tembolok senang hati; bukan calon yang boleh memenangi pilihan raya. Bagi seorang Kristian, perkara yang paling penting adalah sama ada roh dan jiwa dapat memasuki Kerajaan Syurga; bukan memperoleh kekayaan berbilion dolar.
Perumpamaan menggunakan kisah dari dunia untuk menggambarkan kebenaran syurga. Kebenaran bagi “perumpamaan tentang bendahara yang tidak jujur” yang disebutkan di atas ialah “anak-anak dunia ini bertindak dengan cerdik, tahu memegang peluang, dan sediakan payung sebelum hujan untuk mendapatkan manfaat dalam hidup ini. Kita sebagai anak-anak terang harus lebih cerdik, tahu memegang peluang, dan sediakan payung sebelum hujan untuk mendapatkan manfaat hidup yang kekal”. Umumnya, orang-orang dalam dunia ini tidak mempunyai pengharapan hidup yang kekal. Namun mereka tahu untuk bekerja keras demi mendapatkan wang dan bersiap sedia untuk usia tua. Orang Kristian yang tamak dan mengasihi dunia serta tidak tahu bersiap sedia untuk hidup yang kekal pada masa hadapan adalah lebih bodoh daripada orang biasa.
- 16:9-12: “Dan Aku berkata kepadamu: Ikatlah persahabatan dengan mempergunakan Mamon yang tidak jujur, supaya jika Mamon itu tidak dapat menolong lagi, kamu diterima di dalam kemah abadi. Barangsiapa setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar. Dan barangsiapa tidak benar dalam perkara-perkara kecil, ia tidak benar juga dalam perkara-perkara besar. Jadi, jikalau kamu tidak setia dalam hal Mamon yang tidak jujur, siapakah yang akan mempercayakan kepadamu harta yang sesungguhnya? Dan jikalau kamu tidak setia dalam harta orang lain, siapakah yang akan menyerahkan hartamu sendiri kepadamu?”
Yesus mendorong kita bahawa jika kita dapat memanfaatkan wang dengan baik dan menolong orang miskin ketika kita hidup pada hari ini, Tuhan akan menyambut kita ke dalam Kerajaan Syurga (khemah yang kekal abadi) setelah kita meninggal dunia (ketika wang tidak lagi berguna). Jika kita dapat mengurus wang di bumi dengan setia sesuai dengan pesanan Tuhan ketika kita hidup pada hari ini, Tuhan akan memberikan kekayaan di syurga (kekayaan yang sebenar) kepada kita setelah kita meninggal dunia kelak. Jika kita dapat mengurus wang yang dipercayakan oleh tuan kepada kita dengan setia ketika kita hidup pada hari ini, Tuhan akan memberikan kekayaan yang berkelimpahan dalam Kerajaan Syurga kepada kita untuk menjadi warisan kita (milik kita sendiri) yang kekal setelah kita meninggal dunia kelak.
- 16:13: “Seorang hamba tidak dapat mengabdi kepada dua tuan. Karena jika demikian ia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau ia akan setia kepada yang seorang dan tidak mengindahkan yang lain. Kamu tidak dapat mengabdi kepada Allah dan kepada Mamon.”
Dalam masyarakat perhambaan kuno, hamba merupakan hak milik tuannya dan hamba harus melayani tuannya dengan setia. Dalam dunia rohani, kita merupakan hamba Tuhan. Kita harus memilih Tuhan atau wang (Mamon) sebagai objek ibadah kita yang tunggal. Sama ada mengasihi Tuhan dan membenci wang; atau menyukai wang dan membenci Tuhan. Kedua-duanya adalah saling bertentangan. Kita tidak boleh melayani kedua-duanya pada masa yang sama.
