KITAB PENGKHOTBAH
(Pendeta Lin Zhang Wei)
Permulaan kitab Pengkhotbah dengan jelas menyatakan: “Kesia-siaan belaka, kata Pengkhotbah, kesia-siaan belaka, segala sesuatu adalah sia-sia. Apakah gunanya manusia berusaha dengan jerih payah di bawah matahari?” (Pkh 1:2-3). Kesimpulan hidup ini dirasakan oleh seseorang yang tidak berdiri di dalam Tuhan. Biarpun anda bergendang deras, menginjak kekayaan, menjadi pucuk bulat, dan mendongak langit semasa berada di dunia ini, anda tidak menyangka bahawa “Keturunan yang satu pergi dan keturunan yang lain datang, tetapi bumi tetap ada”. Anda mendapat nama, mempunyai kekayaan, diperingati setelah kematian dan tugu peringatan didirikan untuk anda. Namun apa keuntungan yang anda peroleh? Adakah anda mendapat kepuasan hati yang sebenarnya? Apabila hidup sudah tiada, semuanya tidak lagi memberikan keuntungan. Memang benar bahawa segala sesuatu di bawah matahari ialah kesia-siaan belaka. Apa itudi bawah matahari? Apa itu kesia-siaan?
A. Maksud “di bawah matahari”: Perkataan asalnya ialah “di bawah hari”, dan “di bawah” juga diterjemahkan sebagai “di bawah bumi” dalam Alkitab (Ul 4:18). Oleh itu, bahagian bawah yang dapat disinari cahaya matahari (semua tempat dalam alam semesta yang dapat disinari matahari) semuanya termasuk di bawah matahari, dan tidak terbatas pada ruang lingkungan bumi.
B. Maksud kesia-siaan: Maksud asalnya ialah meniup. Sebagai contoh, buih sabun yang ditiup oleh kanak-kanak menghasilkan warna-warni bagai pelangi di bawah matahari. Apabila anda ingin menangkapnya menjadi milik sendiri, buih itu hilang menjadi bayangan gelembung dalam tangan anda. Terjemahan-terjemahan lain dalam Alkitab ialah kesia-siaan (Ams 21:6), percuma (Yes 30:7), sia-sia (Rat 4:17), dan hembusan nafas (Yes 57:13). Oleh itu, semua tempat yang dapat disinari cahaya matahari, semua pekerjaan, tahun-tahun umur, pengharapan, kepercayaan, usaha, rancangan, kekayaan, reputasi, dan lain-lain ialah kesia-siaan. Semuanya adalah seperti pelangi buih sabun yang indah untuk sementara waktu tetapi tidak realistik. Rasanya adalah seperti menjaring angin dan menangkap bayang-bayang.
PERBINCANGAN MENGENAI PERSPEKTIF KESIA-SIAAN DI BAWAH MATAHARI
Sekiranya seseorang tidak memahami keterbatasan manusia, dia akan meninggi-ninggikan diri sendiri dengan kebijaksanaan, kesenangan, kemasyhuran, kekayaan, dan kekuasaan yang keterlaluan. Tujuannya adalah untuk meningkatkan nilai peralatan usaha hidupnya dan menganggap dunia yang diciptakan sebagai matlamat perjuangannya di samping menetapkan “memperoleh seluruh dunia dan menikmati kebanggaan yang diperoleh” sebagai sasaran usaha utama. Usaha ini tidaklah sempurna. Hal ini kerana makna dunia ialah menjadikannya sebagai medium bagi Tuhan untuk mengungkapkan hikmat, kuasa, ciptaan, keadilan, kebaikan, dan kasih-Nya di samping menyatakan kemuliaan Tuhan melalui tingkah laku manusia dalam kehidupan. Oleh itu, jika unsur “Tuhan” hilang dalam proses hidup manusia, maka perspektif kesia-siaan yang disebutkan dalam kitab Pengkhotbah adalah seperti berikut:
A. Dari perspektif peredaran alam semula jadi (Pkh 1:4-11)
Adalah mustahil untuk mana-mana peralihan dan pertukaran sejarah manusia meninggalkan ruang hidup umat manusia – alam semula jadi. Proses alam semula jadi merupakan satu kitaran yang berulangan. Orang-orang yang muncul pada setiap zaman tentunya menjalani kehidupan mereka dalam kitaran kelahiran, usia tua, penyakit, dan kematian. Apakah keabadian yang boleh dipegang oleh anda yang hidup dalam kitaran alam semula jadi yang tidak berubah ini? Hanya “Keturunan yang satu pergi dan keturunan yang lain datang, tetapi bumi tetap ada.” (Pkh 1:4).
