PERBINCANGAN TENTANG HIDUP BUJANG DAN PERCERAIAN

PERBINCANGAN TENTANG HIDUP BUJANG DAN PERCERAIAN

(Pendeta Lǚ Ri Xing)

 

Pembaharu seperti Martin Luther pada masa dahulu pernah membantah keras pemercaya untuk hidup bujang. Tujuannya adalah untuk memecahkan monastikisme Roman Katolik, menghapuskan jurang antara golongan paderi dengan pemercaya, membantah golongan paderi menjalani kehidupan yang istimewa serta membantah mereka mempertahankan kepercayaan khas yang melanggar fitrah manusia dan standard etika. Memaksa paderi yang hidup bujang untuk berkahwin ialah kaedah penting untuk membiasakan dan menormalkan mereka. Oleh itu, kepercayaan asas agama Kristian adalah secara aktif menggalakkan pemercaya untuk berkahwin.

 

A. HIDUP BUJANG

Perkahwinan diasaskan oleh Tuhan. Perkahwinan merupakan pilihan paling wajar dan paling ideal bagi orang Kristian kecuali jika ada keadaan khusus dan alasan yang kuat. Bagi orang muda yang belum berkahwin, kemungkinan perkahwinan mesti dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kemungkinan hidup bujang. Seperti yang dikatakan oleh Yesus: “Ada orang yang tidak dapat kawin karena ia memang lahir demikian dari rahim ibunya, dan ada orang yang dijadikan demikian oleh orang lain, dan ada orang yang membuat dirinya demikian karena kemauannya sendiri oleh karena Kerajaan Sorga. Siapa yang dapat mengerti hendaklah ia mengerti.” (Mat 19:12). Kita boleh menggelar mereka yang “membuat dirinya demikian karena kemauannya sendiri oleh karena Kerajaan Sorga” sebagai bujang yang proaktif. Mereka memilih untuk hidup bujang kerana mempersembahkan diri mereka sepenuhnya kepada Tuhan. Namun, fenomena yang biasa terjadi di gereja kini ialah hidup bujang kerana terpaksa. Mereka boleh disebut sebagai bujang yang pasif. Hal ini kerana hidup bujang bukanlah sesuatu perkara yang dapat diterima oleh semua orang, dan hidup bujang pasti akan menyebabkan keraguan hidup.

Semua jenis binatang mempunyai dorongan seksual atau tempoh estrus. Dengan rancangan kasih karunia Tuhan, manusia adalah sejenis binatang dan juga makhluk yang hidup. Setelah akil baligh, manusia ada keinginan terhadap cinta dan kepunyaan (belongingness) selain tarikan seksual antara lelaki dengan perempuan. Sudah tentu, keinginan-keinginan ini dapat diperoleh melalui pelbagai hubungan interpersonal. Namun, perkahwinan yang dirancang oleh Tuhan ada fungsi khusus dalam aspek ini. Hal ini kerana ada dinyatakan dalam kitab Kejadian bahawa dua orang itu akan “menjadi satu daging”. Ciri “menjadi satu daging” ini tidak dapat ditemukan dalam hubungan interpersonal lain. Oleh itu, sama ada dari segi fisiologi mahupun dari segi mental, keinginan manusia untuk berkahwin sebenarnya telah dirancang terlebih dahulu dalam hidup kita sebagai manusia.

Kita boleh menggalakkan orang untuk menjalani kehidupan bujang yang aktif, tetapi hidup bujang bukanlah ketetapan asas Tuhan bagi manusia. Susunan dunia masa kini telah kehilangan keseimbangan dalam semua aspek. Dalam dunia Kristian, termasuk gereja-gereja tempatan di pelbagai tempat, umumnya bilangan lelaki sedikit tetapi perempuan banyak. Bagi banyak pemercaya, hidup bujang ialah kenyataan yang “terpaksa” diterima. Banyak saudari yang merindukan perkahwinan, tetapi ketekunan mereka dalam iman kepercayaan meningkatkan kemungkinan menjadi bujang dan mereka terpaksa memilih untuk hidup bujang. Mereka bukannya mempunyai karunia hidup bujang, tetapi mereka memilih untuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan bersedia untuk menyerahkan keperluan dan keinginan fizikalnya kepada Tuhan semasa hidup sebagai orang asing dan pendatang.

