PELAJARAN 6: SYARAT-SYARAT GEREJA BENAR

PENDAHULUAN

Apakah itu gereja (jemaat)? Gereja (jemaat) ialah persekutuan orang yang dipilih, dipanggil daripada kalangan semua umat manusia dan dibeli (diperoleh) dengan darah Tuhan (Kis 20:28; Why 5:9-10). Gereja (jemaat) ialah tubuh Kristus (Ef 1:23; Kol 1:24), Kristus ialah kepala gereja (jemaat) (Ef 5:23). Kita tahu bahawa orang yang berbeza mempunyai tubuh badan yang berbeza. Tubuh kanak-kanak kecil dan lincah, tubuh orang tua pula besar tetapi pergerakannya sukar dan perlahan. Tubuh dan tingkah laku lelaki juga berbeza dengan wanita. Haiwan yang berbeza juga semestinya mempunyai badan yang berbeza. Sebagai contoh, walaupun orang utan boleh berjalan di atas dua kaki seperti manusia, ia mempunyai bulu hitam yang sangat berbeza dengan manusia dan tidak dapat berkomunikasi sesama mereka melalui kata-kata seperti manusia. Oleh sebab gereja (jemaat) ialah tubuh Kristus, ia harus mempunyai ciri-ciri tubuh Kristus. Tanpa ciri-ciri khas ini, ia tidak boleh dianggap sebagai gereja (jemaat) benar yang sejati milik Kristus, tetapi hanya sebagai komuniti agama umum. Jadi apakah ciri-ciri tubuh Tuhan Kristus yang sejati? Apa yang paling penting adalah mempunyai Kebenaran, Roh Kudus, dan tanda mujizat. Ini diterangkan seperti berikut:

 

SATU, KEBENARAN

Kristus ialah Tuhan benar yang di syurga. Dia jugalah “Firman” yang telah wujud sejak pada mulanya (Yoh 1). Maka gerejaNya juga harus mempunyai Firman ini. Oleh itu,

  1. Gereja benar harus memegang seluruh Kebenaran dalam Alkitab: Sebagai tubuhNya, gereja harus memiliki Firman Dia – Firman Alkitab, Kebenaran. Firman Tuhan tercatat dalam Alkitab (Yoh 5:39; 2 Tim 3:16-17). Oleh itu, gereja benar haruslah merupakan gereja yang bertindak menurut Alkitab. Dalam kehidupan dan tindakan gereja, gereja benar harus mendapatkan Kebenaran yang dicatatkan di dalam Alkitab. Pada saat-saat genting sebelum terangkat ke syurga, Tuhan sendiri mengatakan bahawa Dia akan menyertai mereka yang melakukan apa yang telah Dia perintahkan (Mat 28:20). Dengan kata yang lain, doktrin gereja benar harus didirikan di atas dasar para rasul dan para nabi (Ef 2:19-20). Jika gereja didirikan di atas dasar doktrin-doktrin yang lain, pastinya itu gereja yang palsu dan terkutuklah ia (Mrk 7:13; 1 Kor 3:11; 2 Kor 11:4; Gal 1:6-9). Gereja yang didirikan di atas dasar doktrin mana-mana orang kenamaan ialah gereja manusia, bukan gereja Tuhan.
  2. Gereja tidak boleh menambah atau mengurangi firman dalam Alkitab: Pergerakan tubuh Kristus haruslah tertakluk kepada Kristus, tidak boleh melampaui Alkitab (1 Kor 4:6; 2 Yoh 9-11). Jika tubuh manusia kekurangan satu kaki ataupun terlebih satu tangan orang utan, itu bukan manusia yang normal. Jika gereja menambah atau mengurangi apa-apa Kebenaran dalam Alkitab, itu bukan gereja yang benar (Why 22:18-19).
  3. Gereja benar tidak boleh menafsir / menjelaskan Alkitab menurut kehendak sendiri (2 Ptr 1:20-21, 3:16). Firman dalam Alkitab harus ditafsir / dijelaskan dengan bersandar kepada Roh Kudus dan menurut Alkitab (menafsir Alkitab dengan Alkitab). Jangan berkata bahawa ia merupakan tradisi gereja maka boleh melakukannya dengan tidak menurut Alkitab. Ini ialah perbuatan menggantikan Firman Alkitab dengan adat istiadat manusia (Mat 15:1-9).[1]