B. Dari perspektif hikmat dan pengetahuan (Pkh 1:12-18)
Kebiasaan binatang, pembentukan tumbuh-tumbuhan, analisis dan pencampuran unsur-unsur dalam alam semula jadi, induksi dan penerapan pelbagai teorema biasa, bahkan kajian tentang corak tingkah laku manusia, dan sebagainya adalah seperti gedung pengetahuan yang menunggu untuk diterokai dengan hikmat. Walau bagaimanapun, “Itu pekerjaan yang menyusahkan yang diberikan Allah kepada anak-anak manusia untuk melelahkan diri… segala perbuatan yang dilakukan orang di bawah matahari, … segala sesuatu adalah kesia-siaan dan usaha menjaring angin.” (Pkh1:13-14). Mengapa hikmat itu kesia-siaan?
- Hikmat tidak dapat mengubah realiti.
- Hikmat yang tidak dapat mengubah realiti memperbanyak kesedihan (Pkh 1:18).
C. Dari perspektif kegirangan hidup manusia (Pkh 2:1-11)
Kenikmatan merupakan sejenis kegirangan dan juga merupakan satu perkara yang sangat diperlukan oleh setiap orang dalam proses aktiviti kehidupan. Sebagai contoh, menggunakan anggur untuk menyegarkan tubuh, mengurangkan dan meredakan kerisauan, kegelisahan, dan penderitaan dalaman (Pkh 2:3), membeli budak-budak laki-laki dan perempuan untuk meringankan beban kerja dan juga untuk memuaskan keinginan berkuasa dan menguasai orang lain (Pkh 2:7), meningkatkan rasa selamat dengan kekayaan, memuaskan keinginan daging dengan seks, dan meningkatkan tahap kesenangan dengan hobi menyanyi dan mengumpul barang (Pkh 2:8). Kesemuanya merupakan keseronokan yang dinikmati oleh orang moden. Mereka mengubah cita-cita menjadi kenyataan dalam pekerjaan dan memperoleh kegirangan daripada pencapaian luar biasa (Pkh 2:4-6).
Jika menyingkirkan belenggu akhlak, belenggu fitrah manusia dan sempadan norma sosial (Pkh 2:10), siapa yang tidak tahu bahawa semua yang dialami juga merupakan kesia-siaan (Pkh 2:1,11)? Hal ini kerana:
- Kenikmatan hanya memberikan kelegaan sementara kepada manusia. Kenikmatan ini tidak dapat memuaskan roh seseorang.
- Kenikmatan bukanlah sesuatu yang dilakukan sekali dan untuk selamanya. Rahsia kenikmatan ialah pengulangan sehingga hidup anda layu.
- Kenikmatan menyebabkan manusia berasa bosan dan tubuh daging manusia mempunyai batasan rangsangan deria. Demikianlah maksud “bak tengguli ditukar cuka”.
D. Dari perspektif usaha dengan jerih payah manusia (Pkh 2:18-23, 4:1-6)
Bekerja keras merupakan nilai murni manusia. Pengorbanan yang setara diperlukan untuk mencapai kejayaan – hidup, jerih payah, penderitaan, tekanan, kerisauan, ketegangan, insomnia, dan sebagainya. Dengan demikian, barulah seseorang dapat memperoleh kekayaan serta reputasi yang dihargai dan diiktiraf oleh semua orang seperti yang diinginkan. Walau bagaimanapun, semua ini mungkin menjadi kesia-siaan yang tidak bermakna dalam perjalanan hidup manusia yang singkat. Hal ini kerana:
- Keuntungan yang diperoleh dengan jerih payah tidak dapat digunakan untuk waktu yang lama dan akan menjadi milik generasi seterusnya yang tidak tahu apa-apa tentangnya.
- Orang yang berusaha dengan jerih payah mungkin akhirnya mendatangkan iri hati dan bencana kepada dirinya sendiri.
- Orang yang bekerja dengan tulus dan rajin dalam bentuk penyamaran merupakan motif mementingkan diri dan iri hati. Tindakan ini merosakkan gambar Tuhan yang mulia pada masa penciptaan – kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya.
