BANGKITKAN GEREJA DI RUMAH
(Pendeta Chen Enxi)
Sejak tercetusnya wabak COVID-19, terdapat satu grafik internet yang telah menjadi popular, iaitu dialog antara iblis dan Yesus. Dalam gambar itu, iblis dengan bangganya memegahkan diri kepada Yesus: “Lihat! Saya telah menutup semua gereja kamu!” Tetapi Yesus dengan tenang menjawab iblis: “Kamu salah! Saya telah mengubah rumah semua orang menjadi gereja!” Muslihat iblis ialah menghalang kita daripada pergi ke gereja untuk mendekati Tuhan. Sedikit yang kita tahu bahawa Tuhan mengawal segala-galanya. Dia membenarkan setiap kita untuk berhimpun di rumah, merasakan semangat kesatuan roh dalam talian, dan menerima kasih Tuhan bersama-sama. Inilah kemuliaan yang indah di rumah Tuhan.
(Jika boleh, sila minta editor seni untuk lampirkan grafik dialog antara Yesus dan iblis)
Dan segala sesuatu telah diletakkan-Nya di bawah kaki Kristus dan Dia telah diberikan-Nya kepada jemaat sebagai Kepala dari segala yang ada. Jemaat yang adalah tubuh-Nya, yaitu kepenuhan Dia, yang memenuhi semua dan segala sesuatu. (Efesus 1:22-23)
Oleh kerana Tuhan memenuhi segala sesuatu, Dia tidak terhad kepada aula gereja atau rumah. Menurut perkataan Yunani asal, “gereja” pada zaman awal (Ekklesia) bermaksud “sekumpulan orang yang dipanggil oleh Tuhan”. Oleh itu, gereja pada zaman awal semuanya berada di rumah pemercaya. Kemudian, barulah beransur-ansur mewujudkan rumah ibadat yang membolehkan lebih ramai orang berkumpul.
Sejarah telah berlaku perubahan yang menarik, dan kini ia terbalik. Kita tidak dapat berkumpul di dewan gereja buat masa ini, jadi kita mengadakan gereja di rumah – mezbah di rumah, penyembahan di rumah, dan pelayanan di rumah. Sebenarnya ini juga sangat baik, Tuhan turut bekerja dalam segala sesuatu, asalkan kita dapat mengasihi satu sama lain dalam Tuhan, tiada apa yang boleh memisahkan kita daripada kasih Tuhan.
Gereja di rumah adalah kuasa Tuhan dan panggilan Tuhan. Sekarang adalah peluang yang baik untuk membangkitkan mezbah di rumah anda! Pada zaman dahulu, tidak ada gereja, maka seluruh keluarga berkumpul bersama untuk menerima berkat. Pemercaya awal dalam Perjanjian Lama tahu bahawa harus mewujudkan hubungan dengan Tuhan, dan mezbah mesti ada. Korban terawal yang dicatatkan dalam Kejadian adalah Kain dan Habel, dan mezbah terawal yang dicatatkan adalah setelah keluarnya Nuh dari bahtera, dan ia dikenan oleh Tuhan. Dalam Kejadian fasal 9, Tuhan mengadakan perjanjian dengan Nuh, jadi mezbah adalah platform bagi Tuhan untuk mengadakan perjanjian dengan manusia dan memberkati manusia. Selepas itu, orang Israel dan mereka yang percaya kepada Tuhan juga melakukannya, terutamanya Abraham, Ishak dan Yakub, mereka menurunkannya dari generasi ke generasi, mewariskan kepercayaan melalui mezbah keluarga, di situlah Tuhan mengadakan perjanjian, serta memberi berkat dan janji kepada manusia.
Ringkasnya, dalam Perjanjian Lama, mezbah keluarga adalah satu cara untuk Tuhan mendengar doa manusia, dan cara manusia untuk menyatakan kesyukuran kepada Tuhan dan untuk menjalin hubungan. Ia pernah melalui tempoh Khemah Pertemuan, dan hingga menjadi gereja pada hari ini. Walau bagaimanapun, selepas meninggalkan aula gereja dan pulang ke rumah kita, kita juga boleh beribadah dan mempersembahkan korban di rumah. Keluarga berkumpul bersama untuk berkongsi dan menerima rahmat Tuhan melalui nyanyian kidung, berdoa, dan membaca Alkitab.
Pendidikan Adalah Sukar, Tuhan Akan Membantu
Kita sering mengatakan bahawa ibu bapa sekarang sangat susah, terutamanya semasa pandemik, apabila orang dewasa dan kanak-kanak semuanya dikurung di rumah. Ibu bapa terpaksa memainkan pelbagai peranan, termasuk menjadi ibu bapa, ketua pengawas, pekerja dapur…memang meletihkan! Ada saja masalah kanak-kanak yang tidak berkesudahan, ini menepati pepatah “kanak-kanak tidak mudah diajar”!
