ANTARA PERCAYA DENGAN TIDAK PERCAYA
(Saudara Xu Shi Hui)
A. PRESTASI KEYAKINAN
Keyakinan sedikit sebanyak diperlukan dalam semua tindakan umat manusia tidak kira besar atau kecil. Ketika berada di persimpangan jalan, saya percaya bahawa orang lain juga akan mematuhi tanda-tanda di jalan raya, maka saya bersedia untuk menunggu di lampu merah. Apabila lampu bertukar hijau, saya tidak perlu terlalu risau dan boleh menekan pedal minyak untuk menyimpang jalan. Walau bagaimanapun, kita tidak mempunyai keyakinan 100% kerana sebilangan orang tidak boleh dipercayai dan mereka akan melanggar lampu merah. Adakah anda percaya bahawa tombol pintu akan terbuka apabila kunci dipusingkan? Oleh sebab kita mempunyai keyakinan hingga 99% terhadap kunci tersebut, kita tidak pernah memikirkan persoalan ini dan memusingkan kunci tanpa ragu-ragu (bayangkan bahawa iman kita kepada Tuhan tidak sebaik keyakinan kita terhadap kunci …). Kita semua tahu bahawa kunci akan patah dan tombol pintu akan rosak suatu hari nanti. Kunci dan tombol pintu pun tidak boleh dipercayai 100%.
Apabila kita membuat keputusan untuk menandatangani kontrak dengan seseorang, bagaimana kita dapat percaya bahawa kontrak ini dapat mengikat kedua-dua belah pihak untuk menepati janji atau melindungi hak kita apabila kontrak itu dilanggari? Keyakinan yang tinggi terhadap masyarakat dan undang-undang amat diperlukan dalam perkara ini. Kita boleh bertanya kepada diri sendiri tahap keyakinan kita terhadap undang-undang.
Bagaimana jika kita membuat keputusan untuk mengikat perjanjian sehidup semati dengan orang yang dicintai? Berapa banyak keyakinan yang diperlukan? Sebenarnya, percintaan tidak memerlukan beribu patah perkataan, juga tidak memerlukan tulisan hitam dan putih, semua yang diperlukan hanyalah “Saya percaya kepada kamu!”
Jadi, tindakan terhasil dalam semua keputusan kerana “keyakinan”, dan tindakan tidak diambil juga kerana “kekurangan keyakinan”. Antara percaya dengan tidak percaya tidaklah begitu romantis, tetapi melibatkan perhitungan yang rumit dan pengalaman terkumpul yang tidak terkira banyaknya. Dasar iman menentukan prestasi perbuatan dan juga menentukan hasil perbuatan. Apabila keputusan dibuat, keyakinan pada masa itu mestilah sekurang-kurangnya 50% atau lebih. Demikian juga, kadang-kadang sememangnya adalah lebih sukar untuk meyakinkan seseorang daripada mencapai langit. Hal ini kerana kita perlu membina keyakinan yang cukup bagi orang lain untuk mempercayai kata-kata kita.
B. DIMENSI PRESTASI KEYAKINAN
Oleh itu, kita boleh berkata bahawa keyakinan sebenarnya adalah setara dengan standard penilaian nilai peribadi. Tambahan pula, keyakinan adalah setara dengan pengukuran nilai peribadi seseorang.
Hujah pertama mudah difahami kerana tahap keprihatinan kita terhadap sesuatu perkara menunjukkan tahap keyakinan kita terhadapnya. Sebagai contoh ringkas, keyakinan kita terhadap emas adalah lebih besar daripada Ringgit Malaysia. Begitulah penilaian nilai kita: emas lebih bernilai daripada wang tunai.
