PENGENALAN PERJANJIAN BARU
Pendeta Lin Yong Ji
PERTAMA,
Satu, Perjanjian Baru merupakan situasi sebenar bagi Perjanjian Lama
Perjanjian Lama merupakan bayangan bagi Perjanjian Baru. Apa yang telah menjadi tua dan usang, telah dekat kepada kemusnahannya, sedang wujudnya ialah Kristus (Ibr 8:13; Kol 2:17). Oleh itu, pemercaya dalam zaman Perjanjian Baru dibenarkan dan diselamatkan kerana iman, bukan kerana melakukan hukum Taurat (Rm 3:28; Gal 2:16). Janji tentang dibenarkan kerana iman merupakan janji yang baru, bukannya janji yang lama, malahan tercatat di dalam kitab Perjanjian Baru.
Dua, kitab Perjanjian Baru memimpin orang berbalik kepada Tuhan, ia juga sebagai panduan penyempurnaan rohani
Bertaubat, dibaptis dalam nama Tuhan untuk pengampunan dosa dan menerima Roh Kudus. Firman tentang percaya kepada Tuhan dan diselamatkan ini dicatatkan secara terperinci dalam Perjanjian Baru, bukan di Perjanjian Lama. Panduan untuk penyempurnaan rohani juga dicatatkan di dalam setiap gulungan Perjanjian Baru dengan harapan agar kita dapat diselamatkan sepenuhnya menerusinya.
Tiga, boleh membantu belia mengambil inisiatif dalam mendirikan iman kepercayaan peribadi
Kebanyakan belia dalam gereja percaya kepada Tuhan sejak kecil lagi dengan mengikuti ibu bapa. Pengajaran dalam kebaktian kanak-kanak juga diterima secara pasif. Oleh itu, selalunya iman kepercayaan yang didirikan merupakan “iman kepercayaan yang bersifat pasif”. Namun apabila memasuki kelas belia, terutamanya kelas menengah rendah, mereka harus mendirikan “iman kepecyaan yang bersifat aktif” milik sendiri. Dengan itu, mereka dapat membina dasar iman kepercayaan yang baik untuk diri sendiri. Untuk mendirikan “iman kepercayaan yang bersifat aktif”, pertamanya, harus banyak menghadiri kebaktian (juga merujuk kepada kebaktian-kebaktian selain kebaktian belia). Keduanya, harus beri perhatian kepada penyempurnaan rohani, banyakkan berdoa, kenali diri sendiri serta pertempuran antara roh dan daging. Ketiganya, harus sendiri mengkaji dan membaca Alkitab Perjanjian Baru, terima sendiri perkataan Tuhan. Butiran yang ketiga adalah yang paling penting dan berguna untuk dua butiran sebelumnya.
KEDUA, LATAR BELAKANG SEJARAH BAGI KITAB PERJANJIAN BARU
Pembelajaran tentang latar belakang sejarah dapat membantu kita memahami isi kandungan dan Firman penting dalam Alkitab.
- Zaman Persia (Lebih kurang tahun 333 SM)
Selepas umat pilihan Tuhan ditawan ke Babel, Babel diperintah oleh raja Persia kerana ditakluk oleh Media dan Persia. Apabila Koresh, raja Persia digerakkan oleh Tuhan dan membenarkan umat pilihan pulang ke negara asal untuk mendirikan semula bait suci, ahli kitab Ezra dan Nehemia kemudiannya juga pulang untuk memulihkan iman kepercayaan umat pilihan.
Orang Yahudi yang pulang menggunakan bahasa Aram di tempat tawanan. Selepas pulang, mereka tetap menggunakan bahasa Aram. Oleh itu, bahasa Aram masih merupakan bahasa kebiasaan ketika zaman Tuhan Yesus.
- Zaman Alexander Agung, raja Yunani (Tahun 332-301 SM)
Raja Aleksander Agung yang muda dipilih sebagai pemimpin kesatuan Yunani. Baginda mengepalai angkatan tentera gabungan dalam ekspedisi Timur lalu menakluk Asia Kecil, sebahagian daripada Asia Barat, Mesir, Syria. Tanah yang dianugerahkan Tuhan kepada umat pilihan iaitu Palestin juga termasuk di dalam wilayahnya.
Guru kepada Alexander Agung ialah Aristotle, murid kepada Plato. Dari guru ini baginda mewarisi hati yang ‘suka kepada ilmu’ dan ‘tidak jemu-jemu mencari ilmu’ terhadap dunia di sekelilingnya. Oleh itu, dalam ekspedisi jauhnya, baginda membawa bersama sekumpulan ilmiawan untuk menyiasat, mengkaji serta mencatatkan dan menjelaskan adat masyarakat, flora dan fauna dan keadaan geografi bagi kawasan yang ditaklukinya. Sama seperti gurunya, baginda juga beranggapan bahawa budaya dan kesarjanaan Yunani adalah lebih unggul berbanding bangsa lain. Maka, baginda merasakan dirinya memikul amanat yang penting sebagai pemimpin umat manusia iaitu harus menyebarkan budaya Yunani.