Zaman akhir adalah jahat. Terlalu banyak gangguan dan maklumat berbahaya membanjiri kanak-kanak. Akibatnya, moral dan nilai telah rosak. Bagaimana kita boleh menerima nilai yang betul dengan cara ini? Ini adalah saat yang kritikal. Jika ibu bapa tidak merebut peluang ini untuk membina mezbah keluarga, menggunakan firman kebenaran Tuhan untuk mengajar, dan membangunkan kuasa rohani yang Tuhan telah berikan kepada ibu bapa, kita akan kehilangan peluang dan tanggungjawab untuk mendidik dan membimbing.
Sesungguhnya, anak-anak lelaki adalah milik pusaka dari pada Tuhan, dan buah kandungan adalah suatu upah. (Mazmur 127:3)
Dalam takut akan Tuhan ada ketenteraman yang besar, bahkan ada perlindungan bagi anak-anak-Nya. (Amsal 14:26)
Disebabkan orang yang takut akan Tuhan mempunyai kebenaran dan hikmat dari Tuhan, mereka dapat memahami bahawa kepercayaan adalah sandaran mereka, dan dibimbing oleh Gembala Agung, jadi mereka mempunyai harapan. Jika dapat mendidik anak-anak dengan cara yang sesuai, mereka tidak akan menyimpang atau sesat, sebab firman Tuhan adalah pelita bagi kaki mereka dan terang bagi jalan mereka (Mazmur 119:105). Biarlah Tuhan sendiri yang mendidik, dan kesannya akan berbeza.
Kebanyakan keluarga Kristian melakukan ini: berdoa dalam hati sebelum makan dan memimpin anak-anak mereka berdoa sebelum tidur, tetapi jarang sekali seisi keluarga berkumpul untuk menyanyikan kidung pujian, membaca Alkitab, dan berkongsi firman Tuhan seperti kebaktian biasa. Perbezaan antara kebaktian di rumah dan di gereja ialah boleh melakukan interaksi dua hala, yang merupakan fungsi yang sangat baik. Oleh kerana orang Yahudi sangat mementingkan mezbah keluarga, bangsa itu telah mewarisinya kerana kehidupan mereka berakar pada Tuhan yang benar. Ternyata mezbah keluarga bukan sahaja memberi impak yang mendalam kepada individu dan keluarga, malah kepada seluruh bangsa dan negara. Oleh itu, kita harus membina mezbah keluarga dengan baik.
Sama ada mezbah keluarga, ibadah keluarga, atau perjumpaan keluarga, semuanya berdasarkan keluarga sebagai satu unit, dengan tujuan menyembah Tuhan bersama-sama. Ini adalah keluarga dengan Kristus sebagai Ketua, yang berbeza daripada perjamuan keluarga biasa, barbeku keluarga, menyanyi atau bermain mahjong. Mezbah keluarga harus sentiasa mengalu-alukan Yesus ke dalam rumah melalui nyanyian kidung, pembacaan Alkitab, kesaksian, perkongsian hidup, doa syafaat untuk satu sama lain, dan belajar untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Ini adalah pendidikan agama di rumah. Oleh itu, “takut kepada Tuhan” adalah sikap asas, tetapi bentuknya boleh tidak formal, boleh santai, tetapi mesti soleh.
Maktab Teologi Terbesar Ada Di Rumah Anda
Orang berkata: “Ia mengambil masa sepuluh tahun untuk menanam pokok dan seratus tahun untuk memupuk manusia.” Projek kerohanian memang tidak mudah, dan maktab teologi terbesar adalah di rumah setiap orang. Ibu bapa sering menyembah dan melayani Tuhan, mengajar anak-anak mereka mengenal Tuhan yang benar, dan membiarkan anak-anak mereka belajar hati yang soleh sejak kecil. Pengalaman ibu bapa adalah yang paling berharga dan nyata, dan ia secara langsung menanamkan kepercayaan dalam hati anak-anak mereka.
Ramai ibu bapa memupuk anak-anak mereka sejak kecil, menumpukan kepada akademik dan pelbagai bakat. Pemupukan bertahap tinggi menunjukkan bahawa ibu bapa menyayangi anak-anak mereka. Namun, apabila menghadapi masalah besar yang sebenar dalam hidup, tiada sumber di dunia boleh menjadi penyelamat. Apabila menghadapi krisis, yang dapat menyelamatkannya adalah pendidikan agama yang dia terima sejak kecil, dan Tuhan yang dia kenal sejak kecil, yang dapat mengubah bahaya menjadi damai sejahtera.
Seperti Yusuf yang mampu berubah dari seorang tahanan kepada seorang penguasa, mengubah rasa malu menjadi kemuliaan. Mereka yang mengenali Tuhan sejak kecil akan mempunyai sandaran yang terbaik dan asas yang terbaik sepanjang hidup mereka.