 

DUA, ROH KUDUS

  1. Nilai tubuh terletak pada nyawa (roh dan jiwa) di dalamnya. Walaupun mayat kelihatan sama seperti orang yang hidup, namun nilainya adalah bagai bumi dengan langit. Tubuh manusia perlu mempunyai roh barulah ia tidak menjadi mayat (Yak 2:26). Jika tubuh Kristus tidak mempunyai roh Kristus, itu merupakan gereja yang tidak bernyawa. Gereja begini tidak mempunyai hidup dan bukan gereja yang benar-benar milik Tuhan yang hidup (Rm 8:9). Orang yang percaya kepadanya tidak akan memperoleh kehidupan dan ia tidak ada hidup rohani milik syurga pada masa kelak. [2]
  2. Roh Kudus ialah jaminan bagian kerajaan syurga (2 Kor 1:22; Ef 1:14). Tujuan kita percaya kepada Tuhan adalah untuk mendapatkan kerajaan syurga (Mat 25:34; Ef 1:14; Ibr 9:15) dan supaya jiwa diselamatkan (1 Ptr 1:9). Bagaimana dapat memasukinya jika tidak mempunyai lesen kerajaan syurga? Oleh itu, jika tidak memohon Roh Kudus di gereja yang mempunyai Roh Kudus, maka seseorang itu tidak mempunyai pas kerajaan syurga dan tidak mempunyai bahagian dalam kerajaan syurga (Mat 15:7-9; Rm 8:16-17).
  3. Ada Roh Kudus, ada kuasa untuk mengampuni dosa (Yoh 20:21-23), ada kuasa untuk menyembuhkan penyakit, mengusir setan, menjalankan tanda-tanda dan mujizat-mujizat (Mrk 16:16-17). Tidak takut dengan serangan Iblis dan dapat memelihara Firman.
  4. Ada Roh Kudus, ia akan memimpin manusia ke dalam Kebenaran (Yoh 16:13). Oleh sebab kepercayaan ialah hal rohani dan ilahi, hanya Roh Tuhan sahaja yang dapat memahami Firman Tuhan (1 Kor 2:10). Dengan itu, barulah hal-hal rohani dapat dijelaskan dengan kata-kata yang rohaniah secara tepat (1 Kor 2:13). Gereja yang tidak dipimpin oleh Roh Kudus, mereka tidak menyedari bahawa firman mereka terpesong daripada Alkitab dan ini sesuatu yang normal. [3]
  5. Hanya Roh Kudus sahaja yang benar-benar dapat membuatkan manusia bertobat dan meninggalkan dosa (Yeh 11:19, 36:26; Rm 8:13; Gal 5:22-23). Manusia mempunyai sifat inersia. Kuasa jahat dalam hati mereka sering menggoda mereka untuk berbuat dosa dan adalah sukar bagi manusia untuk mengatasinya sendiri. Justeru, harus ada bantuan Roh Kudus barulah manusia dapat melepaskan diri daripada dosa dan kejahatan dengan lancar (Rm 7:9, 7:18 – 8:4). Boleh dikatakan bahawa orang yang tidak mempunyai bantuan Roh Kudus tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga dirinya daripada tidak melakukan dosa. Oleh itu, orang yang mahu diselamatkan harus masuk ke dalam gereja benar yang mempunyai Roh Kudus. Kalahkan dosa dan kejahatan dengan bersandar kepada Roh Kudus barulah dapat diselamatkan.