Ketika kita melayani dan bersandar pada wang, jiwa kita tetap berasa sia-sia pada akhirnya walaupun kita dapat memperoleh kenikmatan dan kebahagiaan yang sementara (Pkh 5:9). Melayani wang menyebabkan orang yang semakin kaya berasa semakin takut. Hal ini kerana harta di bumi, “ngengat dan karat merusakkannya dan pencuri membongkar serta mencurinya” (Mat 6:19). Bersandar pada wang menyebabkan orang tinggi hati sehingga melupakan Tuhan (Ul 8:13,14). Jika wang itu tidak dapat menolong lagi, manusia akan dicampakkan ke dalam neraka yang gelap, di sanalah akan terdapat ratap dan kertak gigi.
Apabila kita bersedia untuk melayani dan bersandar pada Tuhan, kita akan mempersembahkan wang kepada Tuhan dan memberikan sedekah kepada orang miskin supaya semakin berkorban, semakin bersukacita. Hal ini kerana kita mengumpul harta di syurga, “yang tidak dapat didekati pencuri dan yang tidak dirusakkan ngengat” (Luk 12:33). Jika wang itu tidak dapat menolong lagi, Tuhan akan menerima kita di dalam khemah abadi, di sanalah akan terdapat sukacita dan kegembiraan.
PENGAJARAN-PENGAJARAN DARIPADA PERUMPAMAAN
- Menghapuskan halangan
Adakah kekayaan merupakan “matlamat” hidup manusia, atau “taktik” yang membantu mencapai matlamat hidup? Matlamat seorang Kristian dalam hidup adalah untuk memuliakan Tuhan dan memberikan manfaat kepada orang lain ketika hidup dalam dunia supaya roh dan jiwa dapat memasuki Kerajaan Syurga dan mendapat hidup yang kekal setelah mati. Wang yang banyak tidak diperlukan untuk mencapai matlamat hidup. Mengejar kekayaan secara berlebihan sering menyebabkan manusia “terjatuh ke dalam pencobaan, ke dalam jerat dan ke dalam berbagai-bagai nafsu yang hampa dan mencelakakan” sehingga akhirnya menyimpang daripada iman (1 Tim 6:9,10). Halangan mesti dihapuskan untuk mencapai matlamat hidup dengan lancar.
Seorang muda yang kaya bertanya kepada Yesus tentang perbuatan baik yang harus dibuat untuk memperoleh hidup yang kekal. Yesus memberitahunya: “Juallah segala milikmu dan berikanlah itu kepada orang-orang miskin, maka engkau akan beroleh harta di sorga, kemudian datanglah ke mari dan ikutlah Aku.” Orang muda kaya itu tidak dapat meninggalkan kekayaannya dan mengikuti Yesus. Maka dia pergi dengan sedih. Yesus mengeluh: “… sukar sekali bagi seorang kaya untuk masuk ke dalam Kerajaan Sorga.” (Mat 19:16-24). Hal-hal di dunia sering menghalangi kita memasuki Kerajaan Syurga. Contohnya adalah seperti wang, pengetahuan, status, kasih sayang, kesihatan fizikal, dan lain-lain. Kita harus memohon agar Tuhan menambah hikmat supaya kita dapat memahami dengan jelas bahawa hal-hal di dunia ini bersifat sementara. Hal-hal tersebut merupakan taktik untuk mencapai matlamat hidup, dan akan berlalu pada suatu hari nanti. Khemah yang kekal di syurga adalah abadi dan merupakan satu-satunya matlamat hidup manusia. Umat Kristian harus bekerja keras untuk menghapuskan halangan dan bergerak menuju matlamat Kerajaan Syurga.