Menurut hasil “Tinjauan mengenai sikap rakyat terhadap perkahwinan dan kelahiran” yang diumumkan oleh Biro Kesihatan Nasional Jabatan Kesihatan Taiwan kebelakangan ini, hanya 10% daripada lelaki yang belum berkahwin tidak mahu berkahwin; namun, satu perempat daripada perempuan yang belum berkahwin tidak mahu berkahwin. Nampaknya, banyak “bujang yang pasif” bukannya hidup bujang kerana terpaksa semata-mata, tetapi memiliki permintaan yang tegas tentang “pasangan yang sesuai”. Oleh itu, walaupun kita boleh memberikan pujukan moral kepada orang muda yang belum berkahwin dalam Tuhan dan meminta mereka untuk tidak terlalu memilih, namun kesannya mungkin terhad.

Bagi seiman yang bujang, saya ada beberapa cadangan:

  1. Keinginan untuk berkahwin dan perasaan kesunyian adalah normal dan boleh Keinginan dan perasaan ini bukanlah bersifat tidak rohani

Terimalah keperluan sendiri dan kemudian serahkan keperluan itu ke dalam tangan Tuhan tanpa rasa malu. Kita boleh mengakui kelemahan dan keperluan kita secara terbuka. Kita mengiktiraf nilai hidup bujang, dan pada masa yang sama menerima keperluan sendiri dan emosi negatif yang disebabkan oleh keperluan yang tidak dipenuhi. Pengakuan bahawa hidup seseorang itu ada kelemahan dalam kekuatannya merupakan prestasi bagi mental yang sihat.

 

  1. Anda masih berhak untuk mendoakan perkahwinan tanpa mengira umur anda

Saya tahu bahawa Dia dapat memberikan damai sejahtera yang tidak terjangka sebagai ganti kemunculan pasangan semasa anda diuji. Dalam doa, anda mungkin meluahkan keluhan dalam hati, atau mempercayakan kesepian sendiri, keinginan terhadap cinta dan keperluan untuk dimiliki dalam air mata kepada Tuhan. Perjuangan kita sangat difahami dan diterima oleh-Nya, dan Dia tidak menghakimi kita. Ketika kita dapat menerima emosi kita dengan sepenuhnya di dalam ruang rahsia, maka ketika di dunia luar, kita dapat menghadapi hidup bujang sendiri, keprihatinan rakan seiman, dan banyak cabaran orang bujang di dunia ini dengan sikap yang sihat (sama seperti perkahwinan juga harus menghadapi banyak cabaran).

 

  1. Banyak perkara remeh dalam kehidupan perkahwinan memakan banyak masa individu yang sangat berharga. Perkahwinan adalah sejenis beban bagi golongan profesional

Orang bujang harus memanfaatkan kelebihan mereka yang mempunyai lebih banyak masa dengan baik untuk mencapai hasil dalam pelbagai pembelajaran profesional. Orang bujang yang paling saya kagumi ialah pemuzik George Frideric Handel. Masa komposisi yang singkat dan pencapaian seni bagi “Messiah” ciptaannya merupakan keajaiban yang belum pernah terjadi sebelumnya.

 

  1. Manusia mempunyai perasaan kesunyian kerana setiap orang mempunyai keperluan untuk berhubung dengan orang lain (connecting)

