KEPERCAYAAN ASAS GEREJA
(Pendeta Xie Xi Hai)
Pada zaman rasul, gereja dapat berkembang dengan pesat walaupun berada dalam keadaan yang sukar kerana tanda-tanda mujizat yang nyata dan kesaksian-kesaksian pemercaya secara aktif. Namun disebabkan kekurangan pekerja, terdapat banyak orang dari pelbagai bangsa yang masih tidak dapat menghapuskan konsep sedia ada sepenuhnya walaupun telah menerima anugerah keselamatan Tuhan. Ini menyebabkan timbulnya banyak ajaran sesat dalam hujung zaman gereja rasul dan akhirnya Roh Kudus berhenti dicurahkan. Pada masa kini, walaupun percaya dan beribadah kepada Tuhan Yesus, namun terdapat ratusan mazhab yang berbeza. Gereja ini (Gereja Yesus Benar) dibangunkan di bawah kasih karunia dan perlindungan Tuhan, ada penyertaan Roh Kudus, ada kesaksian tanda-tanda mujizat dan menerima tanggungjawab yang berat lagi besar untuk memulihkan kembali gereja zaman rasul. Sememangnya kita menerima sepenuhnya Kebenaran Alkitab, namun untuk membuatkan manusia memahami dengan jelas Kebenaran utama pegangan gereja, maka Kebenaran yang penting diringkaskan berdasarkan Alkitab dan digelar sebagai “Kepercayaan Asas”. Gereja bukan sahaja berharap dapat membuatkan pemercaya mengetahui dan mendirikan asas iman mereka, tetapi juga berharap agar lebih ramai orang yang akan maju dan menerima anugerah keselamatan yang sempurna kerana mengkaji dengan teliti. Berikut merupakan ringkasan kepercayaan asas ini:
- “Percaya bahawa Yesus ialah Firman yang menjadi manusia, mati di atas kayu salib sebagai pengganti demi menyelamatkan orang-orang yang berdosa, bangkit pada hari ketiga dan terangkat ke syurga; Dia Juruselamat tunggal bagi umat manusia, Penguasa ke atas langit dan bumi, Tuhan yang esa.”
Tuhan Yesus merupakan Tuhan yang esa di syurga. Dia yang mencipta dan menguruskan langit, bumi serta segala isinya, Dia berkuasa sepenuhnya ke atas manusia. Tidak ada tuhan yang lain selain Dia (Yes 45:18). Selepas nenek moyang manusia berdosa, manusia dikawal dan ditutupi oleh dosa. Manusia tidak dapat mengenali Tuhan yang di syurga. Walaupun mempunyai hati yang menyembah kepada Tuhan, namun manusia sebaliknya menciptakan banyak berhala (rujuk Rm 1:21-23). Manusia juga tidak dapat menyelamatkan diri sendiri melalui perbuatan sendiri. Oleh itu, untuk menyelamatkan umat manusia, Tuhan Yesus sendiri dilahirkan dari syurga; “telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia.” (Flp 2:7); mengesahkan identitiNya yang terhormat melalui tanda-tanda mujizat yang dilakukanNya; menjelaskan Injl kerajaan syurga supaya manusia benar-benar mengenali Tuhan. Akhir sekali, untuk memenuhi keadilanNya, untuk menanggung dosa manusia, Dia mati di atas kayu salib, menunjukkan kasih agung Tuhan (Rm 5:8), memotivasikan iman manusia (Rm 8:31-34), dan memusnahkan Iblis, yang berkuasa atas maut (Ibr 2:14). Namun Dia tidak dikawal oleh dosa. Pada hari ketiga, Dia bangkit dari antara orang mati dan mengesahkan kuasa agung Tuhan (Ef 1:20). Dia juga menampakkan diri kepada para rasul dan mengamanahkan mereka dengan tugas memberitakan Injil keselamatan. Selepas empat puluh hari, Dia terangkat ke syurga disaksikan oleh para rasul (Kis 1:9). Tuhan Yesus telah membuka jalan yang baru dan yang hidup untuk manusia, seperti yang dikatakanNya: “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.” (Yoh 14:6). Oleh itu, kita harus menerima kesaksian para rasul dengan rendah hati: “Dan keselamatan tidak ada di dalam siapapun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan.” (Kis 4:12). Peganglah janjiNya, pertahankanlah KebenaranNya, sembahlah Dia dalam hati yang benar, tidak meninggalkanNya untuk selama-lamanya (Yoh 4:24).
