PANDUAN PEMBACAAN KITAB ROMA
Alangkah ajaib dan indahnya anugerah keselamatan Tuhan Yesus yang menyatakan kasih agung dan kehendak Tuhan bahkan melampaui fikiran manusia. Seperti yang dikatakan dalam Alkitab: “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya!” (Rm 11:33). Ramai rasul Tuhan yang mencatatkan perbuatan, pengajaran dan janji Tuhan dalam bilangan yang banyak. Roma menceritakan keseluruhan keperluan, makna, proses dan permintaan anugerah keselamatan kepada kita secara teratur. Kitab ini berbaloi untuk kita kaji dan nikmati di samping membuatkan setiap orang yang berusaha secara rendah hati memuji dengan nyaring: “Ya Tuhan dan Allah kami, Engkau layak menerima puji-pujian dan hormat dan kuasa.” (Why 4:11).
PENULIS
Rasul Paulus (Rm 1:1). Dia orang Yahudi daripada suku Benyamin (Rm 11:1). Dia dilahirkan di Tarsus di tanah Kilikia dan mempunyai kewarganegaraan Roma sejak dilahirkan (Kis 22:3,28), serta dibesarkan di Yerusalem. Dia pernah dididik dengan teliti di bawah pimpinan Gamaliel dalam hukum. Oleh itu, dia beranggapan bahawa dia seorang yang sangat giat untuk iman kepercayaan nenek moyang lalu menganiayai orang-orang yang percaya kepada Yesus. Walau bagaimanapun, Tuhan mempunyai kehendak yang lebih indah. Dalam perjalanannya menuju ke Damsyik untuk menangkap orang-orang yang percaya kepada Tuhan, Tuhan Yesus menampakkan diri kepadanya, memilihnya, mengubahnya bahkan menggunakannya. Sama seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Karena itu setiap ahli Taurat yang menerima pelajaran dari hal Kerajaan Sorga itu seumpama tuan rumah yang mengeluarkan harta yang baru dan yang lama dari perbendaharaannya.” (Mat 13:52). Dengan adanya penyataan daripada Tuhan, Paulus dapat memahami makna sebenar hukum Taurat dan kasih karunia. Oleh itu, Paulus selalu menasihati, menghibur dan mengajar para pemercaya dengan kebenaran melalui kaedah surat-surat serta diiktiraf oleh Petrus (2 Ptr 3:15-16). Surat-surat ini juga mewariskan perkataan Tuhan kepada pemercaya zaman-berzaman untuk membangun umat Kristian dalam setiap generasi.
MASA DAN LOKASI PENULISAN
Antara kira-kira tahun 57 – 58 M, dituliskan di Korintus. Masa ini merupakan masa pemberitaan Injil di luar negara untuk kali yang ketiga bagi Paulus di samping membawa sumbangan yang dikumpulkan daripada merata tempat ke Yerusalem untuk membantu seiman yang hidup dalam kesusahan kerana kelaparan (Kis 20:2,3; Rm 15:25-26). Pada asalnya, dia merancang untuk menggunakan surat ini dan memberitahu pemercaya di Roma bahawa dia akan menuju ke Roma untuk bekerja lalu pergi ke Spanyol setelah menyelesaikan kerja kebajikan tersebut. Walau bagaimanapun, selepas tiba di Yerusalem, dia ditangkap dan dipenjarakan selama dua tahun kerana dakwaan palsu. Oleh sebab dia naik banding kepada maharaja Rom dengan statusnya sebagai warganegara Roma, dia akhirnya tiba di Roma (Kis 28:16). Perjalanan ini juga merupakan aturan Tuhan yang ajaib.
TEMA UTAMA
Dibenarkan kerana iman (Rm 3:22). Kejar hidup kekal, mencari satu destinasi akhir yang indah bagi roh sendiri pada asalnya merupakan harapan bawah sedar bagi mana-mana kumpulan kaum. Harapan ini juga merupakan sejenis harapan yang diletakkan oleh Tuhan di dalam hati manusia (Pkh 3:11). Dikuduskan dan dibenarkan merupakan syarat yang perlu ada untuk mendapatkan hidup yang kekal. Piawaian yang diletakkan oleh Tuhan di dalam hati manusia dan diakui umum ini selamanya tidak berubah. Oleh itu, setiap agama menggunakan cara masing-masing untuk mengejar tentang ini. Paulus membuktikan dengan pelbagai cara bahawa tidak kira orang Yahudi yang bergantung pada hukum Taurat ataupun orang kebiasaan yang bergantung pada perbuatan dan kepercayaan yang salah, mereka semuanya tidak dapat mencapainya. Kita dapat dibenarkan hanya dengan cara percaya kepada Yesus yang turun dari syurga dan yang rela menanggung penderitaan kayu salib bahkan mati demi dosa manusia. Tambahan pula, melalui kasih karunia dan kekuatan yang diberikan oleh Tuhan, orang yang percaya dan bersandar kepada-Nya akan dapat menjalani kehidupan baru yang indah, kaya, baik dan aman damai serta menunjukkan hidup yang baru.