Daripada “Tidak baik, kalau manusia itu seorang diri saja” (Kej 2:18), dapat dilihat bahawa Tuhan meletakkan ciri ini pada manusia yang diciptakan oleh-Nya ketika Dia menciptakan. Kita harus mempunyai tafsiran yang lebih luas mengenai “Tidak baik, kalau manusia itu seorang diri saja”. Sebagai orang Kristian, selain pasangan, kita juga boleh menjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga, kawan-kawan, rakan sekelas, rakan sekerja, jiran tetangga, dan anggota-anggota gereja. Tuhan berjanji untuk memberikan hidup yang lebih berkelimpahan kepada kita, tetapi hidup yang lebih berkelimpahan ini tidak semestinya diperoleh melalui perkahwinan. Sebenarnya, Tuhan menghendaki setiap kita menjalani kehidupan persekutuan. Kehidupan bersama dengan ahli keluarga (ibu bapa, saudara dan lain-lain) ialah persekutuan, mengambil bahagian dalam pelbagai kumpulan pembelajaran dan kumpulan minat juga ialah persekutuan; memilih dan mengambil bahagian dalam persekutuan yang sesuai dalam gereja juga ialah pilihan yang sangat diperlukan. Kita tetap dapat makin maju dan bersukacita melalui kepelbagaian persekutuan dan perkongsian hidup (Flp 1:25). Sekiranya kehidupan seks dikecualikan, hubungan manusia yang paling intim bukanlah perkahwinan, tetapi kawan-kawan. Mempunyai beberapa orang kawan rapat juga merupakan kebahagiaan besar dalam hidup. Manusia moden suka menggunakan haiwan peliharaan sebagai ganti kedudukan manusia. Ada orang terus meninggalkan tempat kerja selepas bekerja. Mereka seolah-olah memutuskan semua hubungan interpersonal. Mereka hanya menjaga hubungan dan emosi yang “selamat” dan “stabil” dengan haiwan peliharaan. Tindakan ini tidak selari dengan kehendak Tuhan dan menghalang pertumbuhan hidup manusia.

 

Selain itu, beberapa orang akhirnya memilih untuk berkahwin dengan orang yang belum percaya dengan pelbagai alasan. Tentunya perkahwinan ini bukan perkahwinan yang “ideal”. Hal ini kerana mereka harus menghadapi krisis kemunduran iman kepercayaan atau bahkan meninggalkan iman kepercayaan mereka. Pemercaya seperti ini sering menjadi “orang bujang dalam iman kepercayaan” apabila menghadapi pasangan yang belum percaya, saudara-mara dan kawan-kawan yang tidak memahami serta pendapat umum gereja. Sekiranya kita tidak menghulurkan tangan keprihatinan kita dari semasa ke semasa, mereka sering akan menjadi domba yang hilang.

 

B. PERCERAIAN

Sekarang mari kita berbincang tentang perceraian. Kita mesti terlebih dahulu membincangkan pengurusan perkahwinan sebelum membincangkan pengakhiran perkahwinan. Sekiranya kita melihat penjelasan Paulus mengenai suami dan isteri dalam kitab (Ef 5:22-33), kita tahu bahawa dia mempunyai permintaan yang sangat tinggi terhadap kehidupan perkahwinan. Selain itu, dia berpendapat bahawa perkahwinan yang baik memerlukan kedua-dua belah pihak untuk mengorbankan banyak masa dan usaha, saling menggembirakan dan menjaga antara satu sama lain. Selain itu, masalah akan tetap wujud dari semasa ke semasa dalam perkahwinan sebenar tidak kira betapa eratnya hubungan antara suami dengan isteri. Masalah-masalah ini perlu diselesaikan dengan sedaya upaya.

Sebagai perumpamaan, kita boleh mengumpamakan pengurusan perkahwinan dengan pengurusan syarikat. Krisis perkahwinan ialah krisis pengurusan. Secara umumnya, tindak balas semula jadi syarikat ketika menghadapi krisis pengurusan ialah penambahbaikan, bukan dengan cara menamatkan perniagaan. Hal yang sama berlaku bagi krisis perkahwinan. Penambahbaikan harus menjadi tindak balas yang wajar, sementara perceraian pula harus menjadi pertimbangan yang terakhir.