Hujah kedua, bagaimana keyakinan setara dengan nilai diri sendiri? Pada masa ini, kita tidak membicarakan ukuran keyakinan, tetapi sasaran utama keyakinan (bukan satu-satunya, mungkin ada banyak). Pada peringkat kehidupan yang berbeza, kita akan mempunyai sasaran keyakinan yang berbeza. Bayi percayakan payudara atau puting yang dihisap, kanak-kanak percayakan kewibawaan ibu bapa dan percayakan guru setelah mereka memasuki usia persekolahan. Setelah sosialisasi cukup mendalam, mereka mungkin percayakan wang dan kepintaran atau bakat. Sasaran keyakinan memberikan rasa selamat, kehangatan, bahkan kasih sayang dan cinta keluarga yang diperlukan untuk kelangsungan hidup peribadi dan sebab itulah kita percaya. Sekiranya sasaran tempat kita bergantung untuk bertahan dalam hidup dan mempertahankan harga diri runtuh dalam sekelip mata, semangat kita pasti akan runtuh dan hidup kita akan layu. Sebagai contoh, orang yang terikat dengan saham dan tidak dapat menyelesaikan masalah itu pasti berasa tertekan sementara orang yang kehilangan orang yang disayangi mungkin membunuh diri.
Keyakinan juga mempunyai satu ciri khas yang dikenal oleh semua orang, iaitu “harapan”. Sering kali, setelah berfikir secara rasional, kita tahu bahawa kita tidak mempunyai keyakinan sepenuhnya, tetapi kita bersedia untuk bertaruh / mencuba kerana harapan. Cita-cita dan harapan nampaknya ada secara semula jadi. Harapan mewakili penantian yang lebih indah untuk masa depan dan juga menunjukkan ketidakpuasan terhadap diri sendiri atau realiti, iaitu suatu unjuran ketidaksempurnaan. Raja Salomo berkata dalam kitab Pengkhotbah bahawa Tuhan memberikan kekekalan dalam hati manusia (Pkh 3:11). Oleh itu, manusia memiliki gambaran “sempurna” dalam hati mereka. Namun gambaran ini tidak direalisasikan. Gambaran ini – “kesempurnaan” mendorong kita untuk maju ke hadapan, dan kadang-kadang tanpa mengira keuntungan dan kerugian, begitulah “keyakinan”. Maka, dari perspektif tertentu, “keyakinan” adalah cukup “menakutkan”. Keyakinan boleh berada di satu sudut yang mempertahankan kebenaran. Keyakinan juga boleh berada di satu sudut yang menyokong khayalan. Oleh itu, dasar keyakinan yang dibina adalah sangat penting.
C. PEMBINAAN KEYAKINAN
Keyakinan tidak kira terhadap benda asing atau diri sendiri dibina sejak saat kelahiran. Kita menghantar isyarat apabila kita berasa lapar, takut, atau sakit. Seseorang yang menerima isyarat ini akan memenuhi keperluan kita. Dengan cara demikianlah kita mula mempunyai keyakinan terhadap dunia luar dan diri sendiri. Saya mengeluarkan mesej dan orang lain membalas mesej tersebut membuktikan bahawa dunia luar boleh dipercayai dan membuktikan bahawa perasaan sendiri itu betul. Kita boleh bayangkan, jika tidak ada orang yang mempedulikan mesej yang dikeluarkan, kita akan berasa kecewa, terpukul, ingin menarik diri, tidak percaya kepada orang lain, dan pada masa yang sama tidak akan percaya kepada diri sendiri kerana mungkin masalah ada pada diri kita sendiri. Hasil ini akan membawa kepada perasaan tidak selamat, gelisah dan cemas pada masa akan datang. (Tetapi gelisah dan cemas tidak semestinya disebabkan oleh penolakan yang kerap berlaku sejak kecil).
Seorang kanak-kanak mudah tertipu kerana kurang pengetahuan dan tidak dapat membezakan tujuan orang lain. Keperluannya juga dapat dipenuhi dengan mudah. Mungkin sebiji gula-gula, mungkin sepuluh ringgit sudah memadai. Tidak mudah untuk orang dewasa tertipu, tetapi tidak semestinya mereka tidak akan tertipu. Hal ini kerana manusia tentunya mempunyai kelemahan dan kejahilan. Oleh itu, kita menuntut pengetahuan yang dapat memenuhi keperluan kita sepanjang hidup kita agar dapat menghindari jalan yang salah dan menghabiskan wang dengan cara yang salah. Maka kita semua memerlukan kebenaran yang benar dan boleh dipercayai. Universiti Harvard dan gerai penilik nasib di tepi jalan ada dengan cara ini. Semuanya bertujuan untuk menjadikan diri sendiri lebih yakin dalam menghadapi lumrah hidup yang tidak kekal.