RINGKASAN BAHAGIAN
Kitab Roma menjelaskan anugerah keselamatan Tuhan Yesus dengan jelas secara teratur. Oleh itu, berdasarkan renungan utamanya tentang “dibenarkan kerana iman”, kita membahagikan keseluruhan gulungan kitab ini kepada beberapa ringkasan dan dibincangkan secara ringkas untuk merenungkan dan menerima kasih Tuhan yang besar bersama-sama:
A. keperluan dibenarkan
Hidup manusia di dunia adalah singkat dan hanya selama puluhan tahun sahaja. Mengapa perlu mengejar untuk dikuduskan dan dibenarkan? Mengapa tidak menikmati hidup sehingga ke tahap yang maksima bahkan hidup dalam hawa nafsu? Sebabnya:
1. Kognisi naluri manusia
Tanpa mengira latar belakang budaya dan taraf hidup, setiap bangsa ada agama kepercayaan masing-masing. Tujuan beribadah kepada Tuhan bukan hanya untuk memenuhi keperluan yang paling asas dalam menggalakkan kebaikan dan menghindari kejahatan, tetapi juga untuk memenuhi hati manusia yang benar, bermoral dan mengakui identiti keluarga di samping berusaha untuk mendapatkan destinasi penghujung yang indah bagi roh. Semua ini tidak memerlukan ajaran luaran melainkan muncul daripada naluri manusia. Oleh itu, manusia secara alaminya akan berfikir untuk berusaha ke arah tersebut dengan harapan dapat mencapai piawaian iman kepercayaan tersebut. Walaupun piawaian dan kaedahnya tidak sama, namun konsep tentang “dibenarkan” ada tergantung di dalamnya.
2. Tuhan yang benar memang wujud
Walaupun manusia mempunyai hati yang beribadah kepada Tuhan, namun jika mereka tidak terima penyataan daripada Tuhan, hanya mencari Tuhan berdasarkan pengalaman dan pandangan manusia, mereka akan mewujudkan banyak patung berhala lalu membangkitkan murka Tuhan (Rm 1:20-23). Walaupun kebanyakan orang tidak berakal dan tidak mengenali Tuhan benar yang di syurga, namun Dia tidak akan lenyap hanya kerana sebab ini. Dia tetap menjaga umat manusia dengan harapan satu hari nanti, ramai orang dapat benar-benar beribadah kepada Dia. Tambahan pula, Tuhan ini pasti akan menghakimi segalanya. Jika manusia ingin terhindar daripada hukuman Tuhan, satu-satunya cara ialah mengejar kerajaan dan kebenaran-Nya.
3. Terikat dengan dosa dan kejahatan
Dalam kehidupan yang realistik, manusia tentunya akan mempunyai banyak perbuatan yang berdosa dan jahat. Oleh itu, dengan menggunakan contoh yang realistik, Paulus membuktikan bahawa tidak kira orang Yahudi ataupun orang bangsa lain, semuanya terikat dengan dosa dan kejahatan (RM 1:28-31, 2:21-22). Jika manusia ingin mendapatkan berkat Tuhan dan berkat hidup yang kekal pada masa hadapan, mereka perlu menghapuskan halangan dosa dan kejahatan supaya mereka dapat dibenarkan.
B. Bagaimana dibenarkan
Memandangkan manusia ingin mengejar berkat hidup yang kekal namun terhalang dan terikat dengan dosa kejahatan, bagaimanakah mereka dapat mengalahkan segala kepercayaan takhayul, dosa dan kejahatan supaya dapat dibenarkan oleh Tuhan?