- “Percaya bahawa Alkitab Perjanjian Lama dan Baru diilhamkan oleh Tuhan, merupakan satu-satunya kitab klasik yang membuktikan Firman Kebenaran.”
Keseluruhan Alkitab dibahagikan kepada Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dengan kelahiran Tuhan sebagai garis pemisah. Melihat dari sejarah manusia, dari gulungan kitab pertama dalam Perjanjian Lama iaitu “Kejadian” (dituliskan kira-kira pada tahun 1400SM) hingga ke gulungan terakhir dalam Perjanjian Baru iaitu Wahyu (dituliskan kira-kira pada tahun 90M), jarak masa di antaranya adalah lebih daripada dua ribu tahun. Jumlah penulis pula melebihi empat puluh orang. Ada yang merupakan raja sesebuah negara atau pemimpin, contohnya Salomo, Musa; ada yang menjadi petani, contohnya Amos (Am 7:14); ada doktor (tabib), contohnya Lukas (Kol 4:14). Semuanya berada dalam zaman yang berlainan dengan latar belakang yang berbeza. Namun kesemua 66 gulungan ini adalah konsisten, saling melengkapi dan mengesahkan, seolah-olah Ia ditulis oleh orang yang sama. Jika bukan ada pimpinan daripada mahakuasa yang tiada permulaan dan tiada penghujung serta yang berkuasa ke atas segalanya, Ia tidak akan menjadi sempurna seperti ini. Ini mengesahkan: “Segala tulisan yang diilhamkan Allah.” (2 Tim 3:16). Pekerja-pekerjaNya, bahkan Dia sendiri datang ke dunia, bersama-sama memberitakan dan menyebarkan tentang kehendak, perbuatan, hukum Taurat dan pengajaran Tuhan. Melalui kisah-kisah dan nubuat-nubuat yang dicatatkan oleh pekerja zaman-berzaman, orang-orang yang sudi datang mengkaji dengan rendah hati dapat mengenali Tuhan, percaya dan bersandar kepadaNya, taat kepadaNya dan memberitakanNya. Walaupun 66 gulungan kitab dalam Alkitab merupakan perbandingan, perbincangan dan penyelidikan sejarah bagi ramai orang di zaman-zaman yang berbeza lalu akhirnya disusun, namun Tuhan menyatakan perkataanNya kepada hambaNya untuk dicatatkan pada setiap zaman tersebut. Semestinya, Dia juga pasti memimpin editor tersebut secara sembunyi untuk menggabungkannya menjadi sebuah kitab klasik yang lengkap dan menjadi kesaksianNya yang tunggal. Maka, kita percaya bahawa “Alkitab” merupakan perkataan Tuhan yang tunggal. Selain 66 gulungan kitab ini, walaupun terdapat karya-karya lain atau hasil tafsiran manusia, namun ianya mestilah menjadikan Kebenaran dalam Alkitab sebagai satu-satunya dasar pertimbangan. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Janganlah kamu menambahi apa yang kuperintahkan kepadamu dan janganlah kamu menguranginya.” (Ul 4:2; Why 22:18-19). Kebenaran dalam Alkitab merupakan piawaian tertinggi dalam iman kepercayaan dan tindakan kita. Tidak kira bagaimana zaman dan persekitaran berubah, prinsip Kebenaran selamanya tidak berubah, dan janji Tuhan tidak ada yang tidak dipenuhi kerana Tuhan berkata: “Langit dan bumi akan berlalu, tetapi perkataan-Ku tidak akan berlalu.” (Mat 24:35). Kita harus rajin berusaha dalam Firman, selalu menyimpan Kebenaran dalam hati (Kol 3:16) supaya ia menjadi kekuatan untuk mengharapkan kedatangan semula Tuhan.