Alkitab mencatatkan: “Oleh Dialah (Kristus) kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan Dia dari antara orang mati dan yang telah memuliakan-Nya, sehingga imanmu dan pengharapanmu tertuju kepada Allah.” (1 Ptr 1:21). Iman yang paling sempurna adalah dengan mempunyai nilai yang tidak terhingga dan jaminan untuk selamanya. Sekiranya kita percaya kepada Tuhan yang benar, syukur kepada Tuhan, kita sudah berjalan di atas jalan iman yang benar. Jika masih ada keraguan tentang Tuhan, maka kita harus mempunyai lebih banyak pembelajaran dan pilihan antara percaya dengan tidak percaya!
Ketika mengucapkan selamat tinggal kepada masa muda dan memasuki alam kuliah universiti, kita sudah terlebih dahulu menyediakan tenaga dari segi fisiologi. Pengetahuan itu hanya kekurangan satu langkah yang terakhir. Semua orang bersemangat waja dengan hati bak serangkak dibungkus demi masa depan yang lebih baik. Berapa banyak keyakinan yang kita ada pada masa ini? Di manakah keyakinan kita dibina? Ke arah manakah keyakinan ini dapat menunjukkan kita? Terdapat terlalu banyak pilihan dan keputusan penting dalam hidup yang memerlukan lebih banyak keyakinan sebagai sokongan. Keyakinan akan hilang apabila dilema yang dihadapi melebihi kemampuan. Kita sangat memerlukan keyakinan untuk menghadapi masa depan!
Cinta dan kerjaya merupakan topik yang paling kita utamakan pada masa ini (jika tidak, kita harus mula mendoakan perkara-perkara ini). Walaupun perkara-perkara ini mungkin tidak berlaku sehingga bertahun-tahun kemudian, namun iman / keyakinan boleh dipupuk mulai sekarang.
D. PERBINCANGAN TENTANG PERKAHWINAN
Orang yang percaya dengan orang yang tidak percaya merupakan pasangan yang tidak seimbang (2 Kor 6:14). Konsep yang dinyatakan ini bukan hanya kebenaran dalam perkahwinan, tetapi juga merupakan prinsip hidup yang sangat penting. Bahkan boleh dikatakan bahawa konsep ini merupakan kebenaran sejagat – beberapa idea bersama diperlukan untuk dapat saling bergaul. Semakin kita menitikberatkan sesuatu perkara, semakin banyak nilai teras bersama yang kita perlukan. Hal ini kerana impaknya adalah lebih jauh.
Pada masa lalu, ketika kita berbicara tentang konsep perkahwinan dalam Tuhan, kita mempunyai pandangan stereotaip tertentu iaitu bahawa berkahwin dengan orang yang berlainan agama merupakan satu pantang larang. Mungkin kita akan berhadapan dengan pandangan aneh daripada gereja ataupun kehilangan berkat dari segi formaliti. Mengapa harus saya terikat dengan kekangan ini? Asalkan saya meninggalkan perhatian gereja, saya dapat bersama dengan orang yang saya sayangi. Jika saya mahukan yang terbaik bagi kedua-dua pihak, saya juga boleh berusaha agar pasangan saya menerima iman kepercayaan kita. Pemikiran stereotaip semacam ini mudah menyebabkan seseorang melepaskan iman kepercayaannya apabila menghadapi keputusan perkahwinan tanpa memahami bahawa tujuan asal mempertahankan iman kepercayaan adalah untuk “menjamin perkahwinan”. Mungkin kita harus membincangkan semula makna “percaya dan tidak percaya” dalam perkahwinan.