1. Hanya percaya dan bersandarkan pengampunan Tuhan
Dengan memetik daripada pelbagai peristiwa, Paulus memberi huraian bahawa jika manusia ingin mencapai tahap langsung tidak ada dosa dan benar, ataupun ingin mengawal keinginan tubuh jasmani dengan hati nurani dan suara hati manusia, mereka selalu akan merasakan ketidakmampuan dan kegagalan: “Sebab kehendak memang ada di dalam aku, tetapi bukan hal berbuat apa yang baik.” (Rm 7:18-19). Jika manusia ingin menambahbaik dunia yang dipenuhi dengan dosa kejahatan dengan pendidikan moral, manusia juga akan dapat merasakan bahawa dosa kejahatan juga bertambah walaupun pendidikan adalah universal dan bertambah baik. Jika manusia ingin mengurangkan jenayah dengan undang-undang (orang Yahudi terima hukum Taurat Musa), mereka sebaliknya lebih membuktikan kelemahan sifat manusia dan pencerobohan dosa kejahatan. Apabila mencapai satu tahap latihan rohani yang tertentu, akan ada halangan roh jahat untuk mengganggu dan memusnahkan usaha ini. Boleh dikatakan bahawa manusia tidak dapat melepaskan diri daripada godaan dan ikatan dosa dengan bergantung pada segala perbuatan manusia. Oleh itu, manusia hanya dapat benar-benar menghapuskan segala dosa kejahatan supaya dapat dibenarkan di hadapan Tuhan dengan cara mengharapkan Injil yang diberikan oleh Tuhan yang di syurga dengan hati yang murni dan kerendahan hati serta terima pengampunan Tuhan.
2. Contoh-contoh orang terdahulu
Mula-mula,Rasul Paulus menyebut Abraham sebagai contoh dengan berkata: “Apakah akan kita katakan tentang Abraham, bapa leluhur jasmani kita?” (Rm 4:1). Dia juga memetik daripada pengalaman Daud dengan keluhan: “Berbahagialah orang yang diampuni pelanggaran-pelanggarannya, dan yang ditutupi dosa-dosanya; berbahagialah manusia yang kesalahannya tidak diperhitungkan Tuhan kepadanya.” (Rm 4:7-8). Kedua-dua orang ini merupakan tokoh iman kepercayaan yang takut akan Tuhan benar di syurga dan dihormati oleh orang dalam generasi-generasi selepas mereka. Mereka juga tahu bahawa manusia sememangnya tidak dapat mencapai tahap dibenarkan jika bergantung pada kuasa diri sendiri. Mereka dapat berkenan kepada Tuhan dan diakui oleh Tuhan berdasarkan kasih karunia Tuhan. Mereka dibenarkan kerana iman. Mereka merupakan contoh yang terbaik bagi kita.
3. Melalui doa syafaat Tuhan Yesus
Memandangkan manusia lemah, tidak mempunyai kekuatan dan selalu berbuat dosa, maka bolehkah mereka terima pengampunan dan dibenarkan dengan cuma-cuma selepas percaya kepada Tuhan? Di manakah keadilan Tuhan? Sememangnya, kita boleh dibenarkan dengan cuma-cuma melalui darah Juruselamat Yesus yang diasaskan oleh Tuhan. Darah yang bernilai ini ditumpahkan oleh Tuhan Yesus di atas kayu salib demi dosa umat manusia. Darah ini cukup untuk menyucikan segala dosa manusia. Selain memenuhi keadilan Tuhan, darah ini juga menyatakan kasih agung Tuhan (Rm 5:6-11). Cara ini hanya ada satu kerana Tuhan Yesus langsung tidak ada dosa bahkan rela berkorban untuk manusia (rujuk Ibr 7:26). Seperti yang disaksikan oleh para rasul dengan nyawa mereka: “Dan keselamatan tidak ada di dalam siapapun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan.” (Kis 4:12). Betapa sederhana, luas dan sempurnanya kasih karunia ini.
C. Makna dibenarkan kerana iman
Kita terima penyucian darah Tuhan Yesus yang bernilai dan dapat diselamatkan daripada murka Allah bahkan dieprdamaikan dengan Allah kerana iman. Apakah maknanya?