- “Percaya bahawa gereja diasaskan oleh Roh Kudus hujan akhir demi memulihkan kembali gereja benar gereja rasul.”
Pada hujung zaman rasul, ajaran sesat dan pemikiran manusia mencerobohi gereja lalu menyebabkan Roh Kudus berhenti dicurahkan. Namun Tuhan tidak akan melepaskan rancangan penyelamatan dan penebusanNya. Nubuat nabi: “Hai bani Sion, bersorak-soraklah dan bersukacitalah karena Tuhan, Allahmu! Sebab telah diberikan-Nya kepadamu hujan pada awal musim dengan adilnya, dan diturunkan-Nya kepadamu hujan, hujan pada awal (hujan awal, untuk kegunaan menyemai benih) dan hujan pada akhir musim (hujan akhir, untuk kegunaan menuai) seperti dahulu.” (Yl 2:23). Dorongan nabi: “Mintalah hujan dari pada TUHAN pada akhir musim semi! Tuhanlah yang membuat awan-awan pembawa hujan deras, dan hujan lebat akan diberikannya kepada mereka dan tumbuh-tumbuhan di padang kepada setiap orang.” (Za 10:1). Dengan kasihNya, Tuhan sekali lagi mencurahkan Roh Kudus (hujan akhir). Pada tahun 1917, Gereja Yesus Benar ditubuhkan secara rasminya di Beiping, China. Melalui pekerja-pekerjaNya yang terpilih, walaupun tidak mempunyai kekuatan kewangan, pendidikan dan kuasa, namun oleh sebab tanda-tanda mujizat dinyatakan, Gereja Yesus Benar disebarkan ke merata tempat dengan pantas dan memimpin ramai orang menerima anugerah keselamatanNya. Pada masa kini, secara puratanya di setiap benua terdapat tempat-tempat yang mewarisi amanat agung gereja rasul (rujuk Kis 1:8). Gereja ini sangat dikasihi oleh Tuhan, dan kebenaran Alkitab dapat ditegakkan dengan iman yang murni, diterima sepenuhnya, dan dikecualikan daripada semua perbuatan dan penjelasan manusia. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bersyukur, hidup dalam kerendahan hati, berjaga-jaga, mempunyai iman yang kukuh untuk mewarisi semangat kerja para rasul dan pekerja terdahulu. Dengan kuasa Roh Kudus, bagi aspek dalaman, dapat saling mengasihi, melayani dan membinanya menjadi pengantin perempuan yang berhias; bagi aspek luaran pula, memberi kesaksian dengan berani, memperbetulkan kelemahan gereja mazhab lain supaya kerajaan Tuhan dapat diperluaskan, Injil diberitakan di seluruh dunia, menyongsong kedatangan semula Tuhan dan bersama-sama memuji kemuliaan Tuhan.
- “Percaya bahawa baptisan air ialah upacara untuk pengampunan dosa dan kelahiran semula, harus dijalankan oleh orang yang telah menerima kedua-dua baptisan air dan Roh, membaptis dalam air hidup dalam nama Tuhan Yesus, dan orang yang dibaptis perlu menundukkan kepala dan seluruh tubuh ditenggalami air.”
Selepas Tuhan Yesus bangkit dari antara orang mati dan sebelum terangkat ke syurga, Dia pernah berpesan kepada murid-muridnya dengan kuasa yang diperolehiNya: “Karena itu pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus.” (Mat 28:19). Maka pada hari ini, kita percaya dan harus sepenuhnya mengikuti tindakan para rasul. Diri kita sendiri perlu terlebih dahulu menerima Sakramen Pembaptisan yang bersesuaian dengan Alkitab. Terima baptisan oleh penguasa yang telah menerima pengesahan Roh Kudus, dijalankan dalam nama Tuhan Yesus (Kis 2:38), mencontohi Tuhan Yesus yang seluruh tubuh ditenggelamkan ke dalam air (Mat 3:16; Kis 8:38-39) dan dengan cara menundukkan kepala (Yoh 19:30; Rm 6:5) serta dijalankan di dalam sumber air yang hidup. Baptisan dijalankan bagi orang yang mahu percaya bahawa Tuhan Yesus merupakan juruselamat tunggal untuk pengampunan dosanya sepenuhnya (Kis 2:38).