- Satu kebenaran yang dapat diterapkan di mana-mana sahaja
Tidak dapat dinafikan bahawa dua orang yang dapat bergaul dengan baik semestinya mempunyai ciri-ciri umum tertentu, iaitu persamaan dari segi penampilan, latar belakang pendidikan, persekitaran keluarga, minat, pilihan, kaedah komunikasi, dan sebagainya. Tetapi jika perlu bergaul untuk waktu yang lama, kita akan berfikir dengan serius: adakah kita mempunyai pandangan dan amalan yang serupa mengenai perkara yang perlu dihadapi bersama? Oleh itu, syarikat-syarikat berskala besar secara berkala akan mengadakan kursus di tempat kerja bagi mempromosikan idea syarikat dan mengkaji proses operasi untuk mencapai sikap dan panduan yang konsisten. Bagi dua orang yang ingin hidup bersama, kita dapat membayangkan akibatnya jika konsep nilai teras mereka adalah berbeza.
- Satu syarat yang paling penting selain syarat luaran
Tanpa mengambil kira bentuk kepercayaannya, seseorang pada akhirnya harus mengetahui kesayangannya yang paling utama, atau nilai yang masih ada setelah sekian lama. Tetapi ketamakan dan keinginan kitalah yang membutakan mata iman kita. Sebagai contoh, burger, kentang goreng dan cola ialah makanan segera yang terkenal. Semakin muda usia seseorang, semakin mudah dia tertarik. Akhirnya, terhasillah sekumpulan orang gemuk yang tidak sihat. Nampaknya, perkara ini mengingatkan kita bahawa anak muda mudah tertarik dengan penampilan luar sehingga mengabaikan nilai dalaman yang lebih penting. Alkitab mencatatkan: “maka anak-anak Allah melihat, bahwa anak-anak perempuan manusia itu cantik-cantik, lalu mereka mengambil isteri dari antara perempuan-perempuan itu, siapa saja yang disukai mereka. Berfirmanlah TUHAN: “Roh-Ku tidak akan selama-lamanya tinggal di dalam manusia, karena manusia itu adalah daging, …”” (Kej 6:2-3). Kejadian ini adalah sama dengan burger dan kentang goreng bak kera menjadi monyet.
- Satu batu dasar untuk mengekalkan hubungan perkahwinan
Apa yang benar-benar dapat menjamin perkahwinan di dunia ini? Tentu saja bukan berlian, rumah agam, gaji yang lumayan, bahkan bukan minat bersama, juga bukan keperibadian yang serupa, tetapi kalimat yang disampaikan sebelum ini: “Saya percaya kepada kamu!” Saling mempercayai menjadikan aroma cinta terus disemai dan aroma ini mengasyikkan. Walau bagaimanapun, semua orang tahu bahawa saling mempercayai itu tidak begitu mudah sehingga dapat dilakukan dengan hanya satu kalimat. Oleh itu, ramai yang membuat beberapa perjanjian yang digantungkan tinggi, digalikan dalam sebelum berkahwin supaya kepercayaan antara satu sama lain mempunyai isi kandungan yang berkepentingan, dan untuk memastikan diri sendiri dapat memperoleh kembali harta, air muka dan keyakinan rapuh mereka apabila pihak yang lain mungkir janji. Perceraian kini tidak lagi menjadi berita. Pada masa menghadirkan diri ke mahkamah, kekasih yang terdekat telah menjadi orang yang paling tidak boleh dipercayai. Pada masa ini, mereka hanya bergantung pada ketentuan undang-undang, iaitu pembatasan minimum yang dapat ditahan oleh manusia. Banyak orang telah patah hati sebelum sampai ke tahap ini. Mereka meragui bukan sahaja orang lain tetapi juga diri mereka sendiri. Sekiranya perkahwinan diselesaikan dengan kesaksian Tuhan Yesus, dasar saling mempercayai sebenarnya dibina di atas Tuhan. Apabila kita rela percaya (atau mencari) bahawa Tuhan Yesus adalah satu-satunya Tuhan benar yang menjadikan alam semesta dan segala isinya dan juga merupakan Penebus kita, apa lagi jaminan / perlindungan lebih kuat yang dapat dibandingkan dengan Tuhan Yesus?