E. Dari perspektif ketetapan dan perbuatan Tuhan (Pkh 3:1-11, 6:10-12, 8:16-17, 9:11-12)
Sebilangan besar orang percaya bahawa sasaran yang tepat, kerja keras, pembetulan sudut penyimpangan dan langkah praktikal dapat membawa kepada kejayaan. Namun, mengapa kita tidak memiliki kemampuan untuk mengubah dan membalikkan keadaan kekacauan-kekacauan di dunia ini? Evolusi lintasan sejarah dan pergerakan arah dunia berlaku sesuai dengan ketetapan Tuhan. Sama seperti kereta api bergerak ke hadapan mengikut landasan yang ditetapkan dan kelajuannya (masa) dikendalikan oleh pemandu (Tuhan). Masa memasuki sesebuah stesen sudah terlebih dahulu ditetapkan. Semasa kereta api bergerak, penumpang-penumpang boleh bergerak dengan bebas (atas kehendak mereka sendiri), tetapi pergerakan mereka hanya terbatas pada gerabak (menentukan batas-batas kediaman mereka). Semua yang boleh dilakukan oleh manusia hanyalah menaiki kereta api (kelahiran) dan menuruni kereta api (kematian). Hal ini kerana:
- Masa dan kaedah yang ditentukan oleh Tuhan adalah di luar kawalan kita. Sebagai contoh, masa kelahiran, negara kelahiran, keluarga kelahiran, rupa, jantina, masa sakit dalam hidup, jenis penyakit, tempoh sakit, cara kematian, corak kehidupan, dan sebagainya.
- Ketika diciptakan, kemampuan kita adalah terbatas. Oleh itu, terdapat batasan-batasan yang tidak dapat ditembusi. Hal ini kerana manusia merupakan hasil masa, iaitu ada masa lalu, masa sekarang, dan masa depan. Manusia pula tidak dapat meramalkan masa depan.
- Usaha manusia bukanlah syarat mutlak untuk berjaya atau gagal. Kejayaan atau kegagalan terletak dalam tangan Tuhan Yang Mahakuasa.
F. Dari perspektif kekurangan aksiom / keadilan dalam hidup manusia (Pkh 3:16, 4:1-3, 8:10-14)
Terdapat banyak ketidakadilan yang tidak tertahankan dalam hidup manusia. Kita juga mahu semua orang jahat dikenakan hukuman yang setimpal. Sekiranya orang jahat tetap memperoleh kemenangan, menikmati kebahagiaan dan terselamat, apa yang akan kita fikirkan? Kemarahan, kebencian, kesedihan, dan ketidakadilan. Jika perkara-perkara ini berlaku secara berterusan dalam masyarakat ini, manusia benar-benar tidak dapat bersabar dengannya dan mahu membuang masyarakat yang tidak teratur dengan undang-undang cengkerang kosong ini. Ya, hal-hal dalam hidup tidak semestinya berakhir dengan cara yang wajar. Keadilan kita terasa dicabul. Kita tidak dapat bertindak sendiri untuk menegakkan undang-undang dan untuk kebaikan bersama. Maka, kita tidak dapat mengelak daripada mengumumkan keputusan mengenai kehidupan: Orang-orang yang sudah lama meninggal lebih bahagia daripada orang-orang yang hidup di bawah matahari, dan orang-orang yang belum ada, yang belum melihat perbuatan jahat lebih bahagia daripada orang-orang yang sudah lama meninggal (Pkh 4:2-3). Hal ini kerana:
- Menurut pengamatan sosial, adalah didapati bahawa ada kejahatan (rasuah) di tempat penghakiman (mahkamah), dan ada kejahatan (rasuah dan penyalahgunaan kuasa) di tempat keadilan (balai polis).
- Seiring dengan perkembangan sifat dosa, moral dalam hati manusia telah menjadi sifat binatang yang tidak mempunyai perasaan empati, dan hati nurani telahpun kehilangan (2 Tim 3:1-5)
- Penundaan penghakiman telah menyebabkan penyebaran kejahatan.