 

TIGA, TANDA-TANDA DAN MUJIZAT-MUJIZAT: [4]

  1. Tanda-tanda dan mujizat-mujizat merupakan satu lagi bukti penting yang membuktikan adanya penyertaan Roh Tuhan (Mrk 16:17-20). Rasul benar yang dilantik oleh Tuhan juga perlu mengadakan tanda-tanda dan mujizat-mujizat sebagai bukti bahawa Tuhan mengutusnya (2 Kor 12:12). Sejak dahulu kala, Musa (Kel 4:1-9), Elia (1 Raj 18:30-39) … diberi kuasa mengadakan tanda-tanda dan mujizat-mujizat oleh Tuhan untuk membuktikan bahawa dia sememangnya diutus oleh Tuhan. Tuhan Yesus sendiri juga membuktikan bahawa Dia diutus oleh Tuhan dengan tanda-tanda dan mujizat-mujizat yang diberikan oleh Tuhan (Yoh 5:36, 10:37-38; Mat 11:2-6). Semasa Tuhan mengutus murid-murid keluar memberitakan firman, Dia juga memberikan mereka kuasa untuk mengadakan tanda-tanda dan mujizat-mujizat (Mat 10:1,8; Luk 9:1-2, 10:17-19). Paulus juga mengakui bahawa tanda-tanda dan mujizat-mujizat adalah diberikan oleh Tuhan dan merupakan bukti nyata bagi murid-murid diutus (2 Kor 12:12). Lebih-lebih lagi gereja di zaman Perjanjian Baru sepatutnya disertai oleh tanda-tanda dan mujizat-mujizat untuk membuktikan bahawa firman yang diberitakan itu benar (Mrk 16:17-18; 1 Kor 12:9-10). [5]
  2. Tanda-tanda dan mujizat-mujizat merupakan bukti penting yang membimbing manusia berbalik kepada Tuhan (Kis 8:5-8, 13:9-12; Rm 15:18). Pada masa-masa lepas, ramai orang yang mengenalpasti bahawa Tuhan wujud dan percaya kepada Tuhan kerana telah melihat tanda-tanda dan mujizat-mujizat (Kis 5:12-16, 8:5-8, 13:9-12). Alkitab mencatatkan bahawa ramai orang yang mengenalpasti penyertaan Tuhan kerana melihat tanda-tanda dan mujizat-mujizat. Ini dapat membuktikan bahawa gereja yang ada tanda-tanda dan mujizat-mujizat ialah gereja yang benar, itulah gereja yang diutus oleh Tuhan. [6]

 

EMPAT, KETIGA-TIGANYA SALING BERKAITAN

  1. Dapat menguasai dan berpegang kepada kebenaran dengan adanya bimbingan Roh Kudus.
  2. Dapat mengadakan tanda mujizat dengan adanya Roh Kudus. Walau bagaimanapun, adanya keajaiban menyembuhkan penyakit dan mengusir setan tidak semestinya ada Roh Kudus kerana setan juga dapat mengadakan tanda mujizat (Mat 24:24; Kel 7:8-12; 2 Kor 11:14).
  3. Roh Kudus hanya sudi selama-lamanya menyertai gereja yang ada Kebenaran. Jika gereja menjadi sekular, Roh Kudus akan pergi meninggalkannya. Oleh itu, gereja benar harus berjaga-jaga setiap masa, sentiasa membaca Alkitab, menyelidiki apa yang diberitakan dan yang dilakukan; jangan bersikap sambil lewa dengan melakukan sesuatu menurut tradisi lepas atau tradisi gereja luar (Mat 15:2-9, 24:5). Jikalau tidak, Roh Kudus akan pergi meninggalkan gereja dan tanda mujizat akan berkurang. [7] [8]

 

KESIMPULAN:

Pokoknya,

  1. Tubuh perlu mempunyai roh dan jiwa untuk menjadi tubuh yang hidup. Gereja perlu mempunyai Roh Tuhan untuk menjadi gereja yang benar, gereja yang membolehkan manusia memperoleh Roh Kudus dan hidup yang kekal.
  2. Harus selalu membaca Alkitab dan berdoa, fahami dan pegang Kebenaran Alkitab dengan bersandar kepada Roh Kudus. Dengan itu, Roh Kudus akan menyertai selama-lamanya.
  3. Tanda mujizat dapat membuktikan bahawa gereja benar sememangnya ada Kebenaran dan Roh Kudus.
  4. Perlu ada Kebenaran dan Roh Kudus untuk menjalankan tanda mujizat. Gereja yang tidak lengkap dalam ketiga-tiga aspek ini bukan gereja yang benar. Tidak akan terima Roh Kudus jika percaya kepada Tuhan di sana dan sia-sialah kepercayaan kepada Tuhan.

 

Kiranya Tuhan memimpin kita sentiasa memegang Kebenaran Alkitab, tidak terpesong atau meninggalkannya, dipenuhi Roh Kudus, tanda mujizat sentiasa dinyatakan supaya kita benar-benar berkeyakinan untuk mendapatkan hidup dan kemuliaan yang kekal di kerajaan syurga pada masa kelak. Amen!

 

SOALAN RENUNGAN:

  1. Mengapa gereja benar berkeras / tegas tentang gereja yang menurut Alkitab dan mengikut gereja rasul? Bukankah sangat baik jika mengikuti peraturan kepercayaan, tabiat kepercayaan dan ajaran orang-orang agung zaman-berzaman?
  2. Apakah gereja umum tidak mempunyai Roh Kudus? Jika tidak ada gerakan Roh Kudus, bagaimana mereka percaya kepada Tuhan?

 

[1] Berikut ialah beberapa pemesongan Firman bagi gereja-gereja umum:

  1. Tidak menjalankan baptisan di dalam air (Mat 3:6; Yoh 3:23; Kis 8:38-39) tetapi menggunakan kaedah renjisan air; tidak membaptis dalam nama Yesus Kristus (Kis 2:38, 8:16, 10:48, 19:5), tetapi dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus.
  2. Memegang hari Ahad sebagai hari Tuhan, tidak memegang hari Sabat yang dipegang dalam Alkitab sejak dari Kejadian hingga Wahyu (Kej 2:3; Luk 4:16,31; Kis 15:21).
  3. Tidak melaksanakan Sakramen Pembasuhan Kaki seperti yang diperintahkan oleh Tuhan (Yoh 13:1-17).
  4. Tidak memohon penyertaan Roh Kudus, tidak menjadikan bahasa roh sebagai jaminan (Mrk 16:17; Kis 2:1-4, 10:44-46, 19:6-7).
  5. Memakan makanan yang dipersembahkan kepada berhala dan darah (Kis 15:28-29).
  6. Memegang perayaan yang tidak tiada dalam Alkitab. Contoh: Krismas, Easter, Good Friday….

[2] Roh Kudus ialah Roh Allah (Rm 8:9), Roh Kristus (Rm 8:9; 2 Kor 3:17), Roh Bapa (Mat 10:20), Roh Tuhan (Luk 4:18), Roh Yesus (Kis 16:7)

[3] Jika tidak ada pimpinan Roh Kudus, bahkan doktor teologi pun tidak akan dapat mengenali manakah Kebenaran keselamatan dalam Alkitab. Oleh itu, walaupun terdapat banyak gereja yang mempunyai ramai doktor teologi, namun firman yang mereka tegaskan tidak mendapat persetujuan daripada Tuhan. Maka mereka tidak dapat terima Roh Kudus dan tanda-tanda mujizat. Ini bukan bermaksud bahawa ilmu teologi tidak perlu dipelajari, melainkan bahawa firman keselamatan yang asas adalah bersandarkan wahyu, pimpinan dan pemeliharaan Roh Kudus. Isi kandungan Alkitab masih perlu dikaji dan dipelajari.