- Sekiranya kita tidak percaya
Kecacatan umum manusia ialah “pemberontakan”. Manusia berkeras dengan pemikiran satu pihak diri sendiri dan berusaha membuktikan bahawa diri sendiri benar. Tujuannya adalah untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap nilai sendiri, iaitu keyakinan diri. Manusia enggan mengakui hakikat bahawa mereka merupakan makhluk ciptaan, sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk mencari garis keturunan mereka daripada tulang fosil. Sekiranya kita tidak percaya, matahari tetap bersinar terik, empat musim tetap silih berganti, dan hari-hari tetap berlalu pergi, tetapi hidup akan mati selama-lamanya seperti fosil, bukannya kembali kepada kemuliaan Tuhan. Tentu sekali, percaya kepada Tuhan bukannya hanya dengan menerima baptisan dan menghadiri kebaktian di gereja. Jika demikian, tindakan itu menipu diri sendiri dan menipu orang lain. Dengan pertolongan Roh Kudus, kebenaran dalam Alkitab harus diterapkan sebagai nilai-nilai peribadi dan dinyatakan dalam segala hal dalam kehidupan, apatah lagi hal perkahwinan. Kepercayaan dan praktikal sedemikian meninggikan nilai peribadi ke tahap yang kekal. Hal ini kerana perkahwinan ini mempunyai penglibatan Penguasa yang kekal abadi. Sekiranya kita tidak percaya, kita tidak akan kehilangan apa-apa, tetapi kita hanya tinggal dalam keadaan yang menunggu kematian.
E. PERBINCANGAN TENTANG PEKERJAAN
Mencari pekerjaan kadang-kadang lebih sukar daripada mencari pasangan. Pekerjaan dengan pendapatan yang stabil, persekitaran kerja yang baik dan jaminan adalah sukar untuk ditemukan, tetapi masih boleh dicari.
Walau bagaimanapun, semua ini mesti bermula dengan kelengkapan diri orang baharu dalam masyarakat. Pendidikan tinggi semasa boleh dikatakan sebagai telah berlebih-lebihan. Sudah sekian lama, siswazah tidak lagi dibangga-banggakan. Pemegang Ijazah Sarjana juga meregang nyawa dan kemampuan sebenar perlu ditunjukkan dalam medan kerjaya. Sekiranya anda berfikir bahawa memiliki ijazah dapat menjamin kerjaya, pemikiran ini adalah salah.
Jadi, apa tawaran yang dapat diperoleh oleh orang yang percaya kepada Tuhan? Boleh dikatakan secara langsung bahawa mereka mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan yang “setara dengan keupayaan” mereka dalam kalangan orang yang memiliki “keupayaan yang sama”. Oleh itu, jika kita ingin mendapatkan pekerjaan yang “ideal”, kita harus mengikut ajaran Alkitab sejak dari awal, belajar dengan bersungguh-sungguh, dan melepaskan idea yang mencari nasib baik. Dengan itu, ketibaan “peluang pada masa itu” akan menjadi bermakna.
Dengan cara ini, adakah orang yang percaya kepada Tuhan tidak mempunyai keuntungan khas yang boleh diperoleh? Jika dari perspektif nilai sekular, memang tidak ada.
Oleh itu, banyak orang bijak mula mengira pulangan pelaburan, dan satu jawapan yang mudah pun muncul. Sekiranya saya meluangkan lebih banyak masa untuk memperkaya keupayaan saya dan melabur dalam kerjaya yang menguntungkan, saya dapat mengumpulkan kekayaan, menjalani kehidupan yang selesa bagai kucing tidur di bantal dan menikmati hidup yang gembira dengan lebih cepat. Hipotesis formula pengiraan ini ialah: lebih banyak wang = lebih banyak kebahagiaan. Oleh itu, bagai bersuluhkan tengah hari, orang-orang seperti itu membina kepercayaan nilai mereka pada wang.
