KEAJAIBAN PEMULIHAN NEGARA ISRAEL
(Pendeta Jian Mingrui)
Beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan penularan wabak COVID-19, tabiat hidup kita telah banyak berubah, malah cara kita berkebaktian telah berubah dari gereja ke rumah kita sendiri. Tetapi walaupun demikian, wabak itu tidak akan menjejaskan hubungan kita dengan Tuhan. Kerana krisis juga merupakan titik perubahan.
Selepas dibinasakan lebih daripada dua ribu tahun, Israel telah dipulihkan sebagai sebuah negara pada tahun 1948! Mengapa negara yang telah dibinasakan selama lebih daripada dua ribu tahun akhirnya dapat dipulihkan? Bahkan bangsa dan kepercayaan mereka tidak berubah! Menurut kajian ahli antropologi dan sejarawan: dua ratus tahun selepas keruntuhan sesebuah negara atau bangsa, negara, bangsa atau kepercayaan itu akan lenyap dan diasimilasikan. Namun begitu, sungguh ajaib sekali, selepas dua ribu tahun dibinasakan, Israel bukan sahaja memulihkan semula negara mereka pada tahun 1948, tetapi bangsa dan kepercayaan mereka tidak hilang! Kenapa? Kita tahu dengan jelas bahawa ini adalah janji dan perlindungan Tuhan, tetapi ada sebab lain, iaitu mereka mendirikan: mezbah keluarga.
Pada masa itu, orang-orang Yahudi berpindah ke merata tempat dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap kerana penganiayaan. Sudah tentu, mereka tidak ada cara untuk berkebaktian secara fizikal pada masa itu, apatah lagi berkebaktian melalui persidangan video seperti yang diadakan sekarang. Jadi bagaimana mereka memelihara kepercayaan mereka? Caranya ialah mezbah keluarga. Ibu bapa orang Yahudi telah memupuk konsep pada anak-anak mereka sejak mereka kecil: “Nyawa dan harta benda tidak dapat dibawa, dan mungkin diambil pada bila-bila masa, tetapi ilmu dan kepercayaan tidak akan diambil.” Oleh itu, kepercayaan mereka tidak hilang selepas dua ribu tahun, ini adalah kesan dari mezbah keluarga dan pendidikan agama keluarga.
Oleh itu, walaupun COVID-19 telah memberi impak kepada model kepercayaan asal kita, namun krisis itu sebenarnya adalah titik perubahan. Melalui peluang ini, kita sekali lagi dapat mementingkan dan menghargai kepercayaan kita melalui mezbah keluarga, serta berusaha untuk mewujudkan hubungan rapat dengan Tuhan dan keluarga kita.