Dalam masa kurang daripada dua dekad dari tahun 1971 hingga 1998, nisbah perceraian dan perkahwinan di Taiwan meningkat daripada 1:20 kepada 1:3.3. Nampaknya dalam masyarakat moden, idea pertama yang terlintas dalam fikiran banyak pasangan yang menghadapi krisis perkahwinan ialah perceraian. Hal ini kerana mereka sering berfikir bahawa mereka telah melakukan yang terbaik dan mereka hilang keyakinan terhadap prospek perkahwinan. Sebenarnya, perkahwinan merupakan industri himpunan kebijaksanaan. Ekonomi yang stabil dan kehidupan yang lancar hanyalah syarat hidup yang paling asas bagi perkahwinan. Mempunyai ciri-ciri kejujuran, kesetiaan dan baik tidak semestinya merupakan suami atau isteri yang baik. Selain kestabilan, perkahwinan juga memerlukan kegembiraan. Jadi pasangan mesti mempunyai kemampuan untuk saling menyenangkan. Pasangan mesti belajar satu sama lain untuk saling menyenangkan. Oleh itu, setiap orang dalam perkahwinan harus menguruskan perkahwinan dengan mentaliti “belajar di sekolah”. Dengan cara ini, kebijaksanaan hidup akan muncul secara beransur-ansur. Fahamilah bahawa perkara-perkara yang difikirkan kecil sering merupakan perkara besar dalam fikiran pasangan. Lantas secara semula jadinya konflik akan berkurang manakala kegembiraan akan bertambah.

Sebilangan besar orang tidak menguruskan perkahwinan dengan sikap ini. Pelbagai jenis konflik yang besar dan kecil menyebabkan hutang emosi. Setelah bertahun-tahun terkumpul, masalah yang terhasil daripada perkahwinan lebih banyak daripada masalah yang diselesaikan. Punca asas masalah ini adalah bahawa kebijaksanaan pengurusan itu tidak cukup intensif. Walau bagaimanapun, kita harus mengaku bahawa “keperibadian” ialah musuh semula jadi yang terbesar bagi kebijaksanaan. “Perselisihan keperibadian” sememangnya merupakan cabaran terbesar dalam perkahwinan. Ada orang sememangnya mempunyai keperibadian buruk yang membahayakan perkahwinan secara serius: kecenderungan keganasan, curang, kaki botol, ketagihan judi, dan sebagainya.

Oleh itu, ada kalanya perkahwinan terpaksa ditamatkan. Menurut arahan Yesus: “Tetapi Aku berkata kepadamu: Barangsiapa menceraikan isterinya, kecuali karena zinah, lalu kawin dengan perempuan lain, ia berbuat zinah.” (Mat 19:9). Orang Kristian hanya ada satu situasi yang membolehkan perceraian, iaitu pasangan telah melakukan percabulan.

Selain itu, pada pendapat saya, ada satu situasi lain yang juga menjadi alasan perceraian orang Kristian. Jika tingkah laku keganasan pasangan telah membahayakan nyawa pihak lain, maka pasangan itu juga boleh memohon perceraian selain meminta polis untuk menanganinya di bawah akta keganasan rumah tangga. Sebabnya, apabila prinsip memelihara hidup bercanggahan dengan prinsip memelihara perkahwinan, kita harus mematuhi prinsip yang lebih penting, iaitu menyelamatkan orang terlebih dahulu dan harus memilih perceraian.

Orang Kristian tidak boleh bercerai secara sembarangan. ​​Selain merupakan ajaran Tuhan, ada juga pertimbangan praktikalnya. Perceraian merupakan pertimbangan yang terakhir. Hal ini kerana ada kalanya perceraian menimbulkan lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah. Tekanan ekonomi, pendidikan dan disiplin anak-anak, dan isu-isu lain yang timbul selepas perceraian sering kali tidak dapat diramalkan lebih awal oleh pihak-pihak yang berkenaan. Oleh itu, jangan membuat keputusan perceraian ketika sedang beremosi. Dapatkanlah sokongan emosi dan mental daripada seiman gereja dan rakan-rakan. Tindakan ini selalunya membolehkan seseorang melalui masa-masa sukar dan kemudian terang kabut, teduh hujan.

Secara ringkasnya, perkahwinan boleh menjadi syurga di bumi dan juga neraka di bumi. “Apa yang telah dipersatukan Allah, tidak boleh diceraikan manusia.” Mempertahankan pengurusan perkahwinan yang berkesinambungan merupakan kepercayaan asas orang Kristian. Dalam kehidupan perkahwinan, kebijaksanaan pengurusan yang intensif harus dilaburkan. Perceraian? Perceraian memang merupakan pilihan yang terakhir.