PANDUAN PEMBACAAN INJIL MATIUS

PANDUAN PEMBACAAN INJIL MATIUS

(Pendeta Zhao Ming Yang)

 

PENULIS

Kitab-kitab Injil Perjanjian Baru merupakan gulungan kitab yang dicatatkan berpusatkan kisah hidup dan ajaran lisan Yesus Kristus. Pada zaman awal dahulu, orang berbicara dan berbincang tentang kisah Kristus melalui warisan lisan. Kemudian, secara beransur-ansur ia dicatatkan dalam bentuk penulisan dan menjadi “kitab Injil”. Oleh sebab penulis yang berbeza, maka tajuk kitab itu ialah nama penulisnya. “Injil Matius” merupakan gulungan kitab mengenai ajaran Kristus secara lisan dan perbuatan yang dicatatkan oleh Matius.

Walaupun kitab ini tidak menyatakan siapakah penulisnya, namun Bapa Gereja, pemimpin dan tradisi sejarah gereja zaman awal semuanya mengesahkan bahawa kitab Injil ini ditulis oleh Matius, murid Yesus Kristus. Tuntutan ini juga telah diiktiraf oleh para ilmiawan Alkitab moden.

Matius bererti “pemberian Tuhan”. Nama asalnya Lewi (bererti “bergabung”). Dia anak Alfeus dan pada asalnya merupakan pemungut cukai di Kapernaum. Ketika Tuhan Yesus memilih dan memanggil dia, dia segera melepaskan kedudukannya yang tinggi dengan gaji lumayan dan yang dikecam sebagai tidak adil, meninggalkan kegelapan lalu tegas mengikuti Tuhan (Mat 9:9-13; Mrk 2:13-17; Luk 5:27-32). Dia mencatatkan secara terperinci apa yang dilihat dan didengari semasa mengikuti Tuhan lalu menuliskannya menjadi kitab ini.

Demi memimpin kawan-kawannya berbalik kepada Tuhan, dia pernah mengumpulkan banyak pemungut cukai dan orang berdosa dan makan bersama-sama dengan Tuhan Yesus dan murid-murid-Nya. Akhirnya dia juga tersenarai sebagai salah seorang daripada kedua belas orang rasul (Mat 10:2,3).

 

SASARAN PENULISAN

Dari isi kandungannya, dapat dilihat bahawa kitab ini dituliskan untuk orang Yahudi. Pada zaman Yesus, orang Yahudi mempunyai pengaruh besar dalam agama. Penulis Matius semestinya berharap agar kawan-kawan Yahudinya dapat mengenali dan mempercayai Kristus lalu menulis kitab ini.

Selain itu, kitab ini banyak memetik ayat dari Perjanjian Lama untuk membuktikan Yesus ialah Kristus (Mesias) yang akan datang yang dinubuatkan oleh nabi. Orang Yahudi fasih tentang kitab Perjanjian Lama dan kedatangan Mesias merupakan keprihatinan orang Yahudi. Ia dipenuhi dengan warna-warni orang Yahudi. Maka kita tahu bahawa kitab ini dituliskan untuk orang Yahudi.

 

TUJUAN PENULISAN

Penulis secara khusus menggunakan kitab ini untuk membuktikan bahawa Yesus ialah Mesias yang Tuhan bakal utuskan dan Dia juga ialah Kristus yang akan datang yang dinubuatkan oleh para nabi. KedatanganNya menggenapi nubuat nabi dalam Perjanjian Lama dan menyempurnakan janji Tuhan.

 

Dari petikan ayat dari Perjanjian Lama oleh penulis, nubuat yang berkaitan dengan Mesias adalah seperti berikut:

  1. Nubuat tentang Kristus dilahirkan oleh anak dara (1:22-23; Yes 7:14)
  2. Nubuat tentang Kristus melarikan diri ke Mesir (2:15,17; Hos 11:1)
  3. Nubuat tentang Kristus memberitakan Injil di danau Galilea (4:12-16; Yes 9:1-2)
  4. Nubuat tentang Kristus menjalankan tanda mujizat dan mengubati orang (8:16-17; Yes 53:4)
  5. Nubuat tentang kuasa, keramahan dan belas kasihan Kristus (12:12-21; Yes 42:1-3)
  6. Nubuat tentang Kristus ialah raja yang adil dan damai, masuk ke Jerusalem dengan mengendarai seekor keldai (21:1-11; Za 9:9)
  7. Nubuat tentang Kristus dijual dengan harga tiga puluh wang perak (27:9; Za 11:12-13)

 

Penulis berusaha membuktikan Yesus dari Nazaret ialah Mesias yang dinantikan sekian lama oleh orang Yahudi. Atas sebab penindasan jangka panjang oleh bangsa asing, orang-orang Yahudi mengubah harapan tinggi terhadap Mesias kepada tuntutan bangsa yang kuat politik. Mereka berharap Mesias akan muncul sebagai penyelamat bangsa dan menggulingkan pemerintahan Rom, mendirikan kerajaan Daud yang kuat di bumi. Penulis cuba untuk membalikkan pandangan “Mesianik” yang salah ini supaya orang Yahudi benar-benar mengenali bayi Yesus di dalam palungan Betlehem itulah Mesias yang harus diharapkan oleh semua orang. Dialah juruselamat yang dinubuatkan oleh nabi zaman-berzaman dan yang dijanjikan oleh Tuhan. Dialah Yesus Kristus, anak Daud, anak Abraham (rujuk Yes 9:6-7). Apa yang ingin dibina oleh Mesias ialah dinasti kerajaan rohaniah.