- “Percaya bahawa Roh Kudus ialah jaminan bagian kerajaan syurga, dan berbahasa roh ialah bukti nyata penerimaan Roh Kudus.”
Selepas Tuhan Yesus bangkit dan terangkat ke syurga, rasul-rasul berbuat seperti yang diperintahkan oleh Tuhan iaitu menantikan pencurahan Roh Kudus dengan berdoa. Pada hari Pentakosta, Roh Kudus yang dijanjikan diturunkan ke atas mereka, mereka berkata-kata dalam “bahasa-bahasa lain” atau digelar sebagai “bahasa lidah yang pelik” atau juga digelar sebagai bahasa roh (Kis 2:1-4). Hanya orang-orang soleh yang digerakkan oleh Tuhan sahaja yang dapat memahami ertinya (Kis 2:8-13). Oleh itu, ia digelar sebagai “bahasa roh”. Kemudian, para rasul menggunakan pengalaman sendiri untuk menjadi dasar dalam menilai bahawa orang banyak mendapat Roh Kudus (Kis 10:44-48). Mereka juga menegaskan bahawa “Roh Kudus itu adalah jaminan bagian kita.”( Ef 1:14). Pada hari ini, kita percaya bahawa pengalaman zaman rasul juga akan dinyatakan di atas orang yang percaya sepenuhnya bagi membuktikan mereka ialah milik Kristus (Rm 8:9).
- “Percaya bahawa Sakramen Pembasuhan Kaki adalah mendapat bagian dalam Tuhan, upacara yang mengajar tentang saling mengasihi, kekudusan, kerendahan hati, pelayanan dan mengampuni. Setiap orang yang terima baptisan air perlu diberikan satu kali pembasuhan kaki dalam nama Tuhan Yesus. Saling membasuh kaki boleh dilaksanakan bila-bila perlu.”
Perihal berkenaan Tuhan Yesus membasuh kaki murid-murid semasa mereka makan perjamuan malam yang terakhir hanya dicatatkan dalam Injil Yohanes fasal 13. Tidak ada catatan lain tentangnya dalam kitab-kitab Perjanjian Baru yang lain. Namun dari perbualan antara Tuhan dan Petrus (Yoh 13:8), dapat diketahui bahawa ini bukanlah adat basuh kaki orang Yahudi melainkan mempunyai kaitan rapat dengan keselamatan (mendapat bagian dalam Tuhan). Oleh itu, gereja menegakkan perintah Tuhan Yesus dalam kuasaNya: “sebab Aku telah memberikan suatu teladan kepada kamu, supaya kamu juga berbuat sama seperti yang telah Kuperbuat kepadamu.” (Yoh 13:15), mempertahankan dan melaksanakannya dengan membasuh kaki semua orang yang dibaptis dengan air untuk satu kali. Pengajaran Kebenaran dalam Sakramen Pembasuhan Kaki harus dipraktikkan dalam kehidupan untuk memuliakan nama Tuhan.
- “Percaya bahawa Sakramen Perjamuan Kudus adalah untuk memperingati kematian Tuhan, upacara untuk sama-sama menerima daging dan darah Tuhan, mengikatkan diri pada Tuhan, boleh mendapat hidup kekal dan bangkit pada hari kiamat. Harus selalu dijalankan, tetapi mesti menggunakan satu roti tidak beragi dan hasil pokok anggur.”
Semasa jamuan malam yang terakhir (perjamuan Paskah, harus hapuskan segala ragi pada masa ini), Tuhan Yesus mengasaskan Perjamuan Kudus dan berpesan kepada murid-murid untuk melakukannya sedemikian (Luk 22:19). Kemudian, setelah Paulus percaya kepada Tuhan, dengan apa yang diterimanya daripada Tuhan (1 Kor 11:23), dia dengan tegasnya memperingatkan jemaat di Korintus supaya mengadakan Perjamuan Kudus secara serius dan bersungguh-sungguh. Pada hari ini, dengan tekad hati yang murni, kita percaya Kebenaran yang dinyatakan dalam Perjamuan Kudus, bahkan semuanya adalah menurut catatan Alkitab, dengan menggunakan satu roti tidak beragi dan secerek hasil pokok anggur (1 Kor 10:16-17). Ia tidak diubah sesuka hati menurut pemikiran manusia. Dengan itu, pastinya dapat terima apa yang dijanjikan oleh Tuhan, “Barangsiapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku, ia tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia.” (Yoh 6:56).