1. Hidup dalam kasih karunia
Kita telah dikuburkan bersama-sama dengan Dia oleh baptisan dalam kematian, sama seperti dibangkitkan dari antara orang mati (Rm 6:4). Dengan itu, kita hidup dalam kasih karunia Tuhan. Walaupun masih berada di dalam tubuh jasmani dan hidup di antara dunia, namun kita adalah milik Tuhan. Janganlah menyerahkan anggota-anggota tubuh sendiri kepada dosa untuk dipakai sebagai senjata kelaliman, tetapi serahkanlah dirimu kepada Allah sebagai orang-orang, yang dahulu mati, tetapi yang sekarang hidup. Dan serahkanlah anggota-anggota tubuhmu kepada Allah untuk menjadi senjata-senjata kebenaran (Rm 6:13). Dengan bersandarkan kuasa yang diberikan oleh Tuhan Yesus, biarlah Tuhan hidup dan berkuasa (Rm 5:17). Lihatlah dengan jelas kesudahan dosa dan ketidakbenaran. Lihatlah kesia-siaan dunia kebendaan ini dengan jelas, janganlah disusahkan olehnya. Berusahalah maju ke hadapan menuju ke arah matlamat hidup yang kekal.
2. Memenuhi hukum Taurat
Oleh hukum Taurat orang mengenal dosa (Rm 3:20) bahkan hukum Taurat meghakimi segala perbuatan dosa berdasarkan keadilannya. Oleh itu, hukum Taurat adalah kudus, benar dan baik (Rm 7:12). Walau bagaimanapun, pengalaman iman kepercayaan orang Israel dengan jelasnya menyatakan kepada kita bahawa adalah mustahil jika manusia ingin sepenuhnya mencapai permintaan hukum Taurat dengan bersandarkan kekuatan sendiri. Dengan itu, hukum Taurat sebaliknya menjadi kutukan bagi setiap orang (Gal 3:10). Anugerah keselamatan Tuhan Yesus bukannya untuk meniadakan hukum Taurat, seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Sesungguhnya selama belum lenyap langit dan bumi ini, satu iota atau satu titik pun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi.” (Mat 5:18). Nampaknya, dibenarkan kerana iman barulah dapat membuatkan manusia tidak lagi terikat dengan dosa, terlepas daripada penghakiman hukum Taurat dan dapat membuatkan manusia “melayani dalam keadaan baru menurut Roh” (Rm 7:6) sehingga mencapai bahkan memenuhi semangat dan permintaan hukum Taurat.
3. Menjalani kehidupan yang menang
Dibenarkan kerana iman membuatkan kita hidup di dalam kasih karunia, tidak lagi hidup di dalam dosa dan membiarkan diri sesuka hati. Sebaliknya, oleh sebab merasakan kasih Tuhan, kita:
- Mengalahkan kebendaan
“Ia, yang tidak menyayangkan Anak-Nya sendiri, tetapi yang menyerahkan-Nya bagi kita semua, bagaimanakah mungkin Ia tidak mengaruniakan segala sesuatu kepada kita bersama-sama dengan Dia?” (Rm 8:32). Oleh itu, kejarlah kerajaan dan kebenaran Tuhan, serahkanlah segala kepada-Nya dan kalahkanlah godaan kebendaan.
- Mengalahkan dakwaan
“Siapakah yang akan menggugat orang-orang pilihan Allah? Allah, yang membenarkan mereka? Siapakah yang akan menghukum mereka?” (Rm 8:33). Memandangkan orang-orang yang percaya kepada Tuhan masih hidup di dalam dunia ini, maka tentunya mereka mempunyai kelemahan dalam tubuh jasmani dan tidak dapat mengelak daripada melakukan kesalahan kerana tidak berhati-hati. Namun khasiat penyucian darah Tuhan yang bernilai sentiasa mengikuti kita. Asalkan kita mengaku dosa sendiri dengan jujur, Tuhan pasti akan mengampuni (1 Yoh 1:9). Demikianlah kasih Tuhan. Siapa yang boleh mendakwa atau mengkritik tentangnya?
- Mengalahkan halangan
“Jika Allah di pihak kita, siapakah yang akan melawan kita? Siapakah yang akan memisahkan kita dari kasih Kristus?” (Rm 8:31,35). Contohnya para rasul tidak takut dengan ancaman nyawa dan halangan lalu berkata: “Sebab tidak mungkin bagi kami untuk tidak berkata-kata tentang apa yang telah kami lihat dan yang telah kami dengar.” (Kis 4:20). Asalkan kita memperingati kematian Tuhan, bersandarkan bantuan Roh Kudus, bertekad untuk tidak dipengaruhi oleh mana-mana orang dan persekitaran, kita pasti dapat mengalahkan segalanya dan mempertahankan iman kepercayaan sampai pada kesudahannya. Dengan itu, mahkota kebenaran telah tersedia bagi kita.