Alexander Agung mangkat pada usia 33 tahun kerana demam malaria (tifoid). Empayarnya dibahagikan oleh empat orang jeneralnya. Di bawah polisi Hellenistik baginda, kota-kota Yunani telah dibina di merata tempat. Pencapaian yang paling penting ialah bahasa Yunani digunakan secara meluas sebagai bahasa antarabangsa untuk perniagaan dan komunikasi. Ia juga biasa digunakan dalam bidang penulisan. Ini amat memudahkan kerja penyebaran Injil. Dengan menggunakan bahasa Yunani, Paulus boleh menyampaikan khotbah di merata tempat. Surat-suratnya dalam bahasa Yunani boleh dibaca oleh pemercaya semua negara.
- Zaman Ptolemy Mesir (Tahun 301-198 SM)
Selepas kemangkatan Alexander Agung, negara Yehuda menjadi koloni dinasti Ptolemy yang menduduki Mesir dan kehidupan bagi keagamaan dan kepercayaan adalah sangat bebas. Terdapat sebuah perpustakaan besar, atau digelar sebagai muzium di kota Alexandria, Mesir, yang merupakan sebuah muzium penyelidikan saintifik. Dalam tempoh ini, sekumpulan orang Yahudi berpindah ke Mesir. Kemudian, orang-orang Yahudi di bandar budaya ini memilih tujuh puluh orang ahli Taurat untuk menterjemahkan Perjanjian Lama dalam bahasa Ibrani kepada bahasa Yunani untuk digunakan oleh ekspatriat Yahudi yang tidak mengerti bahasa Ibrani dan ia diselesaikan sepenuhnya pada tahun 150 SM. Orang-orang Yahudi pada zaman Tuhan Yesus juga selalu memetik daripada Alkitab bahasa Yunani ini.
- Zaman Syria (Tahun 198-167 SM)
Selepas kemangkatan Alexander Agung, Seleucus, salah seorang daripada jeneral baginda telah menduduki Babel. Selepas itu, dia menakluki Syria. Penggantinya kemudian mengalahkan dinasti Ptolemy Mesir dan juga menguasai negara Yehuda. Pada zaman Seleucus IV (juga digelar sebagai Antiochus IV), berlaku rusuhan di tanah Yudea. Raja Antiochus IV salah faham bahawa ianya bertujuan untuk memberontak terhadapnya lalu memberi arahan untuk meyerang kota Yerusalem.
Selepas itu, cita-citanya terhalang oleh orang Rom lalu moodnya menjadi tidak baik. Semasa tiba di negara Yehuda semasa dalam perjalanan pulangnya, dia memberi perintah untuk mengamalkan Hellenisme di kalangan orang Yahudi sepenuhnya. Dengan itu, kehidupan kepercayaan orang-orang Yahudi menghadapi penganiayaan. Mereka tidak mempunyai kebebasan dalam hal memegang Hari Sabat, menjalankan sunat, memegang perayaan di bait suci dan sebagainya. Alkitab juga dimusnahkan. Pada hujung tahun 168 SM, raja ini merampas perkakas dan harta benda dalam bait suci serta membuat mezbah dewa palsu di atas mezbah bait suci untuk dipersembahkan kepada babi yang dipandang tidak suci oleh orang Yahudi dengan tujuan menghina orang Yahudi.
Di bawah penganiayaan besar terhadap kepercayaan, orang-orang Yahudi terpaksa bangkit melawan dan pemimpinnya ialah Judas Maccabeus Hammerer.
- Zaman Maccabeus (Tahun 167-63 SM)
Di bawah pimpinan Maccabeus, orang Yahudi menentang Syria dengan beraninya. Kemudiannya, raja Syria sering bertukar dan tekanan penganiayaan ke atas negara Yehuda juga berkurang. Namun, Maccabeus terus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan sepenuhnya bagi negara Yehuda dan meminta pertolongan Rom. Orang Yahudi mendapat kemerdekaan politik selepas Maccabeus meninggal dunia, iaitu pada tahun 143 SM. Tempoh kemerdekaan politiknya adalah kira-kira lapan puluh tahun sehingga ia ditakluk oleh Rom.
- Zaman Rom (Selepas tahun 63 SM)
Pompey, orang Rom menghadapi rintangan ketika dia datang ke Yerusalem untuk menyelesaikan pertikaian. Oleh itu, dia menyerang dan mendapatkan kota Yerusalem dengan kekerasan. Dengan itu, Rom menduduki negara Yehuda dan mengenakan cukai yang tinggi.
Tiga orang jeneral Rom menubuhkan politik Triumvirat yang pertama pada tahun 60 SM. Antaranya, Julius Caesar kemudian mendapat kuasa ke atas Empayar Rom. Selepas Julius Caesar dibunuh pada tahun 44 SM, Caesar Octavian menubuhkan politik Triumvirat yang kedua bersama dua orang yang lain. Dia menjadi maharaja Empayar Rom yang pertama pada tahun 27 SM dan menjadi pemerintah autokrat. Gelaran Augustus diberikan oleh senat kepadanya dan akhirnya menjadi gelaran bagi maharaja. Maria, ibu Tuhan Yesus pulang ke Betlehem kerana perintah yang dikeluarkan oleh Augustus ini dan seterusnya melahirkan Tuhan Yesus di Betlehem (Luk 2:1). Augustus ini meninggal dunia pada tahun 14 M. Oleh itu, ketika Paulus naik banding kepada Kaisar, Kaisar itu ialah Nero, maharaja Rom yang kelima (Kis 25:21-25).
