BERJALAN DI PADANG GURUN
PENDAHULUAN
Tuhan memimpin empat juta orang Israel keluar daripada pemerintahan raja Mesir merupakan tugas yang sangat sukar. Dia menggunakan kuasa-Nya untuk menundukkan Firaun dan membawa orang Israel meninggalkan tempat itu. Setelah mereka sampai di Semenanjung Sinai (Sinai Peninsula) yang ketandusan, isu makanan, pakaian, tempat tinggal dan perjalanan untuk empat juta orang ialah masalah yang lebih sukar. Bagaimana Tuhan memimpin mereka melalui perjalanan di tanah yang tandus ini?
PEMANDANGAN SEMENANJUNG SINAI
Semenanjung Sinai terletak di antara Afrika dan Semenanjung Arab. Semenanjung Sinai merupakan semenanjung kecil di utara Laut Merah. Di selatannya ialah Laut Merah, di barat lautnya ialah Laut Mediterranean, di sebelah baratnya ialah tanah Mesir, di sebelah utaranya ialah tanah Kanaan, dan di sebelah timur lautnya ialah tanah Edom.
Taburan hujan di sini sangat sedikit, rumput tidak tumbuh di kebanyakan tempat dan merupakan tanah yang berbukit kosong dan berlekuk-lekuk. Tidak ada sungai atau tasik di Semenanjung. Hanya terdapat beberapa oasis kecil di tepi laut, dan tumbuhan tumbuh bergantung pada satu-satunya mata air. Pada siang hari ketika matahari memancar secara langsung, suhunya boleh mencapai lebih daripada empat puluh darjah, dan menjadi sejuk dengan cepat pada waktu malam lalu menjadikannya sangat sejuk. Gunung-gunung di sebelah selatan disebut sebagai gunung Sinai (Kel 19:11), juga dikenal sebagai gunung Horeb, dan puncak utamanya adalah 2.200 meter di atas permukaan laut. Walaupun gunung ini tidak terlalu tinggi tetapi sukar untuk didaki. Pada masa itu, hampir tidak ada manusia yang tinggal di Semenanjung. Tuhan pernah memanggil Musa di sini dan membentangkan Sepuluh Firman (Kel 19:20). Elia juga pernah melarikan diri ke sini (1 Raj 19:8).
PERJALANAN PADANG GURUN
Terdapat jalan unta antarabangsa di pantai Mediterranean Semenanjung yang asal yang disebut sebagai jalan Filistin. Bertolak dari Mesir di selatan, melewati Terusan Suez pada masa kini (tidak ada terusan pada masa itu), menyusuri Laut Mediterranean ke Gaza di Tanah Filistin (bahagian ini disebut Semenanjung Gaza / Genting Gaza sekarang), dan kemudian pergi ke utara, kita akan tiba di berbagai tempat di tanah Kanaan. Keseluruhan perjalanan adalah sejauh kira-kira 600 kilometer, dan unta perlu berjalan sekitar seminggu. Abraham, Ishak dan Yakub pernah melalui jalan ini untuk pergi ke Mesir.
Peristiwa ini berlaku kira-kira 3400 tahun yang lalu. Pada asalnya, umat boleh menggunakan jalan Filistin untuk pulang ke tanah Kanaan. Namun, Tuhan tidak mahu umat itu mempunyai jalan pulang lalu berasa menyesal dalam hati dan kembali ke Mesir (Catatan 1). Oleh itu, Tuhan tidak membawa mereka ke jalan ini, sebaliknya membawa mereka melalui padang gurun di Sinai. Perjalanan yang ditempuh oleh mereka dengan pimpinan Tuhan adalah kira-kira seperti berikut:
- Berangkat dari Raamses, membiarkan mereka berjalan melintasi dasar laut kering ke Semenanjung Sinai (Catatan 2)
- Pergi ke selatan dengan menyusuri pesisiran pantai Laut Merah. Di sini, Tuhan menurunkan manna dan burung puyuh serta pernah menukar air pahit menjadi air manis.
- Di Gunung Sinai, umat menerima Sepuluh Firman dan mendirikan Khemah Suci. Peristiwa menyembah anak lembu tuangan juga berlaku di sini.
- Kemudian, pergi ke utara dengan menyusuri Laut Merah. Di sini, 70 orang penatua diangkat untuk membantu Musa menguruskan hal berkenaan dengan umat. Terdapat juga insiden yang melibatkan orang-orang bajingan menjerit dan menantang malapetaka lalu menyebabkan banyak orang mati.
