PANDUAN PEMBACAAN KEJADIAN

PANDUAN PEMBACAAN KEJADIAN

(Pendeta Xie Xi Hai)

Apabila kita membuka gulungan pertama dalam Alkitab Perjanjian Baru dan Lama, apa yang kita terpampang di hadapan mata ialah “Kejadian”. Gulungan kitab ini membongkarkan kepada kita tentang asal-usul segala sesuatu, menggerakkan batiniah mausia supaya manusia mengenali Tuhan yang ajaib yang berada di syurga. Sememangnya ia merupakan satu gulungan kitab yang berbaloi untuk kita nikmati secara perlahan-lahan.

 

PERTAMA, PENULIS

Musa, 1520 SM – 1400 SM. Dia ialah hamba Tuhan. Tuhan pernah khasnya mengumumkan: “Jika di antara kamu ada seorang nabi, maka Aku, Tuhan menyatakan diri-Ku kepadanya dalam penglihatan, Aku berbicara dengan dia dalam mimpi. Bukan demikian hamba-Ku Musa, seorang yang setia dalam segenap rumah-Ku. Berhadap-hadapan Aku berbicara dengan dia, terus terang, bukan dengan teka-teki, dan ia memandang rupa Tuhan.” (Bil 12:6-8). Dari riwayat Musa, kita dapat melihat pengaturan, pimpinan dan motivasi Tuhan yang ajaib. Ketika Musa dilahirkan, Tuhan memberikan iman kepada ibu bapanya sehingga mereka berani mengambil risiko menyembunyikan bayi Musa (Kel 2:2). Kemudian, dia diatur menjadi anak angkat kepada puteri Firaun supaya dia dapat membesar di dalam istana Mesir. Dia bukan sahaja dididik dalam segala hikmat orang Mesir (Kis 7:22), malah dapat memelihara iman kepercayaan yang murni (Ibr 11:24-25). Kemudian, dia dilatih di padang gurun selama 40 tahun. Apabila masanya tiba, ketika dia berusia 80 tahun, Tuhan menampakkan diri kepadanya, mengarahkan dan mengamanahkan kepadanya tanggungjawab yang berat lagi besar iaitu untuk membawa umat Israel keluar dari Mesir. Pemimpin umat Israel yang penting dan orang kudus yang bersifat rohaniah ini merupakan calon yang terbaik untuk menulis tentang perbuatan Tuhan yang ajaib di zaman purba.

 

KEDUA, SUMBER MAKLUMAT

Bagaimana Musa menulis “Kejadian”?

  1. Di bawah aturan Tuhan, Musa membesar di istana Mesir. Dia dididik dalam segala hikmat orang Mesir. Semestinya dia berpeluang untuk mendekati dan memahami banyak maklumat kuno. Sejarah dan dokumen tersebut berguna untuk kerja penulisan.
  2. Walaupun Musa membesar di istana Mesir, namun dia tidak melupakan identitinya sebagai orang Ibrani. Dia kemudiannya diutus oleh Tuhan untuk memimpin umat keluar dari Mesir. Dia hidup di padang gurun selama 40 tahun. Dia juga dapat menitikberatkan dan menerima sejarah dan peristiwa yang disampaikan secara lisan oleh ramai orang Ibrani. Ini juga merupakan sumber maklumat yang sangat penting.
  3. Apa yang paling penting, malahan yang paling boleh diterima, difahami dan dipercayai oleh kita ialah ilham yang datang daripada Tuhan. Lihat kepada hubungan antara Musa dengan Tuhan yang dekat. Ketika Tuhan menciptakan alam semesta dan segala isinya, nenek moyang generasi pertama bagi manusia – Adam dan Hawa diciptakan pada hari yang terakhir. Nampaknya tidak orang yang melihat atau terlibat dengan proses penciptaan Tuhan. Jika bukan Tuhan yang sudi memberikan ilham kepada manusia, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dan memahami semua perbuatan Tuhan yang ajaib ini (rujuk Am 3:7). Oleh itu, hanya melalui ilham Tuhan sendiri kepada Musa secara satu persatu sahaja barulah Musa dapat terangkan secara terperinci tentang penciptaan Tuhan dan sejarah penting manusia purba lalu menyatakan kehendak Tuhan. Dengan itu, orang yang mengkaji dan membaca dengan rendah hati akan dapat percaya dan memuji kemuliaan Tuhan.