Ketika zaman Rom, orang Yahudi mempunyai kehidupan kepercayaan yang sangat bebas. Dari segi politik, Julius Caesar melantik gabenor dan melantik orang Idumea dari bahagian selatan negara Yehuda sebagai bupati. Salah seorang anak kepada bupati orang Idumea ini ialah Herodes Agung yang kemudiannya membunuh bayi-bayi di Betlehem dan sekitarnya.
Herodes Agung mengambil hati pegawai-pegawai Rom dan orang-orang Farisi. Dia juga tidak berani bersalah terhadap orang Yahudi. Dia komited untuk mendirikan, membina semula dan mengembangkan bait suci. Oleh itu, ada orang yang menggelar bait suci ini sebagai Bait Suci Herodes. Bait suci ini terkenal kerana kecantikannya tetapi telah dimusnahkan pada tahun 70 M.
Selepas Herodes Agung meninggal dunia, maharaja Rom membenarkan untuk berbuat seperti wasiatnya iaitu ketiga-tiga anaknya menjadi raja wilayah. Antaranya Arkhelaus, anaknya yang sulung bersikap tirani. Maharaja Rom mendengar permohonan orang Yahudi lalu jawatan Arkhelaus digantikan oleh seorang bupati orang Rom yang secara langsung memerintah negara Yehuda dan Samaria. Oleh itu, negara Yehuda menjadi satu provinsi Rom (60 M). Itulah sebabnya ketika Tuhan dihakimi, penghakiman tersebut dijalankan oleh Pilatus, bupati yang kelima, dan bukannya dijalankan oleh Raja Herodes.
Seorang lagi anak Herodes Agung, Herodes Filipus meninggal dunia pada tahun 34 M. Seorang lagi anaknya yang menjadi raja wilayah ialah Herodes Antipas. Dia hidup dalam percabulan dan tidak bermoral. Dia menjadi raja wilayah Galilea. Dia menikahi Herodias, isteri kepada Filipus, saudara tirinya dengan cara yang tidak sah. Yohanes Pembaptis telah menegur mereka dengan beraninya lalu dibunuh ketika jamuan hari ulang tahun Antipas (Luk 3:19-20; 9:7-9). Akhirnya, dia juga dipecat dan dibuang ke pengasingan lalu mati.
Agripa I, cucu Herodes Agung telah mewarisi takhta pakciknya, Herodes Filipus dan juga mendapat Galilea. Akhirnya dia menjadi raja bagi seluruh Yehuda (tahun 40 M). Demi mengambil hati orang Yahudi, dia membunuh Yakobus (Kis 12:1-2). Dia akhirnya ditampar malaikat Tuhan kerana congkak dan mati dimakan cacing-cacing (Kis 12:21-23).
Agripa II, anak kepada Agripa I juga bukan raja yang baik dan hidup dalam percabulan. Bernike, adiknya juga hidup dalam percabulan dan tidak mengenali Firman (無道). Paulus pernah berkhotbah di hadapan mereka (Kis 25:13 – 26:32).
Herodes sekeluarga bukan orang yahudi. Mereka merupakan orang Idumea dari bahagian selatan tanah Yehuda. Latar belakang gaya keluarga mereka sangat buruk. Tambahan pula, mereka bersikap tirani. Maka, orang Yahudi terus-menerus mencari peluang untuk menghalau Herodes. Orang Zelot (Mat 10:4) memulakan revolusi kerana ini.
Kemudian, antara tahun 68-69 M, maharaja Rom digantikan oleh empat orang maharaja boneka dalam masa satu tahun. Pada tahun 70 M, maharaja Vespasian pergi ke Yerusalem dan mengelilingi kota Yerusalem selama 134 hari kerana pemberontakan orang Yahudi. Akhirnya, kota Yerusalem ditawan oleh anaknya Titus. Kota Suci dibakar, bait suci juga dimusnahkan sepenuhnya. Sama seperti nubuat yang dikatakan oleh Tuhan Yesus, tidak satu batupun akan dibiarkan terletak di atas batu yang lain (Mat 24:2).
KETIGA, SEJARAH RINGKAS KOMPOSISI ALKITAB PERJANJIAN BARU
Satu, bahasa dalam Alkitab Perjanjian Baru
- Bahasa yang digunakan: Bahasa Aram, Bahasa Yunani
Terdapat beberapa bahasa yang agak sama di Timur Tengah. Dua di antaranya adalah sangat sama. Satu ialah bahasa Ibrani yang biasa digunakan oleh orang Israel, dan satu lagi ialah bahasa Aram yang digunakan oleh orang-orang di Syria dan Babel.