G. Dari perspektif kekayaan (Pkh 4:7-12, 5:9-16, 6:1-9)
Mengapa kita berfikir bahawa mendapatkan wang adalah begitu menyeronokkan? Mungkin wang dapat memenuhi keperluan fizikal manusia – makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan, dan hiburan. Melalui wang, manusia juga dapat memiliki kepuasan keinginan – nafsu seks, keinginan untuk berkuasa, keunggulan, kesenangan. Akibatnya, ramai orang yang ingin menjadi kaya dalam sekelip mata, dan ramai yang menipu, melakukan kejahatan dan berbuat dosa, berbohong berulang kali dan menjadi tidak tahu malu. Malah pemercaya juga menggunakan jumlah wang yang mereka ada untuk menghitung kebesaran kasih dan kasih karunia Tuhan. Adakah wang merupakan tanda berkat Tuhan? Adakah menggabungkan keinginan material manusia dengan berkat Tuhan telah menjadi satu bentuk kepercayaan untuk memabukkan diri? Sebenarnya, wangsepatutnya hanya menjadi satu alat untuk menolong kehidupan. Hal ini kerana:
- Kekayaan menyebabkan manusia berjerih payah secara membuta tuli. Demi mengejar kekayaan untuk mencapai kejayaan, menikmati kemasyhuran, dan menjalani hidup yang mewah, langkah ini ada daya pendorong yang luar biasa yang menyebabkan manusia mengalami defisit tenaga, kehilangan kesihatan, kehilangan ketenangan batin dan kehilangan hidup terbatas yang berharga.
- Kekayaan tidak dapat memuaskan hati manusia. Kapitalisme mengatakan bahawa memperluas pasarandiperlukan untuk mencapai kemakmuran. Walau bagaimanapun, kitaran penawaran dan permintaan ini tetap merupakan satu kitaran yang tidak memuaskan walaupun kitaran ini terus berkembang, dan hakikat ini tidak dapat diubah. Oleh itu, manusia selalu berkata: “Dapat! Dapat! Dapat!” Apa yang saya dapat? Apa yang saya mahu dapatkan? Apa lagi yang saya mahu dapatkan? Manusia tidak pernah berpuas hati.
- Kekayaan membuatkan manusia berasa cemas dan susah. Ahli sosiologi sering memetik satu teorem: pemerolehan kekayaan tertakluk pada hukum pengurangan pulangan yang kejam – semakin banyak yang diperoleh, kepuasan semakin sedikit; semakin bertambah kekayaan, tanggungjawab sosial semakin berat; semakin besar tanggungjawab populasi pengguna, tanggungjawab semakin besar, insomnia semakin serius, waktu bekerja semakin panjang. Betapa tepatnya gambaran kehidupan ini!
- Kekayaan bukanlah sandaran yang selamat untuk selamanya. Walaupun wang dapat meningkatkan rasa selamat dan realistik, namun wang juga dapat menimbulkan rasa cemburu pada penjahat dan menghasut pemikiran jahat mereka sehingga boleh mengakibatkan kematian. Pelaburan tentunya berisiko. Pelaburan yang salah akan menanggung kerugian lalu menyebabkan manusia menghela nafas dan mengeluh. Benar-benar “sebagaimana ia keluar dari kandungan ibunya, demikian juga ia akan pergi, telanjang seperti ketika ia datang”, hasil jerih payah hanyalah tiupan angin.
H. Dari perspektif bahawa ilusi kemasyhuran tidak dapat bertahan lama (Pkh 4:13-16)
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama ialah falsafah hidup yang sangat tinggi. Mati berkapan cindai adalah sejenis kemuliaan, tetapi bukan kemuliaan mutlak. Kemuliaan ini tidak dapat mengubah hakikat hidup. Setelah pertukaran waktu dan ruang, manusia akan melihat minat yang silih berganti dan pertukaran sasaran dalam fikiran orang ramai.
I. Dari perspektif kesudahan bersama umat manusia – maut (Pkh 2:12-17, 3:16-21, 9:1-6)
Ahli falsafah Barat berkata: “Dosa dan maut dalam hidup manusia telah membawa kesudahan penafian terhadap seluruh perjuangan dalam hidup.” Dalam proses merealisasikan rancangan yang ideal, semuanya ialah kesia-siaandan usaha menjaring angin disebabkan oleh upah dosa – ancaman maut.
- Fakta maut menjadikan hikmat mempunyai nilai relatif. Hal ini kerana persamaan titik persimpangan antara orang yang berhikmat dengan orang yang bodoh ialah maut. Ketika maut datang, segala sesuatu yang telah dipelajari terbatal, dan harapan terakhir dalam hidup tidak dapat ditemukan dalam hikmat. Hal ini kerana maut bertahan lebih lama daripada hikmat.