4. Menyatakan kerelaan hati pemilihan Tuhan
Manusia dapat dibenarkan keranan iman. Namun Alkitab berkata: “Bukan kamu yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu.” (Yoh 15:16). Adakah Tuhan adil? (rujuk Rm 9:14). Sememangnya ya. Pemilihan Tuhan adalah berdasarkan kehendak dan perbuatan-Nya. Dia mempunyai hak mutlak (Rm 9:21). Walau bagaimanapun, anugerah keselamatan-Nya diperluas kepada semua orang dalam dunia, sama seperti yang dicatatkan di dalam Alkitab: “Suara mereka (suara yang memberitakan anugerah keselamatan Tuhan) sampai ke seluruh dunia, dan perkataan mereka sampai ke ujung bumi.” (Rm 10:18). Namun ada orang yang tegar dan tidak percaya. Mereka pasti akan dihakimi (Rm 9:22). Orang-orang yang menerimanya pula haruslah tahu bahawa anugerah keselamatan ini ialah belas kasihan / rahmat Tuhan. Oleh itu, giatlah melayani Tuhan dengan hati yang ikhlas, bersyukur, rendah hati dan berjaga-jaga. Semua ini bertujuan untuk menyatakan kerelaan hati pemilihan Tuhan. Oleh itu, Paulus memuji Tuhan dengan sukacita dan berkata; “Sebab segala sesuatu adalah dari Dia, dan oleh Dia, dan kepada Dia: Bagi Dialah kemuliaan sampai selama-lamanya!” (Rm 11:36).
D. Kehidupan yang dibenarkan kerana iman:
Manusia terima Injil Tuhan lalu dapat dibenarkan kerana iman. Betapa ajaib, luas dan mudahnya cara anugerah keselamatan yang ditetapkan oleh Tuhan. Walau bagaimanapun, kasih karunia Tuhan ini bukannya untuk membuatkan manusia membiarkan diri sendiri / melampiaskan hawa nafsu tanpa risau. Sebaliknya, kasih karunia Tuhan membuatkan manusia berusaha mengejar kehidupan dan iman kepercayaan yang lebih indah kerana bersyukur dengan kasih karunia Tuhan dan dikuasai dengan kasih Tuhan. Oleh itu, Paulus berkata: “Supaya kamu mempersembahkan tubuhmu sebagai persembahan yang hidup.” (Rm 12:1). Maka, kita dapat memahami bahawa kehidupan yang dibenarkan kerana iman bermaksud:
1. Melayani Tuhan dengan hidup
Terima anugerah keselamatan Tuhan bermakna terima hidup baru yang dikaruniakan oleh Tuhan supaya kita dapat menanggalkan manusia lama serta kelakuannya (Kol 3:9), seperti bangkit dari antara orang mati, bahkan mempunyai hidup dalam segala kelimpahan (Yoh 10:10) supaya hidup manusia lebih cergas dan bersemangat serta berpencapaian. Oleh itu, kita memahami bahawa: “Dan Kristus telah mati untuk semua orang, supaya mereka yang hidup, tidak lagi hidup untuk dirinya sendiri, tetapi untuk Dia, yang telah mati dan telah dibangkitkan untuk mereka.” (2 Kor 5:15). Janganlah menjadi serupa dengan dunia ini dalam apa-apa perkara (Rm 12:2), jangan lagi menilainya dengan konsep nilai kebendaan. Sebaliknya, haruslah budi diperbaharui, sudi membezakan antara kehendak Allah yang baik dan yang sempurna, melayani Tuhan dan manusia dengan aktif sesuai dengan kemampuan masing-masing dan berdasarkan karunia yang diperoleh. Contohilah orang kudus zaman-berzaman yang melayani Tuhan dengan soleh. Layanilah dan muliakanlah Tuhan dengan hidup supaya lebih ramai orang dapat terima kebaikan daripada pelayanan kita.