- “Percaya bahawa hari Sabat (hari Sabtu) merupakan hari kudus yang diberkati Tuhan. Namun harus memperingati anugerah penciptaan dan penyelamatan dalam kasih karunia di samping memegangnya dengan mengharapkan istirahat yang kekal pada masa akan datang.”
Tuhan di syurga menciptakan langit, bumi dan segala isinya dalam masa enam hari, “berhentilah Ia pada hari ketujuh dari segala pekerjaan yang telah dibuat-Nya itu. Lalu Allah memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya.” (Kej 2:2-3). Tuhan sebenarnya tidak memerlukan rehat namun Dia menguduskan hari ketujuh. Kemudian, Dia memberikannya kepada orang Israel (Kel 16:23) malah dimaktubkan sebagai salah satu hukum dalam Sepuluh Hukum (Kel 20:8) dan menjadi peringatan di antara Tuhan dan umat pilihan (Yeh 20:12). Oleh itu, Tuhan Yesus menegaskan dengan berkata: “Hari Sabat diadakan untuk manusia dan bukan manusia untuk hari Sabat.” (Mrk 2:27). Nampaknya hari Sabat ialah hari yang dibezakan dan diberkati Tuhan. Ia merupakan hari kasih karunia yang Tuhan berikan kepada orang-orang yang sudi takut akan Dia. Oleh itu, tidak kira Tuhan Yesus atau para rasul, semuanya memegang hari tersebut dengan hati yang sukacita dan ianya tidak berubah (Luk 4:16; Kis 17:2). Hari Sabat ialah hari Sabtu. Maka, gereja mengikut teladan Tuhan, dengan hati yang menerima kasih karunia Tuhan, bukti dan sukacita, kita memperingati dan memegang hari Sabat. Kita berkumpul pada hari tersebut untuk bersama-sama beribadah kepada Tuhan, menikmati istirahat untuk keseluruhan tubuh dan lebih-lebih lagi mengharapkan istirahat yang kekal pada masa kelak (Ibr 4:9-11).
- “Percaya bahawa diselamatkan oleh iman kerana kasih karunia. Namun harus bersandar kepada Roh Kudus untuk mengejar kekudusan, mempraktikkan pengajaran tentang takut akan Tuhan dan mengasihi manusia.”
Semasa Adam dan Hawa diciptakan, Tuhan memberi kuasa kepada mereka untuk “taklukkanlah itu, berkuasalah atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas segala binatang yang merayap di bumi.” (Kej 1:28). Sebaik sahaja mereka berdosa membelakangi perintah Tuhan, mereka bukan sahaja dihalau dari taman Eden, bahkan jauh dari hadapan Tuhan. Kuasa mereka juga telah jatuh ke dalam tangan Iblis (rujuk Luk 4:6). Dosa masuk ke dalam dunia (Rm 5:12) dan mengawal dunia. Oleh itu, walaupun manusia yang datang ke dalam dunia ini mempunyai niat hati untuk mengejar destinasi hujung yang indah bagi jiwa rohani melalui kebajikan, amalan dan kebijaksanaan manusia, namun mereka rata-rata tidak dapat melepaskan diri sepenuhnya daripada kawalan dosa dan mencapai tahap dibenarkan oleh Tuhan. Manusia tidak dapat menyelamatkan diri sendiri. Kini, Kristus Yesus telah ditentukan Allah menjadi jalan pendamaian (Rm 3:25). Melalui darahNya yang bernilai yang dialirkan, Dia menyucikan dosa manusia supaya manusia dapat dibenarkan dengan cuma-cuma, datang kepada Tuhan dan berdamai denganNya (Kol 1:20). Oleh itu, kita harus percaya maka akan dapat menerima kasih karunia Dia di samping mendapat hidup yang baru supaya kita tidak lagi hidup di bawah dosa dan hukum Taurat tetapi di bawah kasih karunia (Rm 6:14). Tambahan pula, Tuhan mencurahkan Roh Kudus untuk diam di dalam orang-orang yang percaya dan bersandar kepadaNya bagi menolong mereka. Walaupun masih hidup dalam dunia dan darah daging, tetapi tidak lagi memikirkan hal-hal yang dari daging, sebaliknya memikirkan hal-hal yang dari Roh (Rm 8:5), serahkan diri sendiri menjadi hamba kebenaran, bertumbuh di dalam segala hal, bukan sahaja terus-menerus diperbaharui, menyatakan rupa Tuhan di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya (Ef 4:24), malahan anggota-anggota saling membantu dan saling mengasihi, bersambung rapat, mendirikan tubuh (jemaat) yang kuat dan memuliakan nama Tuhan.