Selepas orang Israel ditawan, umat yang tertinggal di Palestin beransur-ansur menggunakan bahasa Aram kerana bergaul dengan orang Aram yang berpindah ke sana. Selepas orang-orang yang ditawan ke Babel pulang, semestinya mereka juga berbicara dalam bahasa Aram. Pada zaman Tuhan Yesus, bahasa kebiasaan bagi orang Yahudi ialah bahasa Aram.
Namun dari aspek yang lain, selepas Alexander membina empayar Macedonia dan memerintah benua Eurasia pada masa itu, baginda menggerakkan dasar Hellenistik dan bahasa Yunani menjadi bahasa kebiasaan di kawasan tersebut. Penduduk di Palestin pada masa itu juga mengerti bahasa Yunani.
Ketika berada di dunia, apabila Tuhan Yesus berbicara dengan murid-murid atau menyampaikan khotbah kepada penduduk setempat, berkemungkinan besar Dia juga menggunakan bahasa Aram.
Injil adalah untuk semua umat manusia. Jika bahasa Aram digunakan dalam gulungan kitab Perjanjian Baru, sudah tentu ramai orang duniawi pada masa itu tidak memahaminya, malahan ia juga berkemungkinan tidak akan dipandang tinggi oleh orang. Oleh itu, dalam melahirkan idea dan buah fikiran, penggunaan bahasa Yunani adalah lebih tepat. Maka, ketika menulis Alkitab, bahasa Yunani dipilih dan digunakan di bawah pimpinan Roh Kudus.
- Kerajaan juga menggunakan bahasa Latin
Lebih kurang 30 perkataan Latin digunakan dalam kitab Perjanjian Baru. Ketika Tuhan disalibkan, tulisan di atas kepalaNya adalah menggunakan tiga jenis bahasa.
- Kitab Perjanjian Baru menggunakan bahasa Yunani yang popular
Bahasa Yunani yang digunakan dalam kitab Perjanjian Baru bukanlah bahasa Yunani kuno, tetapi ialah bahasa Yunani yang popular.
Bahasa Yunani yang digunakan dalam Alkitab juga ada sifat bahasa semitik (Ibrani, Aram). Terdapat juga perkataan-perkataan yang memberikan makna yang baru kepada perkataan lama untuk mengekspresikan serta merekodkan kebenaran dan rahsia kerajaan Tuhan. Contohnya “Firman”, “Kebenaran” dan sebagainya.
Pada zaman Alexander, baginda pernah memindahkan ramai orang Yahudi ke koloni Yunani yang ditubuhkannya. Sangat ramai orang Yahudi di bandar Alexandria yang dipindahkan ke utara Afrika. Orang-orang Yahudi ini membesar di dalam budaya Yunani sepenuhnya dan langsung tidak mengerti bahasa Ibrani. Oleh itu, mereka langsung tidak mengenali agama dan latar belakang budaya orang Yahudi.
Pemimpin orang Yahudi amat mengambil berat tentang hal ini dan meminta orang-orang Yahudi di Yerusalem datang untuk membantu mereka. Menurut legenda, antara tahun-tahun 200 SM, Yerusalem mengutus 72 orang ilmiawan (6 orang bagi setiap suku) ke kota Alexandria. Mereka mendapat sokongan daripada raja Mesir dan menterjemahkan semua Perjanjian Lama ke dalam bahasa Yunani yang digelar sebagai “Septuagint”. Apabila merujuk Alkitab dalam zaman Perjanjian Baru, kebanyakannya merujuk daripada Perjanjian Lama Septuagint dalam bahasa Yunani.
Dua, penulis-penulis Alkitab Perjanjian Baru
- Penulis
Kitab Perjanjian Baru ditulis oleh lebih kurang 10 orang penulis yang berbeza. Setiap mereka mempunyai keperibadian dan latar belakang pendidikan yang tersendiri. Antaranya ada nelayan, pemungut cukai, doktor, ahli Taurat. Oleh itu, walaupun 27 gulungan ini semuanya ditulis dalam bahasa Yunani yang popular, namun gaya penulisan bagi setiap gulungan adalah tidak sama. Walau bagaimanapun, mereka semua menulis dengan satu matlamat yang sama iaitu “memberitakan Injil, membangunkan pemercaya”.
- Boleh dibahagikan kepada 6 jenis berdasarkan motif penulisan: (ditulis dalam bentuk singkatan)
- Injil: Mat, Mrk, Luk, Yoh, Kis.
- Perbincangan Firman: Rm, Ibr, 1 Yoh, Ef.
- Memperbetulkan kesilapan: 1 Kor, Gal, Kol, Yak, 2 Yoh.
- Dorongan dan galakan: 2 Kor, Flp, 1 Tes, 2 Tes, 1 Ptr, 2 Ptr, Flm.
- Pengajaran dan Penggembalaan: 1 Tim, 2 Tim, Tit.
- Nubuat: Why
Tiga, suntingan dan terjemahan kitab Perjanjian Baru
- Proses suntingan:
Pada mulanya, gereja tempatan mengumpul gulungan kitab yang mereka sukai dan digunakan selepas disusun. Terdapat sebahagian orang yang cuba menyunting dan mengatur direktorinya. Namun, gereja hanya mempunyai kebebasan yang secukupnya untuk melakukan kerja ini secara terbuka selepas Raja Constantine percaya kepada Tuhan.