- Ketika di Kadesh di selatan tanah Kanaan, pengintai disuruh untuk mengintai tanah Kanaan. Akibatnya, mereka tinggal di sini selama 38 tahun kerana kekurangan iman terhadap Tuhan.
- Patah balik ke Ezion-Geber di Laut Merah dan menuju ke utara.
- Melewati pesisiran pantai di sebelah timur, melalui daerah Edom dan Moab menuju Sitim. Musa meninggal dunia di sini.
Setelah empat puluh tahun, kebanyakan orang dewasa dan orang muda yang keluar dari Mesir mati di padang gurun. Hanya Yosua dan Kaleb yang dapat memasuki tanah Kanaan kerana iman mereka diiktiraf oleh Tuhan (Bil 14:30).
TINJAUAN KEMBALI
Sekarang, mari kita renung kembali jadual perjalanan mereka yang sememangnya penuh dengan situasi yang mendebarkan. Contoh:
- Ketika mereka tiba di Laut Merah, lautan luas terbentang di depan mereka dan ada tentera yang mengejar di belakang. Sekiranya tertangkap, mereka tetap menjadi hamba untuk seumur hidup mereka. Mereka mungkin dihukum, dipenjarakan, atau bahkan dipukul sehingga mati. Nasib baik Musa amat beriman pada masa ini. Dia percaya bahawa Tuhan pasti akan membuka jalan untuk menyelamatkan mereka. Umat juga dapat mematuhi perintahnya dengan tenang. Gereja kita sekarang juga memerlukan pemimpin yang tenang dan percaya sepenuhnya kepada Tuhan seperti Musa. Kita juga perlu tunduk pada kepemimpinan mereka dengan hati yang tenang. Walaupun kadang-kadang kepemimpinan mereka nampaknya tidak ideal, namun kita harus percaya bahawa Tuhan pasti akan membuka jalan. Janganlah lemah semangat atau putus asa.
- Ketika Musa naik ke gunung Sinai untuk menerima Sepuluh Firman, pemimpin yang menggantinya untuk sementara iaitu Harun telah membuat satu keputusan yang amat teruk. Dia memimpin umat membuat dan menyembah anak lembu tuangan. Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa pemimpin juga akan melakukan kesalahan. Oleh itu, semua pendeta, penatua, ahli jawatankuasa, dan guru pendidikan agama yang melayani sebagai pemimpin gereja haruslah berwaspada, membuat refleksi ke atas kata-kata dan perbuatan sendiri, dan membandingkannya dengan Alkitab. Jangan memimpin jemaat / gereja dengan kehendak manusia. Seluruh umat juga tidak boleh mengikut secara membuta tuli. Ujilah strategi kepemimpinan dengan menggunakan kata-kata Tuhan. Oleh itu, pembacaan Alkitab dan kajian Alkitab telah menjadi pelayanan penting yang konsisten di gereja benar. Setiap orang harus mengkaji Alkitab dengan bersungguh-sungguh untuk benar-benar memahami kehendak Tuhan.
- Pada asalnya, umat menerima kepemimpinan Musa dengan lancar dalam sepanjang perjalanan. Mereka berjalan di seluruh padang gurun dan berjalan ke Kadesh (sudah tiba di tanah Kanaan). Mereka seharusnya pergi ke utara dengan gembira dan sukacita. Tetapi pada saat genting ini, mereka takut pada musuh yang kuat dan mencurigai kepemimpinan Musa serta meminta pengintai untuk menyelidiki tanah Kanaan (Ul 1:22). Mereka menjadi tawar hati dan menangis ketika melihat bahawa orang-orang di sana lebih besar dan lebih tinggi. Bukankah respons ini menghairankan? Ramai pemercaya sekarang juga melakukan perkara yang sama. Pada awalnya, ketika berhadapan dengan jalan buntu, kesusahan dan penderitaan, mereka berusaha sedaya upaya untuk mencari Injil dan memberi diri dibaptis. Mereka sepatutnya tidak perlu lagi berasa risau dan boleh mempercayai Tuhan dengan sepenuh hati. Bukankah pelik jika mereka curiga setelah percaya kepada Tuhan? Memandangkan iman terhadap gereja benar itu benar, maka seharusnya tidak perlu lagi berasa risau, sebaliknya teruskanlah percaya. Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah (Luk 9:62).