 

KETIGA, RINGKASAN DAN PEMBAHAGIAN

Dalam Kejadian, kita dapat melihat perbuatan Tuhan yang agung. Asal-usul segala-galanya ialah karya Tuhan yang esa ini. Namun, sejak bermulanya penciptaan nenek moyang generasi pertama, betapa lama dan banyaknya tahun-tahun dan peristiwa-peristiwa sejarah ini. Apakah prinsip Tuhan semasa mengilhamkan Musa untuk menulis Kejadian (bukan sahaja gulungan kitab ini, tetapi juga gulungan-gulungan kitab yang lain)? Menurut semangat Alkitab, beberapa prinsip berikut boleh dijadikan sebagai rujukan:

  1. Peristiwa dan tokoh dalam sejarah haruslah mempunyai kaitan dengan rancangan penyelamatan dan perbuatan Tuhan barulah akan disebut dalam gulungan kitab ini. Contohnya peristiwa tujuh tahun kelimpahan dan tujuh tahun kelaparan di tanah Mesir dan kawasan di sekitarnya (Kej 41).
  2. Selain itu, yang mempunyai kaitan dengan orang Israel (umat pilihan Tuhan), maka ia juga akan disenaraikan di dalam Alkitab. Contohnya orang-orang dan perbuatan mereka dalam peristiwa Abraham (Kej 14).
  3. Tokoh-tokoh dan peristiwa-peristiwa bersejarah ini dicatakan dalam Alkitab dari sudut hubungan antara Tuhan dengan umat pilihan (rujuk Kej 20:6-7) ataupun kehendak Tuhan yang ajaib sebagai perspektif bagi mengarang hujung pangkal peristiwa (rujuk Kej 7). Oleh itu, peristiwa-peristiwa yang tercatat di dalam Alkitab kadang-kalanya mempunyai persamaan dengan legenda kuno pelbagai bangsa, atau merupakan peristiwa yang sama dalam catatan sejarah manusia; tetapi keseluruhan proses dan kaedahnya pula tidak sama. Walau bagaimanapun, apa yang tercatat di dalam Alkitab sebaliknya membolehkan manusia lebih sedar tentang kisah sebenar sesuatu peristiwa supaya kita dapat melihat kebenaran sejarah dan sifat manusia dengan lebih jelas. Contohnya, banyak bangsa zaman purba mempunyai cerita legenda tentang “air bah”. Namun dalam Kejadian, kita dapat benar-benar memahami proses keseluruhan bagi peristiwa tersebut supaya kita lebih memahami perbuatan Tuhan dan mendapat amaran.
  4. Secara ringkasnya, kita boleh membahagikan “Kejadian” kepada dua bahagian besar. Yang pertama ialah sejarah awal, antaranya: penciptaan Tuhan, manusia berbuat dosa, Nuh dan air bah; yang kedua ialah sejarah kepala kaum, antaranya termasuklah 4 tokoh iman kepercayaan yang hebat iaitu Abraham, Ishak, Yakub dan Yusuf.

 

KEEMPAT, MERENUNGKAN PENCIPTAAN TUHAN

Kejadian fasal 1 menceritakan betapa hairannya proses Tuhan menciptakan alam semesta dan segala isinya. Alkitab mencatatkan: “Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi.”. Ini jelas menjelaskan adanya permulaan bagi alam semesta dan segala isinya. Ia diciptakan oleh Tuhan yang di syurga, bukannya muncul secara kebetulan. Malah, ia terus mengumumkan kepada kkita tentang kewujudan Tuhan, AKU ADALAH AKU. Apabila merenungkan penciptaanNya, kita dapat melihat:

  1. Kuasa agung Tuhan: Jika kita perhatikan secara teliti, kuasa alam semesta yang luas dan semula jadi sememangnya tidak tercapai dek akal manusia. Semua ini diciptakan oleh Tuhan dalam masa purata 6 hari, malahan “Dia berfirman, maka semuanya jadi; Dia memberi perintah, maka semuanya ada.” (Mzm 33:9). Betapa agungnya kuasa Dia. Dengan itu, Dia dapat menjadi tempat pengungsian / benteng yang kuat bagi orang-orang yang percaya dan bersandar kepadaNya, sehinggakan kita selalu hidup dengan rendah hati, mengasihi dan menghargai segala yang diciptakan dan diberikan oleh Tuhan.
  2. Urutan Tuhan: Tuhan berfirman, maka semuanya jadi; namun mengapa Tuhan tidak menyelesaikan ciptaanNya dalam masa satu hari, tetapi mengambil masa selama enam hari? Ada kehendak Tuhan yang indah di dalamnya, dan kemudiannya dijadikan sebagai asas dalam menetapkan Hari Sabat. Nampaknya ini merupakan kehendak Tuhan yang indah supaya dapat memberikan lebih banyak kasih karunia dan istirahat kepada manusia. Penciptaan setiap hari itu ada urutannya, dan ianya tidak boleh diubah sesuka hati. Contohnya, mula-mula adanya terang yang menghapuskan kegelapan, sama juga terlebih dahulu memisahkan lautan dan daratan, kemudiannya, tanah menghasilkan pelbagai jenis tumbuhan. Kerja Tuhan ada urutan dan berperancangan. Ini membuatkan kita percaya dengan tegas dan belajar untuk bersabar dalam menantikan kehendak dan masaNya.
  3. Kesempurnaan Tuhan: Dalam setiap kali penciptaan, Tuhan melihat “segala yang dijadikan-Nya itu, sungguh amat baik.” (Kej 1:31). Ini kerana Tuhan adalah yang baik, maka apa yang disediakanNya bagi manusia juga sama. Ianya begitu sejak awal penciptaan sehinggalah pada hari ini. Dia lebih berharap agar kita dapat mempergunakan segala karunia dengan sebaik-baiknya untuk membina satu dunia yang harmoni dan indah. Maka, orang-orang yang telah menerima anugerah keselamatan pada hari ini haruslah melaksanakan amanat yang telah diterima supaya lebih ramai orang dapat bersama-sama menikmati dan mengecapi kebaikan Tuhan.

 

KELIMA, ANTARA TUHAN DAN MANUSIA

Tuhan mengumumkan bahawa: “Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambar dan rupa Kita, supaya mereka berkuasa atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas ternak dan atas seluruh bumi dan atas segala binatang melata yang merayap di bumi.” (Kej 1:26). Oleh itu, manusia menerima rupa yang terhormat (rujuk Ef 4:24) dan kuasa daripada Tuhan, dan ini juga menjadi tanggungjawab dan sasaran kita. Kita menerima kasih karunia yang datang daripada Tuhan:

  1. Keabadian: AKU ADALAH AKU (Kel 3:14). Oleh itu, manusia juga mempunyai ciri-ciri keabadian bagi jiwa dan rohani. Tuhan juga memberikan pemikiran kekekalan dalam hati manusia (Pkh 3:11) untuk memotivasikan hati manusia dengan harapan manusia akhirnya dapat menerima anugerah keselamatan Tuhan Yesus dengan rendah hati. Mereka yang telah menerimanya pada hari ini haruslah mempertahankan arah yang tepat, lebih-lebih lagi harus aktif memberitakan Injil Tuhan dan memimpin manusia mencari destinasi akhir yang sebenar bagi jiwa dan rohani.
  2. Keupayaan mencipta: Tuhan menciptakan alam semesta dan segala isinya. Memandangkan manusia dicipta menurut rupa Dia, maka manusia juga membawa hikmat mencipta. Tuhan menjadikan ada daripada apa yang tiada (Ibr 11:3), manusia pula menciptakan daripada apa yang sedia ada. Maka, manusia boleh berkuasa ke atas segala ciptaan yang lain (Kej 1:28). Kita seharusnya menggunakan karunia yang indah ini dengan sebaik-baiknya. Laksanakan kewajipan pengurusan dengan baik supaya hidup manusia menjadi lebih indah. Dengan itu juga, kita dapat sedar tentang keterbatasan manusia, maka harus sentiasa percaya dan bersandar kepada kuasa besar Tuhan serta memohon pertolongan daripadaNya.
  3. Daya komunikasi: Dalam lingkungan yang kita ketahui, hanya manusia sahaja yang dapat mengumpulkan pelbagai jenis ilmu pengetahuan dan pengalaman dari generasi ke geenrasi melalui komunikasi antara satu sama lain. Ini menjadikan hidup manusia lebih maju dan matang. Apa yang lebih penting, hanya manusia sahaja yang dapat berkomunikasi dengan Tuhan, malah Tuhan sudi menyatakan kehendakNya kepada kita. Maka, kita haruslah menghargai karunia yang indah ini dan usahakannya dengan lebih aktif supaya kita lebih memahami niat Dia, berkenan kepadaNya dalam semua perbuatan dan tindakan supaya kemuliaan Tuhan mendapat pujian.
  4. Kebebasan: Walaupun manusia hidup dalam pengurusan Tuahn, namun tetap mewarisi sifat Tuhan yang bebas. Manusia boleh memutuskan sendiri perkara-perkara yang ingin dilakukan, tetapi juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan sendiri. Oleh itu, Paulus mengajar kita: “Saudara-saudara, memang kamu telah dipanggil untuk merdek Tetapi janganlah kamu mempergunakan kemerdekaan itu sebagai kesempatan untuk kehidupan dalam dosa, melainkan layanilah seorang akan yang lain oleh kasih.” (Gal 5:13).

 

KEENAM, MERENUNGKAN PEMILIHAN TUHAN

Tuhan menciptakan Adam dan Hawa lalu menempatkan mereka di Firdaus Taman Eden. Malangnya, mereka mengingkari perintah Tuhan dan dihalau keluar. Dengan itu, seluruh dunia berada di dalam tangan si jahat (rujuk Rm 5:12), memutuskan hubungan dengan Tuhan dan tidak dapat datang ke hadirat Tuhan. Namun Tuhan tidak berputus asa. Dia menyatakan pilihanNya di zaman purba. Contohnya, Dia memilih Nuh demi memelihara keturunan orang benar. Kemudian, Dia memilih Abraham untuk memimpin pertumbuhan umat Israel. Tujuan akhirNya adalah untuk menggenapi anugerah keselamatan dan penebusan yang Dia sediakan. Dari perbuatan pemilihan Tuhan, kita dapat mengalami dan memahami:

  1. Kasih Tuhan: Pemilihan ialah kasih Tuhan. Contohnya Musa memperingatkan umat: “Bukan karena lebih banyak jumlahmu dari bangsa manapun juga, maka hati Tuhan terpikat olehmu dan memilih kamu – bukankah kamu ini yang paling kecil dari segala bangsa? Tetapi karena Tuhan mengasihi kamu.” (Ul 7:7-8). Sama seperti apa yang dikatakan oleh Tuhan Yesus: “Bukan kamu yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu.” (Yoh 15:16). Nampaknya dari zaman purba sehingga kini, terpilih juga bermaksud menerima kasih Tuhan, terutamanya dalam penggenapan anugerah keselamatan (rujuk Rm 5:8). Mungkin orang-orang yang terpilih memiliki beberapa kelebihan yang baik, namun dapat masuk ke dalam anugerah Tuhan adalah kerana kasihNya. Oleh itu, kita harus sentiasa mempunyai hati yang bersyukur (1 Tim 1:12-14).
  2. Kehendak Tuhan: Mengapa Tuhan memilih Abraham? Ini kerana itu ialah kehendak Tuhan dan kedaulatanNya. Terutamanya bagi Yakub, “waktu anak-anak itu belum dilahirkan dan belum melakukan yang baik atau yang jahat.”, Tuhan telah berfirman kepada Ribka: “Anak yang tua akan menjadi hamba kepada anak yang muda”. Tuhan berfirman lagi: “Aku mengasihi Yakub, tetapi membenci Esau”. Dengan itu, rencana Allah tentang pemilihan-Nya diteguhkan (Rm 9:10-13). Maka, janganlah kita bermegah. Dengan segala rendah hati, hargai kasih karunia yang diterima, diam di dalam kasihNya untuk selama-lamanya, mengejar untuk memahami kehendakNya dalam segala hal dan berkenan kepadaNya.
  3. Latihan Tuhan: Pemilihan Tuhan ada tujuanNya. Sama seperti yang dikatakan di dalam Alkitab: “Sebab di dalam Dia Allah telah memilih kita sebelum dunia dijadikan, supaya kita kudus dan tak bercacat di hadapan-Nya.” (Ef 1:4). Sama seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Aku telah menetapkan kamu, supaya kamu pergi dan menghasilkan buah dan buahmu itu tetap.” (Yoh 15:16). Oleh itu, Tuhan memimpin, memelihara dan melatih orang-orang yang Dia kasihi supaya mereka beransur-ansur mencapai tahap kesempurmaam dalam pelbagai aspek iman. Sama seperti Tuhan memimpin Abraham yang melalui banyak persekitaran sehinggakan akhirnya dia menampakkan iman yang taat sepenuhnya dalam ujian Tuhan yang mana dia rela mempersembahkan Ishak, anaknya yang tunggal (Kej 22), lalu menjadi “Bapa Iman” Sama juga seperti Tuhan melatih Yakub, menjauhkannya daripada segala kekurangan, dan ketika lanjut usianya, dia bersaksi: “Allah yang telah menjadi gembalaku selama hidupku sampai sekarang, malah telah melepaskan aku dari segala bahaya.” (rujuk Kej 48:15-16). Hari ini kita berada di dalam kasih karunia Tuhan. Maka haruslah kita bersandar kepada pimpinan dan bantuan Roh Kudus, taat kepada Kebenaran Tuhan, bertumbuhbesar secara berterusan, hasilkan pelbagai buah yang baik dan indah serta muliakan nama Tuhan.

 

KETUJUH, MERENUNGKAN PENGHAKIMAN TUHAN

Dari Kejadian, kita dapat melihat Tuhan beberapa kali menghukum secara tegas. Contohnya Adam dan Hawa berbuat dosa lalu dihalau daripada Taman Eden. Pada zaman Nuh, Tuhan memusnahkan seluruh dunia dengan air bah, hanya meninggalkan Nuh sekeluarga dan makhluk hidup atas darat yang berada di dalam bahtera. Tuhan juga memusnahkan kota Sodom dengan api. Dari peristiwa-peristiwa ini kita dapat melihat:

  1. Daya pemusnah dosa: Sebaik sahaja Adam dan Hawa berdosa, mereka terus tidak berani bersemuka dengan Tuhan (Kej 3:10), malah saling menolak tanggungjawab. Hubungan mesra antara manusia dan Tuhan dan sesama manusia dimusnahkan sepenuhnya. Kemudian, pada zaman Nuh, “segala kecenderungan hatinya selalu membuahkan kejahatan semata-mata” (Kej 6:5). Tuhan juga melihat orang-orang di kota Sodom “dari yang muda sampai yang tua, datang mengepung rumah itu” (Kej 19:4). Ini menunjukkan bahawa daya pemusnah dosa adalah betapa menakutkan. Maka, kita harus senantiasa berjaga-jaga, bersandar kepada terang Kebenaran dan bantuan Roh Kudus untuk mengelak daripada dosa dan kejahatan bertumbuhbesar di dalam hati (rujuk Yak 1:15).
  2. Keadilan Tuhan: Tuhan adalah yang adil. Dia membenci segala dosa dan kejahatan. Oleh itu apabila manusia melakukan dosa, Dia memerhati dengan teliti. Contohnya melihat anak-anak manusia mendirikan menara Babel (Kej 11:5), Tuhan sendiri juga turun melihat keadaan di kota Sodom (Kej 18:20-21) dan akhirnya menjalankan penghakiman lalu menyatakan keadilanNya. Maka, kita harus lihat dengan jelas tentang kesudahan bagi dosa dan kejahatan (Rm 6:23), tahu Tuhan adalah yang mahatahu, Dia pasti menghakimi menurut perbuatan manusia (Rm 2:6) lalu berwaspada dalam pertuturan dan perbuatan kita, takut akan Tuhan, kejarlah kebenaran dan kekudusan.
  3. Kasih Tuhan: Tuhan adalah adil. Dia pasti menghakimi dosa dan kejahatan. Namun, Dia juga memberi peluang toleransi kepada manusia. Sama seperti Tuhan memberi masa selama 120 tahun kepada manusia, malah mengarahkan Nuh membina bahtera dan memberitakan amaran (Kej 6). Sama juga, Tuhan mendengar permohonan Abraham, iaitu tidak akan memusnahkan kota Sodom jika mendapati sepuluh orang benar dalam kota itu (Kej 18:32). Inilah kasuh Tuhan. Oleh itu, Petrus mendorong kita, dalam tempoh Tuhan masih bersabar, kita harus rajin menyempurnakan rohani, lebih-lebih lagi perlu giat memberitakan Injil Tuhan, pimpin orang masuk ke dalam bahtera akhir zaman — Gereja Benar, supaya kita dapat terlepas daripada hukuman penghakiman, sebaliknya dapat masuk ke dalam langit dan bumi yang baru.

 

KELAPAN, BAGAIMANA MENGKAJI DAN MEMBACA KEJADIAN

“Kejadian”, gulungan pertama dalam Alkitab penuh dengan perbuatan Tuhan yang ajaib dan menakjubkan. Ia juga mengandungi banyak kegagalan manusia yang memalukan. Jadi, apakah jenis mentaliti yang kita perlu ada dalam mengkaji dan membaca kitab ini?

  1. Iman dan ketaatan. Hanya dengan melihat penciptaan Tuhan dalam Kejadian fasal satu sahaja, sudah ramai orang yang tidak dapat memahaminya dengan sepenuhnya. Ini kerana manusia adalah yang terakhir diciptakan. Tiada orang yang melihatnya dengan mata sendiri dan menceritakannya. Jadi bagaimana kita dapat menerimanya? Maka, penulis Ibrani berkata: “Karena iman kita mengerti, bahwa alam semesta telah dijadikan oleh firman Allah.” (Ibr 11:1-3). Hanya iman sahaja yang dapat menyedarkan kita. Malahan daripada pengalaman pemercaya zaman purba, sama seperti yang dikatakan oleh Yusuf: “Allah telah mereka-rekakannya untuk kebaikan.” (Kej 50:20). Hanya dengan iman dan ketaatan sahaja barulah kita dapat benar-benar memahami perbuatan Tuhan dan mendapat pembangunan yang lebih besar dalam iman kepercayaan sendiri.
  2. Kerendahan hati dan pembelajaran: Mengkaji dan membaca Kejadian membolehkan kita belajar tentang kerendahan hati. Sama juga, kita perlu hidup dengan rendah hati, perhatikan perbuatan Tuhan dan kehidupan iman kepercayaan orang-oran dahulu supaya pengalaman mereka menjadi pembangunan dan peringatan kepada iman kepercayaan kita. Selalulah belajar bagaimana mengejar untuk memahami kehendak Tuhan, mohon pimpinanNya. Dalam pelbagai situasi, pertahankan iman kepercayaan, berani menolak godaan dosa dan kejahatan sama seperti Yusuf lalu akhirnya menggenapi segala yang disediakan oleh Tuhan. Bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga buatkan orang lain dapat sama-sama menerima kasih Tuhan (rujuk Kej 50:20).