- Pembentukan Kanon
Persidangan gereja Carthage yang dijalankan pada tahun 397 M mengiktiraf 27 gulungan yang kita gunakan sekarang sebagai Kanon kitab Perjanjian Baru manakala gulugan-gulungan yang lain dianggap sebagai kitab palsu atau digelar sebagai Apokrifa / Deuterokanonika.
- Salinan tulisan tangan
Sebelum mesin cetak diciptakan, Alkitab diwariskan secara salinan tulisan tangan. Oleh kerana ia disalin dengan tangan, maka kesilapan atau ketidaktepatan tidak dapat dielakkan. Maka terdapat perkataan kecil dalam Alkitab bahasa Cina yang berbunyi “Ada skrol kuno…” yang bermaksud terdapatnya salinan tulisan tangan yang berbeza.
- Kertas yang digunakan bagi salinan tulisan tangan
Kertas yang digunakan bagi salinan tulisan tangan ialah papirus, kulit domba, kulit anak lembu.
Empat, cetakan, pembahagian fasal dan ayat kitab Perjanjian Baru
- Cetakan
Pada tahun 1454 M, selepas John Gutenberg menciptakan percetakan jenis huruf, Alkitab pun dicetak lalu dibekalkan secara murah dalam jumlah yang besar. Oleh yang demikian, umat Kristian di kawasan yang bebas pada hari ini dapat membeli Alkitab yang cantik dan murah.
- Pembahagian fasal dan ayat
Pada mulanya, tidak ada pembahagian fasal dan ayat dalam Alkitab. Kira-kira tahun 1236 M, Roman Katolik membuat pembahagian fasal untuk semua Alkitab. Pada tahun 1660, Rabbi Yahudi membuat pembahagian ayat bagi Perjanjian Lama. Pembahagian ayat bagi Perjanjian Baru dilakukan oleh tukang cetak Perancis. Perjanjian Lama mengandungi 929 fasal, Perjanjian Baru mengandungi 260 fasal. Jumlah bagi Perjanjian Lama dan Perjanjian baru ialah 1189 fasal dengan 31173 ayat.
Lima, terjemahan Alkitab Perjanjian Baru
- Ada terjemahan bahasa Syria
- Terjemahan bahasa Latin
- Terjemahan Coptic
- Terjemahan bahasa Inggeris
Setelah terjemahan King James’ Version disiapkan pada tahun 1611, ia telah menjadi universal dan berwibawa untuk lebih dari tiga ratus tahun sehingga hari ini kerana terjemahannya yang baik. Sebelum terjemahan ini disiapkan, terdapat banyak terjemahan yang lain, tetapi semuanya telah digantikan oleh yang ini. Pada pertengahan abad kesembilan belas, adalah didapati bahawa masih terdapat kekurangan dalam King James’ disebabkan perubahan dalam bahasa Inggeris itu sendiri dan juga kemajuan penyelidikan alkitabiah. Oleh itu, Britain membuat semakan berdasarkan teks asal. English Revised Version diterbitkan pada tahun 1881. American Standard Bible diterbitkan pada tahun 1901. Ia juga digelar sebagai American Standard Version (R.S.V.). Pemercaya gereja kita sering menggunakan Alkitab versi ini. Terjemahan bahasa Inggeris moden yang lain tidak sesuai untuk kajian atau pengenalan Alkitab.
- Terjemahan bahasa Cina
Terjemahan Nestorianisme (tahun 635-650 M) telah hilang. Terjemahan Morrison’s Version selesai diterjemahkan pada tahun 1823. Terjemahan Chinese Union Version rasmi yang digunakan sekarang juga digelar sebagai Mandarin Union Version. Terjemahan Chinese Union Version merupakan tiga jenis terjemahan (kesusasteraan susah, kesusasteraan mudah dan bahasa Mandarin) yang diputuskan dalam persidangan mubaligh pada tahun 1890. Ia diterjemahkan berdasarkan English Revised Version dan telah mengambil masa lebih kurang 27 tahun. Lu Zhen Zhong menterjemahkan semula Alkitab ke dalam bahasa vernakular moden berdasarkan teks asal. Ia disiapkan sepenuhnya pada tahun 1970 dan terbitkan. Dalam kajian Alkitab, kita kurang merujuk kepada Lu Zhen Zhong Bible Translation ini.
KEEMPAT, PENGENALAN RINGKAS ISI KANDUNGAN KITAB PERJANJIAN BARU
Satu, isi kandungan kitab Perjanjian Baru:
Mesej Perjanjian Baru adalah untuk menyambung mesej Perjanjian Lama. Oleh sebab pemberontakan, manusia tidak dapat menerima berkat yang dijanjikan oleh Tuhan dalam Perjanjian Lama dan menyelesaikan tujuan Tuhan menciptakan manusia. Maka, Tuhan membuat Perjanjian Baru supaya manusia dapat menghidupkan kemuliaan yang sepatutnya ada dengan bersandarkan anugerah keselamatan Tuhan agar dapat menikmati berkat yang Tuhan janjikan.