[4] Sebenarnya segala sesuatu di dalam alam semesta ialah jejak langkah Tuhan. Kita memandang enteng tentangnya kerana kita telah terbiasa dengannya. Oleh itu, Tuhan membuatkan manusia merasai kewujudan Tuhan dengan hal-hal istimewa dan ajaib yang tidak dapat dilakukan oleh manusia. Tanda-tanda dan mujizat-mujizat yang dinyatakan dalam pelajaran ini tertumpu kepada aspek ini.

[5] Setan besar juga boleh mengusir setan kecil (Mat 9:34). Oleh itu, hanya tanda-tanda dan mujizat-mujizat sahaja tidak cukup untuk membuktikan bahawa itu gereja benar. Harus sangat berhati-hati dalam aspek ini. Kadang-kala, tanda-tanda dan mujizat-mujizat juga terjadi di kalangan agama umum. Walau bagaimanapun, dengan sedikit analisis statistik, kita boleh dapati bahawa frekuensi tanda-tanda dan mujizat-mujizat di gereja ini jauh lebih tinggi berbanding mereka. Nampaknya ini bukanlah terjadi secara kebetulan.

[6] Tanda mujizat bukan untuk kegunaan hamba Tuhan bagi memegahkan keupayaan. Ini kerana kuasa menjalankan tanda mujizat ialah kepunyaan Tuhan. Manusia tidak mempunyai kuasa ini dan ia tidak boleh dijadikan sebagai sasaran urusniaga lalu memandang ringan terhadap tanda mujizat (rujuk Kis 8:18-22). Manusia juga tidak boleh menerima hadiah daripada orang-orang yang menerima kasih karunia kerana mengadakan tanda mujizat.

[7] Sama seperti gereja rasul-rasul, gereja benar bukanlah sempurna, bukan sepenuhnya menepati Alkitab. Namun, sekurang-kurangnya doktrin keselamatan yang penting adalah menepati Alkitab. Selepas Tuhan mencurahkan Roh Kudus, kita harus rajin membaca Alkitab dan berdoa, memperbetulkan kepercayaan sendiri supaya bertepatan dengan Alkitab. Dengan itu, Roh Kudus akan terus sentiasa berada di kalangan kita, memimpin kita menjadi pengantin perempuan Kristus yang sempurna dan siap berhias (Why 21:2). Jikalau tidak, gereja akan meninggalkan Kebenaran sama seperti zaman akhir gereja rasul (Yud 3), Roh Kudus juga meninggalkan mereka lalu gereja berubah menjadi organisasi sekular.

[8] Roh Kudus ialah Kebenaran (1 Yoh 5:6). Hanya dengan pemberitaan Kebenaran yang sempurna sahaja baru ada penyertaan Roh Kudus. Dengan adanya Roh Kudus, barulah dapat memahami Kebenaran dan memberitakan Kebenaran yang sempurna (Yoh 14:17,26).

[9] Gerakan Roh Kudus membuatkan manusia mengenali Tuhan yang benar. Namun gerakan ini berbeza dengan penyertaan. Selepas Tuhan menggerakkan seseorang untuk mengenali Tuhan, jika dia tidak memohon penyertaan Roh Kudus secara positif, Roh Kudus juga tidak akan sentiasa menyertainya. Dalam sebahagian gereja, terutamanya gereja Pentecostal, terdapat ramai orang yang pernah menerima Roh Kudus, dapat menyembuhkan penyakit dan mengusir setan. Namun selepas terima Roh Kudus, mereka tidak berusaha mengejar Kebenaran Alkitab dengan bersandar kepada Roh Kudus. Oleh itu, Roh Kudus beransur-ansur akan  meninggalkan mereka.

[10] Iblis juga dapat mengadakan tanda mujizat. Semangat manusia juga kadang-kala dapat menyembuhkan penyakit dan melakukan sesuatu yang luar biasa tetapi ianya jarang berlaku. Orang yang dipenuhi dengan Roh Kudus, yang mana kepercayaannya bertepatan dengan Alkitab dapat mengadakan tanda mujizat pada bila-bila masa sahaja asalkan Tuhan menganggapnya perlu.