- “Percaya bahawa Tuhan Yesus pasti datang dari syurga pada hari kiamat dunia untuk menghakimi seluruh bangsa, orang benar mendapat hidup yang kekal, orang yang jahat mendapat seksaan yang kekal.”
Kita percaya dan bersandar kepada Tuhan Yesus serta menjalani kehidupan yang takut akan Tuhan dan mengasihi manusia. Kita bukan sahaja dapat merasai pimpinan, pertolongan dan penghiburan Dia dalam apa jua persekitaran pada hari ini, apa yang lebih penting ialah mendapat “suatu bagian yang tidak dapat binasa, yang tidak dapat cemar dan yang tidak dapat layu, yang tersimpan di sorga bagi kamu.” (1 Ptr 1:4). Pengharapan ini benar kerana adanya Tuhan Yesus yang mengumumkan dengan jelas: “Di rumah Bapa-Ku banyak tempat tinggal. Jika tidak demikian, tentu Aku mengatakannya kepadamu. Sebab Aku pergi ke situ untuk menyediakan tempat bagimu. Dan apabila Aku telah pergi ke situ dan telah menyediakan tempat bagimu, Aku akan datang kembali dan membawa kamu ke tempat-Ku.” (Yoh 14:2-3). Tambahan pula, Tuhan Yesus terangkat ke syurga disaksikan para rasul, malaikat mengumumkan: “Yesus ini, yang terangkat ke sorga meninggalkan kamu, akan datang kembali dengan cara yang sama seperti kamu melihat Dia naik ke sorga.” (Kis 1:11). Ada pula Roh Kudus yang diberikan oleh Tuhan Yesus yang memberi kesaksian kepada kita: “Dan Roh Kudus itu adalah jaminan bagian kita sampai kita memperoleh seluruhnya, yaitu penebusan yang menjadikan kita milik Allah, untuk memuji kemuliaan-Nya.” (Ef 1:14). Pengharapan ini pasti menjadi kenyataan masa Tuhan datang semula pada hari kiamat dunia. Kita juga tahu bahawa apabila Tuhan memimpin malaikat-malaikat datang semula dalam segala kemuliaan, Dia pasti akan menghakimi semua bangsa. Barangsiapa yang takut akan Tuhan dan mengasihi manusia, setia sampai mati serta mempertahankan kepercayaan yang betul, Dia akan mengaruniai mereka mahkota kebenaran (rujuk 2 Tim 4:8). Barangsiapa yang tegar tidak bertaubat, melakukan kejahatan dan menolak Tuhan, mereka akan dilemparkan ke dalam lautan api untuk menerima hukuman yang kekal (Why 20:15). Oleh yang demikian, pada hari ini, kita yang berada dalam zaman Tuhan Yesus bersabar, haruslah senantiasa berjaga-jaga, dengan kelemahlembutan dan kerendahan hati terima ajaran Kebenaran, pohon Roh Kudus memenuhi dan menggerakkan hati kita supaya kedapatan tak bercacat dan tak bernoda di hadapan-Nya (2 Ptr 3:14) lalu akhirnya dengan penuh keberanian berdiri di hadapan penghakiman kasih karunia untuk menerima ganjaran kemuliaan Tuhan.