Penyelamatan dan penebusan Tuhan disempurnakan melalui Kristus. Kristus sama seperti biji gandum yang jatuh ke dalam tanah, mati dan kemudiannya bangkit lalu menghasilkan banyak buah. Dengan itu, bermulalah rancangan Tuhan menyelamat dan menebus umat manusia.
Kita umpamakan hubungan antara semua gulungan kitab Perjanjian Baru dengan perkembangan seluruh pokok. Dengan itu, kita dapat memahami hubungan antara dua puluh tujuh gulungan kitab Perjanjian Baru dengan lebih jelas. Empat kitab Injil sama seperti akar di bahagian bawah pokok. Batang pokok penuh dengan kehidupan, sama seperti Roh Kudus dalam Kisah Para Rasul yang membolehkan gereja / jemaat berkembang dengan pesat. Dengan itu, bermulalah banyak firman penting yang terkandung dalam rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan. Contohnya teori penyelamatan dan penebusan, teori Kristus, teori gereja / jemaat, eskatologi. Kebenaran-kebenaran ini sama seperti ranting-ranting yang tumbuh dari batang pokok, di mana mereka adalah saling berkait rapat. Berikut diterangkan secara ringkas:
- Keperibadian Kristus
Dalam empat kitab Injil, kita dapat melihat Dia ada sifat keilahian dan sifat manusia. PelayananNya sempurna seperti empat makhluk. Oleh itu, dari perlambangan empat makhluk, kita dapat melihat bagaimana empat kitab Injil menggambarkan pelayanan Tuhan:
- Injil Matius: menggambarkan Tuhan ialah Tuhan yang rajani, sama seperti singa yang tidak terkalahkan.
- Injil Markus: menggambarkan Tuhan ialah hamba yang taat, sama seperti lembu, banyak bekerja, kurang bercakap, selamanya tidak letih lesu.
- Injil Lukas: menggambarkan Tuhan sebagai manusia sempurna yang mempunyai sifat manusia. Dia mengasihi semua orang yang berdosa di dunia.
- Injil Yohanes: menggambarkan Tuhan ialah Anak Tuhan yang mempunyai sifat keilahian. Dia membawa Kebenaran dan kasih karunia yang berkelimpahan kepada manusia duniawi.
- Teori Roh Kudus
Penubuhan gereja / jemaat bermula dengan pencurahan Roh Kudus. Dengan kuasa besar Roh Kudus juga, gereja / jemaat dapat berkembang dengan pesat sehinggakan dipenuhi dengan daya hidup.
- Teori penyelamatan dan penebusan
Teras bagi Kebenaran penyelamatan dan penebusan ialah “dibenarkan dan mendapat hidup kerana iman”. Gulungan kitab yang berkaitan ialah Roma, Galatia, Ibrani, Yakobus.
- Teori Kristus
Membincangkan tentang hubungan antara Kristus dengan gereja / jemaat. Gulungan kitab yang berkaitan ialah Efesus, Filipi, Kolose, Filemon.
- Teori gereja / jemaat
Membincangkan tentang bagaimana hamba Tuhan menggembalakan gereja / jemaat. Gulungan kitab yang berkaitan ialah 1 Korintus, 2 Korintus, 1 Timotius, 2 Timotius, Titus, 1 Yohanes, 2 Yohanes, 3 Yohanes.
- Eskatologi
Membincangkan tentang pelbagai tanda yang berkaitan dengan eskatologi, pengenalan yang perlu ada pada pemercaya dan perihal utama kedatangan semula Tuhan. Gulungan kitab yang berkaitan ialah 1 Tesalonika, 2 Tesalonika, 1 Petrus, 2 Petrus, Yudas, Wahyu.
Dua, perbandingan antara Perjanjian Baru dan Perjanjian Lama
- Sasaran yang berbeza
Sasaran Perjanjian Lama ialah orang Israel (Yer 7:23). Sasaran Perjanjian Baru ialah orang-orang berdosa di seluruh dunia (Mrk 16:15-16).
- Isi kandungan kontrak berbeza
Musa menjadi pengantara bagi Perjanjian Lama dan mengadakan “Perjanjian Taurat”. Dosa ditebus melalui darah ternakan (Ibr 9:18-22). Tuhan Yesus menjadi pengantara bagi Perjanjian Baru dan mengadakan “Perjanjian Kasih Karunia”. Manusia boleh menebus dosa dengan bersandarkan darah Tuhan yang bernilai asalkan dibenarkan kerana iman (Ibr 9:12-14).
- Pengharapan yang berbeza
Umat pilihan Perjanjian Lama mengharapkan kedatangan Mesias (Juruselamat). Oleh sebab Mesias telah datang, iaitu Tuhan Yesus, maka umat pilihan Perjanjian Baru mengharapkan Tuhan datang menjemput umat pilihan pulang ke rumah syurgawi asalkan percaya dan bersandar kepada Tuhan.