- Fakta maut menghilangkan ingatan orang yang berhikmat. Banyak orang memahami kebenaran tentang keterbatasan hidup. Mereka menumpukan perhatian pada keuntungan dan kebahagiaan generasi seterusnya serta berusaha untuk menyingkirkan kenyataan kejam bahawa hidup manusia pasti akan lenyap. Walau bagaimanapun, semua pencapaian dan hikmat di dunia tidak mempunyai nilai keabadian hidup.
- Kenali hikmat tentang maut – penghakiman ada di hadapan. Hidup adalah sebuah perlumbaan. Setiap orang yang hidup di dalamnya perlu berlari ke depan, memainkan peranan yang berbeza dalam hidup, menghadap pagar larian yang berbeza, dan akhirnya mencapai garisan akhir yang sama – maut. Pada masa ini, penghakiman ada di hadapan. Penghakiman akan menentukan hidup yang kekal atau hukuman yang kekal bagi kita. Walaupun kesudahannya sama, pembalasannya berbeza.
PENULIS KITAB PENGKHOTBAH TELAH MENGHABISKAN SEMANGAT DAN WAKTU DALAM HIDUPNYA DENGAN MENGABDIKAN DIRI UNTUK MENEROKA DAN MENGKAJI SATU SOALAN: APA YANG BAIK BAGI ANAK-ANAK MANUSIA UNTUK DILAKUKAN DI BAWAH LANGIT SELAMA HIDUP MEREKA YANG PENDEK ITU (PKH 2:3)?
Ketika dia terus mencari petunjuk dan menyelesaikan petunjuknya, dia mendapati harapan itu hancur satu demi satu. Hal ini kerana segala sesuatu ialah kesia-siaan. Apakah kebenaran hidup? Kesimpulan akhirnya: “Akhir kata dari segala yang didengar ialah: takutlah akan Allah dan berpeganglah pada perintah-perintah-Nya, karena ini adalah kewajiban setiap orang. Karena Allah akan membawa setiap perbuatan ke pengadilan yang berlaku atas segala sesuatu yang tersembunyi, entah itu baik, entah itu jahat.” (Pkh 12:13-14).
Sekiranya seseorang hidup di bawah matahari tanpa mempedulikan perkara-perkara di atas matahari, hidupnya adalah seperti satu bulatan dengan separuh bulatan yang di bawah sahaja. Walaupun terdapat banyak perkara indah di bawah matahari, namun semua itu tidak dapat memuaskan hatinya. Hal ini kerana dia masih kekurangan separuh bulatan yang di atas. Jadi semuanya ialah kesia-siaan. Kitab Mazmur menyatakan rasa nilai yang mendalam dalam hidup tentang pengakuan ini: “‘Tetapi Allah akan membebaskan nyawaku dari cengkeraman dunia orang mati, sebab Ia akan menarik aku.” (Mzm 49:16). Kesedaran ‘tetapi Allah’ ini dapat menjadikan manusia memiliki makna kehidupan dan kedudukan nilai yang tinggi. Oleh itu, dengan takut akan Tuhan sebagai prasyarat (Pkh 3:14; 1 Tim 4:7-8), kitab Pengkhotbah menyatakan bahawa hidup manusia yang baik adalah seperti berikut:
A. Tubuh yang sihat dan menikmati hasil dalam segala jerih payah (Pkh 2:24, 3:13, 5:17, 8:15).
B. Mempunyai ketaatan terhadap pengaturan persekitaran oleh Tuhan dalam proses hidup manusia (bukan fatalisme) (Pkh 2:26).
