SIFAT JEMAAT
(Pendeta Tian Hui Huang)
PENGENALAN
Perkataan jemaat dalam Perjanjian Baru pertama kali muncul dalam Matius 16:18 dan diucapkan oleh Tuhan Yesus. Perkataan ekklesia dalam bahasa Yunani bermaksud perkumpulan (Kis 7:38, 19:32,41). Perkataan ini berasal daripada ekkaleoo yang bermaksud “Saya memanggil (I call out). Maka, jemaat Tuhan ialah orang-orang yang diperoleh-Nya (ditebus) dengan darah Anak-Nya sendiri untuk membentuk persekutuan atau kumpulan rohani (Kis 20:28; 1 Kor 6:20, Why 5:9). Oleh itu, ada dua pemahaman penting tentang kehidupan persekutuan jemaat: satu ialah kehidupan persekutuan sesama seiman (Kis 2:42); manakala yang lain ialah kehidupan persekutuan dengan Tuhan (1 Yoh 1:3). Apa yang dibincangkannya mengenai sifat jemaat?
A. JEMAAT ADALAH MILIK KRISTUS
Ketika Paulus menulis kepada jemaat Korintus, dia secara khusus berkata: “mereka yang dikuduskan dalam Kristus Yesus dan yang dipanggil menjadi orang-orang kudus, dengan semua orang di segala tempat, yang berseru kepada nama Tuhan kita Yesus Kristus,…” (1 Kor 1:2; 2 Kor 1:1). Ayat ini menyatakan hubungan rahsia jemaat adalah milik Kristus, dan hubungan ini adalah sangat penting. Selain itu, terdapat beberapa istilah penting seperti “semua jemaat Kristus” (Rm 16:16), “jemaat yang di dalam Allah Bapa dan di dalam Tuhan Yesus Kristus” (1 Tes 1:1), dan “jemaat-jemaat di dalam Kristus Yesus” (1 Tes 2:14). Semuanya menunjukkan bahawa jemaat terbentuk dalam Kristus dan merupakan kumpulan milik Tuhan, bukan kumpulan yang dimiliki secara peribadi oleh seseorang atau alat untuk mencari keuntungan dan pertengkaran. Oleh itu, Kristus menjadi Kepala (Ef 1:22) dan Raja (Why 22:3-4) jemaat, manakala pemercaya disebut domba-domba Kristus atau kawanan domba Tuhan (Yoh 21:15; 1 Ptr 5:2) . Dari perspektif rohani, apakah hubungan spesifik antara jemaat dengan Kristus?
- Jemaat ialah tubuh Kristus
Dalam kitab Efesus, ada disebutkan bahawa jemaat ialah tubuh-Nya dan Dia ialah kepala tubuh (Ef 1:20-23; Kol 1:18). Namun, pemercaya ialah anggota tubuh Kristus. “Dari pada-Nyalah seluruh tubuh, – yang rapi tersusun dan diikat menjadi satu oleh pelayanan semua bagiannya, sesuai dengan kadar pekerjaan tiap-tiap anggota – menerima pertumbuhannya …” (Ef 4:16). Jadi kita merupakan anggota tubuh-Nya (Ef 5:30; 1 Kor 6:15). Maka Paulus berkata: “Kamu semua adalah tubuh Kristus dan kamu masing-masing adalah anggotanya.” (1 Kor 12:27).
- Jemaat ialah isteri Kristus
Paulus membicarakan hubungan antara Kristus dengan jemaat daripada hubungan dan kewajipan antara suami dengan isteri, iaitu Kristus ialah kepala jemaat dan Dialah yang menyelamatkan jemaat (Ef 5:22-32). Kristus mengasihi jemaat (isteri) dan telah menyerahkan diri-Nya baginya. Jadi jemaat harus berhias bagaikan pengantin perempuan yang berdandan untuk suaminya (Ef 5:25; Why 21:2).
- Dasar jemaat ialah Kristus
Anugerah keselamatan dan ajaran-ajaran Kristus serta kerja-kerja dan ajaran-ajaran para rasul dan para nabi merupakan dasar penting pembangunan jemaat (Ef 2:20; Mat 16:15-19). Rasul Paulus juga dengan jelas mengajarkan bahawa kita membangun atau bekerja di atas dasar yang diletakkan oleh Yesus Kristus (1 Kor 3:10-11). Jadi jemaat harus mahir dan berhati-hati semasa bekerja di atas dasar Kristus.