Terlalu banyak orang mengatakan bahawa kalau tiada hak sendiri, anak mata terdiri-diri. Namun perkara yang lebih penting adalah bahawa wang tidak ada ertinya jika tidak ada hidup, dan masa hidup dikurniakan oleh Tuhan (rujuk Yak 4:13-16; Luk 12:16-21). Adakah hidup itu penting atau wang itu penting? Renungan lebih mendalam yang perlu kita fikirkan ialah, adakah wang bermaksud konotasi hidup? Adakah wang bermaksud kebahagiaan?
Sekiranya kita percaya dan menyerahkan rancangan hidup kita kepada kepemimpinan Tuhan Yesus, kita bukan sahaja akan memiliki hidup yang stabil dan lancar, tetapi Tuhan Yesus juga akan memuaskan roh kita dengan hidup yang kekal. Sekiranya kita tidak percaya dan hanya berpandukan kebarangkalian seperti orang-orang di dunia iaitu bahawa ada peluang untuk berjaya dan menjadi terkenal serta menikmati kehidupan yang bahagia, dan satu-satunya perkara yang tidak dapat dikuasai ialah hari esok, maka kita jahil.
F. ANTARA PERCAYA DENGAN TIDAK PERCAYA
Pertempuran ini hebat. Kesukaran antara percaya dengan tidak percaya adalah bahawa kita harus mempercayai Tuhan yang tidak kelihatan dan pada masa yang sama melepaskan pendapat kita sendiri, atau melepaskan kepercayaan pada masa lalu, dan melepaskan kepercayaan pada masa lalu sama dengan melepaskan diri sendiri? Jadi di mana kita membina semula diri kita yang baharu? Adakah Tuhan Yesus benar-benar boleh dipercayai sehingga seseorang taat sepenuhnya? Atau bolehkah kita mengambil keperluan kita saja daripada menerima semuanya? Antara percaya dengan tidak percaya, berapa banyak bukti dan bahan yang dapat diberikan oleh firman Alkitab untuk menyokong kembali nilai seseorang?
G. PERHATIKANLAH!
Pemerhatian yang betul merupakan asas untuk kajian. Paulus mendorong kita untuk memerhatikan keadaan orang-orang yang benar-benar hidup menurut tuntutan firman (“benar-benar” bermaksud tidak hanya mengambil contoh secara sembarangan. Dia juga memegang firman, tetapi apakah hasilnya? … Pemerhatian perlu memerhatikan sampel yang berkesan), dan kemudian memerhatikan kesudahan orang-orang yang menumpukan perhatian pada pertaruhan di dunia (Flp 3:17-21). Pemerhatian sedemikian cukup untuk menjadi dasar bagi usaha iman kepercayaan. Alkitab mencatatkan bahawa kita mempunyai banyak saksi. Maka kita seharusnya dapat meninggalkan idea ketidakpercayaan dan berusaha maju ke arah “kepercayaan” (Ibr 12:1-2).
H. BERDOALAH
Bagi seseorang yang pernah mendapat latihan rasional, dia memerlukan bukti jelas yang dapat menyakinkan dirinya untuk percaya dan tidak percaya. Bukti terbaik merangkumi teori dan pengesahan. Doa merupakan pengesahan yang terbaik, dan doa boleh dikatakan sebagai satu bahagian yang paling kekurangan dalam kalangan umat Kristian generasi kita. Doa yang berkesan membolehkan kita bertemu secara langsung dengan Tuhan. Pada waktu itu, tidak ada perbahasan tentang percaya atau tidak percaya (Mzm 73:16-20). Kita boleh menjelaskan kebenaran tentang percaya dan tidak percaya dengan beribu patah perkataan, tetapi semua itu hanyalah perbincangan yang sia-sia jika tidak ada pengalaman yang nyata. Oleh itu, kita harus selalu berdoa dalam Roh Kudus dan berjaga-jaga serta bersiap sedia untuk mengalahkan daging yang lemah dan serangan syaitan (Yud 20; Mat 26:41). Dengan demikian, tidak lagi ada ketakutan dan keraguan antara percaya dengan tidak percaya.