2. Membina kehidupan dengan kasih
Haruslah sudi melayani Tuhan dengan hidup. Dengan itu, pastinya kita dapat merasakan dengan sedalam-dalamnya kasih Tuhan. Kasih ini merupakan sasaran teladan kita dan juga sumber kekuatan. Seperti yang dicatatkan di dalam Alkitab: “Kita mengasihi, karena Allah lebih dahulu mengasihi kita.” (1 Yoh 4:19). Oleh itu, kita harus mentadbir kehidupan kita dengan kasih dan jangan berhenti berusaha. Seperti Paulus berkata dalam dorongannya: “Janganlah kamu berhutang apa-apa kepada siapapun juga, tetapi hendaklah kamu saling mengasihi. Sebab barangsiapa mengasihi sesamanya manusia, ia sudah memenuhi hukum Taurat.” (Rm 13:8). Kasih membuatkan diri sendiri mempunyai hati yang jujur lalu menjauhkan diri daripada segala kesia-siaan, pertengkaran dan fikiran untuk mencelakakan orang lain. Kasih juga membuatkan keluarga sendiri dipenuhi keharmonian dan sukacita. Selain itu, kasih juga membuatkan kita dipenuhi dengan pengertian, toleransi, penerimaan dan galakan dalam hubungan interpersonal. Kehidupan seumpama ini pastinya lebih bersinar.
3. Mentadbir iman kepercayaan dengan iman
Iman kepercayaan adalah untuk seumur hidup. Gerakan dan keghairahan diri yang sementara adalah tidak mencukupi. Memandangkan kita perlu hidup di dalam tubuh jasmani dan di antara dunia, maka masa, persekitaran dan hubungan interpersonal merupakan ujian yang besar. Tambahan pula, terdapat Iblis di sisi kita yang menunggu peluang untk menyerang kita (1 Ptr 5:8) sehinggakan kita berasa putus asa / tawar hati dan jemu, curiga dan benci. Oleh itu, kita haruslah giat berkebaktian, benar-benar memahami permintaan kebenaran, memohon kepenuhan Roh Kudus dan menguatkan iman supaya dapat berhadapan dengan pelbagai ujian. Di samping itu, kita haruslah ada pemikiran yang rendah hati, memahami dan berjaga-jaga. Seperti yang dikatakan di dalam Alkitab: “Saudara-saudara, kalaupun seorang kedapatan melakukan suatu pelanggaran, maka kamu yang rohani, harus memimpin orang itu ke jalan yang benar dalam roh lemah lembut, sambil menjaga dirimu sendiri, supaya kamu juga jangan kena pencobaan. Bertolong-tolonganlah menanggung bebanmu!” (Gal 6:1-2; Rm 15:1).
4. Mengembangkan Injil dengan keberanian
Jika kita faham bahawa manusia hanya dapat datang kepada Tuhan dan terima berkat hidup yang kekal dengan percaya dan bersandar kepada Tuhan Yesus, maka kita perlu bersaksi dan memberitakan Injil dengan aktif. Tentu sekali, kita dapat melihat bahawa para rasul menghadapi banyak kesengsaraan dan halangan dalam pemberitaan firman mereka. Walaupun kepercayaan kini adalah lebih bebas berbanding dahulu, namun kita juga akan berhadapan dengan pelbagai serangan seperti mereka dari segi kerja. Oleh itu, kita harus meneladani mereka yang tidak takut dengan jerih payah, tidak berputus asa dan berani berjuang dengan bersandarkan Tuhan. Tindakan ini adalah dengan harapan dapat membuatkan lebih ramai orang mendapat kasih karunia Tuhan, membangunkan kerajaan Tuhan dan menyongsong kedatangan semula Tuhan bersama-sama dengan kita.
5. Mempertahankan pengharapan dengan hikmat
Dalam usaha iman kepercayaan, kita bukan sahaja memohon Tuhan menambah iman kita untuk berhadapan dengan pelbagai kesusahan. Kadang-kala, kita juga akan berhadapan dengan banyak godaan ajaran sesat dan bidaah. Seperti Paulus mendorong dengan berkata: “Tetapi aku menasihatkan kamu, saudara-saudara, supaya kamu waspada terhadap mereka, yang bertentangan dengan pengajaran yang telah kamu terima, menimbulkan perpecahan dan godaan. Sebab itu hindarilah mereka!” (Rm 16:17). Oleh itu, kita haruslah berpegang pada firman kebenaran, memohon kepada Tuhan Yesus supaya memberikan hikmat, hidup dengan rendah hati, tahu membezakan baik dan buruk, mempertahankan pengharapan yang murni, menanti dengan sabar dan berdiri teguh dalam jejak langkah. Akhirnya, kita pasti akan terima mahkota kebenaran yang mulia.