- Hubungan antara Perjanjian Baru dan Perjanjian Lama
Hukum Taurat dalam Perjanjian Lama merupakan bayangan bagi Perjanjian Baru, sedang wujudnya ialah Kristus. Oleh sebab Tuhan Yesus telah menyempurnakan hukum Taurat, maka pemercaya Perjanjian Baru tidak lagi perlu memegang etika hukum Taurat Musa. Mereka boleh diselamatkan asalkan berpegang kepada pengajaran Tuhan (Ibr 8:13; Kol 2:17).
Tiga, petikan Perjanjian Lama dalam Perjanjian Baru
Dengan melihat bagaimana Perjanjian Baru memetik daripada Perjanjian Lama, kita dapat memahami keselarasan Perjanjian Baru. Ia membuatkan kita faham bagaimana Tuhan mengawal sejarah dan minda manusia sehinggakan Perjanjian Lama bernubuat tentang Perjanjian Baru, mengandungi Perjanjian Baru, manakala Perjanjian Baru juga menggenapi Perjanjian Lama dan memperkayakan Perjanjian Lama.
- Memberi kepastian tentang kewibawaan Perjanjian Lama
Tidak dinafikan, penulis-penulis Perjanjian Baru memberi kepastian tentang kewibawaan Perjanjian Lama. Bagi mereka, jauh sebelum gulungan kitab Perjanjian Baru disebarkan secara meluas dan dimasukkan ke dalam Kanon, kitab-kitab mereka ialah kitab Perjanjian Lama kita pada hari ini. Ketika mengarang gulungan kitab Perjanjian Baru, mereka selalu memetik ayat-ayat dalam Perjanjian Lama untuk menyokong hujah mereka. Menurut statistik konservatif, Perjanjian Baru memetik ayat Perjanjian Lama sebanyak 295 kali. Tambahan pula, mereka memandang kitab Perjanjian Lama sebagai apa yang Tuhan katakan melalui manusia, dan percaya bahawa perkataan-perkataan yang digunakan dalam kitab-kitab tersebut ditulis di bawah gerakan Roh Tuhan dan oleh itu ianya adalah bermakna.
- Fokus kepada Kristus
Penulis-penulis Perjanjian Baru memahami Perjanjian Lama menerusi perspektif Yesus Kristus. Contohnya dalam (Gal 3:16), Paulus beranggapan bahawa janji Tuhan tentang keturunan Abraham adalah merujuk kepada Yesus. Pandangannya ini adalah berdasarkan tuntutan Tuhan Yesus sendiri. Ini kerana Tuhan pernah berkata: Kitab-kitab Perjanjian Lama memberi kesaksian tentang Dia. Ini termasuk kitab-kitab yang ditulis oleh Musa, kitab nabi-nabi dan kitab Mazmur (ini merupakan nama singkatan bagi tiga bahagian besar Alkitab pada masa itu. Rujuk Luk 24:44-45; Yoh 5:39-40, 46-47).
- Perjanjian Baru menggenapkan nubuat Perjanjian Lama
Mengapa kitab Perjanjian Lama menjadi kesaksian bagi Kristus? Bagi penulis-penulis Perjanjian Baru, kematian dan kebangkitan Tuhan telah membuktikan tanpa was-was bahawa Dialah Mesias (Kristus) yang dijanjikan dalam Perjanjian Lama. Apabila mereka membaca semula Perjanjian Lama, dengan adanya penjelasan Tuhan ke atas ayat-ayat, pengalaman kepercayaan mereka sendiri dan pencerahan daripada Roh Kudus, maka mereka dapat melihat bahawa terdapat sebahagian ayat dalam Perjanjian Lama telah digenapi oleh Yesus dan umat pilihannya.
Contohnya dalam khotbah hari Pentakosta, Petrus menyatakan bahawa: beberapa penerangan Daud tidak mungkin merujuk kepada dirinya sendiri (Kis 2:29,34) melainkan merupakan nubuat yang sesuai tentang Yesus mati, bangkit dan terangkat ke syurga. Sama juga, Injil Matius mencatatkan: imam kepala dan ahli Taurat percaya bahawa pemimpin Mesias akan dilahirkan di Betlehem menurut kata-kata nabi (Mat 2:4-6). Dengan kata yang lain, penulis-penulis Perjanjian Baru melihat sebahagian ayat daripada Perjanjian Lama sebagai nubuat secara langsung dan beranggapan nubuat-nubuat ini hanya akan digenapi dengan kisah hidup Yesus dan perkembangan gereja / jemaat (rujuk 1 Ptr 1:10-12).