 

MASA PENULISAN

Para ilmiawan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai masa penulisan. Namun dua petunjuk berikut dapat memastikan jangka masanya:

  1. Kitab ini banyak memetik ayat Perjanjian Lama, mensasarkan orang Yahudi dan membuktikan identiti Yesus Mesias. Maka dapat dilihat bahawa Injil telah tersebar di wilayah Yahudi yang luas pada masa itu.
  2. 24 fasal dalam kitab ini membincangkan tentang kota Yerusalem bakal dimusnahkan dengan cara bernubuat. Nampaknya, kitab ini siap ditulis pada tahun 70 M, sebelum Yerusalem dimusnahkan oleh Jeneral Titus dari Rom.

 

Berdasarkan ini, terdapat dua tempoh yang dianggap sebagai masa yang mungkin bagi pembukuan Matius iaitu antara tahun 45-50M dan antara tahun 60-70M.

 

KEISTIMEWAAN KITAB INI

  1. Kitab ini ialah gulungan kitab yang paling banyak memetik ayat Perjanjian Lama antara empat gulungan kitab Injil iaitu sebanyak 93 kali.
  2. Kitab ini juga banyak menggambarkan latar belakang budaya Yahudi malahan mengaitkan nubuat Perjanjian Lama dengan kehidupan Yesus. Khususnya fasal satu telah mencatatkan tentang silsilah Kristus, Dialah “anak Daud, anak Abraham” (1:1). Injil Matius disenaraikan di kepala Perjanjian Baru. Ia berfungsi sebagai jambatan antara Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dari segi isi kandungan dan mesej.
  3. Injil Matius menggunakan perihal silsilah, ajaran, kuasa, akhlak, pelayanan, kematian, kebangkitan dan sebagainya tentang Kristus untuk membuktikan identiti Kristus sebagai Mesias. Ini juga menggenapi janji Tuhan kepada Abraham dan Daud.
  4. Kemahiran menulis dalam kitab ini meniru lima kitab Musa. Ia juga mengandungi lima perbincangan khotbah yang penting iaitu Firman yang berkaitan dengan “kerajaan syurga”:
    • Pengajaran yang berharga di atas bukit (fasal 5-7): membincangkan tentang hukum-hukum kerajaan syurga
    • Amanat menyebarkan firman bagi rasul (fasal 10): membincangkan tentang pengisytiharan syurga
    • Perumpamaan kerajaan syurga (fasal 13): membincangkan tentang rahsia kerajaan syurga
    • Disiplin kerajaan syurga (fasal 18): membincangkan tentang kehidupan dan persekutuan kerajaan syurga
    • Penyelesaian kerajaan syurga (fasal 24-25): membincangkan tentang malapetaka akhir zaman dan penghakiman
  5. Kitab ini merupakan satu-satunya kitab antara kitab Injil yang menyebut perkataan “jemaat”. Jemaat adalah milik Kristus. Ia akan didirikan di atas batu karang. Kuasanya mengalahkan alam maut, boleh mengikat dan melepaskan (16:18-19). Jemaat / gereja dipenuhi dengan kasih dan disiplin (18:17). Ia juga membincangkan tentang ibadah persekutuan dalam jemaat / gereja (18:19) dan Tuhan menyertai jemaat / gereja (18:20).
  6. Kitab ini membincangkan tentang Kristus ialah raja kerajaan syurga
    • Yesus mempunyai identiti dalam sistem diraja. Dia anak Daud (1:1).
    • Ketika Yesus dilahirkan, orang-orang majus dari Timur datang melawat dan menyembah “raja orang Yahudi yang baru dilahirkan” (2:2).
    • Matius 17:25 mencatatkan Tuhan Yesus memberi petunjuk kepada Petrus dalam bentuk pertanyaan bahawa Kristus ialah raja.
    • Ketika memasuki kota dengan mengendarai seekor keldai, Tuhan pernah memetik Zakharia 9:9 dan berkata: “Lihat, rajamu datang kepadamu.”
    • Ketika Tuhan Yesus disalibkan, di atas kepalaNya terpasang tulisan yang menyebut: “Inilah Raja orang Yahudi”.Dari sini, nampaknya Yesus ialah raja yang dipilih dan diurapi Tuhan. Kristus ialah raja kerajaan syurga.
  1. Ayat-ayat eksklusif kitab ini: bila dibandingkan dengan kitab-kitab Injil lain, terdapat ayat-ayat yang hanya dicatatkan secara eksklusif dalam kitab ini:

A. Tanda mujizat eksklusif

    1. Yesus menyembuhkan dua orang buta di Kapernaum (9:27-31)
    2. Yesus mengusir syaitan bisu (9:32-33)
    3. Yesus menyuruh Petrus memancing dan membayar bea (17:24-27)

B. Perumpamaan eksklusif

    1. Perumpamaan tentang lalang (13:24-30, 36-43)
    2. Perumpamaan tentang harta terpendam di ladang (13:44)
    3. Perumpamaan tentang mencari mutiara (13:45-46)
    4. Perumpamaan tentang melabuhkan pukat (13:47-48)
    5. Perumpamaan tentang pengampunan (18:23-24)
    6. Perumpamaan tentang kebun anggur (20:1-16)
    7. Perumpamaan tentang dua orang anak (21:28-32)
    8. Perumpamaan tentang perjamuan kahwin (22:1-14)
    9. Perumpamaan tentang sepuluh gadia (25:1-13)
    10. Perumpamaan tentang pembahagian talenta (25:14-30)”

C. Peristiwa penting eksklusif

    1. Malaikat nampak kepada Yusuf (1:18-25)
    2. Orang-orang majus melawat dan menyembah Yesus (2:1-12)
    3. Bayi Yesus melarikan diri ke Mesir (2:13-15)
    4. Herodes membunuh bayi-bayi lelaki (2:16-18)
    5. Yesus menyembuhkan penyakit, menggenapi nubuat Yesaya (8:16-17; Yes 53:4)
    6. Yesus mendirikan jemaatNya di atas batu karang ini (16:15-20)
    7. Yesus memasuki kota Yerusalem dengan mengendarai seekor keldai menggenapi nubuat nabi (21:4-5; Za 9:9)
    8. Yudas membunuh diri (27:3-9)
    9. Isteri Pilatus menderita dalam mimpi (27:19)
    10. Ketika Yesus mati, orang kudus bangkit (27:52)
    11. Pilatus mengutus penjaga untuk menjaga kubur Yesus (27:62-66)
    12. Memberi rasuah kepada serdadu-serdadu yang menjaga kubur untuk menyebarkan khabar angin (28:12-15)

 

PEMBAHAGIAN GARIS KASAR KITAB INI

  1. Pembahagian berdasarkan masa bekerja dan kawasan geografi

A. Pembahagian masa

    1. Dari masa dilahirkan sehingga mengalahkan cobaan (1:1 – 4:11), kedatangan dan persediaan Mesias.
    2. Dari masa memberitakan Injil sehingga minggu yang terakhir (4:12 – 20:34), kerja penginjilan Mesias.
    3. Dari minggu yang terakhir sehingga bangkit (21 – 28:20), kemenangan Mesias.

B. Pembahagian kawasan geografi

    1. Di kampung halaman (1:1 – 4:11)
    2. Di Galilea (4:12 – 18:35)
    3. Di Yerusalem (19 – 28)
  1. Pembahagian berdasarkan identiti dan kerja Mesias

A. Kelahiran dan persediaan Mesias (1 – 4)

    1. Kelahiran Mesias (1)
    2. Zaman kanak-kanak Mesias (2)
    3. Pembaptisan Mesias (3)
    4. Mesias dicobai (4:1-11)
    5. Mesias memilih dan memanggil empat murid (4:12-25)

B. Injil Mesias (5 – 13:52)

    1. Injil kerajaan syurga (5:1-16)
    2. Hukum Taurat kerajaan syurga (5:17 – 7)
    3. Kuasa kerajaan syurga (8 – 9)
    4. Amanat kerajaan syurga (10)
    5. Orang yang memasuki kerajaan syurga (11)
    6. Musuh kerajaan syurga (12)
    7. Rahsia kerajaan syurga (13)

C. Kehidupan persaraan Mesias (13:53 – 18)

    1. Mujizat mengenyangkan lima ribu orang (13:53 – 14:36)
    2. Mujizat mengenyangkan empat ribu orang (15:1-39)
    3. Cobaan dan ragi orang-orang Farisi dan Saduki (16:1-12)
    4. Petrus mengakui Yesus sebagai Kristus (16:13-28)
    5. Mesias naik ke atas gunung dan berubah rupa (17:1-13)
    6. Pengajaran Mesias kepada murid (17:14 – 18:35)

D. Penyelesaian kerja Mesias (19 – 28)

    1. Pengajaran Mesias (19:1 – 20:34)
    2. Mesias memasuki kota dengan mengendarai seekor keldai (21:1-11)
    3. Perlawanan antara Mesias dan musuh (21:12 – 23)
    4. Mesias mati terkorban (26 – 27)
    5. Kemenangan Mesias (28)