Di mezbah keluarga, ibu bapa boleh mendengar suara hati anak-anak mereka, bukannya melemparkan telefon bimbit kepada anak-anak, atau melemparkan anak-anak kepada orang lain. Dalam tempoh ini, kita meluangkan masa untuk berkomunikasi antara satu sama lain, ibu bapa boleh tahu apa sedang berlaku di sekolah, dan kedukaan mereka, supaya apabila anak-anak mempunyai konsep yang salah, ibu bapa boleh membetulkan mereka pada masanya, dan menghiburkan mereka apabila mereka berduka.
Ibu Bapa Adalah Imam Keluarga
Baru-baru ini saya mendengar sesuatu yang malang: Kanak-kanak dalam Tuhan tidak tahu bahawa sesuatu perkara itu adalah dosa dan bersalah kepada Tuhan. Jika mempunyai mezbah keluarga di rumah, anda boleh mengesan masalah lebih awal, memberikan peringatan dan bimbingan. Bukan sahaja anak-anak, ibu bapa juga boleh bercakap tentang apa yang berlaku kepada mereka, dan sikap mereka dalam menghadapi sesuatu adalah bersandar kepada Tuhan. Anak-anak juga boleh belajar sikap ibu bapa mereka dalam menghadapi sesuatu, dan tidak akan merasakan pengalaman kepercayaan mereka kosong, kerana apa yang mereka telah belajar daripada ibu bapa, adalah pengalaman sebenar yang dirasai oleh anak-anak.
Terdapat satu tindakan penting dalam kebaktian keluarga: berdoa untuk satu sama lain. Ini sangat berkesan. Saya sudi berkongsi kesulitan dan kelemahan saya melalui waktu doa. Ini juga mengatasi masalah salah faham dan kurang interaksi. Kerana dengan saling mendoakan, kita dapat mengetahui keperluan masing-masing, kerana komunikasi dapat mengurangkan salah faham, kerana melalui doa syafaat, kita dapat memahami dan bertolak ansur, dan kita menjadi lebih prihatin dan lebih memaafkan antara satu sama lain, sama ada terdapat kekurangan pada ibu bapa atau anak-anak, semuanya boleh mendapat sokongan dalam doa.
Untuk membantu anak-anak membuka pandangan rohani mereka, ibu bapa mesti memberikan teladan penting. Sama seperti umat pilihan zaman dahulu membawa korban ke mezbah, mempersembahkan korban melalui para imam, dan para imam bertindak sebagai agen untuk mengaku dosa, bertaubat, berdoa, dan bersyukur kepada Tuhan. Imam adalah sangat penting, dan ibu bapa memainkan peranan itu.
Kami memberi beberapa peringatan kepada pemercaya yang mengikuti kebaktian dalam talian, salah satunya adalah harus menyediakan hati, termasuk pakaian mereka. Ini juga tanggungjawab imam. Jangan mengikuti kebaktian dengan berseluar pendek atau berseluar dalam hanya kerana ia adalah kebaktian dalam talian. Terdapat berita sebelum ini yang menyatakan, semasa kelas dalam talian, guru sering melihat bapa berlari-lari di rumah dengan memakai seluar dalam, ini tidak sopan, apatah lagi kebaktian dalam talian. Apabila dua atau tiga orang berkumpul dalam nama Tuhan, Tuhan datang ke rumah anda. Adakah anda masih berpakaian sembarangan?
Apabila imam mempersembahkan korban, mereka memakai efod, iaitu pakaian yang paling kudus dan penuh dengan kesalehan dari dalam ke luar. Biarlah anak-anak anda melihat ibadah yang soleh, dan yang lebih penting adalah perkongsian kesaksian hidup. Pada masa lalu, hanya dari kata orang saja aku mendengar tentang Tuhan, tetapi apabila saya mendengar bahawa ibu bapa saya dalam kesusahan, mereka akan meminta pertolongan Tuhan, mereka tahu bahawa Tuhan menguasai segala-galanya, dan anak-anak akan tahu: Saya boleh berserah, dan Tuhan rela menggenapkannya. Pengalaman rohani yang sebenar tidak terletak pada orang lain, kerana pengalaman ibu bapa, anak-anak dapat mengalami Tuhan secara langsung.
Tuhanlah yang memerintah gereja di rumah. Apabila Tuhan adalah Ketua keluarga, anugerah dan berkat akan datang. Kita mesti membangkitkan gereja di rumah, dan meletakkan dasar untuk kemajuan gereja dalam kerajaan Tuhan. Menubuhkan mezbah keluarga adalah berkenan kepada Tuhan, gereja menjadi keluarga dan keluarga menjadi gereja, maka kepercayaan boleh menjadi kehidupan. Kepercayaan bukan hanya di gereja, tetapi kesaksian hidup harus masuk ke dalam rumah dan di tengah-tengah orang ramai.