- Satu bulan setelah umat pilihan keluar dari Mesir (Kel 16: 1), makanan yang dibawa oleh mereka pun habis, dan mereka berada di padang gurun yang tandus. Ketika mereka hampir kehabisan makanan, Tuhan menurunkan manna dan burung puyuh (Kel 16:13-14); Tuhan juga memberitahu mereka untuk beristirahat pada hari Sabat untuk memperingati penyelamatan Tuhan dan bersikap menguasai diri dalam pekerjaan. Pemercaya moden harus mengikut teladan Manna berwarna putih dan manis seperti madu (Kel 16:31), suci, baik dan berkhasiat. Firman Alkitab juga begitu. Semakin banyak anda mengkaji, semakin anda merasa. Diharapkan semua datang bersama-sama mengkaji Alkitab untuk menikmati kemanisan dan kebaikan firman Tuhan. Percayalah bahawa Tuhan tidak akan membiarkan kita menjadi pengemis atau mati kelaparan. Oleh itu, janganlah kita kehilangan pertimbangan yang wajar demi mencari keuntungan wang sehingga lupa untuk beristirahat, memegang hari Sabat, dan mendekati Tuhan. Janganlah berasa tidak puas dan tamakkan kenikmatan yang tidak perlu. Apabila kita melihat Tuhan mengasihi kita, janganlah kita meminta atau menerima dengan sembarangan, dan jangan menjadi seperti anjing dengan bayang-bayang. Bagi burung puyuh yang sama, jika meminta keperluan tambahan seperti orang-orang bajingan (Bil 11:4), Tuhan tetap akan memberikannya. Tuhan berkuasa untuk memberikan sehingga terlalu banyak; tetapi berhati-hatilah terhadap malapetaka yang ada di depan mata (Catatan 3).
EPILOG
Kehidupan iman kepercayaan kita adalah sama seperti perjalanan mereka di padang gurun. Kita telah melewati Laut Merah iaitu dibaptiskan lalu dibebaskan daripada kawalan roh jahat. Namun kita belum benar-benar memasuki kerajaan syurga, tempat sukacita dan hidup kekal. Kita masih hidup di dunia yang sukar seperti padang gurun. Roh dan jiwa kita perlu bergantung pada firman Tuhan untuk terus hidup. Oleh itu, kita perlu bersama-sama, bersatu dan saling menyokong sesama seiman dalam gereja untuk menyelesaikan perjalanan di dunia ini. Dalam tempoh ini, kita mesti mematuhi ajaran Alkitab, tidak menyimpang ke kiri atau kanan, tidak tamak akan keuntungan yang haram dan tidak bersungut-sungut. Dengan itu, Tuhan pasti akan membimbing dan melindungi kita dengan lancar dalam kehidupan ini. Semoga Tuhan memberkati kita semua dengan damai sejahtera dan kelancaran! Amin.
CATATAN
- Tindakan ini adalah umpama memecahkan kapak dan menenggelamkan kapal. Tujuannya adalah supaya mereka tidak lagi mempunyai fikiran untuk kembali ke Mesir. Pemercaya juga perlu mempunyai tekad sedemikian dalam memberikan diri dibaptis dan menempuhi jalan syurgawi.
- Lokasi terperinci dan tepat bagi setiap stesen adalah sukar untuk dikenalpasti sekarang kerana nama tempat yang tercatat dalam Alkitab tidak lagi digunakan kini. Perjalanannya adalah lebih kurang seperti berikut:
Raamses (Kel 12:37) – Sukot (Kel 12:37) – Etam (Kel 13:20) – Migdol (Kel 14:2) – padang gurun Syur (Kel 15:22) – Mara (Kel 15:23) – Elim (Kel 15:27) – padang gurun Sin (Kel 16:1) – Rafidim (Kel 17:1) – gunung Sinai (Bil 10:12) – Kibrot-Taawa (Bil 11:35) – Hazerot (Bil 11:35) – padang gurun Paran (Bil 12:16) – Kadesh-Barnea (Ul 1:19) – Ezion-Geber (Ul 2:8).
- Terdapat banyak kesaksian yang menunjukkan bahawa orang yang percaya kepada Tuhan semasa berada dalam kemiskinan, Tuhan mengizinkannya menjalani kehidupan yang agak kaya. Walau bagaimanapun, dia tamak dan meminta kepada Tuhan supaya dia dapat menjana lebih banyak wang. Pada masa yang sama, dia melupakan rahmat Tuhan dan tidak mendekatkan diri kepada Tuhan. Akibatnya, dia tiba-tiba menjadi orang kaya, bersuka ria dalam kemewahan dan percabulan lalu jatuh muflis dengan kadar yang cepat.