C. Bersuka-suka dan menikmati kesenangan dalam hidup serta menikmati berkat Tuhan (Pkh 3:12).
D. Melaksanakan kewajipan, menikmati hak, berkenan kepada Tuhan (Pkh 3:22, 9:7,10).
E. Kenyang dengan pemberian Tuhan dan berpuas hati dengan kepunyaan sendiri (Pkh 5:18).
F. Mempunyai perkahwinan dan kehidupan keluarga yang sempurna dan bahagia (Pkh 9:9).
G. Mempunyai pengharapan hidup yang kekal pada zaman yang akan datang (Pkh 5:19, 9:8).
Ternyata hidup yang baik dan yang tepat tidak sukar untuk diperoleh. Cara hidup manusia adalah sama. Isi kandungannya tidak lebih daripada sekadar makan, minum, menikmati kegembiraan pencapaian kerjaya, mempunyai kehidupan perkahwinan yang bahagia, mempunyai keseimbangan mental yang damai dan stabil, dan sebagainya. Namun, cara hidup yang sama mempunyai makna yang berbeza. Kuncinya terletak pada pengetahuan tentang “Tuhan” dan kesolehan kepada “Tuhan”. Dengan syarat-syarat kehidupan yang sama dengan dunia, seseorang yang takut akan Tuhan dapat mengumpulkan kekayaan rohani:
A. Hala tuju kehidupan kita – menuju hidup yang kekal.
B. Sikap kehidupan kita – mempunyai pengetahuan tentang Tuhan yang membawa kepada kedamaian, kepuasan, ketaatan, dan kepercayaan.
C. Matlamat kehidupan kita – hidup dalam Kristus dan berubah menjadi orang baharu melalui firman Tuhan.
NOTA
Struktur garis besar kitab Pengkhotbah dianalisis seperti berikut:
A. Pengenalan (Pkh 1:1-3)
- Nama tajuk (1:1)
- Tema utama – hidup manusia yang sia-sia (1:2-3)
B. Perspektif hujah tematik
- Dari perspektif peredaran alam (Pkh 1:4-11)
- Dari perspektif hikmat dan pengetahuan (Pkh 1:12-18)
- Dari perspektif kegirangan hidup manusia (Pkh 2:1-11)
- Dari perspektif usaha dengan jerih payah manusia (Pkh 2:18-23, 4:1-6)
- Dari perspektif ketetapan dan perbuatan Tuhan (Pkh 3:1-11, 6:10-12, 8:16-17, 9:11-12)
- Dari perspektif kekurangan aksiom / keadilan dalam hidup manusia (Pkh 3:16, 4:1-3, 8:10-14)
- Dari perspektif kekayaan (Pkh 4:7-12, 5:9-16, 6:1-9)
- Dari perspektif bahawa ilusi kemasyhuran tidak dapat bertahan lama (Pkh 4:13-16)
- Dari perspektif kesudahan bersama umat manusia – maut (Pkh 2:12-17, 3:16-21, 9:1-6)
C. Titah-titah tentang pengalaman hidup terkumpul
- Harus beribadah dengan soleh kepada Tuhan (Pkh 4:17 – 5:1-2)
- Harus memegang sumpah dan perjanjian dengan Tuhan (Pkh 5:3-6)
- Jangan berasa hairan apabila melihat ketidakadilan (5:7-8)
- Nama yang harum lebih baik daripada kekayaan (Pkh 7:1)
- Bersedih lebih baik daripada tertawa (Pkh 7:2-7)
- Berhemah lebih baik daripada amarah (Pkh 7:8-10)
- Mempunyai kekayaan dan hikmat lebih baik daripada hanya mempunyai hikmat (Pkh 7:11-12)
- Tunduk pada takdir Tuhan lebih baik daripada kemarahan terhadap fatalisme (Pkh 7:13-14)
- Hikmat manusia yang terhad tidak dapat mengetahui kebenaran dunia (Pkh 7:15-24)
- Satu peringatan dan satu fakta setelah membandingkan pengalaman-pengalaman secara komprehensif (Pkh 7:25-29)
- Manusia harus mematuhi sistem sosial (Pkh 8:1-9)
- Pandangan mengenai nilai hikmat (Pkh 9:13-16)
- Hikmat dan kebodohan (Pkh 9:17 – 10:15)
- Pencapaian pemerintahan raja (Pkh 10:16-20)
- Kebodohan yang dipandang (Pkh 11:1-8)
- Nikmati hidup dan memperingati Tuhan sebelum usia tua (Pkh 11:9 – 12:8)
D. Kesimpulan hidup manusia (Pkh 2:24-26, 3:12-15,22, 5:17-19, 8:15, 9:7-10)
- Hidup yang baik dan yang tepat – Ada penyertaan Tuhan dalam hidup
- Isi kandungan hidup yang baik dan yang tepat – Menikmati hidup dalam berkat Tuhan
E. Kesimpulan
- Tujuan penulis (Pkh 12:9-10)
- Catatan mengenai pengajaran penulis (Pkh 12:11-12)
- Kesimpulan umum (Pkh 12:13-14)