Seorang rakan merancang untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Dia menjual hartanah dan keretanya di Taiwan, memakai pakaian yang biasa dan ringkas, keluar hanya dengan menaiki bas, tidak mengambil bahagian dalam majlis perkahwinan atau pengebumian kawan-kawan, dan mengirim wang yang disimpan ke Amerika Syarikat untuk kegunaan masa depan. Secara amnya, orang-orang di dunia merancang penghijrahan mereka dalam hidup ini dengan sangat berhati-hati. Kewargaan kita adalah di dalam syurga (Flp 3:20). Kita ialah orang asing dan pendatang di bumi ini (Ibr 11:13). Suatu hari nanti, kita akan berhijrah ke syurga yang lebih indah dan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Kita harus membuat persiapan lebih awal dalam hidup ini. Oleh itu, semasa hidup sebagai orang asing di dunia, kita tidak seharusnya memiliki harta benda yang terlalu banyak. Janganlah kita membawa bagasi yang terlalu berat sehingga menyukarkan perjalanan dan tidak dapat sampai ke Kerajaan Syurga dengan lancar. Kita berpendapat bahawa kita memiliki kekayaan, tetapi sebenarnya, kekayaanlah yang memiliki kita. “Karena di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada.” (Mat 6:21). Maka kita harus mempersembahkan lebih banyak wang kepada Tuhan dan memberikannya kepada orang-orang miskin supaya kita dapat mengumpul harta di syurga. Apabila bagasi kita diringankan, kita dapat mencapai destinasi Kerajaan Syurga dengan lebih lancar.
- Jelas dengan identiti
Segala sesuatu datang daripada Tuhan. Wang, hikmat, dan kesihatan kita semuanya datang daripada Tuhan. Tuhan mempercayakan kita untuk mengurusnya. Kita ialah pengurus rumah Tuhan (Luk 12:42; 1 Kor 4:1). Kita hanya berhak menggunakan segala-galanya tetapi tidak memiliki hak milik itu. Suatu hari nanti, tuan (Tuhan) akan kembali untuk menilai dan memberikan ganjaran atau menghukum sesuai dengan hasil kerja kita. Sekiranya orang Kristian dapat jelas dengan identiti sendiri sebagai pengurus rumah, berfikir bahawa semakin banyak yang dikorbankan, harta akan bertambah semakin banyak, dan semakin banyak memberi, semakin bahagia, maka mereka akan bersedia untuk mempersembahkan semua yang dimiliki kepada Tuhan dan bersedia untuk berkongsi dengan orang lain. Jika mereka tidak memahami identiti sendiri sebagai pengurus rumah, menganggap merekalah tuan ke atas segalanya, berfikir bahawa semakin banyak yang dikorbankan, harta akan menjadi semakin sedikit, dan semakin banyak memberi, semakin sedih, maka mereka tidak akan sudi untuk mempersembahkan segalanya kepada Tuhan dan tidak sudi untuk berkongsi dengan orang lain.
Ketika Bait Suci julung kali dibangunkan di Yerusalem, raja Daud secara sukarela mempersembahkan emas dan perak yang telah dikumpulkannya selama bertahun-tahun. Hal ini kerana dia tahu identitinya sebagai pengurus rumah. Dia berkata: “Sebab siapakah aku ini dan siapakah bangsaku, sehingga kami mampu memberikan persembahan sukarela seperti ini? Sebab dari pada-Mulah segala-galanya dan dari tangan-Mu sendirilah persembahan yang kami berikan kepada-Mu.” (1 Taw 29:14). Rasul Paulus juga jelas dengan identitinya sebagai pengurus rumah dan tahu bahawa segala sesuatu dalam dunia ini diterima daripada Tuhan (1 Kor 4:7). Oleh itu, dia bersedia untuk mempersembahkan segalanya kepada Tuhan, sudi berusaha sedaya upaya untuk memberitakan Injil, menderita bagi Tuhan, dan bahkan sanggup mengorbankan nyawanya.
Dalam gereja pada hari ini, ada orang yang sudi mempersembahkan wang, bakat, dan masa untuk melayani Tuhan kerana mereka jelas dengan identiti mereka sebagai pengurus rumah. Mereka faham bahawa semuanya datang daripada Tuhan dan mereka memberikan tindak balas kepada berkat Tuhan dengan hati yang bersyukur. Ketika kita tidak dapat mengetepikan wang, bakat, dan masa untuk melayani Tuhan, kita sering lupa tentang identiti kita sebagai pengurus rumah. Kita keliru bahawa kitalah tuan atas segala sesuatu dan tidak mempunyai hati yang bersyukur kepada Tuhan.