B. JEMAAT IALAH BAIT TUHAN
Kitab Ulangan 12:5-14 secara jelas menyebut bahawa umat harus mempersembahkan korban dan mencari Tuhan di tempat yang dipilih oleh Tuhan sebagai kediaman-Nya untuk menegakkan nama-Nya di sana. Kini, dengan adanya anugerah keselamatan Tuhan Yesus Kristus, kita bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi anggota-anggota keluarga Tuhan, iaitu jemaat, seiman dan anggota tubuh. Oleh itu, “Di dalam Dia tumbuh seluruh bangunan, rapi tersusun, menjadi bait Allah yng kudus, di dalam Tuhan.” (Ef 2:19-21). Jemaat ialah bait Tuhan merupakan salah satu ciri penting jemaat. Mengapa kita berkata demikian?
- Ada Roh Tuhan yang mendiaminya
Kitab Efesus 2:22 berbincang tentang penyertaan Roh Kudus Tuhan di dalam bait Tuhan. Oleh itu, jemaat tanpa Roh Kudus ialah jemaat yang bukan milik Tuhan. Kitab Roma 8:9 mencatatkan: “Tetapi jika orang tidak memiliki Roh Kristus, ia bukan milik Kristus.” Hakikatnya, sebagaimana keadaanya dengan semua orang, demikianlah juga keadaannya bagi jemaat.
- Jemaat ada kuasa pengampunan dosa dan penghakiman
Ketika berada dalam tubuh daging, Tuhan Kristus pernah berkata kepada murid-murid-Nya: “… di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaat-Ku dan alam maut tidak akan menguasainya.” “Batu karang” ini merujuk kepada Yesus Kristus (1 Kor 10:4). Kemudian, Dia membicarakan persoalan mengikat dan melepaskan. Hanya jemaat Tuhan yang ada kuasa untuk melaksanakan kerja anugerah keselamatan Tuhan.
- Kita ialah bait Tuhan yang hidup
Ketika menasihati jemaat Korintus, Paulus membuat sempadan yang sangat jelas bagi firman penting tentang anak-anak Tuhan jangan bersekutu dengan kejahatan (2 Kor fasal 4 – 6). Antaranya, ada satu kata kunci yang sangat penting, iaitu, “kita adalah bait dari Allah yang hidup”. Oleh itu, kitab 1 Korintus 3:16-17 menyatakan bahawa bait ini ialah kita, iaitu merujuk kepada orang yang telah beroleh anugerah penyelamatan dan penebusan.
C. JEMAAT IALAH TIANG PENOPANG DAN DASAR KEBENARAN
Ketika menulis surat penggembalaan, rasul khasnya berkata dalam kitab 1 Timotius 3:15 bahawa jemaat Tuhan yang hidup ialah tiang penopang dan dasar kebenaran. Oleh itu, dengan prinsip penggembalaan yang penting ini, tidak sukar untuk mengetahui bahawa terdapat dua kesimpulan dalam kitab 1 Timotius:
- Fasal 1 – 3: Bagaimana orangharus hidup sebagai keluarga Tuhan?
- Fasal 4 – 6:Bagaimana menjadi pekerja yang baik di rumah Tuhan?
Antaranya, prinsip panduan kehidupan jemaat yang paling jelas ialah kebenaran Tuhan, iaitu perkataan-perkataan yang diilhamkan oleh Tuhan. Namun, teori anugerah keselamatan Tuhan akan dinyatakan melalui jemaat supaya diketahui oleh manusia. Oleh itu, “kami tidak dapat berbuat apa-apa melawan kebenaran; yang dapat kami perbuat ialah untuk kebenaran.” Kita juga memberitakan kebenaran (2 Kor 13:8; 1 Ptr 2:9) di samping bertanding dalam pertandingan iman yang benar supaya jemaat dapat mengikrarkan ikrar yang benar.
PENUTUP
Seperti yang disebutkan di atas, sifat jemaat di dalam Tuhan adalah abadi, mutlak, dalaman dan sempurna. Hal ini kerana kerajaan Tuhan terdiri daripada semua perbuatan kasih karunia, kuasa dan belas kasihan-Nya (1 Kor 2:1-5). Kebenaran iman kepercayaan ini tidak dapat diragui (Rm 14:17).