- Perjanjian Lama mengandungi Perjanjian Baru – perlambangan, gambaran
Apabila sebahagian penulis Perjanjian Baru membincangkan tentang bagaimana Yesus dan gereja / jemaat menggenapi Perjanjian Lama, ayat yang dipetik tidak semestinya berunsur nubuat dalam Perjanjian Lama, bahkan seolah-olah langsung tiada kaitan dengan Perjanjian Baru. Contohnya, dalam (Mat 2:15) menyebut tentang Yesus tinggal di Mesir hingga Herodes mati. Hal itu terjadi supaya genaplah yang difirmankan Tuhan oleh nabi: “Dari Mesir Kupanggil Anak-Ku.”. Oleh itu, apakah maknanya atau apakah asasnya bagi penulis Perjanjian Baru menggunakan perkataan “genaplah”? Kata kerja “genaplah” ini juga diterjemahkan sebagai “menggenapkan”, contohnya (Mat 3:15) “menggenapkan” seluruh kehendak Allah. Ia juga diterjemahkan sebagai “tercakup”, contohnya (Gal 5:14) “Sebab seluruh hukum Taurat tercakup dalam satu firman ini, yaitu: “Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri!””. Ini merujuk kepada patuhan dan penyelesaian terhadap hukum Taurat. Dengan kata yang lain, kata kerja ini boleh mengandungi makna “menjadikannya sempurna”, “supaya (sesuatu prinsip atau pernyataan) diperkayakan”. Ia tidak semestinya menunjukkan bahawa hal-hal yang disempurnakan, diperkayakan atau diterangkan adalah berkaitan dengan nubuat pada masa akan datang. Jika kita membandingkan ayat (Mat 2:15) dengan sumbernya dalam Perjanjian Lama, kita akan mendapati adanya persamaan dari segi watak dan peristiwa yang dicatatkan dalam Perjanjian Baru dan Lama sehinggakan catatan Perjanjian Baru memperkayakan (menggenapkan) ayat Perjanjian Lama. Malahan, dua contoh dalam Perjanjian Baru ini lebih nyata:
- Hubungan dua hala bagi perseorangan (Yesus anak Tuhan) dan persekutuan (orang Israel anak-anak Tuhan);
- Keselarasan sejarah penyelamatan dan penebusan (keluar dari Mesir, penganiayaan ke atas orang-orang yang tidak berdosa).
Dua konsep ini sudah wujud sejak Perjanjian Lama. Contohnya nama-nama “Israel” dan “Yakub” boleh merujuk kepada anak Ishak dan boleh juga merujuk kepada seluruh umat Israel. Sama juga, “Daud” boleh merujuk kepada anak Isai dan boleh juga menjadi kod untuk pemimpin Mesias (lihat Yeh 34:23). Keluar dari Mesir dan mengembara di padang gurun bukan sahaja merujuk kepada peristiwa zaman Musa. Ia juga boleh merujuk kepada nubuat tentang pengalaman umat meninggalkan Babel dan pulang ke negara asal (lihat Hos 2:14-15). Apabila berbincang tantang hubungan “Perjanjian Baru memperkayakan Perjanjian Lama”, ilmiawan pada hari ini biasanya mengatakan bahawa watak atau peristiwa dalam Perjanjian Lama merupakan ‘perlambangan’ yang sesuai untuk Perjanjian Baru (rujuk Rm 5:14; 1 Kor 10:6; Ibr 9:24; 1 Ptr 3:21).
Adakah orang-orang dalam zaman Perjanjian Lama mengetahui bahawa banyak perkara merupakan perlambangan? Apabila orang Israel menyembelih anak domba Paskah setiap tahun, adakah mereka mengetahui bahawa anak domba melambangkan Kristus? Mereka seolah-olah tidak tahu bahawa terdapat ontologi perlambangan. Mungkin mereka menyedari bahawa perkara-perkara ini meramalkan masa depan pada tahap yang tertentu, tetapi mereka tidak mengetahui sepenuhnya hubungan antara perlambangan dan ontologi. Perlambangan diaturkan oleh Tuhan. Apabila ontologi perlambangan direalisasikan, ia membuktikan bahawa perkara-perkara ini mempunyai maksud nubuat. Ia jangkaan bagi Tuhan tetapi bukti bagi manusia. Apabila manusia merenung semula dan membandingkan perlambangan dengan ontologi, mereka akan memahami persamaan antaranya. Dari sini kita dapat melihat teori penyelamatan dan penebusan Tuhan yang agung serta memahami bahawa Perjanjian Baru dan Lama mempunyai hubungan yang erat.
Apabila perlambangan muncul dalam Perjanjian Lama, ia ialah ‘bayangan’. Makna rohaninya hanya dinyatakan dalam Perjanjian Baru, iaitu ‘ontologi’ bagi perlambangan. Fokus bagi perlambangan ialah masa depan. Inilah perbezaan antara perlambangan dengan tanda dan perumpamaan. Tanda dan perumpamaan ada makna rohaninya apabila sesuatu peristiwa terjadi. (Tanda juga digelar sebagai simbol.)
Demikianlah Tuhan Kristus dan rasul-rasul membuktikan kenyataan yang dinubuatkan dalam lima kitab Musa, kitab nabi-nabi dan kitab Mazmur (Luk 24:25-27,44; Yoh 5:39-44). Ini juga bermaksud ‘perlambangan’ merupakan orang, peristiwa, barang yang pernah wujud; maka semestinya ‘ontologi’ juga merupakan orang, peristiwa, barang yang pernah wujud.
Tuhan merancang perlambangan dan menjadikannya menyerupai ontologi. Dia juga merancang ontologi, merealisasikan dan menaiktarafkannya. Dari perbandingan antara perlambangan dan ontologi, kita dapat melihat kehendak Tuhan yang semakin dinyatakan kepada kita dan dapat memahami makna Perjanjian Lama kepada iman kepercayaan kita.