- Melayani Tuhan dengan setia
Dalam perumpamaan tentang “bendahara yang tidak jujur”, bendahara mengubah akaun untuk memberikan manfaat kepada orang lain demi mengejar kepentingan peribadi dan memungkinkan dia menjalani kehidupan yang selesa. Prestasi tidak setia seperti itu tidak akan dihargai oleh tuannya. “Yang akhirnya dituntut dari pelayan-pelayan yang demikian ialah, bahwa mereka ternyata dapat dipercayai” (1 Kor 4:2) dan dapat melakukan sesuatu menurut arahan Tuhan. Barangsiapa setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar. Jika kita setia dalam perihal pengurusan kewangan yang dipercayakan oleh Tuhan, Tuhan akan membalas kita dengan kekayaan di syurga apabila kita meninggal dunia kelak.
Wang dipercayakan oleh Tuhan kepada kita. Kita harus menguruskannya dengan setia menurut arahan Tuhan. Apabila menerima gaji setiap bulan, persepuluhan harus dipersembahkan (Im 27:30-34; Mat 23:23). Di samping itu, berikan juga persembahan kesyukuran, persembahan khas untuk membangun gereja, dan lain-lain agar gereja dapat memiliki sumber dana untuk menyebarkan Injil dan memberikan bantuan kepada orang-orang miskin. Persembahan merupakan tindakan yang bersyukur kepada Tuhan. Apabila kita mempersembahkan wang, hati kita mendekat kepada Tuhan, dan kita akan diberkati oleh Tuhan (2 Kor 9:6-14; Luk 6:38; Mal 3:10). Apabila kita menjadi hamba wang, hati kita menjauh daripada Tuhan dan kita akan dikutuk oleh Tuhan.
KESIMPULAN
“Perumpamaan tentang bendahara yang tidak jujur” hanyalah salah satu daripada perumpamaan-perumpamaan yang membincangkan persoalan mengenai wang yang disebutkan oleh Yesus dalam Alkitab. Tuhan tidak peduli tentang cara menguntungkan wang, tetapi Dia memberikan peringatan kepada pemercaya agar tidak kehilangan hidup rohani mereka kerana menjadi hamba wang.
Tokoh-tokoh rohani dalam Alkitab juga sering mendorong kita untuk memiliki pandangan rohani dan mengenali wang dari perspektif abadi. Jangan kehilangan kemuliaan kekal yang melebihi segala-galanya demi mengejar kekayaan jangka pendek dalam hayat ini (2 Kor 4:17).
Agur berkata: “Jangan berikan kepadaku kemiskinan atau kekayaan… Supaya, kalau aku kenyang, aku tidak menyangkal-Mu dan berkata: Siapa TUHAN itu?” (Ams 30:8-9).
Paulus berkata: “… Karena akar segala kejahatan ialah cinta uang. Sebab oleh memburu uanglah beberapa orang telah menyimpang dari iman dan menyiksa dirinya dengan berbagai-bagai duka. Tetapi engkau hai manusia Allah, jauhilah semuanya itu, kejarlah keadilan, ibadah, kesetiaan, kasih, kesabaran dan kelembutan.” (1 Tim 6:9-11).
Yesus berkata: “Apa gunanya seorang memperoleh seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya? Dan apakah yang dapat diberikannya sebagai ganti nyawanya?” (Mat 16:26).
Wang adalah seperti sebilah pisau yang dapat menolong ataupun membunuh orang lain. Wang boleh mendatangkan kebahagiaan dan bencana. Orang yang menggunakan wang dengan baik dalam hidup ini akan diberkati oleh Tuhan dan akan menerima hidup yang kekal. Orang yang bersandar pada wang dalam hidup ini akan dikutuk oleh Tuhan dan kehilangan hidup yang kekal. Sekiranya ingin memasuki Kerajaan Syurga dan memiliki warisan sendiri, orang Kristian harus tahu untuk merebut peluang dalam hidup ini, mempersiapkan diri terlebih dahulu, banyak menyempurnakan rohani, banyak memberikan persembahan, banyak melakukan kerja suci, dan banyak memikirkan perkara-perkara di syurga. Dengan demikian, bahagian yang abadi di syurga akan tersedia bagi kita.